Thursday, 9 August 2018

9 NOTA Bab 9

Selesai saja berdoa di atas tikar sejadah, aku terdengar ketukan di pintu bilikku. Belum sempat aku bertanya siapa, pintu bilikku terus ditolak dari luar. Wajah Gina terjengul di muka pintu.

“Dah habis solat?” Gina bertanya sambil mendekati aku. Aku cuma mengangguk. Telekung yang elok tersarung ke tubuh aku biarkan saja. Aku bercadang mahu membaca al-quran sekejap sebelum aku tidur.

“Ada apa?”
Gina melabuhkan duduk di sebelah aku lantas memasang sila.

“Kau free tak malam esok?”
“Kenapa?” aku menaikkan kening.
“Nak ajak keluar dinner,” jawabnya dalam satu nafas.

“Kau free tak?” soal Gina lagi.
“Aku tak pasti lagi la, Gina. Aku kena tanya Syazwan dulu.”

“Dah kenapa nak kena tanya dia pula? Dinner aje pun. Dia dah jadi King Control ke apa?” Gina mencebik seraya mengangkat-angkat keningnya.
Aku gelak.

“Bukan macam itu la. Aku kena tanya dia dulu sebab dia ada ajak aku keluar malam esok. Maklum la, katanya nak lepaskan rindu kat aku lepas berminggu dia di Perth.” aku berseloroh sekali gus menepis tohmahan Gina terhadap Syazwan serta memberitahu tentang rancangan Syazwan bersamaku malam esok. Sejak Syazwan pulang dari sana, sekali pun kami tidak bersua kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja.

“Alaaa… kau cakap kat dia, kalau nak lepaskan rindu ke apa ke… pilih aje hari lain. Bagi can kat kitorang dating dengan kau.”

“Krisya dengan Puteri sekali ke?” aku bertanya sekadar mahu memastikan. Seingat aku, Puteri ada kelas malam pada esok hari dan Krisya pula kena kerja.

“Iya. Tiba-tiba saja semua orang free malam esok. So, aku rasa ada baiknya aku ajak korang semua keluar dinner. Dah lama kan tak keluar spend time together macam dulu-dulu? Rindulah!”

“Oh, tahu rindu ya? Dah siapa suruh kau dengan Krisya sibuk mengalahkan pak menteri? Kalau keluar, tak ingat nak balik. Bila kerja, tak ingat yang masing-masing tu ada rumah. Kadang-kadang kan… aku rasa cuma aku dengan Puteri aje yang tinggal kat sini. Balik-balik, kami berdua hadap muka satu sama lain.” Tak pasal-pasal aku membebel pada Gina sekali gus meluahkan apa yang terbuku di hati aku.

“Macam mak nenek la kau ni!” Gina mencebik-cebik.

“Apa… tak betul ke apa yang aku cakap?”
“Yalah-yalah. Apa-apa ajelah, Sara!” Gina memutar-mutarkan matanya sebelum ketawa.

“So, jadi ek?” ditepuknya paha aku.
“Demi korang, aku terpaksalah batalkan date aku dengan Syazwan.”

“Ikhlas ke tak ni?”
“Ikhlas la.”
“Betul ni?”
“Betul la!” eh, dia ni. Tak percayalah pula. Karang aku ubah fikiran, baru dia tahu.

“Cun!” Gina bangkit dan bergerak keluar meninggalkan aku keseorangan. Namun, sebaik sampai di muka pintu, dia berhenti dan kembali berpaling kepada aku.

“Beb, dinner kita ada tema tau. All white! Jangan lupa!” Gina kenyit mata dan menghilang dari pintu bilik. Aku pula terkebil-kebil tengok pintu bilik sendiri.

Erk? Tema? All white? Biar betul Gina ni? Dia sebenarnya ajak aku pergi makan malam atau pergi parti?

***

White blouse, checked!
White jeans, checked!
White heels, checked!

Tema all white yang diperkatakan oleh Gina semalam, aku penuhi. Cuma ada beberapa aksesori seperti cekak rambut, anting-anting serta tas tangan berwarna merah dan hitam aku padankan dengan pakaianku.

Sekilas aku menekur wajahku di cermin. Sempurna! Solekan nipis di wajahku sudah cukup membuatkan wajahku kelihatan segar. Malah, semburan wangian Chanel No 5 menambahkan keyakinanku.

“Dah siap?” aku terdengar pertanyaan Puteri sebaik aku melangkah menuruni anak-anak tangga. Aku nampak hanya ada Krisya dan Puteri di situ.

“Dah… mana Gina?”
“Kat atas, tengah bersiap. Kau tahulah kan mak cik tu macam mana? Selagi rupa dia tak jadi macam Paris Hilton, selagi itulah dia tak akan turun…” seloroh Krisya sembari membetulkan solekan di wajahnya.

“Kalau Gina tu Paris Hilton… kau tu apa? Kim-K?” aku hempaskan punggung ke atas sofa berdekatan Krisya sambil mengulum senyuman. Terdengar Krisya berdecit ditambah dengan tawa Puteri.

Aku jeling jam di dinding. Sudah hampir jam 9.30 malam. Aku sebenarnya masih tidak tahu di mana kami akan makan malam. Gina kata, ada sebuah restoran yang baru dibuka tidak jauh dari rumah sewa kami dan dia mahu kami berempat menghabiskan masa untuk bersantai-santai di sana. Tetapi, lokasinya tidak pula dia ceritakan dengan terperinci.

“Restoran yang kita nak pergi ni… area mana? Sempat ke kita nak dinner kat sana? Sekarang dah dekat pukul 10. Dengan nak tempuh jammed, nak cari parking lagi… silap-silap… bila kita sampai kat sana… restoran tu dah tutup.” Aku cuba menyatakan pendapatku.

“Tak jauh pun. Jangan risau, mesti sempat punya. Kau chill aje. Sementara tu… meh kita layan movie sekejap…” tiba-tiba saja Puteri mencapai alat kawalan jauh televisyen dan menekan-nekan butang di situ sambil mempamer riak gelabah. Aku palingkan wajah kepada Krisya pula. Serta merta Krisya berpura-pura sibuk dengan telefonnya tanpa memandangku.

Dah kenapa dengan mereka berdua ni? Belum sempat aku bertanya apa-apa kepada Puteri, terdengar suara Gina dari anak tangga.

“Aku dah siap. Jom, gerak!”

Sepanjang perjalanan, aku hanya mendiamkan diri tetapi diamnya mulut aku tidak bermakna tidak berlaku apa-apa di dalam fikiranku. Sejak aku masuk ke perut kereta, aku jadi tertanya-tanya dengan apa yang sedang berlaku di belakang aku. Kerana, jauh di dasar hatiku dapat merasakan bahawa ketiga-tiga temanku ini seperti menyembunyikan sesuatu.

 “Sebenarnya korang ni nak bawa aku ke mana?” aku bertanya dengan rasa tak puas hati bercampur dengan rasa tertanya-tanya yang bukan sedikit sebaik saja kereta yang dipandu Puteri berhenti betul-betul di hadapan sebuah restoran mewah.

“Dinner,” ucap Puteri bersahaja.
“Yup. Dinner. Jom turun. Kita dah sampai.” Tambah Gina juga dengan nada suara yang bersahaja dan berwajah selamba.
Aku terpinga-pinga sebaik melewati pintu utama restoran. Lengang dan sunyinya restoran ini menyebabkan aku terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Mana semua orang?”
Soalan aku dibiarkan sepi. Tetapi, langkah tetap diayun ke depan mengekori ketiga-tiga orang temanku. Sebaik kami membelok masuk ke sebuah kawasan yang terletak di hujung restoran, hatiku mula menjadi tidak sedap.

Perlahan-lahan, pintu yang bertutup rapat di hadapanku ditolak. Tidak semena-mena saja aku terjerit sambil menekup mulut sendiri apabila melihat sebuah taman kecil terhias indah di balik pintu yang bertutup tadi.

“Surprise!” ketiga-tiga temanku meneriak serentak bersama dengan bunyi letupan kecil yang terhasil daripada belon yang diletupkan. Serentak dengan itu juga aku melihat banyak belon berwarna putih terhias di sepanjang laluan menuju ke tengah taman. Malah, di antara belon-belon tersebut tertulisnya namaku… KAISARA.

Hampir lagi aku menitiskan air mata, terlihat pula kelibat Puteri dan Krisya yang datang menghampiriku bersama dengan sebiji kek yang siap dinyalakan sebatang lilin. Sambil menghampiriku, sambil itu nyanyian lagu selamat hari lahir berkumandang.

Dan… tanpa disangka-sangka, mataku tertancap kelibat Syazwan yang baru saja muncul di celah-celah kenalanku yang turut sama hadir. Syazwan memandangku bersama senyuman penuh makna. Sebaik dia berdiri di hadapanku, dia mengeluarkan tangannya yang disorokkan di belakang tubuh. Sejambak ros merah dihulur kepadaku sebaik saja nyanyian lagu tamat.

“Happy birthday, sayang.”
“Thank you,” balasku dengan rasa yang berbaur di dalam hati. Aku tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Antara rasa marah dan geram setelah dipermainkan atau kerana rasa terharu dengan semua yang disediakan untukku.

Sejujurnya, aku sudah dapat mengagak ada sesuatu yang mereka semua rancangkan tetapi aku tidak jangka komplot ini akan turut melibatkan Syazwan. Aku sebenarnya sudah terlupa bahawa hari lahirku bakal menjelma sedikit waktu lagi.

Setelah lilin ditiup dan kek dipotong, aku dibawa ke sebuah meja. Syazwan memberikan isyarat kepadaku sebaik dia menarik salah satu kerusi di situ, meminta agar aku duduk. Aku hanya menurut. Ros yang sudah berada di tanganku , aku peluk erat-erat sambil mencium-cium baunya.

Dalam masa yang sama, teman-temanku masing-masing mengambil tempat di situ sebelum Syazwan sendiri melabuhkan punggung di sebelah aku.

“So… inilah dinner yang korang maksudkan tu?” aku memandang Puteri, Gina dan Krisya bersilih ganti sebaik saja kami sama-sama selesai menjamu selera.

“Yes!” jawab Gina laju.
“Thank you, girls!”
“Uh-huh… jangan ucap terima kasih kat kitorang. Ini semua plan Syazwan. Kitorang cuma ikut aje.” Balas Krisya sambil menuding jari kepada Syazwan.

“Thank you, Syazwan.” Aku pandang Syazwan yang duduk di sebelahku sambil mengesat hujung bibir dengan kain napkin di ribaan.

Syazwan senyum dan kenyit mata padaku. Namun, suara Puteri mengalihkan perhatianku.

“Sara… sebenarnya…”
Belum sempat Puteri menyudahkan ayatnya, terdengar gesekan biola daripada seorang pemuzik yang tiba-tiba saja menghampiri kami. Seorang lelaki lingkungan 30-an lengkap memakai tuxedo hitam sedang mengalunkan melodi lagu Perfect nyanyian Ed Sheeran dengan penuh perasaan.

Entah kenapa aku terasa seperti hendak menangis. Mendengarkan gesekan biola yang sangat merdu membuatkan hatiku tersentuh tambah-tambah apabila mataku dan juga mata Syazwan bertaut.

“Sara… jom temankan I ke sana.” Tak semena-mena saja Syazwan bangun usai saja pemain biola tadi meninggalkan kami. Aku yang terpinga-pinga hanya menurut.

“Cantik kan langit malam ni?” aju Syazwan ketika kami sama-sama berada di tebing tembok taman yang terletak di bahagian luar restoran ini. Keadaan taman yang terbuka itu menyebabkan kami dapat menikmati suasana malam yang begitu cantik sekali. Cuaca yang cerah menyebabkan bintang-bintang di dada langit yang bertaburan jelas kelihatan.

“Langit kat atas tu memang cantik… tapi, cantik lagi permainan you.”
Syazwan ketawa.

“Perli I?
“Terasa ke?” aku memulangkan paku buah keras sebelum ketawa-ketawa.
“You marahkan I ke, Sara?”

Aku menggeleng. Marah? Untuk sebuah kejutan yang istimewa sebegini, rasa-rasanya rasa marahku padanya tidak perlu wujud. Kerana sesungguhnya, aku sangat terharu dengan segala yang disediakan oleh Syazwan untukku.

“Sara…” Syazwan menyeru namaku lalu berpusing menghadapku.
“I… sebenarnya…” ujar Syazwan sepatah-sepatah.

“Kenapa, Syazwan? You nak cakap apa?” cepat-cepat aku memotong percakapan Syazwan yang kelihatan tersangkut-sangkut.

Tanpa sebarang suara, aku lihat Syazwan sudah mengundurkan langkahnya setapak lantas berlutut di hadapanku. Sebuah kotak berwarna emas disua kepadaku kemudiannya. Terserlah kilauan sebentuk cincin berlian sebaik kotak tersebut dibuka.

“I tahu I bukan lelaki yang romantik. I tak tahu caranya nak jadi lelaki romantik… tapi, Kaisara Hakim… will you marry me?”
Semerta aku menjatuhkan rahang sebaik soalan Syazwan itu masuk ke gegendang telingaku. Auch! Adakah aku sedang bermimpi?

“Tolong ulang balik apa yang you cakap tadi, Syazwan.”

“Kaisara Hakim, will you marry me?”
Terkelip-kelip mataku memandang dia. Adakah dia… sedang melamar aku?

“Sara…” Syazwan menegur apabila aku terus-terusan mendiamkan diri.

“Syazwan… you serius ke ni?”

“Come on, Sara! Say yes! Say yes! Say yes!”
Sedang berkira-kira dengan jawapan yang hendak aku beri, terdengar pula laungan kawan-kawanku. Menoleh ke belakang, terlihat Puteri, Gina dan Krisya berserta semua hadirin sedang menyaksikan detik-detik itu.

“Erm, I…” aku kembali memandang Syazwan. Melihatkan dia yang sedang berlutut itu seperti tidak stabil… aku mengulum senyuman dalam diam.
Aku meletakkan tangan ke bawah dagu dengan sengaja. Merenung Syazwan yang menanti dengan sabar jawapan aku.

“Macam mana kalau I cakap tak?” aku jongketkan sebelah kening.
Syazwan kelihatan terkedu. Cepat-cepat dia bangkit dan menjauhiku. Wajahnya yang kelihatan seperti kecewa menyebabkan aku mengetapkan bibir.

“Syazwan…”
“It’s okay, Sara. Kalau you tak boleh terima, I tak akan paksa.”

“No, Syazwan. Dengar dulu apa yang I nak cakap.” Aku berdiri di hadapan dia. Dengan jelas matanya sedikit kemerah-merahan menyebabkan rasa bersalah membelit tangkai hatiku.

Dia memberikan isyarat agar aku tidak mendekatinya. Malah, dia terus saja meraup wajah dan menguak-nguak anak-anak rambutnya beberapa kali sebelum tangan naik bercekak pinggang lalu mendongak memandang langit.

“Syazwan… I nak tanya you ni.”
“Apa?”
“You betul-betul nak I jadi isteri you?”
“Iya. I nak you jadi isteri I.”
 “You betul-betul sayang I?”
“Dengan sepenuh hati dan jiwa raga I.”
“You sanggup buat apa saja untuk I?”
“Anything for you, Sara. Termasuklah menggadaikan nyawa I untuk you.”
“You sanggup ke bersusah senang dengan I?”

“Iya… sampai ke akhir hayat.”

Aku tergelak. Mendengarkan jawapan-jawapan yang terbit dari mulut Syazwan membuatkan hatiku mencair dengan sendirinya. Kalau dia kata yang dia tidak romantik, sebetulnya dia menipu. Sesungguhnya, dialah lelaki yang paling romantik yang pernah hadir ke dalam hidupku.

Perlahan-lahan aku menyuakan jari ke arahnya, meminta agar cincin lamaran tadi disarungkan ke jariku.

“Yes!” tak semena-mena saja Syazwan berteriak sambil meraup wajah. Senyuman lebarnya menyebabkan aku turut sama tersenyum. Dalam masa yang sama juga, beberapa orang hadirin menghampiri lalu menerpa Syazwan lantas memeluknya sambil mengucapkan tahniah.

 ‘Thank you!’ aku nampak bibir Syazwan bergerak-gerak mengucapkan terima kasih pada aku sewaktu dia masih di dalam pelukan mereka. Aku senyum dan mengangguk.

‘Thank you to you too.’ Aku membalas tanpa suara, mengucapkan terima kasih juga pada dia.

‘Nanti jumpa mama.’ Aku menyambung, menyebabkan wajah Syazwan berubah pucat. Aku pula tergelak melihat dia. Aik, takkan cuak kut?



***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311


No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...