Seawal pagi lagi aku
sudah tercongok di hadapan pagar rumah. Sesekali, aku memerhati ke arah rumah
yang bertentangan dengan rumah sewaku. Sekitar rumah itu aku perhati. Keadaan
di rumah itu sunyi dan sepi seperti tidak berpenghuni. Agaknya, lelaki ini
sudah keluar bekerja kut?
Tetapi, dia kerja apa?
Entahlah. Aku tidak pernah mengambil tahu perihal jiran baru itu. Sepertinya,
telah aku ahat sekuat-kuatnya di mindaku bahawa aku takkan sesekali menegur
dia.
Tetapi, takdir tuhan… siapalah
aku hendak mengelak? Hanya kerana nota misteri, aku menderhaka terhadap
pendirianku sendiri. Aku sudah sebulat hati untuk menegurnya demi mencari
kebenaran!
“Sara… kau dah fikir
masak-masak ke ni?” tiba-tiba saja aku terdengar suara Puteri dari belakang. Di
tangannya ada satu bekas mangkuk tingkat berisi nasi lemak sambal sotong.
“Dah siap ke?”
Puteri menyuakan
mangkuk tingkat kepada aku lalu mengangguk.
“Thanks, Put.” Aku senyum puas hati apabila Puteri termakan juga
dengan pujukan aku untuk memasak menu yang aku minta.
Sebenar-benarnya, aku
mempunyai sebuah rancangan. Rancangan yang terbaik dan terlogik setakat ini.
Aku sudah sebulat hati untuk menjejak pengirim nota dengan melihat rakaman dari
kamera litar tertutup kepunyaan mamat psiko. Dan caranya adalah dengan
berbaik-baik dengannya dengan mengumpan nasi lemak tersedap yang dimasak oleh
Puteri.
Tidak lama kemudian,
aku mengheret Puteri bersama menuju ke rumah jiran psiko tetapi di separuh
jalan Puteri pantas menarik tangannya dari genggamanku lantas mengeraskan
tubuh.
“Kau nak ajak aku ke
mana?”
“Laaa… ke mana lagi?
Temankan aku hantar nasi lemak ni.”
“Eee… tak kuasa aku.
Malas!” Puteri menepis-nepis tangan aku yang masih lagi melingkar di
pergelangan tangannya.
“Put… jomlah! Sekejap
aje. Temankan aku.”
“Tak nak. Tak mahu.
Kalau kau nak… dipersilakan. Aku tunggu kau kat sini,” Puteri menyilangkan
tangannya ke tubuh sejurus bahu aku ditolak-tolaknya.
Isk, ada patut dia
suruh aku pergi seorang diri? Sudahlah aku cuak mahu berhadapan dengan lelaki
psiko itu. Sekurang-kurangnya, jika Puteri menemani aku… mungkin rasa cuak aku
tu akan berkurangan.
“Puteri… please…” aku menayang muka simpati
kepadanya. Memang kerja gila kalau dia suruh aku pergi seorang diri. Bagaimana
kalau lelaki itu mengapa-apakan aku?
“Tak kuasa aku tau! Aku
kan cuma berjanji dengan kau untuk tolong masakkan nasi lemak. Bukannya tolong
teman kau sampai ke depan pagar rumah dia. Aku janji kalau jadi apa-apa… aku stand by kat sini.” Puteri angkat ibu
jarinya memberi isyarat pada aku sambil mengulum senyum.
Cis! Berani dia kenakan
aku? Ah, aku tak peduli. Dia suka atau tidak, aku tetap nak dia ikut aku.
Sekonyong-konyongnya, aku mengheret tubuhnya mengekor aku sehingga ke depan
pagar rumah jiran kami.
“Put, ada orang ke tak
ada orang ni?” aku berbisik kepada Puteri sebaik kami berdua tercegat di
hadapan pagar. Aku meliarkan mata ke sekitar rumahnya. Semua tingkap dan pintu
bertutup rapat seolah-olah rumah ini tidak diduduki orang. Tetapi, kelihatan
sebuah motosikal kuasa tinggi sedang terparkir di satu sudut rumahnya.
“Entah. Manalah aku
tahu.”
“Tapi, motosikal dia
ada kat situ.” Aku menjuihkan bibir sambil menyinggung pinggang Puteri.
“Agaknya dia ada kat
dalam rumah la kut. Cuba kau panggil.”
“Assalamualaikum!” aku memberi salam biarpun
tersisa rasa pelik dengan keadaan rumah lelaki ini. Tapi, suara aku tu seperti
tidak mahu keluar dari anak tekak sehinggakan Puteri berdecit di sebelah aku.
“Isk, kau ni. Bagi
salam tu kuatlah sikit. Macam cakap dalam kelambu.”
“Assalamualaikum!” aku menaikkan
suara.
“Weh, Put… tak ada
orang jawab salam pun. Agaknya, dia dah keluar pergi kerja kut?”
“Macam mana dia nak
pergi kerja kalau motosikal dia ada kat sini lagi? Sudah la. Biar aku panggil
pula! Assalamualaikum! Assalamualaikum!” tak pasal-pasal Puteri majukan langkah
menghampiri pagar lalu berpaut ke situ sambil melaung-laung memberi salam.
Krekkk!
Tiba-tiba saja aku
mendengar bunyi gril pintu utama ditolak. Spontan aku dan Puteri memandang ke
sana. Masing-masing terpaku sambil menanti jiran psiko kami melangkah keluar.
Dia menghampiri kami
dengan hanya mengenakan seluar pendek separas lutut tanpa baju. Rambutnya
kelihatan berserabai. Di tangannya ada satu tukul besar. Untuk apa dibawa
bersama tukul tersebut, aku gagal meneka. Spontan aku berundur sambil mencuit
bahu Puteri memberikan isyarat kepadanya.
Aku memerhati benda di
tangannya. Semerta bayangan filem horror-thriller yang pernah aku tonton
terlayar di ruang minda aku. Mampus! Dia nak buat apa dengan benda alah tu? Dia
nak apa-apakan aku dengan Puteri ke?
“Hmm?” aju dia dengan
suara yang serak sebaik sahaja dia berdiri di hadapan kami.
Liur yang baru melalui
kerongkong aku terasa begitu kesat. Kepala lutut aku pula terasa bergoyang
menyebabkan rasa takut mula menguasai hati. Tetapi, sempat lagi mata aku
berlaga dengan matanya selama dua detik sebelum aku melarikan pandangan kea rah
tukul di tangannya.
Ketika itu, aku sudah
mula membayangkan yang tukul itu dihayun ke kepalaku. Dapat aku rasakan bagaimana
kesakitan yang bakal aku alami kelak. Malah, dapat juga aku bayangkan berapa
banyak darah di kepalaku yang bakal mengalir hasil hentakan tersebut.
“Ada apa?” aju dia
dengan nada seperti tidak berpuas hati.
“Err… nak bagi
sarapan,” aku menayang sengihan palsu. Bibir aku terasa ketat untuk mengoyak
senyuman. Sempat lagi aku mengerling Puteri yang sudah seperti patung cendana.
Aku jadi tak faham dengan dia ni. Bukan main lantang lagi suaranya tadi untuk
memanggil jiran psiko tetapi bila lelaki itu di depan mata… terus kejung
seperti baru disumpah menjadi batu.
Lelaki itu merenung
mangkuk tingkat di tanganku. Dia sekadar mengangguk. Aku pula lekas-lekas
menyuakan bekas tersebut kepada dia melalui celah pagar.
“Dalam bekas tu ada
nasi lemak sambal sotong. Harap-harap awak sukalah.” aku cuba mengatur ayat
walaupun suara aku tersekat-sekat seperti CD rosak.
“Terima kasih,” ujar
dia pendek.
Aku memerhati ke
segenap wajah dia. Baru hari ini aku dapat melihat dengan jelas rupanya.
Rambutnya lurus dan panjang melepasi bahu tetapi berserabai. Kulitnya cerah.
Hidungnya mancung. Matanya cantik, berwarna hazel. Malah dia juga memiliki bulu
mata yang panjang dan melentik seperti bulu mata perempuan. Keningnya juga
lebat dan terletak elok. Cumanya, ada sedikit jambang yang meliar di sekitar
dagu dan pipinya. Kacak lelaki ini tetapi sayang… tanpa senyuman, dia kelihatan
sebagai seseorang yang menakutkan di mataku.
Aku terkelu di hadapan
dia. Ayat mukadimah yang cuba aku rangka dan karang seperti tidak terkeluar
dari mulut biarpun peluang dan ruang sudah terbuka lebar di depan mata. Aku
sepatutnya memberitahu apa tujuanku tetapi apabila melihat dia yang kedekut
dengan senyuman, fikiran aku menjadi bercelaru. Ayat-ayat yang aku rangka di
dalam minda berselerakan sehingga aku gagal menyatakan hal sebenar.
“Ada apa-apa lagi?” aju
jiran psiko setelah melihat kami berdua masih terkejung di hadapan dia.
“Err… err…” bibir aku
digigit. Tanpa sengaja, mataku beralih kepada tukul di tangan menyebabkan aku
kelam kabut mencuit Puteri.
“Tak ada apa-apa. Maaf
mengganggu.” Tanpa sempat mendengar jawapan balasnya, terkocoh-kocoh aku
mengheret Puteri kembali ke rumah. Lekas-lekas aku merapatkan pintu utama
sebaik kami berjaya melangkah masuk.
“Kau dah kenapa, Sara?”
Puteri menepis bahu aku dengan muka tak puas hati.
“Minta nyawa! Minta
nyawa!” aku cuba mengambil nafas sambil tubuh bersandar ke belakang pintu.
Peluh yang muncul di
dahi aku kesat dengan belakang tangan sementara dada aku pula terasa naik turun
dengan begitu pantas. Jantung aku juga seolah-olah bekerja dalam kadar yang
luar biasa.
“Isk, nak minta nyawa apanya? Hidup lagi,
kan?”
“Iya, memang la hidup
lagi. Itu pun sebab aku sempat lari. Kalau tak… kepala aku ni pecah dihentak
dengan tukul kat tangan dia tadi!”
Puteri tercebik.
“Habis tu?” Puteri menyoal
aku seraya menyelak-nyelak langsir di pintu gelangsar. Dia cuba mengintai
kelibat jiran psiko kami.
“Apanya?”
“Macam mana dengan plan kau?”
“Tak jadi kut? Tak
berani aku nak tanya lebih-lebih. Cukuplah sekali aku bercakap dengan dia.”
“Takkan cepat sangat
kau mengalah, Sara? Kata nak jejak pengirim nota tu…” leret suara Puteri tu seolah
sedang memerli aku. Aku menjeling sebal padanya.
Memanglah aku mahu
menjejaki pengirim nota itu. Tetapi, bagaimana aku mahu meneruskan misi itu
jika jiran psiko tidak seperti manusia normal?
“Aku akan cari jalan lain. Tapi, kalau nak
suruh periksa CCTV footage kat rumah
dia… memang taubat aku tak nak!”
“But how?”
Pertanyaan Puteri itu
seolah-olah membuatkan pipi aku terasa seperti baru saja dilempang.
HARGA : RM43SM / RM47SS
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
No comments:
Post a Comment