Monday, 13 August 2018

9 NOTA Bab 13

Peti surat di tembok rumah aku intai sebaik saja kereta diparkir di halaman. Beberapa keping surat dibelek sebelum mata aku terpaku pada sekeping sampul coklat bersaiz biasa. Depan belakang sampul tersebut aku belek. Dengan jelas tertera nama dan  alamat lengkapku berserta setem dan cop pejabat pos.

Darah yang berderau hilang serta merta sebaik aku membaca kad yang terselit di celah sampul coklat tersebut.

JEMPUTAN KE MAJLIS PERJUMPAAN SEMULA

“Ehem.” Sedang ralit membaca, terdengar deheman dari belakang. Kelam kabut aku menyusun semua surat yang diambil tadi lantas mendongak mencari si pemilik suara.

“Adh… wa.” Sebaris nama terlantun keluar dari bibir aku tatkala mata aku dan mata dia berlaga. Kemudian, surat-surat yang berada di tangan aku diperhati oleh dia sebelum menyoalku dengan sepatah pertanyaan.

“Busy?”

Aku menggeleng. Sejujurnya, aku sangat terkejut melihat dia yang tiba-tiba berada di sini. Aku melarikan bola mata ke wajahnya sebelum dihalakan kepada helmet yang sedang dipeluk di sisinya. Pakaiannya seperti biasa. Jeans hitam, t-shirt hitam serta jaket kulit berwarna hitam. Aura misteri benar-benar ketara pada dia, membuatkan aku sedikit bergemuruh.

“Ada… apa?” Gagap, aku menyoal dia dengan teragak-agak.

“Sara.” Dia menyebut namaku tetapi terjeda kemudiannya. Anak mataku direnung semahu-mahunya sambil menayang wajah tanpa senyuman. Ketika ini, aku berundur setapak ke belakang. Memori beberapa minggu lepas sudah terlayar di ruang minda.

“Ke… kenapa?” Masih gagap, aku cuba berani-berani menyoal dia. Tambahan, apabila mendengar dia menyebut namaku untuk pertama kali memberikan satu rasa yang janggal di hatiku.

 “Kenapa bagi duit?”

“Duit? Duit apa?” Dengan dada yang masih berdebar, aku menjongket kening bertanya dia.

“Duit barang.” Setelah dia menyebut begitu, baru aku teringat tentang apa yang sudah terjadi.

 “Hutang wajib dibayar,” balasku mudah.

“Saya tak minta bayar pun,” balasnya kembali dengan muka seperti tadi.

“Tak apa. Saya yang nak bayar.”
Tak lama kemudian, dia menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan beberapa keping not berwarna merah berserta syiling lalu disua kepadaku.

“Ambil.”

“Untuk apa?”

“Saya pulangkan duit awak.”

“Eh?”

“Saya belanja.”

Aku terpatung di hadapan dia.

 “Kaisara… ambil…” ujar dia lagi lebih kepada mengarah. Aku pula hanya mampu terkebil-kebil di depan dia tanpa menyambut wang yang dihulurkan.

“Tak apa… awak simpan saja duit tu.” Aku bertegas. Melihatkan tingkahnya, dapat aku rasakan yang dia akan cuba memaksa aku supaya mengambil duit itu tetapi sangkaan aku meleset sama sekali sebaik melihat dia menyimpan semula duit tersebut ke dalam poket seluar.

“Okey. Saya tak akan paksa. Tapi, awak tak boleh tolak satu benda daripada saya,” ujar dia lancar dalam satu nafas.

“Apa?”

“Awak kena temankan saya minum.”

“Huh? Sekarang?”

“Iya.”

Lekas-lekas aku merenung jam di pergelangan tanganku.

“Erm…”

“Jangan risau. Saya tak ada sebarang niat jahat terhadap awak.”

Muka aku terasa berbahang tatkala mendengar ayat yang keluar dari mulutnya. Ah, nampak sangat ke yang aku ni sedang berfikir yang bukan-bukan tentangnya?

Lambat-lambat aku mengangguk. Makanya, kami berdua menuju ke sebuah restoran tidak jauh dari kawasan perumahan ini dengan hanya berjalan kaki. Di sepanjang jalan, kami berdua hanya selesa melayan perasaan masing-masing. Ditemani sepi, akhirnya kami berdua tiba ke destinasi.
Sejujurnya, aku tidak tahu kenapa aku boleh bersetuju untuk keluar dengan dia.

Tetapi, bila difikirkan semula, ada juga hikmahnya kerana aku perlu menanyakan sesuatu kepada dia. Dan semua pertanyaan aku itu semestinya berkaitan dengan rakaman litar tertutup di rumahnya.

“Maaf bertanya. Saya selalu nampak awak keluar masuk rumah tu dengan motor besar. Awak sebenarnya kerja apa?” Soalan itu aku ajukan kepada dia sebaik saja pesanan kami tiba.

“Spy.”

Hampir aku tersedak air liur sendiri apabila dia memberitahuku dengan wajah tanpa perasaan. Sebenarnya, aku tersilap dengar atau dia yang tersalah cakap?

“Spy?”

“Bergurau aje.” Dia menayang senyumannya. Langsung, terbentuk sepasang lesung pipit di kedua-dua belah pipinya menyebabkan aku terpaku memandang dia. Pertama kali di sepanjang hidupku, baru kali inilah aku melihat dia tersenyum.

“I see. Bergurau ya? Habis tu?”

 “Martial art coach.” Terang dia seolah cuba menghalau rasa sangsiku.

“Oh.”

“Awak pula?” Adhwa bertanya apabila melihat aku hanya berdiam diri.

“Saya?” Jari telunjuk naik ke dada sendiri.
“Event Coordinator kat Creative Event. Pejabat saya tak jauh pun dari sini. Sepuluh minit drive dah sampai.”

“I know.” Adhwa menggumam tetapi butir perkataannya masih lagi dapat didengari aku.

“Sorry?”

“Erm… nothing.” Dia menggeleng lalu menyambung… “Dah lama kerja kat situ?”

“Dah dekat tujuh tahun.”

“Happy kerja di situ?”

“Kalau kita buat perkara yang kita suka, kita takkan rasa ia satu kerja tetapi passion. Jadi, ya… saya happy kerja di situ. Tambah-tambah bila dapat majikan dan rakan sekerja yang baik dan bertimbang rasa.” Aku menyatakan pendapatku.

Prinsip aku mudah. Jika mahu bahagia dan gembira, sukalah dengan apa yang kita buat atau pun buatlah apa yang kita suka asalkan ia tidak menyalahi undang-undang.

 Secara tidak langsung semuanya akan menjadi mudah dan menyeronokkan. Disebabkan itulah aku mampu bertahan bekerja di bawah Encik Yusuf di syarikat itu selama tujuh tahun.

“Awak pula?” Aku mencapai gelas yang berisi sirap limau lantas mengacau-ngacau air menggunakan penyedut minuman.

“Biasa-biasa saja.”

“Kenapa? Tak seronok ke jadi martial art coach?”

“Bukan macam itu.” Dia diam. Mukanya berkerut. Seperti sedang memikir-mikir sesuatu.

“Berat sangat ke masalah awak?”

“Masalah?” Dia pandang aku.

“Awak ada masalah ke? Muka awak…” Aku menaikkan jari telunjuk dan memutar-mutarkan hujung jari ke wajah sendiri.
Dia menggeleng. Aku rasa mungkin dia ada masalah. Mungkin masalah di tempat kerja atau masalah keluarga.

“Awak memang tinggal seorang diri kat rumah tu, kan? Kat mana keluarga awak? Ibu bapa? Adik beradik?”

Adhwa hanya tersenyum lalu menyedut minumannya.

“Girlfriend?” Tambah aku lagi.

Adhwa menggeleng dan terus melarikan pandangannya daripada bertemu denganku. Aku pula terasa macam nak menyumpah diri sendiri. Aduhai, Kaisara! Kenapa buang masa lagi? Tanya sajalah apa yang kau nak tanya!

Aku mengosong-ngosongkan rengkung sambil membetulkan duduk lalu merenung Adhwa yang berada di hadapanku dengan pandangan penuh semangat. Namun belum sempat aku menghulurkan soalan, terlebih dulu soalan diberi untukku.

“Kenapa pandang macam tu?”

“Saya sebenarnya nak tanya awak pasal…”
Tak semena-mena saja Adhwa mengangkat tangannya memberikan isyarat kepadaku. Telefon di celah poket seluarnya dicapai lantas menjawab satu panggilan telefon yang tiba-tiba masuk.

“Ya, ada apa?” Bebola mata Adhwa menari-nari di wajahku.

“Aku tahu. Jangan risau.” Adhwa mendengus.

“Ya… ya… aku tahu apa yang aku buat. Kau tak perlu ingatkan aku berulang kali.” Tambah Adhwa dengan suara yang keras. Sesekali matanya bertembung pandang denganku namun bila aku merenung dia, langsung dia melarikan pandangannya ke arah lain.

“Sara.” Adhwa menyeru namaku sebaik panggilan ditamatkan. Minuman yang masih berbaki dihabiskan. Kemudian, dia termenung sebentar. Manakala tangannya pula digenggam dan dikepal-kepal seperti sedang menahan marah. Tapi, pada siapa? Pada si pemanggil tadi?

“Ada sesuatu yang saya kena beritahu awak.”

 “Tentang apa?”

“Saya…” Adhwa berhenti setelah satu patah perkataan muncul dari celah bibirnya. Dengan jelas aku nampak halkumnya bergerak-gerak manakala tangannya dikepal-kepal lagi seolah apa yang cuba disampaikan kepadaku seperti satu perkara yang sukar sekali untuk diungkapkan.

“Sebenarnya… saya…” Dia berhenti lagi, merenung gelas di depan sejenak.
Dada aku jadi berganda debarnya. Gemirap hati aku melihatkan tingkah laku Adhwa. Sebenarnya, apa yang mahu dia sampaikan pada aku?

 “Tak ada apa-apa. Saya kena balik.” Bingkas dari duduknya, dia ke kaunter membuat bayaran meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga.

“Terima kasih sudi keluar minum dengan saya. Saya… masuk dulu,” ujar Adhwa sebaik kami tiba di hadapan pagar rumahku. Sekadar mengangguk dengan fikiran yang bercelaru, aku menghantar Adhwa dengan pandangan. Jujur aku katakan yang aku benar-benar tidak faham dengan fiilnya. Sekejap dia begitu. Sekejap dia begini. Membuatkan aku bertambah keliru.

“Sara.” Tiba-tiba saja Adhwa menegurku tatkala pagar utama sedang aku tarik. Aku berpusing. Langsung terlihat dia yang sedang berdiri di tengah-tengah jalan sambil menyeluk poket seluarnya.

“Ya?”

“Jaga diri.”

Sejurus kemudian, dia berlalu ke dalam meninggalkan aku dengan perasaan yang makin bercelaru.



***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311






No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...