Aku meneliti senarai barang di telefon. Beberapa bungkusan mi segera, makanan dalam tin dan juga sebuku roti diletakkan ke dalam bakul. Baru saja hendak memilih-milih bawang, telefon aku berbunyi.
Tertera nama Puteri di skrin.
“Put… ada apa?”
“Kau kat mana, Sara?”
“Aku tengah beli barang kat kedai runcit Pak Meor. Kenapa?”
“Ohh… patutlah aku tengok kereta kau ada kat halaman ni.”
“Eh, kau dah balik ke?” aku sedikit terkejut apabila mendengar kata-kata Puteri. Setahu aku, Puteri ke Johor Bahru kerana menghadiri seminar dan pameran pendidikan selama tiga hari.
“Baru aje sampai. Kau lama lagi ke kat kedai Pak Meor tu?” tanya Puteri lagi.
“Tak lama. Kejap lagi aku balik.”
“Sara… nak kirim barang. Tolong belikan jajan untuk aku.”
“Haih, tak habis-habis makan jajan. Mana tak gemuk!”
“Isk, yang gemuk tu badan aku bukannya badan kau. Dah la… cepat balik. Bosan la aku duduk sorang-sorang kat rumah.”
“Bosan atau takut ada hantu datang cekik kau?” aku tergelak selepas mendengar Puteri menyumpah aku dari dalam talian.
Namun, ketawa aku serta merta mati sebaik aku ternampak Adhwa si jiran psiko berdiri tidak jauh daripadaku. Dia sedang menelek telefon sebelum bercakap dengan seseorang di talian. Lama aku memerhatikan dia sehingga tanpa sedar, suara Puteri sedang meninggi-ninggi di talian.
“Sara… kau dengar tak apa aku cakap ni?!”
“Put, I call you back. Bye!”
Dengan langkah yang perlahan, aku memberanikan diri menghampiri Adhwa. Sekotak bijirin dari atas rak dicapai dan berpura-pura membeleknya. Telingaku pasang, mencuri dengar perbualannya dengan seseorang di talian.
“Aku tahu apa yang aku buat.” Adhwa menekan suara menyebabkan darah aku bergemuruh.
“Kau dengar sini. Selagi aku hidup, diorang takkan dapat mengapa-apakan…” suaranya mati apabila kotak bijirin di tanganku ini terjatuh ke lantai. Lekas-lekas aku menunduk dan mengutipnya tetapi belum sempat berbuat demikian, terlebih dulu Adhwa menyuakan kotak tersebut kepadaku. Mata kami berlaga selama beberapa detik sebelum aku kembali tersedar.
“Nah,” ujar dia tanpa sebarang perasaan.
“Thanks,” ucapku sambil menyambut kotak bijirin dari tangannya.
Tanpa bertangguh, dia berlalu dan mendekati kaunter pembayaran. Tercegat di hadapan rak, aku cuma mampu memandang dia dengan rasa terkejut yang masih lagi tersisa. Sebelum sempat dia berlalu, dia memandangku. Dan sekali lagi mata kami bertentangan selama beberapa detik membuatkan aku terkejung seperti patung.
“Kaisara!” aku tersentak sebaik terdengar laungan Pak Meor dari arah kaunter.
“Ya?”
“Dah habis pilih barang ke?”
Bakul di peganganku dipandang. Kembali bertemu pandang dengan Pak Meor, aku mengangguk perlahan.
“Sini Pak Meor bungkuskan.”
“Berapa semua ni, Pak Meor?” baru aku hendak mengeluarkan dompet, terlebih dulu Pak Meor bersuara.
“Tak payah bayar.”
“Eh, biar betul Pak Meor ni?”
“Iya. Betul la. Budak tadi dah tolong bayarkan untuk kamu.”
Kening aku bercantum sebaik mendengar kata-kata Pak Meor sebelum aku melemparkan pandangan ke luar. Adakah Pak Meor memaksudkan Adhwa?
“Dia tolong bayarkan?”
“Iya. Baik hati betul budak tu. Murah rezeki dia.” Pak Meor memberi komen sambil tersenyum-senyum.
“Berapa semua ni, Pak Meor?” aku memandang bungkusan di hadapanku.
“Tadi kan dah beritahu tak payah bayar?”
“Tak apa, Pak Meor. Kira aje. Nanti saya bayar balik kat dia.”
“Isk, tolak rezeki!” Pak Meor mengomel sambil menolak bungkusan barang kepadaku.
Pantas aku melangkah keluar dari kedai runcit Pak Meor. Kaki aku terhenti sebaik melewati kaki lima kedai setelah melihat Adhwa sedang bertenggek di atas motosikalnya sembari merenung skrin telefon. Hendak aku menegur dia, kelihatan dia sudah memulas pendikit minyak sebelum berlalu meninggalkan kepul-kepul asap di udara.
“Weh, Sara… kenapa kau tercegat kat situ?” aku terkejut disapa Puteri semasa aku ralit memerhati kelibat motosikal Adhwa yang diletakkan di halaman rumahnya. Leher aku dipanjang-panjangkan cuba memerhati ke segenap penjuru kawasan rumahnya semata-mata mahu mencari dia.
“Err… tak ada apa-apa,” aku menggeleng. Senyuman nipis dihulur kepada Puteri lantas berlalu ke dalam rumah.
Ah, peliknya aku! Kenapa dengan dia tu? Aku ada buat sesuatu yang menyinggung perasaan dia ke? Tapi, kenapa dia bayarkan semua barang-barang aku kalau benar andaian aku ni?
“Hoi, kau mengelamun apa Sara?” Puteri menepuk bahuku sehingga aku terhumban keluar daripada khayalan aku ketika kami sama-sama berada di dalam dapur. Barang-barang yang aku beli tadi masih tidak berganjak dari plastik, membuatkan Puteri berdecit.
“Tak ada apa-apa.” Aku menafikan.
“Kau ni… kut ya pun, simpan la dulu barang-barang ni.” Puteri dah mula membebel. Namun, tangannya tetap rajin meletakkan barang-barang tersebut ke tempat yang sepatutnya.
“Put… tadi aku terserempak dengan Adhwa.”
“Adhwa mana pula ni?”
“Isk, jiran psiko tu la.”
Mata Puteri membuntang.
“Macam mana kau tahu nama dia?” Puteri tergesa-gesa menarik tangan aku menghampiri kerusi di dalam dapur.
“Erm…” aku mengetap bibir. Sejujurnya, aku belum memberitahu sesiapa tentang perbualan aku bersama Adhwa tempoh hari. Dan aku tidak pernah membuka mulut kepada teman-temanku bahawa aku sudah mengetahui nama lelaki itu.
“Dia ada beritahu nama dia.”
“Serius ke ni?!” sekali lagi mata Puteri dijegilkan kat depan aku. Aku mengangguk-angguk.
Aku rasa yang Puteri sebenarnya sedang terkejut besar bila aku beritahu dia tentang Adhwa. Yalah, mana tidaknya. Hari itu aku sendiri yang beritahu bahawa aku tidak sanggup lagi untuk berdepan dengan Adhwa disebabkan sikap dia itu.
“Serius la. Tadi… aku terserempak dengan dia kat kedai Pak Meor.”
“Biar betul? Dia… ada apa-apakan kau tak?” Puteri menelek atas bawah tubuh aku.
“Tak adalah sampai macam tu…”
“Habis tu?”
“Aku rasa dia tu memang pelik la.”
“Maksud kau?”
“Entahlah, Put. Susahlah aku nak cakap. Kadang-kadang aku rasa yang dia tu sangat menyeramkan dan menakutkan. Tapi, kadang-kadang… dia tu macam baik pun ada.”
“Demam ke kau ni? Tiba-tiba aje puji dia macam ni?” Puteri menekap belakang tangannya ke dahiku.
“Kalau kau nak tahu… barang-barang yang aku beli ni dia yang tolong bayarkan.”
“Biar betul? Eh, memang sweet la dia ni!” suara Puteri termati apabila aku menjegilkan mata kepadanya.
“Okey… okey… aku melawak saja. Jadi?”
“Jadi?”
“Kau tak rasa ada perkembangan positif tentang dia? Aku rasa kau patut ambil kesempatan ini untuk selesaikan misi kau tu.”
“Misi apa?” tanyaku bodoh.
“Misi untuk menjejaki pengirim nota misteri.”
Kata-kata Puteri itu menyebabkan aku kehilangan diksi.
HARGA : RM43SM / RM47SS
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
No comments:
Post a Comment