Wednesday, 15 August 2018

9 NOTA Bab 15


Majlis doa selamat bersempena perlantikan Along sebagai Pengurus Jabatan di Gemilang iaitu syarikat tinggalan arwah ayah berlangsung meriah. Setelah doa selamat yang dikepalai oleh imam masjid berdekatan selesai, majlis diteruskan dengan jamuan makan.
Sedang kalut melayan tetamu yang hadir, terdengar namaku diseru. Kalut aku berpusing lantas bertemu mata dengan gerangan yang memanggil. Tersentak beberapa saat melihat dia berdiri di hadapanku, baru aku kembali tersedar.

“Hai, Sara,” ujar Daniel tatkala menghampiriku.

“Hai, Daniel.” Aku senyum segaris sambil memerhati parasnya yang segak dalam persalinan seperti hendak menghadiri jamuan hari raya.

“Awak baru sampai ke?” Soalku seraya meliarkan mata ke sekeliling mencari kelibat Auntie Safiya.

“Iya, baru sampai.”

“Mana Auntie Safiya?”

“Mommy tak dapat datang tapi dia kirim salam kat you,” balas Daniel.
Aku hanya mengangguk sambil menjawab salam di dalam hati.

“Kaisara… you nampak cantik hari ni. Manis dengan berbaju kurung dan bertudung. Sekali pandang, macam budak sekolah umur 16 tahun.” Tak semena-mena saja Daniel memujiku membuatkan aku menekur tubuh sendiri.

Iya, memang aku sengaja berbaju kurung dan bertudung tetapi tak sangkalah pula dia boleh memujiku sehingga begini. Tetapi, entah pujian dia itu ikhlas atau tidak. Apa yang pasti, bab budak sekolah berumur 16 tahun tu macam menipu benar.

“Terima kasih. Awak pun apa kurangnya, Daniel? Berbaju teluk belanga, samping dan songkok… sekali pandang dah macam…” Aku menggigit bibir menahan tawaku daripada berhamburan.

“Macam siapa?”

“Macam penari kebudayaan.” Aku menyengih tetapi Daniel pula sudah ketawa-ketawa.

“Pandai you buat lawak!”

“Awak baru sampai, kan? Jemputlah makan. Takkan nak tercegat kat sini sampai majlis tamat?”

“Kalau macam itu, you temankan I.”

Baru saja aku hendak membuka mulut menolak cadangannya, terlebih dulu tangan aku ditarik menuju ke meja hidangan.

 “You free tak esok?” Soal Daniel ketika nasi tomato di dalam pinggan baru saja dihabiskan.

“Tak tahu lagi. Kenapa?” Aku sememangnya tidak tahu apa rancangan aku pada hari esok tapi kalau boleh aku mahu menghabiskan masa di rumah bersama keluargaku sebelum aku kembali ke ibu kota.

“Keluar dengan I,” balasnya lebih berbunyi seperti sebuah arahan.

“Ke mana?”

“Esok jam 11 pagi I datang jemput you kat sini,” balasnya lagi tanpa menjawab soalanku.
Isk, dia ni. Aku belum pun bagi kata putusku tetapi dia pula sudah memandai-mandai membuat keputusan bagi pihak aku.

“Awak nak ajak saya pergi mana?” Sengaja aku menekankan suaraku, meminta agar dia menyatakan destinasi yang ingin dituju.

Somewhere.”

Somewhere tu kat mana? Paris? Milan? London? Atau Teluk Kemang?”
Tak semena-mena saja Daniel tergelak malah sebaik menekur wajahku selama beberapa saat, ketawanya makin menderas.

“Tak apa. Nanti you akan tahu juga.” Senyumannya meleret, bagai mengejek-ejek aku dalam diam.

Eh-eh. Geram pula aku dengan dia ni.

“Daniel, saya baru teringat. Rasa-rasanya, esok saya tak free. Ada hal yang saya kena uruskan so… mungkin lain kali?”

“Iya? Jadi bila you free?”

Dia seolah tidak pernah mengenal erti putus asa. Jika diberikan pilihan kepadaku, aku lebih rela keluar bersama Adhwa si jiran psiko yang perangainya sukar difahami berbanding keluar bersama Daniel.

 “Erm, nanti bila saya free saya beritahu awak.” Sebaik-baik jawapan aku beri mengharap agar dia tidak terasa hati denganku. Biarpun aku tidak ada hati untuk keluar bersamanya, menolak bulat-bulat ajakannya bukanlah cara terbaik untuk memberitahu apa yang aku mahu.

Tapi, bila difikir-fikirkan semula dengan jawapan aku… adakah itu tandanya yang aku sedang membuka ruang untuk dia di lain waktu? Ah, tidak!

Daniel tersenyum lebar. Sejurus kemudian, dia menancapkan pandangannya lama ke arahku menyebabkan aku menjadi kurang senang dengan perbuatannya. Lekas saja aku menekur diri sendiri. Setahu aku, pakaian aku masih lagi dalam kategori sopan. Jadi, kenapa dia memandang aku seperti aku tidak memakai apa-apa?

 “Kenapa awak pandang saya macam tu? Ada apa-apa yang tak kena ke?”

Nothing. Cuma terfikir…” Dia terjeda sebelum menyambung… “Kenapa ya takdir tidak menemukan I dengan you lebih awal?”

Aku terkebil-kebil di hadapan dia. Aku cuba menghadam baik-baik kata-katanya tetapi ia seolah tak lut di otakku menyebabkan aku terdiam dengan begitu lama. Namun, ketika aku hampir saja lagi mahu memuntahkan perkataan balas untuknya… terlebih dulu dia bangkit dan meninggalkan aku keseorangan.

Sejujurnya, aku menjadi pelik dengan dia. Apakah sebab musababnya dia memberitahu aku apa yang telah diperkatakan tadi? Adakah ada sebarang perbezaannya jika takdir menemukan aku dan dia lebih awal?

***

“Mama tengok Sara dengan Daniel macam rapat saja?” Mama bersuara. Ketika itu, aku sedang mencuci pinggan di singki selepas kami selesai makan malam.

“Rapat? Tak adalah. Biasa-biasa saja.”

“Ya ke ni?” Mama mengerling pada aku lantas membantu mengelap cawan yang telah dicuci.

 “Betullah. Kitorang biasa-biasa saja. Mana ada rapat pun. Lagi pun, dia datang sebagai tetamu kita jadi Sara layanlah dia seperti yang selayaknya.” Aku memberi jawapan yang agak panjang kepada mama semata-mata untuk menepis dakwaan mama yang pada aku tak berapa berasas. Aku dengan Daniel rapat? Kat mana agaknya yang rapat tu? Agaknya mama dah tersalah tengok kut?

“Daniel ada beritahu mama… dia nak ajak Sara keluar esok. Betul ke?”

“Hmmm… betul la tu. Memang dia ada ajak Sara keluar tapi itulah…” Aku matikan kata.

Aku sebenarnya tidak tahu bagaimana caranya mahu menerangkan keadaan sebenar. Kehilangan diksi aku dibuatnya bila hal Daniel disebut. Bagiku, lelaki ini memang bijak. Langkahnya laju dan deras. Tanpa teragak-agak, dia menggunakan mama sebagai senjatanya kerana dia tahu aku pasti akan menolak pelawaannya.
Mama ketawa-ketawa bila aku hanya termangu-mangu.

“Kenapa mama gelak?” Tanya aku separuh bodoh.

“Sara tu jual mahal sangat, kan?”

“Eh, mana ada.”

“Habis tu… orang tu dah ajak keluar. Pergilah.”

“Boleh ke?”

“Pergilah. Tak perlu minta izin mama. Sara bukannya budak-budak lagi. Dah layak jadi mak budak dah pun.”

Aduhai, jawapan mama tu betul-betul membuatkan aku berasa serba salah. Yang sebenarnya, aku memang tidak pernah bercadang untuk keluar bersama Daniel. Tetapi, cara mama itu seolah memberikan lampu hijau untuk aku agar dapat bersama lelaki itu.

“Mama tahu sejak Sara putuskan hubungan dengan Syazwan… Sara belum bersedia untuk keluar dengan sesiapa, kan?”

Tersenyum kelat aku dibuatnya. Aku tidak tahu bagaimana mahu berespon kepada mama. Tetapi, apabila memikirkan apa yang telah mama perkatakan… sedikit sebanyak aku terpaksa akui semuanya adalah benar sementelah mama juga sudah mengetahui hal sebenar yang telah terjadi di antara aku dan juga Syazwan.

“Mama suka tengok Sara dengan Daniel. Nampak secocok. Lagi pun, Daniel tu bukannya orang lain. Dah lama mama kenal keluarga dia. Mama percaya yang Daniel pasti akan jadi seorang suami yang baik untuk Sara nanti.”

“Alaa… mama tengah bercakap pasal kahwin ke ni? Sara baru saja putus cinta. Hati Sara ni pun belum sembuh lagi…” Aku menayang muka sedih sembari menepuk-nepuk dada sendiri.

“Patah tumbuh hilang berganti,” balas mama selamba.

Amboi, kemain ayat mama! Iya, memang patah tumbuh hilang berganti. Yang patah memang boleh tumbuh semula dan yang hilang pasti boleh berganti. Tetapi, yang patah itu hati dan yang nak tumbuh semula itu adalah perasaan. Patah dan tumbuh dalam masa yang singkat bukanlah semudah seperti apa yang diungkapkan.

Walaupun aku sedar yang hati aku ni tidaklah teruk sangat patahnya, aku masih rasa yang aku belum benar-benar bersedia dengan sebarang hubungan baru.

“Mama rasa Sara dah patut berumahtangga. Umur Sara pun bukannya makin muda. Tahun ni dah masuk tiga puluh tahun. Bila Sara kahwin, sekurang-kurangnya akan ada seseorang yang boleh menjaga Sara.”

“Sara boleh jaga diri sendiri, ma.”

“Takkan sama jaga diri sendiri dengan orang lain yang jaga, Sara. Lagi pun, kalau Sara kahwin… cepatlah mama timang cucu.”

“Laaa… yang sebenarnya mama beria-ia nak menimang cucu? Kenapa tak cakap awal-awal? Kalau macam itu, apa kata mama suruh Kak Lin cepat-cepat beranak. Along dengan Kak Lin tu pun dah lama bersedia nak bagi cucu kat mama.” Aku mengerling Kak Lin yang baru saja melangkah masuk ke dapur.

Kehadiran Kak Lin sedikit sebanyak berjaya menyelamatkan keadaan.

“Apa ni, Sara? Ada apa duk sebut-sebut nama Kak Lin dengan Along ni?”

“Haa… betul juga kata Sara tu, Lin. Lin dengan Hazim tak nak bagi mama cucu ke? Dah lama tau mama tunggu.”

Kak Lin kelihatan terkulat-kulat di hadapan kami. Aku terpaksa menyimpan tawaku melihatkan wajah kakak iparku itu. Sedikit sebanyak perasaan lega terjentik ke hatiku kerana sesungguhnya, hanya tuhan sajalah yang tahu apa yang sedang aku rasakan sekarang ini apabila mama menghalakan perbualan kepada Kak Lin.

“Lin bukan tak nak bagi cucu, ma. Tapi… Lin kan tengah belajar lagi. Lin takut Lin tak boleh nak bagi komitmen,” ujar Kak Lin memberi alasan. Namun, alasan Kak Lin yang sedang bertugas sebagai pensyarah dan sedang meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah membuatkan mama kelihatan sedikit kecewa.

“Hazim pun cakap benda yang sama. Dia nak Lin habiskan pengajian dulu. Dia pun nak bagi fokus pada tugas baru dia di Gemilang. Bila semuanya dah stabil, insyallah kami berdua akan bagi cucu pada mama. Mama minta saja berapa ramai cucu, kami akan beri.” Tambah kak Lin lagi dengan begitu yakin.

“Hmm… kempunan la mama macam ni, Lin. Entah sempat atau tidak mama nak tengok muka cucu mama. Silap-silap, masa tu mama dah…”

“Mama.” Cepat-cepat aku menyentuh tangan mama sambil berdecit halus. Aku sebenarnya sangat tidak suka apabila mama bercakap soal ini. Dan aku tahu apa sebenarnya yang mama mahu perkatakan tadi. Disebabkan itulah aku terpaksa mencelah sebelum air mata aku pula yang gugur.

“Janganlah cakap yang bukan-bukan, ma. Sara janji dengan mama. Bila sampai waktunya, Sara akan kahwin dan penuhi hajat mama. Sara janji.” Aku menaikkan tangan seperti berikrar di hadapan mama. Aku sekadar mahu menggembirakan hati mama sekali gus memujuknya dengan harapan agar dia termakan dengan pujukan aku.

“Betul Sara akan penuhi hajat mama?”

“Iya.”

“Kalau macam itu… esok Sara keluar dengan Daniel ya?”

Sebaik mama menyudahkan kata-katanya, wajahku semerta terasa panas berbahang. Aduh, mati aku!


p.s Hai awak! Terima kasih membaca 9 NOTA. Untuk mengikuti sambungannya, boleh dapatkan novel 9 NOTA yang terbit pada Oktober 2018.

Ready stock. 
Harga RM43sm / RM47ss

Whatsapp 017-5080311 untuk tempahan. Jualan ONLINE saja dan tidak masuk ke mana-mana kedai buku.

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...