Saturday, 11 August 2018

9 NOTA Bab 11

Filem Mohabbatein yang sedang bersiaran menyebabkan aku terleka. Tetapi, kelekaan aku berakhir apabila aku terdengar bunyi enjin motosikal di luar. Aku bingkas dan meluru ke pintu gelangsar, mengintai kelibat Adhwa yang baru saja pulang.

Dari jauh, aku nampak dia menanggalkan helmet dan sarung tangannya. Tidak lama kemudian, dia menghampiri pagar rumah dan mencapai plastik yang disangkutkan ke situ. Seketika, dibeleknya plastik di tangan sebelum memandang ke rumah sewaku.

Kelam kabut aku menyelindungkan diri di sebalik langsir. Dengan detakan di dada yang kian hebat, aku mengetap bibir menghalau rasa takut yang menyerangku.
Aku kembali menyelak langsir, mengintai dia di luar sana. Kelihatan, dia masih di situ sedang memerhatikan bekas kuih bersama not-not merah dan biru berserta syiling yang dibalut di dalam sehelai kertas.

Sebenarnya, itu adalah pemberianku. Aku cuma mahu memulangkan duit dia. Kebetulan, aku ada buat tauhu sumbat dan karipap petang ini jadi aku menyedekahkan saja kepadanya bersama duit miliknya.

Sedang mengintai, terlihat kereta Syazwan berhenti betul-betul di depan pagar rumah aku. Syazwan keluar dari kereta setelah membunyikan hon dua kali. Aku menarik pintu utama dan menggubit Syazwan.
Pagar rumah segera ditolak lantas menjemput Syazwan masuk. Sempat lagi aku melirikkan mata kepada Adhwa dan aku lihat dia hanya terkejung di depan pagar rumahnya tanpa mempedulikan aku.

“Siapa tu?” aju Syazwan sejurus menyedari yang aku sedang memandang ke arah sana.

“Jiran.”

“Sejak bila ada orang duduk kat situ? Bukan rumah tu kosong ke?”

“Hmm… beberapa minggu sudah dia berpindah masuk ke situ,” jawabku berterus terang.

Aku kembali memandang ke sana setelah Adhwa menghilang. Pintu rumahnya bertutup rapat seperti biasa menyebabkan aku tergeleng.

“Dahlah… jom masuk.” Pelawaanku membuatkan Syazwan menahanku.

 “You seorang?”

“Iya, seorang. Kenapa?”

“You tak takut kena tangkap basah ke? Kalau pegawai jabatan agama datang cekup kita… tak pasal-pasal kahwin free.”

“Bukan you suka ke kalau kahwin free?”

“You nak ke?”

Aku tergelak, disambut oleh Syazwan. Isk, dia ni. Ada patut fikir sampai ke situ? Hesy, minta simpang!

Setelah itu, kami sama-sama bergerak ke arah bangku kayu di luar rumah. Jika ada orang lain di dalam rumah sekali pun, aku takkan sesekali mengajak Syazwan masuk. Tak manis dilihat orang!

“Nah… I dah siapkan karipap sardin dengan tauhu sumbat favourite you.” Aku meletakkan pinggan berisi hidangan minum petang ke atas meja.

“Thanks, sayang. You memang tahu apa yang I suka. Ini yang membuatkan I sayang you sangat-sangat.”

Brummm! Brummm!

Tiba-tiba terdengar bunyi pendikit minyak dipulas-pulas bersama enjin yang sedang mengaum. Aku menoleh. Terlihat Adhwa sedang membetul-betulkan duduknya di atas motosikal. Kening aku bertaut menahan rasa pelik. Manakan tidak kerana baru sepuluh minit yang lepas dia pulang ke rumah. Mahu ke mana agaknya dia ni? Kerja? Tapi… kerja apa hari cuti begini? Ah, banyak sekali persoalan yang timbul di benakku.

Adhwa menghalakan motosikalnya melewati pagar rumahnya. Sempat lagi dia menoleh kepadaku dan dapat aku rasakan yang matanya tepat-tepat jatuh ke wajahku biarpun kepalanya ditutupi helmet. Sesaat, kelibatnya langsung menghilang dari pandangan.

“Siapa nama jiran baru you tu?” Soal Syazwan sejurus menyicip kopi dari cawan.

“Adhwa.”

“Apa nama penuh dia?”

“Entah. I cuma tahu nama dia Adhwa.”

“Dia kerja apa dan di mana tempat kerjanya?”

“I tak tahu. I tak sempat nak bertanya.”

“Dia tinggal seorang diri atau ada housemate?”

“Rasa-rasanya dia tinggal seorang sebab I tak pernah nampak sesiapa keluar masuk rumah tu selain dia.”

“Dia berasal dari mana?”

“Isk, Syazwan. Manalah I tahu. You ni pun… soalan mengalahkan polis.”

Syazwan ketawa. Aku tahu dia sengaja menanyaku dengan pelbagai soalan untuk mengusikku. Tetapi, walaupun begitu… melalui cara dia bertanya cukup untuk membuktikan bahawa yang dia sebenarnya sedang cemburu.

“I saja testing you. Manalah tahu, dalam diam-diam you dengan dia…”

“Hee… you jangan serkap jarang ya! I dengan dia cuma berjiran. Lagi pun dia tu…” aku mengetap bibir. Ah, perlu ke aku memberitahu Syazwan tentang sikap Adhwa yang memeningkan kepala aku?

“Kenapa?”

“Nothing.” Aku terjeda sebelum menyambung… “Syazwan, I terlupa nak tanya… bila you nak jumpa mama?” Aku memandang Syazwan. Perihal mengenai kami lekas-lekas aku suarakan sementara aku teringat. Lagi pun, sudah berkali-kali mama bertanya aku tentang Syazwan malah aku sendiri sudah hilang punca untuk memberikan sebarang alasan lagi kepada mama.

“Nantilah. Minggu ni I sibuk. Minggu depan I kena fly ke Miri tiga hari. Lepas balik dari Miri, I kena outstation ke Manila pula.”

“You betul-betul nak kahwin dengan I ke?”

“Mestilah betul-betul, sayang. Cincin kat jari you tu… apa maknanya kalau I tak serius nak kahwin dengan you?”

“Habis tu, carilah masa untuk berjumpa dengan mama. Lepas tu boleh berbincang hal kita dengan keluarga you pula.”

“Iya, I tahu sayang. Tapi, bagi I masa. I kena selesaikan kerja-kerja I dulu. I janji lepas selesai semua kerja I, kita selesaikan urusan kita.” Syazwan cuba memujukku. Hatiku yang sedikit mendidih tadi kembali menyejuk sebaik melihat senyuman dia.

“Okey, I pegang janji you. Tapi, kalau mama reject you nanti… pandai-pandailah you cari jalan untuk ambil hati dia.” Aku sengaja menggertak Syazwan.

Jika aku tidak bertindak begini, aku yakin dia pasti akan terus melengah-lengahkan masa untuk berjumpa mama. Aku bukan apa. Aku risau kalau-kalau mama menukar fikiran dan memilih Daniel untuk menjadi calon menantu dia.

“You nak karipap sardin lagi tak? I ada goreng lebih.” Aku merenung Syazwan yang seperti tenggelam dalam lamunan setelah aku menggertak dia tadi.

“Erm, boleh juga.” Pinggan yang telah kosong ditolak kepadaku. Pantas aku bangkit dan beredar meninggalkan dia.

Aku berharap agar dia dapat mempertimbangkan apa yang telah kami bualkan tadi. Aku berharap supaya dia tidak membuang terlalu banyak masa dan aku juga berharap agar dia menunaikan janjinya untuk bertemu dengan mama dalam masa terdekat.





***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311



No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...