Friday, 3 August 2018

9 NOTA Bab 3


Burr!

Air yang baru aku teguk dari botol mineral tersembur keluar dari mulut. Laju tangan naik mengesat mulut sambil mata mengerling pada Khai yang tiba-tiba saja muncul.

“Ya Allah… bagi salam boleh tak Khairil Azwan?” geram, aku menyebut nama penuh Khai rakan sekerjaku yang kaki kepoh dan paling banyak mulut di pejabat.
Khai tergelak. Kotak tisu dihulur kepadaku sebelum berlalu ke peti sejuk dan mengeluarkan satu tin soda.

“Aku tegur penuh hemah tapi kau tu buat pekak aje. Dah kena sergah, tahu pula nak marah!” Khai duduk di sisiku di dalam pantri ketika hanya ada aku dan dia saja di situ.

“Kenapa dengan kau ni, Sara? Ada masalah ke? Klien buat hal?”

“Tak ada apa-apalah.”

“Membohong ajelah! Tengok muka kau yang dah serupa tenuk ni pun aku dah tahu. Kau gaduh dengan pakwe, kan?” Khai menyinggung bahu aku dengan menayang muka kepoh-chi.

Isk, ada ke situ pula si Khai ni. Muka aku yang sesempurna kejadian ini disamakan dengan tenuk pula. Sahih buta dia ni!

“Mana ada.”

“Kalau gaduh dengan pakwe bukan, bermasalah dengan klien pun bukan… jadi, apa masalahnya sampai muka kau dah bertukar sama macam cencorot ni?”
Aduhai dia ni. Melampau tau. Tadi dia kata muka aku macam tenuk, sekarang dah bertukar jadi cencorot pula. Karang tak pasal-pasal aku bertukar rupa jadi naga baru dia tahu!

“Tak ada apa-apalah, Khai. Jangan menyibuk boleh tak? Kau ni tak ada kerja ke?”

“Alaa… aku bukan menyibuk. Aku cuma ambil berat. Tak salahkan kalau aku ambil berat tentang kau sebagai kawan?” Khai tergelak-gelak.
Sedang aku menahan perasaan dengan gelagat Khai, telefonku tiba-tiba berbunyi nyaring. Terlihat nama Syazwan tertera di skrin. Sempat aku mengerling Khai di sebelah. Dia sudah menjongket-jongket kening dan memanjang-manjangkan leher mengintai skrin telefon aku.

“Siapa tu? Pakwe ke?”

Aku memutar-mutarkan mata di hadapan Khai sebelum bangun dan menjawab panggilan Syazwan sambil bergerak menghampiri meja kerja.

“Hello,” dengan bibirku yang diketap, aku merenung komputer di hadapanku dengan pelbagai rasa.

“Hai, sayang. Lambatnya you jawab call I? You busy ke?”
 “Erm, tak sangat. Ada apa?”
“Tengah hari ni I jemput you kat pejabat. I nak bawa you pergi lunch.”
“Tengah hari ni?” aku menelek jam di pergelangan tanganku. Waktu makan tengah hari cuma tinggal kira-kira satu jam dari sekarang.

“Okey, boleh. Nanti you dah sampai kat bawah, you call I.” balas aku.
Okay, see you. Love you!

Sebaik panggilan ditamatkan, aku merenung skrin telefon dengan pelbagai rasa. Aduhai, kenapa dengan aku ni? Kenapa aku mula berfikir yang bukan-bukan tentang Syazwan? Adakah kerana aku termakan dengan hasutan-hasutan syaitan?

Seperti yang dijanjikan, aku dan Syazwan keluar makan tengah hari bersama. Kami cuma singgah di sebuah restoran makanan barat yang terletak tidak jauh dari pejabat aku. Sebaik makanan tiba, aku hanya mampu merenung tampang Syazwan yang kacak dengan kemeja biru bersama tali lehernya.

Gaya dia memotong daging steak membuatkan aku terpaku pada dia. Malah, cara dia menyuap makanan ke mulut sehingga dia mengunyah makanan juga turut menjadi perhatian aku. Kemudian, suapannya terhenti sebaik telefonnya berbunyi. Aku dengar dia berbual dengan salah seorang rakan kerjanya membincangkan hal ehwal pejabat.
Sedikit bosan menanti perbualan Syazwan di talian berakhir, aku menarik gelas dan memain-mainkan penyedut minuman sambil termenung jauh.

“You okey ke?” suara garau milik Syazwan yang menyapa gegendang telingaku membuatkan aku tersentak. Entah ke mana saja fikiran aku melayang tadi. Aku mengangkat muka lantas memandang Syazwan yang sedang merenung aku.

“Hmm?”

“I tanya… you okey ke?”

“Err… okey… okey…” aku menyengih dan menayang gigi padanya.

“Betul ke ni?”

“Iya. Betul.” Aku cuba meyakinkan dia dengan bersungguh-sungguh. Tetapi, entahlah… sejak aku menerima nota misteri, hatiku mula tidak sedap.

“Bila you nak fly ke Perth?” lekas-lekas aku mencari topik lain untuk dibualkan dengan Syazwan, sebelum dia dapat menghidu apa sebenarnya yang berada di fikiran aku sejak tadi.

“Lusa. Kenapa? You takut you akan rindukan I ke?” bibir Syazwan mengherot sehingga aku berdecit.

“Tak kuasa!”

Syazwan gelak.

“Ya ke ni? You jangan tipu I, Sara. Kat depan I, you cakap lain. Nanti, bila I dah jauh… lain pula jadinya.”

 “Serius, memang tak kuasa I nak rindu-rindu kat you. Anyway, berapa lama you outstation kali ni?”

“Bergantung pada kerja I juga. Mungkin… paling cepat I kat sana dalam seminggu. Paling lama mungkin sebulan.”

“Sebulan? Lamanya. You ni betul-betul outstation atau pergi tempat lain?” tak semena-mena saja soalan sebegitu terlantun keluar dari mulut aku.

Syazwan ketawa-ketawa.

Outstation la, sayang. You ingat I pergi mana?”

Nothing. I’m just asking.” Aku tayang muka bersahaja di depan dia.

“I nak pergi Perth ni. You nak kirim apa-apa tak?”
Aku menggeleng.

“Betul ni? Tak nak kirim handbag? Perfume? Make-up? Atau pun mat salih mata biru?” gurau Syazwan membuka tawaran.

Aku menjeling. Isk, ada pula nak suruh aku kirim mat salih mata biru. Melampau!

“Hello… you dengar tak ni?”

Tak pasal-pasal aku terdengar Syazwan memanggil-manggil sambil jari jemari dipetik-petik di depan mata aku ketika fikiran aku menerawang beberapa ketika.

Sorry, you cakap apa?”

“Kat mana you sorok telinga you, Sara?”

Aku menyentuh telinga tanpa sengaja. Ketika itu juga aku ternampak yang bibir Syazwan sudah menyenget.

 “I sebut aje pasal mat salih mata biru… terus you berangan!”
Sorry… I sebenarnya…” kata-kataku termati dengan sendiri.

“Sara… you ada masalah ke? Sejak tadi lagi I perasan yang you diam aje. You asyik termenung. Sepatah I tanya, sepatah juga yang you jawab. Makanan kat depan tu pun tak bersentuh. Kenapa, Sara? You tak sihat ke?”

Aku menggeleng. Sememangnya tubuh aku tidak sakit cumanya jiwa aku yang sedikit tertekan dan Syazwan tidak perlu tahu hal itu.

“Kalau bukan… kenapa?”

Nothing. I okey. Mungkin I penat sikit kut.” Aku memberikan alasan biarpun alasan tersebut kedengaran tidak begitu meyakinkan.

“You tipu I, kan Sara?”

“Mana ada,” aku melarikan anak mataku daripada berlaga dengan mata Syazwan.
Come on, Sara. I kenal you, sayang. You memang tak pandai berbohong. Now,tell me. What is going on?

Aku menggeleng, masih lagi tidak berganjak daripada pendirianku untuk tidak bercerita atau bertanya apa-apa pada Syazwan.

“Sara… please. You tahu I sayangkan you, kan? Just tell me. Jangan buat I macam ni.” gesa Syazwan.

“Kadang-kadang I rasa I ni macam tak berguna. I rasa yang I ni tak boleh buat apa-apa untuk tolong you,” tambah Syazwan lagi sehingga aku pula yang terasa seperti hendak menangis.

Aku tahu Syazwan memang lelaki yang baik. Dia seorang yang mengambil berat terhadap aku. Cumanya, aku merasakan bahawa apa yang sedang berlaku di dalam hidupku tidak sepatutnya diceritakan kepada dia.

“Sebenarnya…” aku ketap bibir.

Sekarang ni, aku mula tercampak ke satu persimpangan. Di hadapanku, cuma ada dua jalan. Satu jalan ke kiri dan satu lagi jalan menuju ke kanan. Jalan ke kanan, aku perlu berterus terang tentang apa yang sedang berlegar-legar di fikiranku. Manakala jalan ke kiri pula, aku perlu mengekalkan pendirianku untuk merahsiakan segala hal yang berkaitan dengan nota misteri daripada pengetahuan Syazwan.

“Syazwan… kalaulah tiba-tiba satu hari nanti I tinggalkan you… apa yang you akan buat?” akhirnya aku pilih jalan tengah iaitu jalan untuk menduga hati Syazwan.

“Sara… I tahu you takkan tinggalkan I, kan?” Syazwan ketawa-ketawa tetapi bunyi sumbang tawanya menyebabkan aku dapat mengesan bahawa ketawanya itu cumalah untuk menyedapkan hati sendiri.

“Sara… kenapa ni? Kenapa tiba-tiba saja you cakap macam ni? I ada buat salah kat you ke?”
Aku menggeleng.

“Dah tu… you ada orang lain?” tegas suaranya menyentakkan sedikit perasaanku.

No, just answer my question.”

“Kaisara Hakim… pandang mata I. Cakap dengan I. I ada buat salah apa dengan you?” hampir saja lagi tangan aku ditarik oleh Syazwan, terlebih dulu aku mengelak.

“You tak ada buat apa-apa salah pun dengan I.”

“Habis tu… kenapa? You ada orang lain?” nada Syazwan sedikit meninggi.

“I tak ada sesiapa selain daripada you. I cuma bertanya. Itu saja.” Aku gelak palsu di depan dia.

“You cuma bertanya? Soalan jenis apa yang you tanya ni, Sara? Kalau tak ada angin, pokok pun takkan bergoyang, kan?”

Ya, betul kata Syazwan. Kalau tak ada angin, pokok takkan bergoyang. Angin itu, nota misteri dan pokok itu hati dan perasaan aku. Jika bukan kerana nota itu muncul dalam hidup aku, hati dan perasaan aku pasti tak akan bergejolak sebegini hebat sehingga timbulnya bibit-bibit pergaduhan di antara aku dan Syazwan.

Astaghfirullahalzim, kenapa dengan aku ni? Mana hilangnya rasional aku? Kenapa aku membiarkan emosi menguasai aku?

Syazwan, I’m sorry. I minta maaf kalau soalan I tu buat you marah. I tak bermaksud apa-apa. I cuma…” aku menggigit bibir.

Actually, semalam I tengok satu cerita. Heroin cerita tu terpaksa tinggalkan hero dia tanpa alasan munasabah. Dan hero dia…”

“Bunuh diri? Macam itu?” pintas Syazwan.

No. Actually…” belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, sekali lagi Syazwan memintas.

“You cuba menyamakan hubungan kita dengan hubungan watak dalam cerita yang you tengok?”

“Bukan macam itu, Syazwan. I tak maksudkan…”

“Sara, jangan samakan kita dengan mana-mana watak dalam mana-mana cerita. Itu fiksyen. Kisah dongeng. Kita ni berada di dunia realiti. Dan untuk pengetahuan you… I takkan sesekali buat perkara-perkara bodoh kalau apa-apa terjadi pada hubungan kita. Lagi pun, I tak rasa yang I akan tinggalkan you malah I akan pastikan yang you pun takkan tinggalkan I.”

“I minta maaf. I tahu I tak sepatutnya tanya benda bukan-bukan kat you. Well, macam yang you cakap… it’s fiction. Mana nak sama fiksyen dan realiti, kan?” aku menayang muka bersahaja di hadapan Syazwan untuk menghalau rasa aneh yang bertapak di hatiku.
Lagi pun, aku tidak mahu semakin banyak aku bercakap semakin banyak perkara-perkara yang tidak terjangka yang keluar dari mulutku. Aku tidak tahu macam mana idea tentang hero dan heroin kisah fiksyen itu boleh muncul di dalam fikiranku sedangkan aku tidak menonton apa-apa cerita pun malam tadi.

That’s my woman. Lain kali, jangan menakutkan I dengan soalan-soalan macam itu.” Syazwan terjeda lalu menyambung… “You kena ingat satu perkara, Sara. I sayangkan you. Jangan buat macam ni lagi. Tolong jangan bercakap tentang perpisahan sebab I tak mampu nak hadap sebuah perpisahan tambah-tambah dengan you. I rasa yang I tak mampu nak berpisah dengan you pun.”

Serta merta hatiku terasa bagai dihentak sesuatu setelah Syazwan menyudahkan kata-katanya. Benarkah dengan apa yang baru saja aku dengar? Benarkah Syazwan terlalu menyayangi aku sehingga tidak mampu untuk berpisah denganku? Jadi, adakah kemungkinan untuk dia mengkhianati aku itu langsung tak ada?


***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311



No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...