Sunday, 5 August 2018

9 NOTA Bab 5


Dari kejauhan lagi sudah kelihatan rumah keluargaku. Kereta yang ku pandu dihala masuk ke halaman sebaik saja pengawal keselamatan yang menjaga kawasan rumah keluargaku membukakan pintu pagar. Lalu, kereta dihentikan betul-betul di belakang kereta mama.

 “Ada apa mama suruh Sara balik?” baru saja keluar dari kereta, dulu-dulu aku mengajukan soalan itu kepada mama yang sedang menanti aku di muka pintu.

“Amboi, tak sempat nak peluk cium mama dulu… terus tanya soalan macam tu?” mama memerli aku bersama pakej jelingan nipis kat aku. Aku tersengih-sengih macam kerang busuk di depan mama. Tangan mama aku tarik dan aku kucup lama. Kemudian, tubuh mama pula aku rapatkan dengan tubuhku sebelum kedua-dua pipi mama aku cium bertalu-talu.

“Rindunya dekat mama,” aku menggumam di sebelah telinga mama membuatkan bahu aku terasa ditepuk-tepuk berulang kali.

“Tahu pun rindu. Ingatkan dah tak ingat jalan nak balik ke rumah ni,” sekali lagi mama memerli aku membuatkan aku tergelak. Aduhai, kena setepek kat batang hidung!

 “Mama masak apa hari ni?”

“Tengok tu…balik-balik soalan pasal makan juga yang ditanya. Bukannya dia nak tanya keadaan mama.” Muncung mama sudah sedepa, sedikit merajuk dengan aku. Aku gelak. Alahai, tengok muka mama ni rasa macam comel pula.

“Tak tanya pun… Sara tahu mama sihat, kan? Tengok tu ha… muka berseri-seri kemain lagi. Agaknya memang betul la tekaan Sara. Mama beria-ia suruh Sara balik ke sini hari ni sebab nak beritahu ada orang nak masuk meminang mama, kan?”

“Isk, budak ni! Ke situ pula!” tak pasal-pasal pinggang aku dicubit mama.

“Laa… tak betul ke? Dah tu, kenapa mama suruh balik?”

“Dah la… cerita panjang-panjang kat sini pun tak guna juga. Apa kata Sara naik atas, letak barang dulu… lepas tu turun bawah. Kita makan tengah hari sama-sama. Mama dah siap masak dah pun.” Arah mama sambil menarik bahu aku.

“Nanti Sara bersiap cantik-cantik sikit,” ujar mama ketika kami berdua sama-sama sedang menikmati hidangan tengah hari.

Ketika ini, hanya kami berdua di situ. Dua orang adik kembarku iaitu Joey dan Hana telah lama keluar. Kata mama, mereka berdua keluar mencari barang keperluan untuk kerja kursus di kolej.

“Kenapa, ma? Mama nak ajak Sara keluar pergi mana?”

“Sekejap lagi ada tetamu nak datang.”

Aku terkebil-kebil di depan mama. Isk, pelik ni. Tetamu manalah pula? Sebab ini ke mama suruh aku balik?

“Siapa yang nak datang?”

“Adalah. Nanti Sara tahulah.” Mama tersenyum. Lirikan mata mama tu membuatkan aku syak mama seperti sedang menyembunyikan sesuatu.

“Isk, mama ni buat saspen ajelah. Jangan cakap bakal mak mertua Sara pula yang nak datang.” Aku sengaja menyerkap jarang.

“Pandai Sara teka.”

Uhuk! Tersedak aku dek nasi yang baru mencecah mulut. Aku pandang mama dengan riak separuh gelisah.

“Maaa… jangan bergurau, please.” Aku rasa masa ni muka aku dah pucat lesi. Aku risau kalau-kalau kata-kata mama tu bukan suatu gurauan.

“Mama bergurau aje.” Mama ketawa-ketawa. Aku menarik nafas kelegaan. Ya Allah, sakit jantung aku dibuatnya. Macam-macamlah mama ni.

“Habis tu… siapa yang nak datang?”

 “Calon suami Sara.”

Gulp!

***

 Handsome,” ujar Joey sepatah lalu bertenggek  di kabinet dapur bersebelahan dengan aku. Ketika itu aku sedang sibuk membancuh air untuk dihidangkan kepada tetamu yang baru sampai. Aku mengangkat muka merenung dia. Joey hanya tersengih-sengih sambil mengunyah buah jambu.

Siapa yang handsome?” keningku naik sebelah. Pelik juga aku dengan budak ni. Masuk-masuk ke dapur saja terus  cakap macam tu. Kut la dia nak puji aku, takkan dia dah tak pandai nak bezakan jantina aku kut?

“Alahai, buat-buat tanya la pula. Itulah… yang tengah duk berborak dengan mama kat depan tu…” terjuih-juih bibir Joey, mengisyaratkan tentang tetamu yang berkunjung ke sini.

“Hmm…” balasku acuh tak acuh. Air kopi yang sudah siap dibancuh aku kacau-kacau sehingga sudu berlaga-laga dengan dinding teko. Siap mengacau kopi, aku meletakkan teko ke atas dulang lalu aku susun kuih muih yang sempat mama siapkan tadi ke dalam pinggan.

“Aik, kenapa Kak Sara? Lain macam aje muka tu? Tak suka ke Joey puji calon suami Kak Sara? Atau pun Kak Sara tak suka dapat calon suami kemain handsome macam tu?” soalan Joey tu memang meminta untuk dicubit rasanya.

“Joey dah solat Zohor ke belum ni?” akhirnya aku menyergah Joey dengan soalan yang aku kira dia sendiri tidak mampu mengelak untuk dijawab.

Joey tergaru-garu belakang kepala. Sengihan lebar tertayang di depan aku.

“Belum solat Zohor, kan? Tercegat apa lagi kat sini? Pergi solat. Waktu pun dah nak habis.” Tegurku dengan suara yang tegas.

“Yalah… yalah…” akhirnya Joey akur lantas menghilang dari dapur.

Aku menatang dulang berisi hidangan minum petang. Di separuh jalan, sempat lagi aku berselisih jalan dengan Hana yang baru hendak masuk ke dapur.

“Kak Sara…”

“Apa, Hana?”

Handsome.” Puji Hana sambil mengenyit-ngenyitkan matanya pada aku. Sempat dia menayang ibu jari sebelum ketawa-ketawa.

Aduhai, ini seorang lagi. Tak habis-habis duk puji orang tu. Macamlah hanya perkataan itu saja yang wujud kat dunia ni.

“Isk, macam-macamlah!”

Dulang di tangan aku terus bawa ke ruang tamu. Sewaktu Daniel Ilham, lelaki yang diperkenalkan kepada aku sebagai kenalan lama keluarga kami tiba ke sini sudah pun menghampiri jam empat petang. Jadi, mama memintaku menyediakan hidangan minum petang buatnya yang cuma datang bersendirian ke sini.

Aku hanya senyum segaris sewaktu pandangan aku dan dia berlaga. Orangnya segak. Berkulit cerah. Tinggi lampai. Berwajah campuran. Pendek kata serba serbi sempurna. Tidak hairanlah kedua-dua orang adikku asyik memuji lelaki ini sejak tadi. Namun, bagiku… tidak ada apa-apa yang boleh aku katakan tentang dia kerana aku baru saja berjumpa dengan dia beberapa minit yang lalu. Jadi, untuk menilai dirinya lebih-lebih… aku tidak berani.

Dulang tadi aku letak perlahan-lahan ke atas meja kopi. Cawan yang dipenuhi kopi panas, aku hulur kepada mama dan juga kepada dia. Kemudian, pinggan kuih serta piring kosong aku letak satu per satu ke atas meja.

“Dah berbual ni… lupa pula auntie nak tanya khabar mommy. Macam mana keadaan dia sekarang?”

“Mommy sihat, alhamdulillah. Cuma itulah, mommy sekarang ni sibuk dengan urusan syarikat arwah daddy. Lepas daddy tak ada, mommy la yang ambil alih semuanya. Lagi pun, bukan senang nak jaga syarikat tu. Auntie tahulah kan latar belakang mommy sebelum ni?”

“Iya… auntie tahu. Yalah, bukan senang nak uruskan syarikat besar tu. Tak apalah, apa yang penting… amanah arwah daddy Daniel tu.” mama tersenyum manakala Daniel pula mengangguk-angguk sambil menghirup kopi panas.

Penthouse Daniel apa cerita? Dah siap renovate ke?”

“Dah siap. Minggu lepas lagi Daniel dah pindah masuk ke sana dengan mommy. Tapi, mommy tinggal sementara saja kat sana. Mungkin sampai banglo baru mommy tu siap sepenuhnya.”

Aku yang sedari tadi memasang telinga mendengar perbualan di antara mama dan Daniel mula terasa tidak selesa. Perbualan-perbualan yang menjurus ke arah harta kekayaan milik lelaki ini menyebabkan rasa menyampah mula bertapak di hati.

 “Auntie, Daniel minta diri sekejap. Ada barang yang tertinggal kat dalam kereta.” Tiba-tiba saja Daniel bersuara sekali gus membuatkan aku mendongak wajah. Sempat lagi pandangan kami berdua bertaut sebelum Daniel menghilang dari pandangan.

“Ma, family dia buat business apa? Macam kaya sangat bunyinya.” Lancar aku mengajukan pertanyaan kepada mama.

“Macam-macam. Kenapa tanya? Sara dah mula berminat dengan Daniel ke?” mama jongket kening dan mengulum senyuman.

“Ada ke situ pula mama ni. Sara tanya aje.”

Minat? Agaknya mama dah tersalah faham dengan niat aku. Aku sekadar bertanya kerana terasa sedikit musykil dengan apa yang baru aku dengar sebentar tadi. Malah, aku rasa soalan aku tu tak ada kaitan dengan perasaan aku terhadap dia. Lagi pun, aku dengan dia baru saja kenal. Tak sampai satu jam pun jadi kata-kata mama itu aku anggap sekadar mahu mengusik aku.

“Kalau dah bertanya tu maknanya berminat la, kan?”

Mama menayang senyuman tetapi aku cepat-cepat mencebik. Ada-ada sajalah mama ni!
Aku kembali menegakkan tubuh sebaik melihat Daniel muncul semula bersama dua beg kertas berwarna biru dan merah serta satu lagi beg yang sedikit kecil saiznya yang berwarna merah jambu.

“Auntie, ini ada buah tangan untuk auntie. Yang biru ni, hadiah daripada mommy. Yang merah ni pula daripada Daniel.”

“Buat susah-susah sajalah Daniel ni.”

“Eh, mana ada susah pun. Oh, yang ini untuk Kaisara…” tak semena-mena saja Daniel menghulurkan beg kertas merah jambu kepadaku lantas membuatkan aku terkejung di depan dia.

“Kenapa pandang I macam tu? Tak sudi ke terima hadiah ni daripada I?” Daniel bersuara sekaligus membuatkan aku terpaksa menyambut beg kertas daripadanya.

“Terima kasih. Tapi, hadiah ni untuk apa?” dengan nada bodoh aku bertanya.

“Sebagai tanda perkenalan,” selamba Daniel menuturkannya di hadapan mama. Di hujung bibirnya, terserlah segaris senyuman.

Aku menjeling beg kertas di tangan. Sebuah kotak berbalut cantik serta beriben sedang terdampar di situ. Aku angkat wajah memandang mama. Dapat aku lihat senyuman yang tersungging di bibir mama.

 “Hari tu Daniel ada bagi tahu auntie yang banglo lama milik keluarga Daniel kat Port Dickson tu nak dijual. Dah ada pembeli ke?” mama membuka topik baru sekali gus mengalihkan perhatian Daniel daripadaku.

“Belum lagi, auntie. Mungkin banglo tu tak jadi dijual.”

“Kenapa? Ada apa-apa yang tak kena ke?”

“Banglo tu ada banyak kenangan dan nilai sentimentalnya pada Daniel. Rasa sayang untuk lepaskan banglo tu. Mungkin, memang tak akan dijual sebab Daniel fikir nak renovate banglo tu. Maklum la, dah lama tinggalkan kosong tak berpenghuni. Banyak lalang dan semak samun yang dah meliar kat sekitar kawasan banglo tu.”

“Oh, ya ke? Selama ni, memang tak ada orang yang jaga banglo tu ke?”

“Ada. Tapi sejak setahun yang lepas, tukang jaga banglo tu meninggal dunia. Jadi, tak ada sesiapa yang boleh tengok-tengokkan banglo tu. Sebab itu Daniel balik ke sini… fikirkan apa yang terbaik untuk dibuat dengan banglo lama tu.”

Aku yang mendengar butir-butir percakapan di antara mama dan Daniel hanya mampu bereaksi seperti patung.

“Jadi, Daniel balik ke Malaysia semata-mata pasal banglo tu?”

“Bukan pasal banglo tu semata-mata, auntie. Ada urusan lain yang Daniel perlu selesaikan.” Daniel mematikan kata-katanya seketika lalu melarikan bebola matanya ke arah aku.

“Mommy minta tolong Daniel untuk uruskan sesuatu. Jadi, Daniel yang uruskan hal itu sekarang,” sambungnya.

“Syukurlah Safiya ada anak macam Daniel. Kadang-kadang kan… auntie rasa yang takdir ni memang sesuatu yang ajaib.”

“Maksud auntie?”

“Eh, tak ada apa-apalah. Auntie rasa seronok bila dengar mommy Daniel dah balik menetap di sini. Lepas ni, bolehlah auntie meluangkan masa dengan dia. Manalah tahu kut ada rezeki kami boleh berbesan pula. Boleh mengeratkan silaturrahim, kan?” mama ketawa disusuli oleh Daniel. Sempat lagi Daniel mencuri pandang padaku yang umpama robot di tengah-tengah mereka.

“Jemputlah makan. Saya masuk dulu.” Aku bangkit dan cuba memberi laluan kepada mama untuk berbual dengan Daniel. Aku yakin ada banyak perkara yang mereka mahu bualkan dan aku rasa yang aku tidak perlu ikut campur. Lagi pun, aku kurang selesa berada di sini bersama Daniel tambah-tambah setelah mendengar kisah-kisah keluarganya serta harta kekayaan yang dimilikinya.

Namun, di separuh jalan namaku lekas diseru oleh dia.

“Tak nak duduk berbual sekali, Kaisara?”

“Err… tak apalah. Ada kerja sikit yang nak dibuat kat dapur.” Aku cuma mampu menayang senyuman nipis kepadanya.

“Kerja apa yang ada di dapur tu, Sara?”

Aku menelan liur. Aduh, rosak rancangan aku. Mama langsung tidak terbeli dengan alasan yang sengaja aku cipta.

“Sara nak kemas dapur. Lagi pun, Kak Tini cuti seminggu, kan?” kalut otak aku mencari alasan yang lain. Kebetulan pula, Kak Tini pembantu rumah kami sedang bercuti. Kira halal la aku guna nama dia untuk menyelamatkan diri.

“Dapur tu tak ke mana, Sara. Petang nanti pun boleh kemas. Duduklah dulu dengan tetamu kita ni. Tak baik buat tetamu macam ni,” ujar mama membidas perbuatan aku dengan cara paling halus sehingga aku terkulat-kulat di depan mereka berdua.
Senyum kambing ditayang. Liur ditelan. Nafas ditarik lalu dihembus pendek-pendek. Wajah mama dan Daniel silih berganti aku pandang.

“O… key…” sudahnya, aku balas dengan hati yang bergejolak.




***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311


No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...