Apa yang I nak beritahu pada Sara?
Ayat di dalam mesej yang diterima oleh Puteri sebentar tadi aku tenung berulang kali. Tanpa perasaan, aku menyerahkan semula telefon Puteri kepadanya lantas ke bilik. Selang lima minit kemudian, aku kembali ke ruang tamu dengan berpakaian kemas.
“Sara, kau nak ke mana?” Aku dengar suara Puteri seperti cemas. Puteri lekas-lekas mendekatiku. Tanganku ditarik. Aku senyum segaris. Senyum yang bagiku tak berapa nak ikhlas.
“Aku nak pergi jamin Syazwan.”
“Hah? Kau biar betul?!” Mata Puteri membuntang.
“Betullah. Kau nak ikut tak?”
“Aku… ikut.” Balas Puteri teragak-agak.
Aku dengan Puteri melangkah masuk ke balai polis. Waktu ketika itu sudah mencecah jam 11.30 malam. Sebaik melihat muka Syazwan di depan mata setelah aku menjaminnya, aku terus keluar dari balai polis. Kereta aku yang diparkir tidak jauh dari situ terus aku bolosi lantas duduk termangu di kerusi pemandu.
“Sara.” Syazwan menegur aku usai dia duduk di sebelahku. Aku cuma diam. Mencari nafas yang hilang entah ke mana. Aku tidak langsung memandangnya. Apa yang aku buat cumalah merenung stereng kereta di depan mata dengan perasaan yang berkecamuk.
“Sayang, I minta maaf.”
“Macam mana boleh kena tangkap?” aju aku dengan suara yang mendatar sesudah sekelumit semangat aku kumpul dalam hati.
“I… minta maaf, Sara. I tak tahu macam mana boleh jadi macam ni. I tak berniat pun nak…”
“Tak apalah. Benda dah jadi, kan?” Aku lekas-lekas memotong percakapannya. Entah kenapa, aku tak rasa marah pun sekarang ni. Cumanya aku rasa terkilan dengan apa yang sudah berlaku. Aku terkilan kerana dia sanggup buat kerja terkutuk di belakang aku di saat urusan aku bersama dia untuk berjumpa mama belum pun selesai. Rasa marah aku untuk dia entah ke mana. Apa yang ada di dalam kepala aku sekarang ini hanyalah satu benda. Iaitu nota!
“I hantar you balik.” Sudahnya aku buat keputusan selepas aku menerima mesej daripada Puteri. Katanya dia balik menaiki teksi kerana mahu memberikan ruang untuk aku dan Syazwan berbincang.
Sesampai saja di bawah bangunan kondominium tempat tinggal Syazwan, aku memberhentikan kereta. Aku merenung jauh-jauh ke depan. Kepala aku masa ni betul-betul blank. Manakala Syazwan di sebelah aku tak sudah-sudah meminta maaf.
“Lepas ni, kita bawa haluan masing-masing.” Akhirnya aku meluahkan juga apa yang terbuku di hati aku. Setelah membuat perkiraan di dalam kepala, aku memberanikan diri memberitahu Syazwan akan keputusanku.
“Tapi, Sara…”
Aku menggeleng, menahan dia daripada meneruskan kata-katanya.
“You kena bertanggungjawab atas perbuatan you.”
“Sara, tolonglah jangan buat I macam ni. I sayang you. You pun sayangkan I, kan?”
“Betul ke you sayangkan I?” Aku memintas sekali gus membuatkan Syazwan seperti tercengang.
“I sayangkan you, Sara. I tak pernah tipu pasal perasaan I.”
“Sayang dan cinta saja tak cukup, Syazwan. Apa yang you dah buat… betul-betul dah hilangkan rasa percaya I dekat you.”
“Sara, please. Let me explain. Apa yang jadi bukan seperti apa yang you fikir.”
“Then, what?” aku bertanya tetapi nada aku masih lagi mendatar. Aku tidak tahu kenapa aku tak boleh nak marah dia. Aku rasa aku tak mampu pun nak marah dia walaupun perkara ni dah berlaku.
“I tak salah. You tak boleh buat I macam ni, Sara. You tak boleh putuskan hubungan kita.” Syazwan merayu dan cuba mempertahankan diri tetapi aku menggeleng. Aku sudah buat keputusan setelah berfikir masak-masak. Aku tidak boleh meneruskan hubungan aku dan dia. Sesungguhnya, rasa percaya yang ada buat dia telah ranap sama sekali sebaik aku keluar dari balai polis tadi.
“Tak akan ada I dan you lagi lepas ni. Kita berdua kena teruskan hidup masing-masing.” Ayat aku bunyinya seperti syahdu tetapi aku masih tetap tak terasa mahu meraung atau menangis. Hubungan di antara aku dan Syazwan yang sudah terjalin sedang aku tamatkan dengan penuh nekad.
“Sara, I janji yang I akan…”
“Nah,” belum sempat Syazwan mahu menyudahkan kata-katanya, aku terus menghulurkan cincin lamaran yang diberi kepada aku tempoh hari.
“Ambil,” sambungku sekali gus menggesa dia menyambut cincin tersebut dari tangan aku.
Syazwan terdiam. Air matanya bertakung di kolam mata. Aku tak tahu sama ada air mata dia itu benar-benar air mata tanda penyesalan atau sekadar mahu meraih simpati aku. Tapi apa yang pasti, aku takkan menyarungkan semula cincin lamaran ini ke jari manisku.
“Ambil cincin ni, Syazwan. I dah nak balik.” Aku bagi isyarat agar dia segera menyambut cincin dan keluar dari keretaku. Aku bukan menghalau tetapi aku meminta dengan cara paling baik pada dia.
Lagi pun, dah lewat malam. Aku tidak mahu mendengar apa-apa pun yang keluar dari mulut dia sekali gus mengganggu emosi aku. Cukup saja aku sudah nekad membuat keputusan.
Lagi pun, aku sudah menerima dengan reda segala yang berlaku. Syazwan telah ditangkap khalwat bersama perempuan lain di bilik hotel. Itu sudah cukup untuk membuktikan yang dia sudah mengkhianati cinta kami. Perkara itu juga menyedarkan aku bahawa dia sebenarnya tidak pernah serius dengan aku. Dia tidak pernah sayangkan aku serta hubungan kami. Jadi, untuk apa aku terus berada di sini bersama-sama dengannya?
“Esok I kerja. I kena ke pejabat awal pagi. Please, Syazwan.” Tambah aku sehingga membuatkan Syazwan tiada pilihan. Bila pintu kereta aku ditutup, aku segera menekan pedal minyak. Sekilas aku menjeling cermin pandang belakang dan aku lihat yang dia hanya tercegat memandang kereta aku berlalu pergi.
“Sara… macam mana?” Soalan itu aku dapat ketika aku tiba ke rumah satu jam kemudian. Puteri dan Krisya menyerbu aku setelah aku melabuhkan duduk di ruang tamu. Wajah seorang demi seorang aku pandang sebelum mengangkat bahu.
“Beb, apa cerita? Kau dengan Syazwan macam mana?” Puteri menepuk-nepuk bahu aku. Wajahnya penuh dengan tanda tanya. Mungkin dia tidak sabar-sabar mahu mengetahui perkembangan drama antara aku dan Syazwan.
“Selesai,” jawab aku acuh tak acuh. Aku capai bantal kecil di sofa dan memeluknya sambil menghalakan mata ke skrin televisyen.
“Selesai? Apa maksud kau?” Suara Puteri bertanya serupa mak cik kepoh. Begitu juga dengan Krisya yang tak pasal-pasal menghimpit aku di sebelah kiri.
“Korang ni dah kenapa? Duduk jauh-jauh sikit boleh tak? Aku nak tengok tv ni.” Lengan Krisya dan Puteri aku tepis-tepis. Rimas juga bila dua manusia ini menghimpit aku begini.
“Weh, Sara! Kau cakaplah betul-betul apa yang dah jadi?”
“Aku dengan dia dah tak ada apa-apa,” jawab aku selamba dengan mata yang tetap lurus ke depan.
“Biar betul kau ni?” Krisya seperti tidak percaya dengan kata-kataku.
Aku mengangguk.
“Serius kau dengan dia dah putus? Beb, takkan tak ada cara lain kut?”
“Put, dia baru kena tangkap basah kat bilik hotel dengan perempuan lain. Kau rasa aku boleh ke teruskan hubungan dengan orang yang dah khianati aku?”
“Eh, gilalah! Sampainya hati dia buat kau macam ni. Baru aje beberapa minggu sudah dia lamar kau. Aku masih ingat lagi bila dia beritahu pasal plan nak lamar kau kat kitorang. Aku macam tak percaya!” Krisya menepuk-nepuk pipi sendiri sambil membebel.
“Entahlah… manusia boleh berubah, kan?”
“Kau okey ke?” Puteri kelihatan risau.
“Okey.” Aku tayang senyuman nipis.
“Are you sure, Sara? Betul ke kau okey? Kau tak sedih ke?” Krisya menyampuk membuatkan aku menoleh padanya dengan kedua-dua belah kening yang terangkat.
“Sedih? Perlu ke aku bersedih?”
“Takkan sikit pun kau tak rasa apa-apa? Syazwan buat hal dengan perempuan lain tapi kau boleh relaks tengok tv kat sini. Kau ni tak ada perasaan ke apa?” Krisya menaikkan suaranya seoktaf membuatkan aku tergeleng. Aku yang dikhianati, dia pula beremosi.
“Perlu ke aku bersedih untuk orang yang dah khianati aku? Perlu ke aku buang air mata untuk orang yang tak sayang aku? Tak berbaloi langsung. Air mata aku ni mahal tau. Lebih mahal daripada cincin berlian yang dia bagi masa dia melamar aku hari tu. Lagi pun, aku rasa bersyukur. Bersyukur sangat-sangat sebab benda ni terjadi sebelum aku kahwin dengan dia. Jadi, perkataan sedih tu memang tak patut wujud.” Aku memberitahu apa yang ada di hatiku.
“Korang jangan risau. Aku okey. Aku takkan bazirkan masa untuk meratap dan meraung. Ada banyak lagi kerja yang aku boleh buat. Aku naik dululah. Esok nak ke pejabat awal pagi.” Aku bangkit tetapi menghentikan langkahku kemudiannya di anak tangga seraya berpaling memandang Puteri.
“Oh, Put… thanks tau sebab bagi aku baca mesej dia tadi. Aku hargai sangat-sangat.” Aku senyum dan Puteri pula terkebil-kebil saja memandang aku.
Mungkin bagi mereka berdua, aku seolah seperti manusia yang tidak berperasaan tetapi hakikatnya, aku terlalu letih memikirkan segala hal yang sudah berlaku sehingga menyebabkan aku tak pandai nak menayang sebarang perasaan ketika ini.
Aku rasa aku hanya perlu tidur dan merehatkan otak aku. Badan aku juga memerlukan rehat. Aku mesti cas tenaga aku untuk memulakan hari baru beberapa jam dari sekarang.
“Aku tidur dulu. Goodnight!”
***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
No comments:
Post a Comment