Tuesday, 14 August 2018

9 NOTA Bab 14


“Kau dengan jiran psiko tu ada apa-apa ke?” Soal Puteri ketika kami sama-sama sedang menjamu selera di sebuah restoran makanan Jepun.

“Siapa? Adhwa?”

“Habis tu, siapa lagi jiran kita yang psiko?” Puteri menyengetkan bibir lalu disambut oleh tawa Gina di sebelahnya.

“Merepeklah kau ni. Aku mana ada apa-apa dengan dia.” Aku menggelengkan kepala beberapa kali cuba menafikan.

“Ya ke ni? Macam tak percayalah. Mata aku ni tak pandai menipu tau. Dah banyak kali aku ternampak Adhwa asyik pandang kau tambah-tambah sejak kau jadi single balik.”

“Sejak dulu lagi memang perangai dia macam tu, kan? Macamlah kau tak tahu!”
Aku tercebik-cebik. Jika disebut soal itu, jangankan Puteri. Aku punya mata pun memang tak menipu. Memang lelaki itu suka pandang aku seperti ada sesuatu. Tapi, apa yang aku boleh buat? Suka hati dialah. Mata dia, kan?

Lagi pun… aku dengan Adhwa sudah lama tidak bertegur sapa. Jadi, di mana logiknya aku dengan dia punya sebarang hubungan?

Anyway, bila Krisya dengan Mifzal nak kahwin?” Lekas-lekas aku menukar topik. Mengenangkan Krisya tidak ada bersama kami, sengaja aku membangkitkan perihal dia.

“Entah. Mungkin hujung tahun ni. Itu pun kalau berjodoh. Kalau tidak… kita semua makan nasi minyak kau dulu, Sara!” Gina ketawa-ketawa mengenakan aku.

Menjeling sebal aku dibuatnya bila kedua-dua temanku itu ketawa galak. Ah, bencilah!

“Korang kena ingat, aku ni dah jadi single balik. Macam mana aku nak kahwin kalau boyfriend pun tak ada?” Sengaja aku buat ayat sedih. Kut la mereka berdua terlupa yang aku baru saja memutuskan hubungan dengan Syazwan. Jadi, dengan siapa aku nak kahwin kalau tak ada mana-mana lelaki yang boleh dijadikan suami?

Lagi pun, sejak memutuskan hubungan dengan Syazwan… aku lebih banyak menghabiskan masa dengan kerja. Tiada masa aku nak pergi cari pengganti atau memikirkan soal jodoh.

“Kau ajaklah Adhwa si jiran psiko bercinta dengan kau!” ujar Puteri lalu ketawa terkekeh-kekeh.

“Gila!”

“Kalau kau tak nak kat Adhwa, kau cari ajelah mana-mana lelaki yang sesuai. Lagi pun, tak jadi satu masalah pada kau nak cari mana-mana lelaki, kan? Apa ada hal? Satu pergi sepuluh mari.” Gina menokok, membuatkan aku mencebik bibir kepadanya.
Banyaklah dia punya satu pergi sepuluh mari. Dia fikir hati aku ni macam Touch n Go agaknya?

“Betul tu… betul. Mana-mana lelaki yang tengok kau pun mesti akan cair punya. Kau kan ala-ala Miss Universe!”

“Korang perli aku ek?”

“Kitorang cakap benda yang betullah. Kau dah lupa ke macam mana kisah kau dengan Syazwan bermula? Lepas dua minggu kau putus dengan Farid, kan? So… kau nak tunggu apa lagi? Dah lebih sebulan kau putus dengan Syazwan. Carilah boyfriend baru. Cari pengganti. Kut kitorang boleh makan nasi minyak kau. Kan, Puteri?” Gina mengenyit-ngenyitkan mata kepada Puteri sambil menahan ketawa.

Aku terdiam mengenangkan kata-kata Gina. Aku tidak menafikan yang aku senang move on daripada kisah cinta yang lepas-lepas. Kerana, aku suka memberikan peluang kepada diri sendiri untuk bahagia. Buat apa mahu menangis untuk perkara yang sia-sia? Lagi pun, hidup ini terlalu singkat. Aku mahu menikmati setiap detik dengan sebaik-baiknya sebelum dipanggil pulang oleh sang pencipta.

“Kalau aku bercinta lagi, korang rasa aku akan terima satu lagi nota misteri tak?” Terluah juga akhirnya persoalan yang membelenggu aku sejak sekian lama.

Urm, no comment.” Puteri menjawab.

“Mungkin. Itu pun kalau pengirim nota tu masih hidup!” Gina tersengih-sengih sebelum disinggung Puteri.

“Aku bukan apa, beb. Aku cuma curious. Korang ingat tak apa yang pernah terjadi dulu? Masa aku dengan Farid, aku terima nota. Dua minggu kemudian dia ditangkap polis sebab kes dadah. Kemudian, tak lama selepas aku terima nota kesembilan… Syazwan pula ditangkap khalwat dengan perempuan lain. Bukan itu saja. Dengan bekas-bekas kekasih aku yang lain pun macam tu. Tak lama selepas aku terima nota misteri mesti diorang akan buat hal. Jadi, korang rasa apa yang pengirim nota tu cuba sampaikan kepada aku? Dia nak apa daripada aku? Apa motif dia?”

“Mungkin dia cuma nak protect kau.”

 “Daripada apa dan siapa?” Aku membulatkan mata setelah mendengar kata-kata Gina.
Dia mahu melindungi aku daripada apa? Aku ni bukan siapa-siapa. Tidak ramai yang tahu latar belakang keluargaku kecuali orang-orang terdekat. Manalah tahu semua ini ada kaitan dengan keluarga aku tetapi jauh di dasar hatiku merasakan bahawa itu sesuatu yang mustahil.

“Daripada lelaki-lelaki tak guna!” Balas Gina semula sebelum aku tersentak.

“Maknanya, berdasarkan teori kau… dia sebenarnya sedang memerhatikan aku?”

Yep. Exactly. Dari dulu lagi memang dia skodeng kau, Sara. Takkan itu pun kau tak boleh fikir?” Gina memandan tepat ke mataku manakala Puteri pula hanya bersilang tangan sambil bersandar ke kerusi.

Benarkah telahan Gina itu? Maknanya, selama ini memang ada seseorang yang sedang memerhatikan aku? Tetapi, di mana dia?

Kalut aku mengitari mata ke sekitar restoran tetapi tidak ada seorang pun yang kelihatan mencurigakan kecuali…

Chopstik di tanganku hampir saja lagi terlepas sebaik aku ternampak kelibat seseorang di pintu masuk ke restoran. Sebaik mata kami berlaga, dia laju melencongkan langkah menghampiri aku.

“Hai, Kaisara.” Daniel Ilham menegurku. Seorang wanita berusia setengah abad tetapi masih anggun berada di sisinya.

“Hai, Daniel.” Teragak-agak aku menjawab sapaannya.

“You sihat?”

“Sihat,” jawabku sepatah. Aku mengerling ke arah wanita di sisinya.
Tanpa teragak-agak, wanita itu menghulurkan tangan kepadaku.

“Ini mommy I.” Aku menyambut huluran tangan wanita tersebut sebelum tubuhku tenggelam ke dalam pelukannya tanpa dijangka.

“Kaisara… anak Raihana?” aju Puan Sri Safiya sesudah meleraikan pelukan.

“Iya. Puan Sri Safiya, kan?”

“Isk, apa pula Puan Sri. Panggil saja Auntie Safiya.” Auntie Safiya menepuk-nepuk tanganku yang berada di dalam genggamannya bersama senyuman lebar sebelum menyambung… 

“Maafkan auntie. Mungkin Sara tak ingat tentang auntie. Tapi, kalau Sara nak tahu… masa Sara kecil-kecil dulu… auntie pernah ke rumah keluarga Sara. Daniel ni… Sara tak ingat ke? Dia kan pernah main masak-masak dengan Sara dulu?” Mendengarkan kata-katanya, aku terasa seperti hendak meledakkan tawa tetapi aku terpaksa menahan diri kerana tidak mahu memalukan sesiapa.

“Mommy, apa ni?” Daniel di sisi Auntie Safiya hanya terkulat-kulat menahan segan. Aku rasa yang dia benar-benar terasa malu apabila kisah lama-lama diceritakan di hadapanku dan teman-temanku.

“Alaa… nak malu apanya? Mommy saja nak imbas memori lama. Sara… auntie rasa gembira sangat bila dapat berjumpa dengan Sara hari ni. Mujurlah auntie ke sini. Kalau tidak, sampai ke sudah auntie tak berkesempatan berjumpa dengan kamu. Daniel ni pun bukannya reti nak ajak Sara datang ke rumah. Asyik sibuk memanjang.”

“Bukan Daniel yang sibuk, mommy. Tapi, Kaisara. Macam mana Daniel nak ajak dia ke rumah kita?” Daniel mencelah membuatkan kening aku terangkat.

“Betul ke, Sara?”

“Hmm… ya… ya… memang Sara sibuk sejak kebelakangan ni. Lagi pun, dah dekat hujung tahun kan?” Aku ketawa palsu sambil melirikkan mata kepada Daniel.

Jika diikutkan hatiku ini, mahu saja aku mencucuk biji mata si Daniel. Memandai-mandai sajala buat cerita pada hal dia sendiri tidak pernah mengajak aku ke rumah keluarganya.

“Auntie dengan Daniel cuma berdua aje ke?” Aku menyoal sekadar mahu berbasa basi.

“Iya, cuma berdua. I saja ajak mommy dating kat sini. Nak spend time dengan mommy sementara mommy tak sibuk. You tahulah kan, mommy I ni macam mana. Busy woman!” Daniel tersengih mengenakan Auntie Safiya semula.

“Sara dengan kawan-kawan dah lama kat sini?” Auntie Safiya menghalakan mata kepada Puteri dan Gina sebelum memandang aku.

“Dah lama, auntie. Kitorang dah nak habis makan pun.”

“Jom, duduk sekali dengan auntie lepas ni.”

“Tak apalah, auntie. Mungkin lain kali. Sara tak nak ganggu auntie dengan Daniel. Lagi pun, lepas ni Sara dah ada plan dengan kawan-kawan.” Aku mengerling Puteri dan Gina untuk meminta sokongan tetapi masing-masing buat tak reti saja.

Aduhai, cari nahas namanya kalau aku menerima pelawaan Auntie Safiya. Tak pasal-pasal aku terpaksa menadah telinga mendengar cerita-cerita daripada Daniel yang tak membantu aku mengembangkan minda. Malah, aku tidak sanggup untuk mendengar usikan-usikan yang bakal diledakkan oleh Puteri dan Gina sekiranya hal itu terjadi.

“Beb, siapa mamat handsome tu?” Puteri bertanya sejurus saja Daniel dan Auntie Safiya berlalu.

“Anak kepada kawan mama aku,” jawabku acuh tak acuh.

“Kenapa kau tak pernah cerita yang kau ada kenalan handsome macam tu?” Sekali lagi Puteri ajukan soalan.

“Tak kuasalah aku nak announce kat satu dunia pasal dia. Lagi pun, bukan dia seorang yang handsome kat dalam dunia ni.” Tercebik-cebik aku dibuatnya.

Kalau sebab itulah aku perlu cakap pada Puteri akan kewujudan Daniel di dalam hidupku, memang dia silap.

“Sejak tadi lagi aku nampak kau dengan dia asyik bermain mata. Berani kan korang berdua main mata di depan mak dia? Entah-entah… kau dengan dia ada apa-apa tak?”

 “Hesy, kau mengarut apa ni Puteri? Tak kuasa aku!”

“Eee… jangan nak propa Sara. Mata aku ni tak menipu tau!”

“Suka hati kaulah nak cakap apa pun, Put.”

“Eee… serius ke kau ni, Sara? Macam tak percaya! Kau tak rasa apa-apa kat dia ke? Mamat tu sikit punya handsome. Dahlah handsome, anak Puan Sri lagi. Rugi!”

 “Put, handsome dan cantik ni satu perkara yang subjektif tau. Tak semestinya kat mata kau dia nampak handsome, kat mata aku pun akan nampak benda yang sama. Lagi pun, muka handsome tak menjanjikan apa-apa. Bila dah tua nanti, berkedut juga.”

“Haih, rugi betul! Kau sepatutnya ambil peluang ni untuk curi hati dia. Lelaki macam itu, cuma ada satu dalam sejuta. Kau tak patut lepaskan dia macam itu saja tau!”
Tercebik aku mendengarkan hujah-hujah Puteri. Ada-ada sajalah dia ni.

“Sebenarnya, kan…” Aku mengetap bibir sambil berkira-kira sama ada mahu membocorkan rahsia yang selama ini aku simpan kemas-kemas daripada pengetahuan sesiapa atau pun tidak.

“Sebenarnya apa? Sebenarnya kau dah lama jatuh cinta dengan Daniel tu?” Celah Gina yang sedari tadi hanya menyepikan diri.

“Isk, bukan macam itulah. Yang sebenarnya… okey, kalau aku cerita hal ni kat korang, janji jangan gelak.”

“Janji!” Kedua-dua Puteri dan Gina berkata serentak.

“Sebenarnya, Daniel tu calon suami pilihan mama aku. Tapi, aku tolak sebab masa tu aku masih bercinta dengan Syazwan.”

Then?” soal Gina.

Nothing.” Aku menggeleng.

“Kau tolak Daniel sebab masa tu kau masih dengan Syazwan. Tapi, sekarang ni kau dah tak ada sesiapa. Mama kau tahu tak pasal hal ni?”

Sekali lagi aku menggeleng. Runsing aku memikirkan hal ini sebenarnya. Mama sudah berkali-kali menelefon aku bertanyakan aku tentang Syazwan dan berkali-kali juga aku berdalih. Sebenarnya, aku tiada keberanian untuk memberitahu mama tentang segala yang telah berlaku di antara kami.

Aku malu. Kerana aku terlalu beria-ia bercerita pada mama tentang kebaikan Syazwan. Tetapi, setelah terjadi semua ini… aku tidak tahu apa yang mama akan fikirkan nanti.

 Just tell her the truth. Aku rasa mesti mama kau akan faham. Lagi pun, ada chance la mama kau nak berbesan dengan Puan Sri tu… kan? Bila kau kahwin dengan Daniel tu nanti… mesti bahagia hidup. Ada anak-anak nanti mesti comel, kan Gina?” Puteri tersengih-sengih membuatkan aku menggerutu geram dengan dia.

Hesy, tak kuasalah aku nak kahwin dengan si Daniel tu. Apatah lagi cuba membayangkan yang aku dengan dia ada anak-anak bersama. Oh, tak logik sungguh!

Tapi… di antara hal Daniel dan hal Syazwan… aku lebih risaukan hal Syazwan. Perlukah aku berterus terang saja kepada mama tentang apa yang sudah terjadi di antara aku dan Syazwan?



***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311




No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...