Memandangkan gerai Abang John itu tidakah terlalu jauh, maka Puteri dengan berbesar hati mengajak aku berjalan kaki sedangkan waktu itu aku sudah siap mencapai kunci kereta. Katanya, dia nak bersenam sikit. Gara-gara lemak yang terlebih kat badan, dia menjadikan aku mangsa keadaan!
“Sunyi aje gerai Abang John ni. Mana pergi semua orang?” Puteri mengomel ketika kami sama-sama tiba ke situ. Ketika itu jarum jam belum mencecah angka sembilan malam. Agaknya, ramai yang belum dapat gaji… sebab itu sunyi sepi saja gerai ini.
Aku duduk di atas bangku manakala Puteri tercegat di depan papan menu.
“Hah, Puteri… nak order apa?”
“Burger cheese dua, teh ais dua. Makan kat sini eh.”
“Haaa… beres. Duduk dulu. Nanti Abang John hantar ke meja.”
Puteri duduk di depanku setelah itu.
“Sara…” tiba-tiba saja dia mencuit-cuit lenganku ketika aku sedang menelek telefon.
“Ada apa, Put?”
“Tuuuu…” bibir Puteri termuncung-muncung menghala ke belakang aku. Pelik sungguh aku melihat tingkah dia.
“Kenapa?”
“Mamat psiko,” ujar Puteri tanpa suara.
Semerta jantung aku seperti berhenti berdegup. Tekak aku pula terasa mengering secara tiba-tiba. Manakala darah di dalam tubuh aku pula terasa seperti sedang disedut-sedut keluar membuatkan aku terkaku seolah baru saja dijampi.
Aku mengetap bibir menahan rasa. Melihatkan wajah Puteri yang seolah-olah mahu menakut-nakutkan aku membuatkan aku terasa seperti hendak mencubit-cubit saja pipinya.
Sebaik ternampak kelibat jiran psiko melewati meja kami, aku berpura-pura memandan ke arah lain. Tidak ada sedikit pun keberanian untuk aku bertemu mata denganya.
“Weh, macam mana dia boleh ada kat sini? Dia ikut kita ke apa?” Puteri berbisik sambil menoleh pada dia yang sedang berdiri di hadapan papan menu.
“Manalah aku tahu.”
Setelah itu, terlihat jiran psiko menghampiri sebuah meja kosong tidak jauh dari meja kami. Dengan rasa berani yang sekelumit, aku mencuri-curi pandang ke arahnya tetapi sebaik menyedari yang dia sedang merenung aku… cepat-cepat aku melarikan wajah. Malah, aku sengaja mengalihkan kerusi agar kedudukanku membelakangkannya.
“Sara… dia pandang kau la…” Puteri mencuit aku.
“Ya, aku tahu. Biarlah. Kau tu… jangan pandang dia. Kau pandang tempat lain, Put!” aku memberi arahan dengan bibir yang mengetap kuat menahan rasa bimbang.
“Sara… aku tengok mata dia tak lekang daripada pandang kau. Kau rasa… apa dia tengah fikir?”
“Eee… Puteri. Kau jangan macam-macam boleh tak? Kan aku dah cakap… jangan pandang dia? Kau ni kan… memang nak kena, kan?” hampir lagi aku meledakkan suara kepada Puteri, ketawanya mencuri masuk ke gegendang telinga aku.
“Kau ni, Put… nak aje aku cekik-cekik kau! Sudahlah sekejap lagi kita berdua balik jalan kaki. Ini semua salah kau tau! Aku ajak naik kereta, tak mahu. Kalau apa-apa jadi masa kita nak balik nanti… semua salah kau tau!” suara aku bergetar-getar memberi amaran kepada Puteri. Bila aku teringat semula pada kejadian pemberian nasi lemak sambal sotong tempoh hari, bulu roma aku kembali merinding.
“Eh, apa pula salah aku?”
Pap!
Belum sempat aku membalas apa-apa, dua pinggan berisi pesanan kami tadi diletakkan di atas meja oleh pembantu Abang John bersama dengan dua gelas air.
“Dah-dah… cepat makan, Put. Jangan nak banyak cekadak lagi.”
“Yalah-yalah.”
Selesai makan, kami berdua ke kaunter untuk membayar harga makanan. Ketika menghulurkan not RM50 kepada Abang John, Puteri memesan supaya memasukkan sekali bil jiran psiko ke dalam bil kami.
“Weh, Put!” aku menggoncang-goncangkan lengan Puteri dengan mata yang terbeliak.
“Apa?”
“Kenapa kau bayarkan bil dia sekali?”
“Aku rasa macam nak buat amal jariah sikit. Tak salah, kan? Rezeki sama-sama dikongsi. Bukan ke di dalam setiap rezeki kita adanya rezeki orang lain?” balasnya bersahaja sambil menyambut baki duit daripada Abang John.
“Hah, betul tu… Sara. Apa yang Puteri cakap tu ada betulnya. Kita ni… kalau ada rezeki lebih… tak boleh kedekut. Rezeki sama dikongsi, bala pandai-pandailah selesai sendiri.” Abang John gelak disambut oleh Puteri tetapi aku pula tidak terasa hendak ketawa sama. Ah, macam-macamlah diorang ni.
Melewati meja jiran psiko, aku memeluk lengan Puteri seerat-eratnya tanpa memandang dia yang sedang makan. Tetapi, ekor mataku seolah dapat mengesan yang matanya dihalakan kepadaku.
Lekas-lekas aku mengheret Puteri dan berlalu keluar dari kawasan itu. Apa yang aku tahu, aku cuma mahu cepat sampai ke rumah. Aku tidak mahu kami diekori oleh lelaki itu. Otak aku masih tak sudah mengulang-ulang bayangan tukul yang pernah dipegang oleh lelaki itu dan aku tak mampu menghalang imej-imej ngeri bermain-main di minda aku.
Ya Allah, selamatkanlah kami!
***
Aku pulang ke rumah sedikit awal berbanding biasa. Kerja-kerja di pejabat dan hal ehwal yang bersangkut paut dengan klien serta acara yang aku kendalikan telah selesai. Aku menghalakan keretaku ke lorong masuk ke kawasan perumahan. Ketika itu, kawasan sekitar kelihatan agak sepi memandangkan ramai lagi yang masih belum pulang dari kerja.
Cuma sesekali terlihat kelibat beberapa orang anak jiran yang berlegar-legar di taman permainan berdekatan.
Brek tangan ditarik lalu aku meloloskan diri dari kereta. Mangga yang sedang bergayut di pagar rumah ditanggalkan lalu pintu pagar dikuak selebar-lebar alam untuk memudahkan aku meletakkan kereta di halaman.
Aku berpusing. Namun, langkah aku terhenti mendadak sekali gus menyebabkan jantung aku seakan gagal untuk berfungsi.
Sedetik.
Dua detik.
Lima detik.
Perlahan-lahan aku melepaskan nafas. Mata aku terperosok jauh ke anak matanya, merenung dia yang juga sedang merenung aku. Kami saling bertatapan. Agak lama sehingga aku dapat merasakan waktu seakan berdetik dengan tersangat perlahan.
Otak aku pula terasa seolah gagal berfungsi seperti biasa menyebabkan aku terkejung terus menerus di situ.
Namun, tatkala terasa segalanya kembali seperti normal… aku berdehem perlahan. Jiran psiko yang sedang berdiri di hadapan dalam jarak kira-kira tiga langkah dariku dipandang semahu-mahunya.
Sejujurnya, aku tidak pernah menjangka yang dia akan berdiri di sini apatah lagi aku tidak mendengar sebarang bunyi ketika membuka pintu pagar tadi. Tiada bunyi, tiada angin. Tiada terdengar derap kaki mahupun bunyi orang bernafas. Kehadirannya ibarat seperti hantu. Tiba-tiba saja ada!
Degup jantung yang bertukar ritma, aku cuba kawal. Wajah dia aku amati baik-baik. Seperti biasa, wajah dia seolah tidak berperasaan. Kemudian, mata aku dilarikan pula ke arah tangannya. Bimbang kiranya dia datang bersama dengan tukul untuk mencederakan aku tetapi apa yang aku bayangkan itu langsung tidak sama dengan hakikat sebenar.
“Nah,” ujar dia sepatah tanpa senyuman. Dia menyuakan bekas mangkuk tingkat yang aku berikan kepadanya tempoh hari.
“Err…” aku hilang kosa kata sebaik bekas mangkuk tingkat itu aku sambut.
“Terima kasih,” sekali lagi dia bersuara.
“Ke… kenapa pulangkan?” gagap, aku menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Renungan dia itu menyebabkan dada aku menyempit secara tiba-tiba.
“Terima kasih juga untuk burger hari tu…” tambah dia lagi sekali gus membuatkan aku teringat pada kejadian di kedai burger beberapa hari sudah. Belum sempat aku membalas, terlebih dulu dia berpusing dan berjalan pulang menuju ke rumahnya.
“Awak… nanti dulu!”
Jiran psiko berhenti tanpa berpaling kepadaku. Aku pula memandang kiri dan kanan lantas mendekatinya.
“Awak…” tegurku sejurus saja aku berdiri di hadapannya. Entah dari mana datangnya keberanian ini, aku sendiri tidak tahu.
“Hmm?” dia jongketkan kening kirinya. Matanya lurus merenung aku.
“Awak… apa nama awak?”
“Kenapa?” soalan dia itu tak semena-mena saja menyebabkan hati aku meradang. Eh… eh… dia boleh tanya kenapa pula. Salah ke kalau aku tanya nama dia? Sudah berminggu-minggu aku berjiran dengannya tetapi sampai hari ini aku masih tidak tahu apa namanya. Jadi, wajarlah aku bertanya soalan seperti itu kepadanya.
“Saja. Tak ada apa-apa sebab yang spesifik. Lagi pun, kita berjiran. Kan?”
Dia cuma diam tetapi matanya tetap membuat kerja. Masih setia merenung aku seperti hendak menelan aku hidup-hidup. Alahai, aku salah cakap ke?
“Saya Kaisara. Boleh panggil Sara.” ujar aku memecahkan kesunyian di antara kami.
Namun, tangan yang aku sua tidak bersambut menyebabkan aku terasa mahu mengundurkan diri.
“Tak apalah. Saya masuk dulu.”
“Adhwa.” Baru melangkah setapak, terdengar dia bersuara.
“Hmm?” kening aku bercantum bersama mata yang dihala kepada dia semula.
“Adhwa.” Ulang dia tetapi dengan suara yang sedikit ditekankan.
Aku mengangguk lantas tersenyum segaris.
“Adhwa… nice name. Awak…” belum sempat aku menghabiskan ayat aku, tiba-tiba saja dia berlalu meninggalkan aku terkebil-kebil seorang diri di bawah terik matahari.
Isk, kenapa dengan dia ni? Aku salah cakap lagi ke? Aku rasa aku baru saja puji nama dia. Ah, aku benar-benar tidak faham dengan dia!
Aku menghempaskan punggung ke sofa sebaik melangkah ke dalam. Mangkuk tingkat pemberian Adhwa tadi aku renung puas-puas. Fikiran aku mula dipenuhi dengan hal-hal yang berlaku sebelum ini.
Misi aku untuk menjejaki pengirim nota itu tiba-tiba saja singgah di benakku. Apakah masih ada harapan untuk rancangan aku itu diteruskan?
***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
No comments:
Post a Comment