Thursday 29 September 2022

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku?

Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh dengan kasih sayang dari orang sekeliling tetapi menghambakan diri pada duit kerana mengejar cita-cita tinggi. Dan seorang lagi miskin dengan kasih sayang tetapi terlalu mewah dengan harta benda sehingga disangka si pisau cukur.

Mampukah dua watak berlainan gaya dan pemikiran ini saling jatuh cinta dan hidup bersama? Atau mereka terpaksa memilih jalan berbeza haluan dan destinasi?

Di Situ Ada Cinta Bab 4

 




“Bos!”

Masuk saja ke pejabat, suara Nada yang dia dengar dulu. Gadis itu terkedek-kedek mengekori langkahnya menuju ke bilik pejabatnya yang terletak di bahagian paling hujung dan sedikit privasi itu.

“You pergi mana, bos?”

“Adalah.”

“I tak suka dengar jawapan tu, bos.” Nada cekak pinggang ketika Aara melabuhkan punggung di kerusi empuknya.

Do I look like I care?”

“Ya Allah. Tolonglah jangan buat I risau. You menghilangkan diri selama hampir empat jam. Kereta pun you tinggalkan kat bawah. Telefon pun tak berjawab. You ke mana?”

“Yang you busy body sangat pasal I ada apa, Nada?” nada bengang dihulur buat si PA yang nampak benar risaunya.

“Mestilah I kena busy body pasal you. I kan PA you. Semua urusan harian you, I kena ambil tahu. You tahu tak… berkali-kali I kena jawab pada klien pasal you. Semua orang cari you. Meeting pun you tak masuk. Ni haa… berlambak-lambak cek, invois dan kontrak yang you kena tandatangan.” Kelam kabut Nada hulur beberapa fail berisi segala dokumen penting yang perlu diuruskan hari itu juga.

Aara menyambutnya dan menyelak satu per satu. Selesai menandatangan kesemuanya, dia mengembalikan fail kepada Nada. Tubuh disandarkan ke kerusi empuknya setelah menekan butang interkom dan mengarahkan agar Mak Cik Rosnah masuk untuk membersihkan bilik pejabatnya.

“Mak Cik Ros, nanti jangan lupa sapu sekali si Nada ni.” Ujar Aara tanpa perasaan setelah Mak Cik Rosnah masuk ke bilik itu.

Nada yang baru menyedari sindiran Aara itu segera menghempaskan punggungnya ke kerusi bertentangan Aara.

“You perli I?”

Aara ketawa kecil. Disusuli cebikan halus.

“Kejam!” tambah Nada lagi sambil menggerutu geram. Apa malanglah nasibnya dapat bos kaki buli macam Aara.

“Sebelum I terlupa, I nak beritahu you. Adik kesayangan you ada kat dalam bilik menunggu.”

“Ilman?”

“Yalah. Siapa lagi adik yang you ada selain dia?”

“Dia tak balik lagi?”

“Dia call you ke? Sejak tengah hari dia tunggu you kat sini.”

“Hisy! Apa yang dia nak?” Aara mula tidak senang mendengar itu.

“Manalah I tahu? I bukannya mind reader yang boleh baca minda orang.”

“Habis tu, mulut ada… tanyalah.”

“Apa kata you yang bertanya sendiri? I malas nak masuk campur urusan keluarga you.” Nada bangun. Berniat hendak berlalu keluar untuk menguruskan fail-fail kerja.

“You nak ke mana tu?”

“Buat kerjalah, bos. I bukan macam you tau. Suka curi tulang!” Nada gelak mengekek-ngekek apabila Aara mencampakkan sebatang pen ke arahnya. Sempat dia melayangkan ciuman nakal dari jauh lantas menghilang dari bilik pejabat Aara.

Aara mendengus. Haih, apa lagi yang si Ilman ni buat di sini? Kalau datang jumpa dia tak lain tak bukan nak bincang satu perkara saja.

Lambat-lambat Aara menekan interkom, meminta penyambut tetamu mengkhabarkan kepada Ilman agar datang berjumpanya di pejabat segera. Kurang satu minit, muncul Ilman di depan muka pintu. Lelaki itu datang menayang wajah kelegaan apabila melihat Aara sudah masuk ke pejabat.

“Baru balik?”

“You nak apa?” malas-malas Aara bertanya. Pakej dengan muka mengantuk ditayang. Tanpa dipelawa, Ilman duduk di hadapan Aara.

“Kau dari mana?” aju Ilman cuba mengorek cerita. Dia bukan tak tahu. Aara ni suka berahsia semenjak hal itu. Payah kalau nak dengar sendiri Aara membuka mulut bercerita apa-apa kepadanya selagi tidak ada sesiapa yang bertanya.

“Luar.”

“Lamanya? PA kau kata…”

“Man… terus terang aje. You nak apa datang pejabat I? Nak cerita pasal…”

Ilman geleng-geleng. Sebelum Aara ungkit cerita pasal Tan Sri Rais, lebih baik dia nyatakan tujuan sebenarnya datang ke sini.

“Aku rindu kaulah.”

Aara mencebik. Meluat dia mendengar kata-kata Ilman.

“Dah jumpa I, kan? Dah tu… tunggu apa lagi? Baliklah.” Aara bangun. Malas hendak melayan Ilman. Dia bimbang kalau-kalau Ilman sebut nama Tan Sri Rais di depannya. Silap hari bulan, mood swing datang melanda. Habis terbalik pejabat ini dibuatnya nanti.

Aara bergerak mendekati jendela. Melemparkan pandangan keluar sana. Cuaca petang itu agak cerah. Kenderaan bertali arus di jalanan. Hiruk pikuk kota kedengaran nyaring membelah pendengaran.

Ilman turut bangkit. Berdiri di sebelah Aara dan melemparkan pandangan ke luar sana. Kocek sleknya diseluk. Tali leher juga diperbetulkan.

“Sampai bila nak macam ni?”

“Macam mana?” aju Aara berpura-pura tak faham.

“Dah tiga tahun, Aara. Sampai bila nak lancarkan mogok dengan baba?” tidak boleh tidak, Ilman sebut juga perihal Tan Sri Rais dan melupakan tujuan sebenarnya datang bertemu Aara di sini.

Aara mencebik. Mogok? Bila masa dia buat mogok?

“Kenapa kalau dah tiga tahun pun?” sinis soalan dihulur.

Ilman mendengus. Geram kadang-kadang dengan Aara ni. Keras hati sangat.

“Hari-hari baba sebut nama kau. Dia rindukan kau.”

Aara gelak mengejek. Sikit pun dia tak termakan dengan kata-kata pujukan llman. Ini Ammara Surfina la. Ilman fikir dia mahu percaya bulat-bulat?

“Kalau dia rindukan I, kenapa tak cari I?”

Ilman garu belakang kepala yang tidak gatal. Penat sungguh dia hendak memahamkan Aara.

“Ego kan kau ni, Aara?”

Aara berpeluk tubuh. Suka hati Ilmanlah mahu kata apa pun. Ego ke… bodoh ke… dia tak peduli. Yang penting, dia takkan jejakkan kaki semula ke rumah itu dan bertemu dengan Tan Sri Rais.

“Baliklah, Man. Buang masa you aje datang ke sini semata-mata nak bercakap hal ni dengan I.”

“Kau halau aku?”

“Anggap sajalah macam tu.”

“Degil!” cemuh Ilman sebelum berlalu. Di muka pintu, sempat Ilman memanggil Aara.

“Jangan sampai terlambat, Aara. Waktu itu, nak menyesal pun dah tak ada guna.” Pesanan terakhir itu ditinggalkan Ilman lalu melangkah pergi.

Aara yang masih tercongok di hadapan jendela hanya menghela nafas panjang.

“Tak. Aku takkan menyesal.” Bisiknya perlahan.

 

***

 

“Bro, sampai pun kau! Buat apa lama sangat dekat rumah tu? Takkan membuta kut?”

“Membuta apanya? Ibu aku ada kat rumah. Dia baru sampai tengah hari tadi.”

Mirza menjawab soalan-soalan Dhani dengan tenang. Ketika dia sampai di studio, dia nampak Dhani sedang sibuk set up perkakas untuk memulakan penggambaran. Beberapa pekerja di studio juga turut sibuk melakukan kerja masing-masing.

“Muka macam baru tertelan ubat gegat aje. Ada apa? Ibu kau bawa calon isteri lagi ke?” teka Dhani sambil tersengih-sengih. Bukan dia tidak tahu cerita Mirza. Puan Saadah kerap datang ke rumah Mirza. Kadangkala wanita itu bawa gambar calon isteri Mirza untuk ditunjukkan kepada anaknya. Dan adakalanya dia bawa terus calon isterinya ke sini semata-mata hendak mempertemukan mereka dengan Mirza.

Dia tahu pun daripada mulut Mirza sendiri yang kadangkala meluah perasaan. Dia faham perasaan Mirza. Tapi, apa boleh buat. Sebagai kawan, dia hanya mampu mendengar dan berdoa untuk Mirza.

“Kali ni bukan pasal calon isteri.”

“Dah tu?”

Mirza ketap bibir. Sakit hati apabila dia memikirkan semula tentang Aara. Kurang asam betul perempuan itu. Sudahlah membuat onar, tinggalkan tahi pula tu. Tak pasal-pasal saja ibunya bertanya macam-macam tentang hubungannya dengan Aara selepas wanita itu pergi tadi. Letih dia nak menjawab. Mujur dia berikan alasan hendak ke studio atas urusan kerja, barulah Puan Saadah berhenti bertanya macam-macam.

“Nantilah aku cerita. Kita buat kerja dululah.” Sudahnya Mirza bagi arahan.

Lewat malam itu, Mirza pulang ke rumah. Lupa sudah kepada Puan Saadah yang sedang menantinya di sana. Masuk saja ke dalam, terlihat Naaz sedang sibuk berbual dengan Puan Saadah.

“Ya, ibu. Mirza ada awek, bukannya nak beritahu kita orang. Berahsia bukan main lagi, bu.” Naaz sengaja membuka cerita tatkala menyedari Mirza sedang berdiri di muka pintu.

Rafiq yang baru keluar dari dapur sambil menatang dulang berisi 3 cawan kopi turut menyampuk.

“Betul tu, ibu. Tak ada siapa pun yang tahu dia ada awek. Dia kantoi pun lepas Naaz jawab panggilan awek tu.”

“Tapi, sayangkan Naaz? Kita tak sempat nak jumpa awek Mirza siang tadi. Macam mana, bu? Approve ke tidak?” tambah Rafiq lagi sambil menahan ketawa.

“Ibu okey aje. Siapa pun pilihan Mirza, ibu setuju. Asalkan dia dapat jaga anak lelaki tunggal ibu ni baik-baik macam ibu jaga dia.” Puan Saadah mengerling kepada Mirza yang masih tercegat.

“Apa yang ibu merepek ni?”

“Eh, tak betul ke apa yang ibu cakap? Ammara tu baik, sopan, manis, lemah lembut, pandai ambil hati ibu. Ibu berkenan. Ibu setujulah kalau dia jadi menantu ibu.”

“Bukan calang-calanglah awek tu, ibu? Ada gambar dia tak?” soal Naaz mula nak mengepoh.

“Apa pula tak ada? Sebelum dia balik tadi, ibu sempat selfie dengan dia. Kejap ibu ambil telefon.” Spontan Puan Saadah mencapai telefon dan menunjukkan gambar Aara kepada Naaz dan Rafiq.

“Pergh! Cun siot!” puji Naaz.

“Seksi. Gebu. Rambut perang macam mat salih celup. Ibu okey ke dapat menantu seksi macam ni?” Galak Rafiq bertanya, semata-mata hendak memanaskan hati Mirza yang kelihatan tak puas hati.

“Ibu tak kisah macam mana pun rupanya. Selagi namanya manusia, ibu terima saja.”

“Ya Allah, untungnya dapat bakal mak mentua macam ibu ni. Terima bakal menantu seadanya. Ibu confirm ke Mirza tak ada adik perempuan? Kalau ada, kahwinkan Naaz dengan dia. Boleh ibu?”

Puan Saadah tergelak mendengar celoteh dan usikan Naaz yang agak gila-gila itu.

“Kalau aku ada adik perempuan, kaulah orang pertama yang aku reject jadi adik ipar aku.” Mirza menjeling Naaz yang sibuk mengunyah keropok ikan.

“Kalau Naaz kena reject, kau ambil aku ajelah jadi adik ipar kau!” Rafiq tiba-tiba menyampuk.

“Kau pun sama. Dua kali lima dengan Naaz. Dah la… malas aku melayan kau orang berdua ni. Ibu… Mirza naik dulu. Nak mandi kejap.”

Puan Saadah menggeleng melihat Mirza berlalu.

“Bu, tahun depan confirm kita makan nasi minyak!” Naaz sambung ketawa. Seronok sekali berbual dengan Puan Saadah yang peramah ini. Terubat sedikit kerinduannya kepada arwah ibunya yang telah meninggal dunia lima tahun lepas.

“Kamu pula… bila nak langsungnya?” soalan dibalikkan kepada Naaz, membuatkan lelaki itu memuncungkan bibir.

“Orang belum ada calon lagilah, bu. Ibu tolong carikan untuk orang boleh tak? Yang cun macam awek Mirza. Tapi, kalau tak ada… muka macam Mira Filzah pun okey.”

“Banyaklah kau punya Mira Filzah!” sebiji bantal melayang tepat ke muka Naaz. Rafiq mencebir. Ceh! Muka macam berus jamban ada hati nak calon isteri macam Mira Filzah. Tak sedar diri! Kutuknya dalam hati.

“Ibu, nanti tolong kenalkan Fiq dengan mana-mana perempuan. Anak tok imam ke, anak ustaz ke… tak kesah. Asalkan cantik dan menutup aurat.”

“Pergh! Dia punya tahap tak sedar diri tu bukan main tinggi mengalahkan Menara KLCC. Sembahyang pun seminggu sekali ada hati nak jadi menantu tok imam. Piirahh!” cebik Naaz sambil ketawa.

“Habis tu, kau ingat kau layak dapat perempuan macam Mira Filzah? Muka tak siap, ada hati nak beristerikan perempuan cantik. Ceh!”

Puan Saadah tersengih-sengih mendengar celoteh dua sahabat anaknya itu. Ada-ada sajalah mereka berdua ni. Lambat-lambat Puan Saadah merenung telefonnya. Membelek gambar milik Aara yang sempat dirakam siang tadi. Manis. Semanis gula senyuman gadis itu. Tak sabar rasanya nak balik kampung dan beritahu orang-orang kampung yang dia sudah ada calon menantu dari Kuala Lumpur.

Di Situ Ada Cinta Bab 3

 


“You nak pesan apa-apa tak?”

Mirza menggeleng tatkala diaju soalan pertama oleh Aara ketika mereka bertemu di sebuah restoran tengah hari itu. Minum? Heh! Tak kuasa dia. Dia datang sini pun sebab nak selesaikan hal semalam. Lagi pun, kalau keluar dengan perempuan… sudah semestinya si lelaki yang kena keluarkan duit. Tak mahulah dia pesan apa-apa. Karang duit melayang, sayang oi!

“Betul ni tak nak pesan apa-apa?” aju Aara lagi dengan suara yang sedikit lembut. Senyuman manis Aara membuatkan halkum Mirza bergerak-gerak. Semalam bukan main garang minah ni. Hari ni boleh senyum-senyum macam ni. Pelik!

“Saya nak selesaikan hal semalam dengan awak. Kita terus kepada isu kita ajelah ya Cik Ammara. Sekarang, awak nak saya bayar ganti rugi ke macam mana? Berapa saya kena bayar?”

“Nah.”

“Apa ni?”

Berkerut-kerut dahi Mirza apabila melihat sekeping not berwarna merah ditolak kepadanya. Aara pula hanya tersenyum. Dan senyumannya itu mempunyai makna yang tersirat.

“You fikir harga kaki I ni semurah sepuluh ringgit ke Encik Luth Mirza? Heh! Kos ganti rugi yang you patut bayar bukannya RM10 tapi…” satu keping kertas berupa bil perubatan milik Aara dikeluarkan.

Mirza merenung jumlah bil di atas kertas yang diberikan Aara. Terbuntang matanya melihat bil itu.

“RM36,000? Awak biar betul?”

Mirza mengintai kaki Aara yang berbalut. Takkan semahal itu kos perubatan Aara? Rasa-rasanya keadaan kaki wanita itu tak adalah teruk sangat sehingga terpaksa membayar kos perubatan sebanyak itu di klinik. Bengkaknya pun sikit saja. Ah! Ini benar-benar melampau!

“Kos rawatan kaki I di klinik RM250. Kos kasut tumit tinggi I RM6,500. Kos beg tangan I RM11,000. Kos pakaian I yang kotor RM3,250. Kos masa I yang terbazir begitu saja RM5,000. Kos kerana memalukan I di tempat umum RM10,000. Jumlah keseluruhannya adalah RM36,000. Semuanya tertera kat atas kertas tu.” Aara tersenyum lagi.

Apa semudah itu Mirza fikir mahu melepaskan tanggungjawabnya? Heh! Lelaki itu salah orang. Kalau perempuan lain, mungkin tak kesah diberi sekeping not merah. Tapi, dia bukan orangnya.

“Awak ingat saya cap duit? Nah, ambil aje duit ni.” Giliran Mirza pula menolak sesuatu buat Aara. Sekeping not berjumlah seratus ringgit diberi membuatkan kening Aara terjongket.

“RM100?”

“Ya. Saya hanya bertanggungjawab membayar ganti rugi untuk kos perubatan kaki awak. Bukannya untuk perkara-perkara yang tak masuk akal tu!”

“Wow! Wujud rupanya lelaki macam you ni, kan? Dah buat salah, nak cuba lari pula.”

“Cik Ammara, saya cuba bersikap rasional. Saya minta maaf atas kesalahan saya semalam. Tapi, permintaan awak ni dah melampau! Ada ke orang minta beribu-ribu sampai macam ni? Merepek!”

I don’t care. I nak you bayar ikut jumlah bil yang tertera.” Aara bertegas. Mirza fikir semudah itu Aara hendak bagi muka dan terus mengalah?

Mirza tiba-tiba ketawa. Ceh! Dasar kaki kikis punya perempuan. Gila betul! Ada ke patut minta ganti rugi sampai RM36,000? Manusia tak waras saja buat macam ni. Entah-entah… perempuan di depannya ini pisau cukur kut?

Mirza bangkit tanpa menghiraukan Aara. Dia mahu meninggalkan restoran. Urusannya dengan Aara sudah selesai. Tiada apa lagi yang boleh mereka bincangkan. Jika menurut kehendak Aara sama saja seperti menggantung diri.

RM36,000? Banyak tu. Macam-macam yang dia boleh buat dengan jumlah sebanyak itu. Daripada dia masuk ke perangkap Aara, lebih baik dia gunakan saja duit itu untuk beli kereta baru. Ada juga faedahnya.

Melihat Mirza bangun, Aara turut bangun. Sempat dia menarik hujung jaket yang dipakai Mirza untuk menahan lelaki itu daripada meninggalkannya.

“You tak boleh buat I macam ni. You kena bayar kos perubatan I.”

“Kan saya dah bagi? RM100 cukup untuk kaki awak yang bengkak tu.”

“Hello. Kaki I tak bengkak aje tau. I tak boleh nak berjalan macam biasa. Ini semua you punyal pasal!” Aara sudah mula melengking. Suaranya yang kuat itu didengari oleh segenap lapisan pelanggan restoran sehingga banyak mata yang sudah memandangnya.

“Terpulanglah awak nak cakap apa, Cik Ammara. Saya takkan bayar lebih daripada yang sepatutnya.” Mirza turut bertegas.

Nak ikut cakap Aara dan bayar saja jumlah kos sebanyak yang diminta? Huh, kirim salam!

Telefon Mirza tiba-tiba berbunyi. Nama ‘Ibu’ tertera di skrin. Laju saja dia menjawab tanpa menghiraukan Aara yang sedang mengekorinya dari belakang.

“Ya, ibu? Ada apa?”

“Ibu dekat stesen bas ni. Mirza datang ambil ibu.”

“Hah? Sekarang?”

“Yalah, sekarang. Takkan tahun depan pula? Cepat datang. Ibu malas nak tunggu lama-lama dekat sini. Panas ni haaa…” terdengar suara Puan Saadah dari dalam talian.

Terkejut mendengar perkhabaran itu, kalut dia mendapatkan keretanya. Baru hendak menghidupkan enjin, pintu kereta penumpang ditarik kemudian ditutup. Mirza pandang ke sebelah. Terlihat Aara sudah duduk di sisinya sambil memeluk tubuh.

“Awak buat apa dalam kereta saya ni?” terkebil-kebil Mirza dibuatnya.

“Selagi you tak bayar ganti rugi seperti yang sepatutnya, I takkan senang-senang nak lepaskan you macam itu saja.”

“Aduh. Apa masalah awak ni?”

“You bayar RM36,000, kes selesai.” Jawab Aara selamba. Dihalakan saja pandangannya ke hadapan seolah-olah Mirza tiada di sisi. Dia peduli apa? Dengan lelaki, tak boleh bagi muka sangat. Nanti senang-senang saja mereka memijak kepala.

Telefon Mirza berbunyi lagi. Nama ‘Ibu’ muncul pada skrin. Kalut Mirza menjawab.

“Ya, ibu?”

“Mirza… kamu datang Jalan Duta tau. Jangan pergi Bandar Tasik Selatan pula.”

“Ya, ibu. Mirza ke sana sekarang.”

“Cepat sikit, Mirza. Ibu ada surprise untuk kamu ni. Jumpa nanti ya.”

“Okey, ibu.”

Klik!

“Ibu?” aju Aara dengan kening terjongket sebelah.

“Cik Ammara, please. Saya dah lewat ni. Saya kena jemput ibu saya di stesen bas. Tolong keluar dari kereta saya.”

No. I tak nak!”

“Tolonglah Cik Ammara. Saya betul-betul dah lewat ni.” Suara separa merayu Mirza lontarkan, berharap agar Aara segera beredar.

Aara menarik tali pinggang keledar. Kemudian, tali pinggang keledar dipasang ke tubuh sendiri. Tayang muka selamba. Wajah tertekan Mirza dipandang. Senyuman dihadiahkan buat lelaki itu.

“Kata nak cepat? Lekaslah!” ujar Aara bersahaja.

“Ya Allah! Bala apa yang datang ni?” bebel Mirza sambil menepuk dahi.

Mahu keluar dan mengheret Aara dari keretanya, panggilan telefon daripada Puan Saadah sekali lagi menghentikan langkah Mirza. Pesanan terbaru Puan Saadah membuatkan Mirza tiada pilihan.

“Duduk diam-diam kat situ. Jangan buat apa-apa atau cakap apa-apa.” Pesan Mirza kepada Aara sambil menolak tombol gear.

Tertekan sungguh dibuatnya. Di sana, ibunya sedang menanti. Di sini, bala yang datang menyapa. Ah! Mahu tak mahu, dia angkut jugalah Aara bersamanya.

 

***

 

“Hei, awak nak ke mana?” kalut tangan Mirza menarik lengan Aara ketika wanita itu hendak keluar dari keretanya.

“Jemput mak you lah!”

Stay. Jangan masuk campur urusan saya.” Mirza memberi amaran. Sempat dijelingnya kawasan menunggu di stesen bas Jalan Duta. Orang ramai keluar masuk ke dalam bangunan. Kelibat Puan Saadah dicarinya tetapi tidak ketemu.

Mirza melangkah keluar. Sempat diberikan isyarat supaya Aara kekal berada di dalam kereta. Dah sibuk mengekorinya, duduk sajalah diam-diam di dalam kereta.

Aara mematungkan diri. Pakej dengan memeluk tubuh dan pandangan yang diluruskan ke depan tanpa mempedulikan Mirza. Seminit setelah Mirza berlalu, dia keluar dari kereta lelaki itu.

Gila! Takkan dia nak duduk dalam kereta buruk lelaki itu sampai Mirza kembali? Silap-silap, Mirza jumpa mayatnya saja. Mahu mati kejung dia di dalam kereta itu. Sudahlah tak ada pendingin hawa, sempit pula tu.

Kain berwarna putih yang membaluti kaki kanannya ditarik. Semua ini hanyalah gimiknya semata-mata hendak mengenakan Mirza. Naik rimas sebenarnya dia berjalan dalam keadaan kaki yang berbalut. Tak selesa.

Dicampak kain itu ke dalam kereta Mirza dan bergegas mencari lelaki itu. Masuk saja ke ruangan menunggu, terlihat Mirza sedang berpelukan dengan seorang wanita separuh abad. Masih cantik orangnya. Kurus dan berkulit cerah. Persis wajah Mirza. Patutlah lelaki itu kacak. Ibunya pun cantik.

Aara betulkan pakaiannya. Rambut panjang berwarna perangnya juga dikemaskan. Dengan selamba dia melangkah mendekati kedua beranak itu lantas memperkenalkan diri.

“Ammara?” aju Puan Saadah sambil mengerling Mirza di sisi.

Mirza yang terkejut dengan kehadiran Aara sudah menjegilkan mata kepada wanita itu tetapi sikit pun Aara tak peduli. Aara senyum mesra kepada Puan Saadah lalu mencium tangan Puan Saadah dengan penuh hormat.

“Apa khabar, mak cik?”

Puan Saadah memandang atas bawah tubuh Aara. Walaupun pakaiannya tak adalah sopan sangat dan penampilannya persis mat salih celup, Puan Saadah tetap tersenyum. Sejuk sungguh dia melihat sikap sopan santun dan lemah lembut Aara.

“Sihat. Alhamdulillah. Kawan Mirza ya?”

“Ya, mak cik. Kawan Mirza. Kawan istimewa dia.” Aara mengerling Mirza yang masih terkulat-kulat.

“Ya Allah. Tak sangka mak cik. Mirza ada kawan istimewa secantik kamu.”

Puan Saadah pandang Mirza yang masih terkejut.

“Hah, Mirza. Kut ya pun… tercegat apa lagi dekat situ? Tolonglah ibu angkat beg-beg ibu ni…” Puan Saadah menunjukkan beberapa buah bagasinya yang berisi pelbagai barangan yang dibawa dari kampung. Antaranya ialah buah-buahan termasuklah mempelam kesukaan Mirza.

“Banyaknya barang yang ibu bawa dari kampung? Nak duduk lama ke dekat sini?”

“Amboi, soalan kamu ni lain macam aje ya? Kenapa? Kamu dah tak sabar nak tunggu ibu balik kampung semula?”

“Eh, apa pula macam tu? Ibu tulah… nak datang tak beritahu dulu. Kalau tidak, Mirza boleh siapkan apa yang patut.”

“Huh, nak tunggu kamu siapkan apa yang sepatutnya… alamat tahun depan pun tak tentu. Nasib baik kamu bawa kawan perempuan yang cantik macam Ammara ni. Sejuk sikit hati ibu ni.” Puan Saadah memaut tangan Aara seperti sudah berkenan benar dengan wanita itu. Aara pula membalas dengan memeluk erat lengan Puan Saadah sambil tersenyum mesra. Sempat tangan yang sebelah lagi menjinjit beg berisi pakaian Puan Saadah.

Masuk saja ke dalam kereta, Mirza menyuruh Aara duduk di belakang. Biar Puan Saadah yang duduk di kerusi penumpang sebelahnya. Dah lama dia tak jumpa Puan Saadah. Nak lepaskan rindu sekejap. Aara akur. Dipandang wajah Mirza dalam cermin pandang belakang. Pandangan mereka bertaut beberapa kali ketika Mini Cooper meluncur laju di jalanan.

Surprise apa yang ibu nak cakap tadi?”

“Hmmm… bila tengok kamu bawa Ammara sekali, tak jadilah ibu bagi surprise tu.” Jawab Puan Saadah lancar sambil tersenyum kepada Aara di belakang.

Aara yang hanya memasang telinga mendengar celoteh dua beranak itu memulangkan senyuman manisnya kepada Puan Saadah.

“Ibu masuklah dulu. Mirza nak cakap sesuatu dengan Ammara sekejap.” Ujar Mirza tatkala beg Puan Saadah dikeluarkan dari bonet keretanya sejurus tiba di rumah sewa Mirza.

Puan Saadah berlalu ke dalam. Mirza pula menarik lengan Aara lalu mengheretnya menjauhi pintu utama.

“Apa yang awak nak sebenarnya?”

“Hutang you belum dilangsaikan lagi. You ingat I nak biar aje you lepas tangan macam ni?”

Mirza ketawa mengejek. Tangan dinaikkan ke pinggang. Dasar mata duitan betullah perempuan ini. Kaki kikis rupanya. Patutlah sibuk mengekorinya ke mana dia pergi. Spontan Mirza menjeling kaki Aara yang bebas daripada sebarang balutan. Bertambah-tambah bengang Mirza jadinya. Licik betul perempuan ini!

“Awak ingat saya akan termakan dengan kata-kata awak? Kaki awak tak sakit sebenarnya, kan? Awak sengaja mereka-reka cerita, kan?”

Aara terpempan. Dibeleknya kaki sendiri. Aduh! Dia pun satu. Macam mana boleh terlupa pasal balutan yang ditanggalkan tadi. Tak pasal-pasal saja Mirza sedar tentang itu.

I don’t care. You suka atau tidak, you kena bertanggungjawab. You kena bayar hutang you sekarang. Kalau tidak, you tahulah apa nasib you nanti!” Aara turut bercekak pinggang.

“Awak ingat awak boleh dapat? Jangan harap!”

Mirza bergerak menjauhi Aara. Dalam fikirannya, dia mengandaikan bahawa Aara seorang penipu. Mungkin juga seorang scammer yang buat kerja-kerja penyamaran begini semata-mata untuk mengaut keuntungan dengan berpura-pura sakit.

“Hei, you nak pergi mana?” Aara menarik bahu Mirza sehingga lelaki itu terdorong ke belakang.

“Awak balik. Saya tak nak tengok muka awak.”

“I takkan balik selagi you tak bayar hutang you!”

“Hutang? Jangan mimpi. Lebih baik awak balik sebelum saya telefon polis.”

No way!”

Mirza capai telefon. Berpura-pura hendak menekan talian kecemasan.

“Mak cik!” tiba-tiba Aara menjerit memanggil Puan Saadah. Kelam kabut wanita itu keluar dan menerpa Aara.

“Ada apa ni?”

“Mak cik… Mirza sebenarnya…” Aara kulum senyum apabila terpandang wajah menggelabah Mirza. Reaksi Mirza itu membuatkan Aara rasa yang Mirza macam takutkan ibunya saja.

“Kenapa? Mirza? Ammara?” Puan Saadah memandang pelik keduanya.

“Tak ada apa-apalah, ibu.” Mirza gosok belakang tengkuk.

“Sayang, cakaplah apa yang you nak cakap dekat ibu you…” lenggok suara Aara yang berbaur godaan membuatkan Mirza sudah tidak keruan. Tambah-tambah apabila melihat perubahan di wajah Puan Saadah.

Aara pula sedang ketawa dalam hati. Laju saja otaknya merencanakan sesuatu. Mirza tak mahu bayar hutang, kan? Tak apa. Tengoklah apa yang dia akan buat nanti!

“Kamu nak cakap apa pada ibu?”

Mirza besarkan matanya kepada Aara, memberi amaran agar Aara tidak bercakap yang tidak-tidak di depan ibunya. Sudahlah kehadiran Aara di sisinya juga telah mengundang salah faham Puan Saadah. Kalau Aara bercakap yang bukan-bukan, haruslah hidupnya bakal ditimpa masalah selepas ini.

Pada masa yang sama, telefon Mirza berbunyi nyaring. Nama Dhani tertera di skrin. Tanpa membuang masa, Mirza pantas menjawab panggilan daripada temannya itu. Sementara Mirza sibuk bercakap di talian, Puan Saadah segera menarik tangan Aara membontotinya masuk ke rumah. Dia mahu menyediakan hidangan tengah hari. Dia sudah pun siap memasaknya sebelum bertolak ke ibu kota pagi tadi. Dia hanya perlu memanaskan lauk-pauk tersebut dan menjamu selera bersama Mirza dan Aara.

Pusing belakang setelah selesai bercakap di telefon, rahang Mirza hampir jatuh apabila kelibat Puan Saadah dan Aara sudah tiada. Mirza tepuk dahi. Hatinya disimbahi rasa panik yang bukan sedikit. Aduhai. Apa nak jadi ni? Berani betul cik rambut perang itu melanggar arahannya?

“Ammara dah lama berkawan dengan Mirza?” aju Puan Saadah tatkala tiga orang manusia itu sedang duduk menjamu selera.

Mirza jegil-jegilkan mata. Sedang Aara pula tersenyum manis bercampur malu-malu kucing yang dibuat-buatnya.

“Lama tu tidaklah.”

“Mirza tak pernah cakap pun pasal Ammara pada mak cik. Tahu-tahu saja dia bawa jumpa mak cik hari ini. Ini betul-betul surprise. Mak cik ingatkan nak buat surprise dekat dia, sudahnya dia yang buat dulu. Nasib baik mak cik tak ada sakit jantung. Kalau tidak…”

“Ibu… apa cakap macam tu?” Mirza berhenti mengunyah. Lauk ayam masak merah kegemarannya sudah terasa kurang sedap selepas mendengar celoteh Puan Saadah.

“Apa? Tak betul ke apa yang ibu cakap ni? Berbuih-buih mulut ibu ni sekolahkan kamu, Mirza. Tapi, beribu-ribu patah perkataan yang keluar daripada mulut ibu ni… kamu boleh buat pekak aje. Penat ibu bercakap. Suruh kahwin. Cari calon isteri. Senang hidup kamu nanti bila ada orang yang boleh berkongsi hidup dengan kamu. Tapi, kamu asyik bagi alasan yang sama aje. Belum bersedialah. Muda lagilah. Tak cukup duitlah.” Jeda.

“Ibu datang ni pun sebab nak tunjuk gambar bakal calon isteri kamu yang ibu bawa dari kampung. Tapi, kamu diam-diam dah ada kekasih. Kalau macam ni, ibu batalkan sajalah hasrat nak menjodohkan kamu dengan anak Mak Su Bedah.”

Mirza tersedak-sedak mendengar nama Mak Su Bedah meniti di bibir si ibu. Kelam kabut dia mencapai gelas lalu meneguk air sehingga licin. Naik merah wajahnya setelah itu. Dada diurut-urut. Perit ditekaknya cuba diredakan.

“Apa ibu cakap?”

“Ibu nak jodohkan kamu dengan anak Mak Su Bedah. Tapi, disebabkan kamu dah ada Ammara… ibu tukar fikiran ajelah. Nanti ibu balik kampung, ibu beritahu Mak Su Bedah yang kamu dah ada calon isteri.” Sempat Puan Saadah memandang Aara bersama senyuman yang mekar di wajah.

Aara hanya diam memasang telinga. Oh, liat nak kahwin rupanya mamat ni? Aara terkekeh-kekeh ketawa di dalam hati.

“Ammara ni sebenarnya bukan…”

“Mak cik, tambahlah lauk lagi. Sedap mak cik masak. Nanti boleh ajarkan saya masak?” selamba Aara meletakkan seketul ayam ke dalam pinggan Puan Saadah seraya memintas kata-kata Mirza.

“Kamu nak belajar masak daripada mak cik? Alah, mak cik bukannya pandai sangat memasak. Tapi, kalau kamu nak belajar… apa salahnya.” Senang sekali hati Puan Saadah melihat Aara. Orangnya manis dan baik budi pekertinya. Pandai pula mengambil hati orang tua sepertinya. Kalau macam inilah calon isteri Mirza, dia sudah boleh tidur dengan lena selepas ini.

“Mirza suka lauk apa, mak cik? Saya teringin nak belajar memasak lauk kegemaran dia. Nanti lepas kahwin, senang. Tak payah susah-susah nak beli. Ya kan, sayang?” Aara sudah mula susun langkah mengenakan si kedekut.

Padan muka. Siapa suruh tak mahu bertanggungjawab? Heh! Ini Ammara Surfina la. Tak ada siapa yang boleh mempermainkannya terutamanya oleh manusia yang bernama lelaki.

Bergetar-getar tangan Mirza kerana menahan geram dek kata-kata Aara yang diluar jangka. Minah ni dah kenapa? Sengaja nak buat aku susah. Argh!

“Hei, you. Sakitlah. Lepaskan tangan I!” Aara meronta-ronta tatkala Mirza mengheretnya keluar ketika dia sedang menonton televisyen di ruang tamu. Puan Saadah sudah lama ke atas, bersolat di dalam bilik.

“Apa masalah awak ni, hah?”

“Masalah?” Aara menyilangkan kedua tangan ke dada.

“Kenapa cakap yang bukan-bukan di depan ibu saya?”

“Salah ke apa yang I cakap tadi?”

“Cik Ammara… kita berdua ni kenal baru 24 jam tahu? Awak pandai-pandai mereka cerita pasal hubungan kita… kenapa? Tak pasal-pasal ibu saya dah letak harapan.”

“Oh, jadinya you dah kecewalah ya?”

“Kecewa?” berkerut dahi Mirza.

“Yalah. Kecewa sebab tak dapat kahwin dengan anak… siapa tu…” Aara memetik-metik jarinya sambil cuba memikirkan kembali nama yang disebut oleh Puan Saadah tadi.

“Mak Su Bedah. Hah, yes! Mak Su Bedah!”

“Apa-apa sajalah, Cik Ammara. Sekarang ni, saya nak awak pergi dari sini. Pergi sebelum ibu saya turun.” Mirza menuding jari ke luar pagar, meminta supaya Aara segera berlalu. Lagi pun dia tak ada masa nak melayan semua kegilaan ini kerana dia ada banyak urusan yang harus dikerjakan hari ini.

Sudah tiga jam masanya terbazir begitu saja disebabkan Aara. Jadi, dia mahu wanita itu segera beredar supaya hidupnya kembali tenang.

Sebentar cuma, Aara berpaling dan bergerak menghampiri bangku. Disilangkan kaki dan duduk santai di situ tanpa menghiraukan arahan Mirza.

Mirza raup kepala. Susahnya bercakap dengan perempuan seperti Aara. Tak makan saman! Apa yang seharusnya dibuat agar Aara beredar? Mahu menghalaunya? Nanti apa pula kata ibu? Habis tu… takkan dia nak biar Aara berada di sini sehingga malam? Dia perlu bergegas kembali ke studionya sekejap lagi. Takkan dia sanggup hendak membiarkan ibunya berdua dengan Aara? Silap-silap, entah apa saja yang dibuatnya nanti kepada ibu.

Please, Cik Ammara. Balik. Sebelum saya buat perkara bukan-bukan, sila balik.” Mirza menarik lengan Aara dan memerintah agar wanita itu segera beredar.

Pada masa yang sama, telefon Aara berbunyi. Nama Ilman tertera di skrin telefon. Aara berdecit halus.

“Hello.” Aara menjawab panggilan dengan malas.

Aara, where are you?”

Somewhere. Why?”

“Aku datang pejabat kau. Dia orang kata kau keluar. Aku tunggu dah dekat tiga jam tapi kau tak balik-balik. Kau okey ke?” Nada prihatin si lelaki bertanya dari talian kedengaran.

 “Ada apa datang cari I?” Aara putarkan mata ke atas.

“Ada hal nak bincang. Kau cakap kau di mana. Aku datang sekarang.”

“Nanti-nanti ajelah kita jumpa. I tengah sibuk. Bye!” talian dimatikan begitu saja. Mode diam diubah. Biar tak ada sesiapa yang boleh mengganggunya ketika ini termasuklah Ilman.

So, Encik Luth Mirza… macam mana dengan hutang you?” selamba Aara mendekati Mirza lantas memain-mainkan kolar baju lelaki itu. Tubuhnya didekatkan dengan tubuh Mirza. Mata mereka bertentangan. Membuatkan Mirza terasa macam nak tumbuk saja muka Aara.

“Saya tak berhutang apa-apa dengan awak.”

Aara gelak. Dasar lelaki kedekut!

Fine. Tak nak bayar hutang? It’s okay. Kita tengok apa yang I boleh buat nanti.” Aara masuk ke dalam dan mencapai beg tangannya sebelum kembali berdiri di hadapan Mirza.

“Awak ugut saya?” jongket kening sebelah, Mirza tunggu masa hendak melampiaskan amarahnya.

Aara senyum. Bergerak menghampiri pagar, sempat Aara menoleh. Dia mengenyit matanya kepada Mirza seraya menghadiahkan satu senyuman menawan sebelum menghilangkan diri. Mirza yang melihatnya terkulat-kulat di situ.

“Psiko!”

 

Di Situ Ada Cinta Bab 2

 


Mirza sibuk menyental badan Mini Coopernya tatkala sebuah motosikal kapcai muncul di luar pagar rumah sewanya. Kemunculan Naaz, teman serumahnya itu dibuat tak endah. Kerja-kerja mencuci dan menyental kereta diteruskan dengan menyimbah sebaldi air yang bercampur sabun sebelum membilasnya dengan air bersih.

“Sudah-sudahlah belek muka sendiri dekat kereta buruk kau tu. Bukannya boleh diubah jadi macam Brad Pitt pun.” Cebik Naaz sebelum ketawa-ketawa.

Lelaki yang mengenakan jaket dan helmet itu segera melompat turun daripada motosikalnya sebelum menenggek di atas bangku tidak jauh dari situ.

 “Wah, cakap biar berlapik sikit. Tak pasal-pasal muka kau yang bertukar jadi buruk sekejap lagi.” Mirza menjeling. Pantang sungguh jika ada yang mengutuk keretanya sebagai kereta buruk. Ini kereta klasik kut. Dekat mana yang buruknya?

“Hisyh… bahaya kau ni. Tak boleh bergurau sikit!”

“Bergurau benda lain tak apa. Tapi jangan bergurau pasal kereta aku.” Mirza menepuk-nepuk bumbung keretanya sebelum melentokkan kepala ke situ seakan sedang memeluk orang.

Tergeleng-geleng Naaz dibuatnya. Sejak dulu, kini dan mungkin selamanya Mirza akan tetap setia dengan kereta buruknya itu. Haih, Mirza… Mirza… ada-ada sajalah!

“Bila nak tukar kereta baru?”

“Untuk apa tukar kereta baru kalau kereta kesayangan alam ni masih elok digunakan?”

“Piiraah! Kesayangan alam amende? Setiap minggu buat hal. Kejap-kejap rosak kat tepi jalan. Lepas tu, menyusahkan aku aje!” ujar Naaz tak agak-agak. Lelaki berambut panjang itu giat mengusik si teman serumah yang kedekut. Bukannya dia tidak tahu, setiap kali kereta Mini Cooper itu meragam, siapa lagi yang Mirza cari kalau bukan dirinya?

Kebetulan, dia bekerja di bengkel. Dia tahu selok belok kenderaan. Jadi, nak tak nak kenalah tolong kawan. Kata kawan sehidup semati. Kalau tak tolong, siapa lagi?

“Jangan nak kedekut sangat, kawan! Duit berkepuk-kepuk dalam bank tu nak buat apa? Belilah kereta baru. Sekurang-kurangnya, tak adalah kau terpaksa menyusahkan diri sendiri.”

“Bisinglah kau ni!” Mirza campak kain tuala ke atas badan kereta. Paip air dipulasnya. Getah paip dihala ke badan kereta. Sambil-sambil membilas badan Mini Cooper itu buat kali yang entah ke berapa, dia siram sekali motosikal milik Naaz. Terjerit-jerit lelaki itu dengan perbuatan Mirza. Kelam kabut dia cuba menyelamatkan keadaan dengan menyorong motosikalnya menjauhi Mirza.

“Kut ya pun… tunggulah aku angkat barang-barang ni dulu.” Naaz mencapai beberapa bungkusan plastik berisi pelbagai makanan yang dibelinya di pasar malam sebelum pulang tadi.

“Apa tu?”

“Murtabak ayam. Soya cincau. Sate. Apam balik.”

“Perghh!” mendengar itu, kalut tangan memulas kembali kepala paip. Serta-merta dia mengekori Naaz masuk ke dalam rumah.

Sejak pulang tadi, dia langsung tak isi apa-apa ke perutnya. Patutlah perutnya asyik berbunyi sejak tadi.

“Jadi, macam mana pinjaman bank kau? Lulus?” aju Naaz ketika sedang melahap murtabak di hadapan meja makan.

“Ini Luth Mirza kut. Mestilah lulus!” Mirza kuis hujung hidung separa mancungnya sambil tersengih-sengih.

“Ceh. Kemain berlagak. Patutnya, bila dah lulus… kau tadah tangan dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana bagi rezeki dekat kau. Jangan berlagak. Jangan lupa daratan. Jangan lupa member-member,” bebel Naaz mengingatkan sebelum ketawa-ketawa.

“Bila dah lulus pinjaman dan dapat besarkan studio kau tu… jangan lupa dengan kawan-kawan dan insan yang memerlukan. Sesekali, rajin-rajinkan diri bersedekah. Dengan bersedekah kau dapat tambahkan lagi rezeki kau. Pahala pun bertambah. Jangan contohi Haji Bakhil. Kedekut!” sambung Naaz lagi.

Mirza diam. Malas hendak menjawab. Dalam rumah ini, dia sedia maklum siapa yang kuat membebel dan memberi tazkirah percuma. Kalau bukan Naaz, siapa lagi?

Malam ketika Mirza sedang sibuk dengan kerja di hadapan komputer, dia menerima satu panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali. Malas hendak menjawab, dia buat tak tahu saja. Tapi, panggilan terus masuk berkali-kali sehingga Naaz yang sedang menonton televisyen di ruang tamu berasa terganggu. Masuk kali kelima telefon Mirza berbunyi, kalut dia bangkit dan mencapai telefon lelaki itu.

“Hello.” Spontan Naaz menjawab setelah menekan butang hijau.

Terdengar suara perempuan di hujung talian. Terliuk lentok badan Naaz seperti patung besar di pintu masuk stesen minyak yang sering mengalu-alukan kedatangan pengunjung. Senyuman lebar dan gatal terbentuk di bibir.

“Alaa, sedapnya suara. Nak cakap dengan siapa? Mirza? Kejap ya…”

Naaz tekup corong telefon lantas memanggil Mirza yang sedang tekun membuat kerja-kerja suntingan video.

“Apa?”

“Ada awek call kau.”

“Awek mana pula?”

“Entah. Siapa weh? Sedap suara. Tergoda aku!” Naaz menyengih.

 “Salah orang kut.” Mirza mendengus.

“Mana ada salah orang. Dia sebut nama kau tadi.”

“Siapa?”

“Manalah aku tahu!”

“Habis tu, tak reti tanya?”

Naaz menjeling. Telefon kembali dilekapkan ke telinga.

“Cik adik manis yang suaranya macam buluh perindu ni… boleh abang tahu siapa nama?” Naaz diam, mendengar orang di hujung sana membalas. Sesekali dahinya berkerut. Adakalanya bibir juga digigit halus.

“Nah.” Telefon milik Mirza disua.

“Siapa?”

“Ammara.”

“Siapa tu?”

“Manalah aku tahu. Dia kata kau dengan dia terserempak tengah hari tadi di Jalan Kekwa.”

Naaz cekak pinggang. Pandang Mirza semacam. Lama Mirza berfikir, barulah dia mencapai telefon dari tangan Naaz.

“Hello.”

“Hello, cik abang yang budiman. Ingat I lagi tak?”

“Siapa ya?” Mirza bangun dan keluar bertenggek di bangku di halaman rumah. Naaz serta Rafiq yang baru turun ke ruang tamu sibuk mengekor dan memasang telinga di sebalik pintu.

“Orang yang you tinggalkan di tepi jalan lepas you langgar siang tadi. Ingat tak?”

“Oh, cik tu. Ingat. Minta maaf sangat-sangat. Tadi saya nak cepat. Tak boleh nak hantar cik ke klinik. Errr… kaki okey ke?”

“I nak jumpa you. Esok. Nanti I hantar location dekat you. Kita bincang.”

Tut! Tut! Tut!

Tidak sempat Mirza hendak berkata apa-apa, talian telefon mati serta-merta. Terkebil-kebil Mirza dibuatnya. Masuk satu mesej ke peti telefon Mirza seminit kemudian. Lokasi telah dihantar. Pertemuan diatur. Mirza garu belakang kepala.

“Aduh, perempuan ni…”

“Hoi, siapa awek tu?” sergah Naaz dari belakang.

“Pergh! Dah maju!” perli Rafiq lalu ketawa disambut oleh Naaz.

“Diamlah.” Menonong Mirza ke dalam dan menyambung kerja.

“Awek mana yang kau jumpa di Jalan Kekwa siang tadi?” Naaz mula mengepoh. Pakej dengan tongkatkan siku di meja kerja Mirza sambil tersengih-sengih.

“Adalah.”

“Oh, dah pandai berahsia sekarang ni. Fiq! Kau tengok member kita seorang ni. Makan sama-sama. Duduk serumah sama-sama tapi kedekut nak kongsi cerita. Sudah-sudahlah dengan perangai kedekut tu, kawan!” Naaz tepuk-tepuk bahu Mirza.

“Ingatkan duit aje dia kedekut. Rupanya cerita pun dia kedekut. Mirza… Mirza…” tambah Rafiq pula sengaja hendak menyakat Mirza.

“Isk, macam-macamlah kau orang ni! Dah la… aku nak tidur. Esok nak keluar awal pagi. Selamat malam.” Menonong Mirza ke atas dan hempaskan punggung ke tilam.

Aduhai. Apa akan jadi esok hari? Adakah perempuan bernama Ammara itu akan tuntut ganti rugi daripadanya? Kalau dia minta beribu-ribu, macam mana? Habislah duitnya. Ada banyak perkara yang dia perlu uruskan daripada habiskan duit kepada perempuan yang entah siapa-siapa itu.

Perbelanjaan studionya pun perlukan duit yang banyak. Duit nak bagi pada ibu kat kampung lagi. Nak bagi pada anak-anak buah lagi. Nak bayar hutang lagi. Isk, banyaknya benda nak gunakan duit! Harap-harapnya si Ammara tu tak minta yang bukan-bukanlah.

Mirza melepaskan keluhan panjang. Aduhai. Bala sudah datang nampaknya!

Dia pun satu. Kalau undur kereta, lain kali hati-hati. Tak pasal-pasal saja dah jadi kes kronik. Tapi, kalau difikir-fikirkan balik… ini semua bukan salahnya seorang. Perempuan itu juga berjalan tak pandang kiri kanan.

Sudahnya, Mirza merebahkan tubuh ke atas tilam empuknya. Lantaklah nak jadi apa pun pada hari esok. Esok punya cerita, esok sajalah dia fikir. Buat penat otak saja fikir sekarang. Lebih baik dia tidur dan rehatkan diri. Mata pun dah mula berat ni.

Tap! Lampu kecil di tepi katil dipadamkan. Sekejap cuma, Mirza terus hanyut ke alam mimpi.

 

 

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...