Friday 27 December 2019

AURORA Bab 16 & Bab 17


BAB 16

Tamat kelas pada petang itu, Aurora dan Mya sama-sama menuju ke pusat sukan. Mya sebenarnya manusia yang paling bersungguh-sungguh mahu Aurora menemaninya menonton perlawanan ragbi disebabkan teman lelakinya merupakan salah seorang pemain ragbi pasukan kolej mereka.

“Kau dengan Daus tu ada apa-apa ke, Aurora?” aju Mya sebaik saja melabuhkan punggung di salah satu kerusi penonton.

“Nampak macam ada apa-apa ke?”

Mya tergelak. Sudah beberapa kali dia nampak Firdaus cuba mendekati Aurora. Tidak seperti pelajar lelaki yang lain, dengan Firdaus saja Aurora boleh bercakap dan berbual-bual dengan selesa. Jadi, dia mengandaikan bahawa Aurora dan Firdaus mempunyai hubungan istimewa.

“Nampaklah. Jelas kut. Kau dengan dia nampak rapat semacam. Pergi makan pun tak nak ajak aku.”

Aurora mencebir.

“Jangan buat ceritalah. Aku dengan dia mana ada apa-apa.”

“Habis tu… pergi makan berdua tak nak ajak aku. Kau pergi dating sebenarnya, kan?”

Dating dekat kafeteria kolej? Huh! Memang taklah.” Aurora menggeleng. Boleh tahan serkap jarang Mya ini. Mya yang selalu pergi dating dengan teman lelakinya, bukannya Aurora.

Lagi pun, dia keluar dengan Firdaus pun sebab nak bincangkan tentang tugasan kuliah. Kebetulan, mereka berdua diletakkan di dalam satu kumpulan. Jadi, mahu tak mahu… Aurora terpaksalah berbaik-baik dengan Firdaus. Lagi pun, Firdaus tidak seperti pelajar kelasnya yang lain. Firdaus budak baik. Jadi, dia tak nampak dekat mana dia patut melayan Firdaus dengan buruk.

Mya tiba-tiba bangun. Menerpa ke palang besi di hadapan sana sambil menjerit-jerit memanggil-manggil nama teman lelakinya. Lambaian dibuat sambil menghulurkan kata-kata semangat buat si kekasih. Aurora yang melihat gelagat gadis itu hanya tergeleng. Tersorot mata Aurora ke padang. Terlihat kelibat Zafrin sedang bergerak masuk bersama pasukannya ke sana.

Ah! Dia terlupa yang Zafrin juga merupakan salah seorang pemain ragbi kolej mereka. Dan lebih malang, Zafrin itu kapten pasukan. Dia yakin kalau Zafrin nampak dia di sini, sudah tentu lelaki itu akan fikir yang dia sengaja datang hendak menonton perlawanan ini. Paling tragis, Zafrin mungkin fikir yang dia terhegeh-hegeh datang untuk menyokongnya.

Ceh! Mimpi sajalah!

Aurora capai telefon dan melayari internet. Menyesal juga rasanya datang temankan Mya. Tapi, apa boleh buat. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak setuju… tersadailah dia dekat sini untuk beberapa jam lagi.

Ralit menonton video di Youtube, terdengar Mya memanggil-manggilnya. Angkat muka, nampak Mya sedang bergerak ke kerusi untuk mencapai begnya.

“Aurora. Jom! Diorang berhenti rehat. Aku nak pergi jumpa Wan kat bawah,” ujar gadis itu bernada teruja. Ceh! Macamlah tak pernah jumpa kekasih hati pada hal setiap hari mereka berjumpa.

Mahu tak mahu, Aurora turutkan juga. Dari jauh dia nampak pasukan ragbi sudah berada di kawasan rehat. Mya berlari-lari anak mendekati Izwan teman lelakinya. Botol air mineral dihulur. Dengan prihatin, Mya mengesat wajah dan dahi Izwan yang berpeluh-peluh dengan tuala. Izwan pula sesekali membetul-betulkan anak-anak rambut Mya yang terjuntai di dahi.

Aurora mencebik. Nak termuntah juga dia tengok aksi mereka berdua. Maklumlah. Orang tengah hangat bercinta, sanggup buat apa saja. Kentut yang busuk pun boleh dikata wangi.

Sedang ralit melihat Mya dan Izwan, matanya terpandang Zafrin. Lelaki itu sudah menyedari kehadirannya biarpun dia sengaja berdiri jauh dari kawasan rehat pasukan ragbi. Nampak saja Zafrin mara ke arahnya, lekas-lekas Aurora sumbatkan fon telinga ke lubang telinga dan berpura-pura seperti tidak nampak Zafrin.

“Aurora! Kau buat apa dekat sini?” Zafrin bertanya ketika jarak mereka tinggal beberapa meter saja.

Aurora mengerling Zafrin. Lelaki itu datang tanpa baju. Entah sejak bila Zafrin tanggalkan bajunya pun dia tidak tahu. Terus teringat peristiwa tempoh hari apabila Zafrin dengan selamba menanggalkan bajunya dan mencampaknya ke dalam longkang.

Zafrin betul-betulkan rambutnya yang berserabai. Baju jersinya disangkut ke atas bahu. Tubuh berototnya yang dibasahi dek peluh segera dikesat dengan hujung bajunya. Wajahnya sedikit memerah akibat terkena simbahan matahari. Dahinya masih lagi berjejeran dengan peluh dan terpalit dengan sedikit tanah akibat berguling di padang tadi.

“Kau dengar tak ni? Kau buat apa dekat sini?” spontan tangan Zafrin naik menarik fon telinga dari telinga Aurora.

“Potong rumput.”

“Wah… patutlah lapang semacam aje tempat ni.” Ketawa Zafrin membuatkan Aurora memutarkan mata.

“Dah lama ke kau dekat sini?” Zafrin bersandar ke dinding bersebelahan dengan Aurora. Sengaja tiru postur tubuh gadis itu. Siap menyilangkan kaki sama seperti apa yang Aurora sedang buat.

“Cukuplah untuk tengok kau tersembam dekat atas tanah.”

Zafrin gelak. Aurora ni, kalau melawak… boleh tahan juga. Walaupun nadanya itu semedang serius, gadis itu masih mampu membuatkan dia ketawa.

“Pihak lawan main tipu. Aku tak sempat elak.”

“Padan muka kau.”

“Mana kau tahu aku ada game petang ni?”

“Jangan perasan. Aku bukan datang nak tengok kau punya game.”

“Dah tu?”

“Aku temankan Mya tengok game.”

“Sambil menyelam minum air la, kan?” Zafrin menoleh, mencari kelibat Mya yang sedang duduk bersebelahan dengan Izwan dan berbual-bual dengan lelaki itu. Dia tersenyum. Kalaulah Aurora boleh jadi seperti Mya…

Team aku menang. Kau tak nak ucap tahniah ke?”

“Jangan perasan boleh tak? Baru separuh masa pertama. Separuh masa kedua, belum tentu lagi.”

Zafrin senyum. Ternyata, serkap jarangnya tepat mengena. Dia yakin gadis itu memang mengikuti perlawanan ragbi sejak awal. Jika tidak, tak adalah dia boleh menjawab dengan lancar begitu. Apatah lagi Aurora ada menyebut pasal dia terjatuh dan tersembam di atas tanah ketika cuba merebut bola ragbi dari tangan pihak lawan.

“Kau makan tak nasi ayam yang aku bagi tengah hari tadi?” tiba-tiba Zafrin mencari topik baru. Teringat semula kepada peristiwa tengah hari tadi. Dia sanggup menunggu Aurora di luar kelas semata-mata hendak memberikan nasi ayam yang dimasak oleh mamanya Anggerik. Peristiwa dia ternampak Firdaus memberikan nasi kepada Aurora dulu membuatkan hatinya terasa tercabar.

“Makan.”

“Mama yang masak.”

“Sedap. Thanks, anyway.”

Zafrin senyum. Memang dia yang beria-ia minta mamanya masakkan nasi ayam untuk Aurora sebab dia tahu Aurora memang suka makan masakan Anggerik.
“Mama sanggup buat apa saja untuk menantu dia,” ujar Zafrin sebelum Aurora memandang lelaki itu dengan mata yang dikecilkan.

“Bakal menantu dia.” Zafrin membetulkan.

Sekali lagi Aurora mengecilkan mata. Tak suka sungguh dia bila Zafrin asyik menyebut perihal itu. Dia tahulah Zafrin sekadar main-main tapi tak perlulah sampai nak melibatkan soal hati dan perasaan begini. Dia cukup tidak suka.

“Boleh tak kau berhenti melawak macam ni, Zafrin?”

“Melawak apa?”

“Pasal kahwinlah. Pasal masuk meminanglah. Pasal menantu semua ni. Boleh berhenti tak?” naik setakuk suara Aurora. Jujur dia sudah tidak mampu menahan sabar dengan lawak bodoh Zafrin.

Zafrin tergelak. Berniat untuk menjawab, terdengar pula wisel dari pengadil menandakan perlawanan untuk separuh masa kedua bakal diteruskan.

“Soalan kau ni, aku simpan dalam poket aku dulu. Aku kena masuk padang.” Zafrin mula berlari tetapi berhenti kemudiannya dan berpaling memandang Aurora.

“Aurora! Jangan balik dulu. Tengok game sampai habis dan ucapkan tahniah bila pasukan aku dah menang nanti. Bye!”

Aurora mencebir. Ada-ada sajalah si Zafrin ni.

“Amboi! Aku dating, kau pun sama naik dating dekat sini.” Cuit Mya tatkala gadis itu datang menghampiri Aurora setelah puas berada di samping Izwan.

“Dah la dating dengan kapten pasukan ragbi. Tak aci betul!”

“Eee… jangan nak mengada-adalah, Mya.”

“Hari tu dengan Firdaus, hari ni dengan Zafrin pula. Untunglah badan!” usik Mya lagi sehingga menghangatkan hati Aurora.

“Jangan buat cerita, Mya.”

“Mana ada buat cerita. Semua orang nampak kut!” Mya ketawa-ketawa.

“Tak baik tau main-mainkan hati dan perasaan orang, Aurora. Kalau suka, cakap saja suka. Kalau tidak, jangan bagi harapan dekat sesiapa.” Tambah Mya lagi sedikit serius.

“Apa kau merepek ni?”

“Yalah. Aku nampak Firdaus dengan Zafrin… dua-dua sama-sama suka dekat kau. Tambah-tambah lagi si Zafrin. Kau ingat aku tak tahu? Hampir setiap hari mesti senior kegilaan ramai tu akan cari kau. Kejap dekat kafeteria, kejap dekat tapak parkir, kejap dekat bilik kuliah. Kalau pelajar perempuan lain, jangan haraplah dia nak layan macam tu. Hari tu aku ternampak yang si Intan tu tergedik-gedik depan Zafrin. Siap peluk lengan dia lagi. Tapi, kau tahu apa yang Zafrin buat?”

 “Apa?” Aurora mengangkat kening.

“Dia tepis tangan perempuan tu. Dengar cerita, Intan menangis lepas kena reject dengan Zafrin. Drama betul!” kutuk Mya tak agak-agak. Kadang-kadang dia naik rimas melihat perangai gedik si Intan. Bukan dia tak tahu yang Intan memang menaruh hati kepada Zafrin. Bukan setakat dia saja, tapi satu kelas tahu apa perasaan Intan terhadap Zafrin. Sayangnya, perasaan itu tak berbalas biarpun macam-macam yang Intan dah buat untuk meraih perhatian Zafrin.

Tapi, dengan Aurora… tak perlu buat apa-apa pun Zafrin masih tetap mengekorinya. Walaupun kadangkala mereka berdua suka bertekak macam anjing dengan kucing, Mya sangat suka melihat hubungan di antara Aurora dan Zafrin.

“Lepas tu… ramai pula awek-awek dekat kolej ni yang patah hati lepas nampak gambar yang Zafrin letak dalam Instagram dia.” Tambah Mya lagi seperti tidak mahu berhenti bercerita hal itu.

“Gambar apa?”

“Laa… buat-buat tanya pula. Gambar korang berdua la. Kemain mesra lagi. Aku yang tengok pun boleh cemburu, inikan pula perempuan yang memang ada hati dekat Zafrin.” Mya menyengih.

Aurora terkebil-kebil mendengar penjelasan Mya. Gambar mereka berdua? Tapi, gambar apa? Spontan Aurora mencari gambar seperti yang diperkatakan oleh Mya di dalam akaun Instagram milik Zafrin. Terpaku matanya kepada sekeping foto di antara dirinya dan Zafrin. Teringat tentang peristiwa mereka berdua ke pusat membeli belah minggu lepas, Aurora mengetap bibir. Cis! Bila masa Zafrin merakam gambar mereka berdua? Sudahlah gambar ketika mereka berkunjung ke kedai emas. Tak pasal-pasal saja boleh jadi salah faham. Nak kena betul si Zafrin ni!

“Jadi, kau dah tahu siapa punya kerja?” soal Mya sambil mata dihalakan lurus ke tengah padang.

“Maksud kau?”

“Isk, lembablah kau ni. Aku cakap pasal kereta kau.” Teringat kepada kereta Aurora yang telah dicalar dan dirosakkan, sengaja dia cuba mengepoh.
Aurora menggeleng.

“Kau tak ada syak sesiapa?”

Bahu pula diangkat. Dia memang syak Burn yang buat semua itu tetapi entahlah. Malas hendak menuduh. Bak kata Zafrin, takut jadi fitnah pula nanti. Mahu mencari bukti pun dia malas. Jadi, biar sajalah. Asalkan keretanya sudah kembali cantik seperti sedia kala, itu sudah memadai baginya.

“Kau patut ambil tindakan, Aurora. Manalah tahu kalau-kalau benda ni berulang lagi. Cuba minta bantuan pihak perpustakaan. Periksa CCTV, tanya pengawal keselamatan atau saksi-saksi kejadian. Mesti kau akan jumpa si pelaku.”

“Jangan bercakap macam kau tu pegawai penyiasat FBI boleh tak Mya?” cemik Aurora sambil menggeleng.

Mya tersengih-sengih. Pengaruh drama bergenre penyiasatan membuatkan otaknya ligat mencipta idea tentang kejadian yang menimpa Aurora.

Lewat petang setelah perlawanan ragbi tamat, Aurora bergerak pulang. Sengaja dia singgah sekejap di sebuah warung untuk membeli nasi buat makan malam nanti. Aurora menarik pintu kereta tetapi di sekerat jalan, dia menoleh. Entah kenapa hatinya jadi tidak enak sejak dia keluar dari kawasan kolej tadi. Kelibat sebuah kenderaan jenis MPV berwarna hitam kelihatan diparkir beberapa meter di belakang keretanya. Dia yakin ia adalah kenderaan yang sama yang dia lihat ketika di pusat sukan tadi.

Cepat-cepat dia memboloskan diri dan memandu pulang ke apartmennya. Sesampai saja di apartmen, kelam kabut Aurora mendekati balkoni. Terjenguk-jenguk ke bawah mencari kelibat MPV. Ternyata, ia sedang elok terparkir di luar pintu masuk ke kawasan apartmen berdekatan dengan pondok pengawal.

“Apsal MPV tu asyik ikut aku? Siapa ek?” Aurora menggaru kepala yang masih lagi dibaluti tudung. Memikir dan mencari idea tentang MPV tersebut. Mulalah dia pula yang berfikir seperti pegawai penyiasat.

“Ehem.” Tak semena-mena terdengar suara seseorang berdehem. Kelam kabut Aurora menegakkan tubuh. Menoleh ke kanan, terlihat jiran sebelah sedang berdiri di balkoni sambil melempar pandangan ke langit.

“Cantik kan cuaca petang ni?” ujarnya seakan bercakap dengannya.

Aurora terpatung. Terkebil-kebil memandang Raimi di sebelah sana. Raimi pula menoleh. Melemparkan senyuman manisnya kepada Aurora.

“Baru balik?”

Aurora kekal mematung. Tidak tahu sama ada Raimi sedang bercakap dengan dirinya atau bercakap di telefon.

“Saya Raimi. Awak?”

Aurora tercengang. Sah, mamat sebelah ni memang tengah bercakap dengan dia rupanya. Sebab Raimi dah mula bergerak menghampiri tembok di kiri balkoninya dan menghadap wajah Aurora yang masih lagi tercegat di tengah-tengah balkoni sendiri.

Jari telunjuk Aurora naik ke dada sendiri, sekadar mahu memastikan yang Raimi benar-benar sedang bercakap dengannya. Raimi mengangguk. Senyuman manis dilebarkan. Poket seluar diseluk. Memandang Aurora dengan penuh perhatian.

“A… Aurora.” Jawab Aurora sedikit tidak yakin. Buat pertama kalinya, dia bercakap dengan Raimi dalam keadaan yang tenang-tenang.

“Selamat berkenalan.”

Sudah lebih sebulan dia tinggal di sini dan terserempak banyak kali dengan Raimi, baru hari ini dia mendengar suara mesra lelaki itu. Aurora cuma mengangguk. Menyambut salam perkenalan yang dihulurkan oleh Raimi.

“Okeylah. Saya masuk dulu.” Raimi memberi isyarat.

Aurora menghambur nafas lega. Teringat kembali tentang MPV yang dilihat tadi, dia kembali mendekati tembok balkoni. Mengintai kenderaan tersebut di bawah sana. Masih tidak berganjak, Aurora yakin yang MPV itu memang sedang memerhatikan gerak-gerinya.

“Aurora.” Bagai hendak tercabut jantung Aurora tatkala suara Raimi mencecah gegendang telinganya. Kelam kabut dia berpusing. Terlihat Raimi sedang berdiri di muka pintu gelangsar yang separa terbuka.

“Ya?”

“Jangan duduk dekat luar tu lama-lama. Dah dekat senja ni.” Raimi senyum dan menghilang dari pandangan.

Aurora pula memejam mata lantas menyentuh dada. Cuba menghalau rasa paniknya akibat disergah dari belakang. Perlahan-lahan dia meninggalkan balkoni dan ke dalam. Soal MPV itu, dia tahu apa yang mahu dibuatnya nanti.


BAB 17

Pagi-pagi lagi Aurora sudah memandu ke kolej. Elok saja memarkirkan kenderaan di dalam petak parkir di hadapan bangunan fakulti, Aurora mendiamkan diri buat beberapa ketika. Membetulkan cermin pandang belakang, Aurora mengintai kelibat MPV hitam yang baru diparkir di hujung simpang tidak jauh dari jalan masuk ke fakulti.

Aurora mengecilkan mata. Tolak tombol gear dan tekan pedal minyak, dia menghalakan kenderaannya keluar dari petak parkir. MPV hitam mengekori dari belakang. Sengaja Aurora memandu di sekitar kolej sebelum akhirnya memberhentikan kenderaannya tidak jauh dari pondok pengawal berdekatan dengan fakulti. Pintu kereta ditolak. Berjalan terus ke arah MPV hitam yang masih tidak berganjak.

Dengan selamba dia mengetuk-ngetuk cermin gelap dengan kuat, mengarahkan pemandu MPV menurunkan cerminnya. Sempat mata mengerling ke arah pengawal keselamatan yang sedang berdiri tercegat di pintu pondok. Memerhati sekiranya ada sesuatu yang berlaku kepadanya, pengawal keselamatan itulah yang akan menjadi saksi dan bakal menjadi orang pertama yang menyelamatkannya.

“Turunkan cermin!” Aurora membentak apabila pemandu di dalam masih tidak mahu memberikan kerjasama.

Namun, bukan cermin kereta yang diturunkan tetapi orang dari dalam yang keluar dari MPV.

“Awak ni siapa? Kenapa ikut saya?” aju Aurora seperti singa kelaparan. Rasa marahnya mula bercambah terhadap pemandu MPV yang segak mengenakan suit seperti pelakon filem Men In Black. Lengkap dengan kaca mata hitam dan alat canggih yang tersangkut di telinga.

Belum sempat si jejaka bersuit hitam menjawab, muncul seorang lagi lelaki berpakaian serupa dari pintu penumpang. Mata Aurora menyorot jatuh kepadanya.

“Cik Aurora.”

“Macam mana awak tahu nama saya? Awak berdua ni siapa? Penculik?” tak puas hati sungguh dia melihat dua orang lelaki muda di hadapannya ini.

Aurora memandang kiri kanan. Bersedia hendak menjerit jika apa-apa berlaku kepadanya.

“Saya Farouk. Ini Hazman.” Lelaki yang memandu MPV memperkenalkan diri.

“Korang siapa?”

“Maafkan kami kalau kami dah buat Cik Aurora takut. Kami berdua bekerja dengan Tuan Carliff.”

“Pekerja daddy?”

Farouk dan Hazman mengangguk serentak. Aurora pula memegang kepala. Ah! Biar betul?

“Habis tu… korang berdua buat apa dekat sini? Masuklah pejabat!”

“Jangan salah faham, Cik Aurora. Kami berdua ditugaskan untuk menjaga Cik Aurora.”

Wh-what? Jaga apa ni? Sejak bila?”

“Kami diarahkan untuk menjaga Cik Aurora. Semuanya atas arahan Tuan Carliff.”

Aurora tercengang-cengang. Seriuslah?

“Aurora! Kau buat apa dekat situ?” teriakan Mya mengalihkan perhatian Aurora. Dia nampak Mya sedang berlari-lari anak ke arahnya.

“Jomlah masuk kelas. Dah lewat ni.” Ajak Mya sambil memandang dua pengawal Men In Black yang sedang tercegat di hadapan Aurora.

“Kenapa ni, Aurora? Siapa diorang ni?” sempat Mya berbisik, mendapatkan kepastian daripada Aurora.

“Saya tak habis lagi dengan korang berdua!” Spontan Aurora meninggalkan Farouk dan Hazman lantas bergegas ke kelas.

Keluar dari bilik kuliah tengah hari itu, Aurora berpisah jalan dengan Mya dan terus membolosi perut kereta. Dia lihat MPV yang dipandu oleh Farouk mengekori rapat di belakang keretanya.

Aurora pasang senyuman senget.

Korang cari penyakit dengan aku, kan? Tak apa. Korang tunggulah apa nasib korang sekejap lagi.

Myvi dipandu masuk ke perkarangan bangunan Wisma Lukman, tempat di mana pejabat daddy berada. Tanpa menghiraukan sesiapa, dia tergesa-gesa ke dalam. Berkali-kali butang lif ditekan, menuju ke tingkat 8. Pintu yang hampir tertutup disekat oleh Hazman. Masuk dua orang pengawal Men In Black ke dalam perut lif. Aurora menyumpah di dalam hati.

Ah! Dasar penyibuk!

Sampai di tingkat 8, terburu-buru dia menuju ke pejabat daddy yang terletak di bahagian paling hujung. Tanpa ketukan pintu atau keizinan, laju saja dia menolak daun pintu.

“Adik? Buat apa dekat sini?” daddy seolah-olah terkejut melihat kehadirannya. Wajah kemerah-merahan Aurora yang sedang menahan marah membuatkan daddy cepat meneka, apatah lagi setelah munculnya Farouk dan Hazman dari belakang.

“Kenapa daddy buat adik macam ni?” ajunya dengan suara yang tegang.

“Kenapa?” daddy menyoal semula dengan wajah tenang. Talian telefon dimatikan setelah meminta perbualannya ditangguhkan buat sementara disebabkan kehadiran Aurora secara tiba-tiba.

“Awak berdua keluar dulu,” arah daddy kepada Farouk dan Hazman.

Aurora menjeling kedua pengawal upahan daddy itu. Geram! Kalaulah dia tidak perasan MPV hitam sejak semalam, sudah tentu mereka berdua akan terus mengekorinya ke mana-mana. Dan sudah tentulah aktivitinya akan dilaporkan kepada daddy. Ah! Sungguh dia tidak suka.

“Daddy tak percaya adik ke? Kenapa sampai kena buat macam ni?”

“Adik tanya kenapa?” daddy memulangkan soalan yang menyebabkan Aurora mengerut muka. Tak puas hati kepada daddy.

“Adik yang minta semua ni. Adik yang paksa daddy buat semua ni. Jadi, macam mana? Suka?” daddy menyindir halus dalam soalannya. Tubuhnya tenang-tenang saja disandar ke kerusi sambil merenung wajah si anak yang sedang menahan bengang.

“Daddy tak boleh buat adik macam ni tau!”

“Jaga percakapan tu, Aurora Ilyssa!” suara daddy ikut meninggi sebaik saja Aurora menaikkan volume suaranya. Tiada lagi panggilan manja dalam keluarga yang terbit dari mulut daddy. Bila daddy dah sebut nama penuh tu, bermaksud daddy benar-benar marah. Dan Aurora sendiri tidak menjangka yang daddy akan membalas soalannya dengan cara begini.

Aurora diam merenung ke lantai. Penumbuk dikepal-kepal, cuba menahan diri daripada melakukan perkara yang bakal membuatkan daddy bertambah marah. Tetapi, jauh di sudut hati… dia merasa lebih marah berbanding daddy. Marah sangat-sangat!

Daddy fikir dengan mengupah pengawal untuk memantau aktivitinya, semuanya akan terjamin? Daddy fikir yang dia akan selesa dengan cara begini? Huh! Menyusahkan lagi adalah.

“Adik tak nak dua orang bodyguard yang daddy upah tu ikut adik ke mana-mana pun adik pergi. Adik rasa tak selesa.” Cuba menjelaskan perasaannya kepada daddy dengan harapan lelaki tua itu memahami kehendaknya.

“Tapi, adik yang nak daddy buat macam ni. Kan?”

Sakit hati Aurora bertambah apabila daddy menyindirnya. Dia yang meminta daddy buat semua ini? Rasanya tidak sekali pun dia minta daripada daddy pengawal peribadi. Malahan, daddy sendiri yang mengupah mereka.

“Adik tak kira, daddy. Adik nak daddy pecat dua orang lelaki tadi.”

Daddy merenung tajam wajah Aurora. Dipusingkan sedikit kerusi empuknya sebelum diam memikirkan kehendak si anak. Mata kembali dihalakan kepada Aurora. Aurora menunduk. Gerun tiba-tiba apabila matanya berlaga dengan mata daddy. Rasa pandangan daddy tu macam boleh tembus sehingga ke belakang kepala. Malah, seluruh kekuatannya bagai dilumpuhkan secara perlahan-lahan dek tenungan daddy itu.

“Betul adik nak daddy pecat Farouk dan Hazman?” aju daddy dengan suara tenang.
Aurora mengangguk-angguk penuh yakin. Memang dia tidak mahu mereka berdua mengekorinya ke mana saja dia pergi. Hari ini baru hari kedua dia diekori. Kalau sampai sebulan, mahu jadi gila dibuatnya. Jadi, sebelum dia betul-betul jadi gila… lebih baik dia minta mereka diberhentikan dan dipecat.

“Okey. Daddy boleh tunaikan permintaan adik. Tapi, dengan syarat.”

Aurora menelan liur. Ah! Sudah. Syarat apa pula yang daddy nak bagi ni?

“Apa syaratnya, daddy?”

***


Assalamualaikum Cik Aurora,

Lukisan bertajuk Rescue Me dah ada pembeli. Saya dah uruskan proses jual beli. Segala maklumat dan butir-butir berkaitan pembelian dilampirkan bersama e-mel ini. Diharapkan agar Cik Aurora segera memberikan maklum balas.
Terima kasih.

Yang benar,
EJ

Aurora yang baru saja membuka peti e-mel hampir melompat kesukaan tatkala e-mel yang dikirim oleh EJ yang merupakan seorang artist agent dibacanya. Lekas-lekas maklumat yang EJ lampirkan dibuka dan diteliti satu per satu.

Buyer sanggup bayar RM750 ribu untuk Rescue Me?” melopong mulut Aurora. Hampir satu juta ringgit nilai yang akan dibayar kepadanya. Jadi, bermakna…

Aurora tenyeh mata. Serius ke ni? Sepanjang dia berurusan dengan EJ, inilah nilai yang paling tinggi yang pernah diterimanya.

Waalaikumussalam EJ,

Siapa buyer tu? Kenapa dia sanggup bayar Rescue Me dengan nilai yang tinggi?

Yang benar,
Aurora Ilyssa

Aurora membalas e-mel EJ sesegera mungkin. Bukan hendak memulangkan butir-butir seperti yang dikirim oleh EJ sebaliknya bertanya soalan luar alam kepada lelaki itu.
Seminit kemudian…

Cik Aurora,

Maaf. Saya tak boleh berikan maklumat terperinci berkenaan buyer tu. Dia minta identiti dia dirahsiakan.

Yang benar,
EJ

Aurora mengerut muka. Biar betul ni? Takkan EJ tak boleh berikan walau sedikit maklumat pun mengenai pembeli tersebut? Agaknya, siapalah orang itu ya? Mungkinkah pengumpul tegar lukisan aneh dari seluruh dunia? Ah! Lantaklah. Tak perlu dia hendak bersusah payah memikirkan siapa pembeli tersebut. Yang penting, lukisannya telah ada pembeli. Hasil jualan itu nanti akan digunakan sebaiknya untuk kesinambungan hidup tanpa perlu mengharapkan ihsan daddy dan mommy.

Teringat kepada daddy, ligat fikirannya berputar kepada kejadian tengah hari tadi di pejabat lelaki itu. Perbualannya bersama daddy mula singgah di minda.

“Apa syaratnya, daddy?”

“Daddy nak adik jual Myvi tu.”

“Jual Myvi? No, daddy! Myvi tu harta yang adik beli dengan duit sendiri. Adik tak boleh jual.” Dia cuba menentang. Gila! Macam mana dia mahu menjual kereta kesayangannya itu kalau kereta itulah benda pertama yang dia beli sesudah berjaya mengumpul duit hasil daripada jualan lukisannya tahun lepas. Walaupun tak adalah mahal nilainya seperti kereta yang dipandu daddy, dia tidak pernah kesah dengan semua itu. Malah, baru saja minggu lepas keretanya keluar dari bengkel setelah dibaiki kerosakan cat pada tubuh keretanya. Takkan semudah itu daddy hendak menyuruh dia menjual kereta kesayangannya itu? Daddy tak boleh buat dia macam ini!

“Kereta tu benda pertama yang adik beli dengan duit sendiri, daddy. Banyak sentimental value. Banyak kenangan adik dengan kereta tu. Adik tak boleh jual macam itu saja.”

“Daddy tak kira. Daddy nak adik jual Myvi tu juga.”

Ketegasan daddy membuatkan hati Aurora semakin berdongkol marah. Dia tahu ayahnya sangat kaya dan lebih daripada mampu untuk membelikannya kereta yang baru. Malah, daddy sendiri boleh menyuruhnya memilih mana-mana kereta yang menjadi koleksi daddy di rumah untuk dipandu ke kolej. Tapi, kereta yang dibeli sendiri dengan kereta pemberian daddy takkan pernah sama.

“Kalau adik jual Myvi tu, macam mana adik nak pergi kolej setiap hari?”

“Zafrin akan ambil dan hantar adik pergi dan balik dari kolej setiap hari. Hujung minggu, adik wajib balik ke rumah tanpa sebarang alasan. Boleh?”

“Tapi…”

“Terima syarat daddy atau adik terpaksa hadap muka Farouk dan Hazman sampai bila-bila.”

“Okey. Adik terima!”

Aurora tersentak daripada lamunan setelah terdengar bunyi loceng di pintu utama. Kelam kabut dia mencapai jaket hoodie lalu mengintai kelibat di luar pintu. Terkejut melihat jejaka yang tinggal di sebelah apartmennya sedang berdiri di luar sana.

“Awak buat apa dekat sini?” aju Aurora setelah menarik daun pintu.

Berkerut-kerut mukanya memandang Raimi yang sedang tersenyum manis kepadanya.

“Awak dah makan?”

“Belum.”

“Ini untuk awak.” Spontan satu bungkusan plastik berisi nasi goreng cina dihulur kepada Aurora berserta sebungkus kopi o ais.

“Eh, tapi…”

“Ambillah. Saya sengaja beli lebih.” Raimi tayang bungkusan plastik di tangan kirinya yang berisi makanan buat diri sendiri.

Aurora diam. Tidak memberikan sebarang reaksi kepada Raimi. Jujur dia tak tahu nak kata apa. Pelik juga sebab jiran yang dianggap ‘bermasalah’ tiba-tiba datang berbuat baik kepadanya.

“Jangan takut. Saya tak letak apa-apa kat dalam ni.” Raimi menyengih, masih cuba memancing Aurora agar menyambut pemberiannya.

“Terima kasih,” sudahnya dia menyambut juga. Itu pun dari celah pagar yang berkunci.

“Makan tau.” Pesan Raimi sebelum berlalu ke apartmennya.

Aurora letak bungkusan nasi ke atas meja. Hempas punggung ke kerusi, dia cuma mampu tenung pemberian Raimi itu.

“Rezeki jangan ditolak, Aurora. Bala pula jangan dicari.” Aurora berbisik.

Orang dah buat baik, terima sajalah. Buat apa hendak bersangka yang bukan-bukan. Lagi pun, mereka berjiran. Kalau ada apa-apa masalah nanti, jiran jugalah yang akan menjadi orang pertama yang akan menghulurkan bantuan.

Sumbat nasi goreng ke dalam mulut, nikmatnya terasa sehingga matanya terpejam-pejam. Sedap sungguh! Aurora tersenyum nipis. Mungkin ini merupakan permulaan yang baik di antara dia dan Raimi.

Raimi yang baru selesai mandi segera duduk di sofa lantas merenung skrin televisyen yang bernyala sejak tadi. Senyuman senget terukir. Sambil mengeringkan rambut dengan tuala, otaknya ligat berfikir.

Tubuh disandar ke sofa dengan tenang. Teringat tentang jiran sebelahnya membuatkan hatinya dihurung rasa gembira yang bukan kepalang.

“Ini baru permulaannya, Malique.” Bisiknya sebelum ketawa kecil.

Nampaknya, Aurora sudah mula masuk ke dalam jeratnya. Tidak begitu sukar rupanya hendak memancing si gadis agar jatuh ke dalam genggaman. Bayangan kontrak yang bakal diperolehi bermain-main di mata. Bayangan kenaikan pangkat dan kenaikan gaji juga saling bertamu di layar minda.

Ah! Tak lama lagi kau boleh bungkus, Malique. Aku yang akan naik. Dan kau akan jadi sejarah.

Raimi ketawa-ketawa. Membayangkan saat kejatuhan Malique tidak lama lagi.


BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...