Thursday, 2 August 2018

9 NOTA Bab 2


“Hujung minggu ni Sara balik ke rumah,” kata-kata mama dari dalam talian membuatkan gincu yang sedang dioles ke bibirku tersasar arah. Cepat-cepat aku mengesat kesan comot di pipiku sambil menelek wajah sendiri di cermin. 

“Erm, mama nak Sara balik? Ada apa?” kening aku bertaut menahan rasa pelik.
Yalah, mana tidak pelik apabila pagi-pagi begini ketika aku sedang bersiap-siap untuk ke pejabat… tiba-tiba saja mama menelefon semata-mata untuk meminta aku pulang ke rumah keluargaku.

“Nanti mama beritahu Sara,” mudah jawapan mama menyebabkan kening aku terus-terusan bercantum.

“Aik, macam ada rahsia aje? Jangan-jangan ada orang nak masuk meminang mama tak?” aku sengaja serkap jarang dengan mama. Semerta terdengar decitan halus mama.
“Habis tu… dah kalau tak ada orang yang nak masuk meminang mama… ada apa? Takkan along yang nak kahwin lagi satu kut?”

“Isk, ada ke situ pula? Tak apalah… Sara balik aje. Nanti bila Sara dah sampai, mama beritahu.”

“Err… itulah, ma. Bukan tak boleh balik tapi leceh sikit la. Sebab sekarang ni Sara tengah sibuk dengan projek…”

“Mama tak nak dengar apa-apa alasan, Sara. Boleh atau tidak… apa yang mama tahu Sara kena balik. Faham?”

Bunyi macam arahan mandatori nampak? Aduhai, ini yang kadang-kadang membuatkan aku tersepit ni. Kalau aku membantah, aku risau kalau-kalau mama cap aku anak derhaka pula. Tapi, kalau aku bersetuju dan mengiyakan saja… macam mana pula dengan kerja-kerja di pejabat?

“Erm, yalah… Datuk Raihana. Saya menurut perintah…” akhirnya aku menjawab dengan hati yang separa rela diselangi usikan terhadap mama.

Usai menamatkan panggilan, telefon di tangan hanya mampu aku renung. Pelbagai persoalan muncul di benakku menyebabkan otakku terasa seperti digoncang-goncang.

“Kaisara!” tiba-tiba saja terdengar suara lantang Puteri dari bawah. Kus semangat!

“Iya, ada apa Put?!”

“Kau dah siap atau belum? Turunlah sarapan sekali.”

“Hah, yalah-yalah. Sekejap!”

Sambil menjinjit beg bimbit, dua fail kerja yang sempat aku bawa balik serta beg tangan yang disangkut ke bahu… satu per satu anak-anak tangga aku jejak menuju ke bawah.

Morning. Ada apa-apa yang boleh aku tolong?” aku memandang meja makan yang sudah terhidang dengan pelbagai makanan.

“Ada… kau cuma tolong duduk dan makan,” balas Puteri yang baru meletakkan teko di atas meja.

“Kemain banyak makanan atas meja ni? Ada orang nak datang ke, Put?”

“Tak ada sesiapa yang nak datang pun. Aku saja masak lebih. Kejap lagi boleh bawa bekal pergi kerja. Kalau kau nak… aku boleh siapkan bekal untuk kau sekali. Nak tak?”

“Isk, tak payahlah. Tengah hari nanti aku nak jumpa klien kat luar. Karang kalau aku bawa bekal, membazir aje…” ujarku sambil menghantar kelibat Puteri ke dapur.

“Sara… aku dengar kau dapat nota misteri. Betul ke?” soalan daripada Krisya yang baru muncul di meja makan membuatkan aku memanggung kepala.

“Haih, mak cik bawang mana yang beritahu kau ni?”

“Siapa lagi mak cik bawang kat dalam rumah ni?” Krisya tersengih-sengih mengerling Puteri yang baru saja kembali ke meja dan meletakkan sepinggan nasi goreng di hadapan kami.

“Nampaknya macam itulah,” balas aku acuh tak acuh menjawab pertanyaan Krisya.
Bihun goreng yang sudah berada di atas pinggan aku main-mainkan dengan hujung garfu. Yang sebenarnya, aku malas untuk bercerita hal yang berkaitan dengan nota misteri pagi-pagi begini di hadapan rezeki. Kerana sesungguhnya, bercerita mengenainya membuatkan mood baik aku hilang begitu saja. Malah, apabila mengingati tentang kegagalan aku untuk melelapkan mata sepanjang malam tadi membuatkan aku terasa mahu naik angin. Semuanya gara-gara nota misteri!

“Krisya, flight kau pukul berapa?” lekas-lekas aku mengubah topik sebaik melihat Krisya seolah-olah mahu bertanya lanjut hal nota misteri.

“Pukul 5 petang.”

“Kau fly ke mana? Berapa hari kau pergi?”

“Jakarta. Aku pergi sekejap saja. Lusa aku baliklah. Kenapa? Ada apa-apa yang kau nak kirim?”

“Tak ada.”

“Sara… betul ke apa yang ditulis kat atas nota misteri tu? Dia suruh kau tinggalkan Syazwan?”

Tersedak aku dibuatnya bila Krisya menyebut nama Syazwan. Cepat-cepat cawan kopi dicapai lalu meneguk kopi sehingga licin.

“Agaknyalah.”

“Isk, kalau betullah dia suruh kau tinggalkan Syazwan…euwww… gila creepy!
Creepy? Entahlah. Aku tidak tahu yang mana satu lebih menakutkan. Sama ada pengirim nota itu atau pun sesuatu yang pengirim nota itu tahu mengenai Syazwan.

“Kau tak ada syak sesiapa ke, Sara?”

“Maksud kau?”

“Maksud aku… kau tak ada syak sesiapa yang kau kenal ke? Mungkin saudara mara kau atau kawan-kawan pejabat kau. Manalah tahu… kalau-kalau salah seorang daripada diorang yang kirim nota-nota misteri tu kat kau selama ni?”

Saudara-mara? Kawan-kawan pejabat? Siapa saja yang nak mempedajal aku dengan kiriman nota-nota misteri ini? Ah, tak logik!

Hello, sunshine!” tak semena terdengar suara Gina, seorang lagi teman serumahku dari arah tangga.

“Eee… tak payah nak sunshine-sunshine sangat boleh tak? Tu… air liur penuh melekat kat pipi. Euwww!” Krisya mencebik, menempelak Gina sambil menjeling.

Please jangan nak buat cerita dongeng ya! Rambut kau tu penuh kelemumur tak nak ambil kesah ke?”

“Eh-eh… dia mengutuk kita pula. Hello, rambut ni baru dicuci siap buat rawatan dekat salon lagi. Kau ada?”

“Eh-eh… macamlah dia seorang yang mampu pergi buat rawatan kat salon.”
“Menyampah!” Krisya menjeling sebelum tergelak, disambut tawa Gina.
“Isk, korang berdua ni. Kalau tak buat kecoh pagi-pagi macam ni tak sah, kan?”
“Alaa… Sara. Chill la, beb. Kitorang berdua bergurau aje pun.” Gina tersengih-sengih membalas kata-kataku.

“Eee… malas la aku nak melayan kerenah korang berdua ni. Depan rezeki pun nak bertekak. Pening kepala aku!” aku menyela sikap keanak-anakan kedua-dua teman aku ini.

“Kitorang gaduh-gaduh manja ajelah. Chill okay? Chill. So, Sara…apa cerita dengan nota misteri tu?”

“Ya Allah, sorang lagi tanya pasal nota tu. Girls, boleh tak pagi-pagi macam ni kita tak bercakap pasal hal tu? Aku ada banyak hal yang nak kena fikir hari ni. Boleh tak jangan serabutkan fikiran aku?”

“Kau rasa… kenapa dia tulis macam tu?” soal Gina tanpa menghiraukan amaran aku.
Aku mengangkat bahu. Malas sebenarnya mahu melayan soalan-soalan Gina yang aku kira seperti mencabar minda aku.

“Aku rasalah… pengirim tu syok kat kau la Sara.” Krisya menjongket kening, berserkap jarang kepadaku.

“Hmm… aku pun rasa macam tu. Entah-entah pengirim nota tu peminat rahsia kau, Sara.”

 “Isk, janganlah merepek.”

“Eee… tak ada satu benda kat dalam dunia ni pun yang merepek, Sara.” Krisya memintas.

“Haa… kan? Nothing is impossible. Tapi, kan… kau rasa-rasa… dia betul-betul maksudkan supaya kau tinggalkan Syazwan ke?” soalan Gina menyentakkanku.

“Sara… Syazwan ada buat something yang boleh menyebabkan kau tinggalkan dia ke? Atau… dia ada sorokkan sesuatu daripada kau?” soalan Krisya yang menyelinap masuk ke gegendang telingaku membuatkan aku rasa seperti hendak menghempaskan penumbuk ke atas meja.

Stop it, girls! Syazwan bukan macam itu. Sepanjang aku kenal Syazwan, tak ada satu perkara yang tak elok pun yang aku dengar pasal dia. Dia bukan macam lelaki-lelaki yang pernah aku kenal sebelum ni. Takkan dia nak buat benda bukan-bukan kat belakang aku pula?” aku cuba mempertahankan Syazwan. Lagi pun, apa yang aku perkatakan sememangnya satu kebenaran.

“Jangan terlalu yakin, Sara. Kau pasti dia bukan macam lelaki-lelaki lain?”

“Jangan buat aku bersangka buruk pada dia, Gina. Aku kenal dia lebih daripada korang kenal dia.”

Okay… okay… chill, girls. Macam inilah… katakanlah Syazwan tu memang lelaki yang baik, jujur dan setia. Pendek kata, dia perfect guy. Habis tu… kenapa pengirim nota misteri tu tulis macam tu? Atau dia sebenarnya tahu sesuatu tentang Syazwan yang kau sendiri tak tahu?” celah Krisya.

Ketika ini, rasa takut mula menyelubungi aku. Takut dengan kata-kata Krisya malah takut dengan kebenaran yang terselindung di sebalik nota yang aku terima.

“Aku rasa, pengirim nota ni memang peminat rahsia kau. Tak syak lagi. Sembilan kali dia hantar nota, beb! Kau rasa manusia gila mana yang sanggup bersabar selama ini untuk hantar nota-nota tu pada kau?” Gina menokok membuatkan otakku terasa mengembang seperti sebiji belon yang sedang dipam-pam.

“Kalau bukan peminat rahsia… mungkin juga dia stalker.” celah Puteri yang baru menghampiri meja makan sambil membawa segelas susu.

“Atau pun… an enemy!” Krisya menepuk tangan dan menjegilkan matanya kepadaku seperti baru saja berjaya menjawab soalan pop kuiz.

Enemy?

Yes, an enemy. Cuba kau ingat balik… ada tak siapa-siapa yang dengki dengan kau? Atau mungkin kau pernah sakitkan hati sesiapa?” aju Krisya lagi.

“Isk, peninglah kepala aku. Dah la… aku rasa lebih baik kita berhenti bercakap soal nota. Lagi pun, aku kena ke pejabat. Ada banyak kerja yang aku kena buat hari ni.”

Aku bangkit dan menarik beg tangan dari kerusi. Makin lama mendengar celoteh-celoteh teman-teman serumahku, makin pening kepala aku dibuatnya.

Sara, chill okay? Kitorang bukan apa… kitorang cuma nak tolong kau aje.” Puteri cuba menahanku daripada pergi.

“Nak tolong? Kalau macam itu… korang tolong berhenti bercakap pasal nota misteri untuk beberapa hari. Boleh?”

Dengan tegas aku menyuarakan hasratku. Bagiku, inilah jalan terbaik buat masa ini. Aku tidak mahu mendengar apa-apa cerita yang berkaitan dengan nota misteri untuk beberapa ketika. Aku hanya mahu menjalani hari-hari aku dengan tenang.

Tetapi, mampukah hati aku merasa tenang setelah pengirim nota itu cuba mengocak perasaan aku dengan kiriman nota itu?



***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311




No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...