Monday, 6 August 2018

9 NOTA Bab 6


Suara Hana yang sedang bernyanyi-nyanyi kecil masuk ke gegendang telingaku tatkala aku baru melangkah keluar dari bilik air. Spontan, tanganku ternaik menyentuh dada menahan rasa terkejut.

“Isk, Hana! Buat apa kat dalam bilik Kak Sara ni? Macam mana boleh masuk ke sini?” aju aku sambil melarikan bebola mata ke arah pintu.

“Kak Sara tu yang tak reti kunci pintu.” Hana terjuih.

Aku berdecit. Isk, kalau tak kunci pintu… bukan bermakna dia boleh sesuka hati merempuh masuk ke sini. Sudah la aku sedang berkemban. Buatnya Joey yang masuk, habis.

“Kak Sara… cantik tak Hana pakai?” tiba-tiba Hana bertanya ketika aku sedang mencari pakaian di dalam almari. Hana menayang pergelangan tangannya yang sudah dihiasi dengan seutas jam tangan berjenama mewah Vacheron Constantin.

“Mana datang pula jam mahal tu?”

“Isk, Kak Sara ni dah lupa ke? Ini kan hadiah yang ada kat dalam beg kertas tu…” bibir Hana menjuih ke arah beg kertas merah jambu di atas meja sebelah katil.

“Ada Kak Sara suruh buka hadiah tu ke?” tangan aku naik ke pinggang sambil membulatkan mata. Yang sebenarnya, aku sedang menahan rasa yang bergejolak di hati setelah mengingati tentang hadiah pemberian Daniel itu.

“Alaa… takkan dengan Hana pun nak berkira? Macam mana, Kak Sara? Cantik, kan?”

“Tolong letak balik kat dalam kotak tu, Hana.” Aku menyuruh dengan bibir yang mengetap kuat. Isk, budak ni. Ada-ada sajalah hal yang dibuatnya untuk menaikkan darah aku.

Okay, fine! Kedekut tahi hidung masin la Kak Sara ni. Pinjam sekejap pun tak boleh.” Hana merungut sambil tangan ligat meletakkan semula jam ke dalam kotaknya. Tanpa menunggu lama, Hana mencampakkan dirinya ke atas katil aku lalu berbaring. Ada senyum di bibirnya. Ada cahaya di matanya.

“Haaa… tu dah kenapa pula? Senyum-senyum… sengih-sengih. Berangan nak kahwin dengan anak raja mana pula?”

“Kak Sara… apa yang Kak Sara rasa?”

“Rasa apa?” aku menarik bantal golek di tengah katil lalu ku hayunkan ke tubuh Hana yang sedang menawan katil aku.

“Alaa… buat-buat tanya la pula. Apa yang Kak Sara rasa pasal dia?”

“Dia? Siapa dia tu?” sengaja aku berpura-pura tidak faham sedangkan hakikatnya aku tersangat faham siapa yang dimaksudkan oleh Hana. Tanpa menghiraukan Hana, aku mendekati meja solek dan menelek muka sendiri di cermin.

 “Sudah gaharu cendana pula… siapa lagi kalau bukan lelaki hot yang datang ke rumah kita tadi. Apa entah nama dia. Hah, Daniel Ilham kut!”

“Hana nak Kak Sara jawab apa?” aku jeling Hana melalui cermin di hadapanku. Muka Hana nampak bersungguh. Kepoh-chi betul adik aku yang seorang ini.

Kalaulah aku jawab terus terang apa yang aku rasa terhadap Daniel, aku yakin Hana mesti akan pecahkan rahsia hati aku ini kepada mama.

“Kak Sara beritahu la apa yang Kak Sara rasa tentang dia,” tambah Hana lagi.

“Kak Sara!” Hana berteriak apabila aku tidak mengendahkannya.

“Abang Daniel tu hot, kan?”

Aku juih bibir.

“Dah la hot, handsome, sado pula tu. Kalah anak raja. Kalau dia lalu aje, terteleng kepala semua perempuan sebab nak pandang dia. Kak Sara pun mesti macam tu, kan?”
Aku masih buat tak tahu pada omelan Hana.

“Kak Sara…”

“Hmm?”

“Ada rasa sesuatu tak bila pandang abang Daniel tu?”

 “Entah. Tak rasa apa-apa pun.” Dengan acuh tak acuh aku membalas.

“Eleh. Tak percayalah. Kak Sara tipu aje ni. Mana boleh tak rasa apa-apa bila tengok lelaki macam abang Daniel tu. Tambah-tambah, abang Daniel tu calon suami pilihan mama. Mesti bergetar-getar hati Kak Sara, kan?” aku menggerutu geram mendengar serkap jarang Hana.

 “Tak kuasalah hati Kak Sara ni bergetar-getar kalau dia tu…” aku mengetap bibir apabila hampir saja aku terlepas kata. Isk, kalau aku kutuk mamat tu di depan Hana, mahunya dia pergi repot kat mama. Tak pasal-pasal bernanah telinga aku dengar mama membebel.

Anyway, mana Hana tahu Daniel tu calon suami Kak Sara? Jangan nak buat cerita ek!”

“Hana tak buat cerita. Semua orang dalam rumah ni dah tahulah yang dia tu calon suami Kak Sara. Lagi pun, Hana ada pasang telinga dan curi-curi dengar perbualan mama dengan abang handsome tu. Sah, mama memang dah plan nak jadikan dia menantu mama.”

“Amboi, kemain ek? Sejak bila jadi spy ni?” aku bangkit dan mendekati Hana. Pinggangnya aku cuit-cuit sehingga dia terkekeh-kekeh ketawa.

“Dah lama. Kak Sara aje yang tak tahu.”

Aku tercebik-cebik memandang Hana. Geram, aku tolak sedikit tubuhnya menjauhi aku. Bantal di hujung katil aku tepuk-tepuk lalu meletakkan kepala ke situ.

“Hana… Kak Sara nak minta tolong sikit boleh tak?”

“Hmm… boleh. Kak Sara nak Hana tolong apa?”

“Bagus. Tolong keluar. Kak Sara penat. Kak Sara nak berehat.” Sempat lagi aku membuka sebelah mata semata-mata mahu melihat reaksi Hana apabila dihalau secara halus olehku. Muncung sedepa Hana membuatkan aku terasa mahu ketawa namun cepat-cepat aku mengetap bibir dan memejamkan mata kembali.

“Eee… kejam!” Hana menampar bahuku. Apabila aku mendengar pintu bilik aku ditutup, baru aku mencelikkan mata semula lantas bangkit dari perbaringan. Tubuh disandarkan ke kepala katil.

 Fikiran aku tercampak ke peristiwa beberapa jam lepas. Beg kertas merah jambu aku jeling sekilas. Wajah Daniel segera muncul dibenakku.

“Daniel Ilham… Kaisara Hakim. Euww, tak sesuai!” tengkuk aku disentuh lalu digosok-gosok.

“Kaisara Hakim… Syazwan Ibrahim… hmm… yang itu baru sesuai. Terlalu sesuai.” Terus aku menyentuh dada sendiri bila nama Syazwan meniti di bibir aku.
Hati aku bergendang kuat. Jantung aku berdetak hebat. Rasa rindu tiba-tiba menggebu buat Syazwan.

***

Telefon yang berada di tangan, aku renung puas-puas. Perbualan aku dan Syazwan yang berlangsung selama kira-kira sepuluh minit dirasakan tersangat singkat. Dia masih lagi berada di Perth dan hanya akan pulang beberapa hari saja lagi. Lewat perbualan kami, dia ada memberitahuku yang dia ada sesuatu untuk diberikan kepadaku apabila dia pulang nanti.

Mengingati dia, bibir aku melebar dengan senyuman. Sejujurnya, biarpun baru saja berbual di talian… aku masih rindukan dia. Aku rindu dengan kehadiran dia di sisi aku. Aku rindukan gelak tawanya dan aku rindukan dirinya yang sering ada di sisi aku sewaktu sedih dan gembira aku. Namun, sedang melayan rasa rinduku yang sarat buat dia di tepi tingkap bilik seperti orang angau, terdengar deheman seseorang di belakangku. Kelam kabut aku berpusing seratus lapan puluh darjah. Dan-dan tu juga aku nampak mama sedang tercegat berdiri di ambang pintu bilik sambil bercekak pinggang.

“Mama… dah lama ke kat situ?” aku terkulat-kulat bila ditenung mama. Rasa segan menginjak-injak ke hati aku tatkala aku berlaga mata dengan mama. Aduhai. Kantoi. Adakah mama telah mendengar seluruh perbualan aku bersama Syazwan tadi?

“Tak adalah lama sangat tapi cukuplah untuk mama dengar ada orang tu rindukan orang di Perth.”

Muka aku terus kebas. Maknanya, mama sudah berada di sini sejak lima minit yang lepas lagi? Macam mana aku boleh tak sedar kehadiran mama? Aduh, malu!
“Berbual dengan siapa?” mama menjeling telefon di tangan aku. Cepat-cepat aku meletakkan telefon ke atas meja di sisi katil dan bergerak mendekati rak buku lantas menarik sebuah buku dari situ. Aku menghempaskan punggung ke atas tilam dan berpura-pura seperti aku tidak mendengar soalan mama tadi.

“Bukan main happy mama dengar. Dari tangga lagi mama dah boleh dengar Sara ketawa.” Mama mendekatiku.

“Mana ada sesiapa, ma. Kawan aje,” jawabku cuba untuk menutup hal sebenar. Melihatkan pandangan mama, terus aku jadi kekok tak tentu arah.

“Kawan? Kawan yang mana satu? Kawan yang mama kenal atau kawan yang mama belum kenal? Kawan biasa atau kawan istimewa?” tudia… pertanyaan mama yang bertalu-talu itu membuatkan aku kehilangan diksi.

Aku hanya mampu tersengih-sengih di hadapan mama. Mahu mengiyakan, serasa seperti tiada keberanian tetapi mahu menafikan pula aku takut ia akan menjadi sebuah penipuan. Lagi pun, aku memang jarang berbual dengan mama tentang hati dan perasaan. Malah, mama juga telah meletakkan syarat untuk seseorang lelaki mendampingiku. Bukan lelaki sembarangan yang boleh menjadi kekasihku. Maka, disebabkan syarat mama itulah aku tidak pernah memberitahu apa-apa mengenai Syazwan kerana aku bimbang Syazwan bukan lelaki yang menepati piawaian mama.

 “Kalau macam ini respon Sara, mama boleh agak orang yang bercakap dengan Sara kat dalam telefon tadi tu seseorang yang istimewa,” selamba mama menuturkannya.

“Erm, boleh dikatakan macam itulah, ma.” Aku menolak rambut lalu menyangkutkan ke telinga sambil menunduk merenung lantai.

“Kenapa tak pernah cerita apa-apa pada mama?”

“Bukan Sara tak nak cerita, ma. Tapi, Sara belum bersedia. Sara tunggu masa yang sesuai nak cakap hal ni pada mama.”

“Habis tu… macam mana dengan Daniel?”
Soalan mama benar-benar membuatkan aku terdiam dengan agak lama. Sebenarnya, aku tak tahu nak cakap macam mana pada mama tanpa mengecilkan hati mama. Daripada apa yang sudah berlaku siang tadi, aku sudah boleh mengagak apa harapan mama terhadap aku dan Daniel.

Aku tahu mama memang berkenan untuk menjadikan Daniel itu menantunya. Malah, mama juga sudah membuat rancangan bersama mommy Daniel iaitu Puan Sri Safiya untuk menjodohkan kami berdua. Maklumlah, mama mahu memanjangkan silaturrahim di antara keluarga kami dan keluarga Daniel.

“Kenapa dengan Daniel?” aku berpura-pura tak faham soalan mama.

“Sara tak suka dia?”

“Sara bukan tak suka dia, ma. Cumanya…”

“Mama tahu soal hati dan perasaan bukan boleh dipaksa. Tapi… Sara cubalah kenal-kenal dulu dengan dia.” Mama seolah cuba ‘meracun’ aku.
Tetapi, untuk menjawab kembali kata-kata mama… aku tidak punya sebarang idea. Malahan, bila difikir-fikirkan semula kata-kata mama, terus terimbas semula kejadian siang tadi.

Entah kenapa dapat aku rasakan yang aku benar-benar tidak boleh menghadap lelaki bernama Daniel Ilham itu. Aku rasa yang aku tidak mampu pun untuk berada bersama-sama dengan dia dalam jangka waktu yang lama.

 “Ma, pasal Daniel tu… Sara rasa macam terlalu awal la. Lagipun, kami berdua baru saja berjumpa siang tadi.” Aku memberikan alasan yang aku kira agak logik.

“Sebab itulah mama suruh kenal-kenal dulu.”

Telefonku dipandang. Mengingati Syazwan yang berada nun jauh di sana, aku jadi serba salah. Apabila mama meminta agar aku berkenal-kenalan dengan Daniel, aku merasakan seolah-olah aku sedang mengkhianati Syazwan.

 “Ma, Daniel tu…” aku cari mata mama.

“Mama faham kalau Sara tak suka. Mama tak boleh memaksa, kan? Tapi, mama cuma berharap supaya Sara boleh bagi peluang kat Daniel.”

“Daniel tu… nak ke kenal-kenal dengan Sara? Yalah, Sara ni kan biasa-biasa aje. Bukannya ada company yang nilainya billion-billion dollar macam dia dan keluarga dia. Kerja pun biasa-biasa, masih makan gaji dengan orang. Harta Sara pun tak berapa banyak, tak ada rumah banglo atau penthouse macam dia. Kereta yang Sara ada pun cuma kereta buatan Malaysia. Lainlah dia, naik Bugatti Veyron.” secara tak sengaja, aku memerli Daniel di depan mama.

Mama menggeleng lantas menepuk paha aku dengan agak kuat.

“Tak baik Sara cakap macam tu. Sara sebenarnya perli Daniel, kan?”

“Mana ada Sara perli dia, ma. Sara cakap benda yang betul. Sara cuma sedar diri. Siapalah Sara ni kalau nak dibandingkan dengan dia. Bak kata orang… macam pipit dengan enggang.”

“Jangan jadikan harta benda dan wang ringgit sebagai kayu ukur untuk kenal hati budi seseorang. Kita semua ni kan sama saja. Sama-sama hamba Allah. Tak ada beza kita disisiNya kecuali amalan kita. Sara dah lupa ke dengan semua tu?”

Aku terdiam mendengar teguran mama. Ya, betul. Aku tidak menafikan semua yang diperkatakan mama. Memang semua manusia tak ada beza di sisiNya kecuali amalan. Malah, aku tidak pernah menjadikan harta benda dan wang sebagai kayu ukur untuk mengenali seseorang. Tidak sama sekali. Cuma apabila mengenangkan apa yang telah berlaku siang tadi, aku jadi sedar diri bahawa aku dengan Daniel memang tak akan ke mana.

 “Tak apalah. Mama tahu Sara bukan orang yang macam itu, kan?”
Mama senyum nipis lalu menyambung… “Mama tahu Sara terkejut bila Daniel datang siang tadi. Silap mama juga tak beritahu awal-awal pasal dia pada Sara. Mama bukan apa, mama takut kalau mama beritahu awal-awal… Sara tak nak balik ke sini pula.” Mama seolah berseloroh denganku.

“Patutlah bila Sara tanya, beria-ia mama tak nak cakap. Jadi, memang mama takut Sara tak nak balik la ni?”

“Mama minta maaf kalau apa yang mama buat ni, Sara tak suka.” Tiba-tiba saja mama minta maaf.

“Ma, janganlah cakap macam tu. Mama tak ada buat salah apa-apa pun dengan Sara. Sara mengaku memang Sara terkejut bila Daniel muncul kat sini. Tapi, mama jangan risau. Sara okey aje. Kalau mama nak Sara kenal-kenal dengan Daniel pun, Sara okey. Sara akan cuba.” Aku cuba menggembirakan hati mama.

Aku tahu mama sedikit terkilan dengan aku tetapi aku masih boleh memperbaiki keadaan dengan cuba menurut kemahuan mama. Aku tidak mahu mama berkecil hati. Aku tak nak sekali-kali membuat mama rasa tak gembira dengan tindakan aku. Aku bimbang kalau-kalau aku jatuh kategori anak derhaka. Nauzubillah!

“Sebenarnya dari mana munculnya Daniel tu? Maksud Sara… kenapa baru sekarang dia muncul? Sara tak pernah kenal pun dia apatah lagi keluarga dia. Sara tak pernah tahu pun kewujudan dia.”

“Daniel tu anak auntie Safiya, kenalan lama mama yang terputus hubungan dengan mama lebih daripada dua puluh lima tahun. Kami kenal sewaktu di universiti. Sewaktu mama dengan arwah ayah sama-sama dekat law school.”

“Oh, gitu ke cerita dia? Habis tu… macam mana boleh terputus hubungan dan macam mana mama boleh berjumpa balik dengan dia?”

“Dia berhenti belajar di universiti sebab nak sambung belajar bidang kedoktoran di Ireland. Sejak itulah kami lost contact sampailah…” kata-kata mama terhenti. Lama mama merenung aku sebelum mama menggeleng-geleng.

“Kenapa, ma?”

“Erm, tak ada apa-apa. Tiba-tiba teringat kat arwah ayah.”

Aku memandang mama yang sudah terdiam. Mama seolah-olah termenung jauh mengimbau kenangan lama.

“Mama rindukan ayah?” tangan mama aku capai lalu digenggam kemas-kemas.

Mama menoleh padaku. Jelas ada air mata yang sedang bertakung di kolam mata mama membuatkan aku cepat-cepat menarik bahu mama lalu memeluknya erat-erat.
Rasa serba salah menginjak-injak hati aku sebab gatal-gatal pergi tanya pada mama soal perasaan mama terhadap arwah ayah. Dah tentu-tentulah mama rindukan ayah. Dan rindu yang ada di hati mama terlalu hebat sehingga tidak ada sedikit ruang pun untuk mana-mana lelaki mencuri hati mama selepas pemergian ayah.

Malah, kalau bercakap soal rindu… bukan saja mama. Aku dan juga adik beradik aku turut sama merindukan arwah ayah. Walaupun sudah lapan tahun berlalu, masih aku terasa akan kehadiran dia di sisi kami.

Dapat aku rasakan yang mama sedang menahan sedih yang menggunung tinggi kerana ketika aku memeluk mama, aku dapat mendengar dengan jelas esakan mama bersama bahunya yang terhinggut-hinggut.

 “Ma, Sara minta maaf kalau Sara buat mama sedih.” ujar aku sebaik tubuh mama aku lepaskan. Mama pula pantas menyeka air matanya sambil menggeleng. Senyumannya dilorek membuatkan aku sedikit kelegaan.

“Tak ada apa-apalah. Mama yang terlebih emotional,” ujar mama lalu tergelak.

“Kalau Sara nak tahu… pernah sekali tu mama berjumpa Auntie Safiya lepas kami lost contact. Masa tu dia balik ke Malaysia dengan keluarga dia masa musim cuti sekolah. Dia pernah datang bawa anak-anak dia ke rumah lama kita di Shah Alam. Tapi, masa tu Sara kecil lagi. Mungkin Sara dah lupa kut?”

“Sekali aje ke dia datang?”

“Iya. Sekali itu aje. Lepas tu sekali lagi kami lost contact.”

Aku hanya terangguk-angguk mendengar cerita mama sambil ligat fikiran aku mencari wajah-wajah yang pernah aku temui dulu tetapi sampai ke sudah tiada apa-apa yang muncul di kepalaku. Agaknya, disebabkan jurang masa yang terlalu besar menyebabkan memori-memori lampau tersebut terpisah daripada kotak ingatan aku dan data mengenai mereka tidak langsung tersisa di fikiranku.

 “Mama suka dengan Daniel tu. Orangnya baik, tahu hormatkan orang tua dan pandai mengambil hati. Untunglah siapa yang jadi isteri dia nanti.” Kata-kata mama tu macam bagi hint saja kat aku.

 “Daniel tu tak ada girlfriend ke, ma? Yalah, umur dia sebaya Sara. Ada rupa dan kerjaya yang bagus… kaya lagi. Pendek kata ada pakej lengkaplah. Takkan tak ada perempuan yang nak kat dia?” aku sengaja menyelidik perihal Daniel daripada mama. Yang sebenarnya, aku terasa pelik. Yalah, Daniel itu kan Mr Perfect. Hampir miliki segala-galanya tetapi takkan tak ada seorang perempuan pun yang melekat dengan dia sehingga dia tidak membantah langsung dengan rancangan mama dan juga mommy dia untuk menyatukan kami?

“Dia tunggu Sara kut.”

Aku gelak. Gelak yang aku buat-buat.

“Ada ke situ pula, ma. Dia nak tunggu Sara buat apa? Dia kan duduk kat luar negara bertahun-tahun… takkan seorang perempuan pun dia tak berkenan?”

“Agaknya, dia nak cari bakal isteri orang sini. Sara cubalah buka hati untuk kenal hati budi dia. Manalah tahu kut berjodoh korang berdua. Tahun ni juga makan nasi minyak.”

“Ma, hati Sara ni ada satu aje…” aku sengaja berkias dengan mama.

Aku mahu mama faham yang hati aku sudah terisi. Dan orang yang mengisi ruang di dalam hati aku tu namanya Syazwan. Macam mana aku nak bagi peluang pada Daniel untuk berada di hati aku kalau ruang yang ada tu cuma untuk Syazwan seorang?

 “Hati Sara memang ada satu, tapi pilihan yang Sara ada lebih daripada satu.”

“Maaa… janganlah macam ni, ma. Mama buat Sara rasa serba salah.”

Mama tergelak. Paha aku ditepuk-tepuknya.

“Gurau pun tak boleh.”

“Jadi?” sambung mama yang sekaligus membuatkan kening aku bertaut.

“Jadi apa?”

“Siapa nama orang yang dah buat anak mama angau sampai macam ni?” mama menjeling telefon aku kat atas meja. Aku syak mama dah hilang idea untuk kenen-kenenkan aku dengan Daniel lagi.

“Syazwan Ibrahim.” Jawab aku bangga tanpa sebarang rasa ragu. Kalau mama mahu tahu mengenai Syazwan, aku rasa yang aku sudah bersedia untuk menceritakan semuanya.

“Bila Sara nak bawa dia jumpa mama? Tak nak kenalkan dia pada mama ke?”

“Insyallah, suatu hari nanti Sara bawa dia datang ke sini.”

“Suatu hari tu bila, Sara?”

“Bila dia tak sibuk. Sekarang ni, dia tak ada kat sini. Dia ada kerja di Perth. Dua tiga hari lagi baru dia balik ke sini.” Terang aku tanpa menantikan soalan selanjutnya daripada mama.
Perbualan di antara aku dan mama mengenai Syazwan terhenti sebaik saja mendengar suara Hana dari muka pintu.

“Sembang apa? Tak ajak pun!” Hana tayang muncung sedepa. Tanpa dipelawa, selamba saja budak tu baring atas riba mama sambil tarik buku kat tangan aku ni.

“Cerita hal orang dewasa… mana boleh ajak.” Aku mengusik Hana.

“Eleh, yalah tu hal orang dewasa. Hana dengar macam sembang hal cintan cintun aje? Lagi pun, Hana bukan budak kecil lagi la Kak Sara.”

“Eh, curi dengar ek?” aku cubit pipi Hana sampai-sampai dia terjerit. Aku dan mama ketawa saja tengok perangai Hana yang kadang-kadang terlebih manja.

“Kenapa datang sini? Kata nak tidur dah tadi?” aju mama sambil menepuk paha Hana.

“Bosan la tidur awal-awal. Lagi pun, esok cuti. Tak ada kelas.”

Assignment dah siap?”

“Dah.”

“Tutorial?”

“Dah. Semuanya dah beres.”

“Hmm. Joey ke mana? Dah tidur ke dia?”

“Entah. Ada kat ruang tamu rasanya. Main game kut.”

“Haih, budak-budak zaman sekarang. Suka kan membazir masa pada benda yang tak berfaedah?” aku memintas, sengaja memerli si Hana.

“Patutnya, waktu-waktu macam ni… Hana dengan Joey pergi ulangkaji pelajaran. Bukan korang berdua dah nak exam tak lama lagi ke?”

Exam lagi sebulan lebih, Kak Sara.”

“Jadi, kalau exam lagi sebulan… tak perlu belajar dan baca buku la?”

“Isk, apa Kak Sara ni. Mama tak cakap apa pun. Kak Sara ni over tau!”
Hana merungut sambil menayang muncung sedepa. Tapi, muka kelat yang ditayangnya itu tak lama mana bila tiba-tiba saja dia membuka topik baru.

 “Ma, abang Daniel yang datang siang tadi tu… handsome, kan?” aju Hana tanpa menghiraukan aku. Malah, dia langsung menggolekkan tubuhnya ke tengah katil sebelum meniarap dan menopang dagu lalu memandang kami berdua.

Handsome. Kenapa?”

“Tak ada apa-apa. Saja tanya mama.”

“Alah… Hana tu… semua orang dia cakap handsome. Kambing ragut rumput kat tepi jalan pun dia cakap handsome!” cebik aku sengaja menyakat Hana.

“Eee… memandai ajelah Kak Sara ni. Tapi, betullah kan abang Daniel tu handsome. Macam ada iras-iras hero Korea. Kalau dia jadi abang ipar Hana mesti best, kan?”

“Eh, tak kuasa hokay!” cepat-cepat aku menidakkan sampai mama pun pandang aku bersama kening yang terangkat. Ops, terjujurlah pula!

“Kalau Kak Sara tak nak kat abang Daniel tu, bagi ajelah kat Hana. Biar Hana mengorat dia. Hana memang suka dengan lelaki Korean look. Boleh kan, ma?”
Aku mengecil besarkan mata aku tenung si Hana ni. Amboi-amboi, gatal kemain dia ni ek?

“Mama okey aje. Tapi, dengan satu syarat. Konvo nanti Hana mesti dapat first class degree. Boleh?”

Aku nampak muka Hana dah pucat bila mama menyatakan syaratnya.
Mama bangun masa Hana tengah terkulat-kulat. Kata mama dia nak masuk tidur. Hana pula menonong mengekori mama sambil merayu. Aku tergelak mendengarkan rayuan Hana yang mahu minta mama tarik semula syarat tadi. Haih, macam-macam si Hana ni!

Tersenyum-senyum aku dibuatnya bila memikir-mikirkan kata-kata Hana tadi mengenai Daniel. Hmm… Korean look ya, Hana? Tak apalah. Walau macam mana pun rupa Daniel tu, aku tak peduli. Apa yang penting, aku cuma nak Syazwan saja.

 “Syazwan, cepatlah balik sini.” Aku menggumam seolah Syazwan boleh mendengar kata-kataku.




***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311




No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...