Saturday, 4 August 2018

9 NOTA Bab 4


“Mana kereta kau, Sara?” sebaik aku melangkah masuk ke rumah, aku terdengar Puteri menyapaku. Aku hanya mampu tersenyum kelat sambil merapatkan pintu utama.

 “Tinggal kat pejabat,” ujar aku dalam nada yang cukup penat. Nampak saja sofa di depan mata, terus aku merebahkan badan ke sana melepas lelah.

“Kenapa? Kereta kau rosak ke?” aju Puteri lagi sembari memanjang-manjangkan lehernya mengintai ke luar jendela.

“Kunci hilang.”

“Laaa… macam mana boleh hilang? Patutlah aku tak dengar bunyi enjin kereta kau. Dah tu… kau balik dengan apa?”

“Entah la, Put. Agaknya aku tersalah letak kut. Tidak pun mungkin tercicir kat mana-mana. Ni… aku balik naik teksi. Aku nak balik dengan Grabcar, telefon aku pula habis bateri.” Aku membebel melepas perasaan pada Puteri.

Geram dengan diri sendiri sebenarnya. Itulah Kaisara Hakim. Cuai. Sudahlah kunci kereta entah di mana, lepas tu telefon pula habis bateri. Sudahnya, terpaksa la menunggu teksi berjam-jam.

 “Patutlah aku call kau tak dapat-dapat. Risau aku tahu tak?” Puteri menceceh di sebelah aku.

“Tak payahlah risau. Aku bukannya budak kecil lagi.” Aku membalas menyebabkan Puteri menepuk paha aku.

“Mananya aku tak risau. Kau tu dah la spesis cuai…”

“Amboi, kemain perli kita.”

“Apa, tak betul ke? Aku ni… bukan takat risau aje tau. Dah macam kucing hilang anak aku dibuatnya. Sikit lagi aku nak call polis minta tolong cari kau.” Puteri gelak-gelak membuatkan penat kat tubuh aku terus hilang.

Rasa terharu menyelinap ke hati melihat keprihatinan Puteri. Aku tahu, dia memang sahabat yang baik. Sahabat yang sentiasa mengingati teman-teman yang lain, yang sentiasa mengambil berat dan saling menjaga. Aku beruntung kerana memiliki Puteri sebagai salah seorang sahabat aku.

“Ni… kau balik malam-malam macam ni, kau dah makan atau belum?” Puteri menampar paha aku sambil menaikkan sebelah keningnya.

Aku jeling jam. Jarum jam sudah berada di angka sebelas malam membuatkan aku menggeleng. Teringat yang aku sebenarnya masih belum makan malam, aku pandang Puteri dengan tanda tanya.

“Kenapa?”

“Aku dah masak. Ingat nak makan sama-sama, tapi bila aku call tak dapat-dapat… aku makanlah dulu. Kau lapar tak?” Puteri menepuk paha aku lagi. Aku pula menyentuh perut sendiri. Huh, silap besar la bila Puteri tanya macam tu pada aku.

“Lapar la.”

“Bagus. Jom makan!” dan-dan Puteri menarik tangan aku menghampiri meja makan. Aku nampak ada beberapa jenis lauk yang sudah terhidang di atas meja. Ada ayam bakar, gulai lemak nangka, kerabu mangga dan sotong goreng kunyit.

“Kau masak banyak-banyak macam ni, siapa yang nak makan? Krisya tak ada kat rumah seminggu. Gina tu belum tentu balik malam ni. Takkan kau nak aku habiskan semua lauk-lauk ni kut?”

Aku merenung tampang Puteri yang sedang menuang air kosong ke gelas.

“Apa salahnya? Lagipun, aku tengok ada banyak bahan kat dalam peti ais tu. Daripada membazir, lebih baik aku habiskan semua bahan-bahan tu. Kenyang juga kita, kan?”

 “Kau ni memang patut jadi chef ajelah, Put. Bukannya cikgu matematik.”

“Dah… tak payah cakap banyak. Kau makan kenyang-kenyang dan habiskan semua makanan ni. Nanti senang aku nak cuci pinggan.”

“Put…” aku menegur Puteri ketika aku selesai menghabiskan sepinggan nasi. Ketika itu Puteri pula sedang meneguk air.

“Kau rasa… aku akan berjaya tak jejak pengirim nota tu?”

Burr!

Spontan, air di dalam mulut Puteri menyembur keluar sehingga dia tersedak-sedak. Kelam kabut aku bangun dan menepuk-nepuk belakang tubuhnya dengan sedikit rasa serba salah.

“Kau cakap apa tadi, Sara? Kau nak jejak pengirim nota?”

“Ha’ah. Kenapa? Aku salah cakap ke?”

“Apa mimpi kau tiba-tiba saja nak jejak pengirim nota tu?” suara Puteri naik beberapa oktaf. Agaknya dia terkejut apabila mendengar kata-kataku.

“Aku tak mimpi apa-apa pun, Put. Aku dah fikir masak-masak. Sampai bila aku nak hidup dengan hati yang tak tenang? Aku nak cari dia. Aku nak bersemuka dengan dia. Aku nak selesaikan hal di antara aku dengan dia walaupun aku sendiri tak tahu apa sebenarnya masalah aku dengan dia. Aku tak nak tunggu sampai sesuatu terjadi atau sampai aku terima nota kesepuluh daripada dia.”

But how? Kau tak tahu siapa dia. Kau tak tahu identiti dia. Macam mana kau nak cari dia?”
“CCTV.”

“CCTV? Maksud kau… kau nak tengok CCTV footage?

“Iya. Aku yakin aku akan dapat kesan dia dengan tengok CCTV footage. Dia letak nota misteri tu kat dalam peti surat, kan?” senyum senget aku tayang pada Puteri dengan rasa nekad yang memuncak.

“Memanglah. Tapi, kau kena ingat. Kat rumah kita mana ada CCTV.”

“Kat rumah kita memang tak ada CCTV tapi kat rumah jiran kita kan ada. Aku nak minta tolong Uncle Lee. Aku nak periksa CCTV footage kat rumah dia. Mana tahu kalau-kalau aku dapat cam siapa yang letakkan nota tu kat dalam peti surat kita.” Aku menjelaskan panjang lebar kepada Puteri dengan harapan agar dia memahami apa yang sedang aku rancangkan. Biar dia tahu aku benar-benar nekad mahu menjejaki pengirim nota dan aku tidak main-main kali ini.

“Kau nak tengok CCTV footage kat rumah Uncle Lee?” Puteri menaikkan keningnya sambil memandang aku seperti ada sesuatu.

“Yep. Kenapa?”

“Kau dah lupa ke, Sara? Orang tua tu mana ada kat rumah. Dia kan pergi melawat anak dia kat Amerika. Bulan depan baru dia balik. Macam mana nak minta tolong dia?”
Penjelasan Puteri membuatkan aku tergigit lidah sendiri. Aduhai, rosaklah rancangan aku macam ini. Macam manalah aku boleh terlupa jiran kami yang tinggal di sebelah rumah sewa ini tidak berada di rumah dalam tempoh yang agak lama?

“Aduh, macam mana ni?”

 “Pergi buat laporan polis aje la, Sara. Selesai masalah. Aku dah cakap dah, kan? Tapi kau degil tak nak dengar cakap aku.”
Aku tarik muka apabila Puteri seolah-olah tidak mahu menyokong aku.

“Tapi…” aku mengangkat muka apabila Puteri bersuara.

 “Kalau kau betul-betul nak tengok CCTV footage… apa kata kau minta tolong dengan jiran yang tinggal kat depan rumah kita. Aku rasa rumah dia ada CCTV.” Puteri memberi cadangan dengan memandang tepat ke anak mataku.

“Rumah kat depan rumah kita? Maksud kau…” kata-kataku terhenti.
Hatiku tersentak dan fikiran aku tiba-tiba saja membeku.

“Iya, jiran yang baru berpindah masuk tu.”
Semerta darah di wajahku terasa seperti disedut-sedut keluar dari tubuh menyebabkan aku terdiam sedikit lama.

“Isk, kau gila ke apa Puteri? Tak naklah aku.” Aku menggeleng kepala dengan bersungguh-sungguh, cuba menolak cadangan Puteri itu. Kalaulah dia tahu apa yang bersarang di hatiku ketika ini, dia mesti tak akan beri cadangan sebegitu.

 “Apsal pula tak nak? Tadi kau cakap nak tengok CCTV footage. Pergilah periksa kat rumah jiran kita tu. Mana tahu kalau-kalau kau jumpa apa yang kau cari.”
Melihatkan senyuman senget di hujung bibir Puteri, aku menggerutu geram padanya.

“Kau ni memang sengaja, kan? Itu menjerut leher sendiri namanya. Kau tahu kan pasal jiran kita yang baru pindah tu…” suara aku sengaja direndahkan sedikit lalu mata kubesar-besarkan di hadapan Puteri.
Puteri tergelak.

“Kenapa? Kau takut?”

“Jangan berpura-pura tak tahu apa-apa, Put.” Aku menjeling dia.

Kadang-kadang, rasa macam nak tarik saja rambut panjang Puteri itu. Biar dia berhenti ketawa dan mengusikku dengan cara begini.

“Alaa… kalau setakat kena usyar dengan mamat tu… tak ada apa-apalah.”

“Tak ada apa-apa kau cakap? Kau tahu tak… setiap kali mamat tu nampak aku… ada dua benda saja yang dia buat. Yang pertama, dia pandang aku macam aku ni ada buat salah besar kat dia. Yang kedua, setiap kali nampak aku… dia akan berdiri dan pandang aku macam nak mengapa-apakan aku. Aku seorang saja tau. Dengan kau, Gina atau Krisya tak ada pula dia buat macam tu. Tak ke psiko mamat tu?”

“Entah-entah memang kau pernah buat salah kat dia.” Aku berdecit sebaik Puteri menyerkap jarang.

“Jangan merepeklah, Puteri. Bila masa aku buat salah kat dia? Kenal dia pun tidak… apatah lagi nak bercakap dengan dia. Mamat tu betul-betul creepy. Kau nampak ni… bulu roma aku dah meremang bila bercakap pasal dia.” Aku tunjuk lengan aku.

“Habis tu… macam mana dengan misi kau tu? Kata nak jejak pengirim nota?”

“Memang la… tapi, minta tolong daripada mamat psiko tu bukan jalan terbaik. Itu cari nahas namanya!”

“Isk, janganlah berfikiran negatif sangat. Ke mana rasional kau, Kaisara?”

“Dalam kes ni, dikecualikan!” aku membidas Puteri lalu menyambung… “Aku tak berani tegur dia, Put. Aku tak tahu apa yang akan terjadi kalau aku buat macam tu. Lagi pun, aku ingat lagi apa yang Krisya pernah cakap kat aku hari tu. Dia kata dia ternampak mamat psiko tu keluar dari rumah sambil bawa plastik hitam pukul 12 tengah malam. Bukan sekali, bukan dua kali tapi dah berkali-kali! Kau rasa-rasa apa yang ada dalam plastik-plastik hitam tu? Entah-entah…” aku tidak mampu meneruskan kata sebaik mengingati cerita Krisya mengenai jiran kami.

“Entah-entah apa? Kepala orang?”

“Choih, jangan sebut!”

“Tak baik tau buat fitnah. Entah-entah dalam plastik hitam tu ada barang-barang yang dia nak dispose?

“Tapi pukul 12 tengah malam? Apa maknanya tu?”

Aku mencebir. Entahlah. Aku tak tahu nak kata apa dah. Tetapi, walau apa pun yang terjadi… aku tak rasa yang aku akan tegur lelaki yang sampai ke hari ini aku tak tahu nama dia semata-mata nak jejak pengirim nota. Tak akan!

“Habis tu… kau nak buat apa sekarang ni, Sara?” soalan Puteri yang selanjutnya itu serta merta mematikan suis di dalam otak aku.


***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311



No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...