Majlis doa selamat
bersempena perlantikan Along sebagai Pengurus Jabatan di Gemilang iaitu
syarikat tinggalan arwah ayah berlangsung meriah. Setelah doa selamat yang
dikepalai oleh imam masjid berdekatan selesai, majlis diteruskan dengan jamuan
makan.
Sedang kalut melayan
tetamu yang hadir, terdengar namaku diseru. Kalut aku berpusing lantas bertemu
mata dengan gerangan yang memanggil. Tersentak beberapa saat melihat dia
berdiri di hadapanku, baru aku kembali tersedar.
“Hai, Sara,” ujar Daniel
tatkala menghampiriku.
“Hai, Daniel.” Aku
senyum segaris sambil memerhati parasnya yang segak dalam persalinan seperti
hendak menghadiri jamuan hari raya.
“Awak baru sampai ke?”
Soalku seraya meliarkan mata ke sekeliling mencari kelibat Auntie Safiya.
“Iya, baru sampai.”
“Mana Auntie Safiya?”
“Mommy tak dapat datang
tapi dia kirim salam kat you,” balas Daniel.
Aku hanya mengangguk
sambil menjawab salam di dalam hati.
“Kaisara… you nampak
cantik hari ni. Manis dengan berbaju kurung dan bertudung. Sekali pandang, macam
budak sekolah umur 16 tahun.” Tak semena-mena saja Daniel memujiku membuatkan
aku menekur tubuh sendiri.
Iya, memang aku sengaja
berbaju kurung dan bertudung tetapi tak sangkalah pula dia boleh memujiku
sehingga begini. Tetapi, entah pujian dia itu ikhlas atau tidak. Apa yang
pasti, bab budak sekolah berumur 16 tahun tu macam menipu benar.
“Terima kasih. Awak pun
apa kurangnya, Daniel? Berbaju teluk belanga, samping dan songkok… sekali
pandang dah macam…” Aku menggigit bibir menahan tawaku daripada berhamburan.
“Macam siapa?”
“Macam penari
kebudayaan.” Aku menyengih tetapi Daniel pula sudah ketawa-ketawa.
“Pandai you buat lawak!”
“Awak baru sampai, kan?
Jemputlah makan. Takkan nak tercegat kat sini sampai majlis tamat?”
“Kalau macam itu, you
temankan I.”
Baru saja aku hendak
membuka mulut menolak cadangannya, terlebih dulu tangan aku ditarik menuju ke
meja hidangan.
“You free
tak esok?” Soal Daniel ketika nasi tomato di dalam pinggan baru saja
dihabiskan.
“Tak tahu lagi.
Kenapa?” Aku sememangnya tidak tahu apa rancangan aku pada hari esok tapi kalau
boleh aku mahu menghabiskan masa di rumah bersama keluargaku sebelum aku kembali
ke ibu kota.
“Keluar dengan I,”
balasnya lebih berbunyi seperti sebuah arahan.
“Ke mana?”
“Esok jam 11 pagi I
datang jemput you kat sini,” balasnya lagi tanpa menjawab soalanku.
Isk, dia ni. Aku belum
pun bagi kata putusku tetapi dia pula sudah memandai-mandai membuat keputusan
bagi pihak aku.
“Awak nak ajak saya
pergi mana?” Sengaja aku menekankan suaraku, meminta agar dia menyatakan
destinasi yang ingin dituju.
“Somewhere.”
“Somewhere tu kat mana? Paris? Milan? London? Atau Teluk Kemang?”
Tak semena-mena saja
Daniel tergelak malah sebaik menekur wajahku selama beberapa saat, ketawanya
makin menderas.
“Tak apa. Nanti you
akan tahu juga.” Senyumannya meleret, bagai mengejek-ejek aku dalam diam.
Eh-eh. Geram pula aku
dengan dia ni.
“Daniel, saya baru
teringat. Rasa-rasanya, esok saya tak free.
Ada hal yang saya kena uruskan so… mungkin
lain kali?”
“Iya? Jadi bila you free?”
Dia seolah tidak pernah
mengenal erti putus asa. Jika diberikan pilihan kepadaku, aku lebih rela keluar
bersama Adhwa si jiran psiko yang perangainya sukar difahami berbanding keluar
bersama Daniel.
“Erm, nanti bila saya free saya beritahu awak.” Sebaik-baik jawapan aku beri mengharap
agar dia tidak terasa hati denganku. Biarpun aku tidak ada hati untuk keluar
bersamanya, menolak bulat-bulat ajakannya bukanlah cara terbaik untuk
memberitahu apa yang aku mahu.
Tapi, bila
difikir-fikirkan semula dengan jawapan aku… adakah itu tandanya yang aku sedang
membuka ruang untuk dia di lain waktu? Ah, tidak!
Daniel tersenyum lebar.
Sejurus kemudian, dia menancapkan pandangannya lama ke arahku menyebabkan aku
menjadi kurang senang dengan perbuatannya. Lekas saja aku menekur diri sendiri.
Setahu aku, pakaian aku masih lagi dalam kategori sopan. Jadi, kenapa dia
memandang aku seperti aku tidak memakai apa-apa?
“Kenapa awak pandang saya macam tu? Ada
apa-apa yang tak kena ke?”
“Nothing. Cuma terfikir…” Dia terjeda sebelum menyambung… “Kenapa ya
takdir tidak menemukan I dengan you lebih awal?”
Aku terkebil-kebil di
hadapan dia. Aku cuba menghadam baik-baik kata-katanya tetapi ia seolah tak lut
di otakku menyebabkan aku terdiam dengan begitu lama. Namun, ketika aku hampir
saja lagi mahu memuntahkan perkataan balas untuknya… terlebih dulu dia bangkit
dan meninggalkan aku keseorangan.
Sejujurnya, aku menjadi
pelik dengan dia. Apakah sebab musababnya dia memberitahu aku apa yang telah
diperkatakan tadi? Adakah ada sebarang perbezaannya jika takdir menemukan aku
dan dia lebih awal?
***
“Mama tengok Sara
dengan Daniel macam rapat saja?” Mama bersuara. Ketika itu, aku sedang mencuci
pinggan di singki selepas kami selesai makan malam.
“Rapat? Tak adalah.
Biasa-biasa saja.”
“Ya ke ni?” Mama mengerling
pada aku lantas membantu mengelap cawan yang telah dicuci.
“Betullah. Kitorang biasa-biasa saja. Mana ada
rapat pun. Lagi pun, dia datang sebagai tetamu kita jadi Sara layanlah dia
seperti yang selayaknya.” Aku memberi jawapan yang agak panjang kepada mama
semata-mata untuk menepis dakwaan mama yang pada aku tak berapa berasas. Aku
dengan Daniel rapat? Kat mana agaknya yang rapat tu? Agaknya mama dah tersalah
tengok kut?
“Daniel ada beritahu
mama… dia nak ajak Sara keluar esok. Betul ke?”
“Hmmm… betul la tu.
Memang dia ada ajak Sara keluar tapi itulah…” Aku matikan kata.
Aku sebenarnya tidak
tahu bagaimana caranya mahu menerangkan keadaan sebenar. Kehilangan diksi aku
dibuatnya bila hal Daniel disebut. Bagiku, lelaki ini memang bijak. Langkahnya
laju dan deras. Tanpa teragak-agak, dia menggunakan mama sebagai senjatanya
kerana dia tahu aku pasti akan menolak pelawaannya.
Mama ketawa-ketawa bila
aku hanya termangu-mangu.
“Kenapa mama gelak?” Tanya
aku separuh bodoh.
“Sara tu jual mahal
sangat, kan?”
“Eh, mana ada.”
“Habis tu… orang tu dah
ajak keluar. Pergilah.”
“Boleh ke?”
“Pergilah. Tak perlu
minta izin mama. Sara bukannya budak-budak lagi. Dah layak jadi mak budak dah
pun.”
Aduhai, jawapan mama tu
betul-betul membuatkan aku berasa serba salah. Yang sebenarnya, aku memang
tidak pernah bercadang untuk keluar bersama Daniel. Tetapi, cara mama itu
seolah memberikan lampu hijau untuk aku agar dapat bersama lelaki itu.
“Mama tahu sejak Sara
putuskan hubungan dengan Syazwan… Sara belum bersedia untuk keluar dengan
sesiapa, kan?”
Tersenyum kelat aku dibuatnya.
Aku tidak tahu bagaimana mahu berespon kepada mama. Tetapi, apabila memikirkan
apa yang telah mama perkatakan… sedikit sebanyak aku terpaksa akui semuanya
adalah benar sementelah mama juga sudah mengetahui hal sebenar yang telah
terjadi di antara aku dan juga Syazwan.
“Mama suka tengok Sara
dengan Daniel. Nampak secocok. Lagi pun, Daniel tu bukannya orang lain. Dah
lama mama kenal keluarga dia. Mama percaya yang Daniel pasti akan jadi seorang
suami yang baik untuk Sara nanti.”
“Alaa… mama tengah bercakap
pasal kahwin ke ni? Sara baru saja putus cinta. Hati Sara ni pun belum sembuh
lagi…” Aku menayang muka sedih sembari menepuk-nepuk dada sendiri.
“Patah tumbuh hilang
berganti,” balas mama selamba.
Amboi, kemain ayat
mama! Iya, memang patah tumbuh hilang berganti. Yang patah memang boleh tumbuh
semula dan yang hilang pasti boleh berganti. Tetapi, yang patah itu hati dan yang
nak tumbuh semula itu adalah perasaan. Patah dan tumbuh dalam masa yang singkat
bukanlah semudah seperti apa yang diungkapkan.
Walaupun aku sedar yang
hati aku ni tidaklah teruk sangat patahnya, aku masih rasa yang aku belum
benar-benar bersedia dengan sebarang hubungan baru.
“Mama rasa Sara dah
patut berumahtangga. Umur Sara pun bukannya makin muda. Tahun ni dah masuk tiga
puluh tahun. Bila Sara kahwin, sekurang-kurangnya akan ada seseorang yang boleh
menjaga Sara.”
“Sara boleh jaga diri
sendiri, ma.”
“Takkan sama jaga diri
sendiri dengan orang lain yang jaga, Sara. Lagi pun, kalau Sara kahwin…
cepatlah mama timang cucu.”
“Laaa… yang sebenarnya
mama beria-ia nak menimang cucu? Kenapa tak cakap awal-awal? Kalau macam itu,
apa kata mama suruh Kak Lin cepat-cepat beranak. Along dengan Kak Lin tu pun
dah lama bersedia nak bagi cucu kat mama.” Aku mengerling Kak Lin yang baru
saja melangkah masuk ke dapur.
Kehadiran Kak Lin
sedikit sebanyak berjaya menyelamatkan keadaan.
“Apa ni, Sara? Ada apa
duk sebut-sebut nama Kak Lin dengan Along ni?”
“Haa… betul juga kata
Sara tu, Lin. Lin dengan Hazim tak nak bagi mama cucu ke? Dah lama tau mama tunggu.”
Kak Lin kelihatan
terkulat-kulat di hadapan kami. Aku terpaksa menyimpan tawaku melihatkan wajah
kakak iparku itu. Sedikit sebanyak perasaan lega terjentik ke hatiku kerana
sesungguhnya, hanya tuhan sajalah yang tahu apa yang sedang aku rasakan sekarang
ini apabila mama menghalakan perbualan kepada Kak Lin.
“Lin bukan tak nak bagi
cucu, ma. Tapi… Lin kan tengah belajar lagi. Lin takut Lin tak boleh nak bagi
komitmen,” ujar Kak Lin memberi alasan. Namun, alasan Kak Lin yang sedang
bertugas sebagai pensyarah dan sedang meneruskan pengajian di peringkat doktor
falsafah membuatkan mama kelihatan sedikit kecewa.
“Hazim pun cakap benda
yang sama. Dia nak Lin habiskan pengajian dulu. Dia pun nak bagi fokus pada
tugas baru dia di Gemilang. Bila semuanya dah stabil, insyallah kami berdua
akan bagi cucu pada mama. Mama minta saja berapa ramai cucu, kami akan beri.” Tambah
kak Lin lagi dengan begitu yakin.
“Hmm… kempunan la mama
macam ni, Lin. Entah sempat atau tidak mama nak tengok muka cucu mama.
Silap-silap, masa tu mama dah…”
“Mama.” Cepat-cepat aku
menyentuh tangan mama sambil berdecit halus. Aku sebenarnya sangat tidak suka
apabila mama bercakap soal ini. Dan aku tahu apa sebenarnya yang mama mahu
perkatakan tadi. Disebabkan itulah aku terpaksa mencelah sebelum air mata aku
pula yang gugur.
“Janganlah cakap yang
bukan-bukan, ma. Sara janji dengan mama. Bila sampai waktunya, Sara akan kahwin
dan penuhi hajat mama. Sara janji.” Aku menaikkan tangan seperti berikrar di
hadapan mama. Aku sekadar mahu menggembirakan hati mama sekali gus memujuknya
dengan harapan agar dia termakan dengan pujukan aku.
“Betul Sara akan penuhi
hajat mama?”
“Iya.”
“Kalau macam itu… esok
Sara keluar dengan Daniel ya?”
Sebaik mama menyudahkan
kata-katanya, wajahku semerta terasa panas berbahang. Aduh, mati aku!
p.s Hai awak! Terima kasih membaca 9 NOTA. Untuk mengikuti sambungannya, boleh dapatkan novel 9 NOTA yang terbit pada Oktober 2018.
Ready stock.
Harga RM43sm / RM47ss
Whatsapp 017-5080311 untuk tempahan. Jualan ONLINE saja dan tidak masuk ke mana-mana kedai buku.
p.s Hai awak! Terima kasih membaca 9 NOTA. Untuk mengikuti sambungannya, boleh dapatkan novel 9 NOTA yang terbit pada Oktober 2018.
Ready stock.
Harga RM43sm / RM47ss
Whatsapp 017-5080311 untuk tempahan. Jualan ONLINE saja dan tidak masuk ke mana-mana kedai buku.