Tuesday, 30 July 2013

Cerpen : Salsabila





Hening malam yang sesekali diselang selikan dengan bunyi unggas dari hutan nyata membuatkan bulu roma mampu berdiri tegak.Ditambah dengan angin malam yang sesekali menderu laju menampar pipi.

Zaki dan Ayim yang menaiki motor kapcai berwarna biru itu meredah laluan kecil jalan kampung menuju ke rumah selepas seharian mereka di pekan.Sesekali terdengar ketawa mereka diselang selikan dengan suara bualan yang lebih menjurus kepada hadiah kemenangan loteri yang baru mereka peroleh siang tadi.

Puas berbual tentang hadiah kemenangan yang sudah pun habis dijolikan sepanjang di pekan tadi,mereka berbual pula perihal perempuan.Dan kali ini ketawa mereka semakin nyaring.

Belum pun sampai separuh jalan kampung itu mereka redah,Zaki yang menunggang terus membrek kapcai dengan agak tergesa-gesa.Ayim yang duduk di belakang terpinga-pinga.Nasib baik jugalah sempat dia pegang bahu Zaki,jika tidak sahih dia tersembam paling tidak pun dia jatuh tergolek ke tanah.Ketika ini,hanya enjin kapcai saja yang kedengaran bersama nafas lelah Zaki.Ayim segera menepuk bahu Zaki dari belakang.

“Ki,apa hal kau ni?” suaranya sedikit cuak,bimbang kalau-kalau pertanyaannya nanti dibalas dengan jawapan yang meremangkan bulu roma.Dia pandang ke kiri kanan jalan.Lengang.Tiada satu pun kelibat manusia di situ cuma yang ada hanyalah lambaian pokok-pokok yang terhias di tepi jalan berserta dengan semak samun di sekitarnya.Ayim telan liur apabila Zaki masih berdiam diri.

“Hoi,Zaki.Kau ada nampak apa-apa ke?” soalnya lagi mula berpeluh.Mukanya pula disapu dengan tangan.
“Syhhhh….”balas Zaki keras.Berkerut-kerut dahi Ayim.
“Turun kejap…”arah Zaki lagi sambil mematikan enjin motor kapcainya.Ayim menggaru kepala.Dalam hati,sudah berdebar lain macam.Biarpun begitu,dia tidak menunggu lama apabila turun dari motor sambil membiarkan Zaki menapak menuju ke tepi jalan.

“Ni apa kes ni?” soal Ayim tidak puas hati sambil mencekak pinggang tetapi Zaki terus-terusan membuat isyarat tangan malah lelaki kurus kering itu segera berjalan perlahan-lahan menuju ke belukar berhampiran.

“Kau nak buang hajat ke?Alahai,rumah bukannya jauh mana pun.Lepas titi depan tu aje dah nampak rumah kau hah.Tahanlah sikit Zaki oi!!” bebel Ayim bengang.

Kenapalah waktu-waktu begini juga mahu melepas hajat.Kalau ditahan sedikit saja lagi,sudah selamat gamaknya.

Zaki buat isyarat lagi dan kali ini jari telunjuknya sudah melekat di bibir.Kakinya terus menghala ke hadapan,langsung tidak pedulikan Ayim lagi.
Ayim tidak menunggu lama apabila terpaksa menurut jejak rakan baiknya.

Prakkk!! Bunyi ranting patah yang dipijak Zaki kedengaran di telinga namun dia sudah  tidak peduli perihal ranting di tanah.Dia terus menuju ke arah hadapan,berdekatan dengan sebatang pokok.
Perlahan-lahan dia berjalan dan sedikit berhati-hati dengan harapan tiada lagi ranting yang dipijak.Peluh renek kali ini sudah bermain-main di dahi.Deru nafasnya diatur sebaik mungkin biarpun sesekali terlepas kasar.

Tangannya pula pantas memegang batang pokok sebesar pemeluk orang dewasa itu.Tiba-tiba suara kerasnya bergema.

“Hoi!!”

Sepantas kilat matanya menikam sepasang mata yang tajam merenungnya.Dalam samar-samar cahaya bulan yang menyuluh ke kawasan sekitar,Zaki sempat melihat seseorang yang sedang berselubung kepala mula berlari menuju ke dalam belukar setelah disapa sekali lagi olehnya.

“Siapa tu?” aju Ayim cemas.
Zaki mendengus sebelum mengepal penumbuknya.

‘’Huh,ahli sihir tulah !!Entah apa yang dia buat malam-malam dalam belukar ni…bagi jin makan ke apa !’’ Ayim pantas ketawa saat Zaki membalas kata-katanya.Hilang sudah rasa cemas yang bersarang di hati tadi.Kini rasa lucu yang menjadi pengganti.

‘’Mana dia pergi ?’’soal Ayim lagi sambil tertinjau-tinjau ke dalam belukar.
‘’ Entah,dah berambus!Terkejut tengok aku agaknya.’’ Juih Zaki semula melepas rasa amarah.
‘’Macam mana kau boleh tahu dia ada kat sini tadi ?’’ bingung mencongak jawapan sendiri,Ayim terus bertanya pada Zaki.

‘’Dari jauh lagi aku nampak dia melintas jalan ni hah.Eh,dahlah…jom balik.Tak payah kau nak sibuk dengan perempuan sihir tu.Macam kau tak tahu,malam-malam begini memang waktu dia nak beriadah.Dahlah…. ‘’ kata Zaki kembali,terkenang tentang perempuan berselubung kepala tadi sambil mula menghidupkan semula enjin motor kapcainya.

+++++++

‘’Kau biar betul Ki ?Kau nampak dia malam tadi dalam belukar sana tu ?’’suara Tok Leman sudah kedengaran nyaring semasa dia elok duduk di kerusi berhadapan dengan Zaki di warung kopi Tok Mun pagi itu.Zaki,bila disoal begitu berkali-kali dia angguk sambil buat wajah penuh yakin.

‘’Iye,Tok…kalau tak percaya tanyalah Ayim sekali.Dia pun ada dengan saya semalam.’’ tuding Zaki menuju ke arah Ayim di sebelahnya.Ayim terus mengangguk,mengiyakan saja kata-kata Zaki.
Tak semena-mena Tok Leman yang merupakan adik kepada penghulu Kampung Semarak itu terus menepuk meja sehingga membuatkan Ayim yang sedang menghirup kopi panas dari cawan tersedak.

‘’Apa lagi dia nak buat lepas ni ?Semalam kau orang berdua nampak perempuan puaka tu malam-malam masuk hutan…minggu lepas anak Mak Timah terserempak dengan dia masa nak pergi memancing…hah,lepas ni siapa pula nak terserempak dengan dia ?’’ wajah Tok Leman mula memerah,urat-urat tuanya juga kelihatan.

‘’Alah Tok Leman,macam tak tahulah pula.Memang waktu dialah tu keluar malam-malam hari.Waktu-waktu pagi begini mana nak nampak muka,nanti habislah ilmu dia tu.Ni,satu lagi saya nak cerita,bulan lepas adik sepupu saya si Musliha tu lalu kat depan pondok buruk dia,tahu apa jadi ?’’wajah Zaki kelihatan bersemangat.Matanya juga terjegil-jegil memandang Tok Leman.

‘’Hah,apa jadi ?’’
‘’Apa lagi Tok…budak tu lari lintang pukang lepas nampak muka dia.Mahunya demam 3 hari 3 malam budak tu…kesian.Hei,saya kalau jumpa dia lagi mahunya saya simbah dengan air longkang belakang rumah saya tu.Geram betul.Ada ke dia boleh takut-takutkan budak-budak kecil dengan muka buruk dia tu.’’

‘’Itu namanya ilmu dia tu tengah makan diri.Kalau dia keluar malam-malam hari masuk hutan hujung kampung tu mesti tak lain tak bukan nak bagi jin dia makanlah tu.Bukan apa,kan muka dia tu buruk…hodoh.Bila dah kasi jin makan,nanti jin tu boleh kasi muka dia elok balik.Tapi aku rasalah sampai sekarang aku tak pernah nampak muka dia cantik macam dulu.Mungkin ilmu dia tak menjadi kot.Tak pun,ilmu dia tu makan masa bertahun-tahun.Sebab tulah agaknya,suka betul dia masuk ke hutan tu jumpa jin dia…’’ sambung Ayim lagi mula mencelah.

‘’Kau orang tak terfikir ke kenapa si Salsabila tu masih duduk dalam kampung kita ni ?Tak ada siapa ke yang nak menghalau dia keluar ?Yelah,dia bukannya orang kampung ni pun.Datang dia pun baru dua tahun lepas…sebelum ni aman damai aje kampung ni tapi sejak-sejak dia datang dah macam-macam benda buruk jadi.’’ soal Tok Leman semula.

Masih dia ingat,Salsabila wanita yang asalnya dari bandar tiba-tiba muncul di Kampung Semarak sejak dua tahun lepas dan mula tinggal di sebuah rumah di hujung kampung.Mulanya,dia dilayan dengan begitu baik namun sejak penduduk kampung terlihat kelibatnya keluar masuk ke hutan setiap malam,mula perasaan curiga datang bertandang.

Kemudian,wajah Salsabila yang dulunya cantik bertukar rupa menjadi hodoh dengan tiba-tiba.Dan sikap perempuan itu yang sering memencilkan diri dikatakan punca dia membela jin dan mengamalkan ilmu-ilmu songsang.Ramai penduduk kampung yang mula tidak senang dengan kehadirannya malah ada yang mencemuh,memaki hamun dan ada juga yang sanggup meludah wajah Salsabila akibat sikap benci dan dendam padanya yang dikatakan telah menghuru harakan kampung.

‘’Eh Tok Leman ni…nak tanya lagi ke ?Pergilah cakap kat Tok Penghulu,suruh dia halau aje si Salsabila tu.Selagi Tok Penghulu tak cakap apa,buatlah macam mana pun perempuan sihir tu tetap tinggal dalam kampung kita ni.”cebik Zaki melepas rasa.

‘’Isyh,tak beranilah aku.Walaupun Tok Penghulu tu abang aku…malaslah aku nak cerita perihal perempuan sihir tu pada dia.Tak pasal-pasal aku pula yang kena halau !!’’ kali ini wajah Tok Leman sudah pun berkerut seribu.Zaki dan Ayim ketawa melihat reaksi Tok Leman.Lucu juga dengan lelaki tua ini.Mulut saja lancang tapi penakut rupanya.

‘’Assalamualaikum…tumpang bertanya.Di mana rumah penghulu kampung ?’’ suara garau seorang lelaki tiba-tiba menyapa telinga mereka.Tok Leman,Zaki dan Ayim yang sedang rancak berbual segera beralih pandang.Kurang tiga meter dari meja mereka,berdiri dua orang lelaki awal 20-an berpakaian seperti orang bandar.Salah seorangnya memegang sekeping kertas putih dan seorang lagi menggalas beg besar.

‘’Waalaikummussalam…anak berdua ni siapa ?Dari mana ?Ada hajat apa nak ke rumah penghulu?” soal Tok Leman hairan.
Lelaki yang memegang kertas tadi segera menyuakan tangan kepada Tok Leman,Zaki dan Ayim.

‘’Saya Adam,ini kawan saya Nafie’.Datang sini ada hajat.Kami nak bertemu dengan Cik Salsabila tapi katanya sebelum datang ke rumah dia eloklah kami singgah di rumah Tok Penghulu dulu.Berkenal-kenalan dengan penghulu Kampung Semarak ni.’’
Wajah Tok Leman,Zaki dan Ayim pantas berubah kelat saat nama Salsabila meluncur di bibir Adam.

‘’Nak buat apa kau mahu berjumpa dengan perempuan puaka tu ?Nak menuntut ilmu ke apa ?’’soal Tok Leman keras dengan wajah yang mula membengis.Kala ini Adam dan Nafie’ kelihatan terkejut dengan reaksi Tok Leman.

‘’Err…bukan pak cik.Kami sebenarnya dari Fakulti Sains dan Alam Sekitar di Kolej Sains Kuala Lumpur.Datang sini atas arahan fakulti untuk melengkapkan tesis kami berkenaan bunga-bunga liar yang sedang kami kaji.Sebab tu kami perlu jumpa Cik Salsabila…’’ujar Nafie’ pula.
Tak semena-mena suara Zaki dan Ayim ketawa begitu nyaring menyapa gegendang telinga kedua pemuda tersebut.

Mereka saling berpandangan.Pelik.Ada kata-kata yang kelakar baru keluar dari mulut merekakah sampai Zaki dan Ayim ketawa begitu ?

‘’Kau berdua jangan nak buat lawak kat sinilah.Apa kes pula kau nak jumpa perempuan sihir tu ?Sejak bila pula dia boleh bagi tips pasal bunga-bunga liar pada korang ?Hei,kalau kau orang nak tahu…si Salsabila muka hodoh tu membela jin tahu !Hati-hatilah bila bertemu dengan dia.Jangan sampai kau berdua tak jumpa jalan balik sudahlah !!’’ pekik Zaki dengan ketawa kuatnya.Ayim juga begitu,ketawa berdekah-dekah tak ingat dunia.

‘’Eh,sudah-sudahlah ketawakan orang.’’ Marah Tok Leman.
‘’Hah,tadi kata nak pergi rumah Tok Penghulu kan ?Meh sini ikut aku…biar aku aje bawakan kau berdua ke sana.Tapi satu aje aku nak pesan,nanti kau jumpa Salsabila tu kau bacalah ayat pendinding ke,doa jauh bala ke atau apa-apalah.Bukan apa,macam si Zaki ni cakap tadi.Takut kalau-kalau tak jumpa jalan balik pula nanti.’’tokok Tok Leman sambil bangun.Zaki dan Ayim tersengih-sengih apabila nampak isyarat Tok Leman yang sudah menjauh.Adam dan Nafie’ pula tidak terus menunggu lama sebaliknya mengikut langkah Tok Leman dari belakang.

‘’Aku rasa budak-budak kolej berdua tu dah gila agaknya.Ada ke patut nak jumpa Salsabila nak minta tips pasal tesis yang diorang buat.Hei,payah kalau terlalu pandai.Macam ginilah jadinya.Perempuan sihir tu jugak yang nak dijumpa.’’ Bebel Zaki lagi tak puas hati sambil menghantar kelibat Adam dan Nafie’ dengan ekor matanya.

‘’Aku rasa cikgu diorang yang kat fakulti tu sama gila macam diorang.Entah apa kenanya sampai perlu berjumpa perempuan sihir merangkap bomoh tu…nak menuntut ilmu kasi pandai tak ?’’ sampuk Ayim dengan anggapannya.Zaki ketawa lepas.

‘’Isyh,kalau betullah perempuan puaka tu bomoh macam yang kau cakap,malam ni juga aku nak pergi rumah dia.Aku nak minta nombor dari dia….moga-moga menang first prize !’’ kepala Zaki tak semena-mena terus ditepuk dari belakang oleh Ayim.Wajah lelaki itu sudah berkerut-kerut seribu,menahan geram dengan ucapan temannya yang sememangnya gila nombor.

‘’Tak beragaklah kau ni…daripada nak minta nombor kat perempuan sihir tu baik kita pergi minta nombor kat kubur orang mati kena bunuh.Apa orang kata,lebih afdal !!!’’ seraya dengan itu,terkekek-kekek kedua-dua teman itu ketawa tanpa peduli pada orang lain yang mula bertandang ke warung kopi Tok Mun.

+++++

Usai berbual-bual sebentar dengan Tok Penghulu selepas sahaja Tok Leman menghantar Adam dan Nafie’ ke situ tadi,Tok Penghulu segera memanggil dua orang budak kampung untuk membawa Adam dan Nafie’ ke rumah Salsabila di hujung kampung.Terkocoh-kocoh budak-budak lelaki itu mengambil basikal mereka sebelum menunggu Adam dan Nafie’ mengikut mereka dari belakang dengan berjalan kaki.

‘’Jauh lagi ke dik nak sampai sana ?’’soal Nafie’ apabila nafasnya mula kedengaran berat.Mahunya tak berat apabila sebeban beg yang ditanggung di belakangnya.Adam yang cuma membawa beg silang hanya tersengih kecil kepada temannya di sebelah.

‘’Tak jauh dah bang…sekejap lagi sampailah.’’jawab budak lelaki yang sedikit besar berumur lingkungan 10 tahun.

‘’Hah,nasib baik dah nak sampai.Itulah,aku dah cakap jangan bawa beg berat-berat tapi kau degil.Tengok sekarang,siapa yang susah ?Macamlah kita nak duduk kampung ni sampai bulan depan.’’ Kata-kata Adam hanya dibalas dengan cebikan halus Nafie’.

‘’Alah,aku standby je..mana tahu kalau-kalau ada emergency ke….’’Adam menggeleng kepala.Tahu sangat dengan perangai Nafie’.Suka menyusahkan diri.

‘’Hah,abang !! Itulah rumahnya…’’tunjuk kedua-dua budak lelaki ke arah sebuah rumah batu yang agak kecil yang terletak di satu lorong yang sekelilingnya penuh dengan tumbuh-tumbuhan.

‘’Terima kasih dik !!’’ ucap Adam dan Nafie’ serentak.
‘’Terima kasih aje ke?Mana upahnya?Seringgit seorang!’‘
“Oh,ada upah ya?“ suara Nafie‘ mengah.

“Mestilah bang!Nak masuk tandas pun kena bayar 20 sen.” Jawab budak lelaki kecil dengan suara halusnya sambil mengangkat-angkat kening.
“Yelah-yelah…nah sorang seringgit.Jangan beli benda bukan-bukan ya.” Akhirnya dua keping not biru dihulurkan kepada mereka berdua.

“Bang,saya tanya sikit boleh?” soal budak lelaki yang besar.
“Hmm..apa dia?”
“Abang berdua pergi rumah tu nak buat apa?Menuntut ilmu ke?”

Adam dan Nafie’ saling berpandangan.Amboi,kecik-kecik lagi dah pandai soal macam-macam.
Adam sengaja mengangguk mahu lihat apa reaksi mereka.

“Hati-hati tau bang.Mak saya cakap,perempuan sihir tu jahat.Dia amal ilmu songsang.Muka dia dahlah hodoh,nanti takut muka abang berdua pun jadi hodoh macam dia.”

“Hmm…yelah dik.Terima kasih beritahu kami berdua.”jawab Adam akhirnya sebelum kedua-dua budak lelaki itu menghilang dari situ.Adam memandang Nafie’ kemudian dia menggeleng kepala sambil berdecit halus.

“Dah,jomlah kita…”tegur Adam kepada Nafie’ apabila melihat temannya itu masih memerhati dari jauh rumah Salsabila.

+++++

“Kenapa doktor tak beritahu saja kepada mereka apa tujuan doktor pindah ke sini?’’ Kata-kata Nafie’ saat dia selesai menghirup teh o panas dari cawan semasa duduk bersila di atas beranda rumah Salsabila membuatkan wanita itu hanya mengukir senyuman.Kepala yang berselubung dengan kain batik ditolak sedikit sehingga menampakkan kesan parut di pipi sebelah kanan mengunjur sehingga ke telinga.

“Awak tengoklah bagaimana wajah saya.Dengan rupa nilah mereka menabur fitnah macam-macam pada saya sehingga mereka sanggup tuding jari mengatakan bahawa saya perempuan sihir,perempuan puaka dan pembela jin.Semuanya gara-gara mereka nampak saya keluar masuk hutan waktu malam.” Terang Salsabila berwajah tenang tanpa  menjawab soalan yang diutarakan oleh Nafie’ tadi.Adam dan Nafie’ melihat parut hodoh di wajah Salsabila.Timbul rasa kasihan dengan wanita itu.

“Ya Allah,saya tak sangka selama ni mereka mencerca dan menghina doktor sedemikian rupa.”sambung Nafie’ menggeleng kepala.

“Kenapa doktor keluar masuk ke hutan waktu malam?Bukan ke bahaya waktu malam kalau ke sana?Dah tu seorang diri pula…” soal Adam hairan.

Salsabila tidak pantas menjawab pertanyaan Adam sebaliknya dia segera bangkit dan berlalu ke dalam rumah sebentar sebelum kembali semula duduk di tempat tadi.Di tangannya kini ada dua kuntum bunga berwarna putih dan kuning dari berlainan jenis dan spesis.Salsabila menghulurkan sekuntum seorang kepada Adam dan Nafie’.

Jelas di wajah mereka ada rasa takjub dengan spesis bunga yang sudah berada di tangan.Cantik dan unik.Jarang sekali dapat dilihat bunga cantik seperti ini.

“Itu namanya Lily Casablanca atau bunga bakung yang kebiasaannya disebut di wilayah Indonesia.”jari telunjuk Salsabila menghala ke arah bunga di pegangan Adam.




“Dan yang ada di tangan kamu itu namanya Michelia Alba DC ataupun dalam bahasa mudahnya kita sebut sebagai cempaka putih.Kedua-duanya saya ambil dari hutan sana,saya petik selepas ianya mekar pada malam hari.Kedua-dua jenis bunga ni saya ambil untuk kajian saya dan saya dapati kedua-dua bunga liar ini punya keunikan,kebaikan dan khasiat yang masih belum kita terokai dengan lebih mendalam.” Hela nafas Salsabila dilepas sedikit sebelum menyambung bicara.



“Parut yang ada di wajah saya ni adalah disebabkan oleh kemalangan sewaktu di makmal fakulti semasa saya sedang bekerja di situ.Bahan kimia yang saya campurkan ke dalam bekas tiba-tiba meletup sehingga terkena ke pipi saya dan membuatkan kulit saya melecur teruk.Bukannya kerana salah menuntut ilmu seperti yang digembar gemburkan oleh orang-orang kampung.Puas saya mencari penawar tapi dek kerana alergik,wajah saya makin hari semakin teruk sehinggalah saya membuat keputusan untuk mencari sendiri penawar kepada penyakit saya.”

“Kenapa doktor tak buat bedah plastik?Mungkin dengan kaedah itu,muka doktor boleh kembali seperti dulu.“ ujar Adam bersungguh-sungguh.Salsabila hanya tersenyum kecil.

“Saya mahu terokai khasiat bunga-bunga liar sendiri.Kebetulan sebelum kemalangan tu terjadi memang saya sedang menjalankan kajian ke atasnya.Sebab itu saya ke sini bagi mencari jawapan yang kebanyakan dari masyarakat luar tak tahu.Mereka lebih gemar menggunakan bahan-bahan berunsurkan kimia di mana ianya memberikan hasil dengan cepat tapi mereka terlupa bahawa kesan sampingannya sangat bahaya.Saya mahu mencari cara alternatif bagi menghasilkan ramuan yang boleh digunapakai dengan cara yang paling selamat.” Terang Salsabila lagi panjang lebar.

Benar,itulah tujuan asalnya ke sini dahulu.Sudah lama dia dapat tahu bahawa di hutan berdekatan kampung ini wujudnya beberapa spesis bunga liar yang kebanyakan masyarakat tidak tahu kehebatannya.

Dua tahun lalu,dia tekadkan hati berpindah ke Kampung Semarak.Keputusannya untuk menjalankan kajian ke atas bunga-bunga liar di situ mendapat respon positif dari Penghulu Kampung Semarak tetapi dia meminta supaya Tok Penghulu tidak memberitahu siapa dirinya yang sebenar kepada penduduk kampung dengan alasan dia tidak mahu mereka menyalahtafsir tujuannya namun tindakannya mengundang salah faham apabila dia pula dituduh perempuan sihir sementelah sering dilihat kelibatnya keluar masuk ke hutan berhampiran.

Kejadian malang yang menimpanya sehingga menyebabkan wajahnya sebelah kanan menjadi hodoh semasa bekerja di makmal menambahkan lagi spekulasi orang-orang kampung.

“Saya masih belum mengerti doktor.Kenapa doktor sanggup rahsiakan status diri doktor daripada penduduk kampung sehingga doktor dicemuh dan difitnah dengan pelbagai cara?Kenapa doktor tak berterus terang saja dengan mereka.Mungkin selepas ini mereka akan layan doktor baik-baik.” Soal Nafie’ bersungguh-sungguh.

Hairan juga bagi dirinya,kenapa Doktor Salsabila masih berahsia walaupun dirinya sering menjadi bahan cemuhan.Doktor Salsabila yang juga merupakan pakar penyelidikan di fakulti mereka sememangnya seorang wanita yang hebat.

Sanggup tinggal di kawasan kampung ini semata-mata mahu mengkaji tentang bunga-bunga liar dari hutan biarpun dicemuh siang dan malam.

“Biarlah mereka dengan fitnah mereka Nafie’.Saya ke sini dengan niat baik.Saya mahu mengkaji spesis bunga-bunga liar supaya saya dapat hasilkan sesuatu daripadanya.Ini laporan hasil kajian saya sepanjang dua tahun,kamu berdua boleh baca bila lapang.Di dalamnya,saya selitkan keunikan setiap spesis,jenis-jenis,khasiat daripada daun,batang,akar,biji dan bunganya sendiri serta beberapa cara yang boleh digunakan untuk merawat pelbagai penyakit berserta gambarnya sekali.” Kali ini Salsabila terus menghulurkan sebuah buku berupa jurnal kepada Adam dengan harapan kedua-dua mereka akan beroleh sesuatu dari hasil kajiannya selama dua tahun ini.

“Apa keistimewaan bunga-bunga liar ni Doktor?“soal Adam ragu-ragu.Pelik juga kenapa dalam banyak-banyak bunga,bunga liar seperti Lily Casablanca dan Cempaka Putih juga yang dipilih oleh Doktor Salsabila.

“Saya ambil contoh bunga Cempaka Putih ni.Bunganya saja sudah cukup cantik,sama cantik seperti namanya juga.Bukan saja dari segi nama yang menjadi persoalan tetapi kelebihan yang ada pada bunga ini ialah ianya boleh dibuat hiasan dan tanaman teduhan di rumah.Selain itu,ia juga digunapakai oleh masyarakat kita dalam kehiduan seharian contohnya meletakkan nama Cempaka itu sendiri pada nama anak-anak mereka.Tak lupa juga mereka telah menggunakan cempaka sebagai kata-kata dalam rangkap pantun,puisi,syair,sajak atau pun gurindam.Itu sudah cukup membuktikan bahawa betapa hebatnya bunga cempaka ini.Cuma dari sudut saintifik,ianya masih belum diterokai dengan lebih mendalam.”terang Salsabila lagi cuba membuatkan kedua-dua pemuda tersebut faham.

“Sebenarnya jika diikutkan,bunga cempaka ada dua jenis iaitu cempaka kuning atau nama botaninya disebut sebagai Michelia Champaca L di mana cempaka kuning ni asalnya dari India manakala cempaka putih yang saya sebut sebagai Michelia Alba DC ni tumbuh liar di Indonesia.Uniknya cempaka putih ni,warnanya akan kekal putih apabila sudah matang.Sebaliknya cempaka kuning pula akan bertukar rupa menjadi oren setelah matang.Seperti yang tercatat dalam jurnal yang saya berikan,banyak penyakit boleh disembuhkan dengan menggunakan bunga cempaka bermula daripada biji,bunga,daun sampailah ke batangnya.Kamu boleh baca sendiri apa yang dah tertulis.”

Adam terus menyelak helaian jurnal pemberian Salsabila.Matanya seolah-olah terus melekat pada jurnal di tangan manakala Nafie’ pula sibuk membelek bunga Cempaka dan Lily silih berganti.
Betapa kagumnya dengan bunga-bungaan liar ciptaan Tuhan dan betapa jahilnya diri ini kerana masih tidak tahu hal-hal yang menakjubkan berkenaan dengan bunga sedangkan spesis hidupan itu tumbuh liar di negara sendiri.

Betapa ruginya manusia yang tidak menggunakan kelebihan yang ada pada bunga ini terutama dalam bidang rawatan dan penyembuhan.Malah lebih malang lagi apabila ada manusia lain yang menuduh bukan-bukan pada manusia yang berniat baik seperti Doktor Salsabila ini.

Tiba-tiba dia teringat akan kata-kata di dalam sebuah buku yang pernah dibacanya dulu.Perbuatan fitnah lebih berbahaya daripada pembunuhan kerana boleh menyebabkan masyarakat hilang rasa kasih sayang dan mencetuskan permusuhan.


Firman Allah SWT :
“Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh.”

( Al-Baqarah : Ayat 217)




p/s cerpen ini adalah sempena cabaran menulis cerpen Geng Urban bulan Julai 2013 dengan tema Bunga...happy reading...please drop a comment...peace..:D

4 comments:

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...