PEJABAT Prima Kota masih sama seperti biasa.Kembali bising usai waktu makan tengah hari.Ziyan terus berlalu dengan gopoh kembali ke biliknya dengan senyuman tersungging di bibir.Disebabkan tadi hatinya dah 'tersangkut maut' sepanjang makan tengah hari bersama jejaka paling hangat di pejabat ini,terus kepala mula menerawang tak tentu hala.Masuk saja pejabat,otak mula jammed.Mujur dia masih tahu diri dan masih ingat pada kerja-kerja yang terbengkalai.
Suraya yang mengekor dari belakang agak kehairanan.Terus dia terkam Kak Zana dan mula buat persidangan tak rasmi di meja wanita itu.
“Pssttt….Kak Zana!”
“Apa yang pssttt…pssttt ni Su?”soal Kak Zana tanpa memandang wajah Suraya.Skrin komputer di depan terus ditenung sambil menantikan balasan Suraya.
“Kak Zana perasan tak apa yang saya perasan?”
“Perasan apa pula ni?”
“Ziyanlah…”
“Kenapa dengan dia?”
Suraya mengerutkan wajah lalu memandang Kak Zana di sebelah sebelum berdecit halus.
“Isyh,lembablah Kak Zana ni.Kak Zana takkan tak perasan dengan Ziyan tu?”ucapan Suraya benar-benar membuatkan takat didih Kak Zana naik sedikit.Hei,teman sekerja yang seorang ni.Apa kes?
“Cakap ajelah apa dia?Aku tengah sibuk nak sambung kerja,ada-ada ajelah kau ni Su.”Kak Zana mula nak marah tapi Suraya cepat-cepat memeluk bahu Kak Zana lalu mendekatkan bibirnya dengan telinga wanita itu.
“Akak cuba tengok perangai Ziyan.Dari tadi,sejak kita makan tengah hari asyik tersenyum aje.Sepatah pun tak keluar dari mulut dia.Orang tanya dia main angguk-angguk geleng-geleng aje.Sampai aje pejabat terus blah masuk bilik dia.Apa kes?”
Kak Zana mula menolak tubuh Suraya menjauh,rimas pula dengan si kepoh ni.
“Hei,yang itu pun nak kecoh.Itu tandanya hati dia sedang berbunga bahagialah.Sudahlah Su,akak banyak kerja ni.Karang Puan Amalia nampak kau bertenggek kat meja akak ni tak pasal-pasal kau kena.Baik kau balik ke meja kau dan buat kerja.Kejap lagi kau ada kerja luar kan?Dah…sila kosongkan tempat akak ni.Syuh!Syuh!”juih Kak Zana sambil tahan ketawa.Bibir Suraya dah muncung sedepa.Sentap lepas kena halau dek Kak Zana.
“Isyh,Kak Zana ni.Orang tanya aje pun.Halau kita pula,huh!”cebik Suraya menjeling halus pada Kak Zana sebelum kembali semula ke mejanya dengan mata masih lagi mengintai Ziyan di dalam bilik pejabatnya.
'Berbunga bahagia?Sebab apa?Naik pangkat ke?Tak apa...esok aku korek cerita dari dia.'bisik Suraya tak puas hati dengan satu tekad.
ZIYAN membetulkan tali begnya semasa berada di dalam lif.Hari ini dia pulang awal.Dah selesai urusan di pejabat jadi dia ambil peluang ini untuk balik berehat di rumah.Sebelum keluar dari pejabat tadi sempat dia menjengah ke ruang meja Zein Asyraff tetapi lelaki itu tak kelihatan.Sempat juga dia selidik dari Kak Zana yang bekerja di bahagian yang sama dengan lelaki itu.Rupanya dia ambil half day.Kecewa sikit hati nak tatap wajah jejaka yang dah berjaya mencuri hati dan tumpuannya sepanjang sebulan dua ini.
Cermin dalam lif sempat dijeling sekilas.Menatap roman wajah sendiri.Terus pipi disentuh lembut sambil tersenyum senget.Wajahnya yang sedikit cengkung berbanding sebelum ini ditenung lagi.Jelas yang dia tidak cukup rehat sepanjang beberapa minggu ini memandangkan terlalu sibuk dengan kerja mencari bahan cerita.
Dalam kepala dah mula merangka nak memasak makanan sedap-sedap untuk makan malam.Biar dia kenyangkan perut sendiri dan dapatkan semula tubuh yang lebih berisi macam dulu-dulu.Bila dah cengkung begini,semerta nampak dia lebih berumur daripada usia sebenar.
Elok pintu lif terbuka,dia terus lajukan langkah melewati ruang lobi di bangunan Prima Kota.Suasana boleh tahan sibuk di bawah.Jam baru cecah 5.50 petang.Waktu orang berkejar-kejaran pulang ke rumah.Waktu puncak.
“Hai,Ziyan.”sapaan seseorang dari arah belakang membuatkan langkah Ziyan mati.Terus dia pegun di tempat dia berdiri.
“Ziyan,tunggu kejap!”seorang lelaki yang memakai kemeja berwarna biru dan bertali leher mula mencapai lengan Ziyan bila gadis itu mahu angkat kaki setelah ternampak wajahnya namun tak semena-mena tangannya kena tepis.
“You nak apa lagi,Andy?”soal Ziyan menayang wajah bengang tapi tidak bagi lelaki itu.Ditangannya ada sejambak bunga ros segar yang dibalut cantik.Dihulur pada Ziyan tapi Ziyan tak mahu menerima.
“You dah habis kerja kan?Jom,keluar dengan I.Nanti I hantar you balik.”
“I tak nak!”jawab Ziyan keras dan mula berlalu dari situ meninggalkan lelaki bernama Andhika sendiri.
Andhika kalut mengejar langkah Ziyan sehingga akhirnya dia berjaya berdiri di hadapan gadis itu,menghalang laluannya.
“Please,Ziyan.Just for you.”bunga ros tadi disua lagi tak putus asa.Ziyan dah pandang kiri kanan.Malas nak bertekak dengan jejaka ini jadi tak mahu buat kecoh di kawasan umum,dia ambil saja bunga yang dihulur kepadanya.Semerta wajah manis Andhika di hadapannya bertukar ceria.Satu senyuman lebar terhadiah buatnya.
“Keluar dengan I?”ajaknya lagi.
“Nak buat apa?”
“Kita dah lama tak berbual macam dulu-dulu kan?I rindu nak keluar dengan you.Rindu nak dengar suara you.Rindu nak dengar gelak ketawa you.Rindu segala-galanya tentang you.”ucap Andhika tanpa ragu-ragu.Mata terus ditenung ke mata Ziyan,tajam tetapi menggoda.
Ziyan dah rasa nak naik angin saja memandang Andhika.Tak sangka,lelaki ini boleh terpacak depannya ketika dia balik dari pejabat.
“You nak rindu ke apa ke...you punya pasal.I tak berminat nak keluar dengan you sebab kita tak ada apa-apa yang nak dibincangkan.We're over!”hampir saja lagi Ziyan memekik.Nasib baiklah dia mampu mengawal nada suaranya.
“Please,Ziyan.Jangan tolak.”pujuk Andhika berlembut.Lengan Ziyan mahu dicapainya tapi Ziyan cepat mengelak.
“Andy,pleaselah.I nak balik.I penat ni.Lain kali kita berbual.”dalihnya lagi sekadar beralasan.
“No,dah banyak kali you berikan alasan yang sama.Asyik penat…penat…penat…kalau tak penat…sibuk memanjang!”sindir Andhika sedikit keras.Bengang barangkali dengan penolakan yang dibuat Ziyan.
“Apa masalah you,Andy?You tak faham bahasa atau buat-buat tak faham bahasa?Bila I cakap I penat maknanya I penat.Tak faham ke?”jeda.
“Atau you nak I straight to the point?”soal Ziyan keras.
“Macam ni,let me explain to you.I dah tak nak jumpa you.Get it?”
“Kenapa susah sangat you nak faham,Ziyan?I rindukan you,tahu tak?Tolong jangan buat I macam ni.”rayuan Andhika benar-benar melemaskan Ziyan.Mahu saja dia hempuk kepala Andhika,bekas kekasihnya yang sudah lama tidak dihubungi sejak mereka putus hubungan setahun yang lalu.Tiba-tiba bila hidupnya dah tenang dan aman tanpa lelaki ini,dia muncul mengacau emosinya.Ah,galau!
“You ni dah hilang ingatan atau dah hilang akal?Sejak bila pandai nak rindu-rinduan pada I?Dah tak ada betina lain nak kejar sampai patah balik pada I?Stupid!”cebik Ziyan melepas rasa.Malas nak berlama-lama menatap wajah Andhika yang masih tayang wajah simpati,dia berlalu keluar dari bangunan Prima Kota dan mahu cepat-cepat sampai ke keretanya yang di parkir tidak jauh dari situ.Namun elok tangan nak menarik pintu keretanya,lengannya sudah dicapai dan ditarik Andhika terlebih dulu.
“Andy!You jangan melampau!”jerit Ziyan bengang.Tubuhnya dah tersekat diantara kedua-dua tangan Andhika yang melekat di bumbung keretanya.Mata lelaki itu merenung tajam mata Ziyan sebelum menjamah rakus ke segenap roman wajah gadis itu.
“Sama ada you nak I pelawa you cara elok atau I terpaksa guna cara kasar bawa you dari sini.”bisik Andhika di telinga Ziyan.Gadis itu tergamam.Terkejut dengan ugutan halus yang Andhika guna pakai.Tak terkata apa,dia hanya menurut Andhika.Pintu keretanya ditutup rapat sebelum lengannya ditarik menuju ke kereta Andhika yang diletakkan tidak begitu jauh dari situ.Kereta di sebelah pemandu dibuka,mempelawa Ziyan masuk ke dalam.
“Macam tulah.Lain kali janganlah kasar sangat.”sindir Andhika sambil tersenyum herot setelah pedal minyak ditekan.Semerta kereta jenis Toyota itu menderu laju di jalanan.
“Kita nak pergi mana?”akhirnya terluncur satu pertanyaan dari bibir Ziyan setelah agak lama menyepi.Bimbang juga jika dirinya dipengapa-apakan oleh Andhika walau dia sendiri tahu Andhika tidaklah sekejam seperti dalam fikirannya.
Andhika yang sedang memandu menjeling sekilas pada Ziyan di sebelah sebelum tersenyum singkat.
“Balik rumah I.”
“You jangan macam-macam,Andy.You hantar I balik ke pejabat sekarang!”
“Relakslah.”
“You pelik dan I tak nak ikut orang pelik keluar.Please,Andy.Jangan buat I macam ni.”suara Ziyan dah gigil.Macam nak menangis pun ada.Bimbang akan keselamatan dirinya.Walaupun dia kenal Andhika macam mana orangnya tapi tak mustahil lelaki itu boleh buat sesuatu padanya.Tak sanggup rasanya nak membayangkan perkara bukan-bukan!
Andhika tergelak melihat kekalutan Ziyan.
“You fikir apa ni?”wajah Ziyan dipandang dua saat.
“You ingat I teruk sangat ke sampai nak apa-apakan you?Come on,Ziyan.You know me!”
“Pasal I kenal youlah I fikir macam-macam.You hantar I balik ke pejabat semula,Andy.Please!”tegas Ziyan tak mahu berkompromi.Atas sebab keselamatan,dia perlu bertegas.Walaupun dia jenis manusia kepala angin tapi sebagai seorang perempuan,apalah sangat kudrat yang dia ada kalau Andhika apa-apakannya.
Tapi Andhika sekadar tersengih tak lagi bersuara.Jalan raya yang sibuk diredah selamba membiarkan Ziyan gusar sendiri.
“APA khabar auntie?“ ucap Ziyan sebaik melangkah masuk ke banglo milik keluarga Andhika.Lantas tangan wanita yang berdiri di muka pintu itu diciumnya lalu memeluk erat-erat tubuh tua itu.Sempat dia jeling wajah selamba Andhika yang berdiri di sisinya.Perasaan galaunya berjaya diusir pergi setelah rumah keluarga Andhika kelihatan di ruang matanya beberapa minit sudah.Punyalah dia gelabah sepanjang perjalanan.Macam-macam dah didoanya agar tidka berlaku perkara bukan-bukan.
“Sihat.Ziyan sihat?”soalnya ramah sambil menarik lengan Ziyan masuk ke ruang tamu.
“Sihat macam biasa cuma...”mata dijeling lagi ke wajah Andhika.Dia nampak Andhika tersenyum-senyum tapi pura-pura pandang ke arah lain.
“Cuma apa?”
“Err...tak ada apa-apalah auntie.”Ziyan senyum sekilas.
“Lama betul Ziyan tak datang sini.Auntie rindu sangat nak bersembang dengan Ziyan macam dulu-dulu.”tegur wanita yang berstatus ibu kepada Andhika.
“Macam mana nak bawa dia datang sini,ma.Asyik sibuk memanjang.Ini pun jenuh kena paksa.Andy heret dia datang sini tau!”celah Andhika yang sudah pun mengambil tempat di atas sofa tidak jauh dari ibunya dan Ziyan.
Ziyan mengetap bibir.Terasa Andhika seakan-akan mahu mempermainkannya.Nak aje dia bagi sepakan agung secara percuma kepada lelaki itu tapi apa boleh buat,kedudukan lelaki itu tak terjangkau dek kakinya yang tidak berapa panjang.
“Kamu ni Andy,main heret-heret anak orang suka hati kamu.Betul ke ni Ziyan?”soal Puan Aishah sedikit cuak.Tangan Ziyan ditarik lantas ditepuk-tepuk halus.
“Tak adalah auntie.Andy bawa Ziyan datang sini dengan cara paling terhormat.”bibir Ziyan mengetap hebat.Mata dah jeling pandang wajah Andhika tak puas hati.Sakit hati tengok muka tenang milik Andhika.
“Kenapa auntie tengok muka Ziyan cengkung.Tak makan ke?Atau berdiet?”
“Tak diet pun.Kerja kat pejabat banyak,sibuk memanjang.Tak ada masa nak jaga makan.”
“Kalau macam tu,Ziyan teman auntie makanlah.Makan malam kat sini nak?Auntie masakkan masakan istimewa.Dah lama kan Ziyan tak makan kat sini.”pelawaan Puan Aishah benar-benar memerangkap perasaan Ziyan.Antara bengang,sakit hati dan serba salah.Akhirnya dia pasrah.Pasrah membiarkan Andhika menang kali ini.
'Tak apa Andy.Satu hari nanti kau akan kena balik!Just watch and see!'tekad Ziyan sambil melangkah mengekori Puan Aishah berlalu ke ruang makan meninggalkan Andhika sendiri di sofa.
Bab 17
PAGI itu Ziyan masuk ke pejabat dengan muka mencuka.Menonong saja dia menyerbu masuk ke bilik pejabat sampaikan Suraya menegur pun dia boleh buat tak endah.Pintu pejabat yang dihempas kasar membuatkan Suraya semakin pelik.
“Perempuan ni period lagi ke?Atau kena hamun dengan Cik Puan Diva?“Suraya pantas meletakkan mug berisi kopi ke atas mejanya dan mula meninjau ke arah meja Kak Zana yang hanya terletak lebih kurang sepuluh meter dari mejanya.
“Psstt...Kak Zana!“tegur Suraya buat muka kepochi.
“Apa Su?Nak gosip apa pagi-pagi ni?“soal Kak Zana sibuk menekur komputer di depan.
“Semalam,mood Ziyan okey kan?“
“Hmm...okey aje.“
“Dia tak ada mengamuk pasal Cik Puan Diva lagi kan?Tak bertekak dengan sesiapa pun kan?“
“Kenapa kau tanya?“
“Kak Zana tak perasan ke?Muka dia cemberut masa masuk pejabat kejap tadi.Muka macam baru lepas gaduh dengan laki.Tak perasan?“
“Manalah akak tahu Su.Kau pergilah tanya dia sendiri.“jawab Kak Zana malas-malas dengan nada suara mendatar.Sikit pun tak pandang Suraya di depan.
Suraya mencebik.Lama dia merenung pintu bilik Ziyan sebelum meninjau pejabat Puan Amalia Arshad dan Encik Haikal.Akhirnya dia berkeputusan untuk meredah masuk bilik Ziyan walaupun perasaan was-was masih ada.Was-was nak menyoal Ziyan tentang apa yang dah berlaku.Silap-silap dia dapat makian percuma!
Pelahan-lahan pintu bilik Ziyan diketuk.Suraya terus meredah masuk ke dalam.Seketika,matanya terpandang Ziyan yang sedang duduk di kerusinya dan kusyuk menulis sesuatu di atas sekeping kertas dengan wajah berkerut-kerut.
“Beb,buat apa tu?”
Tak ada jawapan yang keluar dari mulut Ziyan.
“Ziyan,kau okey tak ni?Aku tengok dari tadi muka macam nak ajak gaduh aje.Any problem?”
“Tak ada apa.” akhirnya Ziyan balas walau suaranya agak mendatar.
Suraya tergelak lantas duduk bersandar di kerusi hadapan Ziyan.Pandang muka Ziyan yang nyata begini langsung buat dia tidak percaya yang gadis itu tak ada masalah.Macamlah dia tak kenal Ziyan tu bagaimana.Senang sangat naik angin.Tayang muka bengang tahap mega,tipulah kalau tak ada apa-apa masalah yang buat jiwanya kacau.
“Aku kenal kau dah dekat sepuluh tahun,Ziyan.Kau memang tak pandai nak menipu.”Suraya guna ayat psiko untuk korek cerita Ziyan.
“Kau ada masalah ke?Masalah dengan Cik Puan Diva?Atau dengan Encik Haikal?” teka Suraya.
“Nothing,Su.I just want to be alone.Please leave!”seru Ziyan dengan nada suara bergetar.Tapi langsung tak angkat muka memandang wajah Suraya.
“Apsal ni?Beb,kalau kau ada masalah kau boleh cerita dengan aku.Macam kau tak biasa,kan?Aku risaulah tengok kau macam ni.”
Tiba-tiba bahu Ziyan terhinjut.Mula-mula perlahan saja tapi makin lama semakin kuat sehingga membuatkan Suraya melopong.Tak mahu membiarkan keadaan berterusan,Suraya bingkas mendekati Ziyan dan menarik bahunya.Jelas ada air mata yang mula bertakung di tubir mata Ziyan.
“Hei,Ziyan.Kenapa ni?”wajah Ziyan disentuh.Rasa simpati dan pelik dengan tingkah Ziyan yang lain macam.Tak pernah dia melihat Ziyan menangis hiba begini.Ziyan seorang perempuan yang lasak dan kental.Bukan sifatnya nak menangis macam budak kecil begini.
“Cuba kau cerita pada aku apa yang terjadi?”pujuk Suraya mula merendahkan nada suaranya.Pipi Ziyan yang dah mula basah dengan air mata disapu dengan hujung jarinya.
“Aku rasa aku nak bunuh dia!”bentak Ziyan tiba-tiba,membuatkan hati Suraya kalut sendiri.
“Whoaaa...siapa yang kau maksudkan ni Ziyan?Kau nak bunuh siapa ni?”
“Jantan tak guna!”pekik Ziyan sebelum membaling pen di tangan ke lantai.Tubuhnya diangkat mendadak dari kerusi lantas mendekati tirai di belakangnya.Jauh dia merenung keluar sambil dadanya naik turun menahan gelora yang entah bila mahu surutnya.
“Jantan mana yang kau maksudkan?”berkerut dahi Suraya memikirkan siapakah maksud Ziyan.Lama Ziyan mendiamkan diri sehingga membuatkan Suraya berasa gelisah.
“Andhika!Andhika jantan tak guna tu!” jerit Ziyan lantang sambil menarik-narik tirai berwarna putih itu.Jelas sekali di wajahnya ada riak marah yang membuak-buak.
Suraya jadi kalut apabila telinganya menangkap nama Andhika keluar dari mulut Ziyan.Jika mendengarkan nama Andhika,dia tahu kenapa Ziyan bereaksi sebegitu.Lelaki bermulut manis yang telah merobek hati Ziyan lalu meninggalkannya.Sudah setahun lebih dia tidak mendengar nama Andhika meluncur keluar dari mulut Ziyan tetapi hari ini nama itu kembali bermain di bibirnya.
Bahu Ziyan disentuh lembut.Sekadar meredakan hati panas gadis itu.
“Ya Allah,Ziyan.Cuba bawa bersabar.Boleh tak kau jangan macam ni?Cerita pada aku satu per satu kenapa dengan dia?Apa dia buat pada kau?Dia datang ganggu kau lagi ke?”kali ini hilang sifat kepoh Suraya sebaliknya berganti dengan sikap prihatin tahap maksima.Sungguh,dia cukup ambil berat akan Ziyan walaupun gadis itu kadang-kadang berangin tak tentu pasal.
Ziyan meraup wajah.Air jernih yang merembes keluar segera dikesatnya.Wajah Suraya dipandangnya bagai mencari kekuatan.Akhirnya Ziyan menganggukkan kepalanya.
“Apa kata kau buat repot polis aje.“cadang Suraya.
“Kau gila?”bola mata Ziyan membulat seperti mahu terkeluar layaknya.
“Aku tak gila cuma dengan cara tu saja dia akan berhenti dari mengganggu kau.”
Ziyan melepaskan satu keluhan yang berat.Dia duduk semula di kerusinya membiarkan Suraya sendiri.
“Aku…aku….urghh...ikut hati aku ni mati si Andhika tu aku kerjakan.”Gumam Ziyan.Di matanya ada api yang mula menyala.Sedikit saja lagi Suraya hampir terjerit.Terkedu yang amat dengan pengakuan Ziyan.
Di mata gadis itu bagai ada dendam kesumat yang tiada penghujungnya buat Andhika.Sungguh,inilah pertama kali Suraya nampak wajah Ziyan penuh dengan dendam.Marah yang biasa Ziyan tunjuk sudah lali pada pandangan matanya tetapi kali ini lain macam.
“Hah,apa yang kau cakap tu memang kerja gila!Kau jangan buat yang bukan-bukan Ziyan.Cuba bawa mengucap sikit.”Satu keluhan dilepaskan sedikit.
“Okey…macam nilah.Apa kata kau tenangkan dulu hati kau tu sebab aku tahu kau sedang dalam keadaan marah.Aku faham tapi tolong jangan buat perkara gila.”
Suraya tidak bercadang mahu bertanya dengan lebih lanjut apa yang sudah terjadi.Biar Ziyan sahaja yang membuka mulut kerana dia tahu seandainya Ziyan disoal lagi,dia pasti temannya itu akan lebih sakit hati.Mungkin saja dia sendiri akan menjadi mangsa amukan Ziyan yang memang terkenal dengan sikap panas baran.
Ziyan akhirnya menyandarkan tubuhnya ke kerusi sambil memejamkan mata.Fikirannya yang sedia kusut sedikit kurang.Cuma ombak dadanya saja yang belum mahu reda.
Mendengar butir bicara Suraya,hatinya jadi sejuk kembali.Rasa marah yang sedia bermukim di hati kecilnya cuba dibuang pergi.Tidak mahu hanya kerana Andhika mood nya berubah dan hilang fokus pada kerja.
“Kau okey tak ni?” soal Suraya perlahan.Bimbang kata-katanya bakal menjadikan Ziyan macam emak singa pula nanti.
Ziyan angguk sekali sambil meletakkan tangannya pada dahi.
“Sorry lah kalau aku cakap tapi kalau kau ada masalah nak diluahkan aku bersedia mendengarnya.Hmm…tak apalah Ziyan.Aku keluar dulu.Tapi kalau ada apa-apa yang kau nak cakap,just tell me okay.”
Suraya mula melangkah namun langkahnya mati sebelum menoleh ke arah Ziyan yang masih membatu seperti orang tidur di kerusi.
“One more thing Ziyan.Aku harap kau tak buat kerja-kerja bodoh dan gila hanya kerana seorang lelaki.Walau apapun alasan dan walau apa pun yang dia dah buat pada kau,aku tak nak kau hancurkan diri kau kerana dia.Kau faham kan apa maksud aku?”
“Hmmm…” hanya itu balasan Ziyan sebelum Suraya keluar dari situ.
No comments:
Post a Comment