ENTAH sudah berapa banyak air matanya mengalir.Jika disukat,mungkin sudah berbaldi-baldi agaknya.Di hujung katil dalam bilik yang sepi itu,Datin Ainon duduk sendiri sambil memeluk erat sehelai baju kemeja milik arwah Affan.
Masih terasa-rasa akan kehadiran anak lelakinya di dalam bilik ini.Masih terngiang-ngiang suara Affan memanggilnya lalu melayangkan sebuah senyuman seperti selalu.Masih terasa hangatnya kucupan yang sering Affan berikan padanya setiap pagi dan setiap kali mahu keluar atau pulang dari pejabat.Kini,segala-galanya berbeza.Tiada lagi lelaki bernama Affan yang akan menemaninya seperti selalu.Terasa dunia seakan kelam.
Masih terasa-rasa akan kehadiran anak lelakinya di dalam bilik ini.Masih terngiang-ngiang suara Affan memanggilnya lalu melayangkan sebuah senyuman seperti selalu.Masih terasa hangatnya kucupan yang sering Affan berikan padanya setiap pagi dan setiap kali mahu keluar atau pulang dari pejabat.Kini,segala-galanya berbeza.Tiada lagi lelaki bernama Affan yang akan menemaninya seperti selalu.Terasa dunia seakan kelam.
Hati tuanya menanggu rasa kehilangan yang keterlaluan hingga kesihatannya terganggu.Bila ditegur,dia melenting.Sudahnya,semua manusia dalam rumah ini sekadar mampu memandang dari jauh.
Minda mula melayang jauh mengenang masa lalu namun tiba-tiba terhenti pada seraut wajah yang telah melumat-lumatkan hati kecilnya sebagai seorang ibu.Wajah gadis itu mula berlegar-legar di ruang mata sehingga dia kumpulkan segala perasaan amarah dan dendamnya tanpa bertepi.
“Disebabkan kau,anak aku mati!Disebabkan kau Affan tinggalkan aku selama-lamanya.Aku takkan maafkan kau sampai bila-bila!”jeritnya.Air mata Datin Ainon jatuh lagi.Terhenjut-henjut bahunya menahan sedih yang bersarang dihati.Sudah lebih 3 minggu arwah Affan pergi meninggalkannya namun gelak ketawa Affan masih segar dalam ingatannya.
“Affan anak mama,baliklah Affan.Mama rindukan Affan.Rindu sangat-sangat.Pulanglah, Affan…”rintihnya sayu sambil mencium-cium baju kemeja.Masih melekat bau-bauan milik Affan di situ.
Pintu bilik terkuak perlahan.Terjengul wajah Inshirah disebaliknya sebelum lambat-lambat gadis itu menapak mendekati ibunya yang sedang duduk membelakangi pintu.Tanpa Datin Ainon sedari,Inshirah sudah berjaya duduk di belakangnya sambil melihat dan mendengar rintihannya.
Keluhan panjang terlepas akhirnya dari bibir Inshirah sebelum kepala menggeleng laju.Kesal bercampur simpati dengan Datin Ainon yang masih belum dapat menerima kenyataan.
“Mama….” ucapan lembut yang keluar dari bibir Inshirah mematikan lamunan Datin Ainon terhadap kenangannya bersama Affan.Air matanya segera dikesat.
“Mama,kenapa duduk di sini?Jom,kita keluar.Abang Azrey,Kak Effa dan Ayman baru datang.Kita jumpa dia orang ya?”ajak Inshirah.Dia sengaja memaniskan wajahnya memujuk ibunya.Datin Ainon berpaling,langsung tidak menjawab.Dia memeluk semula baju kelabu milik Affan.
“Mama,jangan macam ni.Jom kita jumpa Abang Azrey.Dah lama kita tak berjumpa dia orang,kan?”
“Pergi!Jangan kacau aku!”jerit Datin Ainon garang sambil menolak paha Inshirah menjauh.
Inshirah terasa kecut mendengar suara halilintar milik Datin Ainon.Tak sanggup lagi rasanya nak mendengar caci maki yang mungkin bila-bila masa saja akan keluar dari bibir wanita itu.Sejak kematian Affan,Datin Ainon sukar didekati.Payah untuk diajak berbual.Tidak mahu bergaul dengan orang lain.Anak-anak yang ada pun dibuat tidak kisah seakan-akan dia hidup dalam dunia sendiri.
Pintu ditutup semula membiarkan Datin Ainon sendiri lagi.Ruang tamu didekati dengan wajah sugul.Semerta wajah Azrey,Effa dan anak mereka Ayman terpampang di mata.
“Mana mama?” soalan yang Azrey lontarkan buat Inshirah berat untuk bersuara.
“Mama dalam bilik arwah.”jawab Inshirah perlahan sambil melabuhkan duduk di sebelah Ayman.Kepala anak kecil itu digosok sebelum menariknya duduk di atas riba.
“Buat apa?”aju Azrey lagi sedikit panik.
“Macam biasalah Abang Azrey,menangis.Teringat pada arwah Abang Affan.”ucap Inshirah sayu.
“Shira tak cuba pujuk mama ke?”tanya Effa pula.
“Puas dah Shira pujuk,Shira cakap macam-macam…tapi mama tetap macam tu.Kalau Shira paksa,dia maki hamun Shira balik.Shira dah tak sanggup nak hadapi semua ni.Shira dah tak larat.”suara Inshirah kedengaran lelah.
“Apa maksud Shira?”
“Shira dah tak sanggup nak tengok mama dalam keadaan macam tu.Sedih,bang.Hati Shira ni bagai dihiris-hiris bila melihatkan keadaan mama.Shira tak tahu nak buat macam mana lagi supaya mama kembali pulih seperti dulu.Sejak arwah Abang Affan meninggal asyik duduk berkurung kat dalam bilik arwah aje.Makan tak nak,minum tak mahu….Shira takut kesihatan mama terjejas.Lagipun,siapa nak jaga mama nanti kalau mama jatuh sakit?Abang tahu kan Shira masih sibuk dengan kuliah.Kalau hari cuti tak apalah juga Shira balik sini tengok-tengokkan mama.Nak harap pada Chik Nab seorang,kesian juga pada dia.” luah Inshirah bernada bimbang.
“Abang rasa elok kalau mama tinggal dengan kami.Sekurang-kurangnya dapat kurangkan rasa rindunya pada arwah.Yelah,barang-barang arwah banyak ada di rumah ni.Kalau dia tinggal dengan kami,tak adalah terasa sangat.”cadang Azrey penuh yakin.Dia sudah lama merangka mahu membawa ibunya tinggal bersama namun niatnya terbantut disebabkan beberapa urusan kerjanya terpaksa diselesaikan dulu.
“Shira,betul cakap Abang Azrey tu.Kak Effa pun rasa ada eloknya kami bawa mama tinggal dengan kami.Sekurang-kurangnya,makan pakai mama terjaga.Tak adalah dia teringatkan sangat pada arwah.”
“Tapi,Shira risau kalau mama membantah.Shira takut mama mengamuk lagi.”akhirnya itu yang terlafaz.
“Tak apalah Shira.Abang Azrey tahu bagaimana nak memujuk mama.Tapi yang pasti kami nak bawa mama tinggal dengan kami.Sekurang-kurangnya Kak Effa boleh temankan mama.Kalau mama terus tinggal di sini,abang bimbang keadaan mama semakin parah.”ujar Azrey meyakinkan adiknya.
Inshirah pandang abang dan kakak iparnya silih berganti sebelum singgah pada anak buahnya Ayman yang di atas riba yang baru berusia tiga tahun sebelum dia mengangguk setuju.Satu senyuman kecil akhirnya dihadiahkan buat mereka berdua.
ZIYAN menghempaskan fail ke atas meja.Kemudian,kerusi empuk dalam bilik pejabatnya dihenyak kuat.Perasaannya kucar kacir.Tak stabil.Dada berombak kencang.Wajah juga ikut membengis.Bengang sejak dia keluar dari bilik editor sekejap tadi.
Ruang pejabat yang berhawa dingin begitu masih belum mampu hilangkan rasa panas di hatinya.Berkali-kali dia lepaskan dengusan kencang.Menghambur rasa marah yang makin meluap-luap dalam jiwa.Kemudian,dia bingkas dari kerusi empuk sebelum mundar mandir seorang diri di hadapan meja kerjanya.
“Angin betul dengan orang tua ni!Hal kecil aje pun tapi dah kecoh macam dunia nak kiamat!Itu tak kena,ini tak kena.Dia ingat aku ni robot?Heh,kalau kau pandai sangat,kau buat sendirilah!“bebelnya sendiri.
Perasaan baranya masih berbahang.Ikut hati nak saja dia bagi makian percuma kepada editornya yang cerewet mengalahkan diva.Tak cukup dengan rasa geram dengan bos besar yang sudah beberapa hari tak nampak muka di pejabat ini,hamburan kemarahan editornya beberapa minit tadi bisa menggegarkan seluruh isi jiwanya.Sakit hati,sakit jiwa,sakit kepala.
“Haih,geram sungguhlah!Macam-macam nak dikomennya.Berlagak macamlah kau tahu segalanya.Eee...sakit hatinya!“omel Ziyan sambil mengepal-ngepal penumbuk.Sudah beberapa kali dia ketuk meja sendiri sehingga bergegar tapi semua perasaannya masih tersisa.
“Ziyan,kenapa ni?Are you okay?“ tiba-tiba suara Suraya bergendang di telinga usai daun pintu bilik Ziyan ditolaknya.Ziyan yang masih mundar mandir di hadapan meja kerjanya didekati dengan wajah berkerut.
“Any problem?”soal Suraya meminta kepastian.
“Aku tak ada masalah tapi mak tiri kau yang ada masalah!” bibir Ziyan diketap rapat sebelum menghenyakkan tubuhnya ke kerusi dengan kasar.
“Hah?Mak tiri aku?Sejak bila pula bapa aku kahwin lain ni?”seloroh Suraya buat-buat muka innocent dan blur sebelum dia gelak-gelak pandang wajah Ziyan yang mencuka.Kalau dia tak masak dengan perangai Ziyan,memanglah dia takkan berani nak tegur perempuan itu.Macam nak buat amukan drakula.Tapi disebabkan dia sudah terlalu masak dengan cara dan sikap Ziyan,dia masih lagi boleh ketawa.Dah tahu sangat dah bagaimana cara Ziyan mengamuk.
Ziyan menjeling geram pada teman seorang di depannya.
“Mak tiri kat dalam bilik depan tulah,siapa lagi.” Suraya mula tersengih.
“Kenapa pulak kau nak angin dengan dia satu badan ni?Dia buat apa pada kau?Kerja kau kena reject ke?Alah,macam kau tak faham Cik Puan tu macam mana.Dia kan perfectionist!” juih Suraya.
“Telinga aku ni boleh kebal dengan apa-apa kemarahan atau caci maki kalau betul aku buat silap.Aku ada otaklah.Aku masih boleh terima tapi masalahnya...“suara Ziyan tersekat.Tak mampu nak teruskan kata-kata bila teringat suara halilintar milik editornya.
“Dia cakap apa?“
“Dahlah bahan berita aku dia reject mentah-mentah.Dia boleh cakap pula pada aku yang aku ni tak layak jadi wartawan.Ijazah yang ada tu baik pergi bakar.Tak ada guna kalau ada ijazah tapi tak manfaatkannya betul-betul.Lebih baik duduk rumah dan berhenti jadi wartawan.Kau rasa?“berapi marah Ziyan.Mata dah naik merah tenung Suraya.Sempat juga tangan dihempas ke atas meja.
“Itu aje?“
Ziyan jeling Suraya.Berdetak-detak sumpah seranah editornya dalam hati.
“Betul dia cakap macam tu?”
“Kau ingat muka aku ni muka penipu sampai nak kena goreng cerita pasal dia?”
“Okey...okey...chill!”
“Kau tahu tak,aku punyalah bertungkus lumus gadaikan masa aku sepanjang minggu ni semata-mata nak cari bahan untuk lariskan cerita,bila dah siap macam-macam yang dikomennya.Dia dah lupa agaknya kalau bukan aku yang buat story dan cover meletup dulu,tak adanya rating Prima Kota naik mencanak tinggi macam sekarang tau.Apa yang dia tahu komplen itu komplen ini.Eh,aku belajar kat universiti dulu bukan main-main tau.Sakit hatilah bila dia ungkit pasal ijazah yang aku ada!”Ziyan kalau dah marah memang menggigil satu badan.Sensitif sungguh bila kerjanya mahu dikaitkan dengan ijazah yang dia miliki.Apa ingat ijazah beli ke?
“Kau rasa kalau kau bakar ijazah kau tu...kau masih boleh cari makan tak?”usik Suraya sambil menahan ketawa.Melihat wajah cemberut Ziyan langsung buatkan dia rasa lagi bersemangat nak usik-usik gadis itu.
“Kau Su,kalau nak makan penumbuk aku baik kau cakap!”hentam Ziyan sambil tayangkan buku limanya ke hadapan Suraya.Suraya menggeleng kepala laju sambil tunjuk isyarat.Seriau dengan tingkah Ziyan yang kadang-kadang diluar jangkaan.
Ziyan,siapa yang tak kenal perangai panas barannya.Semua orang dalam pejabat Prima Kota ni tahu bagaimana sikapnya tapi disebabkan dia adalah seorang wartawan yang bijak mencari bahan berita dan seorang penulis yang sudah banyak kali menyebabkan rating Prima Kota naik mencanak,tak ada siapa yang berani mempertikaikan.Cuma kadang-kadang anginnya yang seperti puting beliung itu boleh memanaskan suasana pejabat.
Bos besar pun tak pernah bersuara apa-apa tentang sikap Ziyan yang satu ini.Walaupun boleh dikatakan sudah banyak kali dia bertekak dengan bos besar dan editornya iaitu Puan Amalia Arshad merangkap isteri bos Prima Kota Encik Haikal,suami isteri itu masih lagi boleh bertahan dan menyimpan Ziyan sebagai salah seorang pekerja mereka yang paling berjasa di sini.
“Relakslah Ziyan.Janganlah marah-marah macam ni.Kalau asyik nak naik angin,cepatlah berkedut muka tu.Cuba buat relaks macam aku ni.Senyum aje.Orang lain tengok pun bahagia aje rasa.”Suraya menyengih,cuba nak buat lawak basi tapi Ziyan dah siap jeling padanya.
“Kau sabar ajelah.Macamlah tak faham dengan Cik Puan Diva kau tu.Dia kan perfectionist.Sempurna 200% katakan.”cebik Suraya melepas perasaan.Kadang-kadang dia sendiri gerun nak berhadapan dengan Puan Amalia.Kalau boleh semuanya kena sempurna,baru kerja-kerja akan diterima.Kalau tidak,boleh blah!
“Ikutkan hati aku ni nak aje aku blah dari sini.Letak jawatan,baru dia puas hati.Ingat muka aku ni muka tak laku ke?Kalau aku buat senarai,ternganga dia tengok offer yang aku dapat dari syarikat lain!”balas Ziyan sambil mendengus.Kerusi empuk miliknya diduduki sebelum tersandar rapat pada penyandar.
“Kau biar betul,Ziyan?Mana hati kental kau?Takkan dah bertukar jadi tisu?Setakat hadap mulut petir Cik Puan Diva tu,kacang punya hal beb.Kau pernah hadap mulut petir artis-artis yang berlagak popular kat luar sana lebih dari ni,tapi cool aje.Takkan dah nak mengalah?”
“Bukan soal mengalah.Ikutkan kepala gila aku,memang dah lama aku kasi penerajang mulut longkang dia.Tapi,disebabkan jasa laki dia dulu terpaksalah aku hadap mulut puaka dia tu.Kerana Encik Haikallah aku terus bertahan kat sini.Kalau tidak,mak tiri tu dah boleh get lost dan aku confirm rating Prima Kota yang selalu dia dok bangga-bangga tu akan merudum jatuh.”
“Amboi,dahsyat eh penangan Encik Haikal dalam hidup kau.Apa jasa dia yang dia dah tabur untuk kau?Kau jangan Ziyan...jangan pelik-pelik.”Suraya mula buat muka mencurigakan sambil jari dah hala ke muka Ziyan.
“Kau jangan nak macam-macamlah Su.Kau ingat aku tak ada maruah nak buat benda bukan-bukan?”nafasnya terhenti seketika.Wajah Suraya dipandang sekilas.Tak mahu buka cerita lama yang tersimpan kemas dalam hati dan memori.
“Alah,ceritalah sikit pada aku.Kita off record,tak ada siapa dengar.”pujuk Suraya masih memancing.Butir-butir perkataan yang keluar dari bibir Ziyan tadi benar-benar membuatkan dia bersemangat nak ambil tahu rahsia yang cuba Ziyan sorokkan.
“Weh,kalau satu hari kau tak tambah sakit hati aku tak boleh ke?Mak tiri tu dah sakitkan hati aku,sekarang kau pula nak tumpang sekaki?Nak kena maki?”Acah Ziyan garang.Meluat melihat sikap busy body Suraya,salah seorang wartawan di Prima Kota yang sama-sama belajar di universiti dengannya dulu.
Suara ugutan Ziyan mula naik satu oktaf sehingga membuatkan Suraya terkulat-kulat sendirian.Dia mula mencebik kepada Ziyan.
“Tak sporting betullah kau ni Ziyan.Aku bukan apa,cuma nak kongsi masalah dengan kau.”
“Huh,kongsi masalah konon.Itu bukan kongsi tapi busy body,tahu?”
Suraya sudah ketawa lepas melihat kemarahan Ziyan.Walaupun kena perli,dia buat muka tebal dan masih lagi tidak mahu berganjak dari kerusinya.
“Apa lagi yang kau nak korek dari aku,Su?”sindir Ziyan dengan suara mendatar.Mujurlah perasaannya sudah reda.
“Sejak tadi kau membebel-bebel pasal Cik Puan Diva.Ada apa-apa lagi yang dia minta kau buat ke?” Ziyan meraup wajah sambil mendengus tapi masih tiada suara yang keluar.
“Kau buat cover story pasal apa,beb?Pasal perempuan yang tengah meletup-letup cerita dia kat internet tu ke?Artis realiti tv yang kena tangkap basah tu?”tebak Suraya memancing.
“Bukan.”Ziyan pantas mengeluarkan sekeping gambar dari laci mejanya lalu diletakkan di hadapan Suraya dengan kasar.Suraya capai gambar itu dan membeleknya.Beberapa saat kemudian,dia mula tersenyum herot sebelum mata jatuh semula ke wajah bengang Ziyan.
“Nadine Tasyrif?”
“Pasal dialah orang tua tu sembur aku!”
“Kelas perempuan nie eh?Pengaruh besar ni!”
“Mestilah pengaruh besar.Pengaruh untuk naikkan lagi rating Prima Kota.Pasal perempuan ni,artikel aku untuk ruangan PENTAS tu kena reject.”
“Apsal?Macam biasa?Tak bagi kerjasama?Atau...”
“Mak tiri kau tu mengamuk sakan bila aku tak dapat nak buat cover story pasal perempuan ni.Kau tahu tak cerita dia ni sangat eksklusif.Pasal hal dia putus tunang dan majlis kahwin yang dibatalkan tu.Banyak wartawan lain dah cuba gali cerita dia tapi masing-masing masih tak berjaya dapatkan pengesahan.Sebab itulah mak tiri seorang ni beria-ia suruh aku usaha dapatkan berita sensasi.Bila dah dapat story,confirm Prima Kota syarikat yang pertama keluarkan cerita pasal dia.Lepas tu,apa lagi...rating naiklah beb.Magazine kita confirm punya sold out!”
“Putus tunang?Heh,sadisnya.Muka lawa-lawa,kerjaya tip top alih-alih tak jadi kahwin.”ejek Suraya sambil tenung gambar Nadine Tasyrif.
“Kau tahu tak masa dia keluar hospital beberapa minggu lepas pasal kes kemalangan tu.Aku dengan Niel ada pergi sana nak cari story.Puas jugalah korek cerita macam-macam tapi sudahnya kami berdua balik tangan kosong.Geram sangat tahu tak!”luah Ziyan geram.Rambutnya dicekau-cekau dengan sebelah tangan.
“Oh,patutlah hari tu beria aje aku dengar nama si Nadine ni keluar dari mulut Niel masa kat dalam pantri.”tokok Suraya mula mengingati hal beberapa hari lepas.
“Weh,kau dok bertapa lama-lama dalam bilik aku ni...dah tak ada kerja nak buat?Nak kena maki percuma dari mak tiri tu ke?”sembur Ziyan mula naik rimas bila Suraya seakan tidak mahu berganjak dari situ.Suraya tersengih menampakkan barisan giginya.
“Oh,ni kira kes menghalau akulah ya?”
“Lebih kurang.”balas Ziyan malas-malas sambil menghadap komputer di depan.Papan kekunci ditekan laju tanpa lagi memandang wajah Suraya.
“Okey,aku blah.Tapi,apa-apa kau roger ajelah aku eh.”sempat lagi Suraya mengusik sebelum berlalu meninggalkan Ziyan dengan perasaan yang berdentum dentam tak sudah.
No comments:
Post a Comment