Monday, 13 August 2018

9 NOTA Bab 13

Peti surat di tembok rumah aku intai sebaik saja kereta diparkir di halaman. Beberapa keping surat dibelek sebelum mata aku terpaku pada sekeping sampul coklat bersaiz biasa. Depan belakang sampul tersebut aku belek. Dengan jelas tertera nama dan  alamat lengkapku berserta setem dan cop pejabat pos.

Darah yang berderau hilang serta merta sebaik aku membaca kad yang terselit di celah sampul coklat tersebut.

JEMPUTAN KE MAJLIS PERJUMPAAN SEMULA

“Ehem.” Sedang ralit membaca, terdengar deheman dari belakang. Kelam kabut aku menyusun semua surat yang diambil tadi lantas mendongak mencari si pemilik suara.

“Adh… wa.” Sebaris nama terlantun keluar dari bibir aku tatkala mata aku dan mata dia berlaga. Kemudian, surat-surat yang berada di tangan aku diperhati oleh dia sebelum menyoalku dengan sepatah pertanyaan.

“Busy?”

Aku menggeleng. Sejujurnya, aku sangat terkejut melihat dia yang tiba-tiba berada di sini. Aku melarikan bola mata ke wajahnya sebelum dihalakan kepada helmet yang sedang dipeluk di sisinya. Pakaiannya seperti biasa. Jeans hitam, t-shirt hitam serta jaket kulit berwarna hitam. Aura misteri benar-benar ketara pada dia, membuatkan aku sedikit bergemuruh.

“Ada… apa?” Gagap, aku menyoal dia dengan teragak-agak.

“Sara.” Dia menyebut namaku tetapi terjeda kemudiannya. Anak mataku direnung semahu-mahunya sambil menayang wajah tanpa senyuman. Ketika ini, aku berundur setapak ke belakang. Memori beberapa minggu lepas sudah terlayar di ruang minda.

“Ke… kenapa?” Masih gagap, aku cuba berani-berani menyoal dia. Tambahan, apabila mendengar dia menyebut namaku untuk pertama kali memberikan satu rasa yang janggal di hatiku.

 “Kenapa bagi duit?”

“Duit? Duit apa?” Dengan dada yang masih berdebar, aku menjongket kening bertanya dia.

“Duit barang.” Setelah dia menyebut begitu, baru aku teringat tentang apa yang sudah terjadi.

 “Hutang wajib dibayar,” balasku mudah.

“Saya tak minta bayar pun,” balasnya kembali dengan muka seperti tadi.

“Tak apa. Saya yang nak bayar.”
Tak lama kemudian, dia menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan beberapa keping not berwarna merah berserta syiling lalu disua kepadaku.

“Ambil.”

“Untuk apa?”

“Saya pulangkan duit awak.”

“Eh?”

“Saya belanja.”

Aku terpatung di hadapan dia.

 “Kaisara… ambil…” ujar dia lagi lebih kepada mengarah. Aku pula hanya mampu terkebil-kebil di depan dia tanpa menyambut wang yang dihulurkan.

“Tak apa… awak simpan saja duit tu.” Aku bertegas. Melihatkan tingkahnya, dapat aku rasakan yang dia akan cuba memaksa aku supaya mengambil duit itu tetapi sangkaan aku meleset sama sekali sebaik melihat dia menyimpan semula duit tersebut ke dalam poket seluar.

“Okey. Saya tak akan paksa. Tapi, awak tak boleh tolak satu benda daripada saya,” ujar dia lancar dalam satu nafas.

“Apa?”

“Awak kena temankan saya minum.”

“Huh? Sekarang?”

“Iya.”

Lekas-lekas aku merenung jam di pergelangan tanganku.

“Erm…”

“Jangan risau. Saya tak ada sebarang niat jahat terhadap awak.”

Muka aku terasa berbahang tatkala mendengar ayat yang keluar dari mulutnya. Ah, nampak sangat ke yang aku ni sedang berfikir yang bukan-bukan tentangnya?

Lambat-lambat aku mengangguk. Makanya, kami berdua menuju ke sebuah restoran tidak jauh dari kawasan perumahan ini dengan hanya berjalan kaki. Di sepanjang jalan, kami berdua hanya selesa melayan perasaan masing-masing. Ditemani sepi, akhirnya kami berdua tiba ke destinasi.
Sejujurnya, aku tidak tahu kenapa aku boleh bersetuju untuk keluar dengan dia.

Tetapi, bila difikirkan semula, ada juga hikmahnya kerana aku perlu menanyakan sesuatu kepada dia. Dan semua pertanyaan aku itu semestinya berkaitan dengan rakaman litar tertutup di rumahnya.

“Maaf bertanya. Saya selalu nampak awak keluar masuk rumah tu dengan motor besar. Awak sebenarnya kerja apa?” Soalan itu aku ajukan kepada dia sebaik saja pesanan kami tiba.

“Spy.”

Hampir aku tersedak air liur sendiri apabila dia memberitahuku dengan wajah tanpa perasaan. Sebenarnya, aku tersilap dengar atau dia yang tersalah cakap?

“Spy?”

“Bergurau aje.” Dia menayang senyumannya. Langsung, terbentuk sepasang lesung pipit di kedua-dua belah pipinya menyebabkan aku terpaku memandang dia. Pertama kali di sepanjang hidupku, baru kali inilah aku melihat dia tersenyum.

“I see. Bergurau ya? Habis tu?”

 “Martial art coach.” Terang dia seolah cuba menghalau rasa sangsiku.

“Oh.”

“Awak pula?” Adhwa bertanya apabila melihat aku hanya berdiam diri.

“Saya?” Jari telunjuk naik ke dada sendiri.
“Event Coordinator kat Creative Event. Pejabat saya tak jauh pun dari sini. Sepuluh minit drive dah sampai.”

“I know.” Adhwa menggumam tetapi butir perkataannya masih lagi dapat didengari aku.

“Sorry?”

“Erm… nothing.” Dia menggeleng lalu menyambung… “Dah lama kerja kat situ?”

“Dah dekat tujuh tahun.”

“Happy kerja di situ?”

“Kalau kita buat perkara yang kita suka, kita takkan rasa ia satu kerja tetapi passion. Jadi, ya… saya happy kerja di situ. Tambah-tambah bila dapat majikan dan rakan sekerja yang baik dan bertimbang rasa.” Aku menyatakan pendapatku.

Prinsip aku mudah. Jika mahu bahagia dan gembira, sukalah dengan apa yang kita buat atau pun buatlah apa yang kita suka asalkan ia tidak menyalahi undang-undang.

 Secara tidak langsung semuanya akan menjadi mudah dan menyeronokkan. Disebabkan itulah aku mampu bertahan bekerja di bawah Encik Yusuf di syarikat itu selama tujuh tahun.

“Awak pula?” Aku mencapai gelas yang berisi sirap limau lantas mengacau-ngacau air menggunakan penyedut minuman.

“Biasa-biasa saja.”

“Kenapa? Tak seronok ke jadi martial art coach?”

“Bukan macam itu.” Dia diam. Mukanya berkerut. Seperti sedang memikir-mikir sesuatu.

“Berat sangat ke masalah awak?”

“Masalah?” Dia pandang aku.

“Awak ada masalah ke? Muka awak…” Aku menaikkan jari telunjuk dan memutar-mutarkan hujung jari ke wajah sendiri.
Dia menggeleng. Aku rasa mungkin dia ada masalah. Mungkin masalah di tempat kerja atau masalah keluarga.

“Awak memang tinggal seorang diri kat rumah tu, kan? Kat mana keluarga awak? Ibu bapa? Adik beradik?”

Adhwa hanya tersenyum lalu menyedut minumannya.

“Girlfriend?” Tambah aku lagi.

Adhwa menggeleng dan terus melarikan pandangannya daripada bertemu denganku. Aku pula terasa macam nak menyumpah diri sendiri. Aduhai, Kaisara! Kenapa buang masa lagi? Tanya sajalah apa yang kau nak tanya!

Aku mengosong-ngosongkan rengkung sambil membetulkan duduk lalu merenung Adhwa yang berada di hadapanku dengan pandangan penuh semangat. Namun belum sempat aku menghulurkan soalan, terlebih dulu soalan diberi untukku.

“Kenapa pandang macam tu?”

“Saya sebenarnya nak tanya awak pasal…”
Tak semena-mena saja Adhwa mengangkat tangannya memberikan isyarat kepadaku. Telefon di celah poket seluarnya dicapai lantas menjawab satu panggilan telefon yang tiba-tiba masuk.

“Ya, ada apa?” Bebola mata Adhwa menari-nari di wajahku.

“Aku tahu. Jangan risau.” Adhwa mendengus.

“Ya… ya… aku tahu apa yang aku buat. Kau tak perlu ingatkan aku berulang kali.” Tambah Adhwa dengan suara yang keras. Sesekali matanya bertembung pandang denganku namun bila aku merenung dia, langsung dia melarikan pandangannya ke arah lain.

“Sara.” Adhwa menyeru namaku sebaik panggilan ditamatkan. Minuman yang masih berbaki dihabiskan. Kemudian, dia termenung sebentar. Manakala tangannya pula digenggam dan dikepal-kepal seperti sedang menahan marah. Tapi, pada siapa? Pada si pemanggil tadi?

“Ada sesuatu yang saya kena beritahu awak.”

 “Tentang apa?”

“Saya…” Adhwa berhenti setelah satu patah perkataan muncul dari celah bibirnya. Dengan jelas aku nampak halkumnya bergerak-gerak manakala tangannya dikepal-kepal lagi seolah apa yang cuba disampaikan kepadaku seperti satu perkara yang sukar sekali untuk diungkapkan.

“Sebenarnya… saya…” Dia berhenti lagi, merenung gelas di depan sejenak.
Dada aku jadi berganda debarnya. Gemirap hati aku melihatkan tingkah laku Adhwa. Sebenarnya, apa yang mahu dia sampaikan pada aku?

 “Tak ada apa-apa. Saya kena balik.” Bingkas dari duduknya, dia ke kaunter membuat bayaran meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga.

“Terima kasih sudi keluar minum dengan saya. Saya… masuk dulu,” ujar Adhwa sebaik kami tiba di hadapan pagar rumahku. Sekadar mengangguk dengan fikiran yang bercelaru, aku menghantar Adhwa dengan pandangan. Jujur aku katakan yang aku benar-benar tidak faham dengan fiilnya. Sekejap dia begitu. Sekejap dia begini. Membuatkan aku bertambah keliru.

“Sara.” Tiba-tiba saja Adhwa menegurku tatkala pagar utama sedang aku tarik. Aku berpusing. Langsung terlihat dia yang sedang berdiri di tengah-tengah jalan sambil menyeluk poket seluarnya.

“Ya?”

“Jaga diri.”

Sejurus kemudian, dia berlalu ke dalam meninggalkan aku dengan perasaan yang makin bercelaru.



***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311






Sunday, 12 August 2018

9 NOTA Bab 12

 I kat balai polis. I kena cekup dengan pegawai jabatan agama kat bilik hotel tadi.
Apa yang I nak beritahu pada Sara?

Ayat di dalam mesej yang diterima oleh Puteri sebentar tadi aku tenung berulang kali. Tanpa perasaan, aku menyerahkan semula telefon Puteri kepadanya lantas ke bilik. Selang lima minit kemudian, aku kembali ke ruang tamu dengan berpakaian kemas.

“Sara, kau nak ke mana?” Aku dengar suara Puteri seperti cemas. Puteri lekas-lekas mendekatiku. Tanganku ditarik. Aku senyum segaris. Senyum yang bagiku tak berapa nak ikhlas.

“Aku nak pergi jamin Syazwan.”

“Hah? Kau biar betul?!” Mata Puteri membuntang.

“Betullah. Kau nak ikut tak?”

“Aku… ikut.” Balas Puteri teragak-agak.
Aku dengan Puteri melangkah masuk ke balai polis. Waktu ketika itu sudah mencecah jam 11.30 malam. Sebaik melihat muka Syazwan di depan mata setelah aku menjaminnya, aku terus keluar dari balai polis. Kereta aku yang diparkir tidak jauh dari situ terus aku bolosi lantas duduk termangu di kerusi pemandu.

“Sara.” Syazwan menegur aku usai dia duduk di sebelahku. Aku cuma diam. Mencari nafas yang hilang entah ke mana. Aku tidak langsung memandangnya. Apa yang aku buat cumalah merenung stereng kereta di depan mata dengan perasaan yang berkecamuk.

“Sayang, I minta maaf.”

“Macam mana boleh kena tangkap?” aju aku dengan suara yang mendatar sesudah sekelumit semangat aku kumpul dalam hati.

“I… minta maaf, Sara. I tak tahu macam mana boleh jadi macam ni. I tak berniat pun nak…”

“Tak apalah. Benda dah jadi, kan?” Aku lekas-lekas memotong percakapannya. Entah kenapa, aku tak rasa marah pun sekarang ni. Cumanya aku rasa terkilan dengan apa yang sudah berlaku. Aku terkilan kerana dia sanggup buat kerja terkutuk di belakang aku di saat urusan aku bersama dia untuk berjumpa mama belum pun selesai. Rasa marah aku untuk dia entah ke mana. Apa yang ada di dalam kepala aku sekarang ini hanyalah satu benda. Iaitu nota!

“I hantar you balik.” Sudahnya aku buat keputusan selepas aku menerima mesej daripada Puteri. Katanya dia balik menaiki teksi kerana mahu memberikan ruang untuk aku dan Syazwan berbincang.

Sesampai saja di bawah bangunan kondominium tempat tinggal Syazwan, aku memberhentikan kereta. Aku merenung jauh-jauh ke depan. Kepala aku masa ni betul-betul blank. Manakala Syazwan di sebelah aku tak sudah-sudah meminta maaf.

“Lepas ni, kita bawa haluan masing-masing.” Akhirnya aku meluahkan juga apa yang terbuku di hati aku. Setelah membuat perkiraan di dalam kepala, aku memberanikan diri memberitahu Syazwan akan keputusanku.

“Tapi, Sara…”
Aku menggeleng, menahan dia daripada meneruskan kata-katanya.

“You kena bertanggungjawab atas perbuatan you.”

“Sara, tolonglah jangan buat I macam ni. I sayang you. You pun sayangkan I, kan?”

“Betul ke you sayangkan I?” Aku memintas sekali gus membuatkan Syazwan seperti tercengang.

“I sayangkan you, Sara. I tak pernah tipu pasal perasaan I.”

“Sayang dan cinta saja tak cukup, Syazwan. Apa yang you dah buat… betul-betul dah hilangkan rasa percaya I dekat you.”

“Sara, please. Let me explain. Apa yang jadi bukan seperti apa yang you fikir.”

“Then, what?” aku bertanya tetapi nada aku masih lagi mendatar. Aku tidak tahu kenapa aku tak boleh nak marah dia. Aku rasa aku tak mampu pun nak marah dia walaupun perkara ni dah berlaku.

“I tak salah. You tak boleh buat I macam ni, Sara. You tak boleh putuskan hubungan kita.” Syazwan merayu dan cuba mempertahankan diri tetapi aku menggeleng. Aku sudah buat keputusan setelah berfikir masak-masak. Aku tidak boleh meneruskan hubungan aku dan dia. Sesungguhnya, rasa percaya yang ada buat dia telah ranap sama sekali sebaik aku keluar dari balai polis tadi.

“Tak akan ada I dan you lagi lepas ni. Kita berdua kena teruskan hidup masing-masing.” Ayat aku bunyinya seperti syahdu tetapi aku masih tetap tak terasa mahu meraung atau menangis. Hubungan di antara aku dan Syazwan yang sudah terjalin sedang aku tamatkan dengan penuh nekad.

“Sara, I janji yang I akan…”

“Nah,” belum sempat Syazwan mahu menyudahkan kata-katanya, aku terus menghulurkan cincin lamaran yang diberi kepada aku tempoh hari.

“Ambil,” sambungku sekali gus menggesa dia menyambut cincin tersebut dari tangan aku.

Syazwan terdiam. Air matanya bertakung di kolam mata. Aku tak tahu sama ada air mata dia itu benar-benar air mata tanda penyesalan atau sekadar mahu meraih simpati aku. Tapi apa yang pasti, aku takkan menyarungkan semula cincin lamaran ini ke jari manisku.

“Ambil cincin ni, Syazwan. I dah nak balik.” Aku bagi isyarat agar dia segera menyambut cincin dan keluar dari keretaku. Aku bukan menghalau tetapi aku meminta dengan cara paling baik pada dia.

 Lagi pun, dah lewat malam. Aku tidak mahu mendengar apa-apa pun yang keluar dari mulut dia sekali gus mengganggu emosi aku. Cukup saja aku sudah nekad membuat keputusan.

Lagi pun, aku sudah menerima dengan reda segala yang berlaku. Syazwan telah ditangkap khalwat bersama perempuan lain di bilik hotel. Itu sudah cukup untuk membuktikan yang dia sudah mengkhianati cinta kami. Perkara itu juga menyedarkan aku bahawa dia sebenarnya tidak pernah serius dengan aku. Dia tidak pernah sayangkan aku serta hubungan kami. Jadi, untuk apa aku terus berada di sini bersama-sama dengannya?

“Esok I kerja. I kena ke pejabat awal pagi. Please, Syazwan.” Tambah aku sehingga membuatkan Syazwan tiada pilihan. Bila pintu kereta aku ditutup, aku segera menekan pedal minyak. Sekilas aku menjeling cermin pandang belakang dan aku lihat yang dia hanya tercegat memandang kereta aku berlalu pergi.

“Sara… macam mana?” Soalan itu aku dapat ketika aku tiba ke rumah satu jam kemudian. Puteri dan Krisya menyerbu aku setelah aku melabuhkan duduk di ruang tamu. Wajah seorang demi seorang aku pandang sebelum mengangkat bahu.

“Beb, apa cerita? Kau dengan Syazwan macam mana?” Puteri menepuk-nepuk bahu aku. Wajahnya penuh dengan tanda tanya. Mungkin dia tidak sabar-sabar mahu mengetahui perkembangan drama antara aku dan Syazwan.

“Selesai,” jawab aku acuh tak acuh. Aku capai bantal kecil di sofa dan memeluknya sambil menghalakan mata ke skrin televisyen.

“Selesai? Apa maksud kau?” Suara Puteri bertanya serupa mak cik kepoh. Begitu juga dengan Krisya yang tak pasal-pasal menghimpit aku di sebelah kiri.

“Korang ni dah kenapa? Duduk jauh-jauh sikit boleh tak? Aku nak tengok tv ni.” Lengan Krisya dan Puteri aku tepis-tepis. Rimas juga bila dua manusia ini menghimpit aku begini.

“Weh, Sara! Kau cakaplah betul-betul apa yang dah jadi?”

“Aku dengan dia dah tak ada apa-apa,” jawab aku selamba dengan mata yang tetap lurus ke depan.

“Biar betul kau ni?” Krisya seperti tidak percaya dengan kata-kataku.
Aku mengangguk.

“Serius kau dengan dia dah putus? Beb, takkan tak ada cara lain kut?”

“Put, dia baru kena tangkap basah kat bilik hotel dengan perempuan lain. Kau rasa aku boleh ke teruskan hubungan dengan orang yang dah khianati aku?”

“Eh, gilalah! Sampainya hati dia buat kau macam ni. Baru aje beberapa minggu sudah dia lamar kau. Aku masih ingat lagi bila dia beritahu pasal plan nak lamar kau kat kitorang. Aku macam tak percaya!” Krisya menepuk-nepuk pipi sendiri sambil membebel.

“Entahlah… manusia boleh berubah, kan?”

“Kau okey ke?” Puteri kelihatan risau.

“Okey.” Aku tayang senyuman nipis.

“Are you sure, Sara? Betul ke kau okey? Kau tak sedih ke?” Krisya menyampuk membuatkan aku menoleh padanya dengan kedua-dua belah kening yang terangkat.

“Sedih? Perlu ke aku bersedih?”

“Takkan sikit pun kau tak rasa apa-apa? Syazwan buat hal dengan perempuan lain tapi kau boleh relaks tengok tv kat sini. Kau ni tak ada perasaan ke apa?” Krisya menaikkan suaranya seoktaf membuatkan aku tergeleng. Aku yang dikhianati, dia pula beremosi.

“Perlu ke aku bersedih untuk orang yang dah khianati aku? Perlu ke aku buang air mata untuk orang yang tak sayang aku? Tak berbaloi langsung. Air mata aku ni mahal tau. Lebih mahal daripada cincin berlian yang dia bagi masa dia melamar aku hari tu. Lagi pun, aku rasa bersyukur. Bersyukur sangat-sangat sebab benda ni terjadi sebelum aku kahwin dengan dia. Jadi, perkataan sedih tu memang tak patut wujud.” Aku memberitahu apa yang ada di hatiku.

“Korang jangan risau. Aku okey. Aku takkan bazirkan masa untuk meratap dan meraung. Ada banyak lagi kerja yang aku boleh buat. Aku naik dululah. Esok nak ke pejabat awal pagi.” Aku bangkit tetapi menghentikan langkahku kemudiannya di anak tangga seraya berpaling memandang Puteri.

 “Oh, Put… thanks tau sebab bagi aku baca mesej dia tadi. Aku hargai sangat-sangat.” Aku senyum dan Puteri pula terkebil-kebil saja memandang aku.

Mungkin bagi mereka berdua, aku seolah seperti manusia yang tidak berperasaan tetapi hakikatnya, aku terlalu letih memikirkan segala hal yang sudah berlaku sehingga menyebabkan aku tak pandai nak menayang sebarang perasaan ketika ini.

Aku rasa aku hanya perlu tidur dan merehatkan otak aku. Badan aku juga memerlukan rehat. Aku mesti cas tenaga aku untuk memulakan hari baru beberapa jam dari sekarang.

 “Aku tidur dulu. Goodnight!”



***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311



Saturday, 11 August 2018

9 NOTA Bab 11

Filem Mohabbatein yang sedang bersiaran menyebabkan aku terleka. Tetapi, kelekaan aku berakhir apabila aku terdengar bunyi enjin motosikal di luar. Aku bingkas dan meluru ke pintu gelangsar, mengintai kelibat Adhwa yang baru saja pulang.

Dari jauh, aku nampak dia menanggalkan helmet dan sarung tangannya. Tidak lama kemudian, dia menghampiri pagar rumah dan mencapai plastik yang disangkutkan ke situ. Seketika, dibeleknya plastik di tangan sebelum memandang ke rumah sewaku.

Kelam kabut aku menyelindungkan diri di sebalik langsir. Dengan detakan di dada yang kian hebat, aku mengetap bibir menghalau rasa takut yang menyerangku.
Aku kembali menyelak langsir, mengintai dia di luar sana. Kelihatan, dia masih di situ sedang memerhatikan bekas kuih bersama not-not merah dan biru berserta syiling yang dibalut di dalam sehelai kertas.

Sebenarnya, itu adalah pemberianku. Aku cuma mahu memulangkan duit dia. Kebetulan, aku ada buat tauhu sumbat dan karipap petang ini jadi aku menyedekahkan saja kepadanya bersama duit miliknya.

Sedang mengintai, terlihat kereta Syazwan berhenti betul-betul di depan pagar rumah aku. Syazwan keluar dari kereta setelah membunyikan hon dua kali. Aku menarik pintu utama dan menggubit Syazwan.
Pagar rumah segera ditolak lantas menjemput Syazwan masuk. Sempat lagi aku melirikkan mata kepada Adhwa dan aku lihat dia hanya terkejung di depan pagar rumahnya tanpa mempedulikan aku.

“Siapa tu?” aju Syazwan sejurus menyedari yang aku sedang memandang ke arah sana.

“Jiran.”

“Sejak bila ada orang duduk kat situ? Bukan rumah tu kosong ke?”

“Hmm… beberapa minggu sudah dia berpindah masuk ke situ,” jawabku berterus terang.

Aku kembali memandang ke sana setelah Adhwa menghilang. Pintu rumahnya bertutup rapat seperti biasa menyebabkan aku tergeleng.

“Dahlah… jom masuk.” Pelawaanku membuatkan Syazwan menahanku.

 “You seorang?”

“Iya, seorang. Kenapa?”

“You tak takut kena tangkap basah ke? Kalau pegawai jabatan agama datang cekup kita… tak pasal-pasal kahwin free.”

“Bukan you suka ke kalau kahwin free?”

“You nak ke?”

Aku tergelak, disambut oleh Syazwan. Isk, dia ni. Ada patut fikir sampai ke situ? Hesy, minta simpang!

Setelah itu, kami sama-sama bergerak ke arah bangku kayu di luar rumah. Jika ada orang lain di dalam rumah sekali pun, aku takkan sesekali mengajak Syazwan masuk. Tak manis dilihat orang!

“Nah… I dah siapkan karipap sardin dengan tauhu sumbat favourite you.” Aku meletakkan pinggan berisi hidangan minum petang ke atas meja.

“Thanks, sayang. You memang tahu apa yang I suka. Ini yang membuatkan I sayang you sangat-sangat.”

Brummm! Brummm!

Tiba-tiba terdengar bunyi pendikit minyak dipulas-pulas bersama enjin yang sedang mengaum. Aku menoleh. Terlihat Adhwa sedang membetul-betulkan duduknya di atas motosikal. Kening aku bertaut menahan rasa pelik. Manakan tidak kerana baru sepuluh minit yang lepas dia pulang ke rumah. Mahu ke mana agaknya dia ni? Kerja? Tapi… kerja apa hari cuti begini? Ah, banyak sekali persoalan yang timbul di benakku.

Adhwa menghalakan motosikalnya melewati pagar rumahnya. Sempat lagi dia menoleh kepadaku dan dapat aku rasakan yang matanya tepat-tepat jatuh ke wajahku biarpun kepalanya ditutupi helmet. Sesaat, kelibatnya langsung menghilang dari pandangan.

“Siapa nama jiran baru you tu?” Soal Syazwan sejurus menyicip kopi dari cawan.

“Adhwa.”

“Apa nama penuh dia?”

“Entah. I cuma tahu nama dia Adhwa.”

“Dia kerja apa dan di mana tempat kerjanya?”

“I tak tahu. I tak sempat nak bertanya.”

“Dia tinggal seorang diri atau ada housemate?”

“Rasa-rasanya dia tinggal seorang sebab I tak pernah nampak sesiapa keluar masuk rumah tu selain dia.”

“Dia berasal dari mana?”

“Isk, Syazwan. Manalah I tahu. You ni pun… soalan mengalahkan polis.”

Syazwan ketawa. Aku tahu dia sengaja menanyaku dengan pelbagai soalan untuk mengusikku. Tetapi, walaupun begitu… melalui cara dia bertanya cukup untuk membuktikan bahawa yang dia sebenarnya sedang cemburu.

“I saja testing you. Manalah tahu, dalam diam-diam you dengan dia…”

“Hee… you jangan serkap jarang ya! I dengan dia cuma berjiran. Lagi pun dia tu…” aku mengetap bibir. Ah, perlu ke aku memberitahu Syazwan tentang sikap Adhwa yang memeningkan kepala aku?

“Kenapa?”

“Nothing.” Aku terjeda sebelum menyambung… “Syazwan, I terlupa nak tanya… bila you nak jumpa mama?” Aku memandang Syazwan. Perihal mengenai kami lekas-lekas aku suarakan sementara aku teringat. Lagi pun, sudah berkali-kali mama bertanya aku tentang Syazwan malah aku sendiri sudah hilang punca untuk memberikan sebarang alasan lagi kepada mama.

“Nantilah. Minggu ni I sibuk. Minggu depan I kena fly ke Miri tiga hari. Lepas balik dari Miri, I kena outstation ke Manila pula.”

“You betul-betul nak kahwin dengan I ke?”

“Mestilah betul-betul, sayang. Cincin kat jari you tu… apa maknanya kalau I tak serius nak kahwin dengan you?”

“Habis tu, carilah masa untuk berjumpa dengan mama. Lepas tu boleh berbincang hal kita dengan keluarga you pula.”

“Iya, I tahu sayang. Tapi, bagi I masa. I kena selesaikan kerja-kerja I dulu. I janji lepas selesai semua kerja I, kita selesaikan urusan kita.” Syazwan cuba memujukku. Hatiku yang sedikit mendidih tadi kembali menyejuk sebaik melihat senyuman dia.

“Okey, I pegang janji you. Tapi, kalau mama reject you nanti… pandai-pandailah you cari jalan untuk ambil hati dia.” Aku sengaja menggertak Syazwan.

Jika aku tidak bertindak begini, aku yakin dia pasti akan terus melengah-lengahkan masa untuk berjumpa mama. Aku bukan apa. Aku risau kalau-kalau mama menukar fikiran dan memilih Daniel untuk menjadi calon menantu dia.

“You nak karipap sardin lagi tak? I ada goreng lebih.” Aku merenung Syazwan yang seperti tenggelam dalam lamunan setelah aku menggertak dia tadi.

“Erm, boleh juga.” Pinggan yang telah kosong ditolak kepadaku. Pantas aku bangkit dan beredar meninggalkan dia.

Aku berharap agar dia dapat mempertimbangkan apa yang telah kami bualkan tadi. Aku berharap supaya dia tidak membuang terlalu banyak masa dan aku juga berharap agar dia menunaikan janjinya untuk bertemu dengan mama dalam masa terdekat.





***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311



Friday, 10 August 2018

9 NOTA Bab 10


Aku meneliti senarai barang di telefon. Beberapa bungkusan mi segera, makanan dalam tin dan juga sebuku roti diletakkan ke dalam bakul. Baru saja hendak memilih-milih bawang, telefon aku berbunyi.
Tertera nama Puteri di skrin.

 “Put… ada apa?”
“Kau kat mana, Sara?”
“Aku tengah beli barang kat kedai runcit Pak Meor. Kenapa?”

“Ohh… patutlah aku tengok kereta kau ada kat halaman ni.”

“Eh, kau dah balik ke?” aku sedikit terkejut apabila mendengar kata-kata Puteri. Setahu aku, Puteri ke Johor Bahru kerana menghadiri seminar dan pameran pendidikan selama tiga hari.

“Baru aje sampai. Kau lama lagi ke kat kedai Pak Meor tu?” tanya Puteri lagi.

“Tak lama. Kejap lagi aku balik.”

“Sara… nak kirim barang. Tolong belikan jajan untuk aku.”

“Haih, tak habis-habis makan jajan. Mana tak gemuk!”

“Isk, yang gemuk tu badan aku bukannya badan kau. Dah la… cepat balik. Bosan la aku duduk sorang-sorang kat rumah.”

“Bosan atau takut ada hantu datang cekik kau?” aku tergelak selepas mendengar Puteri menyumpah aku dari dalam talian.

Namun, ketawa aku serta merta mati sebaik aku ternampak Adhwa si jiran psiko berdiri tidak jauh daripadaku. Dia sedang menelek telefon sebelum bercakap dengan seseorang di talian. Lama aku memerhatikan dia sehingga tanpa sedar, suara Puteri sedang meninggi-ninggi di talian.

“Sara… kau dengar tak apa aku cakap ni?!”

 “Put, I call you back. Bye!”

Dengan langkah yang perlahan, aku memberanikan diri menghampiri Adhwa. Sekotak bijirin dari atas rak dicapai dan berpura-pura membeleknya. Telingaku pasang, mencuri dengar perbualannya dengan seseorang di talian.

“Aku tahu apa yang aku buat.” Adhwa menekan suara menyebabkan darah aku bergemuruh.

“Kau dengar sini. Selagi aku hidup, diorang takkan dapat mengapa-apakan…” suaranya mati apabila kotak bijirin di tanganku ini terjatuh ke lantai. Lekas-lekas aku menunduk dan mengutipnya tetapi belum sempat berbuat demikian, terlebih dulu Adhwa menyuakan kotak tersebut kepadaku. Mata kami berlaga selama beberapa detik sebelum aku kembali tersedar.

“Nah,” ujar dia tanpa sebarang perasaan.

“Thanks,” ucapku sambil menyambut kotak bijirin dari tangannya.

Tanpa bertangguh, dia berlalu dan mendekati kaunter pembayaran. Tercegat di hadapan rak, aku cuma mampu memandang dia dengan rasa terkejut yang masih lagi tersisa. Sebelum sempat dia berlalu, dia memandangku. Dan sekali lagi mata kami bertentangan selama beberapa detik membuatkan aku terkejung seperti patung.

“Kaisara!” aku tersentak sebaik terdengar laungan Pak Meor dari arah kaunter.

“Ya?”

“Dah habis pilih barang ke?”
Bakul di peganganku dipandang. Kembali bertemu pandang dengan Pak Meor, aku mengangguk perlahan.

“Sini Pak Meor bungkuskan.”
“Berapa semua ni, Pak Meor?” baru aku hendak mengeluarkan dompet, terlebih dulu Pak Meor bersuara.

“Tak payah bayar.”

“Eh, biar betul Pak Meor ni?”

“Iya. Betul la. Budak tadi dah tolong bayarkan untuk kamu.”

Kening aku bercantum sebaik mendengar kata-kata Pak Meor sebelum aku melemparkan pandangan ke luar. Adakah Pak Meor memaksudkan Adhwa?

“Dia tolong bayarkan?”

“Iya. Baik hati betul budak tu. Murah rezeki dia.” Pak Meor memberi komen sambil tersenyum-senyum.

“Berapa semua ni, Pak Meor?” aku memandang bungkusan di hadapanku.

“Tadi kan dah beritahu tak payah bayar?”
“Tak apa, Pak Meor. Kira aje. Nanti saya bayar balik kat dia.”

“Isk, tolak rezeki!” Pak Meor mengomel sambil menolak bungkusan barang kepadaku.

Pantas aku melangkah keluar dari kedai runcit Pak Meor. Kaki aku terhenti sebaik melewati kaki lima kedai setelah melihat Adhwa sedang bertenggek di atas motosikalnya sembari merenung skrin telefon. Hendak aku menegur dia, kelihatan dia sudah memulas pendikit minyak sebelum berlalu meninggalkan kepul-kepul asap di udara.

 “Weh, Sara… kenapa kau tercegat kat situ?” aku terkejut disapa Puteri semasa aku ralit memerhati kelibat motosikal Adhwa yang diletakkan di halaman rumahnya. Leher aku dipanjang-panjangkan cuba memerhati ke segenap penjuru kawasan rumahnya semata-mata mahu mencari dia.

“Err… tak ada apa-apa,” aku menggeleng. Senyuman nipis dihulur kepada Puteri lantas berlalu ke dalam rumah.

Ah, peliknya aku! Kenapa dengan dia tu? Aku ada buat sesuatu yang menyinggung perasaan dia ke? Tapi, kenapa dia bayarkan semua barang-barang aku kalau benar andaian aku ni?

 “Hoi, kau mengelamun apa Sara?” Puteri menepuk bahuku sehingga aku terhumban keluar daripada khayalan aku ketika kami sama-sama berada di dalam dapur. Barang-barang yang aku beli tadi masih tidak berganjak dari plastik, membuatkan Puteri berdecit.

“Tak ada apa-apa.” Aku menafikan.

“Kau ni… kut ya pun, simpan la dulu barang-barang ni.” Puteri dah mula membebel. Namun, tangannya tetap rajin meletakkan barang-barang tersebut ke tempat yang sepatutnya.

“Put… tadi aku terserempak dengan Adhwa.”

“Adhwa mana pula ni?”

“Isk, jiran psiko tu la.”
Mata Puteri membuntang.

“Macam mana kau tahu nama dia?” Puteri tergesa-gesa menarik tangan aku menghampiri kerusi di dalam dapur.

“Erm…” aku mengetap bibir. Sejujurnya, aku belum memberitahu sesiapa tentang perbualan aku bersama Adhwa tempoh hari. Dan aku tidak pernah membuka mulut kepada teman-temanku bahawa aku sudah mengetahui nama lelaki itu.

“Dia ada beritahu nama dia.”

“Serius ke ni?!” sekali lagi mata Puteri dijegilkan kat depan aku. Aku mengangguk-angguk.

Aku rasa yang Puteri sebenarnya sedang terkejut besar bila aku beritahu dia tentang Adhwa. Yalah, mana tidaknya. Hari itu aku sendiri yang beritahu bahawa aku tidak sanggup lagi untuk berdepan dengan Adhwa disebabkan sikap dia itu.

“Serius la. Tadi… aku terserempak dengan dia kat kedai Pak Meor.”

“Biar betul? Dia… ada apa-apakan kau tak?” Puteri menelek atas bawah tubuh aku.

 “Tak adalah sampai macam tu…”

“Habis tu?”

“Aku rasa dia tu memang pelik la.”

“Maksud kau?”

“Entahlah, Put. Susahlah aku nak cakap. Kadang-kadang aku rasa yang dia tu sangat menyeramkan dan menakutkan. Tapi, kadang-kadang… dia tu macam baik pun ada.”

“Demam ke kau ni? Tiba-tiba aje puji dia macam ni?” Puteri menekap belakang tangannya ke dahiku.

“Kalau kau nak tahu… barang-barang yang aku beli ni dia yang tolong bayarkan.”

“Biar betul? Eh, memang sweet la dia ni!” suara Puteri termati apabila aku menjegilkan mata kepadanya.

“Okey… okey… aku melawak saja. Jadi?”

“Jadi?”

“Kau tak rasa ada perkembangan positif tentang dia? Aku rasa kau patut ambil kesempatan ini untuk selesaikan misi kau tu.”

“Misi apa?” tanyaku bodoh.

“Misi untuk menjejaki pengirim nota misteri.”
Kata-kata Puteri itu menyebabkan aku kehilangan diksi.



***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311


Thursday, 9 August 2018

9 NOTA Bab 9

Selesai saja berdoa di atas tikar sejadah, aku terdengar ketukan di pintu bilikku. Belum sempat aku bertanya siapa, pintu bilikku terus ditolak dari luar. Wajah Gina terjengul di muka pintu.

“Dah habis solat?” Gina bertanya sambil mendekati aku. Aku cuma mengangguk. Telekung yang elok tersarung ke tubuh aku biarkan saja. Aku bercadang mahu membaca al-quran sekejap sebelum aku tidur.

“Ada apa?”
Gina melabuhkan duduk di sebelah aku lantas memasang sila.

“Kau free tak malam esok?”
“Kenapa?” aku menaikkan kening.
“Nak ajak keluar dinner,” jawabnya dalam satu nafas.

“Kau free tak?” soal Gina lagi.
“Aku tak pasti lagi la, Gina. Aku kena tanya Syazwan dulu.”

“Dah kenapa nak kena tanya dia pula? Dinner aje pun. Dia dah jadi King Control ke apa?” Gina mencebik seraya mengangkat-angkat keningnya.
Aku gelak.

“Bukan macam itu la. Aku kena tanya dia dulu sebab dia ada ajak aku keluar malam esok. Maklum la, katanya nak lepaskan rindu kat aku lepas berminggu dia di Perth.” aku berseloroh sekali gus menepis tohmahan Gina terhadap Syazwan serta memberitahu tentang rancangan Syazwan bersamaku malam esok. Sejak Syazwan pulang dari sana, sekali pun kami tidak bersua kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja.

“Alaaa… kau cakap kat dia, kalau nak lepaskan rindu ke apa ke… pilih aje hari lain. Bagi can kat kitorang dating dengan kau.”

“Krisya dengan Puteri sekali ke?” aku bertanya sekadar mahu memastikan. Seingat aku, Puteri ada kelas malam pada esok hari dan Krisya pula kena kerja.

“Iya. Tiba-tiba saja semua orang free malam esok. So, aku rasa ada baiknya aku ajak korang semua keluar dinner. Dah lama kan tak keluar spend time together macam dulu-dulu? Rindulah!”

“Oh, tahu rindu ya? Dah siapa suruh kau dengan Krisya sibuk mengalahkan pak menteri? Kalau keluar, tak ingat nak balik. Bila kerja, tak ingat yang masing-masing tu ada rumah. Kadang-kadang kan… aku rasa cuma aku dengan Puteri aje yang tinggal kat sini. Balik-balik, kami berdua hadap muka satu sama lain.” Tak pasal-pasal aku membebel pada Gina sekali gus meluahkan apa yang terbuku di hati aku.

“Macam mak nenek la kau ni!” Gina mencebik-cebik.

“Apa… tak betul ke apa yang aku cakap?”
“Yalah-yalah. Apa-apa ajelah, Sara!” Gina memutar-mutarkan matanya sebelum ketawa.

“So, jadi ek?” ditepuknya paha aku.
“Demi korang, aku terpaksalah batalkan date aku dengan Syazwan.”

“Ikhlas ke tak ni?”
“Ikhlas la.”
“Betul ni?”
“Betul la!” eh, dia ni. Tak percayalah pula. Karang aku ubah fikiran, baru dia tahu.

“Cun!” Gina bangkit dan bergerak keluar meninggalkan aku keseorangan. Namun, sebaik sampai di muka pintu, dia berhenti dan kembali berpaling kepada aku.

“Beb, dinner kita ada tema tau. All white! Jangan lupa!” Gina kenyit mata dan menghilang dari pintu bilik. Aku pula terkebil-kebil tengok pintu bilik sendiri.

Erk? Tema? All white? Biar betul Gina ni? Dia sebenarnya ajak aku pergi makan malam atau pergi parti?

***

White blouse, checked!
White jeans, checked!
White heels, checked!

Tema all white yang diperkatakan oleh Gina semalam, aku penuhi. Cuma ada beberapa aksesori seperti cekak rambut, anting-anting serta tas tangan berwarna merah dan hitam aku padankan dengan pakaianku.

Sekilas aku menekur wajahku di cermin. Sempurna! Solekan nipis di wajahku sudah cukup membuatkan wajahku kelihatan segar. Malah, semburan wangian Chanel No 5 menambahkan keyakinanku.

“Dah siap?” aku terdengar pertanyaan Puteri sebaik aku melangkah menuruni anak-anak tangga. Aku nampak hanya ada Krisya dan Puteri di situ.

“Dah… mana Gina?”
“Kat atas, tengah bersiap. Kau tahulah kan mak cik tu macam mana? Selagi rupa dia tak jadi macam Paris Hilton, selagi itulah dia tak akan turun…” seloroh Krisya sembari membetulkan solekan di wajahnya.

“Kalau Gina tu Paris Hilton… kau tu apa? Kim-K?” aku hempaskan punggung ke atas sofa berdekatan Krisya sambil mengulum senyuman. Terdengar Krisya berdecit ditambah dengan tawa Puteri.

Aku jeling jam di dinding. Sudah hampir jam 9.30 malam. Aku sebenarnya masih tidak tahu di mana kami akan makan malam. Gina kata, ada sebuah restoran yang baru dibuka tidak jauh dari rumah sewa kami dan dia mahu kami berempat menghabiskan masa untuk bersantai-santai di sana. Tetapi, lokasinya tidak pula dia ceritakan dengan terperinci.

“Restoran yang kita nak pergi ni… area mana? Sempat ke kita nak dinner kat sana? Sekarang dah dekat pukul 10. Dengan nak tempuh jammed, nak cari parking lagi… silap-silap… bila kita sampai kat sana… restoran tu dah tutup.” Aku cuba menyatakan pendapatku.

“Tak jauh pun. Jangan risau, mesti sempat punya. Kau chill aje. Sementara tu… meh kita layan movie sekejap…” tiba-tiba saja Puteri mencapai alat kawalan jauh televisyen dan menekan-nekan butang di situ sambil mempamer riak gelabah. Aku palingkan wajah kepada Krisya pula. Serta merta Krisya berpura-pura sibuk dengan telefonnya tanpa memandangku.

Dah kenapa dengan mereka berdua ni? Belum sempat aku bertanya apa-apa kepada Puteri, terdengar suara Gina dari anak tangga.

“Aku dah siap. Jom, gerak!”

Sepanjang perjalanan, aku hanya mendiamkan diri tetapi diamnya mulut aku tidak bermakna tidak berlaku apa-apa di dalam fikiranku. Sejak aku masuk ke perut kereta, aku jadi tertanya-tanya dengan apa yang sedang berlaku di belakang aku. Kerana, jauh di dasar hatiku dapat merasakan bahawa ketiga-tiga temanku ini seperti menyembunyikan sesuatu.

 “Sebenarnya korang ni nak bawa aku ke mana?” aku bertanya dengan rasa tak puas hati bercampur dengan rasa tertanya-tanya yang bukan sedikit sebaik saja kereta yang dipandu Puteri berhenti betul-betul di hadapan sebuah restoran mewah.

“Dinner,” ucap Puteri bersahaja.
“Yup. Dinner. Jom turun. Kita dah sampai.” Tambah Gina juga dengan nada suara yang bersahaja dan berwajah selamba.
Aku terpinga-pinga sebaik melewati pintu utama restoran. Lengang dan sunyinya restoran ini menyebabkan aku terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Mana semua orang?”
Soalan aku dibiarkan sepi. Tetapi, langkah tetap diayun ke depan mengekori ketiga-tiga orang temanku. Sebaik kami membelok masuk ke sebuah kawasan yang terletak di hujung restoran, hatiku mula menjadi tidak sedap.

Perlahan-lahan, pintu yang bertutup rapat di hadapanku ditolak. Tidak semena-mena saja aku terjerit sambil menekup mulut sendiri apabila melihat sebuah taman kecil terhias indah di balik pintu yang bertutup tadi.

“Surprise!” ketiga-tiga temanku meneriak serentak bersama dengan bunyi letupan kecil yang terhasil daripada belon yang diletupkan. Serentak dengan itu juga aku melihat banyak belon berwarna putih terhias di sepanjang laluan menuju ke tengah taman. Malah, di antara belon-belon tersebut tertulisnya namaku… KAISARA.

Hampir lagi aku menitiskan air mata, terlihat pula kelibat Puteri dan Krisya yang datang menghampiriku bersama dengan sebiji kek yang siap dinyalakan sebatang lilin. Sambil menghampiriku, sambil itu nyanyian lagu selamat hari lahir berkumandang.

Dan… tanpa disangka-sangka, mataku tertancap kelibat Syazwan yang baru saja muncul di celah-celah kenalanku yang turut sama hadir. Syazwan memandangku bersama senyuman penuh makna. Sebaik dia berdiri di hadapanku, dia mengeluarkan tangannya yang disorokkan di belakang tubuh. Sejambak ros merah dihulur kepadaku sebaik saja nyanyian lagu tamat.

“Happy birthday, sayang.”
“Thank you,” balasku dengan rasa yang berbaur di dalam hati. Aku tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Antara rasa marah dan geram setelah dipermainkan atau kerana rasa terharu dengan semua yang disediakan untukku.

Sejujurnya, aku sudah dapat mengagak ada sesuatu yang mereka semua rancangkan tetapi aku tidak jangka komplot ini akan turut melibatkan Syazwan. Aku sebenarnya sudah terlupa bahawa hari lahirku bakal menjelma sedikit waktu lagi.

Setelah lilin ditiup dan kek dipotong, aku dibawa ke sebuah meja. Syazwan memberikan isyarat kepadaku sebaik dia menarik salah satu kerusi di situ, meminta agar aku duduk. Aku hanya menurut. Ros yang sudah berada di tanganku , aku peluk erat-erat sambil mencium-cium baunya.

Dalam masa yang sama, teman-temanku masing-masing mengambil tempat di situ sebelum Syazwan sendiri melabuhkan punggung di sebelah aku.

“So… inilah dinner yang korang maksudkan tu?” aku memandang Puteri, Gina dan Krisya bersilih ganti sebaik saja kami sama-sama selesai menjamu selera.

“Yes!” jawab Gina laju.
“Thank you, girls!”
“Uh-huh… jangan ucap terima kasih kat kitorang. Ini semua plan Syazwan. Kitorang cuma ikut aje.” Balas Krisya sambil menuding jari kepada Syazwan.

“Thank you, Syazwan.” Aku pandang Syazwan yang duduk di sebelahku sambil mengesat hujung bibir dengan kain napkin di ribaan.

Syazwan senyum dan kenyit mata padaku. Namun, suara Puteri mengalihkan perhatianku.

“Sara… sebenarnya…”
Belum sempat Puteri menyudahkan ayatnya, terdengar gesekan biola daripada seorang pemuzik yang tiba-tiba saja menghampiri kami. Seorang lelaki lingkungan 30-an lengkap memakai tuxedo hitam sedang mengalunkan melodi lagu Perfect nyanyian Ed Sheeran dengan penuh perasaan.

Entah kenapa aku terasa seperti hendak menangis. Mendengarkan gesekan biola yang sangat merdu membuatkan hatiku tersentuh tambah-tambah apabila mataku dan juga mata Syazwan bertaut.

“Sara… jom temankan I ke sana.” Tak semena-mena saja Syazwan bangun usai saja pemain biola tadi meninggalkan kami. Aku yang terpinga-pinga hanya menurut.

“Cantik kan langit malam ni?” aju Syazwan ketika kami sama-sama berada di tebing tembok taman yang terletak di bahagian luar restoran ini. Keadaan taman yang terbuka itu menyebabkan kami dapat menikmati suasana malam yang begitu cantik sekali. Cuaca yang cerah menyebabkan bintang-bintang di dada langit yang bertaburan jelas kelihatan.

“Langit kat atas tu memang cantik… tapi, cantik lagi permainan you.”
Syazwan ketawa.

“Perli I?
“Terasa ke?” aku memulangkan paku buah keras sebelum ketawa-ketawa.
“You marahkan I ke, Sara?”

Aku menggeleng. Marah? Untuk sebuah kejutan yang istimewa sebegini, rasa-rasanya rasa marahku padanya tidak perlu wujud. Kerana sesungguhnya, aku sangat terharu dengan segala yang disediakan oleh Syazwan untukku.

“Sara…” Syazwan menyeru namaku lalu berpusing menghadapku.
“I… sebenarnya…” ujar Syazwan sepatah-sepatah.

“Kenapa, Syazwan? You nak cakap apa?” cepat-cepat aku memotong percakapan Syazwan yang kelihatan tersangkut-sangkut.

Tanpa sebarang suara, aku lihat Syazwan sudah mengundurkan langkahnya setapak lantas berlutut di hadapanku. Sebuah kotak berwarna emas disua kepadaku kemudiannya. Terserlah kilauan sebentuk cincin berlian sebaik kotak tersebut dibuka.

“I tahu I bukan lelaki yang romantik. I tak tahu caranya nak jadi lelaki romantik… tapi, Kaisara Hakim… will you marry me?”
Semerta aku menjatuhkan rahang sebaik soalan Syazwan itu masuk ke gegendang telingaku. Auch! Adakah aku sedang bermimpi?

“Tolong ulang balik apa yang you cakap tadi, Syazwan.”

“Kaisara Hakim, will you marry me?”
Terkelip-kelip mataku memandang dia. Adakah dia… sedang melamar aku?

“Sara…” Syazwan menegur apabila aku terus-terusan mendiamkan diri.

“Syazwan… you serius ke ni?”

“Come on, Sara! Say yes! Say yes! Say yes!”
Sedang berkira-kira dengan jawapan yang hendak aku beri, terdengar pula laungan kawan-kawanku. Menoleh ke belakang, terlihat Puteri, Gina dan Krisya berserta semua hadirin sedang menyaksikan detik-detik itu.

“Erm, I…” aku kembali memandang Syazwan. Melihatkan dia yang sedang berlutut itu seperti tidak stabil… aku mengulum senyuman dalam diam.
Aku meletakkan tangan ke bawah dagu dengan sengaja. Merenung Syazwan yang menanti dengan sabar jawapan aku.

“Macam mana kalau I cakap tak?” aku jongketkan sebelah kening.
Syazwan kelihatan terkedu. Cepat-cepat dia bangkit dan menjauhiku. Wajahnya yang kelihatan seperti kecewa menyebabkan aku mengetapkan bibir.

“Syazwan…”
“It’s okay, Sara. Kalau you tak boleh terima, I tak akan paksa.”

“No, Syazwan. Dengar dulu apa yang I nak cakap.” Aku berdiri di hadapan dia. Dengan jelas matanya sedikit kemerah-merahan menyebabkan rasa bersalah membelit tangkai hatiku.

Dia memberikan isyarat agar aku tidak mendekatinya. Malah, dia terus saja meraup wajah dan menguak-nguak anak-anak rambutnya beberapa kali sebelum tangan naik bercekak pinggang lalu mendongak memandang langit.

“Syazwan… I nak tanya you ni.”
“Apa?”
“You betul-betul nak I jadi isteri you?”
“Iya. I nak you jadi isteri I.”
 “You betul-betul sayang I?”
“Dengan sepenuh hati dan jiwa raga I.”
“You sanggup buat apa saja untuk I?”
“Anything for you, Sara. Termasuklah menggadaikan nyawa I untuk you.”
“You sanggup ke bersusah senang dengan I?”

“Iya… sampai ke akhir hayat.”

Aku tergelak. Mendengarkan jawapan-jawapan yang terbit dari mulut Syazwan membuatkan hatiku mencair dengan sendirinya. Kalau dia kata yang dia tidak romantik, sebetulnya dia menipu. Sesungguhnya, dialah lelaki yang paling romantik yang pernah hadir ke dalam hidupku.

Perlahan-lahan aku menyuakan jari ke arahnya, meminta agar cincin lamaran tadi disarungkan ke jariku.

“Yes!” tak semena-mena saja Syazwan berteriak sambil meraup wajah. Senyuman lebarnya menyebabkan aku turut sama tersenyum. Dalam masa yang sama juga, beberapa orang hadirin menghampiri lalu menerpa Syazwan lantas memeluknya sambil mengucapkan tahniah.

 ‘Thank you!’ aku nampak bibir Syazwan bergerak-gerak mengucapkan terima kasih pada aku sewaktu dia masih di dalam pelukan mereka. Aku senyum dan mengangguk.

‘Thank you to you too.’ Aku membalas tanpa suara, mengucapkan terima kasih juga pada dia.

‘Nanti jumpa mama.’ Aku menyambung, menyebabkan wajah Syazwan berubah pucat. Aku pula tergelak melihat dia. Aik, takkan cuak kut?



***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311


Wednesday, 8 August 2018

9 NOTA Bab 8

Malam itu, hanya ada aku dan Puteri. Makanya, dia mengajak aku keluar makan di gerai burger milik Abang John memandangkan masing-masing malas memasak. Kebetulan, aku baru saja sampai ke rumah ketika azan maghrib berkumandang.

Memandangkan gerai Abang John itu tidakah terlalu jauh, maka Puteri dengan berbesar hati mengajak aku berjalan kaki sedangkan waktu itu aku sudah siap mencapai kunci kereta. Katanya, dia nak bersenam sikit. Gara-gara lemak yang terlebih kat badan, dia menjadikan aku mangsa keadaan!

“Sunyi aje gerai Abang John ni. Mana pergi semua orang?” Puteri mengomel ketika kami sama-sama tiba ke situ. Ketika itu jarum jam belum mencecah angka sembilan malam. Agaknya, ramai yang belum dapat gaji… sebab itu sunyi sepi saja gerai ini.

Aku duduk di atas bangku manakala Puteri tercegat di depan papan menu.

“Hah, Puteri… nak order apa?”
“Burger cheese dua, teh ais dua. Makan kat sini eh.”
“Haaa… beres. Duduk dulu. Nanti Abang John hantar ke meja.”
Puteri duduk di depanku setelah itu.

“Sara…” tiba-tiba saja dia mencuit-cuit lenganku ketika aku sedang menelek telefon.

“Ada apa, Put?”
 “Tuuuu…” bibir Puteri termuncung-muncung menghala ke belakang aku. Pelik sungguh aku melihat tingkah dia.

“Kenapa?”
“Mamat psiko,” ujar Puteri tanpa suara.
Semerta jantung aku seperti berhenti berdegup. Tekak aku pula terasa mengering secara tiba-tiba. Manakala darah di dalam tubuh aku pula terasa seperti sedang disedut-sedut keluar membuatkan aku terkaku seolah baru saja dijampi.

Aku mengetap bibir menahan rasa. Melihatkan wajah Puteri yang seolah-olah mahu menakut-nakutkan aku membuatkan aku terasa seperti hendak mencubit-cubit saja pipinya.

Sebaik ternampak kelibat jiran psiko melewati meja kami, aku berpura-pura memandan ke arah lain. Tidak ada sedikit pun keberanian untuk aku bertemu mata denganya.

“Weh, macam mana dia boleh ada kat sini? Dia ikut kita ke apa?” Puteri berbisik sambil menoleh pada dia yang sedang berdiri di hadapan papan menu.

“Manalah aku tahu.”
Setelah itu, terlihat jiran psiko menghampiri sebuah meja kosong tidak jauh dari meja kami. Dengan rasa berani yang sekelumit, aku mencuri-curi pandang ke arahnya tetapi sebaik menyedari yang dia sedang merenung aku… cepat-cepat aku melarikan wajah. Malah, aku sengaja mengalihkan kerusi agar kedudukanku membelakangkannya.

“Sara… dia pandang kau la…” Puteri mencuit aku.

“Ya, aku tahu. Biarlah. Kau tu… jangan pandang dia. Kau pandang tempat lain, Put!” aku memberi arahan dengan bibir yang mengetap kuat menahan rasa bimbang.

“Sara… aku tengok mata dia tak lekang daripada pandang kau. Kau rasa… apa dia tengah fikir?”

 “Eee… Puteri. Kau jangan macam-macam boleh tak? Kan aku dah cakap… jangan pandang dia? Kau ni kan… memang nak kena, kan?” hampir lagi aku meledakkan suara kepada Puteri, ketawanya mencuri masuk ke gegendang telinga aku.

“Kau ni, Put… nak aje aku cekik-cekik kau! Sudahlah sekejap lagi kita berdua balik jalan kaki. Ini semua salah kau tau! Aku ajak naik kereta, tak mahu. Kalau apa-apa jadi masa kita nak balik nanti… semua salah kau tau!” suara aku bergetar-getar memberi amaran kepada Puteri. Bila aku teringat semula pada kejadian pemberian nasi lemak sambal sotong tempoh hari, bulu roma aku kembali merinding.

“Eh, apa pula salah aku?”

Pap!
Belum sempat aku membalas apa-apa, dua pinggan berisi pesanan kami tadi diletakkan di atas meja oleh pembantu Abang John bersama dengan dua gelas air.

“Dah-dah… cepat makan, Put. Jangan nak banyak cekadak lagi.”
“Yalah-yalah.”

Selesai makan, kami berdua ke kaunter untuk membayar harga makanan. Ketika menghulurkan not RM50 kepada Abang John, Puteri memesan supaya memasukkan sekali bil jiran psiko ke dalam bil kami.

“Weh, Put!” aku menggoncang-goncangkan lengan Puteri dengan mata yang terbeliak.
“Apa?”
“Kenapa kau bayarkan bil dia sekali?”
“Aku rasa macam nak buat amal jariah sikit. Tak salah, kan? Rezeki sama-sama dikongsi. Bukan ke di dalam setiap rezeki kita adanya rezeki orang lain?” balasnya bersahaja sambil menyambut baki duit daripada Abang John.

“Hah, betul tu… Sara. Apa yang Puteri cakap tu ada betulnya. Kita ni… kalau ada rezeki lebih… tak boleh kedekut. Rezeki sama dikongsi, bala pandai-pandailah selesai sendiri.” Abang John gelak disambut oleh Puteri tetapi aku pula tidak terasa hendak ketawa sama. Ah, macam-macamlah diorang ni.

Melewati meja jiran psiko, aku memeluk lengan Puteri seerat-eratnya tanpa memandang dia yang sedang makan. Tetapi, ekor mataku seolah dapat mengesan yang matanya dihalakan kepadaku.

Lekas-lekas aku mengheret Puteri dan berlalu keluar dari kawasan itu. Apa yang aku tahu, aku cuma mahu cepat sampai  ke rumah. Aku tidak mahu kami diekori oleh lelaki itu. Otak aku masih tak sudah mengulang-ulang bayangan tukul yang pernah dipegang oleh lelaki itu dan aku tak mampu menghalang imej-imej ngeri bermain-main di minda aku.
Ya Allah, selamatkanlah kami!

***

Aku pulang ke rumah sedikit awal berbanding biasa. Kerja-kerja di pejabat dan hal ehwal yang bersangkut paut dengan klien serta acara yang aku kendalikan telah selesai. Aku menghalakan keretaku ke lorong masuk ke kawasan perumahan. Ketika itu, kawasan sekitar kelihatan agak sepi memandangkan ramai lagi yang masih belum pulang dari kerja.
Cuma sesekali terlihat kelibat beberapa orang anak jiran yang berlegar-legar di taman permainan berdekatan.
Brek tangan ditarik lalu aku meloloskan diri dari kereta. Mangga yang sedang bergayut di pagar rumah ditanggalkan lalu pintu pagar dikuak selebar-lebar alam untuk memudahkan aku meletakkan kereta di halaman.

Aku berpusing. Namun, langkah aku terhenti mendadak sekali gus menyebabkan jantung aku seakan gagal untuk berfungsi.

Sedetik.
Dua detik.
Lima detik.

Perlahan-lahan aku melepaskan nafas. Mata aku terperosok jauh ke anak matanya, merenung dia yang juga sedang merenung aku. Kami saling bertatapan. Agak lama sehingga aku dapat merasakan waktu seakan berdetik dengan tersangat perlahan.

 Otak aku  pula terasa seolah gagal berfungsi seperti biasa menyebabkan aku terkejung terus menerus di situ.

Namun, tatkala terasa segalanya kembali seperti normal… aku berdehem perlahan. Jiran psiko yang sedang berdiri di hadapan dalam jarak kira-kira tiga langkah dariku dipandang semahu-mahunya.

Sejujurnya, aku tidak pernah menjangka yang dia akan berdiri di sini apatah lagi aku tidak mendengar sebarang bunyi ketika membuka pintu pagar tadi. Tiada bunyi, tiada angin. Tiada terdengar derap kaki mahupun bunyi orang bernafas. Kehadirannya ibarat seperti hantu. Tiba-tiba saja ada!

Degup jantung yang bertukar ritma, aku cuba kawal. Wajah dia aku amati baik-baik. Seperti biasa, wajah dia seolah tidak berperasaan. Kemudian, mata aku dilarikan pula ke arah tangannya. Bimbang kiranya dia datang bersama dengan tukul untuk mencederakan aku tetapi apa yang aku bayangkan itu langsung tidak sama dengan hakikat sebenar.

“Nah,” ujar dia sepatah tanpa senyuman. Dia menyuakan bekas mangkuk tingkat yang aku berikan kepadanya tempoh hari.

“Err…” aku hilang kosa kata sebaik bekas mangkuk tingkat itu aku sambut.

“Terima kasih,” sekali lagi dia bersuara.
“Ke… kenapa pulangkan?” gagap, aku menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Renungan dia itu menyebabkan dada aku menyempit secara tiba-tiba.

“Terima kasih juga untuk burger hari tu…” tambah dia lagi sekali gus membuatkan aku teringat pada kejadian di kedai burger beberapa hari sudah. Belum sempat aku membalas, terlebih dulu dia berpusing dan berjalan pulang menuju ke rumahnya.

“Awak… nanti dulu!”
Jiran psiko berhenti tanpa berpaling kepadaku. Aku pula memandang kiri dan kanan lantas mendekatinya.

 “Awak…” tegurku sejurus saja aku berdiri di hadapannya. Entah dari mana datangnya keberanian ini, aku sendiri tidak tahu.
“Hmm?” dia jongketkan kening kirinya. Matanya lurus merenung aku.
“Awak… apa nama awak?”

“Kenapa?” soalan dia itu tak semena-mena saja menyebabkan hati aku meradang. Eh… eh… dia boleh tanya kenapa pula. Salah ke kalau aku tanya nama dia? Sudah berminggu-minggu aku berjiran dengannya tetapi sampai hari ini aku masih tidak tahu apa namanya. Jadi, wajarlah aku bertanya soalan seperti itu kepadanya.

“Saja. Tak ada apa-apa sebab yang spesifik. Lagi pun, kita berjiran. Kan?”
Dia cuma diam tetapi matanya tetap membuat kerja. Masih setia merenung aku seperti hendak menelan aku hidup-hidup. Alahai, aku salah cakap ke?

“Saya Kaisara. Boleh panggil Sara.” ujar aku memecahkan kesunyian di antara kami.
Namun, tangan yang aku sua tidak bersambut menyebabkan aku terasa mahu mengundurkan diri.

“Tak apalah. Saya masuk dulu.”
“Adhwa.” Baru melangkah setapak, terdengar dia bersuara.

“Hmm?” kening aku bercantum bersama mata yang dihala kepada dia semula.
“Adhwa.” Ulang dia tetapi dengan suara yang sedikit ditekankan.

Aku mengangguk lantas tersenyum segaris.

“Adhwa… nice name. Awak…” belum sempat aku menghabiskan ayat aku, tiba-tiba saja dia berlalu meninggalkan aku terkebil-kebil seorang diri di bawah terik matahari.

Isk, kenapa dengan dia ni? Aku salah cakap lagi ke? Aku rasa aku baru saja puji nama dia. Ah, aku benar-benar tidak faham dengan dia!

Aku menghempaskan punggung ke sofa sebaik melangkah ke dalam. Mangkuk tingkat pemberian Adhwa tadi aku renung puas-puas. Fikiran aku mula dipenuhi dengan hal-hal yang berlaku sebelum ini.
Misi aku untuk menjejaki pengirim nota itu tiba-tiba saja singgah di benakku. Apakah masih ada harapan untuk rancangan aku itu diteruskan?



***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311


Tuesday, 7 August 2018

9 NOTA Bab 7


Seawal pagi lagi aku sudah tercongok di hadapan pagar rumah. Sesekali, aku memerhati ke arah rumah yang bertentangan dengan rumah sewaku. Sekitar rumah itu aku perhati. Keadaan di rumah itu sunyi dan sepi seperti tidak berpenghuni. Agaknya, lelaki ini sudah keluar bekerja kut?

Tetapi, dia kerja apa? Entahlah. Aku tidak pernah mengambil tahu perihal jiran baru itu. Sepertinya, telah aku ahat sekuat-kuatnya di mindaku bahawa aku takkan sesekali menegur dia.

Tetapi, takdir tuhan… siapalah aku hendak mengelak? Hanya kerana nota misteri, aku menderhaka terhadap pendirianku sendiri. Aku sudah sebulat hati untuk menegurnya demi mencari kebenaran!

“Sara… kau dah fikir masak-masak ke ni?” tiba-tiba saja aku terdengar suara Puteri dari belakang. Di tangannya ada satu bekas mangkuk tingkat berisi nasi lemak sambal sotong.

“Dah siap ke?”
Puteri menyuakan mangkuk tingkat kepada aku lalu mengangguk.

Thanks, Put.” Aku senyum puas hati apabila Puteri termakan juga dengan pujukan aku untuk memasak menu yang aku minta.

Sebenar-benarnya, aku mempunyai sebuah rancangan. Rancangan yang terbaik dan terlogik setakat ini. Aku sudah sebulat hati untuk menjejak pengirim nota dengan melihat rakaman dari kamera litar tertutup kepunyaan mamat psiko. Dan caranya adalah dengan berbaik-baik dengannya dengan mengumpan nasi lemak tersedap yang dimasak oleh Puteri.
Tidak lama kemudian, aku mengheret Puteri bersama menuju ke rumah jiran psiko tetapi di separuh jalan Puteri pantas menarik tangannya dari genggamanku lantas mengeraskan tubuh.

“Kau nak ajak aku ke mana?”

“Laaa… ke mana lagi? Temankan aku hantar nasi lemak ni.”

“Eee… tak kuasa aku. Malas!” Puteri menepis-nepis tangan aku yang masih lagi melingkar di pergelangan tangannya.

“Put… jomlah! Sekejap aje. Temankan aku.”

“Tak nak. Tak mahu. Kalau kau nak… dipersilakan. Aku tunggu kau kat sini,” Puteri menyilangkan tangannya ke tubuh sejurus bahu aku ditolak-tolaknya.

Isk, ada patut dia suruh aku pergi seorang diri? Sudahlah aku cuak mahu berhadapan dengan lelaki psiko itu. Sekurang-kurangnya, jika Puteri menemani aku… mungkin rasa cuak aku tu akan berkurangan.

“Puteri… please…” aku menayang muka simpati kepadanya. Memang kerja gila kalau dia suruh aku pergi seorang diri. Bagaimana kalau lelaki itu mengapa-apakan aku?

“Tak kuasa aku tau! Aku kan cuma berjanji dengan kau untuk tolong masakkan nasi lemak. Bukannya tolong teman kau sampai ke depan pagar rumah dia. Aku janji kalau jadi apa-apa… aku stand by kat sini.” Puteri angkat ibu jarinya memberi isyarat pada aku sambil mengulum senyum.

Cis! Berani dia kenakan aku? Ah, aku tak peduli. Dia suka atau tidak, aku tetap nak dia ikut aku. Sekonyong-konyongnya, aku mengheret tubuhnya mengekor aku sehingga ke depan pagar rumah jiran kami.

“Put, ada orang ke tak ada orang ni?” aku berbisik kepada Puteri sebaik kami berdua tercegat di hadapan pagar. Aku meliarkan mata ke sekitar rumahnya. Semua tingkap dan pintu bertutup rapat seolah-olah rumah ini tidak diduduki orang. Tetapi, kelihatan sebuah motosikal kuasa tinggi sedang terparkir di satu sudut rumahnya.

“Entah. Manalah aku tahu.”

“Tapi, motosikal dia ada kat situ.” Aku menjuihkan bibir sambil menyinggung pinggang Puteri.

“Agaknya dia ada kat dalam rumah la kut. Cuba kau panggil.”

 “Assalamualaikum!” aku memberi salam biarpun tersisa rasa pelik dengan keadaan rumah lelaki ini. Tapi, suara aku tu seperti tidak mahu keluar dari anak tekak sehinggakan Puteri berdecit di sebelah aku.

“Isk, kau ni. Bagi salam tu kuatlah sikit. Macam cakap dalam kelambu.”

“Assalamualaikum!” aku menaikkan suara.

“Weh, Put… tak ada orang jawab salam pun. Agaknya, dia dah keluar pergi kerja kut?”
“Macam mana dia nak pergi kerja kalau motosikal dia ada kat sini lagi? Sudah la. Biar aku panggil pula! Assalamualaikum! Assalamualaikum!” tak pasal-pasal Puteri majukan langkah menghampiri pagar lalu berpaut ke situ sambil melaung-laung memberi salam.

Krekkk!

Tiba-tiba saja aku mendengar bunyi gril pintu utama ditolak. Spontan aku dan Puteri memandang ke sana. Masing-masing terpaku sambil menanti jiran psiko kami melangkah keluar.

Dia menghampiri kami dengan hanya mengenakan seluar pendek separas lutut tanpa baju. Rambutnya kelihatan berserabai. Di tangannya ada satu tukul besar. Untuk apa dibawa bersama tukul tersebut, aku gagal meneka. Spontan aku berundur sambil mencuit bahu Puteri memberikan isyarat kepadanya.

Aku memerhati benda di tangannya. Semerta bayangan filem horror-thriller yang pernah aku tonton terlayar di ruang minda aku. Mampus! Dia nak buat apa dengan benda alah tu? Dia nak apa-apakan aku dengan Puteri ke?

“Hmm?” aju dia dengan suara yang serak sebaik sahaja dia berdiri di hadapan kami.
Liur yang baru melalui kerongkong aku terasa begitu kesat. Kepala lutut aku pula terasa bergoyang menyebabkan rasa takut mula menguasai hati. Tetapi, sempat lagi mata aku berlaga dengan matanya selama dua detik sebelum aku melarikan pandangan kea rah tukul di tangannya.

Ketika itu, aku sudah mula membayangkan yang tukul itu dihayun ke kepalaku. Dapat aku rasakan bagaimana kesakitan yang bakal aku alami kelak. Malah, dapat juga aku bayangkan berapa banyak darah di kepalaku yang bakal mengalir hasil hentakan tersebut.

“Ada apa?” aju dia dengan nada seperti tidak berpuas hati.

“Err… nak bagi sarapan,” aku menayang sengihan palsu. Bibir aku terasa ketat untuk mengoyak senyuman. Sempat lagi aku mengerling Puteri yang sudah seperti patung cendana. Aku jadi tak faham dengan dia ni. Bukan main lantang lagi suaranya tadi untuk memanggil jiran psiko tetapi bila lelaki itu di depan mata… terus kejung seperti baru disumpah menjadi batu.

Lelaki itu merenung mangkuk tingkat di tanganku. Dia sekadar mengangguk. Aku pula lekas-lekas menyuakan bekas tersebut kepada dia melalui celah pagar.

“Dalam bekas tu ada nasi lemak sambal sotong. Harap-harap awak sukalah.” aku cuba mengatur ayat walaupun suara aku tersekat-sekat seperti CD rosak.

“Terima kasih,” ujar dia pendek.

Aku memerhati ke segenap wajah dia. Baru hari ini aku dapat melihat dengan jelas rupanya. Rambutnya lurus dan panjang melepasi bahu tetapi berserabai. Kulitnya cerah. Hidungnya mancung. Matanya cantik, berwarna hazel. Malah dia juga memiliki bulu mata yang panjang dan melentik seperti bulu mata perempuan. Keningnya juga lebat dan terletak elok. Cumanya, ada sedikit jambang yang meliar di sekitar dagu dan pipinya. Kacak lelaki ini tetapi sayang… tanpa senyuman, dia kelihatan sebagai seseorang yang menakutkan di mataku.

Aku terkelu di hadapan dia. Ayat mukadimah yang cuba aku rangka dan karang seperti tidak terkeluar dari mulut biarpun peluang dan ruang sudah terbuka lebar di depan mata. Aku sepatutnya memberitahu apa tujuanku tetapi apabila melihat dia yang kedekut dengan senyuman, fikiran aku menjadi bercelaru. Ayat-ayat yang aku rangka di dalam minda berselerakan sehingga aku gagal menyatakan hal sebenar.

“Ada apa-apa lagi?” aju jiran psiko setelah melihat kami berdua masih terkejung di hadapan dia.

“Err… err…” bibir aku digigit. Tanpa sengaja, mataku beralih kepada tukul di tangan menyebabkan aku kelam kabut mencuit Puteri.

“Tak ada apa-apa. Maaf mengganggu.” Tanpa sempat mendengar jawapan balasnya, terkocoh-kocoh aku mengheret Puteri kembali ke rumah. Lekas-lekas aku merapatkan pintu utama sebaik kami berjaya melangkah masuk.

“Kau dah kenapa, Sara?” Puteri menepis bahu aku dengan muka tak puas hati.

“Minta nyawa! Minta nyawa!” aku cuba mengambil nafas sambil tubuh bersandar ke belakang pintu.

Peluh yang muncul di dahi aku kesat dengan belakang tangan sementara dada aku pula terasa naik turun dengan begitu pantas. Jantung aku juga seolah-olah bekerja dalam kadar yang luar biasa.

 “Isk, nak minta nyawa apanya? Hidup lagi, kan?”

“Iya, memang la hidup lagi. Itu pun sebab aku sempat lari. Kalau tak… kepala aku ni pecah dihentak dengan tukul kat tangan dia tadi!”

Puteri tercebik.

“Habis tu?” Puteri menyoal aku seraya menyelak-nyelak langsir di pintu gelangsar. Dia cuba mengintai kelibat jiran psiko kami.

“Apanya?”

“Macam mana dengan plan kau?”

“Tak jadi kut? Tak berani aku nak tanya lebih-lebih. Cukuplah sekali aku bercakap dengan dia.”

“Takkan cepat sangat kau mengalah, Sara? Kata nak jejak pengirim nota tu…” leret suara Puteri tu seolah sedang memerli aku. Aku menjeling sebal padanya.
Memanglah aku mahu menjejaki pengirim nota itu. Tetapi, bagaimana aku mahu meneruskan misi itu jika jiran psiko tidak seperti manusia normal?

 “Aku akan cari jalan lain. Tapi, kalau nak suruh periksa CCTV footage kat rumah dia… memang taubat aku tak nak!”

But how?

Pertanyaan Puteri itu seolah-olah membuatkan pipi aku terasa seperti baru saja dilempang.



***READY STOCK, JUALAN ONLINE SAHAJA
HARGA : RM43SM / RM47SS

Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311
Whatsapp 017-5080311



BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...