Mirza
sibuk menyental badan Mini Coopernya tatkala sebuah motosikal kapcai muncul di
luar pagar rumah sewanya. Kemunculan Naaz, teman serumahnya itu dibuat tak
endah. Kerja-kerja mencuci dan menyental kereta diteruskan dengan menyimbah
sebaldi air yang bercampur sabun sebelum membilasnya dengan air bersih.
“Sudah-sudahlah
belek muka sendiri dekat kereta buruk kau tu. Bukannya boleh diubah jadi macam
Brad Pitt pun.” Cebik Naaz sebelum ketawa-ketawa.
Lelaki
yang mengenakan jaket dan helmet itu segera melompat turun daripada
motosikalnya sebelum menenggek di atas bangku tidak jauh dari situ.
“Wah, cakap biar berlapik sikit. Tak
pasal-pasal muka kau yang bertukar jadi buruk sekejap lagi.” Mirza menjeling.
Pantang sungguh jika ada yang mengutuk keretanya sebagai kereta buruk. Ini
kereta klasik kut. Dekat mana yang buruknya?
“Hisyh…
bahaya kau ni. Tak boleh bergurau sikit!”
“Bergurau
benda lain tak apa. Tapi jangan bergurau pasal kereta aku.” Mirza menepuk-nepuk
bumbung keretanya sebelum melentokkan kepala ke situ seakan sedang memeluk
orang.
Tergeleng-geleng
Naaz dibuatnya. Sejak dulu, kini dan mungkin selamanya Mirza akan tetap setia
dengan kereta buruknya itu. Haih, Mirza… Mirza… ada-ada sajalah!
“Bila
nak tukar kereta baru?”
“Untuk
apa tukar kereta baru kalau kereta kesayangan alam ni masih elok digunakan?”
“Piiraah!
Kesayangan alam amende? Setiap minggu
buat hal. Kejap-kejap rosak kat tepi jalan. Lepas tu, menyusahkan aku aje!”
ujar Naaz tak agak-agak. Lelaki berambut panjang itu giat mengusik si teman
serumah yang kedekut. Bukannya dia tidak tahu, setiap kali kereta Mini Cooper
itu meragam, siapa lagi yang Mirza cari kalau bukan dirinya?
Kebetulan,
dia bekerja di bengkel. Dia tahu selok belok kenderaan. Jadi, nak tak nak
kenalah tolong kawan. Kata kawan sehidup semati. Kalau tak tolong, siapa lagi?
“Jangan
nak kedekut sangat, kawan! Duit berkepuk-kepuk dalam bank tu nak buat apa?
Belilah kereta baru. Sekurang-kurangnya, tak adalah kau terpaksa menyusahkan
diri sendiri.”
“Bisinglah
kau ni!” Mirza campak kain tuala ke atas badan kereta. Paip air dipulasnya.
Getah paip dihala ke badan kereta. Sambil-sambil membilas badan Mini Cooper itu
buat kali yang entah ke berapa, dia siram sekali motosikal milik Naaz.
Terjerit-jerit lelaki itu dengan perbuatan Mirza. Kelam kabut dia cuba
menyelamatkan keadaan dengan menyorong motosikalnya menjauhi Mirza.
“Kut
ya pun… tunggulah aku angkat barang-barang ni dulu.” Naaz mencapai beberapa
bungkusan plastik berisi pelbagai makanan yang dibelinya di pasar malam sebelum
pulang tadi.
“Apa
tu?”
“Murtabak
ayam. Soya cincau. Sate. Apam balik.”
“Perghh!”
mendengar itu, kalut tangan memulas kembali kepala paip. Serta-merta dia
mengekori Naaz masuk ke dalam rumah.
Sejak
pulang tadi, dia langsung tak isi apa-apa ke perutnya. Patutlah perutnya asyik
berbunyi sejak tadi.
“Jadi,
macam mana pinjaman bank kau? Lulus?” aju Naaz ketika sedang melahap murtabak
di hadapan meja makan.
“Ini
Luth Mirza kut. Mestilah lulus!” Mirza kuis hujung hidung separa mancungnya
sambil tersengih-sengih.
“Ceh.
Kemain berlagak. Patutnya, bila dah lulus… kau tadah tangan dan bersyukur ke
hadrat Ilahi kerana bagi rezeki dekat kau. Jangan berlagak. Jangan lupa
daratan. Jangan lupa member-member,” bebel Naaz mengingatkan sebelum
ketawa-ketawa.
“Bila
dah lulus pinjaman dan dapat besarkan studio kau tu… jangan lupa dengan
kawan-kawan dan insan yang memerlukan. Sesekali, rajin-rajinkan diri
bersedekah. Dengan bersedekah kau dapat tambahkan lagi rezeki kau. Pahala pun
bertambah. Jangan contohi Haji Bakhil. Kedekut!” sambung Naaz lagi.
Mirza
diam. Malas hendak menjawab. Dalam rumah ini, dia sedia maklum siapa yang kuat
membebel dan memberi tazkirah percuma. Kalau bukan Naaz, siapa lagi?
Malam
ketika Mirza sedang sibuk dengan kerja di hadapan komputer, dia menerima satu
panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali. Malas hendak menjawab,
dia buat tak tahu saja. Tapi, panggilan terus masuk berkali-kali sehingga Naaz
yang sedang menonton televisyen di ruang tamu berasa terganggu. Masuk kali
kelima telefon Mirza berbunyi, kalut dia bangkit dan mencapai telefon lelaki
itu.
“Hello.”
Spontan Naaz menjawab setelah menekan butang hijau.
Terdengar
suara perempuan di hujung talian. Terliuk lentok badan Naaz seperti patung
besar di pintu masuk stesen minyak yang sering mengalu-alukan kedatangan
pengunjung. Senyuman lebar dan gatal terbentuk di bibir.
“Alaa,
sedapnya suara. Nak cakap dengan siapa? Mirza? Kejap ya…”
Naaz
tekup corong telefon lantas memanggil Mirza yang sedang tekun membuat
kerja-kerja suntingan video.
“Apa?”
“Ada
awek call kau.”
“Awek
mana pula?”
“Entah.
Siapa weh? Sedap suara. Tergoda aku!” Naaz menyengih.
“Salah orang kut.” Mirza mendengus.
“Mana
ada salah orang. Dia sebut nama kau tadi.”
“Siapa?”
“Manalah
aku tahu!”
“Habis
tu, tak reti tanya?”
Naaz
menjeling. Telefon kembali dilekapkan ke telinga.
“Cik
adik manis yang suaranya macam buluh perindu ni… boleh abang tahu siapa nama?”
Naaz diam, mendengar orang di hujung sana membalas. Sesekali dahinya berkerut.
Adakalanya bibir juga digigit halus.
“Nah.”
Telefon milik Mirza disua.
“Siapa?”
“Ammara.”
“Siapa
tu?”
“Manalah
aku tahu. Dia kata kau dengan dia terserempak tengah hari tadi di Jalan Kekwa.”
Naaz
cekak pinggang. Pandang Mirza semacam. Lama Mirza berfikir, barulah dia
mencapai telefon dari tangan Naaz.
“Hello.”
“Hello,
cik abang yang budiman. Ingat I lagi tak?”
“Siapa
ya?” Mirza bangun dan keluar bertenggek di bangku di halaman rumah. Naaz serta
Rafiq yang baru turun ke ruang tamu sibuk mengekor dan memasang telinga di
sebalik pintu.
“Orang
yang you tinggalkan di tepi jalan lepas you langgar siang tadi. Ingat tak?”
“Oh,
cik tu. Ingat. Minta maaf sangat-sangat. Tadi saya nak cepat. Tak boleh nak
hantar cik ke klinik. Errr… kaki okey ke?”
“I
nak jumpa you. Esok. Nanti I hantar location
dekat you. Kita bincang.”
Tut!
Tut! Tut!
Tidak
sempat Mirza hendak berkata apa-apa, talian telefon mati serta-merta.
Terkebil-kebil Mirza dibuatnya. Masuk satu mesej ke peti telefon Mirza seminit
kemudian. Lokasi telah dihantar. Pertemuan diatur. Mirza garu belakang kepala.
“Aduh,
perempuan ni…”
“Hoi,
siapa awek tu?” sergah Naaz dari belakang.
“Pergh!
Dah maju!” perli Rafiq lalu ketawa disambut oleh Naaz.
“Diamlah.”
Menonong Mirza ke dalam dan menyambung kerja.
“Awek
mana yang kau jumpa di Jalan Kekwa siang tadi?” Naaz mula mengepoh. Pakej
dengan tongkatkan siku di meja kerja Mirza sambil tersengih-sengih.
“Adalah.”
“Oh,
dah pandai berahsia sekarang ni. Fiq! Kau tengok member kita seorang ni. Makan sama-sama. Duduk serumah sama-sama
tapi kedekut nak kongsi cerita. Sudah-sudahlah dengan perangai kedekut tu,
kawan!” Naaz tepuk-tepuk bahu Mirza.
“Ingatkan
duit aje dia kedekut. Rupanya cerita pun dia kedekut. Mirza… Mirza…” tambah
Rafiq pula sengaja hendak menyakat Mirza.
“Isk,
macam-macamlah kau orang ni! Dah la… aku nak tidur. Esok nak keluar awal pagi.
Selamat malam.” Menonong Mirza ke atas dan hempaskan punggung ke tilam.
Aduhai.
Apa akan jadi esok hari? Adakah perempuan bernama Ammara itu akan tuntut ganti
rugi daripadanya? Kalau dia minta beribu-ribu, macam mana? Habislah duitnya.
Ada banyak perkara yang dia perlu uruskan daripada habiskan duit kepada perempuan
yang entah siapa-siapa itu.
Perbelanjaan
studionya pun perlukan duit yang banyak. Duit nak bagi pada ibu kat kampung
lagi. Nak bagi pada anak-anak buah lagi. Nak bayar hutang lagi. Isk, banyaknya
benda nak gunakan duit! Harap-harapnya si Ammara tu tak minta yang
bukan-bukanlah.
Mirza
melepaskan keluhan panjang. Aduhai. Bala sudah datang nampaknya!
Dia
pun satu. Kalau undur kereta, lain kali hati-hati. Tak pasal-pasal saja dah
jadi kes kronik. Tapi, kalau difikir-fikirkan balik… ini semua bukan salahnya seorang.
Perempuan itu juga berjalan tak pandang kiri kanan.
Sudahnya,
Mirza merebahkan tubuh ke atas tilam empuknya. Lantaklah nak jadi apa pun pada
hari esok. Esok punya cerita, esok sajalah dia fikir. Buat penat otak saja
fikir sekarang. Lebih baik dia tidur dan rehatkan diri. Mata pun dah mula berat
ni.
Tap!
Lampu kecil di tepi katil dipadamkan. Sekejap cuma, Mirza terus hanyut ke alam
mimpi.
No comments:
Post a Comment