Thursday, 29 September 2022

Di Situ Ada Cinta Bab 1

 


Bum!

Bunyi sesuatu di belakang kereta membuatkan Mirza cepat-cepat menarik brek tangan. Dia menjeling cermin pandang belakang. Terlihat kelibat seorang perempuan muda dari biasan cermin itu.

Menonong Mirza keluar, memeriksa kenderaan kesayangannya di bahagian belakang. Sedikit kemikan dan calaran yang terbentuk di hujung bontot Mini Cooper berwarna merah versi tahun 80-an itu disentuh. Rasa marah mula menghurung hati.

Wajah perempuan muda itu tadi dipandang. Tangan dinaikkan ke pinggang. Namun, belum sempat menghamburkan amarah yang membuak-buak di dada, badan Mini Coopernya itu terus ditampar oleh perempuan itu.

“Hei, you buta ke? Tak nampak I jalan dekat sini?”

Perempuan muda tadi berjalan terhencot-hencot mendekati tembok berdekatan petak parkir itu namun di separuh jalan dia terduduk di kaki lima. Barang-barang yang dibawa bersamanya juga langsung berterabur ke lantai.

Wanita itu menyentuh kakinya yang sudah terseliuh. Kakinya dipicit-picit sambil membebel menggunakan Bahasa Inggeris. Dengan dahi yang berkerut, dia mengangkat muka mencari Mirza yang masih lagi tercegat memandangnya.

“You!” teriaknya.

Terkocoh-kocoh Mirza mendekati wanita yang berpakaian serba moden dan elegan. Kelihatannya seperti orang ada-ada. Solekannya pula sekati di muka. Rambut kemain kepuk-kepuk macam baru keluar dari salon. Barangan dan pakaian di tubuhnya semuanya daripada jenama mewah. Tengok sajalah beg tangan dan kasut tumit tingginya yang tersarung di kakinya itu. Cristian Louboutin dan Fendi gah mendampingi.

“Awak ni… bila berjalan, lain kali pakai mata sekali. Tengoklah apa dah jadi. Tak pasal-pasal saja kereta saya kemik!”

Aara yang mendengar hujah bela diri daripada Mirza mula melenting. Dihempuknya beg tangan mewahnya itu ke lantai sambil memandang Mirza seperti hendak menelan lelaki itu hidup-hidup.

“You salahkan I?”

“Yalah. Salah awak. Tak nampak keadaan kereta saya?” Mirza menuding ke arah keretanya.

“Eh, hello. You ingat badan I ni kebal sangat ke sampai kereta you boleh jadi macam tu?” Aara mula meningkah.

Gila! Takkanlah kereta mamat ni boleh jadi sampai macam tu lepas terlanggar dia?

Mirza mendengus. Fikir punya fikir, baru dia teringat yang kemikan itu berpunca daripada perbuatan Rafiq, teman serumahnya yang telah meminjam keretanya malam tadi.

Dia membelek jam tangan. Sudah terlewat sebenarnya hendak ke satu tempat kerana mempunyai urusan kerja. Kalau dia tak bersegera ke sana, dah tentu-tentu sekejap lagi bosnya akan bambu dia cukup-cukup. Lepas urusan kerja selesai, dia kena ke bank pula atas urusan pinjaman perniagaannya.

“Hello… you tercegat apa lagi dekat situ?”

I’m sorry.”

“Wah, senangnya minta maaf. Habis tu, macam mana? Takkan nak tengok aje?” perli Aara geram.

“Jom saya tolong papah awak.”

Sudahnya Mirza bantu Aara bangun dan membawanya duduk di atas tembok. Sekilas dia memandang kaki Aara yang nampak sudah membengkak akibat terjatuh tadi. Aara pula segera memicit-micit kakinya yang makin berdenyut. Dipandangnya Mirza yang sedang memikirkan sesuatu.

“You tunggu apa lagi? Kaki I sakit ni. Bawa I pergi klinik!”

“Eh, tak boleh!”

“Kenapa pula tak boleh? You nak lari daripada tanggungjawab ke? Berani ek? Dah langgar orang lepas tu nak cabut.”

Mirza menggaru belakang tengkuk. Boleh tahan garang perempuan ini. Dia bukannya hendak melarikan diri tetapi dia benar-benar sudah terlewat. Kalau dia menghantar Aara ke klinik, sudah pasti masa depan kerjayanya di stesen televisyen itu nanti bakal tergugat. Malahan, masa depan studionya iaitu LM Productions mungkin akan terjejas gara-gara dia gagal ke bank hari ini. Ah, tak boleh jadi!

“Nah, awak ambil ni. Pergi klinik sendiri. Saya kena pergi.” Selamba Mirza menghulurkan sekeping not merah kepada Aara berserta kad namanya lantas bergegas meninggalkan wanita itu terkulat-kulat seorang diri.

“Hoi! Kurang ajar betul mamat ni! Dia main blah macam itu aje?” Aara memekik. Pakej lengkap dengan balingan kasut tumit tingginya untuk melepas geram.

Kad nama milik Mirza itu dibeleknya. Begitu juga dengan not berjumlah sepuluh ringgit pemberian lelaki itu.

“Tak guna. Dia ingat harga kaki aku ni sepuluh ringgit aje? Kedekut!” Aara tidak berpuas hati.

Sudahlah kakinya sakit. Kini, hatinya turut sakit dengan perbuatan Mirza yang tidak bertanggungjawab begini. Kad nama Mirza ditenungnya lagi.

Luth Mirza Lutfi

 Pengarah Urusan LM Productions.

No Telefon 019- 234xxxx

“Cik Ammara!” teriak satu suara tatkala Aara asyik sekali membelek kad nama milik Mirza itu.

Oh my god! What happened to you?” Nada yang baru tiba mula panik apabila melihat Aara tersadai di atas tembok dengan berkaki ayam.

Dikutipnya kasut tumit tinggi milik wanita itu yang bergelimpangan tidak jauh dari situ sebelum menerpa Aara.

“Kenapa dengan you, Cik Ammara yang vogue lagi jelita?”

Stop calling me that!” cebik Aara tidak senang. Rimas dia mendengar Nada memanggilnya dengan gelaran itu. Seolah hendak memerlinya pula.

“Okey. Okey. Sorry, bos.”

“Isk!” Aara berdecit.

Dijelingnya sebuah bangunan sepuluh tingkat yang berdiri megah tidak jauh dari situ. Di situlah Mirza tuju tadi sebelum lelaki itu menghilang dari pandangan.

Aara bangkit. Jalannya masih terhencot-hencot. Perit di kakinya boleh terasa sehingga ke kepala. Agak-agaknya, teruk ke keadaan kakinya ini?

“Nada, telefon Eshan. Minta dia datang ambil I kat sini.” Perintahnya.

“Telefon Eshan?” Nada bertanya dengan sedikit tanda tanya di kepala. Bukankah ketika Eshan menghantar mereka ke sini tadi untuk bertemu dengan klien, Aara sudah mengarahkan agar pemandu syarikat mereka itu pulang? Sekarang, nak minta Eshan datang ambil mereka pula?

Aara menjongketkan sebelah kening, merenung Nada dengan pandangan tajam.

“Okey. I telefon dia. Tapi, you nak ke mana?”

 “You tak nampak kaki I ni? I nak pergi kliniklah. Takkan zoo pula?”

Nada tergelak mendengar lawak bodoh Aara. Lekas-lekas dicapainya telefon dari celah beg tangan lalu menekan nombor Eshan. Sepuluh minit kemudian, kereta yang dipandu Eshan tiba di hadapan Aara.

“Cepatnya sampai?” soal Nada sejurus saja melabuhkan punggung di kerusi penumpang bahagian belakang.

“Saya ada di sekitar sini aje, Cik Nada. Itu yang cepat sampai tu.” Lelaki berusia awal tiga puluhan itu menyengih.

“Uuu… bagus ada driver macam you ni Eshan. Tak sia-sia cik bos gajikan you. Cepat dan efisien. Tak gitu, bos?”

“Jangan banyak cakap, Nada. Eshan, bawa I pergi klinik.”

“Baik, Cik Ammara.” Eshan mengangguk sebelum tergeleng-geleng sambil ketawa kecil mendengar Aara memarahi Nada.

“Jadi, you nak I batalkan meeting dengan vendor petang ni?” aju Nada sejurus saja Aara masuk ke dalam kereta setelah mendapatkan rawatan di klinik.

“Bukan batalkan. Tapi tangguhkan. Cakap kat dia orang yang I akan buat online meeting malam nanti.”

Meeting dengan supplier di Subang jam 2 petang?”

“Batalkan.”

“Jemputan ke majlis pelancaran minyak wangi terbaru AuRanea di KLCC?”

“Pun batalkan.”

“Lepas tu, you jadi tak nak ke Astro petang ni? You tak lupakan tentang jemputan untuk rakaman rancangan televisyen tu?”

“Yang itu pun you batalkan.”

“Batalkan? Semuanya? Habis tu… kalau dia orang tanya, I nak jawab apa?”

“Aduh! Kenapalah I ada PA macam you ni Nada?!” teriak Aara dengan penuh geram.

Kakinya masih lagi berdenyut-denyut. Nada pula cerita bab kerja. Sedangkan kepalanya tengah memikirkan tentang Mirza. Kuat kad nama Mirza digenggam. Ada segaris senyuman tersembunyi di bibir Aara.

Nada di sebelah sudah ketawa-ketawa. Dia tahu Aara bukanlah maksudkan sangat dengan apa yang dikatakannya. Dia kenal sangat dengan Aara. Setakat habis dekat mulut, bukannya melekat di hati. Lagi pun, dia tak pernah ambil hati dengan apa yang Aara perkatakan.

Sebab dia terlalu masak dengan perangai cik bos nan seorang itu. Sudah lapan tahun mereka mengenali antara satu sama lain. Banyak hal Aara baik kerja mahu pun peribadi dia tahu. Begitu juga dengan Aara. Pendek kata, selain daripada bertugas sebagai pembantu peribadi kepada seorang Ammara Surfina, Nada juga merupakan pendengar setia dan penasihat tak bertauliah Aara.

“Sebab you ada PA macam I la you boleh berjaya sampai ke tahap sekarang tau! You kena kenang jasa-jasa I, bos.”

Aara terdiam. Fikirannya melayang-layang.

“You fikir apa, bos? Duk mengenang semua jasa-jasa I pada you ke?”

Aara mencebir. Lekas-lekas dia berpura-pura merenung telefon di tangan.

“Luth Mirza.” Sebut Aara dengan sangat perlahan bersama leretan senyuman. Pandangan dihala ke luar tingkap kereta. Keningnya terjongket. Wajah Mirza menari-nari di ruangan matanya.

Kau tunggu nasib kau nanti, Luth Mirza!

 

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...