Monday, 2 December 2019

AURORA Bab 5


Keadaan di dalam kelas agak gamat. Sebahagian pelajar yang berkumpul di situ atas perjumpaan Kelab Kesenian Fakulti Perniagaan hanya duduk berbual dan bersembang sesama sendiri sebelum mesyuarat dimulakan.

Aurora yang tiba sedikit lewat kerana berjumpa dengan pensyarah di bilik pejabat tadi menolak daun pintu. Serentak, berpasang-pasang mata memandangnya. Aurora tenung tubuh sendiri. Ada apa yang pelik dengan dirinya? Dia tidak berbaju ke? Mukanya comot dek mekap yang tak seberapa? Atau mungkin kerana tudungnya yang senget-benget? Ah! Lantaklah!

Buku lukisan dan sebatang pensel dikeluarkan dari beg sandangnya. Manakala fon telinga yang sudah dijolok ke telefon pintarnya disumbat ke telinga lantas menekan butang play setelah senarai lagu kumpulan muzik dari barat dicari. Semerta lagu-lagu yang membuai jiwa berkumandang ke pelosok gegendang telinga.

Lagu Rescue Me nyanyian One Republic mengusik pendengaran. Sambil itu, tangannya mula ligat menarikan pensel di atas buku lukisan yang separa siap.

“Hei, Aroro! Kau buat apa tu?” tiba-tiba terdengar usikan nakal si budak jahat dari arah tepi. Serentak dengan itu, buku lukisannya ditarik sehingga mata pensel terconteng ke atas buku sehingga comot.

Aurora mengangkat muka. Merenung Burn yang datang tanpa diundang. Lelaki itu tercebik-cebik menatap buku lukisannya tanpa rasa bersalah.

“Bagi balik buku aku,” ujar Aurora menahan sebal. Suara mendatar tetapi berbunyi tegas dan berbaur amaran.

“Ini yang kau panggil buku?” Burn bercekak pinggang, menayang buku lukisan Aurora ke hadapan muka gadis itu dengan wajah menjelikkan.

“Habis tu, kau nak aku panggil apa? Kepala kau?” sinis lagi tak berlapik jawapan Aurora sehingga menyebabkan wajah Burn berubah merah.

Buku lukisan Aurora dicampak ke atas meja. Tangan menggenggam penumbuk lalu mendaratkannya ke atas meja si gadis.

“Cakap baik-baik sikit. Kepala-kepala jangan sebut!” Burn merenung tajam wajah Aurora, memberi amaran dengan cara tak berlapik. Hangat hati dibuatnya mendengar kesinisan yang terbit dari bibir comel Aurora.

“Lain kali jangan cari pasal dengan aku. Dah, kau pergi dari sini. Jangan ganggu aku!” Aurora menjeling.

Meluat sungguh dia melihat perangai Burn, salah seorang pelajar kelasnya. Setiap kali bersua, pasti Burn akan menunjuk perangai tidak matangnya kepada pelajar-pelajar lain. Apatah lagi perangai ‘hantu’nya itu disokong oleh sekumpulan pelajar yang lain termasuklah Melati, kekasih hatinya yang berperangai dua kali lima.

Di kolej ini, siapa saja yang tidak mengenali mereka? Kaki ampu, kaki bodek, kaki kacau, kaki kepoh, kaki gaduh. Pendek kata, suka buat hal dan cari masalah dengan pelajar lain. Kadang-kadang, dengan pensyarah dan staf fakulti pun mereka selamba cari pasal. Tak hairan pun. Burn dan Melati merupakan anak orang besar di kolej ini. Disebabkan itu masing-masing jadi besar kepala.

“Berlagak kau, kan? Kau tahu tak aku siapa?” Burn masih menunjuk degil. Masih kejung di hadapan Aurora kerana tidak berpuas hati apabila dihalau gadis itu.

“Tahu.”

Good. Kalau macam tu… aku nak kau tunggu di kelas B01 lepas habis mesyuarat ni. Ada sesuatu yang aku nak bagi pada kau.”

“Kau nak bagi apa? Assignment?”

“Wah! Pandai kau teka. Bijak juga kau ni.”

“Sebab aku bijaklah aku buat assignment sendiri. Bukan macam kau. Dahlah pemalas, boleh tahan bodoh juga.”

Berasap-asap telinga Burn mendengar umpatan dan kutukan Aurora yang langsung tak berlapik. Entah kenapa dia jadi dua kali ganda lebih marah kepada Aurora setelah melihat muka beku gadis itu. Tak takutkah Aurora kepadanya? Tak risau jika dia melakukan sesuatu kepadanya nanti sebab mulut celopar itu?

“Kemain mulut kau, kan?” Burn merendahkan tubuh, meletak sebelah tangan ke penyandar kerusi Aurora dan sebelah tangan lagi di atas meja gadis itu. Mata Aurora ditenungnya. Rahangnya pula kelihatan naik turun seakan menahan bengang.

“Kau pun apa kurangnya? Kemain dengan perangai hantu tu.”

Burn ketawa mengejek. Kurang asam jawa betul perempuan ni! Langsung tak takut padanya. Huh!

“Lepas habis mesyuarat ni, kalau kau tak muncul dalam masa lima minit di tempat yang aku cakap tadi, tahulah apa nasib kau!” tiba-tiba jari telunjuk Burn mencucuk-cucuk bahu Aurora, mengugut dengan cara halus.

“Kau pun tunggulah nasib kau bila aku hantar rakaman ni dekat dekan.” Aurora tayang telefon pintarnya. Satu rekod perbualan berbaur ugutan yang baru saja dilakukan oleh Burn ditunjuk. Cekap jarinya menekan butang rekod ketika Burn datang tadi. Baru lelaki itu tahu langit itu tinggi atau rendah. Nak membuli? Maaf. Aurora tahu bagaimana caranya nak jaga diri.

“Kau ingat aku takut?”

“Okey, kalau tak takut pada dekan… tunggulah bila aku muat naik rakaman ni dekat media sosial. Aku tag semua orang dekat kolej ni. Biar sampai jadi viral. Nak?”

“Kau ugut aku?”

“Ugutan kau ni jelas ada dalam rakaman ni. Kau berani tak?”

“Wah… hebat permainan kau ni!” Burn mendengus. Tak guna betul. Dia baru saja nak membuli Aurora tapi diam-diam dia pula yang terkena.

“Kau tunggu nanti!” bisik Burn sambil menolak bahu Aurora lantas berlalu setelah kelibat seseorang muncul di hadapan kelas.

Aurora senyum mengejek. Tahu pun takut!

“Assalamualaikum, semua. Maaf terlambat.” Suara dari depan mematikan konsentrasi Aurora pada lukisan yang masih belum siap. Matanya menyorot ke hadapan kelas. Matanya bertembung dengan mata si jejaka, tuan presiden Kelab Kesenian.

Tidak lama kemudian, tuan presiden bergerak ke meja dan menyusun-nyusun beberapa keping nota yang dibawa bersama. Dua batang pen marker turut diletakkan di atas meja bersama beg sandangnya.

Zafrin bertenggek di hujung meja. Memerhati ke segenap kelas yang masih kelihatan ‘huru-hara’ dan bising.

“Sebelum kita mulakan mesyuarat, boleh korang ke depan dan berkumpul lebih dekat? Senang sikit saya nak bincang tentang projek yang bakal dijalankan,” ujar Zafrin sambil melambai pelajar-pelajar yang masih melepak di belakang kelas.

“Tolong ubah kerusi ke depan. Jangan duduk merata-rata dan buat hal sendiri. Saya tak suka bila saya bercakap di depan, ada yang buat tahi mata di belakang. Lebih teruk lagi, ada yang badannya dekat sini tapi fikiran dia tertinggal di luar. So, please…” panggil Zafrin lagi dengan nada tegas.

“Satu perkara lagi. Tolong disconnect dengan sebarang internet dan media sosial. Tutup playlist lagu dekat Spotify, Joox dan sebagainya. Dan matikan telefon. Do it now!” tambah Zafrin lagi dengan nada sedikit keras. Matanya yang mulanya meliar ke segenap arah di dalam kelas akhirnya berhenti dan terpaku ke wajah Aurora. Gadis itu sedang menunduk, merenung telefon sendiri.

Lagu yang terpasang tadi diperlahankan paras kelantangannya tanpa mempedulikan arahan diktator Zafrin. Eleh, baru saja jadi tuan presiden Kelab Kesenian. Bukannya presiden negara. Itu pun nak kecoh! Kutuk Aurora dalam hati.

“Aurora Ilyssa! Dengar tak apa yang saya cakap tadi?” tak semena-mena Zafrin menyeru namanya. Spontan terangkat wajah Aurora. Pada masa yang sama, segenap lapisan manusia di situ berpaling memandangnya.

“Apa?”

“Ubah kerusi tu. Duduk di depan.” Zafrin bercekak pinggang, menuding ke kerusi yang berdekatan dengannya. Sengaja. Dia hanya mahu Aurora duduk dekat dengannya. Senang dia hendak pantau apa yang Aurora sedang buat. Duduk di belakang, bukannya boleh percaya sangat. Silap-silap dia tertidur nanti!

“Tak apa. Terima kasih ajelah.” Aurora pasang senyuman nipis, melawan kehendak Zafrin.

Apa? Dia ingat dia tuan presiden, sesuka hati saja nak mengarah itu ini? Silap besarlah Zafrin oi!

Sepantas kilat wajah Zafrin berubah. Tambahan terdengar pula tawa sumbang pelajar lain apabila ada yang berani melawan arahannya. Dengan wajah menahan bengang, Zafrin berdehem-dehem dan berpura-pura menyelak helaian nota yang dibawa. Kemudian, nota-nota itu diedarkan ke seluruh kelas.

“Seperti yang kita sedia maklum, kolej kita akan mengadakan Karnival Kesenian secara besar-besaran pada bulan April nanti iaitu kira-kira tiga bulan dari sekarang. Jadi, sebagai Presiden Kelab, saya dengan berbesar hatinya nak melantik beberapa orang untuk mengendalikan projek ni dan membahagi-bahagikan tugas kepada kumpulan kecil untuk kerja-kerja di belakang tabir. Saya mulakan dengan saya sendiri. Saya akan jadi ketua projek ni, diikuti oleh timbalan ketua projek yang akan diisi oleh Syafiq Zahir.” Sepantas kilat Zafrin mengeluarkan senarai nama yang sudah disiapkan terlebih dulu lalu membaca satu per satu nama pelajar yang dipertanggungjawabkan dengan tugasan dan jawatan masing-masing.

Aurora yang hanya memasang telinga mula membuat muka bosan. Kalaulah bukan disebabkan dia diwajibkan menyertai kelab ini, sudah lama dia mengangkat kaki. Dia datang ke mesyuarat hari ini pun semata-mata kerana mahu melengkapkan kehadiran saja. Jika bukan kerana kehadiran dihitung sebagai kredit untuk aktiviti ko-kurikulum, tak ingin dia menunjukkan mukanya di sini.

Malah, dia sendiri tak berminat untuk terlibat dengan projek ini apatah lagi yang melibatkan Zafrin. Sungguh dia tak kuasa. Lebih baik dia pedulikan tentang tugasan kuliah.

Telinga Aurora tiba-tiba saja berdenyut apabila terdengar namanya melantun kuat dari celah bibir Zafrin. Dia pandang lelaki itu. Begitu juga dengan Zafrin.

“Aurora Ilyssa, saya lantik awak jadi pembantu ketua projek untuk Karnival Kesenian ni.”

Wh-what?” mata Aurora membulat, tak percaya. Dia tak salah dengar, kan?

Any objection?” aju Zafrin tegas.

Aurora tidak tahu hendak berkata apa. Dipandang kiri dan kanan. Beberapa pelajar sedang memandangnya. Terdengar sok-sek sok-sek pelajar lain. Malah, ada pula bunyi siulan nakal dan tepukan oleh beberapa pelajar seolah-olah menyokong tindakan Zafrin itu.

“Tuan presiden!” tak semena-mena saja Intan mengangkat tangan dan melaung.

“Ya, Intan?”

“Kalau Aurora tak nak jawatan tu, bagi saja dekat saya. Saya sudi menjalankan segala tanggungjawab dan amanah yang diberikan.” Intan senyum mesra. Sengaja hendak membodek Zafrin agar mengizinkan dia mengambil alih tempat Aurora.

“Aurora?” Zafrin mula tak puas hati. Dia tanya Aurora, diam pula. Tak pasal-pasal Intan yang menyampuk.

“Bagi ajelah dekat dia. Lagipun, korang berdua sesuai bekerjasama.” Ayat terakhir Aurora itu hanya didengari oleh diri sendiri.

Elok sangatlah kalau perempuan kaki report tu yang bekerja dengan Zafrin. Mudah kerjanya. Tak adalah dia terpaksa hadap muka Zafrin selalu. Dekat luar nampak muka Zafrin, takkan kat dalam kelab pun dia terpaksa tengok muka mamat tu? Bosan kut!

Selesai mesyuarat kelab kira-kira satu jam kemudian, Aurora menonong keluar. Panas hatinya berada di situ apatah lagi mengingati semula kejadian satu jam sebelumnya yang menyakitkan hati. Zafrin ni memang! Dasar sengaja hendak mengenakannya. Bukannya Aurora tidak tahu apa yang sedang Zafrin rancangkan. Lelaki itu memang sengaja menjadikannya pembantu ketua projek.

Pintu tandas yang terletak di hujung bangunan fakulti segera ditolak. Beg sandangnya dicampak ke atas sinki. Paip air segera dipulas. Menderu laju air paip yang sejuk lagi dingin keluar dari situ.

Aurora menadah tangan di bawah paip lalu menyimbah air dingin ke mukanya dengan kasar. Bahang panas yang terasa seperti lava dari gunung berapi mulai surut sebaik saja air mengena kulit wajahnya.

Berulang kali Aurora menyimbah mukanya sehingga puas. Sebahagian tudungnya turut basah. Dia tidak peduli. Asalkan hatinya puas. Aurora mengangkat wajah menekur diri sendiri di dalam cermin. Nafasnya yang kencang sejak tadi akibat menahan marah masih lagi berhembus laju. Setitis demi setitis air dari dahi dan kening jatuh menimpa dagu sebelum hilang begitu saja. Wajahnya dikesat. Nafas disedut semahu-mahunya lalu dihela berat.

“Geramnya aku dengan mamat ni. Rasa macam nak tumbuk-tumbuk saja muka dia sampai pecah. Sengaja nak menyakitkan hati aku!” dia membebel melepas bengang yang terbuku di dada sejak dari dalam mesyuarat lagi.

Berbulu betul matanya melihat perangai Zafrin. Malah, telinganya juga turut berdesing apabila asyik mendengar ayat dan panggilan formal Zafrin terhadap dirinya.

“Kenapalah aku kena hadap dia hampir 24 jam? Kenapalah aku terpaksa tengok muka berlagak bagus dia tu?!” Aurora meluah geram sambil menarik-narik tudungnya. Sakit jiwa betullah apabila memikirkan apa yang sudah terjadi. Namun, teriakan dan amukan Aurora terhenti apabila telinganya menangkap bunyi sesuatu.

Aurora terkaku. Kejung tubuhnya bagai baru dibekukan di dalam peti sejuk beku tatkala tersedar sesuatu. Liurnya ditelan dengan begitu payah. Bibirnya ikut menggeletar. Begitu juga dengan tangannya yang sudah menggigil-gigil. Pecutan jantung tak usah cakap. Laju mengalahkan jet pejuang.

Dup! Dap! Dup! Dap!

Peluh renek mula muncul di dahi lalu jatuh perlahan-lahan menimpa pinggir pipi. Dengan gerakan perlahan, Aurora menoleh ke arah kanan.  Pada masa yang sama, sesuatu yang menyebabkan keadaan Aurora berubah mendadak itu turut berpaling. Hati Aurora berubah rentak bagaikan baru dihentam meteor. Darahnya pula terasa seakan-akan disedut keluar daripada tubuh. Wajah Aurora memucat serta-merta.

Sretttt! Sretttt! Sretttt!

Bunyi gigi digosok mengundang seriau. Mata Aurora terpaku. Makhluk yang sedang berdiri di hujung sinki memandang Aurora sambil menyeringai. Jatuh bertimpa-timpa darah dari mulut sehingga membasahi lantai. Berus gigi yang kelihatan seperti dawai tajam terus digosok dan ditonyoh sehingga darah membuak-buak keluar dari mulut. Sebahagian pipi makhluk tersebut tercarik sehingga menampakkan isi, tulang dan darah. Kepalanya pula sedikit terkoyak dengan sebahagian tengkorak yang terzahir jelas di mata. Manakala rambutnya yang cuma beberapa helai melekat-lekat di kulit kepalanya yang sedikit tertanggal.

Srettt! Srettt! Sretttt!

Bunyi gigi digosok terus kedengaran. Tekak Aurora hampir mengembang tatkala dua ke tiga batang gigi jatuh bergolek ke lantai sehingga hampir mengena kakinya.

Makhluk yang dilihatnya tadi tiba-tiba berhenti menggosok. Perlahan-lahan langkah diatur menuju ke arah Aurora. Aurora kaget. Tidak tahu hendak buat apa. Melihatkan wajah makhluk yang begitu hodoh membuatkan dia hampir termuntah apatah lagi setelah terhidu bau yang kurang menyenangkan datang daripadanya.

Sesak dada Aurora dibuatnya. Nafasnya tersekat-sekat seolah-olah dia baru saja dibenamkan ke dalam air secara paksa. Kakinya terundur sehingga badannya berlaga dengan dinding. Aurora mulai cemas apabila tiada ruang untuk dia memboloskan diri. Dengan sisa kekuatan yang tertinggal, Aurora mencapai beg sandangnya dan bergegas keluar dari tandas.

Buk!

Aurora tergolek sebaik saja berjaya membolosi pintu tandas. Nafas Aurora semakin tak teratur apabila terasa ada tangan yang sedang menyentuh bahunya.

“Jangan kacau aku! Pergi!”

“Aurora!”

Aurora tersentak. Perlahan-lahan dia membuka mata dan mendongak. Terlihat Zafrin sedang mencangkung di hadapannya bersama dua kening yang terangkat.

“Kau okey tak ni? Apa dah jadi?”

Aurora mengetap bibir. Baru terasa hendak membalas pertanyaan Zafrin, kepalanya tertoleh ke arah pintu tandas yang terkuak lebar. Kini, jantung Aurora benar-benar terasa seperti hendak tercabut apabila mendapati makhluk tadi sedang berdiri di situ sambil terus menggosok gigi. Lantai di hadapan pintu tandas itu sudah mula dipenuhi dengan darah yang mengalir dari mulut makhluk tersebut.

Ah! Malapetaka apa ni?

Dek kerana cuak dan panik, kelam kabut Aurora mengangkat tubuh dan membawa dirinya jauh dari situ. Zafrin yang tidak faham hujung pangkal hanya terpinga-pinga melihat Aurora berlalu begitu saja.

“Hei, Aurora! Kenapa dengan kau ni? Are you okay?” Zafrin berteriak lalu mengejar Aurora seperti lipas kudung.

“Aku nak balik.”

“Nak balik? Kau… okey tak ni?” sempat Zafrin melelar pergelangan tangan Aurora sehingga gadis itu terpasung di pertengahan jalan. Tubuh mereka hampir saja lagi berlaga.
 Aurora pula mengetap bibir. Jika boleh, dia mahu lari jauh-jauh dari kawasan tandas itu. Dia tidak mahu menoleh dan terpaksa melihat apa-apa lagi yang ada di situ. Dia hanya mahu pulang.

“Aku… okey.” Bohong Aurora. Kepala ditundukkan. Mata merenung tanah. Tidak berani hendak mengangkat muka biarpun Zafrin yang berada di depan mata dan bukannya makhluk tersebut.

Berkerut-kerut dahi Zafrin melihat tingkah Aurora. Pelik. Sekejap dia macam itu. Sekejap dia macam ini. Sekarang, tingkah laku Aurora membuatkan dia semakin tertanya-tanya.

Tell me. What happened?”
Nothing.”
Just tell me. Mana tahu aku boleh tolong?”

Aurora angkat muka, tenung wajah prihatin Zafrin. Spontan tangannya ditarik dari cengkaman Zafrin.

“Tak ada apa-apa yang jadi. Aku cuma nak balik.”

“Kau marahkan aku pasal hal dalam mesyuarat tadi ke?” Zafrin mengungkit. Dia syak Aurora memang marahkannya pasal tadi. Sebab itulah Aurora tak mahu bercakap dan pandang mukanya.

“Tak ada kaitan pun. Sudahlah. Tak ada apa-apa yang aku perlu cakapkan lagi.” Aurora mengatur langkah tetapi sekali lagi Zafrin menahan.

Geram, Aurora menolak tubuh Zafrin lalu mengambil kesempatan dengan melarikan diri ke keretanya. Dia mahu cepat-cepat beredar dari sini. Sebaik kunci kereta dijolok ke lubang kunci, Aurora berteriak setelah kuncinya dirampas oleh Zafrin.

“Apa masalah kau ni, Zafrin?”

“Kau tu… apa masalahnya? Aku tanya baik-baik ni. Kalau kau tak nak cerita, jangan mimpi aku nak pulangkan kunci kau.”

“Zafrin, bagi balik kunci kereta aku. I need to go. Now!” Aurora semakin panik apabila ternampak bayangan makhluk tadi tidak jauh dari kawasan parkir. Makhluk tadi masih terus seperti tadi. Menyeringai menampakkan isinya yang terkoyak dengan darah yang tersimbah merata-rata. Walaupun jaraknya beberapa meter daripada Aurora, dia masih tetap dapat menghidu bau yang meloyakan anak tekaknya.

Pantas Aurora merampas kunci keretanya daripada Zafrin lalu menolak tubuh lelaki itu dengan kasar sebelum tergesa-gesa menghidupkan enjin kereta. Air mata sudah mula menimpa pipi. Esakan kecil kedengaran. Dengan tangan yang terketar-ketar, Aurora memusingkan stereng lantas memecutkan kenderaannya membelah jalan raya.

Zafrin yang masih terpinga-pinga hanya mampu menyaksikan Aurora pergi tanpa sempat mengorek cerita.

“Aurora!”

Dia melaung biarpun sedar panggilannya tak mungkin bersahut. Zafrin menghela nafas panjang. Kepala digosok-gosok. Kaki turut menyepak tanah dan batuan kecil. Kecewa dia. Kecewa kerana tidak mampu berbuat apa-apa.











No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...