Monday, 9 December 2019

AURORA Bab 8 & Bab 9


Bab 8

Perpustakaan pada ketika itu agak lengang. Tidak ramai pelajar yang berada di situ memandangkan jam baru saja menginjak ke angka 4 petang. Kebanyakan pelajar masih berada di dalam kelas. Tamat saja kelas, Aurora dan Mya sama-sama duduk di sebuah meja yang agak terselindung dari pandangan.

Buku rujukan dan buku teks subjek Financial Accounting dibuka. Lelah melihat nombor-nombor yang tertera di atas buku, Aurora melepaskan nafas berat. Ini yang paling dia tak suka. Kena buat tutorial yang berlambak-lambak yang telah dibekalkan oleh Puan Sakinah, pensyarah yang mengajar subjek tersebut.

Tergaru-garu kepala Aurora dek kerana gagal menjawab beberapa soalan killer dalam buku tersebut. Mya yang kusyuk menekan-nekan kalkulator dipandangnya.

“Mya, kau dapat selesaikan soalan nombor tiga tak?”

Mya memanggung kepala, tayang cebikan halus.

“Tak dapat lagi. Aku salah kira kut! Kau pula? Dapat jawapan?”

“Tak.” Aurora tayang gigi. Dia tahu subjek ini memang sedikit susah baginya. Sampai sekarang dia masih belum cekap memahami konsep share, bond, stock dan sebagainya. Puas dia tenung angka-angka di hadapan mata, sudahnya dia hambur nafas mengalah.

“Tak apalah. Kalau macam itu, apa kata kita fokus dekat subjek Encik Dzul dulu. Dah selesai nanti, kita sama-sama buat tutorial Puan Sakinah.” Mya memberi cadangan. Tak sampai hati melihat wajah tertekan Aurora.

Baru saja menutup buku teks dan mengeluarkan satu fail untuk meneruskan perbincangan subjek Company Law, Aurora mengangkat muka. Terkejut apabila mendengar suara Zafrin memanggil namanya. Lelaki itu sedang mara mendekati meja mereka dengan langkah padu. Belum pun sempat hendak berkata apa-apa, pantas Zafrin mengemaskan buku, fail serta alat tulis milik Aurora. Tanpa berlengah-lengah, lelaki itu membawa barang-barang si gadis menjauhinya tanpa sebarang kata. Aurora pula kelam kabut mengejar Zafrin yang sudah melewati pintu perpustakaan dan menuju ke ruang legar.

“Hei, Zafrin. Kau ni dah kenapa?”

Zafrin berhenti tanpa isyarat sehingga Aurora hampir saja lagi melanggar tubuhnya. Ditelek jam di pergelangan tangannya sambil menjongket kening.

“Dah jam 4.30 petang.”

So?” Ah! Tak faham dia dengan Zafrin ni. Dia tahulah sekarang sudah jam berapa. Jadi, apa masalahnya?

“Kau lambat setengah jam. Aku dah pesan tadi, kan? Lupa?”

“Habis tu, siapa yang bagi tiket untuk kau biadap sampai macam ni?”

“Ikut aku.”

“Kau jangan nak buat lawak kat sini, Zafrin. Aku tak pernah berjanji apa-apa dengan kau. Bagi balik barang aku. Ada banyak benda yang aku kena buat hari ni.” Cuba merampas kembali barang-barangnya dari tangan Zafrin, sudahnya dia hanya mampu tercegat di tengah ruang legar setelah Zafrin selamba berlalu pergi.

Get in the car!” arah lelaki itu setelah Aurora tiba di sisi Ferrari merah milik Zafrin yang terparkir di luar bangunan perpustakaan.

Aurora memandang Zafrin dengan pandangan tajam. Jika diikutkan hatinya yang tengah marah, mahu saja dia mencampakkan sneakersnya ke kepala lelaki itu. Dasar tak ada adab!

“Tunggu apa lagi? Nak aku bentangkan red carpet dulu ke?” sinis Zafrin sesudah menarik pintu keretanya buat Aurora.

Hati Aurora berdongkol geram. Wajah ketat ditayang. Rasa macam hendak menangis pun ada apabila dia diarah sesuka hati. Tapi, mengalah dengan Zafrin tidak pernah berada dalam senarai.

Aurora melencongkan langkah. Lantaklah kalau Zafrin nak fikir apa. Tak kuasa dia hendak mengikut saja arahan Zafrin itu. Zafrin bukan siapa-siapa. Lelaki itu cuma anak emas kesayangan daddy dan mommy saja.

“Hei, Aurora! Kau nak ke mana?”

Teriakan Zafrin yang berbaur panik dibuat tak endah. Enjin keretanya dihidupkan. Sepantas kilat dia menghalakan kereta keluar dari perkarangan perpustakaan. Sebaik tiba di bawah blok apartmennya, terdengar ngauman singa merah milik Zafrin.

Ferrari lelaki itu berhenti betul-betul di hadapan Myvi milik Aurora yang baru dimasukkan ke dalam petak parkir. Zafrin keluar, bercekak pinggang memandang gadis itu.

“Kau ni memang tak malu, kan? Nak apa sampai ikut aku ke sini?”

“Nah. Aku nak pulangkan barang-barang kau.” Selamba Zafrin mengeluarkan barang milik Aurora yang dirampasnya tadi. Tetapi, baru saja Aurora hendak menyambutnya… Zafrin segera menarik kembali.

“Ikut aku.”

“Apa masalah kau ek? Dekat library kau dah kacau aku, sekarang dekat sini pun kau nak buat hal? Lebih baik kau pergi sebelum aku buat perkara yang bukan-bukan. Go!” mencerun tajam mata Aurora memandang wajah Zafrin. Merah wajahnya menandakan yang dia benar-benar sudah tidak mampu menahan bengang. Sungguh! Kalaulah mencederakan orang itu bukan satu kesalahan jenayah, memang dia tidak akan teragak-agak hendak menumbuk muka Zafrin. Biar muka yang acah kacak macam model itu pecah dan terluka. Baru padan dengan muka dia!

“Kau tunggu apa lagi, Zafrin?” mata Aurora terpaku ke tangan Zafrin. Ligat jari-jemari lelaki itu menekan skrin telefonnya sebelum melekapkannya ke telinga.

“Daddy Carl. Aurora nak bercakap.” Selamba Zafrin menghulurkan telefonnya kepada Aurora usai suara daddy menyapa gegendang telinga. Aurora pula hanya terpinga-pinga. Jujur dia tak mampu menebak akan apa yang Zafrin sedang lakukan. Ah! Balik-balik daddy. Dasar kaki report!

“Hello. Daddy.” Aurora menjawab perlahan. Mukanya berubah-ubah ketika mendengar kata-kata daddy dari dalam talian. Sesekali matanya menjeling Zafrin yang masih tercegat di hadapannya. Sesekali dia melepaskan keluhan pendek. Sesekali dia mendengus kuat.

Zafrin yang sedang bertenggek di boot Myvi Aurora hanya memerhati tingkah si gadis yang terus menikus apabila bercakap dengan daddy di talian. Senyuman kemenangan terukir di bibir. Bijak, Zafrin! Bijak!

Aurora mengangkat muka, merenung kembali wajah Zafrin seakan-akan mahu mencekik-cekik lelaki itu.

“Okey, daddy. Adik minta maaf.”

Panggilan segera ditamatkan. Jelingan maut dihantar kepada Zafrin yang sedang tersenyum-senyum bahagia. Telefon pintar milik lelaki itu pantas dicampak kepadanya. Kelam kabut Zafrin menyambut sambil berdecit halus.

“Kau ni memang sengaja, kan? Tak habis-habis nak menggunakan daddy aku untuk kepentingan kau. Jadi anak jantan sikit boleh tak?”

“Tak cukup jantan ke aku ni?” Zafrin tenung diri sendiri dari atas sehingga ke bawah sebelum tersengih-sengih. Saja bertanya soalan bodoh untuk menambahkan kemarahan Aurora. Sungguh dia suka melihat wajah kemerah-merahan gadis itu. Nampak begitu comel dan menarik. Pintu Ferrari dikuak. Memberi isyarat agar Aurora segera masuk tanpa alasan. Sudahnya, Aurora pasrah!

Kau siap, Zafrin. Hari ini kau menang. Esok lusa belum tentu lagi.


  


BAB 9


Aurora merenung gelas jus yang masih penuh. Sejak dia selesai bersolat tadi, dia hanya mampu duduk sambil menadah telinga mendengar perbualan di antara Zafrin dan juga Ricky iaitu salah seorang anggota kumpulan muzik yang bernaung di bawah label Music Wave yang dimiliki oleh Anggerik iaitu ibu Zafrin.

Buku nota dan pen di atas riba bagaikan tiada fungsi. Kerana setiap perbualan Zafrin langsung tak memberikan sebarang maklumat untuk dicatatkan ke dalam buku. Bosan, Aurora bingkas dari sofa dan bergerak ke satu sudut. Meninjau-ninjau rak dan hiasan dinding yang kebanyakan dipenuhi dengan berita kejayaan Music Wave dalam industri muzik Malaysia.

Kagum, Aurora berhenti sejenak di hadapan sebuah rak. Beberapa bingkai gambar ditenung. Di antaranya ada wajah-wajah penyanyi popular yang bernaung di bawah Music Wave. Dan terselit juga wajah Zafrin, yang merupakan salah seorang komposer muda yang pernah memenangi anugerah muzik beberapa tahun lepas. Aurora mencebir. Eleh. Acah popular la tu!

“Hei, bro. What’s up?” tak semena-mena terdengar suara seorang lelaki dari muka pintu. Aurora menoleh. Terlihat wajah vokalis kumpulan Butterfly iaitu kumpulan muzik yang sedang popular dan menjadi fenomena di seantero negara. Sempat Aurora dan Ivan berlaga mata sebelum lelaki itu bergerak mendekati Zafrin. Salam bersambut. Pelukan bertaut. Ketawa bersahutan. Bagai teman lama yang sudah lama tidak bersua muka.

“Apa cerita? Lama kau tak datang sini?” aju Ivan lalu duduk bertenggek di pemegang sofa bersebelahan Zafrin.

Busy dengan kelas.”

“Ada lagu baru ke?”

“Kenapa? Kau nak lagu aku ke?”

“Weh, gila tak nak? Komposer hebat kut!” Ivan menepuk-nepuk bahu Zafrin sebelum ketawa-ketawa.

Nampak wajah bangga Zafrin yang bercampur malu-malu kucing, Aurora mencebir lagi. Haih, bosan gila. Takkanlah dia datang ke sini semata-mata nak mendengar orang lain memuji Zafrin? Buang masa betullah.

Tanpa berlengah, selamba Aurora mencapai beg dan buku notanya. Niatnya untuk beredar kerana tidak selesa berada di antara makhluk yang bernama lelaki dimatikan oleh suara Zafrin.

“Nak ke mana?”

“Keluar.”

“Duduk sini.” Zafrin tepuk-tepuk sofa di sebelahnya.

Aurora tercegat di depan pintu. Pandang Zafrin. Kemudian, pandang Ricky dan akhirnya pandangannya jatuh ke wajah Ivan. Ketiga-tiga lelaki itu sedang merenung dia.

Awkward!

Sudahnya, Aurora mengalah.

Lima minit kemudian, masih tiada tanda-tanda yang dia perlu mencatatkan sesuatu di atas buku hasil perjumpaan Zafrin dengan dua pemuzik itu. Telefon pintar dikeluarkan. Fon telinga bersedia disumbat ke telinga. Mengharap akan masa segera berlalu.

“Jadi, kau datang sini ada apa?” aju Ivan. Sempat lelaki berambut perang dan berpakaian seperti penyanyi rock itu mengerling Aurora yang hanya menunduk memandang telefonnya.

“Nak jumpa Ricky. Nak jemput band dia perform dekat karnival di kolej aku.”

“Jemput band Ricky aje? Butterfly?”

“Weh, payment korang tinggi sangat. Tak mampu pihak kelab nak bayar nanti.” Zafrin mengekek ketawa.

“Takkan dengan kawan-kawan pun aku nak berkira? Cakap aje bila. Aku sudi aje nak perform kat sana nanti. Free of charge. Tapi…” Ivan senyum penuh makna. Dijeling sekali lagi Aurora yang masih tersekat di dalam dunia yang tersendiri.

“Kenalkanlah dulu dengan cik adik di sebelah kau tu, Zaf.” Ivan tayang gigi lawanya.

Sejak dia masuk ke bilik perbincangan ini, matanya susah betul hendak beralih daripada memandang Aurora. Pertama kali bertemu secara dekat buat dia sudah mula jatuh suka. Gadis itu nampak istimewa di matanya. Tidak banyak bercakap. Suka buat hal sendiri. Jujur dia suka gadis sebegitu. Orang kata, spesis rare. Dan gadis rare seperti Aurora itu memang menjadi ‘kegilaan’nya.

Apatah lagi dia ternampak Aurora keluar dari bilik solat tadi. Wajah tanpa solekan. Pakaian yang ringkas dan menutup aurat tetapi masih mampu menyebabkan jantungnya bergetar.

“Oh, ni Aurora.” Zafrin tak teragak-agak memperkenalkan Aurora kepada Ivan.

Girlfriend?”

Zafrin ketawa. Aurora angkat muka.

Dia jadi kekasih Zafrin? Heh! Mati hidup semula pun dia tak mahu. Kemudian, mata dilarikan kepada Ivan yang turut ketawa bersama Zafrin.

“Junior aku,” terang Zafrin semula.

“Oh, kemain ek? Bawa junior sampai ke sini.”

“Pasal hal kelab, kenalah bawa sekali.” Zafrin pandang Aurora yang sedang menayang wajah toya kepadanya.

“Aurora… kau kenal dengan Ivan, kan? Vokalis kumpulan Butterfly?”

Aurora angguk sekali. Sengaja nak menjaga air muka orang. Karang, kalau dia kata tak kenal… menangis pula Ivan dekat sini. Yalah, kumpulan tu dikatakan popular tetapi masih ada orang yang tidak mengenali mereka. Macam Auroralah. Dia bukannya layan pun band dan pemuzik dari Malaysia. Yang dia kenal band dari Barat. Lagi pun, dengar saja nama Butterfly membuatkan dia terasa macam nak tergelak.

Kalau diukur daripada segi pakaian dan pembawakan Ivan, nama Butterfly tu langsung tak sesuai dengan imej lelaki itu. Sungguh, tak sesuai!

 “Aku macam pernah nampak Aurora sebelum ni. Kita… pernah terjumpa dekat mana-mana ke Aurora?” Ivan pandang Zafrin dan Aurora bersilih ganti.

Ayat mengurat mula dihulur, membuatkan muka beku Aurora berubah. Mamat ni salah orang kut? Atau sengaja nak cuba-cuba buka langkah tunjuk skil depan perempuan.

“Kau mungkin pernah dengar nama Tuan Carliff Andre, kan?”

“Kenapa dengan dia?”

“Aurora anak Tuan Carliff…”

I see…” terangguk-angguk Ivan dibuatnya setelah sebaris nama itu meniti di bibir Zafrin. Siapa yang tidak kenal dengan Tuan Carliff Andre, seorang jutawan yang terkenal di Malaysia? Kerap masuk tabloid, portal hiburan, surat khabar, televisyen dan majalah-majalah perniagaan.

Malah, Butterfly pernah diundang untuk membuat persembahan pada majlis makan malam tahunan syarikat lelaki itu sebelum ini. Tak sangka pula bahawa lelaki kaya itu ada anak perempuan seperti Aurora.

“Kau jangan nak tenung lama-lama. Junior aku ni.” Zafrin menepis bahu Ivan yang asyik sekali memandang Aurora sejak tadi. Macam nak terjojol mata lelaki itu melihatnya seolah-olah Aurora sedang berbikini. Sakit juga hatinya melihat kelakuan Ivan itu.
Ivan ketawa-ketawa.

“Alah, tenung sekejap pun tak boleh. Tak luaklah. Lagi pun, junior kau aje kan?”

Zafrin memicingkan mata sebelum tersenyum herot.

“Apa cerita dengan lagu baru Butterfly? Dah berapa juta tontonan di YouTube?”

“Hari pertama keluar saja dah capai 1.1 juta tontonan.”

“Pergh!”

“Zafrin, bila nak balik?” Aurora tiba-tiba mencelah. Letih mendengar celoteh lelaki-lelaki ini. Lagi pun, jam sudah bergerak ke angka 6.30 petang. Berapa lama lagi agaknya lelaki ini mahu duduk di sini dan berbual-bual kosong?

“Kejap. Lima minit.”

Aurora memutarkan mata. Bencilah! Lima minit konon. Silap-silap, mahu jadi lima jam.

“Aku nak pergi tandas.” Menonong Aurora bangkit meninggalkan Zafrin dan yang lain.

Sepuluh minit berlalu, Zafrin sudah menanti Aurora di luar tandas. Berpeluk tubuh dan bersilang kaki sambil bersandar ke dinding, menunggu si gadis selesai membuat urusan di dalam sana.

“Kenapa lama sangat dekat dalam tu?”

“Kau tu yang lama. Lain kali, kalau tak ada urusan penting nak dibincangkan… jangan susah-susah ajak aku datang sini.” Aurora memprotes. Geram sungguh! Kalaulah dia tahu yang Zafrin nak buat macam ni, memang dia tentang habis-habisan sejak awal. Lebih baik dia duduk di rumah dan siapkan tugasan kuliah.

“Ivan kirim salam,” ujar Zafrin tiba-tiba tatkala dia mengekori langkah Aurora ke luar premis bangunan Music Wave.

“Lagi?” nada memerli, Aurora menjeling nipis kepada Zafrin.

Ini mesti ada apa-apa lagi yang mereka bualkan pasal dia. Entah-entah si Zafrin ni siap kutuknya lagi di depan Ivan dan Ricky.

“Jawablah salam tu. Tak jawab, berdosa.”

“Jawab dalam hati.” Aurora mencebir.

“Sombong,” komen Zafrin perlahan lalu menarik pintu kereta buat Aurora.

“Aku junior kau. Bukannya girlfriend kau. Lepas ni, tak payah rajin sangat nak tolong bukakan pintu untuk aku.” Selamba Aurora melanggar bahu Zafrin dengan bahunya dan mematungkan diri di kerusi penumpang.

Zafrin tersenyum senget. Ada-ada sajalah Aurora ni!

“Apa lagi yang kau cerita pasal aku dekat penyanyi kumpulan Butterfly tu?” Aurora menyoal ketika Ferrari merah membelah jalan raya. Merenung Zafrin yang tenang-tenang memandu seperti hendak menelan lelaki itu hidup-hidup, Aurora nantikan jawapan dengan rasa sabar yang hampir hilang.

“Siapa? Ivan?”

“Siapa lagi? Takkan kau pula vokalis kumpulan tu? Suara kau sedap sangat ke?” terang-terang dia mengutuk Zafrin demi hendak membalas dendam. Puas hatinya!

Zafrin ketawa-ketawa.

“Aku tak cerita apa-apa pun.”

“Habis tu, kenapa siap kirim salam dekat aku? Ini mesti ada apa-apa. Baik kau cakap!”

“Tak ada apa-apalah. Kau ingat mulut aku ni mulut tempayan ke? Lagi pun, kenapa kau nak menggelabah sangat kalau betul aku ada cerita apa-apa dekat dia? Kau ada buat salah ke?”

Aurora menjeling meluat. Terkena pula dia. Zafrin ni memang sengaja. Kalau tak sakitkan hati dia satu hari, tak lengkap hidup lelaki itu.

Zafrin tertawa lagi, bagai mengejek Aurora dalam tak sedar.

“Aku tak suka orang bercakap pasal aku dan ambil tahu hal aku.” Memang dia benci. Dia rimas bila Ivan asyik memandang dirinya dan menyoal Zafrin tentangnya tadi. Dia saja buat-buat pekak. Padahal dia dengar setiap inci bicara mereka.

“Terima hakikat, Aurora. Kau anak Daddy Carl dan Mommy Alisa. Semua orang kenal daddy dan mommy. Automatik orang akan turut kenal dengan anak-anak diorang. Tak banyak, sikit pasti ada. Macam Ivan…”

Aurora mendengus. Hisyh! Balik-balik Ivan. Tak ada nama lain ke yang nak disebut? Malas hendak memanjangkan isu yang tak seberapa dengan Aurora, Zafrin membelokkan Ferrari ke satu persimpangan menuju ke sebuah stesen minyak. Tiba-tiba pula terasa hendak ke tandas. Mencicit dia berlari ke dalam tandas setelah memesan agar Aurora menunggunya di dalam kereta.

Aurora mendengus apabila enjin kereta dimatikan oleh Zafrin. Mahu mati kejung dia kat dalam kereta kalau dia menurut saja kata-kata Zafrin. Langsung, langkah dibawa keluar. Duduk bertenggek sekejap di tubuh Ferrari. Seminit di situ, Aurora mula dipandang dan dijeling pemandu kereta yang melintasi. Kemudian, terdengar pula siulan nakal daripada beberapa mat motor yang baru meletakkan kenderaan mereka tidak jauh daripada Ferrari.

Isk, tak ada kerja betul! Aurora mengeluh panjang. Kenapalah masa terlalu lambat bergerak? Si Zafrin ni pun satu. Apa yang dibuat lama sangat di dalam tandas? Tolong mak cik cleaner bersihkan tandas ke?

Jam di belek. Jarum sudah melepasi angka 7.20 malam. Hanya beberapa minit saja lagi akan memasuki waktu maghrib.

Langit yang masih cerah dipandang. Burung-burung yang berterbangan di angkasa mula menuju pulang ke sarang. Ralit Aurora memandang sekawanan burung yang hinggap di dahan sebatang pokok tidak jauh dari situ.

“Manalah mamat ni? Lamanya pergi tandas. Lupa jalan nak balik ke?” Aurora menggumam dan terus merenung jam tangannya seperti hendak tembus.

Sudahnya, Aurora mencapai telefon pintarnya dan cuba menghubungi Zafrin tetapi nada dering yang melantun dari kerusi pemandu dan bergema-gema ke seisi kereta menyebabkan Aurora segera menamatkan panggilan. Telefon Zafrin yang terselit di celah kerusi dicapai.

“Isk! Boleh pula dia tinggalkan telefon dalam kereta.”

Tengkuk digaru-garu. Tudung dibetulkan. Lengan baju disingsing hingga ke siku. Mamat ni, kalau satu hari tak menyusahkan dia… memang tak sah. Kau tunggu kejap lagi, Zafrin. Kau tunggu!

Pintu kereta dihempas membuang bengang.

“Tak boleh jadi ni. Entah-entah dia tertidur kat dalam tandas. Lebih baik aku pergi cari dia dan heret dia masuk kereta.”

Nekad, Aurora melangkah menghampiri pintu tandas yang berada di bahagian belakang stesen minyak dan agak tersorok daripada pandangan umum. Pintu tandas lelaki diketuk-ketuknya berulang kali. Namun, tiada jawapan yang diterimanya.

“Zafrin!”
Diam.

“Zafrin, kau buat apa lama sangat dekat dalam tu? Tak reti keluar ke? Cepatlah! Aku nak balik ni. Dah dekat maghrib!” sekali lagi Aurora melaung sambil mengetuk-ngetuk pintu tandas.

Masih diam. Tiada tanda-tanda ada orang di dalam sana. Aurora bercekak pinggang, melawan rasa bengangnya dengan cara membetulkan postur tubuh.

“Weh, Zafrin! Kau dengar tak ni?” Aurora sudah mula tidak tenang. Dia bermundar mandir di hadapan pintu tandas sambil mengomel geram. Tetapi, kelibat Zafrin masih belum kelihatan.

Sakit hati apabila panggilannya tidak bersahut, Aurora berkeputusan untuk segera beredar. Mungkin Zafrin sudah keluar dari tandas dan sedang berada di dalam kedai serbaneka di bahagian hadapan.

Sebaik saja melangkah menjauhi kawasan tandas, Aurora tiba-tiba terpatung. Langkahnya berhenti secara mengejut. Mata sudah mula terkebil-kebil. Dadanya turut terasa berat semacam seperti sukar untuk bernafas. Dia mula kebingungan. Dipandang dan dihalakan bebola matanya ke sana ke mari, melihat kawasan sekeliling. Semata hendak memastikan yang dia tidak tersalah lihat. Yakin dia tidak bermimpi, tangan naik mencubit pipi sendiri.

Auch! Sakit. Sah. Dia memang tak bermimpi atau berhalusinasi.

Mulalah hatinya dilanda perasaan cemas. Peluh muda mula berjejeran di dahi. Kawasan yang tadinya masih terang dan terbias sisa cahaya matahari sudah bertukar menjadi gelap. Manakala kawasan berdekatan tandas yang agak lengang tadi sudah bertukar menjadi sebuah….

Tanah perkuburan!

Hati Aurora dihentam cuak bagai batu meteor yang menghentam permukaan bumi. Tangannya mula mengigil. Diraba-raba poket seluarnya, cuba mencari telefon sendiri tetapi gagal. Dia mula panik setelah teringat tentang telefonnya. Cuai! Telefonnya itu telah dicampakkan ke atas kerusi kereta setelah dia menelefon Zafrin tadi.

Aurora cuba menelan liur. Kesatnya sama terasa seperti kertas pasir yang digosok ke atas kulit muka. Di mana dia berada sekarang ini? Apakah dia telah tersesat sehingga ke satu kawasan asing? Atau…

Aurora tidak mahu berfikir panjang. Diaturkan langkah keluar dari tempat dia berdiri sejak tadi. Tanpa tujuan, tanpa rancangan… dia susun langkah satu per satu melewati kubur-kubur yang berselerakan. Batu-batu nisan yang berceracak menyebabkan darjah kepanikannya naik seribu kali ganda.

Dikuatkan hati. Sambil berdoa dengan mulut yang terkumat kamit melafaz kalimat suci tuhan, akhirnya dia ternampak satu cahaya dari arah sebuah pondok yang terletak di tengah-tengah kawasan perkuburan itu. Nafas ditarik. Dia yakin, ada seseorang yang sedang menantinya di situ. Mungkin akan ada bantuan yang bakal dihulur kepadanya. Dengan pantas dia ke sana, cuba mencari ihsan dan pertolongan.

Kelihatan cahaya tadi samar-samar, terhasil daripada lampu minyak gas. Aurora berhenti di hadapan pondok. Mencari gerangan manusia yang boleh diminta bantuan.

“Ass… assalamualaikum… to… tolong saya.” Suara bergetar. Air mata turut bertakung.

Cahaya dari lampu minyak gas tiba-tiba terpadam. Tak semena-mena saja bergolek jatuh gumpalan-gumpalan tanah merah sehingga ke kaki. Begitu juga dengan dedaun kering yang turut berterbangan bagaikan menyambut kedatangannya. Bunyi angin menyapa pendengaran. Sungguh asyik tetapi membimbangkan.

Aurora berundur setapak demi setapak sebelum pantas berlari setelah yakin tiada sesiapa di dalam pondok itu. Kakinya melangkah dengan hanya mengikut kata hati. Ke kiri hati suruh, ke kirilah kakinya melencong. Begitu juga sebaliknya. Bulu roma sudah menegak-negak di belakang tengkuk. Tak berani hendak memandang belakang kerana terdengar bagai ada seseorang yang sedang mengekorinya dari jarak yang dekat.

Bunyi ranting kayu bagai dipijak orang menambahkan panik. Sungguh, dia terasa hendak menangis. Kenapa dia diuji sehingga begini? Kenapa dia perlu tersesat di sini?

Tuhan, tolong aku!

Pap!

Aurora gagal mengawal keseimbangan tubuh. Kakinya baru saja tersepak salah satu batu nisan yang berceracak. Spontan tubuhnya melayang sebelum kepalanya terhentak ke hujung batu sebuah kubur. Nafas Aurora memperlahan dengan sendiri. Pandangannya mulai gelita. Berbalam-balam pemandangan di sekelilingnya. Pendengarannya turut menghilang sedikit demi sedikit, diganti rasa kesakitan yang tak terperi. Perlahan-lahan Aurora hanyut ke dalam dunianya yang tersendiri.


No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...