Friday, 6 December 2019

AURORA Bab 6 & Bab 7


Bab 6

Suasana di kafeteria utama kolej hingar-bingar. Aurora duduk berseorangan melayan diri sambil memenuhkan perut dengan makanan tengah harinya sebaik saja kelas tamat. Tidak sempat hendak menelan nasi, tiba-tiba saja dia tersedak apabila disapa oleh Zafrin secara mengejut.

Fuh semangat!

Lekas-lekas dia mencapai air lalu menyedutnya sehingga licin. Tekaknya yang sedikit perit digosok-gosoknya sambil menghantar jelingan mautnya kepada Zafrin. Lelaki itu sudah siap duduk di hadapan Aurora tanpa dipelawa. Wajah selamba lagi tak bersalah ditayang. Sedikit pun dia tak rasa kasihan melihat Aurora tersedak. Malah, dengan sengaja menayang gigi putih bersihnya yang mengalahkan model iklan ubat gigi.

“Seorang?”

“Ada nampak orang lain kat sebelah aku?” Aurora mencebik. Meluat betul dengan soalan bodoh Zafrin itu.

“Sejak semalam aku call kau, tapi sekali pun kau tak jawab. Aku mesej pun kau tak balas. Kau okey tak ni?” aju Zafrin dengan wajah menayang risau.

“Okey la kut,” jawab Aurora acuh tak acuh sambil menguis-nguis saki baki makanan di dalam pinggan. Sugul wajahnya ditayang tanpa selindung. Teringat kejadian semalam buat dia tak ingin menjawab sebarang panggilan dan mesej daripada sesiapa.

Balik dari kolej, dia hanya berkurung di apartmennya. Dia cuma menghabiskan masa dengan menyiapkan lukisannya sehingga tengah malam. Apabila siap, baru dia dapat melelapkan mata dengan harapan apabila bangun pagi, dia mampu untuk membuang jauh-jauh sisa ingatannya tentang kejadian semalam.

Sekarang, dia benar-benar sudah boleh melupakan apa yang berlaku. Cuma… dia masih belum mampu melupakan apa yang dilakukan Zafrin ketika dalam mesyuarat dan ketika dia hendak pulang.

“Kau nak apa ni?” segenap wajah Zafrin dipandangnya. Isk, meluat betullah! Mamat ni kan... tak boleh tengok dia senang sikit. Kat mana-mana dia pergi mesti ada saja mukanya. Dah macam saka. Mengekor saja kerjanya!

“Aku nak cakap dengan kau hal kelab.”

Sorry. Aku sibuk.”

“Sibuk amende? Kau tengah makan, kan? Bukannya sibuk buat assignment.”

“Aku tengah makan maknanya aku sibuk la. Dah, kau pergilah. Jangan kacau aku.” Selamba Aurora menghalau Zafrin biarpun nada suaranya tidaklah keras dan tinggi mana. Tak kuasa rasanya hendak melayan lelaki ini. Hari-hari menayang muka, tak jemu ke?

“Berhenti makan sekejap.” Pinggan Aurora ditarik lalu diletak jauh dari gadis itu sehinggakan mata Aurora membulat.

“Eh, kau ni sejenis manusia tak ada adab ke?”

Zafrin mencebir dan mengangkat bahu. Tak kesahlah Aurora mahu menggelarnya apa sekali pun. Dia tidak peduli.

So, memandangkan kau dah tak sibuk… boleh kita bincang?” Zafrin hulurkan senyuman manis.

“Bincanglah cepat!” Aurora memprotes tindakan Zafrin. Kacau daun betullah! Nak makan pun tak senang!

Tangan disilangkan ke dada. Tubuh disandarkan ke kerusi. Mata dipakukan ke wajah Zafrin. Sedikit tajam. Menahan hangat hati dek kerana perbuatan Zafrin yang tak menghormati waktu makannya.

“Petang ni kau ikut aku jumpa orang.”

“Ini yang kau kata bincang? Huh. Ini bukan bincang tapi satu arahan.” Jari telunjuk Aurora naik ke hadapan muka Zafrin.

“Kau nak ajak aku jumpa siapa? Presiden USA? Eee… kalau satu hari tak menyusahkan aku tak boleh ke?”

“Tak.” Zafrin tersenyum tenang, sengaja mengusik Aurora. Seronok melihat wajah kemerah-merahan Aurora apabila gadis itu marah. Sungguh, dia benar-benar suka melihatnya.

Sorry, aku tak berminat nak pergi. Ajak orang lain.”

“Hei, jangan nak berangan tolak ajakan aku. Ingat sikit yang kau tu assistant aku.”

So what?”

So what kau cakap? Kau nak aku tulis laporan tak best pasal kau ke? Nanti terjejas rekod ko-kurikulum kau, kau marah aku pula.”

“Tak habis-habis nak gertak aku. Kau ingat aku takut? Heh! Jangan cari pasal dengan aku, Zafrin.” Aurora menjeling meluat.

“Kau ingat aku tak tahu apa yang kau buat dekat belakang aku? Kau fikir aku tak tahu semua ni kerja kau? Kau sengaja lantik aku jadi assistant kau supaya kau boleh kenakan aku, kan?” duga Aurora.

“Tak ada maknanya aku nak kenakan kau. Untuk pengetahuan kau, hal perlantikan kau jadi assistant aku tu… semuanya kerja Encik Fikran.” Zafrin mempertahankan diri apabila dituduh.

Sememangnya perihal di dalam kelab memang Encik Fikran yang berkuasa. Penasihat kelab merekalah yang bertanggungjawab atas semua. Dia hanya menjalankan kerja mengikut arahan Encik Fikran. Lagipun, perihal semalam itu Encik Fikran yang beria-ia mahukan Aurora dalam jawatan itu dan meminta mereka berdua bekerjasama dalam projek mega ini. Jadi, dia hanya turutkan saja.

“Apsal Encik Fikran lantik aku jadi assistant kau? Kenapa tak lantik orang lain aje?”

“Manalah aku tahu. Kau pergilah tanya dia.”

“Eee… menyusahkan betul. Kalaulah ada senapang gajah kat depan mata aku ni, nak aje aku tembak dia ni sekali dengan Encik Fikran.” Aurora mengomel geram.

“Kau cakap apa?”

Nothing.”

“Petang ni jam 3 tunggu aku dekat ruang legar fakulti. Aku ambil kau di sana.”

“Pukul 3 aku ada discussion dekat library. So, the answer is no.”

Discussion apa?”

“Takkan la semua benda yang aku nak buat perlu maklumkan dekat kau?”

“Kau sebenarnya ada discussion atau buat-buat ada discussion?”

“Melebih la kau ni. Aku ada banyak assignment dan tutorial yang nak disiapkan. Pukul 3 memang aku betul-betul ada discussion. Lainlah kau… sejenis manusia yang tak pernah buat assignment. Semuanya budak-budak kuli yang tolong buatkan untuk kau. Yalah, tuan presiden Kelab Kesenian dan kapten pasukan ragbi la katakan. Mana ada masa untuk semua tu. Kan?”

“Hei, jangan buat fitnah tau. Tak cium bau syurga nanti!” Zafrin menempelak. Geram pula apabila dituduh sebegitu rupa biarpun dia sedar yang Aurora sebenarnya tak ada niat apa-apa.

 “Eleh, tak nak mengaku pula.” Aurora memutarkan bebola matanya ke atas.

“Kau dengar sini, Aurora. Walaupun aku ni sibuk dengan persatuan, kelab dan sukan… aku masih tahu tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan sebagai…” kata-kata Zafrin terhenti. Bebola matanya menari-nari di ruang wajah Aurora.

“Sebagai apa?”

“Sebagai senior kau,” sambung Zafrin setelah mencuci-cuci tekaknya.

“Dan kau sebagai junior aku… buat cara macam junior.”

“Ceh! Senior tahi kucing. Kau tak payah nak berlagak bagus sangat dengan aku. Kau tu sebaya aje dengan aku jadi tak payah nak bersenior-junior bagai dekat sini. Di kolej ni, tak ada siapa yang boleh pijak kepala aku. Jangan fikir kau anak emas kesayangan daddy aku, kau boleh buli aku. Kau kena ingat tu!”

Good,” ujar Zafrin rendah lalu tiba-tiba memasang senyuman senget.

“Daripada sudut umur, kita memang sebaya. Tapi, kau kena ingat. Aku pelajar tahun akhir di kolej ni. Kau pula baru masuk tahun dua. Jadi, tolong hormat aku sebagai senior.”

“Eh-eh. Hormat celah mana? Tak ada undang-undang dan peraturan pun yang menetapkan seorang junior kena hormat senior dia kalau senior dia sendiri perangai mengalahkan Firaun!” Aurora menyerang balas kerana tidak mahu memberi muka kepada Zafrin. Dia fikir dengan bergelar pelajar tahun akhir, sesuka hati saja hendak mengarah itu ini?

“Malaslah aku bercakap dengan kau ni!” Zafrin segera bangkit. Letih bercakap dengan Aurora. Nampaknya, dia mungkin masih perlu beralah dengan gadis seperti Aurora. Namun, perlahan-lahan dia mendekati Aurora dan berbisik dekat dengan telinga gadis itu setelah menyuakan kembali pinggan Aurora.

“Tepat jam 3 petang, tunggu aku kat ruang legar fakulti. Aku tak nak dengar apa-apa alasan pun. Faham?” sesudah itu, Zafrin lekas-lekas berlalu pergi meninggalkan Aurora terkebil-kebil seorang diri.

***

Pulang setelah menemani Zafrin berjumpa orang di sebuah restoran petang itu, Aurora segera memarkirkan kenderaannya dan bergegas ke lif. Menyumpah-nyumpah dia dalam hati dek kerana dipaksa Zafrin. Butang lif ditekan-tekan. Nombor di tepi pintu lif segera dipandang. Kenapalah dekat senja macam ni lif lambat sangat sampai? Terhegeh-hegeh!

Aurora mengeluarkan telefon pintar sebaik terasa getaran di poket seluarnya. Mesej daripada Zafrin.

Jam 4 petang esok ikut aku ke satu tempat. Aku tunggu kat tempat biasa.

Aurora mencebik. Zafrin fikir dia siapa hendak mengarah-arah sesuka hatinya? Tahulah dia tu tuan presiden Kelab Kesenian. Tapi, dia tak ada hak nak mengarah itu ini. Langsung Aurora membalas…

Mimpi ajelah. Esok aku sibuk. Banyak kelas. Ajak orang lain.

Jangan tipu. Kelas kau habis pukul 3.30 petang. Kau cuma ada satu kelas aje esok. So, tunggu aku kat tempat biasa.

“Eeee… mamat nilah! Menyakitkan hati!” menggerutu geram Aurora dibuatnya. Belum puas menyumpah Zafrin, terdengar derap tapak kaki dari arah kiri. Spontan dia menoleh. Sesaat, matanya berlaga dengan mata si jiran sebelah. Segak gayanya sama seperti ketika di awal pagi. Masih kemas. Masih rapi. Dan masih wangi. Sempat Aurora menjeling pakaian yang tersarung di tubuh.

Memang ada gaya walaupun hanya berkemeja dan berslack biasa. Tapi, perangainya yang biadap dan kuat menyeranah orang itu yang paling Aurora tak tahan. Muka kacak dan gaya mempesona seperti orang kayangan sekali pun, kalau perangai ke laut… terus dia nampak lelaki itu begitu hodoh. Sama hodoh macam makhluk di dalam tandas yang pernah dilihatnya. Aurora pandang depan, cari angka di tepi pintu lif. Ya Allah! Kenapa lambat sangat lif ni? Rosak ke apa?

Berkira-kira hendak menunggu, akhirnya Aurora melencongkan langkah ke arah tangga kecemasan. Pada masa yang sama juga, jiran sebelah turut mengatur langkah ke arah yang sama. Sehinggakan ketika Aurora hendak menolak pintu, si jiran juga ikut sama menolak. Kedua-dua berhenti di hadapan pintu, saling berpandangan sesama sendiri. Agak lama Aurora memandang si dia. Begitu juga dengan dia yang turut memandang Aurora dengan muka berkerut-kerut.

Mata Aurora dilarikan ke arah tangannya yang berada di pemegang pintu sebelum kembali menatap mata si dia. Jongket kening sebelah, hulur isyarat. Minta si dia alihkan tangannya yang berada di atas tangan Aurora. Spontan si dia menyapu dan mengesat tangannya pada kemeja sebelum bergegas memanjat tangga. Aurora mencebik.

Eleh! Poyo betul! Macamlah tangan aku ni ada virus. Dia yang sesuka hati pegang tangan aku, lagi nak tunjuk bagus! Puas Aurora mengomel dalam hati. Sampai di muka pintu setelah berpenat lelah memanjat anak tangga menuju ke tingkat 9, Aurora menggagau kunci dari dalam beg. Dapat saja kunci, dia terus masukkan ke dalam lubang pintu sebelum kunci tiba-tiba terjatuh ke lantai.

“Menggelabah!”

Terdengar suara sarkastik dari pintu sebelah. Aurora panggung kepala, mencari bayang si dia yang baru berlalu ke dalam.

“Biadap.” Komen Aurora.


Bab 7


Aurora memandang kanvas lukisan di depan mata. Sesekali comotan di beberapa sudut lukisan dibetulkan sebelum dia membuat sentuhan terakhir dengan menulis nama sendiri di bahagian bawah lukisan. Komputernya didekati. Peti e-mel dibuka dan menaip alamat seseorang.


Assalamualaikum w.b.t

Lukisan dah siap. Esok saya akan hantar lukisan ke galeri. Nanti tolong cari pembeli dan dapatkan harga yang berpatutan.
Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Aurora Ilyssa Carliff Andre

Nafas lega dilepas panjang. Lukisan yang telah siap dipandang dengan senyuman kecil. Buku lukisan dicapai kemudiannya. Sehelai demi sehelai diselak. Satu per satu. Daripada muka surat pertama. Sehinggalah ke muka surat terkini. Aurora tenung lama lukisan tersebut.

Terimbas semula kejadian di tandas beberapa hari sudah. Dia tidak menjangka bahawa dia mampu menyudahkan dua lukisan dan memindahkan ideanya ke atas kanvas lukisan dalam masa yang singkat. Itu semua gara-gara apa yang pernah dilihatnya muncul di dalam tandas pada dua kejadian berbeza.

Aurora pejam mata, mencari sedikit kekuatan. Biarpun seluruh ketakutannya terhadap apa yang mampu dilihatnya sudah berakhir, dia masih mahu mencari sedikit lagi kekuatan agar dia bisa meneruskan hidupnya seperti biasa.

Aurora buka mata. Lukisan bercorak abstrak yang digabungkan dengan figura menakutkan yang pernah dilihatnya tempoh hari bermain-main di ruangan mata. Perlahan-lahan dia tersenyum.

Warna-warna indah hasil gabungan dengan pensel yang menjadi asas kepada lukisan-lukisan itu membuatkan dia mampu menarik nafas. Dia yakin sedikit waktu saja lagi pasti dua lukisan terbarunya itu bakal dibeli. Bukan kali pertama dia menjualnya. Dia sudah berjaya menjual kesemua lukisan aneh dan peliknya itu sejak tahun lepas. Dan hasil daripada lukisan itu, dia berjaya mendapat pulangan yang lumayan.

Dia tersenyum. Biarpun tidak sekaya daddy, dia masih mampu hidup atas hasil usaha sendiri. Dengan duit keuntungan lukisan itu, dia berjaya membeli kereta sendiri tanpa mengharapkan sesen pun duit keluarga. Dengan hasil jualan lukisan juga dia mampu membuat simpanan di dalam akaun dengan jumlah yang besar.

Dia tidak suka mengharap ihsan keluarga. Walaupun daddy dan mommy memasukkan elaun bulanan yang lebih daripada cukup setiap bulan, dia tidak pernah mengusik dan membelanjakan wang elaun itu tanpa tujuan. Sampai sekarang dia cuma membiarkan wang itu terus berada di dalam akun banknya tanpa diusik.

Segala perbelanjaan peribadi dan kerja kursus serta tugasan kuliah, kebanyakannya dia akan gunakan duit poketnya sendiri yang diperolehi daripada hasil keuntungan jualan lukisannya.

Pada mulanya dulu, dia sendiri berasa pelik dengan bakat sendiri. Tetapi, dia tahu peluang itu seharusnya digunakan untuk tujuan yang baik. Lagi pun, dia tak mahulah bergantung selamanya kepada keluarga. Walaupun daddy dan mommy selalu memanjakan dan memewahkan dirinya dengan harta benda, dia tahu yang dia seharusnya tidak menggunakan kemewahan sebagai alasan untuk tidak berdikari.

Dia mahu membuktikan kepada keluarganya bahawa dia mampu untuk menanggung diri sendiri tanpa mengharapkan sesiapa biarpun dia masih bergelar seorang penuntut.

Kerana terma ‘berdikari’ itulah dia berkeras hendak tinggal bersendirian di apartmen ini walaupun ditentang hebat oleh daddy dan mommy. Tetapi, sudah namanya Aurora… tetaplah Aurora. Degil. Keras kepala. Kepala batu. Sehinggakan daddy dan mommy sendiri terpaksa mengalah dengan kehendaknya.

Telefon pintar Aurora tiba-tiba berbunyi. Mati terus lamunannya. Tertera nama daddy di skrin. Lambat-lambat Aurora menjawab.

“Waalaikummussalam. Ada apa, daddy?” Aurora ketap bibir sebaik mendengar suara daddy di talian.

“Adik okey. Baru lepas buat assignment.” Sempat dijeling buku lukisannya yang terbuka. Assignment la sangat, Aurora oi! Kalau daddy tahu, habislah dia. Mahunya daddy membebel sehingga berdarah telinga.

“Errr… adik dah makan. Baru aje makan, daddy. Betul. Tak bohong!” sekali lagi Aurora mengetap bibir. Berbohong lagi!

Sejak petang tadi dia hanya duduk menghadap kanvas lukisannya untuk menyiapkan lukisan. Mana hendak fikir tentang makan bila dah kemaruk sangat dengan lukisan itu. Lagi pun, dia bukan sengaja mahu berbohong pada daddy. Dia kenal sangat perangai daddy. Kalau dia beritahu perkara yang betul pun, habislah dia. Silap-silap daddy muncul di depan muka pintunya dan membebel sampai telinganya berdarah. Lepas tu, tak pasal-pasal saja daddy suruh dia berpindah semula ke rumah keluarga. Ah, dia tak mahu!

Aurora bangkit menuju ke pintu gelangsar. Sengaja duduk bertenggek di balkoni sambil menyaksikan pemandangan ibu kota pada waktu malam. Angin lembut menyapa wajah. Sambil itu, dia mendengar tazkirah pendek daddy dari dalam talian.

“Ya. Adik tak lupa pesanan daddy. Jangan tinggal solat. Jangan lupa makan. Jangan tidur lewat.” Aurora menggaru-garu tengkuk yang tidak gatal. Dialog yang selalu daddy gunakan kepadanya sudah boleh dihafal.

“Hah? Zafrin? Kenapa dia nak datang ke apartmen adik pula? Nak buat apa?” panik Aurora dibuatnya setelah mendengar nama Zafrin disebut oleh daddy.

“Hantar barang dapur? Eh, tapi baru aje hari tu…”

Ding! Dong!

Belum sempat Aurora menghabiskan kata-kata, terdengar loceng pintu berbunyi. Dia tepuk muka sambil memejamkan mata. Ah, baru saja sebut dah muncul.

“Ya, daddy. Zafrin dah sampai.” Nada suara Aurora mengendur.

Isk, tekanan jiwa betul. Balik-balik si Zafrin. Tak habis-habis Zafrin. Terdengar daddy memberi arahan agar dia segera membuka pintu. Kata daddy, dia mahu bercakap dengan Zafrin sekejap. Aurora tak boleh nak kata apa. Diturutkan saja arahan daddy itu. Sebaik menarik pintu, muncul Zafrin di depan mata. Di kiri dan kanan tangannya penuh dengan plastik berisi pelbagai barang dapur termasuklah kotak berisi pembakar roti.

“Nah.” Aurora menyua telefon pintarnya kepada Zafrin sambil bercekak pinggang.

“Siapa? Daddy?”

“Hmmm…” malas-malas dia hendak menjawab.

“Hello, daddy…” jawab Zafrin sambil melangkah masuk. Sambil mengepit telefon Aurora di celah telinga dan bahu, sambil itu dia meletakkan barang yang baru dibelinya ke dalam kabinet. Aurora yang tercegat di muka pintu hanya berpeluk tubuh. Hoodie yang baru sempat dicapainya dibetulkan. Anak-anak rambut yang berserabai dikemaskan. Nasib baik jugalah dia sempat mengenakan hoodie itu di kepala. Jika tidak, mahu dia tutup kepalanya menggunakan surat khabar saja.

“Semua barang yang daddy pesan Zaf dah belikan, daddy. Rasa-rasanya cukuplah kut untuk beberapa hari.”

Aurora memasang telinga mendengar laporan yang baru Zafrin sampaikan kepada daddy.

“Barang-barang basah pun cukup untuk beberapa hari lagi. Tapi…” suara Zafrin meleret. Dia mengerling Aurora yang sedang bersandar pada dinding berdekatan dengan pintu utama.

“Zaf tak pastilah barang-barang ni semua akan terperuk kat dalam dapur ni sampai bila. Mungkin takkan berusik sampai tahun depan kut daddy?” Zafrin ketawa kecil.

“Eh, kejap daddy. Zaf rasa macam ada jumpa sesuatulah.” Tak semena-mena saja tangan Zafrin menarik plastik sampah. Diselongkarnya plastik sampah itu lalu mengeluarkan beberapa peket mi segera yang telah dicampak ke situ.

Zafrin mencapainya dan memandang Aurora. Aurora bulatkan mata. Sempat diberikan isyarat kepada Zafrin agar mengunci mulut. Aduh! Kantoi pula. Tak pasal-pasal saja Zafrin hantar laporan kepada daddy. Dia ni pun satu. Kenapa cuai sangat? Lain kali, lepas makan makanan segera… terus buang dalam tong sampah di bawah blok. Bukannya biar dalam apartmen.

Zafrin jongket kening. Diam memasang telinga mendengar bicara daddy.

“Oh, tak ada apa-apa. Zaf ingatkan terjumpa peket mi segera. Zaf tersilap pandang, daddy…” ujar Zafrin, menutup rahsia sebenar. Dijelingnya Aurora yang baru menarik nafas lega.

Satu isyarat dihantar kepada Aurora, memberitahu bahawa gadis itu berhutang budi padanya sambil tersengih-sengih.

“Okey, daddy. Waalaikummussalam.”

Klik!
Zafrin menghampiri Aurora. Telefon pintar gadis itu dikembalikan.

“Apa yang daddy beritahu kau?”

“Adalah.”

“Eee… kau cakap apa dengan daddy hah? Kenapa boleh tiba-tiba saja muncul kat sini?”

“Ni apa?” tak jawab soalan si gadis, Zafrin tayang peket mi segera yang diselongkar dari dalam tong sampah tadi.

“Kereta kebal!” geram Aurora sampai ke puncak. Dirampas peket mi segera lalu dicampak semula ke dalam tong sampah.

Dasar penyibuk! Semua benda yang dia buat dalam rumah ni, semuanya hendak diambil peduli. Dah tak ada kerja sangat agaknya dia ni!

“Kau pergi balik.” Aurora mendekati pintu. Sengaja menarik lebar-lebar daun pintu untuk Zafrin.

“Aku tahu kau tak makan lagi.”

“Macam mana kau tahu?”

“Tak ada satu apa pun yang kau boleh sorokkan daripada aku, Aurora. Itu apa?”

“Apa?” Aurora memandang ke rak pinggan setelah dituding Zafrin.

“Tak ada satu pun pinggan mangkuk yang basah. Sinki juga kering. Dapur kemas dan bersih macam tak berusik. Apa maknanya tu?”

Aurora mencebir. Dasar mata helang betul mamat ni. Macam mana cekap sangat dia teka?

“Jadi? Kalau aku belum makan, apa kaitannya dengan kau?”

“Tunggu kat sofa. Aku siapkan makanan untuk kau.”

What the…” terhenti bicara Aurora apabila Zafrin terus berlalu ke dapur. Setengah jam kemudian, siap sepinggan spaghetti Aglio Olio.

“Sini. Makan. Aku dah siapkan makan malam istimewa untuk kau.” Zafrin melambai.

“Kejap lagilah aku makan. Belum lapar.”

Aurora sudah mula merasa tidak sedap hati apabila Zafrin masih di sini. Risau juga kalau-kalau ada sesiapa yang ternampak Zafrin masuk ke apartmennya lalu melaporkan kepada Jabatan Agama Islam. Tak ke naya dia? Tak pasal-pasal kena kahwin percuma dengan Zafrin. Eee… tak nak!

“Yang kau terkebil-kebil dekat situ lagi buat apa? Sinilah. Makan. Atau kau nak aku datang hidangkan kau dengan sekuntum bunga dan suapkan kau? Macam itu?”

“Kau baliklah dulu. Nanti aku makan.”
“Kau makan dulu baru aku balik.”
“Baliklah dulu.”
“Makan dulu.”
Fine!”

Akhirnya dia mengalah. Kalau tunggu mereka berbalas kata, sampai esok pun takkan habis. Sementara Aurora makan, Zafrin mula berlegar-legar di sekitar apartmen Aurora. Meja komputer Aurora didekati. Ligat tangannya mengusik-usik barang-barang yang berada di situ. Tiba-tiba matanya terpaku kepada buku lukisan Aurora. Diselaknya sehelai demi sehelai bersama kening yang mula bercantum. Diam-diam dia mencapai telefon pintarnya dan merakam beberapa keping lukisan di situ sebelum Aurora datang menyergah.

“Kau buat apa ni?”

“Tak buat apa-apa.”

“Kau balik. Makin lama kau kat sini, makin bahaya. Balik, Zafrin!” Aurora mula menengking. Cepat-cepat buku lukisannya ditutup lalu disembunyikan di bawah buku-buku yang lain. Begitu juga dengan kanvas lukisannya yang segera disorokkan di sebalik kerusi. Rasa bimbangnya mula bermaharajalela di hati setelah ternampak Zafrin melihat lukisannya tadi.

“Kunci pintu ni. Kalau ada apa-apa, telefon aku.” Sempat lelaki itu berpesan ketika sedang menyarungkan kasutnya.

Bam!

Aurora menghempaskan daun pintu melepas geram tanpa memberi sedikit peluang kepada Zafrin untuk terus berpesan lagi.

“Suka hati kaulah Aurora. Asalkan kau bahagia,” bisik Zafrin perlahan sambil berlalu ke bawah.













No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...