Nafas
Aurora tersekat-sekat. Tekaknya terasa perit. Sebaik membuka mata, terlihat
satu makhluk sedang berada di hadapan mata. Kedua-dua tangan makhluk tersebut
erat mencekik batang lehernya sehingga nafasnya hampir hilang. Aurora cuba
mengeluarkan suara. Matanya turut membulat, seakan cuba meminta bantuan.
Tetapi, semakin masa berdetik semakin dia kehilangan nafas. Mungkin dia juga
bakal kehilangan nyawa!
“To…
long!”
Prang!
Serentak
terdengar bunyi kaca pecah. Aurora membuka mata. Nafasnya mencungap-cungap.
Spontan dia bangkit dari perbaringan seraya memegang tekaknya yang terasa
pedih. Sekeliling bilik yang didiami dipandang. Tersorot matanya ke arah pasu
hiasan yang baru saja menyembah lantai.
Dada
Aurora berdebar-debar. Tangan naik mengurut-urut tekak.
“Aku
mimpi ke?”
Bangun
mendekati jendela, dia menyelak langsir yang menghalang cahaya memasuki kamar
peraduannya. Aurora hambur nafas lega. Yakin yang dia cuma bermimpi. Wajah
diraup berulang kali, melepas nafas panjang. Terduduk di birai katil, dia capai
telefon pintarnya.
Sudah
jam 5.30 petang. Patutlah dia boleh bermimpi yang bukan-bukan. Siapa suruh
tidur selepas asar? Aurora bangun membasahkan wajah dan mengambil wuduk lalu
mengerjakan solat. Cuba meminta ketenangan dari Yang Maha Esa.
Hampir
setengah jam bertafakur di atas tikar sejadah, Aurora membawa langkah mendekati
kolam renang di bahagian belakang banglo. Separuh kaki dicelupkan ke dalam
kolam. Buku lukisan yang dibawa bersama diselak. Ada sedikit saja lagi bahagian
lukisannya yang perlu disiapkan. Kemudian, dia boleh memindahkannya ke atas
kanvas lukisan. Selepas saja lukisan terkininya itu siap, dia sudah boleh
menghantar e-mel seperti biasa kepada seseorang. Mencari prospek baru yang
berminat untuk memiliki lukisan anehnya.
Mata
pensel dilarikan ke sana ke mari di atas buku lukisan. Sambil menghayati lagu nyanyian
Fall Out Boy melalui fon telinga, dia terus hanyut dalam dunia yang tersendiri.
Sesekali
kepalanya terlentok ke kiri dan ke kanan. Adakalanya dia mengangguk-angguk
mengikut rentak muzik yang rancak berkumandang. Sedang menghayati muzik,
bahunya ditepuk. Aurora buat-buat tak sedar. Tetapi mata sempat juga mengerling
ke sebelah.
Rafa
mencebir. Melihat si adik kusyuk benar melukis, dia terus menaikkan kaki seluar
lalu duduk di sebelah Aurora. Sengaja menyepak air dalam kolam sehingga
membasahi kaki seluar Aurora.
“Abang
Rafa!”
“Oh,
ada orang rupanya. Ingatkan halimunan tadi.” Rafa ketawa-ketawa. Sengaja
mengusik Aurora yang anginnya kadangkala tak berapa betul.
Pulang
dari pejabat, dia sudah nampak kelibat gadis itu sedang duduk-duduk di gigi
kolam. Sengaja hendak datang berbual. Sejak Aurora berpindah keluar dari banglo
keluarga mereka, jarang sekali dia dapat berbual dengan gadis itu. Mahu melawat
Aurora di apartmennya pun dia tidak sempat kerana terlalu sibuk dengan urusan
pejabat. Kadangkala dia terpaksa bertugas di luar ibu kota sehingga ketiadaan
masa untuk hal-hal peribadi.
“Adik
sihat ke? Lama betul tak jumpa adik. Rindulah.”
Aurora
buat tidak tahu. Tetapi masih tayang muka bekunya seolah-olah Rafa itu tak
wujud di sebelahnya. Dia lagi kesahkan tentang lukisannya berbanding kehadiran
si abang.
“Hoi,
kau pekak eh?” spontan tangan Rafa menarik fon telinga dari telinga Aurora.
“Abang
Rafa nak apa?”
“Lagu
apa ni, dik? Bising betul.” Komen Rafa cuba menyibuk. Fon telinga yang ditarik tadi diletakkan ke telinga
sendiri dengan muka berkerut-kerut.
“Kalau
cakap pun, Abang Rafa bukannya tahu.”
“Haah.
Sebab Abang Rafa tak tahulah adik kena beritahu. Apsal ni dengar lagu kuat
sangat? Dah la tak sedap. Nah, ambil baliklah.” Fon telinga disumbatkan semula
ke telinga Aurora. Tak suka betul dia mendengar lagu bising-bising dan kuat.
Mengganggu ‘ketenteraman’ pendengarannya tahu?
“Kau
buat apa ni, dik? Sejak tadi lagi asyik dok menconteng-conteng buku tu.”
Aurora
diam, tidak mempedulikan pertanyaan Rafa.
“Membosankanlah
kau ni, dik.” Tambah Rafa lagi masih tidak mahu mengalah. Aurora ni memang lain
macam sikit perangainya. Kalau dia cepat mengalah, sampai sudah dia tak mungkin
dapat berbual dengan Aurora. Dengan Aurora, mereka sekeluarga kena banyak
bersabar. Kalau tidak, mahu semua orang asyik makan hati berulamkan jantung.
“Dik,
Abang Rafa nak tanya sikit boleh tak?”
“Apa?”
“Betul
ke mommy kata yang Zaf nak masuk meminang adik lepas dia habis belajar nanti?”
Aurora
berhenti melukis. Perlahan-lahan dahi berkerut seribu, memandang wajah Rafa di
sebelah dengan rasa yang mula menggelegak panas. Bukan marah kepada Rafa tetapi
lebih kepada marahkan manusia yang namanya Zafrin. Kerana mulut longkang lelaki
itulah, habis semua orang dah tahu. Tak pasal-pasal semua orang nak menagih
jawapan dan kepastian daripadanya.
“Bagi
sejuta dollar pun, adik tak berminat nak terima pinangan dia. Abang Rafa jangan
dengar sangat apa yang si Zafrin tu cakap. Dia sengaja nak sakitkan hati adik
aje.”
“Ya
ke? Tapi, takkan Zaf main-main kut?”
Aurora
mendengus. Tengok! Semua orang boleh percaya dengan usikan lelaki itu. Kalaulah
Zafrin ada di depan mata, memang dia takkan teragak-agak nak merendamkan kepala
lelaki itu ke dalam kolam renang.
“Entah-entah
dia betul-betul maksudkan apa yang dia cakap. Adik aje yang tak tahu.”
“Daripada
adik terima dia, lebih baik adik terjun ke dalam kolam ni.”
“Eh-eh.
Jangan nak terjun kolam sangat, dik. Silap-silap kau pun sebenarnya suka dia,
kan? Mulut aje cakap tak nak, tapi dalam hati siapalah yang tahu!”
“Abang
Rafa jangan buat serkap jarang. Adik memang betul-betul meluat dekat dia,
tahu?”
“Sudah-sudahlah
tu, dik. Tak habis-habis nak siram kebencian dalam hati sendiri. Cubalah
berbaik-baik dengan dia macam dulu-dulu.”
“Macam
dulu-dulu?” Aurora jongket kening. Tak faham dengan kata-kata Rafa. Bila masa
pula dia pernah berbaik-baik dengan lelaki itu? Setiap kali berjumpa asyik
bertekak saja. Waktu bila mereka berbaik?
“Adik
tak cerita pun lagi pasal kejadian sebelum adik kena tahan dekat dalam wad. Apa
yang terjadi sebenarnya?” Rafa mengalihkan topik. Tiba-tiba saja teringat
tentang tujuan asalnya datang ke sini. Memang dia hendak tahu apa yang
sebenarnya telah berlaku. Dia mahu mendengar sendiri daripada mulut Aurora.
Hari tu, masa di wad… dia dengar cerita yang Aurora dengan Zafrin bertekak
pasal kejadian tu.
“Nothing happened.”
“Zaf
sampai nak buat laporan polis sebab adik hilang. Takkan tak jadi apa-apa kut?”
Aurora
terdiam. Kuat tangannya menggenggam batang pensel sehingga hampir patah
dikerjakannya. Teringat pada kejadian dia tercampak ke dunia lain, hatinya
kembali berdongkol marah kepada Zafrin. Kalaulah bukan kerana Zafrin tidak
memaksanya mengikut lelaki itu, semua ni takkan jadi. Namun, Aurora tersentak.
Dipandang lukisan di depan mata. Jika bukan kerana kejadian itu, tak mungkin
dia dapat menyiapkan satu lukisan lagi.
Aurora
mula keliru. Sama ada hendak terus marahkan Zafrin atau berterima kasih kepada
lelaki itu. Entah!
Spontan
kaki melangkah. Mahu naik ke bilik dan berkurung seperti tadi. Sedang Rafa yang
terpinga-pinga tidak faham hujung pangkal hanya mampu menggaru belakang
tengkuk.
“Tak
berubah-ubah lagi kau ni, dik.” Omelnya.
***
Tok!
Tok!
Ketukan
di pintu kedengaran. Beberapa saat menanti jawapan yang tak kunjung tiba dari
dalam, pantas Rafa menguak daun pintu. Memerhati ke sekeliling bilik peraduan
Aurora yang lengang seperti tidak berpenghuni.
“Adik?”
panggilannya tidak bersahut.
“Mana
kau ni, dik? Menyorok ke?” soal Rafa lagi sambil meninjau ke bawah katil
Aurora. Sengaja buat lawak bodoh kepada diri sendiri. Terdengar saja bunyi air
jatuh menimpa lantai, baru Rafa tersedar yang si adik sedang berada di dalam
bilik mandi.
“Dik,
kau buat apa dalam bilik air tu? Mandi ke berkubang?”
Diam.
Laungannya tidak dijawab.
“Nanti
lepas mandi, turun bawah. Makan malam dah siap.” Laung Rafa lagi dengan suara
yang sedikit kuat.
Masih
lagi diam orang di dalam bilik mandi.
Rafa
mengangkat bahu dan menayang cebikan. Biarlah sama ada Aurora dengar atau
tidak. Bukan dia tidak tahu perangai gadis itu. Kalau dia lapar nanti
pandai-pandailah dia turun. Tapi yang dia risaukan sekarang ni, daddy. Buatnya
daddy bising, dia juga yang nak kena tadah telinga. Sudahlah di pejabat, puas
ayahnya itu membebel disebabkan kerja. Takkan balik ke rumah pun dia terpaksa
mendengar daddy bising lagi?
Mahu
tak mahu, Rafa berkeputusan untuk melangkah keluar dan menanti Aurora di ruang
santai di luar bilik gadis itu. Tetapi, sebaik saja menapak menuju ke pintu…
matanya terpandangkan meja tulis Aurora yang sedikit berselerak. Laju kaki
melencong ke sana. Memeriksa buku dan alat tulis si adik. Pantang betul dia
tengok meja berselerak macam ni. Tangan jadi gatal nak mengemas.
“Lukisan
apalah yang kau lukis ni, dik?” Rafa berbisik sebaik menarik buku lukisan milik
Aurora. Contengan-contengan serta jalinan lakaran yang separa siap dibeleknya.
“Ini
ke benda yang kau buat sejak petang tadi?” Rafa tergelak.
“Abang
Rafa buat apa?” suara Aurora yang sedikit meninggi mengejutkan Rafa. Dipandang
si adik yang sedang bergerak mendekatinya.
“Apa
ni?”
“Tak
payah sibuk boleh tak?” spontan Aurora merampas buku lukisannya dari tangan
Rafa.
“Abang
Rafa nak apa?”
“Puas
Abang Rafa jerit dekat kau tadi, dik. Kau boleh tanya lagi? Sah-sah la aku
bercakap seorang diri sejak tadi.” Rafa menyengih lalu menggeleng. Buat penat
saja dia melaung-laung, rupa-rupanya satu patah perkataan pun Aurora tak
dengar.
“Jom,
turun makan. Daddy dengan mommy dah tunggu. Abang Azreel dengan Kak Aatif pun
ada kat bawah tu.”
“Tak
lapar,” jawab Aurora sambil mengemas-ngemas barang peribadinya di atas meja.
“Janganlah
buat macam ni, dik. Kau nak daddy jerit dekat depan muka kau ke? Jomlah. Kalau
tak nak makan pun, tunjuklah muka sekejap dekat semua orang. Lagi pun, ada
tetamu dekat bawah yang tengah tunggu kau.”
Berkerut
dahi Aurora. Siapa pula tetamu yang dimaksudkan oleh Rafa ni? Siapa yang datang
malam-malam macam ni ke banglo keluarga mereka?
“Haa…
tak payah buat muka macam tu. Pergi bersiap. Lepas tu turun makan. Abang Rafa
tunggu kau kat luar. Selagi kau tak ikut ke bawah, Abang Rafa juga takkan
turun.” Sempat Rafa menampar bahu Aurora, memberi arahan tanpa sedar.
Aurora menjeling meluat. Ini yang paling dia
tak suka. Balik saja ke sini, habis semua orang nak bagi arahan macam-macam
pada dia. Sampaikan makan malam pun perlu diarah-arah. Sungguh dia tak suka.
Kalau di apartmennya, suka hati dia saja nak makan pukul berapa, nak tidur
waktu bila, nak melukis jam berapa… semuanya ikut kehendak hatinya.
Aurora
mencampakkan tuala yang membalut kepala ke atas kerusi. Hempas punggung sambil
menahan bengang. Dua minit tercatuk di kerusi, akhirnya dia mengalah.
Meniti
anak-anak tangga sambil membetulkan hoodie di kepala, Aurora semakin tidak sabar
hendak melihat siapakah gerangan tetamu yang datang. Sebaik tiba ke meja,
barulah dia tersedar siapa yang dimaksudkan oleh Rafa. Sempat dijelingnya Rafa
yang mengekor dari belakang. Abangnya itu hanya tersenyum dan menayang wajah
bersahaja.
“Hah,
adik. Buat apa lama sangat dekat atas tu?” tegur daddy sejurus saja Aurora
duduk.
Aurora
diam. Tetapi mata terus memandang Zafrin yang sedang tersenyum-senyum
kepadanya.
Isk, mamat ni lagi. Balik-balik muka
dia. Tak ada rumah ke apa dia ni?
Capai
pinggan yang baru dihulurkan oleh mommy, mata Aurora menjeling lagi kepada
Zafrin. Tak puas hati sungguh!
“Esok
adik nak balik apartmen.” Cepat-cepat dia memberitahu niatnya. Dia tidak mahu
terus berada di sini dan terpaksa mendengar segala arahan daripada semua orang.
Lagi pun dia rimas dengan Zafrin. Kalau dia kembali ke apartmen, purata dia
bertemu dengan lelaki itu akan sedikit berkurangan. Jadi, dia membuat keputusan
untuk pulang saja.
“Baru
aje balik ke sini, dik. Takkan dah nak balik?” aju mommy dengan suara yang
sedikit cemas. Risau mendengarkan kata-kata nekad daripada Aurora.
“Adik
ada banyak assignment, mommy. Minggu
depan kena hantar. Kalau tak siap, nanti kena bar daripada masuk dewan peperiksaan,” dengan sengaja dia
mengembalikan paku buah keras kepada Zafrin.
“Adik
tu bukannya sihat lagi. Duduk aje dekat sini dua ke tiga hari lagi. Ahad malam
nanti baliklah…” mommy cuba memujuk, berharap agar si anak terus mendengar
kata.
Daddy
yang duduk di kepala meja hanya diam. Menikmati makan malamnya dengan muka
tanpa riak. Entah apa sajalah yang sedang berada di minda lelaki itu, Aurora
sendiri tidak mampu meneka. Kalau daddy menghalang sekali pun, dia tetap akan
berkeras untuk pulang.
“Kalau
nak balik, nanti Zaf hantarkan.” Tiba-tiba saja daddy bersuara sekali gus
menyebabkan Aurora dan Zafrin berpandangan. Zafrin jongket sebelah kening,
tayang senyuman nipis. Aurora pula menjeling meluat.
“Tak
apa, daddy. Adik boleh balik sendiri.”
“Zaf,
esok hantarkan Aurora balik ke apartmen dia.” Putus daddy dengan riak yang sama
seperti tadi.
“Okey,
daddy. Menurut perintah.” Zafrin tayang tabik hormat lantas menyumbat nasi ke
dalam mulut.
“Jadi
ke keluarga Hayyan nak datang ke sini, Aatif?” daddy mengubah topik. Bertanya
Awatif yang duduk di sebelah Aurora.
“Jadi
kut, daddy. Mungkin hujung bulan depan. Itu pun lepas mak ayah dia balik
daripada Mekah.”
“Hmmm…
hujung tahun ni makan nasi minyaklah kita semua,” celah mommy dengan wajah yang
ceria. Mendengar cerita Awatif, dia jadi teruja tiba-tiba. Tak sabar rasanya
hendak melihat gadis itu menamatkan zaman bujang. Tanggungjawabnya terhadap
Awatif juga pasti akan selesai setelah gadis itu berumahtangga nanti.
Janjinya
kepada arwah kak longnya lebih dua puluh lima tahun dulu bermain-main di minda
sehingga tanpa sedar air mata menimpa pipi.
“Mommy
okey ke?” tangan mommy disentuh Awatif, menagih jawapan atas respon wanita itu.
Mommy
tersenyum kecil. Dikesat air mata yang sudah meleleh sambil menggeleng-geleng.
“Mommy
okey. Cuma… teringat dekat arwah mama Aatif dengan Azreel. Kalau dia ada, mesti
dia akan jadi manusia yang paling gembira.” Kerinduan kepada arwah kak long
mula menyebabkan dadanya sesak.
Kalaulah
kak long masih hidup, sudah tentu wanita itu yang paling teruja. Kalaulah kak
long masih ada, mesti Awatif dan Azreel takkan…
Ah!
Kenangan silam yang menyedihkan itu cuba dibuang jauh-jauh. Dia sedar ini semua
takdir. Jika kak long masih ada, tak mungkin dia berpeluang untuk menjaga
Awatif dan Azreel sehingga masing-masing berjaya seperti sekarang. Jika bukan
kerana peristiwa itu, Awatif dan Azreel tak mungkin dapat merasai kasih sayang
seorang ayah seperti mana yang suaminya beri kepada mereka semenjak dua puluh
lima tahun dulu.
Takdir
ini memang indah. Cumanya… dia teringat akan sesuatu. Bagaimana jika Awatif
berkahwin nanti? Patutkah lelaki itu yang menjadi wali kepada anak gadisnya
itu? Lelaki yang telah menjahanamkan hidup keluarga sendiri? Lelaki yang telah
‘mencabut’ nyawa kak long dengan tangannya sendiri? Lelaki yang telah
menyebabkan Azreel dan Awatif menjadi anak yatim?
“Mommy
naik ke bilik dulu. Mommy nak berehat.” Tiba-tiba saja mommy bangun. Seleranya
hilang setelah terfikirkan perihal lelaki itu.
Menghilang
saja mommy ke atas, daddy turut mengekor. Aurora yang melihat ‘drama’ sebabak
itu malas hendak ambil peduli. Dia sendiri pun tak faham apa-apa, jadi buat hal
sendiri lebih bagus.
Tengah
malam itu, ketika semua orang sudah berlayar ke alam mimpi… Aurora bangkit dari
perbaringannya. Bukannya dia tidur pun. Baru nak melelapkan mata, kejadian di
meja makan ketika makan malam tadi singgah di kepala. Tiba-tiba hati terdetik,
apa sebenarnya yang berlaku kepada mommy dan daddy?
Lama
termenung di atas katil, Aurora bangkit. Mahu ke dapur dan membasahkan tekak.
Fikir banyak pun tak ada guna juga. Buat sakit kepala saja. Mungkin dia patut abaikan
saja hal itu.
Aurora
menarik daun pintu. Rambut yang berserabai diperbetulkan lalu disanggul. Sebaik
saja kaki memijak anak tangga teratas, telinganya menangkap suara yang datang
dari bilik kerja daddy. Entah kenapa perasaannya mula jadi tidak tentu arah.
Hati melonjak agar dia melencongkan langkah ke sana.
Tanpa
sedar, dia sudah pun berdiri di hadapan pintu bilik kerja daddy. Berdebar-debar
hatinya tatkala itu usai terdengar butir-butir perbualan yang datang dari dalam
bilik tersebut. Sesekali terdengar suara meninggi dengan nada dan intonasi
marah.
Aurora
segera melingaskan mata ke kiri dan kanan. Ruang di sekitarnya sudah gelap.
Hanya biasan cahaya dari lampu di luar banglo dan tangga saja yang menyuluh
sedikit pandangannya.
Kepala
segera didekatkan dengan pintu. Telinga dilekapkan ke muka pintu yang bertutup
rapat, sengaja hendak memasang telinga. Dia hendak tahu apa sebenarnya yang
sedang berlaku di dalam bilik kerja itu. Suara daddy dan mommy bersilih ganti
menerobos gegendang telinganya.
“Habis
tu, you nak I buat apa sekarang ni?” bingit suara daddy seolah-olah menengking
membuatkan Aurora mula kecut perut. Tak semena-mena saja perutnya terasa
memulas. Dia tahu, kalau daddy naik angin… habis terbalik semua benda. Dia mula
risau apabila terdengar tengkingan daddy. Daddy sebenarnya tengah bergaduh
dengan mommy ke? Tapi, bergaduh sebab apa?
“Tak
payah buat apa-apa.” Suara mommy membalas, menyebabkan Aurora semakin
merapatkan telinga ke pintu.
Kenapa dia terasa aura ketegangan sedang tercetus
di sebalik pintu ini? Dah malam kut. Apa yang ibu bapanya bincangkan sehingga
ke bilik kerja daddy? Takkan la…
Aurora
tepuk muka. Tak mahu memikirkan yang bukan-bukan tentang rumahtangga ibu
bapanya.
“Masalahnya
sekarang ni, Aatif tu dah nak kahwin tau!”
“Kahwin
ajelah. Bukannya kita menghalang pun. I sendiri tak ada halangan.”
“Dekat
mulut, memang you cakap tak ada halangan. Tapi, I tahu sangat apa yang ada
dalam fikiran you, Alisa. I dah masak sangat!”
Aurora
menelan liur. Isk, apa yang mommy dan daddy kecoh-kecohkan sangat ni? Takkan
sebab Awatif nak kahwin, mereka perlu bertekak sampai macam ni? Aurora
menggigit bibir setelah mendengar pertelingkahan di antara ibu bapanya
bersambung.
“I
tak kira. I tak setuju dengan cadangan you tu. I tak nak Aatif pergi jumpa si
Nadim tu!”
“Kenapa
dengan you ni, Alisa? You tahu kan siapa Nadim tu?”
Kening
Aurora berkerut. Mendengarkan nama Nadim, hatinya mula berdebar lain macam. Siapa
pula Nadim tu?
“Memang
I tahu siapa Nadim. Sebab itulah I tak nak anak kita pergi jumpa dia!” balasan
mommy menyebabkan Aurora tergamam. Sejurus kemudian, terdengar seperti sesuatu dihempas
ke atas meja.
“Terpulanglah
dekat you, Alisa. Tapi, I tetap dengan pendirian I. Biarkan Aatif pergi
selesaikan hal dia. Ingat, Alisa. Apa-apa yang terjadi pun… Aatif tetap anak
kandung Nadim dan Nadim tu wali dia yang sah. Dia berhak ke atas Aatif. Sampai
bila-bila pun hubungan diorang takkan berubah.”
“I
tak izinkan Aatif balik jumpa Nadim. Macam mana kalau Nadim tu buat sesuatu yang
tak elok kepada Aatif?” mommy masih lagi cuba mempertahankan pendiriannya.
Tidak reda dia hendak membenarkan Awatif pulang ke kampung bertemu Nadim,
lelaki yang dah menjahanamkan hidup orang lain. Perasaan marah dan dendamnya
masih tidak surut setelah nama lelaki itu muncul dari celah bibir suaminya.
“I
yakin Nadim dah berubah. Aatif anak kandung dia. I tahu Nadim takkan
mengapa-apakan Aatif.”
“Mana
you tahu si Nadim tu takkan apa-apakan Aatif? You bukannya tak tahu siapa Nadim
tu. You tak ingat ke macam mana dia bun…”
“Cukup,
Alisa! Jangan mengungkit lagi perkara yang dah lepas. Perkara tu dah berlalu.
Dah dua puluh lima tahun arwah kak long pergi.”
“Memang
dah dua puluh lima tahun berlalu, Carl. Tapi, sampai sekarang I masih tak boleh
lupakan apa yang dia dah buat pada arwah kak long. I takkan boleh lupa. Sampai
bila-bila pun, Carl.”
“Alisa,
sudah!”
“Kalau
you ada pendirian you, I juga ada pendirian I. I tetap tak akan izinkan Aatif
balik jumpa Nadim. Kalau you nak cakap apa pun, terpulang.”
“Habis
tu, siapa yang nak jadi wali Aatif nanti?”
“Azreel
ada. Azreel wali dia yang sah!”
“Nadim
juga wali dia. Nadim ayah dia. You dah lupa ke?!”
Buk!
Tidak
semena-mena saja Aurora tergolek di hadapan pintu bilik sebaik saja pintu
tersebut ditarik dari dalam. Terkulat-kulat gadis itu dibuatnya. Angkat saja
muka, terlihat daddy dan mommy sedang merenungnya dengan wajah penuh tanda
tanya. Lekas-lekas dia bangun sambil membetulkan pakaiannya. Hati mula dihurung
rasa cuak yang tak terperi.
Aduh!
Macam mana boleh kantoi ni? Tak
pasal-pasal saja daddy dan mommy menuduhnya mencuri dengar perbualan mereka.
Tapi, bukankah itu yang dibuatnya sejak tadi?
“Adik
buat apa kat sini?” aju mommy sambil mengesat matanya yang berair.
“Err…
erm… tak… tak ada buat apa-apa,” jawabnya tergagap-gagap. Fikiran mula ligat
mencipta alasan buat menyelamatkan diri.
“Adik
cari contact lens. Terjatuh atas
lantai tadi. Errm… tak apalah. Esok ajelah adik sambung cari. Adik masuk tidur
dulu.”
“Adik!”
baru saja beberapa langkah menjauhi bilik kerja, Aurora berhenti melangkah
sambil memejamkan mata dan mengetap bibir. Berdesing-desing telinganya
mendengar suara kuat daddy memanggil.
“Ya,
daddy?” ajunya seraya berpusing dengan perlahan-lahan menghadap daddy dan mommy
yang masih lagi tercegat di muka pintu.
“Apa
yang adik dengar?” soal daddy tegas seakan-akan dapat menghidu apa aktivitinya
sejak lima minit yang lepas.
Ah! Tolong! Apa yang aku nak jawab
ni?
“Err…
adik tak dengar apa-apa. Kenapa daddy? Ada perkara yang adik kena dengar ke?”
dengan selamba dia memulangkan soalan kepada daddy. Dia yakin daddy hanya
membuat serkap jarang. Bukannya daddy tahu pun apa yang dia buat tadi.
“Pergi
tidur. Dah lewat malam. Esok dah nak balik, kan?”
Aurora
menyengih. Tahu yang daddy baru saja menyindirnya tentang keputusannya untuk
pulang ke apartmennya pada keesokan hari. Walaupun suara daddy tak adalah
tinggi seperti yang dia dengar di dalam bilik tadi, namun intonasi lelaki itu
cukup menyedarkan dia bahawa ayahnya itu sedang bertegas dengannya.
“Okey.”
Aurora mengangguk. Sempat lagi dia mengerling mommy. Wanita itu segera
menghantar isyarat mata agar dia segera masuk tidur sebelum daddy naik angin.
Dengan
segera gadis itu memboloskan diri ke dalam bilik peraduannya. Niat untuk
membasahkan tekak terus termati.
Nasib kaulah, Aurora. Kau telan
ajelah air liur sendiri buat masa ni.
No comments:
Post a Comment