Bab 13
Aurora
mencapai begnya lantas berlalu keluar dari kereta Zafrin sebaik saja Ferrari
merah itu masuk ke tapak parkir.
“Aurora!”
Zafrin melaung ketika gadis itu hendak menapak ke lif.
“Apa?”
“Nak
aku temankan kau sampai ke atas tak?”
“Tak
payah.”
“Eh,
nanti Daddy Carl tanya…”
Aurora
menayang telapak tangan dan membuat muka jelek kepada Zafrin. Lelaki inilah!
Sikit-sikit daddy!
“Boleh
tak satu hari saja dalam hidup kau, tak sebut pasal daddy?”
Zafrin
tergelak. Tahu sangat apa yang Aurora sedang fikirkan.
Mengangkat
tangan tanda menyerah, Zafrin berlalu pergi meninggalkan Aurora sendiri. Aurora
menghantar kelibat Ferrari merah menderu laju keluar dari kawasan blok
apartmennya sebelum menapak ke lif dengan hati yang tersisa rasa amarah.
Sampai
di tingkat apartmennya, habis segala bebelan dan omelan dilepaskan. Gagau kunci
dari beg pun rasa macam nak pukul orang.
Pap!
Buk!
Kelam
kabut dia dibuatnya setelah begnya jatuh ke lantai. Habis berterabur barang ke
bawah. Geram punya pasal, beg pula yang menjadi mangsa. Cuba mengemas barang
yang berselerakan, terdengar pula pintu gril jiran sebelah ditolak.
Aurora
panggung kepala. Terlihat si jiran muncul di sebalik pagar. Mata keduanya
berlaga. Muka ketat si jiran membuatkan Aurora lekas-lekas mengemas lalu
menyumbat barang-barangnya dengan kelam kabut ke dalam beg sebelum tergesa-gesa
memboloskan diri ke dalam.
Bam!
Pintu
ditutup rapat. Dada dipegang kuat. Tubuh bersandar rapat di belakang pintu
sambil menahan debar. Terkejut melihat kemunculan si jiran yang tak diduga.
Raimi
yang melihat aksi kelam kabut Aurora tadi hanya mengerut kening. Lama matanya
jatuh ke arah pintu apartmen gadis itu.
“Perempuan
ni dah kenapa? Macam nampak hantu!” omelnya tidak faham dengan gelagat si
gadis.
Baru
menutup pintu gril dan hendak menguncinya, matanya terpaku ke lantai. Sebuah
buku terdampar di situ. Perlahan-lahan dia bergerak menghampiri pagar apartmen
Aurora. Menunduk. Mengutip buku di lantai.
“Apa
yang buatkan dia kelam kabut sangat ni? Sampai barang sendiri tercicir pun tak
sedar. Menggelabah!”
Buku
dipegang. Berkira-kira hendak menekan loceng apartmen Aurora dan memulangkan
semula barang kepunyaan si gadis. Namun, niat itu segera terbatal apabila
tangannya secara tak sengaja menyelak helaian buku tersebut. Matanya terpaku.
“Lukisan
apa ni?”
Sehelai
demi sehelai diselaknya. Semakin dia melihat isi di dalam, semakin dia berasa
sesuatu. Berkerut-kerut mukanya, cuba menghadam lukisan di dalam buku tersebut.
Tanpa membuang masa, dia berpatah balik. Masuk semula ke dalam apartmennya. Dan
berkurung sehingga ke petang. Niat untuk keluar membeli barang-barang dapur di
pasar raya terdekat terus dimatikan.
“Aurora
Ilyssa,” sebut Raimi perlahan setelah melihat nama milik Aurora tertulis di
bahagian bawah setiap lukisan. Senyuman nipis terukir. Riak berseri-seri muncul
di segenap wajah.
Bersandar
senang ke kerusi di hadapan meja kerjanya, Raimi mula merancang sesuatu.
Sesuatu yang bakal membuatkan hidupnya berubah!
***
Raimi
berjalan keluar dari bilik mesyuarat dengan senyuman lebar. Puas hati bercampur
gembira mengulit perasaan. Kembang kempis dadanya apabila mengingati apa yang
telah berlaku di dalam bilik mesyuarat tadi.
“Bagus,
Raimi! Inilah apa yang kami mahukan. Idea awak sangat brilliant.” Puji klien setelah dia membentangkan idea kreatif untuk
projek yang bakal dijalankan oleh syarikat tempat dia berkhidmat dengan
syarikat milik klien tersebut.
“Raimi, congratulations! Awak dah buat klien kita setuju untuk memberikan
kontrak. Saya nak awak bentangkan idea yang lagi bagus dan lagi gempak selepas
ini. Ingat, great idea… maknanya kenaikan pangkat sedang
menanti awak!” kata-kata bosnya selepas tamat mesyuarat pembentangan dengan
klien menyebabkan Raimi melebarkan senyuman.
Hempas
punggung ke kerusinya, Raimi mula berangan. Naik pangkat? Itu tandanya gajinya
juga akan naik dan akan memperolehi segala kelebihan dan kesenangan setelah
itu. Masalahnya, ada seseorang yang cuba menghalang cita-citanya itu.
Malique.
Lelaki itu pun dijanjikan kenaikan pangkat yang sama jika idea yang bakal
dibentangkan berjaya membuatkan bos mereka tertarik. Seterusnya, jika klien
juga tertarik… itu bermakna Malique yang akan dinaikkan pangkat. Habis tu… apa
jadi dengan dia?
Ah!
Tak boleh. Dia tak boleh izinkan Malique potong
jalannya. Lelaki itu adalah seterunya sejak dia menjejakkan kaki ke syarikat
ini. Bukan itu saja. Malique juga merupakan musuh tradisinya sejak mereka
sama-sama berada di universiti. Segala apa yang dia buat, pasti Malique akan
mendahului. Mereka sama-sama bersaing untuk merebut hati bos. Dan kebanyakan
masa, Malique lebih menyerlah di mata bos berbanding dirinya. Tetapi….
Raimi
tersenyum senang. Kerana lukisan itulah, dia berjaya meyakinkan bos sekali gus
klien besar mereka akan bakat dan potensinya. Kerana lukisan itu juga dia telah
berjaya mengenepikan Malique kali ini. Ya, kerana lukisan itu!
Raimi
menggagau sesuatu dari dalam laci meja. Buku lukisan yang tidak dipulangkan
kepada tuan asalnya dibelek. Senyuman senget terukir. Kalaulah dia boleh terus
meyakinkan bos dan klien-klien syarikat yang lain tentang ideanya, sudah pasti
hidupnya akan berubah. Malique pula boleh blah!
Persoalannya,
patutkah dia terus menggunakan idea-idea daripada buku lukisan Aurora ini?
Bagaimana kalau Aurora tahu? Ah! Tiada sesiapa yang akan tahu kalau dia tidak
membuka mulut. Raimi tepuk-tepuk buku lukisan Aurora.
“Nasib
baik kau tercicirkan buku lukisan kau ni. Kalau tidak, bos dan klien takkan
pandang aku pun.” Berbunga-bunga hati Raimi mengenangkan apa yang baru terjadi
di dalam bilik mesyuarat tadi.
BAB 14
Tepat-tepat
jam 1.30 tengah hari, Zafrin menanti Aurora di sebalik dinding berdekatan kelas
gadis itu. Sedap dia bersandar sambil membelek telefon pintar. Sebaik saja
pelajar dalam kelas mula keluar, Zafrin segera menyimpan telefon ke poket
seluar. Seorang demi seorang pelajar dipandang. Lima minit menanti, tiada kelibat
Aurora yang kelihatan.
“Dia
tak masuk kelas ke?” berkerut keningnya. Mya yang baru melepasi Zafrin ditahan.
Bertanya dengan kalut kepada gadis itu akan keberadaan Aurora.
Sejurus
mendapatkan maklumat, Zafrin terus menanti Aurora di situ. Matanya mencerun ke arah
Aurora setelah gadis itu keluar dari kelas beriringan dengan seorang pelajar
lelaki. Kemesraan yang terpamer membuatkan Zafrin cepat-cepat menyorokkan diri
di sebalik dinding dengan perasaan yang tak ketahuan. Nampak saja senyuman
nipis milik Aurora, terbakar terus hatinya.
Langkah
Aurora dan Firdaus, pelajar sekelas dengan gadis itu diekori sehingga ke kafeteria
utama. Lekas-lekas Zafrin menyembunyikan diri di sebalik tiang tidak jauh dari
meja yang dipilih oleh Aurora dan Firdaus. Dengan jelas dia melihat Firdaus
mengeluarkan satu bekas makanan buat Aurora. Firdaus bangun dan membeli minuman
buat gadis itu.
Setengah
jam menjadi pengintip tak bergaji, Zafrin mula tidak keruan. Berulang kali jam
diteleknya, mengharap agar masa cepat bergerak. Dan berharap agar Firdaus
segera beredar dari situ.
Bengang
kerana Firdaus masih kekal berada di kerusi, Zafrin bergerak ke meja mereka.
Berbulu-bulu matanya melihat Aurora sedang seronok berbual dengn Firdaus. Dia
nekad untuk mengganggu perbualan mereka berdua. Jika Aurora hendak berkata
apa-apa atau berfikir yang bukan-bukan pun dia sudah tidak peduli. Apa yang
penting, dia mesti menghentikan adegan yang dilihatnya tadi.
Tetapi,
malang tidak berbau. Belum sempat tiba ke sana, dia dirempuh seseorang. Pada
masa yang sama, pakaiannya terasa basah akibat tersimbah air coklat yang dibawa
oleh seseorang.
“Ops!
Sorry. Sorry sangat, Abang Zaf. Intan tak sengaja.” Kelam kabut Intan
mengesat-ngesat pakaian Zafrin yang sudah comot dek terkena air coklatnya.
Satu
senyuman tersungging di bibir dalam diam. Sambil mengerling ke meja Aurora,
tangan tetap ligat membersihkan pakaian Zafrin yang dicomotkan dengan sengaja.
Sejak lima belas minit yang lepas lagi dia sudah nampak Zafrin berdiri di
sebalik tiang sambil menghendap-hendap Aurora.
Sakit
hati apabila lelaki itu terus memandang gadis yang paling tidak disukainya di
dalam kelas itu, dia sengaja bangun dan mengotorkan pakaian Zafrin dengan
berpura-pura merempuh lelaki itu.
“It’s okay, Intan. Sikit aje ni,” balas Zafrin sambil cuba menepis tangan Intan
yang tak sudah-sudah merayap ke atas pakaiannya. Tisu dari tangan gadis itu
segera dicapai dan mengesatnya sendiri tetapi kotoran yang telah terhasil tidak
mungkin akan terus hilang begitu saja.
“Eh,
mana boleh. Baju Abang Zaf dah kotor sangat ni. Apa kata Intan tolong cucikan?”
“Tak
apa. Benda kecil aje.”
“Ini
bukan benda kecil. Baju ni mahal. Intan minta maaf sangat-sangat. Sumpah Intan
tak sengaja tadi. Macam inilah. Apa kata Intan ganti baju yang baru. Jom Intan
bawa Abang Zaf pergi mall dan beli
baju yang baru dekat mana-mana butik. Jom!” spontan tangan menarik lengan
Zafrin. Mendesak dengan cara halus begitu. Selagi dia tidak membuatkan Zafrin
mengekorinya, selagi itu dia tak akan puas hati. Dan selagi dia tidak
menjauhkan Zafrin dari kafeteria ini, dia tak boleh duduk diam. Berbulu-bulu
matanya apabila melihat Zafrin masih terus melemparkan pandangan ke arah
Aurora.
“Abang
Zaf, jomlah. Intan janji Intan gantikan semula.”
“Tak
apalah, Intan. Bukan salah Intan pun. Saya yang berjalan tak pandang kiri
kanan.”
“Janganlah
buat macam ni, Abang Zaf. Intan rasa bersalah sangat kalau tak dapat nak
gantikan baju untuk Abang Zaf.” Intan buat suara sedih. Tangannya masih terus
memegang lengan Zafrin, berniat untuk menarik lelaki itu keluar dari sini
tetapi Zafrin pula tetap berkeras dengan menepis tangan Intan.
“Intan… it’s okay. Hal kecil aje ni. Sekarang ni, saya tengah busy. Ada benda yang saya kena buat.
Saya gerak dulu.” Kelam kabut Zafrin meninggalkan Intan ketika nampak Aurora sudah
pun bangun dari kerusi dan berjalan menuju ke pintu keluar kafeteria bersama
Firdaus.
“Abang
Zaf! Abang Zaf!” teriak Intan dengan suara menahan bengang setelah Zafrin
berlari keluar.
“Tak
guna betul. Apsal dia asyik pandang perempuan pelik tu? Aku yang cantik jelita
ni sikit pun dia tak nampak! Urgh!” Intan mengomel tak puas hati kerana Zafrin
sedikit pun tidak menoleh. Geramnya kepada Zafrin mula memuncak. Dan lebih
teruknya, dia mula meluat dengan Aurora sehingga tahap infiniti!
***
“Aurora!”
Laungan
dari arah belakang membuatkan Aurora menghentikan langkah. Sikit saja lagi dia
hampir sampai ke keretanya yang terparkir di hadapan bangunan fakulti, Zafrin
sudah muncul di depan mata.
Atas
bawah tubuh Zafrin dipandangnya. Pelik. Apsal kotor sangat baju lelaki ini?
Baru lepas bergusti dengan sesiapa ke? Atau baru saja lepas mengorat awek tapi
kena simbah dengan air?
Aurora
silang tangan ke dada, menanti Zafrin memulakan bicara.
“Kau
nak pergi mana?”
“Balik.”
“Aku
nak cakap sikit dengan kau,” balas Zafrin sambil menahan rasa marah yang masih
lagi tersisa. Sempat dia memandang sekeliling mencari-cari kelibat Firdaus.
Ternyata, pelajar lelaki itu telah menghilang.
“Kau
nak cakap pasal apa? Hal kelab?”
Zafrin
bergerak mendekati Aurora. Sengaja mendekatkan dirinya dengan gadis itu
sehingga jarak mereka cuma tinggal beberapa inci. Zafrin menunduk, merenung
pakaian sendiri. Sambil itu tangan cepat saja menarik bajunya ke bawah agar ia
menegang dan segera menampakkan kekotoran yang terhasil akibat kemalangan
kecilnya dengan Intan tadi. Timbul idea di benaknya.
“Jom
ikut aku pergi beli baju baru.”
“No, thank
you.”
“Temankan
aku sekejap. Kau tak kesian ke tengok baju aku kotor macam ni, Aurora?”
“Apsal
dengan baju kau?”
“Tersimbah
air coklat.”
“Awek
mana yang simbah kau?” Aurora mencebik.
“Tak
ada sesiapalah. Jomlah.”
“Tak
boleh ke kalau kau pergi sendiri? Masalah kau, selesaikanlah sendiri. Jangan
libatkan aku.” Aurora juling mata. Bergerak menghampiri keretanya dengan niat
untuk segera pulang. Kelas sudah tamat. Tiada apa yang perlu dibuat lagi di
kolej. Lagi pun, dia ada hal yang perlu diselesaikan. Ada e-mel penting yang
perlu dibalas sekejap lagi.
“Kejamlah
kau ni. Aku ajak teman sekejap pun tak boleh!” Zafrin menahan pintu kereta
Aurora.
“Kau
ajaklah daddy. Pergi mengadu dekat dia. Kau kan anak emas kesayangan daddy?” balas
Aurora dengan selamba. Tak kuasa sungguh hendak keluar menemani Zafrin
semata-mata hendak membeli pakaian baru. Dah tak ada kerja sangat gamaknya.
Tak
ayal, Aurora segera memboloskan diri ke dalam kereta. Tetapi, baru saja enjin
dihidupkan… kuat cermin keretanya diketuk-ketuk oleh Zafrin. Mahu tak mahu,
terpaksalah diturunkan cermin kereta.
“Kau
nak apa lagi?”
“Kau
nak balik macam itu aje? Habis, baju aku ni macam mana?”
“Apa
kata kau campakkan saja ke dalam longkang?”
Melihat
cermin kereta dinaikkan semula, dengan spontan Zafrin menanggalkan bajunya dan
mencampakkan ke longkang berhampiran. Aurora yang menggelabah melihat Zafrin tidak
berbaju begitu terus saja mengeluarkan kereta dari petak parkir dan
tergesa-gesa berlalu pergi. Seram dia! Lebih seram melihat Zafrin dalam keadaan
itu berbanding perasaannya ketika melihat makhluk alam lain.
Sempat
lagi Aurora mengerling cermin pandang belakang. Dengan jelas dia lihat Zafrin
sedang memerhatikan keretanya sambil bercekak pinggang.
“Gila
betul mamat ni!” omel Aurora menahan debar di dada.
No comments:
Post a Comment