Friday, 13 December 2019

AURORA Bab 10 & Bab 11



Bab 10

“Adik…” Aurora membuka mata perlahan-lahan setelah terdengar suara seseorang memanggilnya. Tangannya ternaik menyentuh kepala yang terasa berat.

            “Adik okey tak ni?”

            Aurora menoleh. Kelihatan mommy sedang berada di sisi katilnya. Suara mommy kedengaran sedikit cemas. Tangannya yang berada dalam genggaman mommy digoncang perlahan lalu kepalanya diusap wanita itu.

            “Apa dah jadi?” soal dia kepada si ibu. Memandang ke segenap ruang yang agak luas itu, dia sudah mampu mengagak di mana dia sedang berada. Pakaian seragam hospital, jarum yang terbenam di atas tangannya serta peralatan hospital meyakinkan dia di mana dia sekarang ini. Cumanya, apa yang sudah berlaku sehingga dia dimasukkan ke dalam wad?

            “Adik… dah sedar?” belum sempat hendak mendengar jawapan dari mulut mommy, suara daddy memintas. Jelas sekali riak kerisauan terpamer di wajah daddy ketika lelaki itu baru menolak pintu wad.

            “Adik okey tak ni? Ada rasa sakit kat mana-mana?” soal si ayah lagi dengan prihatin. Kepala Aurora yang sudah bertampal dengan plaster disentuh. Begitu juga dengan wajah si anak yang terdapat kesan calar dan luka.

“Adik okey.”

“Macam mana boleh jadi macam ni, dik? Adik buat kami semua risau tahu tak!” sambung daddy lagi dengan suara berbaur bimbang.

“Macam mana adik boleh ada dekat wad ni?” dalam banyak-banyak soalan, itu juga yang ditanya. Bagaimana agaknya dia boleh berakhir di katil hospital? Bukankah dia sedang berada di tapak perkuburan dan…

Aurora memejam mata, cuba menghalau sisa ingatannya terhadap kejadian aneh yang dialaminya.

“Zaf yang hantar adik ke sini. Nasib baiklah doktor kata tak ada yang serius.”

“Zafrin?” Aurora mula memicit dahi. Kini, baru dia mengingati tentang lelaki itu. Ah! Zafrin punya pasallah ni. Kalau bukan disebabkan Zafrin, pasti semua ini tak akan menimpanya!

“Dah kenapa pula tu?” daddy menyoal setelah melihat Aurora berulang kali memicit pipinya. Pelik dengan gelagat luar alam si anak.

“Adik tak mimpi, kan?” soalnya hanya mahukan kepastian. Tadi pun dia buat perkara yang serupa. Dia rasa sakit, tanda yang dia tidak bermimpi. Kini dia sengaja mengulangi perbuatan yang serupa untuk memastikan dia tidak lagi tersalah percaturan.

Daddy dan mommy memandang sesama sendiri sebelum menggeleng serentak.

“Adik ni kenapa? Cuba cakap dengan mommy betul-betul. Ada apa sebenarnya?” mommy menyentuh lengan Aurora, cuba mencari kebenaran. Risau melihat keadaan Aurora. Rasa risaunya setelah dimaklumkan oleh Zafrin keadaan Aurora masih belum surut sehingga kini biarpun doktor sendiri yang memaklumkan keadaan Aurora tak serius mana.

Tapi, naluri dan hati seorang ibu… tiada siapa yang boleh mempertikai.

“Tadi, adik…” kata-kata Aurora segera terhenti sejurus saja pintu wad ditolak. Terlihat wajah Zafrin di hadapan mata. Lelaki itu pula memandangnya tanpa suara sambil bergerak menghampiri katil. Di tangan kanan Zafrin, ada satu plastik berisi buah oren dan epal yang baru dibeli di pasaraya sebentar tadi. Buah-buah oren dan epal dikeluarkan lalu disusun di atas sebuah pinggan.

“Kau pergi mana, Zafrin?” soal Aurora dengan suara yang hampir tidak keluar dari anak tekak.

“Aku pergi beli buah untuk kau,” balas Zafrin dengan nada bodoh seraya menayang buah oren dan epal kepada gadis itu.

“Aku tak tanya pasal tu. Tapi, aku maksudkan pasal tadi. Kau pergi mana? Kau tahu tak yang aku cari kau dekat tandas tu macam orang bodoh!” bentak Aurora menahan bengang. Mengingati kejadian di stesen minyak membuatkan darjah kemarahan Aurora mencanak naik.

“Kau cari aku kat tandas?” wajah Zafrin mula berubah riak. Seolah-olah dia terkejut dengan pertanyaan Aurora.

“Habis tu? Kau tahu tak… aku tunggu kau kat depan tandas. Dah la kau tinggalkan telefon dalam kereta. Lepas tu kau hilang macam itu saja!”

Waitwaitwait. Aku hilang? Aku rasa kau ni dah silap, Aurora. Sebenarnya, kau yang hilang. Bukan aku.” Zafrin menjawab untuk membela diri.

Pinggan yang berisi dengan buah-buahan yang tidak sempat dipotong diletak elok-elok di atas meja lalu memandang mommy dan daddy bersilih ganti. Muka pelik ditayang sebelum memakukan mata kepada Aurora.

“Kau ni…”

“Adik…” tegur mommy seraya menyentuh pergelangan tangan Aurora yang seakan baru dirasuki hantu.

“Mommy dengan daddy tahu tak? Dia ni boleh tinggalkan adik seorang diri macam orang bodoh dekat stesen minyak tu. Dia hilang macam itu saja. Puas adik cari dekat tandas tapi sampai sudah tak jumpa.”

“Aurora, sumpah bukan aku yang hilang. Kau yang hilang. Aku pergi tandas tu tak sampai lima minit. Bila aku keluar, aku tengok kau dah tak ada dalam kereta. Puas aku cari kau dekat kawasan berdekatan. Aku tanya setiap orang yang ada di situ tapi seorang pun tak nampak kau. Dekat sejam aku tunggu kau tapi kau tak muncul-muncul pun. Aku cuba telefon kau tapi telefon kau pula…” Zafrin memuntahkan setiap perkataannya bagaikan peluru berpandu sebelum mengeluh berat. Kesal dengan apa yang berlaku.

“Habis tu, macam mana kau boleh bawa aku sampai ke sini?” air mata Aurora sudah mula bertakung. Macam-macam yang sedang bersarang dalam kepalanya.

“Ada orang jumpa kau terbaring kat luar pintu tandas. Aku terpaksa bawa kau ke hospital sebab kau tak sedarkan diri.”

“Aku terbaring kat luar tandas? Serius ke ni?” Aurora menuding dada sendiri kerana tidak percaya dengan cerita Zafrin. Ah! Jangan cakap Zafrin hanya mereka-reka cerita semata-mata hendak menutup kesalahan diri di depan daddy dan mommy?

“Kau jangan bohong. Jangan buat lawak dengan aku.”

“Aku tak ada masa nak buat lawak. Serius aku cakap. Puas aku cari kau sampai aku terpaksa minta tolong pekerja di sana. Sikit lagi aku nak pergi balai polis untuk buat laporan kehilangan kau. Waktu itulah…” kata-kata Zafrin terhenti. Cuba mengimbas semula apa yang terjadi di sana.

“Sudah. Tak payah bergaduh dekat sini. Adik… Zaf…” teguran mommy membuatkan kedua-dua mereka tersentak. Terlupa bahawa mommy dan daddy sedang berada bersama-sama kerana asyik sangat mempertahankan diri masing-masing.

“Zaf minta maaf, daddy… mommy. Zaf tak sangka pula nak jadi macam ni.” Sudahnya Zafrin bersuara setelah mendapat sedikit rasa tenang. Diraup wajahnya berulang kali seperti menyesal dengan semua yang telah terjadi.

“Tak apalah. Benda dah jadi pun. Tak ada apa-apa yang boleh diubah. Apa yang penting… adik selamat,” ujar daddy bagai cuba memujuk Zafrin.

Aurora mula memicit kepalanya yang tiba-tiba terasa memberat. Bayangan tanah perkuburan, pondok usang, lampu minyak tanah serta batu-batu nisan yang berceracak di kiri dan kanan masih bermain-main di fikiran. Dia memejam mata, cuba menghalau imej dan bayangan ngeri itu.

Perlahan-lahan dia menyembamkan muka ke bantal lantas menarik selimut sehingga menutupi keseluruhan tubuh.

  


BAB 11

            
Puas menenyeh mata pensel ke atas buku lukisan, Aurora cepat-cepat mengatup buku tersebut sejurus saja terdengar tolakan pintu wad. Mata mereka bertembung. Aurora tayang muka beku dan berpura-pura mengemas pakaiannya.

            Menurut doktor, dia sudah dibenarkan keluar dari wad hari ini. Jadi, sementara menunggu urusan keluar hospital diselesaikan oleh daddy, dia habiskan masa menyiapkan lukisan terkininya hasil daripada kejadian dua hari sudah.

“Kau dah siap ke?” soal Zafrin sambil melangkah mendekati Aurora.
“Kau tak nampak ke apa yang aku tengah buat ni?”
“Berlagak betul. Aku tanya baik-baik tau. Jawablah baik-baik.”

Aurora memutarkan bebola matanya. Tanda yang dia tidak ingin berbual dengan Zafrin. Masih menyimpan ‘dendam’ kepada lelaki itu atas apa yang menimpanya dua hari lalu.

“Nak aku tolong tak?” pelawa Zafrin, cuba mencapai pakaian milik Aurora yang sudah berlipat.

“Tak payah nak buat baiklah.”

“Eh, mana ada aku buat baik. Aku memang baik kut!” Zafrin menyengih, mengusik Aurora dengan sengaja.

“Ya, baiklah sangat. Sebab itu kau selamba tinggalkan aku macam orang bodoh hari tu, kan?”

“Aurora, sudahlah tu.  Kenapa tak habis-habis lagi nak mengungkit pasal hal tu?”

“Aku tak puas hati. Sampai bila-bila pun aku takkan pernah puas hati dengan kau. Disebabkan kau, aku…” Aurora tergigit bibir sendiri.

Ah! Perlu ke dia memberitahu apa yang terjadi dan menimpa dirinya kepada Zafrin? Jika dia beritahu pun, belum tentu lelaki ini hendak percaya. Silap-silap, teruk dia ditertawakan oleh Zafrin. Paling tidak pun, mungkin lelaki itu akan menuduhnya berangan!

“Aku apa?” Zafrin menjongket sebelah kening, menagih jawapan yang tidak dilengkapkan oleh Aurora.

“Tak ada apa-apalah. Daddy mana?” soal Aurora lagi sambil memandang pintu wad yang bertutup rapat. Zip begnya ditarik kasar lantas bangkit. Tidak sabar rasanya hendak segera pulang kerana sudah dua malam dia berada di dalam wad yang sangat membosankan ini.

“Daddy Carl dah balik. Dia baru dapat emergency call dari pejabat. Jadi, dia minta aku yang hantarkan kau balik.”

Aurora merengus kasar. Kenapalah dalam ramai-ramai manusia, daddy perlu mengamanahkan dirinya kepada Zafrin? Rafa kan ada. Rafa boleh menjemputnya pulang. Kalau Rafa tak boleh jemput dia, boleh saja dia balik sendiri menaiki Grab.

Bengang punya pasal, habis dirempuhnya tubuh Zafrin dengan bahunya menunjuk protes lantas berlalu keluar dari wad.

“Lepas ni aku hantar kau balik rumah family kau,” ujar Zafrin tatkala kedua-dua mereka sedang berada di dalam kereta.

“Tak payah. Hantar aku balik apartmen aku.”

“Tak boleh. Daddy Carl dah pesan awal-awal. Dia nak kau balik rumah family.”

“Isk! Mengadalah kau ni. Sikit-sikit daddy. Asyik-asyik daddy. Kau tahu tak aku ada kelas esok pagi? Assignment pula berlambak yang nak disiapkan. Janganlah nak mengada-ada hantar aku balik rumah family aku.”

“Kau ni kan… aku jentik dahi tu baru tahu! Kelas amende? Kau tu baru keluar hospital tau!”

“Pasal aku dah keluar hospital la aku boleh pergi kelas. Apa yang susah sangat kau nak faham ni?”

“Kau tu yang tak faham, Aurora. Kau belum sihat sepenuhnya. Lagi pun, aku dah beritahu semua lecturer kau pasal keadaan kau.”

Sepantas kilat Aurora menoleh kepada Zafrin. Kecil besar saja matanya memandang lelaki itu.

What? Kau beritahu semua lecturer aku?”

“Bukan setakat beritahu saja. Aku dah hantar surat doktor dekat setiap seorang daripada diorang bagi pihak kau.” Zafrin tayang sengihan bangga.

“Untuk itu, kau perlu berterima kasih dekat aku.” Sambung Zafrin lagi dengan senyuman sengetnya.

“Eee… dasar penyibuk!” Aurora memprotes.

Well… terima kasih atas pujian tu. At least, aku dah tolong selamatkan kau daripada kena bar masuk dewan peperiksaan nanti.”

Meluatnya Aurora mendengar kata-kata Zafrin.

Sehinggalah kereta tiba di perkarangan banglo keluarga Aurora, gadis itu terus menonong ke dalam tanpa sepatah kata meninggalkan Zafrin terkontang-kanting di luar. Mommy yang menanti di muka pintu dan menegurnya pun dibuat tak endah. Sakit hati punya pasal, terus rasa nak lancarkan mogok dan mahu berkurung di dalam bilik sampai bila-bila.

“Zaf, tercegat apa dekat situ? Masuklah.” Panggil mommy dengan pandangan kasihan kepada Zafrin.

“Tak apalah, mommy. Zaf singgah sekejap aje ni. Nak hantar Aurora aje.”

“Eh, takkan nak balik dah? Masuklah ke dalam dulu. Kita makan tengah hari sama-sama. Mommy baru aje selesai masak.” Pelawa mommy dengan senyuman mesra.

Zafrin yang masih lagi memerhati ke arah tangga hanya mengangguk bersetuju.

“Macam mana, Zaf?” soal mommy disaat mereka berdua sedang berada di meja makan. Mommy menuang air ke dalam gelas Zafrin. Mengerling sekilas kepada anak muda itu. Namun, Zafrin yang hanya mampu mengelamun sejak Aurora menghilang ke atas tadi terpinga-pinga kerana tidak faham maksud pertanyaan wanita itu.

“Apa maksud mommy?”

“Ada perkembangan?”

Zafrin hulur senyuman tawar. Geleng sekali, memberi jawapan dengan rasa yang sangat berat di dada.

“Adik macam mana?”

“Macam itulah, mommy. Masih marahkan Zaf pasal kes dua hari sudah. Puas Zaf cuba terangkan, tapi dia tak nak faham. Ini pun dia bertambah marah dengan Zaf sebab Zaf jemput dia di hospital bagi pihak daddy.”

“Sabar ajelah dengan perangai dia tu, Zaf. Mommy percaya, lambat laun semuanya akan okey.”

Mommy mencedok nasi lalu menghulurkan pinggan kepada Zafrin.

“Adik tu, keras hati sikit. Zaf kena banyak-banyak bersabar dengan perangai dia. Kalau dia cakap apa-apa yang menyakitkan hati, Zaf jangan ambil hati. Zaf tahu kan apa sebabnya?”

Zafrin menunduk, merenung pinggan makan yang masih penuh dengan nasi. Keluhan berat dilepaskan. Perlahan-lahan dia mengangguk dan mengukir sedikit senyuman agar mommy tidak risaukan apa-apa.

“Ni… mommy nak tanya. Apa sebenarnya yang berlaku di stesen minyak hari tu? Sampai hari ni mommy dengan daddy tak faham apa yang adik cakapkan. Berulang kali dia sebut benda yang sama. Zaf hilang… Zaf hilang. Lepas tu salahkan Zaf. Kenapa, Zaf?”

“Zaf sendiri tak faham dengan apa yang dia cakapkan, mommy. Apa yang Zaf tahu, dia yang hilang. Mommy sendiri tahukan pasal hal Zaf hampir nak pergi balai polis?”

“Habis tu…”

“Mommy, takkan Zaf nak menipu pula? Mommy tak percayakan Zaf ke?”

“Mommy tak cakap pun yang Zaf menipu. Cumanya, mommy hairan. Mungkin adik ada cerita apa-apa dekat Zaf pasal kejadian hari tu?”

“Nampak aje muka Zaf, dia ajak bertekak. Tak mungkin dia nak cerita apa-apa, mommy.” Zafrin tergelak palsu.

“Tak apalah. Kita anggap sajalah semua ni salah faham aje.” Sudahnya mommy membuat keputusan untuk tidak lagi memanjangkan isu ini. Apa yang penting, Aurora sudah selamat kembali ke pangkuan keluarga.

Zafrin mengangguk. Nasi disumbat ke mulut biarpun selera hendak makan telah lama hilang. Perlahan-lahan dia mencuri pandang ke arah tangga, menanti kelibat Aurora yang tak kunjung tiba.

***

Buat tahi mata ke tu? – Zafrin

Mesej yang baru dihantar oleh Zafrin dipandang bersama cebikan meluat. Tak ayal, telefon pintarnya dicampak ke atas katil. Aurora mendekati jendela di luar bilik tidurnya, mengintai ke luar sana mencari kereta Zafrin. Ternyata, Ferrari merah menyala milik lelaki itu elok saja terparkir di halaman banglo.

“Apa yang dia buat lama-lama dekat sini? Tak reti nak balik ke?”

Hah, kutuk aku la tu! – Zafrin

Satu lagi mesej masuk ke peti telefon Aurora. Macam mana dia tahu apa yang berada di mindanya? Geram, Aurora membalas untuk memuaskan hati sendiri.

Haah. Memang tengah kutuk kau! – Aurora

Zafrin membalas dengan satu emoticon senyum. Kemudian, masuk satu lagi mesej daripada lelaki itu.

Kau okey tak? – Zafrin

Aurora mendengus kuat. Sakit hatinya terhadap Zafrin masih lagi tersisa. Dijeling-jelingnya telefon di tangan melepas bengang. Sungguh dia memang tak puas hati dengan lelaki itu untuk banyak perkara.

Sibuk nak tahu dah kenapa? – Aurora

Eleh, sombong. Tanya pun tak boleh? – Zafrin

Apsal kau tak balik lagi? Kau mengadu apa dekat mommy? – Aurora

Eh, mana kau tahu aku tak balik lagi? Mengintai ek? – Zafrin

Pertanyaan Zafrin yang berbaur serkap jarang itu memerangkap Aurora.

Tak kuasa nak mengintai kau. Kau ingat kau tu siapa? – Aurora

Anak kesayangan mommy dan daddy kaulah! – Zafrin

Eh, kau balik ajelah. Macam dah tak ada rumah sendiri! – Aurora

Mana boleh balik. Mommy suruh aku makan tengah hari dekat sini dulu. Sekarang ni, mommy tengah cakap something ni…  – Zafrin

Menatap bait-bait perkataan yang tertera membuatkan darjah kemarahan Aurora mencanak naik. Aduhai! Apa yang mommy sedang beritahu Zafrin? Apa yang mereka bualkan di bawah? Ah! Tak boleh jadi ni.

Laju saja Aurora mengatur langkah ke meja makan. Tayang muka ketat lagi disirami pula dengan riak beku dan dingin, Aurora menghempaskan punggung tidak jauh dari kerusi mommy. Sejak dari tangga lagi dia mendengar suara mommy dan Zafrin sedang rancak bersembang.

Pinggan makan ditarik. Mencedok nasi dan lauk ke atas pinggan, Aurora sempat mengerling Zafrin yang sedang mengulum senyum kepadanya.

Tidak lama kemudian, ketika dia sedang mengunyah nasi… tersedar dua pasang mata sedang tersorot lama ke arahnya. Panggung kepala, satu demi satu wajah mommy dan Zafrin dipandang.

“Kenapa semua orang pandang macam baru lepas nampak hantu?”

“Adik okey tak ni?” aju mommy bernada risau bercampur prihatin. Melihat kemunculan Aurora secara tiba-tiba di sini, dia syak ada sesuatu yang baru saja terjadi. Bukannya dia tidak tahu bagaimana perangai gadis itu.  Spontan mommy memandang Zafrin, meminta penjelasan.

Zafrin angkat bahu, terus sambung memandang Aurora. Gadis itu hanya diam menikmati makanan tengah harinya tanpa mempedulikan sesiapa. Dia hadir di meja makan pun semata-mata sebab nak memastikan tiada apa-apa perkara pun yang disorok daripadanya. Bukan boleh percaya sangat dengan Zafrin. Entah apa sajalah yang dibodeknya nanti.

“Lepas makan ni, Zaf nak balik ke kolej semula,” ujar Zafrin tiba-tiba memecahkan kesepian di meja makan seraya memandang mommy yang duduk di kepala meja.

“Zaf ada kelas ke?”

“Petang ni tak ada kelas tapi ada meeting persatuan. Lepas asar nanti ada latihan ragbi. Perlawanan ragbi antara universiti dan kolej dah dekat.”

“Oh, ya ke? Dah masuk semester akhir pun masih sibuk dengan persatuan dan perlawanan ragbi ya?”

“Nak buat macam mana, mommy. Banyak program yang berjalan serentak. Itu yang kena pergi meeting sana sini.”

“Jadi, lepas habis semester nanti… Zaf dah ada rancangan?”

Zafrin mengangguk. Sempat matanya melirik ke arah Aurora yang hanya diam di kerusinya.

“Dah, mommy.”

“Baguslah kalau dah ada rancangan. Kiranya, Zaf nak terus masuk kerja atau nak berehat dulu? Tidak pun nak pergi travel?” teka mommy dengan kening yang terangkat.

“Kalau Zaf nak masuk meminang Aurora, boleh tak mommy?”

Uhuk! Uhuk!

Tersedak-sedak Aurora dibuatnya setelah mendengar sebaris pertanyaan Zafrin itu. Kelam kabut dia mencapai gelas dan meneguk air kosong sehingga licin. Merah wajahnya kerana menahan perit ditekak. Memandang Zafrin, lelaki itu hanya menayang wajah bersahaja.

“Macam mana, mommy? Boleh ke?” aju Zafrin menagih kepastian tanpa mempedulikan Aurora yang sedang merenungnya tajam.

“Dah cukup ke duit nak tanggung anak mommy ni?” balas mommy dengan satu soalan sehingga Zafrin tersengih-sengih.

“Mommy janganlah risau kalau bab duit tu. Zaf yakin Zaf lebih daripada mampu. Lagi pun, royalti lagu yang Zaf dapat… semuanya Zaf simpan untuk buat perbelanjaan lepas kahwin. Rasanya, anak mommy dah boleh goyang kaki bila jadi isteri Zaf nanti.”

“Kau ni apa hal?” bentak Aurora. Sakit hati betul dia mendengarnya. Macamlah dia teringin sangat nak jadi isteri lelaki itu. Berangan ajelah!

Aurora mengerling mommy. Jika bukan kerana mommy turut berada bersama, dia tak akan teragak-agak hendak mencampakkan gelas dan pinggan ke kepala Zafrin. Biar dia tahu macam mana rasa sakit itu.

“Kenapa? Kau tak nak kahwin dengan aku ke?”

“Mimpi ajelah. Kalau pupus semua lelaki kat dalam dunia ni dan hanya tinggal kau seorang saja… belum tentu aku nak terima kau!” Aurora menyerang balas. Geram! Mentang-mentanglah di antara mereka adanya mommy, suka hati saja Zafrin hendak bergurau dengannya. Naik kebas juga wajahnya menahan bengang bercampur malu.

Hari-hari kut dia bergaduh dengan Zafrin. Kalau dia jadi isteri lelaki itu, entah apalah yang akan berlaku nanti. Gamaknya, perang dunia ketiga mesti akan meletus!

“Sampainya hati kau cakap macam tu, Aurora. Kecil hati aku.” Zafrin memegang dada dan berpura-pura seakan jantungnya baru saja dipanah. Wajah kecewa ditayang, mengharapkan akan ada jawapan balas lagi daripada Aurora.

“Isk, ada-ada ajelah korang berdua ni.” Mommy tergelak. Melihatkan perangai dua manusia itu, dia tergeleng-geleng.

“Mommy, boleh tak kalau Zaf nak masuk meminang Aurora? Zaf fikir sehari lepas Zaf habis kertas terakhir nanti, Zaf nak hantar rombongan. Nanti Zaf minta mama tolong belikan cincin untuk Aurora.” Tambah Zafrin lagi sambil ketawa-ketawa.

“Zaf tanyalah tuan punya badan sama ada dia sudi atau pun tidak. Mommy tak kesah pun kalau Zaf jadi menantu mommy,” balas mommy seraya memandang wajah anak gadisnya.

“Kalau kau mampu bagi sedulang hati nyamuk, aku akan mempertimbangkan peminangan kau tu,” sudahnya Aurora memberi kata putus semata-mata hendak mendiamkan mulut Zafrin. Dasar mulut tak ada insurans betul. Suka main-mainkan perasaannya macam ni.

“Kau nak hati nyamuk? Kau fikir kau tu Puteri Gunung Ledang nak minta hati nyamuk bagai? Minta hati ayam sudahlah. Senang sikit aku nak pergi beli dekat pasar.” Zafrin menyengih, menyerang balas kata-kata Aurora dengan bersahaja sehinggakan mommy tertawa besar.

Namun, Aurora pula terus meletakkan sudu dan garfunya ke atas pinggan dengan kasar. Pantas saja dia bangkit dan menuju ke dapur bersama pinggan kotor. Sakit hatinya menjadi semakin parah tatkala telinganya menangkap suara lelaki itu ketawa-ketawa.

Kau siap, Zafrin. Ada ubi ada batas, ada hari aku balas.

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...