Friday, 25 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 8

Tuah, smile!” tiba-tiba saja Elena merapatkan tubuhnya di sebelah Tuah lalu merakam beberapa keping gambar mereka berdua. Elena kembali ke kerusinya dan terus membelek telefonnya tanpa menghiraukan Tuah yang sedang terpinga-pinga.

“Ambik kau. Puas hati aku!” gumam Elena sambil menekan kasar skrin telefonnya. Telefon itu kemudiannya dicampak kasar ke atas meja lalu menyedut-nyedut air yang dipesannya tadi.

What?” aju Elena dengan suara yang tertahan-tahan sebaik menyedari Tuah sedang memerhatinya tanpa suara.

“Awak buat apa dengan gambar kita berdua?”

Elena tersenyum sinis sambil terus menyedut airnya. Puas hatinya bila dapat menunjuk dan menayang kepada Zira. Sekurang-kurangya sakit hatinya sedikit berkurang sejak dia mendapat respon daripada Zira melalui laman instagramnya seminit lepas. Baru dia tahu langit tu tinggi atau rendah! Mana taknya, sejak Zira dan Azad berdamai tak habis-habis Zira mesej Elena memberitahu tentang kebahagiaannya bersama Azad. Naik jelak rasanya.

“Saja nak buat kenangan.”

“Awak upload kat instagram?”

“Tak boleh ke?”

“Tak cakap pun tak boleh.”

Elena angkat kening, capai sudu dan garfu di atas pinggan lalu menguis-nguis nasi goreng yang telah dipesannya. Seleranya langsung mati saat ternampak balasan mesej Zira. Habis nasi di dalam pinggan dikerjakannya sehinggalah tersedar lengannya dicuit oleh Tuah.

“Awak okey ke?”

“Okey kut!”

“Ya ke?”

“Yalah.”

“Betul ke ni?”

“Betul la.”

“Macam tak okey aje?”

“Isk, memang saya tak okey. Puas hati?!”

Terjegil-jegil Elena di hadapan Tuah. Sakit hati dengan Zira dan Azad pun masih belum hilang, Tuah pula sibuk duk bertanya itu ini padanya. Tak boleh ke duduk diam-diam dan habiskan saja makanan tengah harinya?

“Awak ni peliklah,” komen Tuah tanpa dipinta.

“Apa yang peliknya dengan saya?”

“Yalah. Sekejap awak okey, sekejap tak okey. Sekejap awak mengomel seorang diri, lepas tu senyum. Tak lama kemudian, awak naik angin pula. Saya ada buat salah apa-apa pada awak ke?”

Aduhai, kenapa suara Tuah tu kedengaran sangat mencairkan hati sekarang ni? Kenapa hatinya yang sedang panas ni boleh sejuk bila Tuah bertanya dalam nada prihatin macam ni?

“Tak.”

“Habis tu… kenapa?”

“Isyh, payahlah dengan awak ni. Banyak bertanya betul! Fine! Saya cerita.” sudahnya Elena mengangkat bendera putih. Membiarkan Tuah bertanya itu dan ini boleh buat hatinya yang sejuk menggelegak panas semula.

“Saya stress awak tahu tak? Stress sangat-sangat!” adu Elena akhirnya.

“Kenapa?”

“Pasal…” Elena putarkan mata dan memandang ke atas.

“Pasal kawan saya. Awak ingat tak apa yang berlaku pada saya masa mula-mula kita jumpa hari tu?”

“Oh… yang… ehem… okey… okey… saya ingat.”

Tuah berdehem. Tidak mahu menyebut dengan jelas apa yang telah berlaku dulu. Mana boleh dia lupa apa yang sudah berlaku kepada Elena dulu. Elena pula, suapkan nasi goreng ke mulut dan mengunyahnya beberapa kali lalu menelan rakus. Melepas geram dengan Zira dan Azad dengan cara mudah.

“El…”

“Hmm?” aju Elena dengan mulut yang penuh dengan makanan.

“Makan perlahan-lahan.”

Elena buat tidak tahu. Makin Tuah pandangnya, makin dia buat perangai dengan terus menyumbat sesudu demi sesudu nasi goreng ke dalam mulut. Belum habis mengunyah, dia menyedut lagi air dari gelasnya sehingga licin.

“Saya geram tahu tak? Sakit hati. Sakit jiwa. Sakit kepala. Semuanya ada. Semuanya sebab dua ekor makhluk tu la.”

“Lelaki tu ada apa-apakan awak lagi ke?”

“Tak adalah dia apa-apakan saya. Cuma… hati saya ni… sakit sangat-sangat tengok muka dia. Tak cukup dengan itu, kawan saya tu pula buat perangai entah apa-apa. Awak tahu tak… dia ada datang ke bakeri tadi sambil menangis-nangis. Dia beritahu saya yang lelaki tu nak putuskan pertunangan diorang. Tup tup… tak lama kemudian, lelaki tu muncul, buat acara pujuk memujuk… terus cair hati dia. Eee…geramnya! Geramnya!”
Tuah tergelak-gelak melihatkan gelagat Elena. Habis nasi goreng di dalam pinggannya menjadi mangsa. Berselerak dibuatnya dek perbuatan Elena itu.

“Kira okeylah tu. Diorang dah berdamai, kawan awak pun dah tak perlu menangis lagi. Habis cerita.

“Eee… nasib baiklah saya ni waras lagi tau! Kalau tidak… saya garu-garu aje muka awak dengan garfu ni!”

“El… letak garfu tu!”

“Kenapa? Awak takut?”

“Bukan takut cuma… bahaya. Turunkan garfu tu.” nasihat Tuah lalu menarik kepalanya ke belakang. Risau juga melihatkan garfu tajam sedang dihala ke arahnya. Silap-silap boleh jadi Kassim Selamat dia hari ni.

Fine!

Dada Elena berombak kencang. Dia diam untuk jangka masa yang lama.

“El… sorry kalau saya buat awak marah. Sorry kalau saya ada salah cakap.”

 “Memang salah cakap! Awak ni… memang nak menyokong lelaki tak guna tu kan? Patutnya diorang putuskan aje hubungan diorang. Tak ada guna teruskan perhubungan macam itu. Zira patutnya dapat lelaki yang jauh lebih baik daripada Azad. Apa… dia ingat orang perempuan ni barang mainan ke? Masa nak, ambil tapi bila dah tak nak, sesuka hati aje campak merata.” Elena berteriak dengan penuh perasaan. Mengingati kejadian di bakeri tadi, meluap semula hatinya. Malah rasa geram itu makin mencanak-canak naik sebaik saja dia melihat gambar-gambar yang telah dimuat naik di dalam laman instagram milik Zira beberapa minit lepas.

“Saya tak sokong atau sebelahkan sesiapa. Cuma… saya nasihatkan awak supaya bertenang dan lupakan apa yang terjadi. Rasa-rasanya, biarlah diorang berdua selesaikan sendiri masalah dia orang. Hati orang ni kita mana boleh kawal. Kalau dah diorang masih nak teruskan perhubungan tu, siapa kita nak melarang? Lagi pun, sebagai seorang kawan… saya rasa ada baiknya awak berdoa banyak-banyak supaya Allah tunjukkan jalan yang terbaik untuk kawan awak. Andai kata jodoh diorang bersama, awak kena terima.”

“Huh, saya tak boleh terima lepas apa yang terjadi. Dah banyak kali saya cakap pada Zira supaya tinggalkan lelaki tu. Awak tahukan apa yang lelaki tu dah buat pada saya? Takkan saya bodoh sangat nak biarkan kawan saya habiskan seluruh hidup dia dengan orang macam itu?” Elena menolak-nolak anak rambutnya ke belakang. Sengaja mahu menayang parut di dahi yang dihadiahkan oleh Azad dulu.

“Awak cuba tengok gambar ni,” tanpa diminta, Elena menayangkan telefonnya ke hadapan Tuah. Skrin yang sedang memaparkan gambar mesra antara Azad dan Zira dibiar menjadi santapan mata Tuah.

“Mesra bukan main lagi. Nak menayang kat satu dunialah tu yang diorang tengah bahagia. Menyampah!”

Protes Elena lagi dengan muka yang cemberut.

“Sekarang ni, saya nak tengoklah berapa lama kebahagiaan diorang tu boleh bertahan. Tapi aci kerat jari punyalah, diorang takkan bertahan lama!”

“Cara awak cakap ni macam orang cemburu.”

No, I’m not! Tak kuasalah nak cemburu bagai. Sebesar zarah pun saya tak cemburukan hubungan diorang. Kalau boleh, saya nak diorang tu berpisah sampai bila-bila. Putuskan hubungan dan bawa haluan masing-masing.”

“Tak baik tau doa macam tu.”

“Oh, awak nak kata saya ni kawan yang teruk? Macam itu?”

“Bukan macam itu… tapi awak mesti nak tengok kawan awak bahagia, kan?”

“Sebab saya nak kawan saya bahagialah saya doa semoga hubungan diorang tu cepat-cepat saja berakhir.”

“Kenapa awak tak doakan saja lelaki tu berubah? Doa semoga dia jadi seorang yang setia. Kan lebih bagus kalau macam itu?”

“Heh, mimpi ajelah! Lelaki… kalau dah pernah curang, jangan harap dia akan berubah jadi lelaki setia. Kalau dah dasar playboy, tak cukup dengan satu perempuan… tak mungkin boleh berubah jadi baik. Mati hidup semula pun belum tentu tau!” bersungguh-sungguh Elena mengutuk Azad sehingga Tuah hampir saja lagi tergelak.

“Saya rasa… makin kita bercerita hal diorang, makin buat awak panas hati. Apa kata…”  Tuah diam. Dua saat dia diam sampai Elena jadi tak sabar mahu tahu apa yang bakal keluar dari mulut lelaki itu.

“Kita berbual pasal kita, mesti awak tak akan sakit hati.”

“Pasal kita? Tak ada benda yang nak dibualkan pasal kita berdua.”
Elena geleng-geleng dan sambung makan. Nak berbual apa sangat kalau mereka pun baru saja berjumpa tiga kali.

“El…” Tuah raba poket seluarnya sambil tenung Elena tanpa lepas.

“Hmm?”

Kotak baldu berwarna biru gelap disua ke arah Elena. Elena pula hampir saja lagi tersedak. Cepat-cepat dia mencapai gelas Tuah dan menyedut-nyedut minuman itu sehingga habis. Tisu di atas meja dicapai. Bibir yang comot dikesat. Sungguh rasa macam nak tercabut saja jantungnya saat melihat sebentuk cincin berlian sedang bermain-main di ruang matanya. Angkat kepala, dia nampak yang Tuah hanya tersenyum bersahaja.

“Apa ni?”

“Elena… sudi tak kalau awak jadi isteri saya?”

“Apa awak cakap Encik Tuah?”

“Saya ajak awak kahwin. Sudi tak?”

“Apa yang awak merepek ni?”

“Saya tak merepek. Saya cuma bertanya… sudi tak awak jadi isteri saya?”
Elena merenung lama kotak cincin di hadapannya sebelum dia tergelak.

“Awak cuba-cuba nak jadi mat romeo ke macam mana?”
Tuah geleng. Mukanya serius. Seperti betul-betul memaksudkan apa yang dia beritahu tadi sedangkan Elena menganggap yang lelaki itu cuma bergurau. Mungkin untuk kurangkan bahang panas yang dah serupa lava gunung berapi di dalam hatinya.

“Tak, Elena. Saya serius ni.”

“Hello… Encik Tuah! Awak sedar tak apa yang awak cakap ni?”

“Sedar.”

“Awak tahu tak apa yang awak sedang buat ni?”

“Tahu.”

“Maigaddd!” pantas Elena meraup wajah. Langsung tak percaya dengan tindakan Tuah.

“Encik Tuah… awak jangan nak main-mainlah. Saya tahulah emosi saya tak berapa nak stabil lepas kawan saya buat hal tadi tapi awak jangan nak jadi sengal sampai macam ni. Takkan awak nak turut sama jadi emosi macam saya kut?”

“Saya tak main-main, Elena. Dan emosi saya memang stabil. Tak ada apa-apa yang sedang mempengaruhi saya sekarang ni.”

“Ya Allah… tolonglah Encik Tuah. Hal nikah kahwin ni bukan benda main-main. Saya tahu mungkin awak cuma nak hiburkan saya tapi jangan mempersendakan hal-hal besar macam ni!”

“Saya tak main-main, Elena. Saya tak pernah mempersendakan hal nikah kahwin.”
Elena mengetap bibir. Garfu di tepi pinggan dipegang dan digenggam kemas-kemas. Kalau tak ikut akal warasnya, memang dia campak saja garfu ni ke muka Tuah. Mengarut betullah mamat rambut panjang ni.

Look… Encik Tuah… awak sedar tak status kita? Kita baru kenal kut!”

“Apa salahnya? Awak bukan milik sesiapa, kan?”

“Memang saya bukan milik sesiapa tapi masalahnya… kita baru aje kenal. Baru nak masuk dua minggu.” Elena mengangkat jari telunjuk dan jari hantunya lalu mencantumnya rapat-rapat. Dua minggu kenal Tuah, takkan dia mahu bersetuju? Ini kerja gila!

“Ada orang… kenalnya dah bertahun-tahun tapi belum tentu mereka berkahwin. Ada pula orang yang baru sehari kenal, esoknya dah bertunang dan lusa terus jadi kekasih halal.”

“Ada orang pula, kahwin hari ini kemudian esoknya bercerai! Saya tak nak jadi macam itu.” Elena memangkah dengan alasan tersendiri. Gerun bila memikirkan tentang hal perceraian. Orang yang kenal bertahun-tahun, kenal hati budi masing-masing pun masih boleh bercerai berai… inikan pula mereka berdua. Ah, memang kerja gila!

“Macam mana kalau saya dapat tahu yang awak ni orang jahat?” Tuah tergelak besar selepas Elena menghabiskan ayatnya. Kelakar sungguh! Ada ke patut boleh fikir sampai ke situ. Mukanya ini nampak macam samseng ke?

“Kenapa? Awak tengok muka saya ni macam ahli kumpulan pengganas ke? Atau pun pembunuh bersiri?”

“Manalah saya tahu. Saya pun baru jumpa awak tiga kali.”

“Andai kata apa yang baru saya sebut tadi tu betul… awak nak buat apa?” aju Tuah bernada mengusik.

“Saya cucuk biji mata awak dengan garfu ni!” garfu tadi dihala ke muka Tuah dengan mata dicerun-cerunkan. Kalau Tuah berani nak takut-takutkannya, dia lagi berani untuk takutkan Tuah dengan garfu itu.

“Aduh, jadi Kassim Selamat la saya kalau gitu.”

“Huh, jangan macam-macamlah Encik Tuah!”

“Saya gurau ajelah!”
Elena sebal melihat Tuah yang sedang terbahak-bahak ketawa.

“Awak ingat benda ni kelakar? Sukalah tu ketawakan saya macam ni?”

“Saya tak cakap pun kelakar… tapi awak tu… macam mana boleh terfikir yang saya ni orang jahat? Orang jahat, tak pulangkan beg tangan mahal tau. Orang jahat tak bawa awak makan kat restoran macam ini. Orang jahat, tak ajak perempuan secantik awak kahwin.”
Elena mencebik. Eh… eh… dia ni. Masuk lif tekan sendiri!

So… macam mana?” sekali lagi Tuah bertanya. Mahu memastikan apa jawapan yang Elena akan beri.

“Saya tak nak cakap apa-apa. Saya nak balik!” kali ini, Elena bangkit mendadak. Sekarang ini, dia nampak Tuah sama seperti Azad. Sama-sama menyakitkan hati!
Kalut Tuah membayar bil makan tengah hari mereka dan bergegas mengejar Elena yang sudah menjauh. Tuah berusaha menyaingi langkahnya dan bila berjaya, beg tangan yang tergalas di bahu gadis itu ditariknya.

“Elena… nantilah dulu.”

“Awak jangan ikut saya! Saya nak balik! Ke tepi! ”

“Elena.”

“Jangan ikut saya!” Elena sudah pun menaikkan jari telunjuknya memberi amaran dan kini Tuah gagal untuk terus berada bersama Elena sehingga dia mendapatkan jawapan yang pasti.


Perlahan-lahan kepala jatuh ke bawah dan mata terpaku pada kotak cincin di tangan. Ah, bodohlah kau ni Tuah!


No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...