Sunday, 20 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 6

Elena mengukir senyuman kepuasan saat melihat dua puluh biji American Cheesecake, lima belas biji Victoria Sandwich Cake serta sepuluh biji Opera Cake yang sudah pun disiapkan. Lega bila tempahan pelanggan telah berjaya disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan. 

Kemudian, dia mencapai beberapa peralatan menghias kek untuk membuat sentuhan terakhir ke atas kek dua tingkat yang akan diambil pelanggan sedikit waktu lagi sempena majlis pertunangan.

“Bos!”

Tak semena-mena saja laungan Lola iaitu salah seorang krew Elena Cake Studio dari pintu dapur membuatkan gerak tangan Elena tersasar di atas kek. Sambil mengurut dada, dia menjeling halus kepada Lola.

“Ada apa?”

“Ada orang nak jumpa,” ujar Lola.

“Siapa? Customer yang order kek pertunangan ni ke?”

“Bukan…bukan…” Lola menggeleng.

“Habis tu?”

Berkerut-kerut dahi Elena menantikan jawapan Lola. Aduhai, tolonglah jangan sebut nama Tuah, Lola oi!

“Zira.”

“Zira?” mata Elena membulat manakala bibirnya pula sudah mengherot. Oh, Zira ya? Rupanya masih ingat jalan nak ke sini. Siap dia kejap lagi!

“Suruh dia duduk dulu. Saya nak siapkan kek ni sikit lagi.”

“Beres, bos!”

Elena menanggalkan apron dan meluru ke arah Zira sesudah keluar dari dapur.

“Hah, wujud lagi rupanya! Ingatkan dah pindah ke planet lain dah!” Sergah Elena. 
Zira mengangkat mukanya perlahan-lahan memandang Elena yang sedang bercekak pinggang di hadapannya sebelum menunduk semula. Wajahnya nampak sugul manakala tangannya pula sudah naik mengesat pelupuk mata.

“Kenapa dengan kau ni?” teragak-agak Elena bertanya. Hairan bin ajaib. Takkanlah baru saja kena sergah… si Zira terus menangis macam ni? Tak cool langsung la minah sorang ni!

“El…” suara Zira kedengaran sangat perlahan sebelum tangisannya pecah. Tanpa bertangguh, dia menghumbankan tubuhnya ke dalam dakapan Elena dan menangis sepuas hatinya di bahu gadis itu.

“Weh… ada apa ni? Apa pasal kau nangis-nangis ni. Chill la! Takkan aku sergah sikit kau dah nak sentap sampai macam ni?”

Zira terus menangis. Malah pelukannya makin dieratkan sehingga Elena hampir saja lagi sesak nafas.

“Zira…” pujuk Elena lalu menepuk-nepuk belakang tubuh Zira. Dia biarkan saja Zira melepaskan tangisannya. Elena menolak tubuh Zira kembali ke kerusi setelah tangisan gadis itu agak reda.

“Zira… kenapa ni? Aku tahulah kau dah tak jumpa aku lebih daripada seminggu… tapi takkanlah kau nak ajak aku buat sesi jejak kasih kat sini? Geli kut! Orang tengok!” bahu Zira ditolak-tolaknya. Rasa nak tergelak pun ada bila Zira sibuk menyedut hingusnya yang meleleh-leleh tadi. Tetapi Zira pula terus meraung bagai anak kecil gagal mendapat gula-gula sehingga menyembamkan wajahnya ke meja. Tidak cukup dengan itu,tangannya menumbuk-numbuk dan mengetuk-ngetuk meja melepas seluruh rasa.

“Wei, hantu setan mana yang dah rasuk kau ni?”

Elena mula meliarkan mata ke sekeliling. Malu bila perasan ada beberapa pasang mata yang sudah memandang-mandang mereka berdua.

“Zira… berhenti menangis boleh tak? Orang tengok weh. Malulah!”

Elena garu kepala yang tidak gatal. Tengok Zira terus menangis, dia angkat bendera putih.

“Okey… okey… kau nangis la. Aku tak kesah. Nangislah sepuas hati… tapi jangan sampai banjir bakeri aku ni sudah!” Elena sengaja buat lawak tak bijak.

“Kau duduk sini dulu… tunggu aku. Aku bawakan kau kek favourite kau eh. Aku bawa dengan Caramel Macchiato sekali. Tunggu tau!” menonong Elena bangkit dan menghilang ke belakang. Selang beberapa minit, dia kembali bersama hidangan untuk Zira.

“Nah… untuk kau. Kau makan, tenang-tenangkan diri dulu. Lepas tu kau boleh cerita kat aku apa yang dah terjadi.”

Pujukan Elena itu ternyata sedikit melegakan hati Zira. Dia hanya mengangguk dan menuruti arahan  Elena. Habis saja hidangannya, dia hanya membatu dan mengelamun jauh.

Soooo…” suara Elena meleret, memberi isyarat agar Zira membuka mulut.

Sorry weh. Aku tahu kalau aku nangis memang buruk gila!”

“Tahu tak apa! Kau mana pernah cantik kalau menangis.”

“Isk, El!” Zira mengesat sisa air mata di atas pipinya.

“Azad…” tutur Zira perlahan.

“Kenapa dengan dia?” meluap hati Elena saat Zira menyebut nama lelaki itu.

“Dia…”

“Kenapa?”

 “Dia nak putuskan pertunangan kami,” sambung Zira lagi dengan rasa sebak yang mula bersarang di dada.

Are you sure?

Zira hanya mengangguk lemah.

“Alhamdulillah!” Elena menadah tangan mengucap syukur.

“Elena! Sampai hati kau!”

“Eh, apa pula? Syukurlah akhirnya kau dengan dia putuskan hubungan korang!”

“Belum putus. Cuma dia yang mahu putus!”

“Ya… ya… apa-apa ajelah.”

“El…” Zira buat suara merengek.

“Kau tak rasa sedih ke bila aku cakap pada kau yang Azad minta putus tunang?”dia menyambung. Elena pula menyilangkan tangan ke dada dan duduk bersandar selesa ke kerusinya. Kepala digeleng beberapa kali sambil buat muka tenang.

“Tak. Sikit pun tak malah aku rasa lega sangat-sangat bila dia cakap macam tu.”

“Tak baik tau kau ni. Patutnya, sebagai kawan baik aku… kau doakan benda baik-baik untuk kami berdua. Ini tidak… aku tengok kau macam suka sangat aje hubungan kami berakhir!”

“Sebab aku kawan baik kau la aku lega bila jadi macam ni.”

“El, baik kau doa supaya dia tarik balik kata-kata dia. Kau patutnya berdoa semoga aku dan Azad akan selamat sampai ke jenjang pelamin.”

“Huh, jangan haraplah Zira!” Elena mencebik megah.

Elena tersedar yang Zira sedang merenungnya tak puas hati.

What? Kau fikir aku kejam sangat ke?” jeda.

“Kau tahu tak… aku sayang kau sebab itulah aku lega bila kau dengan dia akan putus. Kau cuba fikir eh… layak ke dia jadi suami kau? Daripada kau kahwin dengan dia lepas tu asyik makan hati berulamkan jantung… huh, kau fikir sendirilah Zira!” tempelak Elena memberi peringatan.

Bagi dirinya, lebih baik Zira dan Azad memutuskan saja tali pertunangan mereka andai kata di antara mereka sudah tiada rasa hormat dan sayang. Kalau dalam hati Azad masih ada rasa hormat dan sayang pada Zira… tak mungkin dia boleh mempunyai hubungan dengan perempuan lain dikala hanya tinggal beberapa bulan saja lagi mereka bakal bersatu sebagai suami isteri. Jika Azad seorang manusia baik dan bertanggungjawab, dia pasti akan menghormati perasaan Zira dan keluarga gadis itu.

“Tapi aku sayangkan dia, El.”

“Apa guna kau seorang yang sayangkan dia… tapi dia… ada pernah dia fikir pasal perasaan kau? Sibuk usung perempuan sana sini… lelaki itu ke yang kau nak jadikan suami?”

 “Aku dengan dia dah lama, El. Aku tak boleh terima kalau dia pergi dari hidup aku.”
Rahang Elena naik turun menahan rasa bengang yang tiba-tiba bersarang di hatinya. Ah, kenapa Zira harus menjadi hamba pada cinta? Kenapa perlu menjadi seorang yang bodoh dan dungu hanya kerana seorang lelaki? Rasa macam nak sekeh-sekeh saja kepala minah seorang ni. Karang kalau dikata bodoh, marah pula!

Come on, Zira. Wake up la. Ini bukan zaman bercinta tahun 80-an atau 90-an tau. Bukan zaman-zaman filem Sembilu lagi dah. Bersepah lagi lelaki kat luar sana. Dia nak putus tunang, dia punya pasal la. Kau petik aje jari, berduyun yang datang serah diri nak jadi pengganti. Percayalah cakap aku!”

Tiba-tiba Elena terasa diri sendiri macam Doktor Love pula.

“Zira… kau cuba tengok apa yang ada kat dahi aku ni. Walaupun lukanya dah sembuh, parut tu tetap ada. Kau tahukan parut apa yang ada di dahi aku ni? Kau juga tahu siapa yang hadiahkan parut tu pada aku?” Elena menyelak-nyelak anak-anak rambutnya. Mengingati bagaimana dia dipukul sesuka hati oleh Azad tempoh hari buat hatinya semakin panas.

“Tapi… salah kau jugalah. Aku dah cakap jangan pergi masuk campur, tapi kau degil!” bidas Zira tanpa rasa bersalah.

What? Jadi, sekarang ni memang aku la yang bersalah dalam hal ni? Bukan si Azad?”

“Aku tak maksudkan macam itulah.”

“Dasar buta hatilah kau ni Zira!’ Elena terus melenting. Berombak-ombak dadanya ketika itu. Dah macam nak meletup. Isyh, nasib baiklah dia masih sedar yang Zira ni kawannya. Kalau tidak, dia heret Zira dan sumbat dalam ketuhar besar kat belakang sana.

“El…” tangan Elena hampir saja lagi dicapai saat terdengar namanya diseru dari belakang. Zira menoleh, begitu juga dengan Elena.

“Huh, panjang umur!” gumam Elena sambil menjeling halus saat ternampak Azad sedang tercongok di hadapan mereka.

“Kau nak apa datang ke sini? Takkan tak puas pukul aku macam hari tu kut?” sergah Elena. Wajah Azad ditenungnya seperti hendak tembus ke belakang. Dia bangkit dan berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu. Langsung tak ada rasa takut memandangkan dia yakin yang Azad takkan berani mengapa-apakannya.

“Kalau kau nak cakap pasal kes hari tu… aku minta maaf. Aku tahu aku silap.”

“Oh, senang macam itu aje kau minta maaf. Pukul aku, then blah. Lepas tu, minta maaf?”

“Aku tak nak gaduh dengan kau la Elena.” suara Azad sedikit meninggi. Mungkin rasa sedikit tercabar dengan kata-kata Elena. Elena pula bercekak pinggang sambil terus merenung tajam muka Azad.

“Habis tu… kau nak apa? Tumbuk aku lagi?”

“Cukup, Elena! Aku tak nak bertekak dengan kau kat sini. Aku datang cara baik. Aku cuma nak bercakap dengan Zira.”

“Oh, lepas kau acah-acah nak putuskan hubungan korang… reti pula kau cari dia sampai ke sini? Kau nak buat apa lagi, Azad? Nak memperbodohkan kawan aku? Kau hadap aku dulu sebelum kau cakap apa-apa dengan dia!”

“Elena!”

What?!” makin kuat suara Azad, makin tinggi suara Elena. Dia peduli apa sekarang ini. Apa yang dia tahu, dia benar-benar tengah marah dan sakit hati bila melihat muka Azad. Rasa macam nak tumbuk mukanya dua tiga kali.

“Kau jangan cari pasal dengan aku, Elena!”

“Kau juga jangan cari pasal dengan aku, Azad. Kau jangan ingat aku akan terus kunci mulut lepas apa yang kau dah buat hari tu. Aku boleh pergi ke balai polis dan buat laporan serta dakwaan ke atas kau!”

Azad terdiam lalu meraup-raup wajahnya. Sedikit tertekan mendengar ugutan Elena terhadapnya.

“Okey… okey… aku minta maaf. Aku tahu semua salah aku. Aku datang sini pun tak nak cari gaduh dengan sesiapa. Aku cuma nak bercakap dengan Zira. Bagi aku peluang bercakap dengan dia sekejap.”

Elena menghadang tubuh Azad yang mahu menghampiri Zira. Namun Zira cepat-cepat menyentuh lengan Elena dan menggeleng.

“Tak apa, El… kau tinggalkan kami berdua sekejap.”
Elena menjeling halus pada Zira. Kalut dia berbisik sesuatu di telinga gadis itu sebelum dia mendekati Azad.

“Kalau kau buat hal kat sini, aku tak akan teragak-agak panggil polis. Ingat tu!” Elena memberi amaran sambil menyucuk bahu Azad dengan hujung jari telunjuknya.

“Bos okey ke?” aju Lola dalam nada berbisik sebaik Elena berdiri di hadapan kaunter pembayaran. Bahu Elena disentuh. Elena pandang Lola dan hanya mengangguk.

“Kenapa tu? Ada apa yang kecoh-kecoh tu?”

“Tak ada apa-apa.”

“Isk, betul ke bos ni? Saya tengok macam ada sesuatu yang tak kena aje.”

“Tak ada apa pun. Awak janganlah risau.”

“Betul ni?”

“Betul la.”

“Lelaki tu ada apa-apakan bos ke?” soal Lola lagi tidak mahu mengalah.

“Tak ada. Awak sambung kerjalah, Lola. Jangan menyibuk hal orang lain.”


“Okey… okey…”


No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...