Elena mempercepatkan
langkah. Walaupun berkali-kali dia terdengar namanya dilaung dari belakang, dia
tetap tidak mahu berhenti. Misinya hanya satu dan ia harus diselesaikan hari
ini juga.
“El!” Zira
menjerit-jerit memanggilnya dengan suara yang termengah-mengah. Nafas gadis itu
sudah mula menyemput dan hampir berhenti untuk menyedut udara tambahan. Lariannya
semakin perlahan lalu berhenti mengambil nafas. Dia sedikit kecewa kerana tidak
berjaya menyaingi langkah Elena yang sudah berada jauh bermeter-meter di
hadapannya.
“El, tunggu dulu!”
Zira berusaha
mendapatkan Elena dan sesudah lengan gadis itu berjaya dipautnya, dia hentikan
langkah Elena.
“El… please… jangan masuk ke dalam sana,” mata
Zira sempat menjeling papan tanda sebuah restoran di hadapan mereka.
Tangan Zira yang kemas
di lengan Elena ditolak sebelum bahu Zira pula dicengkam oleh Elena.
“Kenapa? Kau takut?”
Zira menggeleng sambil
mengerut muka. Kemudian dia memberi isyarat agar Elena membatalkan niatnya
untuk ke dalam restoran.
“Kau dengar sini, Zira.
Jangan sesekali jadi pengecut atau penakut. Faham tak?”
Zira diam.
“Kau dengar cakap aku,
Zira. Jangan sesekali jadi perempuan lembik yang mudah diperbodohkan oleh
seorang lelaki. Jangan jadi lemah dan biarkan orang pijak kepala kau!” Elena
membalas sambil menggoncang-goncang kedua belah bahu Zira sehingga dia terdiam
untuk jangka masa yang lama.
“Zira, kau dengar tak apa yang aku cakap?”
Dia hanya mengangguk
tetapi tidak berani bertentang mata dengan Elena.
“Kalau kau takut… kau
tunggu aje kat sini. Biar aku pergi selesaikan mangkuk hayun tu!” ujar Elena tegas lalu meninggalkan Zira tercegat
sendirian di hadapan pintu restoran.
Tanpa berpaling, Elena
segera bergerak ke satu sudut restoran yang agak tersorok mencari-cari kelibat
Azad, tunang kepada Zira. Mengimbas semula apa yang terjadi beberapa minit
lepas membuatkan Elena mengumpul sejuta geram terhadap lelaki itu.
Memang rezeki mereka
agaknya untuk terserempak dengan Azad sedang berfoya-foya dengan perempuan
lain!
Elena berhenti
melangkah. Peluh renek yang muncul di hujung dahi dikesat dengan hujung jari.
Bibirnya pula diketap-ketap menahan marah manakala tangan pula sudah mengepal
penumbuk. Cis! Tak guna punya Azad! Sedap saja kau berkepit dan berhimpit
dengan perempuan lain. Elena terus menyumpah di dalam hati di saat dia melihat
dengan jelas tangan Azad sedap meraba paha perempuan di sebelahnya. Ah,
sakitnya hati! Dengan hati yang terbakar Elena mengatur langkah menuju ke meja
Azad dan perempuan yang bersama dengannya.
“Seronok nampak?”
Azad berpaling dan
jelas wajahnya sedikit terkejut dengan kehadiran Elena. Bagai terkena renjatan
elektrik, dia lekas menolak tubuh perempuan di sebelahnya dan berpura-pura
membetulkan rambutnya.
“Elena. Kau… buat apa
kat sini?” teragak-agak Azad bertanya. Matanya mula meliar ke sekeliling bagai
sedang mencari-cari kelibat Zira.
“Saja. Nak tengok drama
petang-petang. Rasanya dah boleh masuk slot Akasia kut?” sinis Elena selamba dengan
muka tak bersalah.
“Baby… siapa ni? ” aju perempuan tadi sedikit tidak puas hati. Mungkin
terkejut bila didatangi Elena secara tiba-tiba.
Namun Azad tidak
menjawab sebaliknya terus memandang-mandang ke sekitar mereka sebelum Elena
tersenyum sinis padanya.
“Kau cari Zira ke?”
“Dia ada sekali?”
“Kenapa? Takut kantoi?”
Azad diam tidak
menjawab. Wajahnya sedikit pucat namun dia berpura-pura bertenang dan berlagak
seperti dia tidak membuat apa-apa kesalahan.
“Kantoi? Please la… Elena. Aku tak buat apa-apa
kut. Buat apa aku nak takut?”
Elena tergelak
mendengarkan bicara Azad. Ceh, hipokrit sungguh la mamat ni. Dah buat salah
masih nak berlagak seperti manusia suci.
“Kalau tak takut… apa
pasal muka kau pucat sangat?”
“El… please… kalau kau tak ada apa-apa urusan
kat sini, lebih baik kau blah! Jangan nak buat kecoh kat sini.”
“Eh… kawasan ni kawasan
awam okey. Jadi, kau tak ada hak nak melarang aku untuk berada di sini. Dan kau
pula… kau kena tahu yang tempat awam ni tempat tumpuan orang ramai. Tempat
orang makan dan mengenyangkan perut… bukannya tempat nak bercengkerama dan buat
maksiat!”
“Weh, El… kau jangan
melampau! Tak payah nak buat kecoh kat sini. Kau tak ada kena mengena dalam
urusan aku.” Azad bangkit dan berdiri setentang dengan Elena namun Elena pula tidak
sedikit pun berganjak waima seinci dari situ.
“Sedapnya bercakap!”
Elena merengus.
“Memang aku tak ada
kena mengena dalam urusan hidup kau tapi aku ada kena mengena dalam urusan
hidup Zira. Dia kawan baik aku dan aku tak suka tengok dia kena tipu hidup-hidup
dengan tunang dia sendiri. Kau beritahu dia yang kau outstation, tapi apa hal kau boleh ada kat sini dengan perempuan
lain?”
“Elena... lebih baik kau tinggalkan tempat ni.
Kan aku dah cakap… jangan buat kecoh!” hampir saja lagi lengan Elena ditarik
Azad, terlebih dulu dia menepis. Dengan muka Azad yang ala-ala samseng kampung
tak jadi, sikit pun dia tak takut.
“Kenapa? Kalau aku buat
kecoh, kau nak buat apa? Kau malu? Huh, berkepit dengan perempuan lain tak malu
pula? Buat maksiat dalam restoran ni… tak pula kau ada rasa malu?”
“El, mulut kau tu jaga
sikit! Kan aku dah cakap, jangan masuk campur urusan aku dan Zira!”
Elena tergelak mengejek
dengan amaran Azad. Wah… wah… wah… mamat ni memang spesis tak sedar diri
betullah! Masih tak berpijak di bumi nyata. Nampaknya dia masih bermimpi dan
berangan berada di kayangan. Dasar manusia lupa daratan!
“Aku berhak masuk
campur! Bila kau buat hal dengan Zira, bermakna kau buat hal dengan aku!” dada
Azad dicucuk-cucuk dengan hujung jari telunjuk seraya melepas geram.
“Jangan nak jadi hero kat sini, El. Sebelum
terjadi perkara yang tak sepatutnya… lebih baik kau tinggalkan tempat ni. Blah!”
“Kalau aku tak nak? Kau
nak buat apa pada aku? Nak tumbuk aku? Nak pukul aku? Hah, buatlah kalau kau
berani!”
Azad merenung tajam
wajah Elena namun tidak sampai tiga saat, terlebih dulu Elena mara ke arahnya
lalu mencapai gelas yang mengandungi air lalu menyimbahnya ke wajah perempuan
yang bersama Azad tadi.
“Elena!” teriak Azad
bengang. Perempuan tadi sudah menggelupur di sebelah Azad seperti baru saja disimbah
asid.
“Itu baru sikit, Azad. Kau
jangan ingat aku tak boleh buat lebih daripada ini…”
Buk!
Tak semena-mena saja
kepala Elena terasa perit. Pandangannya mula berbalam-balam malah telinganya
seperti berdesing-desing. Tidak ada apa-apa yang kelihatan di hadapan matanya
ketika ini melainkan kegelapan.
Sesaat.
Dua saat.
Lima saat.
Bam!
Dunia Elena semerta
menjadi kelam, sunyi dan terus sepi.
No comments:
Post a Comment