Saturday, 5 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 3

Elena menghempaskan punggungnya ke sofa. Beg tangannya diletak ke atas meja kopi. Lengan blausnya disingsing sehingga ke siku sebelum rambutnya diikat seperti orang sedang berpantang empat puluh empat hari. Sebuah majalah yang berada di atas meja kopi dicapainya lalu dikibas-kibas ke muka menghalau bahang panas yang memeluk erat wajah dan batang lehernya. Meluap-luap betullah rasa hatinya usai saja dia selesai bercakap dengan Zira melalui telefon.

Jika Zira berada di hadapan matanya sekarang ini… mahu saja dia mencekik-cekik leher gadis itu sepuas hati. Kenapalah si Zira boleh termakan dengan kata-kata Azad? Kenapa perlu menjadi manusia bodoh hanya kerana seorang lelaki? Sudah ditipu dan dicurangi di depan mata pun masih lagi boleh memaafkan si Azad tu. Kalaulah Azad yang menjadi tunang Elena… tanpa teragak-agak dia akan menghadiahkan penumbuknya ke muka lelaki itu.

“Huh… penumbuk konon! Tak payah nak beranganlah, El! Kau yang dah makan penumbuk mamat tu tadi… dah lupa?” gumam Elena memarahi diri sendiri.
Tangannya lekas naik menyentuh dahi yang masih terasa perit. Ada plaster yang melekat di situ selepas lukanya dicuci tadi.

“Kenapa masam sangat muka anak umi ni? Balik-balik aje dah rupa gini,” teguran umi dari arah tangga membuatkan Elena berkalih. Terkejut melihatkan umi sedang berdiri terpacak di situ tanpa dia sedari. Entah tahun bila agaknya uminya berada di situ. Pasti umi sudah mendengar bebelannya sejak dia masuk ke rumah tadi.

Elena memaniskan wajah sambil menggeleng. Tidak mahu membuat umi memikir yang tidak-tidak walaupun hatinya masih lagi sakit dengan kejadian yang berlaku di luar tadi.

“Tak ada apa-apa… umi.”

Mata cepat dihala ke skrin televisyen. Tidak pasti rancangan apa yang sedang ditontonnya kerana asyik memikir-mikir akan apa yang berlaku tadi.

“Kenapa dengan dahi kamu tu?” aju umi lagi.

Elena menelan liur. Erk… umi perasan ke?
Perlahan-lahan dia menyentuh dahinya. Anak mata umi pula dicari lalu menggeleng perlahan.

“Tak ada apa-apa. Jatuh tadi, umi.”

“Isyh… macam mana kamu boleh jatuh ni?”

“Alah… benda dah nak jadi, umi. Malang tak berbau, kan?” dia menyengih segan.

“Itulah… kamu cuai sangat agaknya. Lain kali hati-hati sikit. Nasib baik tak teruk.” nasihat umi sambil mengintai-intai dahi Elena yang berplaster.

“Kamu dah makan atau belum?” sambung umi lagi sedikit prihatin. Manakan tidak, Elena itulah satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Risau bila gadis itu balik dalam keadaan begini membuatkan hati tuanya keresahan.
Elena mengangguk kemudian menggeleng.

“Eh, mana satu ni?”
Umi dah mengerutkan dahi. Pelik dengan jawapan Elena yang tiada kepastian.

“El belum makan, umi.”

“Kamu pergi mana dengan Zira? Takkan tak menyinggah kat mana-mana restoran?”
Elena sudah menggaru-garu tengkuk yang tidak gatal. Aduh, apa yang dia mahu jawab pada umi? Walaupun soalan umi itu sangat senang, tetapi tidak mudah baginya untuk menjawab dalam keadaan fikirannya masih lagi kusut.

Memanglah pada mulanya, sewaktu dia keluar bersama Zira… dia bercadang untuk makan-makan bersama temannya itu memandangkan masing-masing sangat sibuk sepanjang minggu lepas. Waktu cuti hujung minggu begini sajalah satu-satunya masa untuk mereka keluar meluangkan waktu bersama tetapi lain yang dirancang lain pula yang terjadi. Daripada mahu makan nasi, dia pula yang dapat makan buku lima Azad.

Huh, sakit sungguh jiwanya bila memikir-mikirkan tentang Azad. Rasa macam mahu pergi hempuk kepala lelaki itu saja. Dayus! Berani sungguh dia memukul perempuan. Siaplah dia kalau aku jumpa dia lepas ni!

“Amboi… anak umi ni dah berangan sampai ke mana? Umi cakap dengan dia tapi gaya macam umi sedang bercakap dengan peti ais,” bebel umi sedikit tidak puas hati.
Bebelan umi itu sedikit sebanyak membuatkan Elena tenang. Dia tergelak melihatkan muncung umi. Hilang sedikit rasa panas di hati ini bila mendengar suara umi.

“Umi… babah mana? Tak nampak pun? Keluar ke?” dia mengalih topik, semata-mata tidak mahu uminya mengesyaki sesuatu.

“Kamu dah lupa, El? Babah kamu tu pergi Sarawak lima hari. Bukan ke dia ada seminar di sana?”

“Yalah… yalah… terlupa pula.” Elena menepuk kepala. Sungguh-sungguh dia terlupa mengenai ayahnya yang masih lagi berada di Sarawak kerana menghadiri seminar usahawan.

“Abang Ez pula? Dia keluar ke? Sunyi sepi aje rumah ni. Atau pun… dia masih lagi buat tahi mata kat dalam bilik?” Elena menyengih. Teringat tentang satu-satu abangnya Ezra. Biasanya kalau cuti-cuti begini, tak lain tak bukan pasti Ezra akan buat tahi mata. Paling tidak pun pasti lelaki itu akan buat rumah ini riuh seperti balai raya.

“Dia pun tak ada. Abang kamu tu dah pergi studio sejak pagi lagi.”

“Pergi studio?”

“Ya, pergi studio. Lepas tu katanya ada photoshoot di luar. Rasanya dia ke Port Dickson kut? Malam agaknya baru balik.” Terang umi lagi.

“Sibuknya dia.”

“Bukan kamu tak tahu abang kamu tu… cuti atau tidak, sama aje. Dua puluh empat jam dengan kerja. Kalau tak kerja, bertapa dalam bilik buat tahi mata.”

Elena terangguk-angguk mendengarkan penjelasan umi. Bercerita perihal Ezra yang sentiasa sibuk mengalahkan menteri dengan kerjayanya sebagai jurugambar profesional, teringat pada diri sendiri. Alah… dia pun dua kali lima saja. Sibuk dua puluh empat jam dengan Elena Cake Studio, bakeri miliknya yang telah beroperasi selama tiga tahun. Mujurlah hari ini bakeri itu ditutup, jadi ada jugalah masa untuk dia berlibur. Jika tidak, jangan haraplah dia boleh bersenang lenang begini.

“Umi masak apa?” satu soalan yang tidak ada kena mengena dengan kerjaya dan hal yang berlaku di luar tadi dihulur pada umi.

“Gulai udang. Kalau kamu nak makan… umi nak pergi panaskan lauk,” ketika umi bersedia untuk bangkit, Elena pantas melarang.

“Eh, tak payah… umi. Umi duduk aje kat sini. El boleh buat sendiri.”
Senyuman terpamer seraya bahu uminya digosok-gosok. Sejurus kemudian, segera dia meninggalkan umi di ruang tamu rumah teres dua tingkat itu.


No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...