Elena mengusap-usap
perutnya yang mula berbunyi. Segera dia membuka penutup periuk gulai udang. Gulai
di dalam periuk dipanaskan. Sesekali, isi di dalam periuk dikacau-kacau lalu
mengambil bau. Haruman gulai udang hasil masakan umi benar-benar membuatkan dia
hampir lupa diri.
Lima minit berselang, Elena
menutup api. Kuah gulai dicedok dengan hujung senduk dan diletakkan di atas
telapak tangannya. Baru saja gulai udang melalui kerongkongnya, namanya pula
terdengar dilaung-laung dari hadapan.
Terkocoh-kocoh Elena
bergerak ke singki dan mencuci tangan.
“Ya, umi?”
“Kawan kamu datang ni.”
“Zira ke umi?”
“Bukan.”
“Habis tu… siapa?”
“Kamu datanglah tengok
sendiri,” balas umi.
Sesampai saja di ruang
tamu, Elena hampir saja lagi hendak putus nafas. Malah dia turut mahu pitam
sebaik melihat dengan siapa umi sedang berbual.
“Awak buat apa kat
sini?” soalnya sambil bercekak pinggang.
“Hai, Elena.” Balas
Tuah dengan menayang senyuman manis bak gula-gula.
Senyuman Tuah itu cukup
untuk menyejukkan sekeping hati Elena yang sedang mendidih. Elena terkesima. Perlahan-lahan
dia masuk ke dalam dunia angan-angan sebelum terdengar-dengar namanya
dipanggil.
“Elena?”
“Errk… hmm… ehem… ya… umi?”
“Takkan nak tercegat
kat situ aje? Kawan kamu datang ni.”
Elena menggaru-garu
tengkuk sambil menyengih kepada umi. Yang pertama sebab dia tak tahu nak buat
apa bila tiba-tiba saja Tuah muncul di rumah keluarganya dan yang kedua sebab
umi macam terlebih peramah hari ini. Manakan tidak, kenal Tuah pun tidak… tahu-tahu
saja boleh rancak berbual seperti sudah lama mengenali lelaki ini.
Pelik bin ajaib!
“Ya Allah, budak ni… dia
boleh menyengih macam kerang busuk aje? Isk, kamu duduklah berbual dengan kawan
kamu ni. Umi nak ke dapur siapkan minuman,” ujar umi semula lalu bangkit.
Sebaik saja umi
menghilang, Elena merenung Tuah seperti hendak menelan lelaki itu hidup-hidup. Seperti
pemangsa yang baru saja bertemu dengan mangsanya.
“Awak buat apa kat
sini?”
“Saya…”
“Awak jangan nak buat
hal eh! Apa yang awak dah bualkan dengan umi saya? Apa yang awak nak sebenarnya
ni?”
“Saya…”
“Kan saya dah cakap
sejak tadi… urusan kita berdua dah berakhir lepas saja awak hantar saya balik.”
Terketap-ketap bibir Elena menyudahkan bicaranya tanpa memberi peluang kepada
Tuah membuat penjelasan. Nadanya agak perlahan, tidak mahu sesiapa pun
mendengar kata-katanya melainkan mereka berdua. Sekarang ini Elena rasa macam
nak menyumpah diri sendiri saja. Kalaulah dia menolak pelawaan Tuah tadi, pasti
lelaki itu tak akan pernah tahu di mana dia tinggal. Tapi, itulah! Terlajak
perahu boleh diundur tapi kalau dah terlajak setuju…
“Elena?”
“Isk… awak nak apa
datang ke sini? Bukan ke sepatutnya awak dah balik?”
“Boleh tak awak beri
peluang saya sudahkan apa yang saya nak cakap?” laju-laju Tuah memotong
percakapannya. Suaranya sengaja ditekankan. Tuah kemudiannya memandang mata
Elena dan seterusnya kedua-dua mereka saling bertatapan tanpa bicara.
“Cakaplah!” Elena
mengalah juga akhirnya. Dia bergerak ke sofa dan menghempaskan punggungnya ke
situ melepas geram.
“Saya datang ke sini
sebab nak hantar makanan untuk awak.” Satu plastik sederhana besar yang berisi
bekas makanan yang berada di atas meja kopi ditolak mendekati Elena. Lama Elena
memandang bekas makanan itu. Banyak perkara yang sedang bermain-main dimindanya
sebelum dia mendengus.
“Makanan apa pula ni?”
“Makananlah. Nasi
beriani gam dengan ayam kurma. Saya tahu awak masih belum makan, kan? Lagi
satu… saya ada bawakan awak ubat. Nanti awak letaklah ubat ni kat dahi awak
yang luka tu. Cepat sikit sembuh.” Tuah tayang senyuman pendek lantas menolak
satu plastik berisi ubat-ubatan yang dibeli dari farmasi.
“Oh, soooo sweet! Terima kasih ajelah!” Elena mencebik. Tiba-tiba
saja hatinya kembali menggelegak. Dia terasa seperti Tuah terlebih menyibuk
dalam urusan hidupnya. Dah hantar balik tu sudahlah! Ini siap pergi belikannya
makanan dan ubat pula. Bagaimana kalau umi tahu dan bertanya macam-macam nanti?
Tak pasal-pasal umi sangka yang mereka berdua punya apa-apa hubungan. Euwww…baru
aje kenal beberapa jam kut! Lagi pun… lelaki yang berada di depannya ini tak
nampak berjenis langsung. Selekeh! Dengan rambut panjangnya yang dibuat half up pony tail, pakaian pun ala-ala
budak hipster acah-acah hot. Sakit
mata melihatnya!
“Isyh, tak baik tau
menolak rezeki.”
“Saya tak minta pun
awak bawa semua ni.”
Tuah hanya tergeleng.
“Awak masih marahkan
lelaki tadi ya?”
Elena mencebik meluat. Sakit
mata dah, sekarang ni dia sakit telinga pula bila Tuah cuba mengungkit. Kenapa
dia rasa Tuah ni macam terlebih menyibuk urusannya? Suka hati dialah nak
marahkan siapa pun!
“Kalau saya masih
marahkan dia… apa kena mengena dengan awak pula?” Elena membalas kasar.
“Tak elok kalau asyik
marah-marah macam ni. Tak bagus untuk kesihatan. Dahi awak pun masih lebam.”
“Biarlah! Suka hati
sayalah nak marah ke nak ketawa ke… awak jangan menyibuk boleh tak?”
Tuah gelak-gelak sambil
menggeleng-geleng beberapa kali. Mungkin sedikit terhibur melihat gelagat
Elena. Walaupun dalam keadaan marah, wajah Elena masih tetap manis dipandang.
“Marah-marah macam ni
nanti cepat tua.”
“Biarlah! Tak ada kena
mengena dengan awak pun!”
Tuah sambung gelak
sebelum melebarkan sengihannya.
“El… awak belum kahwin,
kan?”
“Isk, apa kena mengena
dengan awak? Kalau saya belum kahwin pun, tak ada kaitan dengan awak tau!” dada
Elena mulai naik turun menahan amarah yang kian menebal. Kalau dia tak dapat nak mengawalnya, tak
mustahil sekejap lagi akan berlaku perang dunia dengan Tuah.
“Kalau macam tu… bolehlah
saya ajak awak kahwin?”
Rengkung Elena
menyempit tiba-tiba. Hampir saja lagi nafasnya mahu putus mendengarkan
kata-kata Tuah. Kahwin? Lelaki ni dah gila ke apa? Baru aje kenal tak sampai
lima jam, sudah berani-berani mengajaknya kahwin? Entah-entah… Tuah ni baru
terlepas daripada pusat rawatan mental agaknya!
“Awak dah gila?!”
teriak Elena tak bertangguh.
Tuah hanya tergeleng
sambil tersenyum manis kepada Elena. Elena pula terpaku pada senyuman manis
lelaki itu. Seperti dia telah terpukau dek senyuman Tuah.
Auchhh, manisnya senyuman dia. Boleh tak nak
menyanyi lagu kumpulan Elite sekarang ni?
“Takkan saya ajak awak
kahwin pun dikatakan gila?”
“Memang gila! Gila
sangat sebab tak ada mana-mana lelaki yang berani tanya pada saya soalan macam
ni. Tambah-tambah pula daripada lelaki yang baru dikenali.”
“Jadi kiranya saya ni
lelaki pertama yang bertanya pada awak soalan macam tu?”
Mata Elena
tercerun-cerun ke arah Tuah. Mamat inilah! Memang muka tahap minta penampar jepun.
“Sorry la… saya dah ada yang punya.” Tiba-tiba saja Elena memberi
alasan tetapi tidak pula dia memandang wajah Tuah ketika itu. Sengaja dia
melarikan matanya merenung dinding serta perhiasan dinding yang tergantung.
“Kepunyaan umi dan
babah awak?”
Elena menjeling-jeling
sebal. Kenapalah dalam banyak-banyak lelaki, dia kena hadap lelaki yang selamba
tahap tak ada perasaan macam ni? Ajak kahwin pun dah serupa macam nak ajak dia
keluar makan. Dasar gila!
“Macam inilah Encik
Tuah. Saya sangat-sangat hargai apa yang awak dah buat tadi. Memang betul awak
dah tolong saya dan hantar saya balik ke rumah dengan selamat. Tapi, itu tak
bermakna awak boleh cakap apa saja yang awak suka. Kita baru aje kenal. Baru
sangat-sangat. Tak sampai lima jam tau! Jangan hanya kerana awak baru kenal
saya lima jam, awak sesuka hati aje nak test
market!” sembur Elena melepas segala rasa yang terbuku di hati.
Ah, dasar lelaki. Pantang
ada peluang sikit, semuanya nak redah. Dia sangat pasti Tuah sekadar mahu
mencuba nasib. Kalau tidak pun, mungkin dia bertaruh dengan kawan-kawannya. Huh,
rupa tak adalah kacak mana tapi perangai poyo tu…tak boleh blah! Minta maaflah Hang Tuah! Aku bukan perempuan yang mudah
termakan dengan kata-kata dan ayat manis seorang lelaki. Kau boleh simpan saja
semua tu dalam poket seluar kau yang koyak rabak tu! cemuh hati Elena tak
sudah.
“Elena…”
“Sudahlah! Saya rasa
kita tak ada apa-apa yang boleh dibualkan lagi. Jadi, kiranya eloklah awak
keluar dari rumah saya ni dan balik ke tempat awak. Saya tak halau awak tau cuma
saya nak awak balik. Itu aje.” Elena bangkit dari sofa dan bergerak menuju ke
pintu utama. Pintu ditarik sehingga terkuak lebar. Melihatkan Tuah masih sedap
bersandar ke sofa, dia menghentak kaki bagi menarik perhatian lelaki itu.
“Encik Tuah!”
Tuah garu-garu belakang
kepalanya. Teragak-agak untuk bangun namun belum sempat dia menurut, umi pula
sudah kembali ke ruang tamu sambil menatang dulang berisi satu jag air serta
sepiring makanan ringan. Tuah mengerling kepada Elena sebelum mengukir senyuman
nipis. Elena menjegilkan mata, memberi isyarat kepada Tuah agar cepat-cepat
meminta diri.
“Nak ke mana, Tuah? Jemputlah
minum dulu.”
Tuah serba salah. Wajah
umi dan Elena dipandang silih berganti sebelum membuat keputusan untuk kekal
duduk di sofa.
“Jemputlah, Tuah… minuman
ringan aje ni,” pelawa umi dengan wajah manis.
Ketika itu juga Elena
terasa mahu menarik-narik rambut panjangnya. Argh, stress!
“Terima kasih mak cik. Buat
susah-susah aje.”
“Apa pula susah? Tak
ada apa-apa yang susahnya, Tuah.”
Elena menjeling sebal
melihatkan Tuah dilayan bak putera raja. Benci! Kalau bukan kerana umi, dah
lama dia heret Tuah keluar dari rumah ini. Kalau dia tak mahu keluar juga, sah-sah
dia tarik saja rambut panjang lelaki itu. Baru puas hati!
“Elena?” nama Elena
diseru ketika dia sedang mengelamun di ruang tamu, ketika umi dan Tuah sibuk
berbual sesama sendiri. Elena angkat kepala memandang umi sebelum singgah pada
Tuah.
“Saya dah nak balik ni…
nanti awak jangan lupa makan.” Pesanan penaja tak berbayar yang diberi oleh
Tuah hanya masuk ke telinga kanan dan keluar melalui telinga kiri.
“Hmm… eloklah tu. Ingatkan
dah tak ingat tentang rumah sendiri.”
Tuah hanya
terkulat-kulat disembur oleh Elena.
“Mak cik… terima kasih
ya. Saya minta diri dulu.”
“Mak cik yang
sepatutnya ucapkan terima kasih kepada kamu sebab tolong hantarkan El balik. Kalau
tak ada kamu, tak tahulah apa nak jadi dengan dia. Itulah… masa mak cik tanya
tadi pasal luka kat dahi dia tu… dia kata yang dia jatuh. Nasib baik kamu
ceritakan hal yang sebenar. Kalau tidak, sampai bila-bila pun mak cik tak
tahu.”
Panas telinga Elena
mendengar apa yang umi baru tuturkan. Isk, celupar sungguhlah mulut mamat ni. Ada
juga yang kena smackdown kejap lagi
ni!
“Tak apa, mak cik. Benda
kecil aje.”
“Apa lagi yang awak tak
puas hati?” sembur Elena sebaik kedua-dua mereka melangkah keluar setelah Tuah
beria-ia meminta Elena mengikutnya.
“Tentang apa yang saya
cakap pada awak kat dalam tadi…”
“Tentang apa? ”
“Tentang kahwin,” ujar
Tuah sambil menarik pintu kereta Kancilnya yang diletakkan di hadapan pagar.
“Saya serius tau.” Tuah menyambung bicara. Lama dia menatap mata
Elena yang berwarna coklat cair itu. Biarpun mukanya ketat dan kelat memanjang,
Tuah masih tetap suka memandangnya tanpa jemu.
“Saya rasalah… fius kat dalam kepala awak tu
dah tercabut kut!”
“Mana ada fius otak
saya tercabut. Saya masih waras.”
“Kalau betul awak masih
waras… awak takkan ajak saya kahwin. Kita baru kenal selama lima jam. Lima jam
okey!” telapak tangan kanan Elena ditayang di hadapan Tuah. Sengaja mahu
menyedarkan Tuah berapa lama tempoh perkenalan mereka. Orang gila saja yang
akan buat tindakan seperti ini. Dan Tuahlah orang gila itu!
“Ada orang yang kenal selama
bertahun-tahun pun belum tentu berani ajak seorang perempuan berkahwin. Kira
okeylah tu kita kenal baru lima jam, saya dah ajak awak kahwin.”
“Macam mana saya nak
tahu yang awak ni orang baik atau pun tak?”
“Saya dah berjumpa
dengan umi awak tadi… kira tak cukup baik ke?” soalan Tuah itu membuatkan Elena
hampir saja lagi menepuk dahi. Ya Allah, pening kepala dia mahu menjawab soalan
lelaki ini.
“Macam mana kalau awak
ni suami orang? Tunang orang? Paling tidak pun boyfriend orang?”
“Andai kata saya bukan
milik siapa-siapa… awak sudi terima saya?”
“Isyh, pergi baliklah! Sakit
jiwalah melayan perangai awak ni!” bahu Tuah ditepis-tepis oleh Elena. Kemudian,
pintu pagar yang terbuka lebar ditariknya lalu ditutup dan siap dimangga.
“El!” jerit Tuah ketika
Elena sedang melangkah masuk.
“Apa lagi Encik Tuah?” terhentak-hentak
kakinya. Kalau dia pakai boot sekarang ni, memang bunyinya dah boleh buat satu
taman perumahan ini bergegar agaknya.
“Jangan lupa makan tau.
Nanti kita jumpa lagi. Bye!”
Tuah melambai Elena dengan
menayang wajah yang ceria lalu bergerak masuk ke perut keretanya. Selang
beberapa saat, kereta Kancil tersebut menghilang dari perkarangan rumah
keluarga Elena.
“Huh, jangan harap aku
nak jumpa kau lagi Hang tuah!”
No comments:
Post a Comment