Wednesday, 2 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 2

Elena hanya memandang kosong ke arah sapu tangan yang baru saja dihulurkan kepadanya. Fikirannya melayang-layang. Otaknya masih gagal menghadam dengan baik apa yang baru saja berlaku terhadap dirinya.

“Ehem.” Deheman dari arah hadapannya membuatkan Elena memanggung kepala. Semerta Elena membetulkan posisi duduknya dan berganjak beberapa inci di saat sang jejaka melabuhkan punggung di sebelahnya.

“Nah… ambillah.” Ujar si jejaka dengan lembut. Pandangan mereka berdua berlaga sebentar. Elena tenung sapu tangan sebelum kembali memandang jejaka di sebelahnya. Lama dia menjamah raut wajah lelaki tersebut sehingga kening pun berkerut-kerut.

“Guna sapu tangan ni untuk lap dahi awak yang luka tu.” Si jejaka menuding ke arah dahi Elena. Elena pula cepat saja menyentuh dahinya.

“Auch!” dia terjerit menahan pedih. Mukanya berkerut. Sapu tangan dari tangan si jejaka yang tidak dikenalinya ini lekas dicapai lalu menekap-nekap ke dahinya yang perit.
Elena menggumam sambil tangan ligat membersihkan luka di dahi sendiri. Kemudian, matanya pula tak sudah menjeling-jeling ke meja Azad yang telah pun kosong.

“Dia dah pergi,” ujar si jejaka menjawab persoalan yang sedang berlegar-legar di kepala Elena bagaikan dia dapat meneka dan membaca apa yang sedang difikirkannya. Elena merengus. Dahinya yang masih pedih ditekan-tekan dengan kasar menggunakan sapu tangan pemberian lelaki asing ini.

Si jejaka pula hanya tersenyum-senyum dan tersengih-sengih melihat gelagat Elena sebelum meletuskan tawanya.

“Awak tergelak-gelak tu dah kenapa? Suka sangatlah tengok dahi saya luka macam ni?” Elena membidas geram.

“Kenapa awak masuk campur urusan rumahtangga orang?”

 “Excuse me? ” ternaik suara Elena seoktaf. Ewah-ewah… mamat ni. Menyibuk apa hal?

“Kalau tak masuk campur urusan rumahtangga orang … mesti tak lebam dahi awak tu.”
Elena menjeling tajam lelaki itu. Kalaulah matanya ini boleh berfungsi seperti mata pedang, dah lama agaknya muka lelaki di sebelahnya ini luka dan berdarah akibat jelingan mautnya.
Sapu tangan tadi dipulangkan. Elena bangkit. Dia mahu cepat-cepat beredar dari sini dari terus membiarkan telinganya bakal bernanah mendengar bebelan lelaki yang tidak dikenalinya ini. Entah dari manalah agaknya lelaki ini datang. Ribut tak ada, taufan La Nina pun tak ada. Sedar-sedar saja dia dah muncul.

 “Awak nak ke mana?” aju si jejaka sedikit menggelabah.

“Bukan urusan awaklah. Jangan menyibuk boleh tak?” sebal Elena jadinya. Sudahlah hatinya masih panas dengan kejadian tadi dan sekarang ini lelaki asing ini pula seakan-akan mahu menambahkan bahang kepanasannya.

“Awak!” panggil si jejaka.

 “Apa?” balas Elena dengan bibir yang mengetap.

“Beg tangan awak.” Beg tangan jenama Chanel hadiah hari jadinya yang kedua puluh lima yang tertinggal di atas bangku tadi diangkat dan ditayang-tayang di hadapan Elena. Melihatkan beg tangan kesayangannya itu, kelam kabut Elena mencapainya dari tangan si jejaka dan berlalu keluar secara tergesa-gesa.

“Awak!” laungan si jejaka membuatkan Elena terasa mahu menghayunkan saja beg tangannya ke kepala lelaki itu.

“Eee… awak nak apa lagi?”

“Awak nak pergi mana?”

“Berapa kali nak kena menyibuk ni?”

Lelaki itu hanya tersenyum-senyum.

“Apa nama awak?” dia mengekor langkah Elena. Sambil menyeluk poket seluar jeans koyak rabaknya, dia iring Elena berjalan mengukur kaki lima. Elena pula menjeling sebal. Angin betul dibuatnya. Dalam keadaan macam ini pun lelaki ini masih mahu berkenalan? Heh, tak kuasa betul!

 “Sibuklah awak ni!”

“Mana ada saya sibuk. Saya tengah free ni. Jadi… apa nama awak?”

“Eee… tolong  jangan jadi penyibuk kat sini boleh tak? Tolong tinggalkan saya seorang diri!”

“Sombong betul awak ni. Rasa-rasanya… kalau saya tak jadi penyibuk tadi… agaknya sehingga sekarang awak akan terbaring kat atas lantai di dalam restoran tu. Paling tidak pun, mungkin saja awak dah berada di atas katil hospital. So… siapa nama awak?”

“Suka hati sayalah nak sombong atau apa pun. And for your information, saya tak pernah minta awak tolong saya tadi tau!”

Lelaki itu tergeleng-geleng sambil menyimpul senyuman.

Elena mencemik melihatkan gelagat lelaki ini. Kalau tak ikutkan rasa sabar yang tersisa, tak dapat pukul Azad… lelaki ini yang makan penamparnya sekejap lagi! Isk, si Zira ni pun satu hal. Ke mana pula dia pergi? Cepat-cepat Elena mencapai telefon pintarnya dari celah beg tangannya lantas menghubungi Zira namun talian telefon gadis itu seperti telah dimatikan.

 “Kalau awak cari lelaki tadi… saya rasa lebih baik awak lupakan saja. Dia dah pergi bersama dengan perempuan yang kena simbah air dengan awak tadi.”

“Isk!” Elena merengus sambil cuba menelefon Zira sekali lagi tetapi Zira masih gagal dihubungi.

“Awak telefon lelaki tu untuk apa? Kan saya dah cakap yang dia dah pergi bersama perempuan tadi.”

“Saya tak call lelaki tadi la! Saya call tunang dia. Awak jangan menyibuk urusan saya lagi boleh tak?” bentak Elena geram. Sudahlah dia sakit hati dengan Azad, kini dia bertambah sakit hati dengan bebelan lelaki asing yang menyesakkan perasaannya sekarang ini.

“Tunang lelaki tadi?”

“Eee… apa pasal awak sibuk sangat ni? Awak nak tahu sangat kenapa?”

“Okey… okey… saya minta maaf. Janganlah marah.”

“Haruslah saya marah kalau bercakap dengan manusia spesis macam awak ni! Urghhh!” Elena menolak rambutnya ke belakang. Dia berhenti berjalan dan berdiri bertentangan dengan lelaki itu.

“Awak nak tahu sangat, kan? Meh sini saya cerita. Untuk pengetahuan awak… lelaki yang pukul saya tadi tu… dah bertunang. Dan tunang dia tu kawan baik saya. Saya tak telefon lelaki tak guna tu tapi saya telefon tunang dia. Faham tak? Ada apa-apa lagi yang awak nak tahu?”

“Macam mana…” belum sempat si jejaka menghabiskan ayatnya, Elena sudah memintas.

“Awak nak tahu kenapa saya pergi serang dia kat dalam restoran tu tadi?” Elena terjeda.

“Dia dah main kayu tiga kat belakang kawan saya. Takkan awak tak nampak macam mana perangai dia kat dalam restoran tu tadi? Merenyam! Buat maksiat kat tempat umum. Berbululah mata tengok perangai tak semenggah dia tu!”

“Tapi kenapa awak masuk campur urusan yang tak ada kena mengena dengan awak?”

Excuse me?!” ternaik suara Elena.

“Habis tu… awak pula… kenapa masuk campur urusan hidup saya? Tak boleh ke kalau awak tak menyibuk hal orang lain? Kita bukannya kenal pun dan awak tak perlu berlagak macam awak bagus sangat. Dah… ke tepi!” tubuh jejaka yang sedang menghadang laluannya sengaja ditepis dengan bahu.

“Memang betul kita belum berkenalan. Sebab itu saya nak tahu apa nama awak.”
Elena tidak menghiraukan lelaki itu. Langkahnya dihayun ke depan dan cuba mencari Zira di kawasan berdekatan tetapi langkahnya pula disaingi si jejaka tanpa asa.

 “Awak belum beritahu saya nama awak .”

“Kalau saya beritahu … awak nak buat apa?”

“Saya nak bawa jumpa keluarga saya.” dia ketawa tetapi Elena sudah menggerutu geram.

“Macam-macamlah awak ni. Awak tu pula… ada nama, kan? Apa nama awak? Dollah? Mamat? Atau pun Anuar Zain?” perli Elena.

“Kalau saya beritahu awak apa nama saya… awak nak buat apa? Nak ajak saya berjumpa dengan tok kadi ke?”

“Tak. Saya nak pergi ke balai polis!”

“Okey… okey… saya bergurau aje. Saya Tuah.” Lelaki yang baru saja memperkenalkan dirinya sebagai Tuah itu tersenyum manis. Senyuman yang julung-julung kali dilihat oleh Elena daripada seorang lelaki. Elena pula hanya terkedu di hadapan Tuah untuk jangka masa yang agak lama. Senyuman Tuah itu bagaikan sudah membuatkan Elena seperti disihir. Hatinya yang panas sejak tadi tiba-tiba saja menjadi sejuk bagai baru disiram dengan ais.

Entah kenapa tiba-tiba hati Elena bergetar lain macam. Dia merasakan lelaki di hadapannya ini mempunyai aura yang sukar dia ungkapkan dengan kata-kata. Biarpun lelaki itu tidak terlalu kacak dan menarik dari sudut definasi peribadinya, dia terpaksa mengaku yang wajah Tuah itu sungguh menyejukkan matanya. Malah senyuman Tuah itu, bisa membuatkan hatinya yang keras macam ketul ais menjadi cair seperti telah terkena panahan matahari.

 “Saya Elena. Elena Amir.” akhirnya Elena memperkenalkan dirinya tanpa teragak-agak.

“Jadi, Elena Amir…”

Just call me Elena or El .” Elena memintas.

“Okey… El. Jadi, awak nak ke mana?”

“Cari kawan saya.”

“Seorang diri?”

“Habis tu… awak nak temankan saya?”

“Boleh ke?”

“Suka hati awaklah!”



No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...