Sudah dua bulan
berlalu. Dan dua bulan itu berlalu dengan ketenangan buat Elena. Namun setiap
kali melempar pandangan ke luar tingkap, hatinya bagai menanggung suatu rasa
yang dia sendiri kurang mengerti.
Elena
menggolek-golekkan diri ke atas tilam empuknya. Telefon pintarnya yang
terdampar di sebelahnya direnung. Bantal goleknya ditarik lalu ditekup ke muka
sendiri sebelum menjerit-jerit melepas perasaan. Okey, dia tipu diri sendiri
sebenarnya. Dia tidak pernah berasa tenang sejak dua bulan lalu. Sejak dia dan
Tuah berjumpa buat kali terakhir.
Berkali-kali dia
merengus menanggung sedikit sesal. Yalah, manalah tidak sesal. Mahu mencari
Tuah untuk meminta maaf, dia tidak tahu nombor telefon lelaki itu. Rasa bodoh
pun ada juga.
“Aduhai, macam mana aku
nak cari dia ni? Dahlah nombor telefon tak ada, alamat rumah dia pun aku tak
tahu.” bebelnya sambil mengetuk-ngetuk dahi.
“Ah, cari kat facebook
la. Mesti dia ada akaun facebook.” Telefonnya dicapai dan membuat carian di
laman sosial namun berhenti separuh jalan apabila dia menyedari terlalu sukar
untuk mencari Tuah melalui media sosial. Mana mungkin dia jumpa. Nama penuh
lelaki itu pun dia tidak tahu. Mangkuk betul la kau ni Elena!
Bibirnya digigit-gigit
halus sambil membiarkan otaknya bekerja keras mencari jalan penyelesaian.
Seminit.
Lima minit.
Sepuluh minit.
“Arghhh!” Elena
menjerit nyaring sambil menyembamkan mukanya ke bantal.
Elena angkat tubuh mendekati
jendela. Malas mahu melayan rasa bosan yang mula bermaharaja dalam diri. Langsir
diselaknya. Kemudian, dia melemparkan pandangan ke luar menikmati pemandangan
malam.
Tak ada apa-apa yang
menarik perhatiannya melainkan gelap pekat malam. Namun tak semena-mena saja
matanya terpaku pada sebuah kereta yang diparkir di hadapan rumahnya. Elena
menolak tingkap dan mengamatinya. Sah, dia memang tak silap pandang! Itu kereta
Tuah!
Kelam kabut Elena
berlari ke bawah, buka pintu utama dan menerjah ke halaman. Namun sebaik sampai
di hadapan pagar utama rumahnya, kereta tadi sudah pun menghilang.
“Tuah?” serunya bersama
sisa harapan. Mangga yang tersangkut di pagar ditarik. Pagar ditolak dan dikuak
lebar. Elena memandang ke kiri dan kanan. Matanya kemudian digosok-gosok. Pelik!
Memang dia nampak ada
kereta Kancil berwarna putih serupa seperti kereta Tuah. Dia yakin itu memang
kereta Tuah tapi kenapa boleh hilang tiba-tiba?
Dua minit dia tercegat
di situ cuba merungkai misteri tersebut, kereta Ezra pula yang kelihatan.
“Aik, sejak bila jadi
jaga kat sini?” sinis Ezra sebaik lelaki itu keluar dari keretanya.
“Isk, sibuk ajelah
abang Ez ni!”
“Kau buat apa kat
sini?”
“Tak ada buat apa-apa. Saja
ambil angin. Kenapa? Salah?”
“Tak cakap pun salah. Cuma,
aku hairan sikit.”
“Apa yang nak
dihairankan?”
“Yalah, selalu kau
asyik berkurung dalam bilik. Tiba-tiba saja malam ni…”
“Isk, apa-apa ajelah
abang Ez.”
Malas sungguhlah dia
mahu melayan Ezra. Daripada dia buang masa melayan abangnya itu ada baiknya dia
melepak sekejap kat luar ni. Manalah tahu, kut-kut sekejap lagi dia akan nampak
kereta Tuah. Kalau bernasib baik, bolehlah dia berjumpa dengan tuan punya
kereta sekali.
Elena melabuhkan
punggung ke atas tembok kecil di tepi pagar tanpa menghiraukan Ezra. Sila
dipasang, tangan diletak ke atas paha dan duduk seperti mahu beryoga. Mata
dipejam rapat-rapat sebelum telinga menangkap bebelan kecil Ezra.
“Bisinglah abang Ez
ni!” protesnya. Ezra yang turut melabuhkan punggung di sebelahnya dipandang.
“Kau ni dah kenapa? Buang
tebiat ke?”
“Apa pula buang tebiat?
Isk… abang Ez jangan menyibuk boleh tak? Pergilah masuk ke dalam. El nak duduk
sini sorang-sorang. Syuh… syuh… syuh!”
Ezra pantas ketawa
melihatkan gelagat Elena yang luar alam. Macam mana dia tak fikir adiknya ini
buang tebiat kalau tengah malam macam ini boleh duk bertapak seorang diri kat
luar. Pelik juga sebab Elena tu bukannya berani sangat.
“Kau ni, Elena… kalau
ya pun tak boleh tunggu pagi esok ke? Ini dah tengah malam. Kau tak takut ke
duduk kat sini sorang-sorang?”
“Nak takut buat apa? Kiri
kanan depan belakang rumah kita ni kan ada orang? Kalau terjadi apa-apa, El
jerit ajelah.”
“Kalau kau jerit pun, tak
ada orang yang nak datang selamatkan kau. Entah-entah diorang sambung tidur. Yalah,
suara kau menjerit tu mengalahkan cik pon tahu?” Ezra mengekek ketawa sampai
Elena menjeling geram. Kalau mengusik memang nombor satu si Ezra ni.
“Dah la… aku nak
masuk.” Ezra bangkit sambil menjinjit beg kameranya. Namun baru melangkah
setapak, dia berhenti lantas memandang Elena dengan muka cuak.
“El… aku dengar kan… rumah
kosong yang kat hujung simpang sana tu…”
“Abang Ez!” Elena
bangkit. Menonong dia memukul-mukul bahu Ezra sehingga lelaki itu terpaksa
mengelak. Ezra tersengih-sengih sambil menutup kepalanya yang sikit saja lagi
mahu diketuk Elena.
“Eh, takkan kau dah nak
masuk? Kata nak lepak ambil angin. Tak sampai lima minit kau dah nak blah?” perli Ezra dengan suara yang agak
meninggi. Elena berdesup masuk ke rumah tanpa menghiraukan Ezra. Ezra pula sudah
ketawa berdekah-dekah melepas perasaan lucunya.
Bammmm!
Pintu bilik tidurnya
dihempas melepaskan geram. Elena menghumbankan tubuhnya ke tilam sambil
mengurut dada. Kecut rasa perutnya mendengarkan kata-kata Ezra tadi. Hei, macam
manalah dia boleh jadi berani sangat macam tadi? Bukannya dia tidak tahu waktu
sekarang dah cecah tengah malam? Macam mana kalau dia nampak bukan-bukan tadi?
Teringat tentang rumah
kosong di hujung simpang jalan, terus berdiri bulu roma Elena. Huisy, menakutkan
ajelah. Macam manalah dia boleh terlupa
tentang rumah kosong tersebut? Dah banyak kali sebenarnya dia mendengar cerita
bukan-bukan mengenai rumah itu dan yang pasti semuanya cerita yang tidak enak
didengar.
Elena menekup kedua-dua
belah telinganya. Selimut ditarik sehingga menutupi keseluruhan tubuh. Badannya
dah mula menggigil. Bulu romanya makin mencanak-canak naik sehingga dia hilang
pertimbangan diri. Diam di dalam selimut, akhirnya Elena tertidur dalam cerah.
***
Nasi goreng cina di
dalam pinggan dikuis-kuisnya dengan hujung sudu. Kopi o dalam cawan telah sejuk
setelah dibiar tidak bersentuh. Umi memandang Ezra yang sedang melahap roti
canai kuah banjir lalu memberi isyarat.
“Umi tak payahlah risau
pasal anak perempuan umi ni. Dia tengah diet la tu.”
Ezra berhenti gelak
selepas terasa kakinya disepak. Siapa punya kerja melainkan Elena. Elena
menjegilkan matanya kepada Ezra. Geram. Ezra pula sudah tersengih-sengih
seperti kerang busuk.
“Betul ke diet, El?”
“Err… mana ada, umi. Abang
Ez ni memandai-mandailah!”
“Eh, betul apa. Hari tu
kau mengadu kat aku… kau kata yang kau dah gemuk. Kau nak kena diet.”
“El diet atau umi masak
tak sedap?” umi kembali bertanya.
“Mana ada umi. Masakan
umi la yang paling sedap di dunia.”
“Habis tu… kalau tak
diet… kalau masakan umi sedap, apa pasal sejak tadi lagi duk kuis-kuis aje nasi
tu?”
“Tak ada apa-apa. Perut
El tak berapa sedap sikit.”
“El tak sihat ke?” dahi
Elena cepat-cepat disentuh. Risau umi dibuatnya. Manalah tahu kut-kut Elena
memang benar-benar tidak sihat. Kalau sakit, mahu juga dia heret anak gadisnya
ini ke klinik. Namun sebaik menyentuh dahi Elena, umi tarik nafas lega. Suhu
badan Elena biasa-biasa saja.
“Dia demam cinta la tu,
umi!” Ezra menyampuk sehingga memaksa Elena menjegil padanya. Geram melihatkan
perangai Ezra yang celopar. Ada patut dia kata demam cinta? Bercinta pun tidak,
macam mana nak demam cinta?
“Abang Ez!”
“Yalah tu. Tak nak mengaku konon!”
Ezra mengekek ketawa. Elena
pula tahan geram saja dengan Ezra. Dia pandang Ezra macam semut aje sekarang
ni. Rasa macam nak picit-picit. Macam nak jentik-jentik pun ada juga.
“Umi ada kelas pukul berapa hari ni?” dia
mengalihkan topik. Daripada dia panas hati melayan perengai senget Ezra, baik
lagi dia bersembang dengan umi.
“Lewat sikit. Kelas umi
pukul 11 pagi.” Jawab umi yang bertugas sebagai salah seorang tenaga pengajar
di sebuah kolej swasta.
“Dengar kata kat kolej
umi tu ada hari keusahawanan. Bila hari keusahawanan tu? Nanti El ingat nak
pergi sana. Boleh kan, umi?”
“Hujung bulan ni. Nanti
umi update dengan El kalau betul El
nak datang.”
“Okey. Tak apalah umi. El
nak gerak sekarang. Takut sangkut dalam traffic
pula nanti.”
Kopi dihirup sekali dua. Tangan umi ditarik
lalu dicium. Begitu juga dengan pipi umi. Dicium beberapa kali lantas meminta
diri. Sempat lagi dia menjeling Ezra yang sedang merenungnya dengan kening yang
dijungkit-jungkit.
Elena memandu keluar
dari halaman. Baru beberapa saat menekan pedal minyak, kenderaannya tiba-tiba
diperlahankan. Tingkap di sebelah kirinya diturunkan. Dia memandang ke arah
rumah kosong tidak berpenghuni yang terletak di hujung simpang jalan. Sekilas
dia mengerling ke arah pokok mempelam di laman rumah tersebut. Semerta dahinya
berkerut.
Hatinya berdegup rasa
sesuatu. Kenapa dia nampak rumah kosong ini seperti telah dihuni? Ada penyewa
baru ke?
Brek tangannya ditarik.
Pintu keretanya ditolak lalu memboloskan diri dan mendekati pagar rumah
berkenaan. Baru kali ini dia menyedari sesuatu. Sesuatu yang dia nampak
semalam. Kereta Tuah!
“Macam mana kereta Tuah
boleh ada kat sini?”
Pin! Pin!
Hon kereta dari
belakang membuatkan fokus Elena sedikit terganggu. Terlihat kereta Ezra telah
berhenti di sebelah keretanya yang diparkir di tengah jalan.
“Apa yang kau buat kat
sini, Elena?” jerit Ezra lantang dari
dalam keretanya.
“Tak ada buat apa-apa.”
Elena sedikit cuak melihat Ezra. Kelam kabut dia kembali ke dalam kereta dan
menekan pedal minyak lalu meninggalkan Ezra jauh di belakang.
Tiba saja ke
persimpangan lampu isyarat tidak jauh dari kawasan perumahannya, sekali lagi
dia terkejut apabila Ezra membunyikan hon yang agak panjang dan kuat.
“Isk, abang Ez!” jerit Elena setelah menurunkan tingkap
keretanya.
“Kau buat apa kat depan
rumah kosong kat hujung simpang tadi?” beria-ia
Ezra bertanya.
“Tak ada buat apa-apa.”
“Tipulah. Kau skodeng hantu
ek?”
Elena menjeling geram. Ada
patut abangnya bergurau macam tu? Entah apa-apa!
Kalau bukan kerana dia
ternampak kereta Tuah terparkir di halaman rumah kosong itu, tak kuasa rasanya
dia mahu terjenguk-jenguk dan terhendap-hendap macam pencuri. Dan kalau bukan
kerana dia asyik fikirkan tentang Tuah, tak kuasa dia nak tebalkan muka dan
beranikan diri mendekati pagar rumah kosong itu.
“Dah la. Malas nak
melayan abang Ez. El nak pergi kerja. Bye!”
sepantas kilat Elena meninggalkan
kepul-kepul asap setelah lampu merah bertukar hijau.
No comments:
Post a Comment