Thursday, 10 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 4

Kreukkk!

Elena mengusap-usap perutnya yang mula berbunyi. Segera dia membuka penutup periuk gulai udang. Gulai di dalam periuk dipanaskan. Sesekali, isi di dalam periuk dikacau-kacau lalu mengambil bau. Haruman gulai udang hasil masakan umi benar-benar membuatkan dia hampir lupa diri.

Lima minit berselang, Elena menutup api. Kuah gulai dicedok dengan hujung senduk dan diletakkan di atas telapak tangannya. Baru saja gulai udang melalui kerongkongnya, namanya pula terdengar dilaung-laung dari hadapan.

Terkocoh-kocoh Elena bergerak ke singki dan mencuci tangan.

“Ya, umi?”

“Kawan kamu datang ni.”

 “Zira ke umi?”

“Bukan.”

“Habis tu… siapa?”

“Kamu datanglah tengok sendiri,” balas umi.

Sesampai saja di ruang tamu, Elena hampir saja lagi hendak putus nafas. Malah dia turut mahu pitam sebaik melihat dengan siapa umi sedang berbual.

“Awak buat apa kat sini?” soalnya sambil bercekak pinggang.

“Hai, Elena.” Balas Tuah dengan menayang senyuman manis bak gula-gula.
Senyuman Tuah itu cukup untuk menyejukkan sekeping hati Elena yang sedang mendidih. Elena terkesima. Perlahan-lahan dia masuk ke dalam dunia angan-angan sebelum terdengar-dengar namanya dipanggil.

“Elena?”

“Errk… hmm… ehem… ya… umi?”

“Takkan nak tercegat kat situ aje? Kawan kamu datang ni.”

Elena menggaru-garu tengkuk sambil menyengih kepada umi. Yang pertama sebab dia tak tahu nak buat apa bila tiba-tiba saja Tuah muncul di rumah keluarganya dan yang kedua sebab umi macam terlebih peramah hari ini. Manakan tidak, kenal Tuah pun tidak… tahu-tahu saja boleh rancak berbual seperti sudah lama mengenali lelaki ini.

Pelik bin ajaib!

“Ya Allah, budak ni… dia boleh menyengih macam kerang busuk aje? Isk, kamu duduklah berbual dengan kawan kamu ni. Umi nak ke dapur siapkan minuman,” ujar umi semula lalu bangkit.

Sebaik saja umi menghilang, Elena merenung Tuah seperti hendak menelan lelaki itu hidup-hidup. Seperti pemangsa yang baru saja bertemu dengan mangsanya.

“Awak buat apa kat sini?”

“Saya…”

“Awak jangan nak buat hal eh! Apa yang awak dah bualkan dengan umi saya? Apa yang awak nak sebenarnya ni?”

“Saya…”

“Kan saya dah cakap sejak tadi… urusan kita berdua dah berakhir lepas saja awak hantar saya balik.” Terketap-ketap bibir Elena menyudahkan bicaranya tanpa memberi peluang kepada Tuah membuat penjelasan. Nadanya agak perlahan, tidak mahu sesiapa pun mendengar kata-katanya melainkan mereka berdua. Sekarang ini Elena rasa macam nak menyumpah diri sendiri saja. Kalaulah dia menolak pelawaan Tuah tadi, pasti lelaki itu tak akan pernah tahu di mana dia tinggal. Tapi, itulah! Terlajak perahu boleh diundur tapi kalau dah terlajak setuju…

“Elena?”

“Isk… awak nak apa datang ke sini? Bukan ke sepatutnya awak dah balik?”

“Boleh tak awak beri peluang saya sudahkan apa yang saya nak cakap?” laju-laju Tuah memotong percakapannya. Suaranya sengaja ditekankan. Tuah kemudiannya memandang mata Elena dan seterusnya kedua-dua mereka saling bertatapan tanpa bicara.

“Cakaplah!” Elena mengalah juga akhirnya. Dia bergerak ke sofa dan menghempaskan punggungnya ke situ melepas geram.

“Saya datang ke sini sebab nak hantar makanan untuk awak.” Satu plastik sederhana besar yang berisi bekas makanan yang berada di atas meja kopi ditolak mendekati Elena. Lama Elena memandang bekas makanan itu. Banyak perkara yang sedang bermain-main dimindanya sebelum dia mendengus.

“Makanan apa pula ni?”

“Makananlah. Nasi beriani gam dengan ayam kurma. Saya tahu awak masih belum makan, kan? Lagi satu… saya ada bawakan awak ubat. Nanti awak letaklah ubat ni kat dahi awak yang luka tu. Cepat sikit sembuh.” Tuah tayang senyuman pendek lantas menolak satu plastik berisi ubat-ubatan yang dibeli dari farmasi.

Oh, soooo sweet! Terima kasih ajelah!” Elena mencebik. Tiba-tiba saja hatinya kembali menggelegak. Dia terasa seperti Tuah terlebih menyibuk dalam urusan hidupnya. Dah hantar balik tu sudahlah! Ini siap pergi belikannya makanan dan ubat pula. Bagaimana kalau umi tahu dan bertanya macam-macam nanti? Tak pasal-pasal umi sangka yang mereka berdua punya apa-apa hubungan. Euwww…baru aje kenal beberapa jam kut! Lagi pun… lelaki yang berada di depannya ini tak nampak berjenis langsung. Selekeh! Dengan rambut panjangnya yang dibuat half up pony tail, pakaian pun ala-ala budak hipster acah-acah hot. Sakit mata melihatnya!

“Isyh, tak baik tau menolak rezeki.”

“Saya tak minta pun awak bawa semua ni.”

Tuah hanya tergeleng.

“Awak masih marahkan lelaki tadi ya?”

Elena mencebik meluat. Sakit mata dah, sekarang ni dia sakit telinga pula bila Tuah cuba mengungkit. Kenapa dia rasa Tuah ni macam terlebih menyibuk urusannya? Suka hati dialah nak marahkan siapa pun!

“Kalau saya masih marahkan dia… apa kena mengena dengan awak pula?” Elena membalas kasar.

“Tak elok kalau asyik marah-marah macam ni. Tak bagus untuk kesihatan. Dahi awak pun masih lebam.”

“Biarlah! Suka hati sayalah nak marah ke nak ketawa ke… awak jangan menyibuk boleh tak?”

Tuah gelak-gelak sambil menggeleng-geleng beberapa kali. Mungkin sedikit terhibur melihat gelagat Elena. Walaupun dalam keadaan marah, wajah Elena masih tetap manis dipandang.

“Marah-marah macam ni nanti cepat tua.”

“Biarlah! Tak ada kena mengena dengan awak pun!”

Tuah sambung gelak sebelum melebarkan sengihannya.

“El… awak belum kahwin, kan?”

“Isk, apa kena mengena dengan awak? Kalau saya belum kahwin pun, tak ada kaitan dengan awak tau!” dada Elena mulai naik turun menahan amarah yang kian menebal.  Kalau dia tak dapat nak mengawalnya, tak mustahil sekejap lagi akan berlaku perang dunia dengan Tuah.

“Kalau macam tu… bolehlah saya ajak awak kahwin?”

Rengkung Elena menyempit tiba-tiba. Hampir saja lagi nafasnya mahu putus mendengarkan kata-kata Tuah. Kahwin? Lelaki ni dah gila ke apa? Baru aje kenal tak sampai lima jam, sudah berani-berani mengajaknya kahwin? Entah-entah… Tuah ni baru terlepas daripada pusat rawatan mental agaknya!

“Awak dah gila?!” teriak Elena tak bertangguh.

Tuah hanya tergeleng sambil tersenyum manis kepada Elena. Elena pula terpaku pada senyuman manis lelaki itu. Seperti dia telah terpukau dek senyuman Tuah.

 Auchhh, manisnya senyuman dia. Boleh tak nak menyanyi lagu kumpulan Elite sekarang ni?

“Takkan saya ajak awak kahwin pun dikatakan gila?”

“Memang gila! Gila sangat sebab tak ada mana-mana lelaki yang berani tanya pada saya soalan macam ni. Tambah-tambah pula daripada lelaki yang baru dikenali.”

“Jadi kiranya saya ni lelaki pertama yang bertanya pada awak soalan macam tu?”

Mata Elena tercerun-cerun ke arah Tuah. Mamat inilah! Memang muka tahap minta penampar jepun.

Sorry la… saya dah ada yang punya.” Tiba-tiba saja Elena memberi alasan tetapi tidak pula dia memandang wajah Tuah ketika itu. Sengaja dia melarikan matanya merenung dinding serta perhiasan dinding yang tergantung.

“Kepunyaan umi dan babah awak?”

Elena menjeling-jeling sebal. Kenapalah dalam banyak-banyak lelaki, dia kena hadap lelaki yang selamba tahap tak ada perasaan macam ni? Ajak kahwin pun dah serupa macam nak ajak dia keluar makan. Dasar gila!

“Macam inilah Encik Tuah. Saya sangat-sangat hargai apa yang awak dah buat tadi. Memang betul awak dah tolong saya dan hantar saya balik ke rumah dengan selamat. Tapi, itu tak bermakna awak boleh cakap apa saja yang awak suka. Kita baru aje kenal. Baru sangat-sangat. Tak sampai lima jam tau! Jangan hanya kerana awak baru kenal saya lima jam, awak sesuka hati aje nak test market!” sembur Elena melepas segala rasa yang terbuku di hati.

Ah, dasar lelaki. Pantang ada peluang sikit, semuanya nak redah. Dia sangat pasti Tuah sekadar mahu mencuba nasib. Kalau tidak pun, mungkin dia bertaruh dengan kawan-kawannya. Huh, rupa tak adalah kacak mana tapi perangai poyo tu…tak boleh blah! Minta maaflah Hang Tuah! Aku bukan perempuan yang mudah termakan dengan kata-kata dan ayat manis seorang lelaki. Kau boleh simpan saja semua tu dalam poket seluar kau yang koyak rabak tu! cemuh hati Elena tak sudah.

“Elena…”

“Sudahlah! Saya rasa kita tak ada apa-apa yang boleh dibualkan lagi. Jadi, kiranya eloklah awak keluar dari rumah saya ni dan balik ke tempat awak. Saya tak halau awak tau cuma saya nak awak balik. Itu aje.” Elena bangkit dari sofa dan bergerak menuju ke pintu utama. Pintu ditarik sehingga terkuak lebar. Melihatkan Tuah masih sedap bersandar ke sofa, dia menghentak kaki bagi menarik perhatian lelaki itu.

“Encik Tuah!”

Tuah garu-garu belakang kepalanya. Teragak-agak untuk bangun namun belum sempat dia menurut, umi pula sudah kembali ke ruang tamu sambil menatang dulang berisi satu jag air serta sepiring makanan ringan. Tuah mengerling kepada Elena sebelum mengukir senyuman nipis. Elena menjegilkan mata, memberi isyarat kepada Tuah agar cepat-cepat meminta diri.

“Nak ke mana, Tuah? Jemputlah minum dulu.”

Tuah serba salah. Wajah umi dan Elena dipandang silih berganti sebelum membuat keputusan untuk kekal duduk di sofa.

“Jemputlah, Tuah… minuman ringan aje ni,” pelawa umi dengan wajah manis.
Ketika itu juga Elena terasa mahu menarik-narik rambut panjangnya. Argh, stress!

“Terima kasih mak cik. Buat susah-susah aje.”

“Apa pula susah? Tak ada apa-apa yang susahnya, Tuah.”

Elena menjeling sebal melihatkan Tuah dilayan bak putera raja. Benci! Kalau bukan kerana umi, dah lama dia heret Tuah keluar dari rumah ini. Kalau dia tak mahu keluar juga, sah-sah dia tarik saja rambut panjang lelaki itu. Baru puas hati!

“Elena?” nama Elena diseru ketika dia sedang mengelamun di ruang tamu, ketika umi dan Tuah sibuk berbual sesama sendiri. Elena angkat kepala memandang umi sebelum singgah pada Tuah.

“Saya dah nak balik ni… nanti awak jangan lupa makan.” Pesanan penaja tak berbayar yang diberi oleh Tuah hanya masuk ke telinga kanan dan keluar melalui telinga kiri.

“Hmm… eloklah tu. Ingatkan dah tak ingat tentang rumah sendiri.”

Tuah hanya terkulat-kulat disembur oleh Elena.

“Mak cik… terima kasih ya. Saya minta diri dulu.”

“Mak cik yang sepatutnya ucapkan terima kasih kepada kamu sebab tolong hantarkan El balik. Kalau tak ada kamu, tak tahulah apa nak jadi dengan dia. Itulah… masa mak cik tanya tadi pasal luka kat dahi dia tu… dia kata yang dia jatuh. Nasib baik kamu ceritakan hal yang sebenar. Kalau tidak, sampai bila-bila pun mak cik tak tahu.”

Panas telinga Elena mendengar apa yang umi baru tuturkan. Isk, celupar sungguhlah mulut mamat ni. Ada juga yang kena smackdown kejap lagi ni!

“Tak apa, mak cik. Benda kecil aje.”

“Apa lagi yang awak tak puas hati?” sembur Elena sebaik kedua-dua mereka melangkah keluar setelah Tuah beria-ia meminta Elena mengikutnya.

“Tentang apa yang saya cakap pada awak kat dalam tadi…”

“Tentang apa? ”

“Tentang kahwin,” ujar Tuah sambil menarik pintu kereta Kancilnya yang diletakkan di hadapan pagar.

“Saya serius tau.”  Tuah menyambung bicara. Lama dia menatap mata Elena yang berwarna coklat cair itu. Biarpun mukanya ketat dan kelat memanjang, Tuah masih tetap suka memandangnya tanpa jemu.

 “Saya rasalah… fius kat dalam kepala awak tu dah tercabut kut!”

“Mana ada fius otak saya tercabut. Saya masih waras.”

“Kalau betul awak masih waras… awak takkan ajak saya kahwin. Kita baru kenal selama lima jam. Lima jam okey!” telapak tangan kanan Elena ditayang di hadapan Tuah. Sengaja mahu menyedarkan Tuah berapa lama tempoh perkenalan mereka. Orang gila saja yang akan buat tindakan seperti ini. Dan Tuahlah orang gila itu!

“Ada orang yang kenal selama bertahun-tahun pun belum tentu berani ajak seorang perempuan berkahwin. Kira okeylah tu kita kenal baru lima jam, saya dah ajak awak kahwin.”

“Macam mana saya nak tahu yang awak ni orang baik atau pun tak?”

“Saya dah berjumpa dengan umi awak tadi… kira tak cukup baik ke?” soalan Tuah itu membuatkan Elena hampir saja lagi menepuk dahi. Ya Allah, pening kepala dia mahu menjawab soalan lelaki ini.

“Macam mana kalau awak ni suami orang? Tunang orang? Paling tidak pun boyfriend orang?”

“Andai kata saya bukan milik siapa-siapa… awak sudi terima saya?”

“Isyh, pergi baliklah! Sakit jiwalah melayan perangai awak ni!” bahu Tuah ditepis-tepis oleh Elena. Kemudian, pintu pagar yang terbuka lebar ditariknya lalu ditutup dan siap dimangga.

“El!” jerit Tuah ketika Elena sedang melangkah masuk.

“Apa lagi Encik Tuah?” terhentak-hentak kakinya. Kalau dia pakai boot sekarang ni, memang bunyinya dah boleh buat satu taman perumahan ini bergegar agaknya.

“Jangan lupa makan tau. Nanti kita jumpa lagi. Bye!

Tuah melambai Elena dengan menayang wajah yang ceria lalu bergerak masuk ke perut keretanya. Selang beberapa saat, kereta Kancil tersebut menghilang dari perkarangan rumah keluarga Elena.

“Huh, jangan harap aku nak jumpa kau lagi Hang tuah!”




Saturday, 5 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 3

Elena menghempaskan punggungnya ke sofa. Beg tangannya diletak ke atas meja kopi. Lengan blausnya disingsing sehingga ke siku sebelum rambutnya diikat seperti orang sedang berpantang empat puluh empat hari. Sebuah majalah yang berada di atas meja kopi dicapainya lalu dikibas-kibas ke muka menghalau bahang panas yang memeluk erat wajah dan batang lehernya. Meluap-luap betullah rasa hatinya usai saja dia selesai bercakap dengan Zira melalui telefon.

Jika Zira berada di hadapan matanya sekarang ini… mahu saja dia mencekik-cekik leher gadis itu sepuas hati. Kenapalah si Zira boleh termakan dengan kata-kata Azad? Kenapa perlu menjadi manusia bodoh hanya kerana seorang lelaki? Sudah ditipu dan dicurangi di depan mata pun masih lagi boleh memaafkan si Azad tu. Kalaulah Azad yang menjadi tunang Elena… tanpa teragak-agak dia akan menghadiahkan penumbuknya ke muka lelaki itu.

“Huh… penumbuk konon! Tak payah nak beranganlah, El! Kau yang dah makan penumbuk mamat tu tadi… dah lupa?” gumam Elena memarahi diri sendiri.
Tangannya lekas naik menyentuh dahi yang masih terasa perit. Ada plaster yang melekat di situ selepas lukanya dicuci tadi.

“Kenapa masam sangat muka anak umi ni? Balik-balik aje dah rupa gini,” teguran umi dari arah tangga membuatkan Elena berkalih. Terkejut melihatkan umi sedang berdiri terpacak di situ tanpa dia sedari. Entah tahun bila agaknya uminya berada di situ. Pasti umi sudah mendengar bebelannya sejak dia masuk ke rumah tadi.

Elena memaniskan wajah sambil menggeleng. Tidak mahu membuat umi memikir yang tidak-tidak walaupun hatinya masih lagi sakit dengan kejadian yang berlaku di luar tadi.

“Tak ada apa-apa… umi.”

Mata cepat dihala ke skrin televisyen. Tidak pasti rancangan apa yang sedang ditontonnya kerana asyik memikir-mikir akan apa yang berlaku tadi.

“Kenapa dengan dahi kamu tu?” aju umi lagi.

Elena menelan liur. Erk… umi perasan ke?
Perlahan-lahan dia menyentuh dahinya. Anak mata umi pula dicari lalu menggeleng perlahan.

“Tak ada apa-apa. Jatuh tadi, umi.”

“Isyh… macam mana kamu boleh jatuh ni?”

“Alah… benda dah nak jadi, umi. Malang tak berbau, kan?” dia menyengih segan.

“Itulah… kamu cuai sangat agaknya. Lain kali hati-hati sikit. Nasib baik tak teruk.” nasihat umi sambil mengintai-intai dahi Elena yang berplaster.

“Kamu dah makan atau belum?” sambung umi lagi sedikit prihatin. Manakan tidak, Elena itulah satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Risau bila gadis itu balik dalam keadaan begini membuatkan hati tuanya keresahan.
Elena mengangguk kemudian menggeleng.

“Eh, mana satu ni?”
Umi dah mengerutkan dahi. Pelik dengan jawapan Elena yang tiada kepastian.

“El belum makan, umi.”

“Kamu pergi mana dengan Zira? Takkan tak menyinggah kat mana-mana restoran?”
Elena sudah menggaru-garu tengkuk yang tidak gatal. Aduh, apa yang dia mahu jawab pada umi? Walaupun soalan umi itu sangat senang, tetapi tidak mudah baginya untuk menjawab dalam keadaan fikirannya masih lagi kusut.

Memanglah pada mulanya, sewaktu dia keluar bersama Zira… dia bercadang untuk makan-makan bersama temannya itu memandangkan masing-masing sangat sibuk sepanjang minggu lepas. Waktu cuti hujung minggu begini sajalah satu-satunya masa untuk mereka keluar meluangkan waktu bersama tetapi lain yang dirancang lain pula yang terjadi. Daripada mahu makan nasi, dia pula yang dapat makan buku lima Azad.

Huh, sakit sungguh jiwanya bila memikir-mikirkan tentang Azad. Rasa macam mahu pergi hempuk kepala lelaki itu saja. Dayus! Berani sungguh dia memukul perempuan. Siaplah dia kalau aku jumpa dia lepas ni!

“Amboi… anak umi ni dah berangan sampai ke mana? Umi cakap dengan dia tapi gaya macam umi sedang bercakap dengan peti ais,” bebel umi sedikit tidak puas hati.
Bebelan umi itu sedikit sebanyak membuatkan Elena tenang. Dia tergelak melihatkan muncung umi. Hilang sedikit rasa panas di hati ini bila mendengar suara umi.

“Umi… babah mana? Tak nampak pun? Keluar ke?” dia mengalih topik, semata-mata tidak mahu uminya mengesyaki sesuatu.

“Kamu dah lupa, El? Babah kamu tu pergi Sarawak lima hari. Bukan ke dia ada seminar di sana?”

“Yalah… yalah… terlupa pula.” Elena menepuk kepala. Sungguh-sungguh dia terlupa mengenai ayahnya yang masih lagi berada di Sarawak kerana menghadiri seminar usahawan.

“Abang Ez pula? Dia keluar ke? Sunyi sepi aje rumah ni. Atau pun… dia masih lagi buat tahi mata kat dalam bilik?” Elena menyengih. Teringat tentang satu-satu abangnya Ezra. Biasanya kalau cuti-cuti begini, tak lain tak bukan pasti Ezra akan buat tahi mata. Paling tidak pun pasti lelaki itu akan buat rumah ini riuh seperti balai raya.

“Dia pun tak ada. Abang kamu tu dah pergi studio sejak pagi lagi.”

“Pergi studio?”

“Ya, pergi studio. Lepas tu katanya ada photoshoot di luar. Rasanya dia ke Port Dickson kut? Malam agaknya baru balik.” Terang umi lagi.

“Sibuknya dia.”

“Bukan kamu tak tahu abang kamu tu… cuti atau tidak, sama aje. Dua puluh empat jam dengan kerja. Kalau tak kerja, bertapa dalam bilik buat tahi mata.”

Elena terangguk-angguk mendengarkan penjelasan umi. Bercerita perihal Ezra yang sentiasa sibuk mengalahkan menteri dengan kerjayanya sebagai jurugambar profesional, teringat pada diri sendiri. Alah… dia pun dua kali lima saja. Sibuk dua puluh empat jam dengan Elena Cake Studio, bakeri miliknya yang telah beroperasi selama tiga tahun. Mujurlah hari ini bakeri itu ditutup, jadi ada jugalah masa untuk dia berlibur. Jika tidak, jangan haraplah dia boleh bersenang lenang begini.

“Umi masak apa?” satu soalan yang tidak ada kena mengena dengan kerjaya dan hal yang berlaku di luar tadi dihulur pada umi.

“Gulai udang. Kalau kamu nak makan… umi nak pergi panaskan lauk,” ketika umi bersedia untuk bangkit, Elena pantas melarang.

“Eh, tak payah… umi. Umi duduk aje kat sini. El boleh buat sendiri.”
Senyuman terpamer seraya bahu uminya digosok-gosok. Sejurus kemudian, segera dia meninggalkan umi di ruang tamu rumah teres dua tingkat itu.


Wednesday, 2 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 2

Elena hanya memandang kosong ke arah sapu tangan yang baru saja dihulurkan kepadanya. Fikirannya melayang-layang. Otaknya masih gagal menghadam dengan baik apa yang baru saja berlaku terhadap dirinya.

“Ehem.” Deheman dari arah hadapannya membuatkan Elena memanggung kepala. Semerta Elena membetulkan posisi duduknya dan berganjak beberapa inci di saat sang jejaka melabuhkan punggung di sebelahnya.

“Nah… ambillah.” Ujar si jejaka dengan lembut. Pandangan mereka berdua berlaga sebentar. Elena tenung sapu tangan sebelum kembali memandang jejaka di sebelahnya. Lama dia menjamah raut wajah lelaki tersebut sehingga kening pun berkerut-kerut.

“Guna sapu tangan ni untuk lap dahi awak yang luka tu.” Si jejaka menuding ke arah dahi Elena. Elena pula cepat saja menyentuh dahinya.

“Auch!” dia terjerit menahan pedih. Mukanya berkerut. Sapu tangan dari tangan si jejaka yang tidak dikenalinya ini lekas dicapai lalu menekap-nekap ke dahinya yang perit.
Elena menggumam sambil tangan ligat membersihkan luka di dahi sendiri. Kemudian, matanya pula tak sudah menjeling-jeling ke meja Azad yang telah pun kosong.

“Dia dah pergi,” ujar si jejaka menjawab persoalan yang sedang berlegar-legar di kepala Elena bagaikan dia dapat meneka dan membaca apa yang sedang difikirkannya. Elena merengus. Dahinya yang masih pedih ditekan-tekan dengan kasar menggunakan sapu tangan pemberian lelaki asing ini.

Si jejaka pula hanya tersenyum-senyum dan tersengih-sengih melihat gelagat Elena sebelum meletuskan tawanya.

“Awak tergelak-gelak tu dah kenapa? Suka sangatlah tengok dahi saya luka macam ni?” Elena membidas geram.

“Kenapa awak masuk campur urusan rumahtangga orang?”

 “Excuse me? ” ternaik suara Elena seoktaf. Ewah-ewah… mamat ni. Menyibuk apa hal?

“Kalau tak masuk campur urusan rumahtangga orang … mesti tak lebam dahi awak tu.”
Elena menjeling tajam lelaki itu. Kalaulah matanya ini boleh berfungsi seperti mata pedang, dah lama agaknya muka lelaki di sebelahnya ini luka dan berdarah akibat jelingan mautnya.
Sapu tangan tadi dipulangkan. Elena bangkit. Dia mahu cepat-cepat beredar dari sini dari terus membiarkan telinganya bakal bernanah mendengar bebelan lelaki yang tidak dikenalinya ini. Entah dari manalah agaknya lelaki ini datang. Ribut tak ada, taufan La Nina pun tak ada. Sedar-sedar saja dia dah muncul.

 “Awak nak ke mana?” aju si jejaka sedikit menggelabah.

“Bukan urusan awaklah. Jangan menyibuk boleh tak?” sebal Elena jadinya. Sudahlah hatinya masih panas dengan kejadian tadi dan sekarang ini lelaki asing ini pula seakan-akan mahu menambahkan bahang kepanasannya.

“Awak!” panggil si jejaka.

 “Apa?” balas Elena dengan bibir yang mengetap.

“Beg tangan awak.” Beg tangan jenama Chanel hadiah hari jadinya yang kedua puluh lima yang tertinggal di atas bangku tadi diangkat dan ditayang-tayang di hadapan Elena. Melihatkan beg tangan kesayangannya itu, kelam kabut Elena mencapainya dari tangan si jejaka dan berlalu keluar secara tergesa-gesa.

“Awak!” laungan si jejaka membuatkan Elena terasa mahu menghayunkan saja beg tangannya ke kepala lelaki itu.

“Eee… awak nak apa lagi?”

“Awak nak pergi mana?”

“Berapa kali nak kena menyibuk ni?”

Lelaki itu hanya tersenyum-senyum.

“Apa nama awak?” dia mengekor langkah Elena. Sambil menyeluk poket seluar jeans koyak rabaknya, dia iring Elena berjalan mengukur kaki lima. Elena pula menjeling sebal. Angin betul dibuatnya. Dalam keadaan macam ini pun lelaki ini masih mahu berkenalan? Heh, tak kuasa betul!

 “Sibuklah awak ni!”

“Mana ada saya sibuk. Saya tengah free ni. Jadi… apa nama awak?”

“Eee… tolong  jangan jadi penyibuk kat sini boleh tak? Tolong tinggalkan saya seorang diri!”

“Sombong betul awak ni. Rasa-rasanya… kalau saya tak jadi penyibuk tadi… agaknya sehingga sekarang awak akan terbaring kat atas lantai di dalam restoran tu. Paling tidak pun, mungkin saja awak dah berada di atas katil hospital. So… siapa nama awak?”

“Suka hati sayalah nak sombong atau apa pun. And for your information, saya tak pernah minta awak tolong saya tadi tau!”

Lelaki itu tergeleng-geleng sambil menyimpul senyuman.

Elena mencemik melihatkan gelagat lelaki ini. Kalau tak ikutkan rasa sabar yang tersisa, tak dapat pukul Azad… lelaki ini yang makan penamparnya sekejap lagi! Isk, si Zira ni pun satu hal. Ke mana pula dia pergi? Cepat-cepat Elena mencapai telefon pintarnya dari celah beg tangannya lantas menghubungi Zira namun talian telefon gadis itu seperti telah dimatikan.

 “Kalau awak cari lelaki tadi… saya rasa lebih baik awak lupakan saja. Dia dah pergi bersama dengan perempuan yang kena simbah air dengan awak tadi.”

“Isk!” Elena merengus sambil cuba menelefon Zira sekali lagi tetapi Zira masih gagal dihubungi.

“Awak telefon lelaki tu untuk apa? Kan saya dah cakap yang dia dah pergi bersama perempuan tadi.”

“Saya tak call lelaki tadi la! Saya call tunang dia. Awak jangan menyibuk urusan saya lagi boleh tak?” bentak Elena geram. Sudahlah dia sakit hati dengan Azad, kini dia bertambah sakit hati dengan bebelan lelaki asing yang menyesakkan perasaannya sekarang ini.

“Tunang lelaki tadi?”

“Eee… apa pasal awak sibuk sangat ni? Awak nak tahu sangat kenapa?”

“Okey… okey… saya minta maaf. Janganlah marah.”

“Haruslah saya marah kalau bercakap dengan manusia spesis macam awak ni! Urghhh!” Elena menolak rambutnya ke belakang. Dia berhenti berjalan dan berdiri bertentangan dengan lelaki itu.

“Awak nak tahu sangat, kan? Meh sini saya cerita. Untuk pengetahuan awak… lelaki yang pukul saya tadi tu… dah bertunang. Dan tunang dia tu kawan baik saya. Saya tak telefon lelaki tak guna tu tapi saya telefon tunang dia. Faham tak? Ada apa-apa lagi yang awak nak tahu?”

“Macam mana…” belum sempat si jejaka menghabiskan ayatnya, Elena sudah memintas.

“Awak nak tahu kenapa saya pergi serang dia kat dalam restoran tu tadi?” Elena terjeda.

“Dia dah main kayu tiga kat belakang kawan saya. Takkan awak tak nampak macam mana perangai dia kat dalam restoran tu tadi? Merenyam! Buat maksiat kat tempat umum. Berbululah mata tengok perangai tak semenggah dia tu!”

“Tapi kenapa awak masuk campur urusan yang tak ada kena mengena dengan awak?”

Excuse me?!” ternaik suara Elena.

“Habis tu… awak pula… kenapa masuk campur urusan hidup saya? Tak boleh ke kalau awak tak menyibuk hal orang lain? Kita bukannya kenal pun dan awak tak perlu berlagak macam awak bagus sangat. Dah… ke tepi!” tubuh jejaka yang sedang menghadang laluannya sengaja ditepis dengan bahu.

“Memang betul kita belum berkenalan. Sebab itu saya nak tahu apa nama awak.”
Elena tidak menghiraukan lelaki itu. Langkahnya dihayun ke depan dan cuba mencari Zira di kawasan berdekatan tetapi langkahnya pula disaingi si jejaka tanpa asa.

 “Awak belum beritahu saya nama awak .”

“Kalau saya beritahu … awak nak buat apa?”

“Saya nak bawa jumpa keluarga saya.” dia ketawa tetapi Elena sudah menggerutu geram.

“Macam-macamlah awak ni. Awak tu pula… ada nama, kan? Apa nama awak? Dollah? Mamat? Atau pun Anuar Zain?” perli Elena.

“Kalau saya beritahu awak apa nama saya… awak nak buat apa? Nak ajak saya berjumpa dengan tok kadi ke?”

“Tak. Saya nak pergi ke balai polis!”

“Okey… okey… saya bergurau aje. Saya Tuah.” Lelaki yang baru saja memperkenalkan dirinya sebagai Tuah itu tersenyum manis. Senyuman yang julung-julung kali dilihat oleh Elena daripada seorang lelaki. Elena pula hanya terkedu di hadapan Tuah untuk jangka masa yang agak lama. Senyuman Tuah itu bagaikan sudah membuatkan Elena seperti disihir. Hatinya yang panas sejak tadi tiba-tiba saja menjadi sejuk bagai baru disiram dengan ais.

Entah kenapa tiba-tiba hati Elena bergetar lain macam. Dia merasakan lelaki di hadapannya ini mempunyai aura yang sukar dia ungkapkan dengan kata-kata. Biarpun lelaki itu tidak terlalu kacak dan menarik dari sudut definasi peribadinya, dia terpaksa mengaku yang wajah Tuah itu sungguh menyejukkan matanya. Malah senyuman Tuah itu, bisa membuatkan hatinya yang keras macam ketul ais menjadi cair seperti telah terkena panahan matahari.

 “Saya Elena. Elena Amir.” akhirnya Elena memperkenalkan dirinya tanpa teragak-agak.

“Jadi, Elena Amir…”

Just call me Elena or El .” Elena memintas.

“Okey… El. Jadi, awak nak ke mana?”

“Cari kawan saya.”

“Seorang diri?”

“Habis tu… awak nak temankan saya?”

“Boleh ke?”

“Suka hati awaklah!”



Tuesday, 1 August 2017

Urusan Cinta Elena & Tuah 1

Elena mempercepatkan langkah. Walaupun berkali-kali dia terdengar namanya dilaung dari belakang, dia tetap tidak mahu berhenti. Misinya hanya satu dan ia harus diselesaikan hari ini juga.

“El!” Zira menjerit-jerit memanggilnya dengan suara yang termengah-mengah. Nafas gadis itu sudah mula menyemput dan hampir berhenti untuk menyedut udara tambahan. Lariannya semakin perlahan lalu berhenti mengambil nafas. Dia sedikit kecewa kerana tidak berjaya menyaingi langkah Elena yang sudah berada jauh bermeter-meter di hadapannya.

“El, tunggu dulu!”

Zira berusaha mendapatkan Elena dan sesudah lengan gadis itu berjaya dipautnya, dia hentikan langkah Elena.

“El… please… jangan masuk ke dalam sana,” mata Zira sempat menjeling papan tanda sebuah restoran di hadapan mereka.

Tangan Zira yang kemas di lengan Elena ditolak sebelum bahu Zira pula dicengkam oleh Elena.

“Kenapa? Kau takut?”

Zira menggeleng sambil mengerut muka. Kemudian dia memberi isyarat agar Elena membatalkan niatnya untuk ke dalam restoran.

“Kau dengar sini, Zira. Jangan sesekali jadi pengecut atau penakut. Faham tak?”
Zira diam.

“Kau dengar cakap aku, Zira. Jangan sesekali jadi perempuan lembik yang mudah diperbodohkan oleh seorang lelaki. Jangan jadi lemah dan biarkan orang pijak kepala kau!” Elena membalas sambil menggoncang-goncang kedua belah bahu Zira sehingga dia terdiam untuk jangka masa yang lama.

 “Zira, kau dengar tak apa yang aku cakap?”

Dia hanya mengangguk tetapi tidak berani bertentang mata dengan Elena.
“Kalau kau takut… kau tunggu aje kat sini. Biar aku pergi selesaikan mangkuk hayun tu!” ujar Elena tegas lalu meninggalkan Zira tercegat sendirian di hadapan pintu restoran.
Tanpa berpaling, Elena segera bergerak ke satu sudut restoran yang agak tersorok mencari-cari kelibat Azad, tunang kepada Zira. Mengimbas semula apa yang terjadi beberapa minit lepas membuatkan Elena mengumpul sejuta geram terhadap lelaki itu.
Memang rezeki mereka agaknya untuk terserempak dengan Azad sedang berfoya-foya dengan perempuan lain!

Elena berhenti melangkah. Peluh renek yang muncul di hujung dahi dikesat dengan hujung jari. Bibirnya pula diketap-ketap menahan marah manakala tangan pula sudah mengepal penumbuk. Cis! Tak guna punya Azad! Sedap saja kau berkepit dan berhimpit dengan perempuan lain. Elena terus menyumpah di dalam hati di saat dia melihat dengan jelas tangan Azad sedap meraba paha perempuan di sebelahnya. Ah, sakitnya hati! Dengan hati yang terbakar Elena mengatur langkah menuju ke meja Azad dan perempuan yang bersama dengannya.

 “Seronok nampak?”
Azad berpaling dan jelas wajahnya sedikit terkejut dengan kehadiran Elena. Bagai terkena renjatan elektrik, dia lekas menolak tubuh perempuan di sebelahnya dan berpura-pura membetulkan rambutnya.

“Elena. Kau… buat apa kat sini?” teragak-agak Azad bertanya. Matanya mula meliar ke sekeliling bagai sedang mencari-cari kelibat Zira.

“Saja. Nak tengok drama petang-petang. Rasanya dah boleh masuk slot Akasia kut?” sinis Elena selamba dengan muka tak bersalah.

Baby… siapa ni? ” aju perempuan tadi sedikit tidak puas hati. Mungkin terkejut bila didatangi Elena secara tiba-tiba.

Namun Azad tidak menjawab sebaliknya terus memandang-mandang ke sekitar mereka sebelum Elena tersenyum sinis padanya.

“Kau cari Zira ke?”

“Dia ada sekali?”

“Kenapa? Takut kantoi?”

Azad diam tidak menjawab. Wajahnya sedikit pucat namun dia berpura-pura bertenang dan berlagak seperti dia tidak membuat apa-apa kesalahan.

“Kantoi? Please la… Elena. Aku tak buat apa-apa kut. Buat apa aku nak takut?”
Elena tergelak mendengarkan bicara Azad. Ceh, hipokrit sungguh la mamat ni. Dah buat salah masih nak berlagak seperti manusia suci.

“Kalau tak takut… apa pasal muka kau pucat sangat?”

“El… please… kalau kau tak ada apa-apa urusan kat sini, lebih baik kau blah!  Jangan nak buat kecoh kat sini.”

“Eh… kawasan ni kawasan awam okey. Jadi, kau tak ada hak nak melarang aku untuk berada di sini. Dan kau pula… kau kena tahu yang tempat awam ni tempat tumpuan orang ramai. Tempat orang makan dan mengenyangkan perut… bukannya tempat nak bercengkerama dan buat maksiat!”

“Weh, El… kau jangan melampau! Tak payah nak buat kecoh kat sini. Kau tak ada kena mengena dalam urusan aku.” Azad bangkit dan berdiri setentang dengan Elena namun Elena pula tidak sedikit pun berganjak waima seinci dari situ.

“Sedapnya bercakap!” Elena merengus.

“Memang aku tak ada kena mengena dalam urusan hidup kau tapi aku ada kena mengena dalam urusan hidup Zira. Dia kawan baik aku dan aku tak suka tengok dia kena tipu hidup-hidup dengan tunang dia sendiri. Kau beritahu dia yang kau outstation, tapi apa hal kau boleh ada kat sini dengan perempuan lain?”

 “Elena... lebih baik kau tinggalkan tempat ni. Kan aku dah cakap… jangan buat kecoh!” hampir saja lagi lengan Elena ditarik Azad, terlebih dulu dia menepis. Dengan muka Azad yang ala-ala samseng kampung tak jadi, sikit pun dia tak takut.

“Kenapa? Kalau aku buat kecoh, kau nak buat apa? Kau malu? Huh, berkepit dengan perempuan lain tak malu pula? Buat maksiat dalam restoran ni… tak pula kau ada rasa malu?”

“El, mulut kau tu jaga sikit! Kan aku dah cakap, jangan masuk campur urusan aku dan Zira!”

Elena tergelak mengejek dengan amaran Azad. Wah… wah… wah… mamat ni memang spesis tak sedar diri betullah! Masih tak berpijak di bumi nyata. Nampaknya dia masih bermimpi dan berangan berada di kayangan. Dasar manusia lupa daratan!

“Aku berhak masuk campur! Bila kau buat hal dengan Zira, bermakna kau buat hal dengan aku!” dada Azad dicucuk-cucuk dengan hujung jari telunjuk seraya melepas geram.

 “Jangan nak jadi hero kat sini, El. Sebelum terjadi perkara yang tak sepatutnya… lebih baik kau tinggalkan tempat ni. Blah!”

“Kalau aku tak nak? Kau nak buat apa pada aku? Nak tumbuk aku? Nak pukul aku? Hah, buatlah kalau kau berani!”

Azad merenung tajam wajah Elena namun tidak sampai tiga saat, terlebih dulu Elena mara ke arahnya lalu mencapai gelas yang mengandungi air lalu menyimbahnya ke wajah perempuan yang bersama Azad tadi.

“Elena!” teriak Azad bengang. Perempuan tadi sudah menggelupur di sebelah Azad seperti baru saja disimbah asid.

“Itu baru sikit, Azad. Kau jangan ingat aku tak boleh buat lebih daripada ini…”

Buk!

Tak semena-mena saja kepala Elena terasa perit. Pandangannya mula berbalam-balam malah telinganya seperti berdesing-desing. Tidak ada apa-apa yang kelihatan di hadapan matanya ketika ini melainkan kegelapan.

Sesaat.
Dua saat.
Lima saat.

Bam!

Dunia Elena semerta menjadi kelam, sunyi dan terus sepi.





BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...