Friday, 11 March 2016

Tolong Bagi Hati Awak 4

Ketika Adrian sedang berusaha memasukkan kunci ke lubang pintu setelah tiba di hadapan destinasi mereka,masing-masing saling berpandangan sesama sendiri.Liur yang ditelan rasa berpasir.Terkejut sebenarnya melihat kawasan persekitaran kondominium mewah yang mereka sangka rumah biasa.

 “Jemputlah masuk,”Adrian pelawa mereka sambil menjinjit beberapa beg milik mereka dan menapak ke ruang tengah lalu menuju ke ruang tamu.Beg-beg tadi diletak saja ke atas lantai berdekatan sofa dan mendekati pintu gelangsar yang bertutup dan dihiasi dengan kain langsir.Pintu gelangsar dibuka membiarkan biasan cahaya petang menerobos ke dalam ruang kondo.

“Ini rumah awak?”soal Merah dengan rasa yang masih tak percaya.Sekitar ruang kondo yang begitu cantik,mewah dan besar dijelajahi dengan ekor mata.Kagum sebentar.Rasa-rasanya kondominium milik Adrian itu jauh lebih besar dari rumah sewa Pak Cik Meon malah lebih hebat,lebih cantik dan lebih selesa.Jika mahu dibandingkan antara kedua-duanya,bagaikan langit dengan bumi saja.

Adrian mengangguk sekali dan Merah pula masih tak sudah memerhati kawasan dan ruang-ruang yang terdapat di dalam kondo tersebut.Terjentik-jentik rasa kagum dalam hati dengan apa yang sedang dilihatnya.Kemudian,dalam diam dia memuji-muji citarasa yang dimiliki oleh tuan punya kondo ini.Nampak mewah,elegan dan ada gaya tersendiri.

High taste betul!

Entah berapa juta agaknya harga kondo ni.Silap-silap mencecah puluhan juta.Tak dapat dia bayangkan berapa harga sebenarnya.Ini kalau dia kerja seumur hidup pun belum tentu dia mampu memiliki sebuah kondo macam ni.

“Ya Allah,cantiknya kondo ni!” teriak Imanina selamba sambil tersengih-sengih.

“Kalau awak nak buat tinjauan sekitar kondo ni,dipersilakan.”ujar Adrian memberi keizinan.

“Betul ni?”Imanina tayang wajah teruja.

“Hmm.”

“Jom,Nia!”spontan Imanina menarik tangan Tsania dan berlari ke arah bilik meninggalkan Merah berdua dengan Adrian di ruang tamu.Terasa dunia bagaikan mereka yang punya saja.

Hilang Imanina dan Tsania daripada pandangan,Merah atur langkah mendekati sofa dan duduk berdiam diri di situ sambil bermain-main dengan jari jemarinya.

 “Awak okey?”seru Adrian perlahan ketika lelaki itu sedang menghalakan langkah kepada Merah.

Merah hanya mengangguk tapi sedikit pun tak memandang wajah Adrian yang dah melabuhkan duduk di sofa berdekatan dengannya.

“Awak macam tak suka aje datang sini?”teka Adrian dengan sebelah kening ternaik.

 “Bukan macam tu cuma…”jawapan Merah yang serba salah langsung dipotong bila suara Imanina bergema.

“Kak Merah,datanglah sini kejap.Tengok ni,ada jakuzi lagi hah!”

Merah mencerunkan matanya kepada Imanina sambil menahan geram.Rasa macam nak piat saja telinga adiknya itu yang seperti tak ada perasaan segan.Dia punyalah rasa serba salah bercampur malu,si Imanina ni boleh selamba terjerit-jerit macam tu.
Kalut Merah memandang Adrian dengan riak bersalah tetapi Adrian sekadar tersenyum.

“Pergilah kalau awak nak tengok jakuzi tu.Saya tak kisah.”

“Err…”tiba-tiba Merah hilang kata.Tak tahu nak cakap apa bila Adrian seakan menyokong tindakan Imanina yang dah buat kondo ni macam dia punya.

“Adrian.”Merah berani-berani menegur Adrian sambil meraup wajah dengan penuh rasa serba salah.

Payahnya bila dia dan adik-adiknya seakan terperangkap dengan keadaan.Rasa-rasanya lebih baik dia berterus terang saja kepada Adrian tentang apa yang sedang berada di dalam fikirannya sekarang.Nanti lagi jauh perginya lagi susah dia nak cari jalan keluar.Bahaya!

“Hmm…ada apa?”

“Terus terang saya cakap yang kami bertiga ni tak mampu nak menyewa kondo awak ni.Saya cukup berterima kasih pada awak atas apa yang awak dah buat pada kami.Awak tolong kami tadi pun dah besar rahmatnya kepada kami tapi kami tak mampu bayar sewa kondo ni.Kami ni bukan orang senang dan saya harap awak faham.”Merah menolak dengan baik pelawaan Adrian.

Memang cari pasal kalau mereka tinggal di sini dan membayar sewanya kepada Adrian.Silap-silap,hujung bulan mahu makan pasir jawabnya!

 “Siapa kata saya nak sewakan pada awak bertiga?”Adrian mengangkat kening dan bersandar pada sofa tidak jauh dari Merah.

Merah juga angkat kening sambil tayang muka pelik.Beg sandang miliknya yang sejak tadi berada di atas riba dipeluk erat.Bajunya dibetul-betulkan sebelum menala pandangan kembali kepada Adrian.

“Habis tu,kenapa bawa kami ke sini?”suara Merah sudah meninggi.Tiba-tiba saja hatinya diserang bertubi-tubi dengan rasa cuak dan takut.Janganlah cakap yang Adrian ni nak buat benda tak baik kepada mereka!

Adrian tergelak tapi ia masih tak mampu membuatkan Merah duduk diam di situ.Hampir saja lagi dia bangkit dan nak membuat rempuhan ke pintu utama kondo,Adrian pantas menahan dengan suaranya.

 “Awak jangan salah faham.Memang betul saya benarkan awak bertiga tinggal di sini tapi itu tak bermakna saya mahu sewakan.”

“Apa yang awak cuba cakap ni?”suara Merah bergetar lain macam.Sempat lagi dia meliarkan matanya mencari-cari kelibat Imanina dan Tsania.
Makin menggelabah Merah,makin galak ketawa Adrian sehinggakan Merah dah siap memasang kekudanya.Beberapa langkah saja lagi Adrian mahu menapak ke arahnya,nama kedua-dua adiknya itu dilaung dengan mata yang hampir berkaca-kaca.

“Awak jangan macam-macam.Kalau awak berniat nak buat benda tak senonoh pada kami,saya tak teragak-agak untuk cederakan awak.Lebih baik awak berundur!”suara keras Merah dengan gayanya seperti ahli tomoi membuatkan Adrian terus matikan senyuman dan menelan liur.

Back off!”gertak Merah dengan berani.

“Merah…saya…”

“Saya dah kata,back off!”makin Adrian nak dekat makin Merah mengeraskan suaranya.

“Nina!Nia!Jom keluar dari sini!”Merah melaung memanggil adik-adiknya dan sejurus selepas itu,kedua-duanya sudah terpacak berdekatan sambil memerhatikan Merah dan Adrian dengan reaksi terkejut.

“Apsal Kak Merah?”

“Kita blah dari sini!Tak ada manusia kat dunia ni yang jujur pun!Semuanya nak mengambil kesempatan.Buat baik tapi sebenarnya penuh dengan agenda.”sindir Merah pedas.Dalam waktu begini,tak kuasa rasanya dia nak menjaga mulut.Peduli apa kalau Adrian nak rasa kecil hati atau sakit hati.Sikit pun dia tak rasa bersalah dengan apa yang baru diucapkannya.Malah,tanpa membuang masa dia menarik tangan Imanina dan Tsania untuk keluar saja dari situ.

 “Kalau awak rasa saya ada niat tak baik pada awak,terpulanglah.Tapi sekurang-kurangnya awak kena fikir ke mana awak nak pergi lepas ni kalau awak tak terima pelawaan saya untuk tinggal di sini.”
Mendengar suara Adrian membuatkan Merah nak naik angin.

“Saya tak kisah kalau kena merempat kat tepi jalan dan jadi gelandangan asalkan bukan masuk dalam mulut harimau!”

“Merah,nanti dulu!”Adrian terpaksa menahan langkah mereka dengan jeritannya sebelum mara ke hadapan ketiga-tiga gadis itu.

“Demi Allah,saya tak ada niat buruk pada awak bertiga.Saya bukan orang jahat dan berniat nak buat bukan-bukan pada perempuan.Saya ikhlas bantu awak.”

“Heh,ikhlas bukan untuk dijaja.Ikhlas ada kat dalam hati dan untuk itu,saya tak tahu sejauh mana awak ikhlas.Orang zaman sekarang ni bukan peduli pun pada dosa pahala atau halal haram asalkan dapat puaskan hati dan nafsu sendiri.”Merah tembak Adrian sedas dengan ayat sinis sehinggakan riak wajah lelaki itu berubah.Rasa hilang punca untuk memujuk Merah dan adik-adiknya untuk tinggal di situ dan meyakinkan mereka yang dia tiada apa-apa niat tak elok.

“Ikut suka awak la nak fikir apa pun tapi saya nak awak bertiga tinggal kat sini sebab saya bimbangkan keselamatan awak.Kalau tak percaya pada saya,tak apa.Awak boleh buat keputusan yang terbaik.”Adrian jawab dengan wajah beku.

“Kalau saya nak ambil kesempatan pada awak,awal-awal lagi saya dah culik awak dan jual kat Siam.Tak perlu saya bersusah-payah jumpa tuan rumah sewa awak yang cenge dan selesaikan pasal rumah sewa tu.”sambungnya lagi.

Semerta Merah rasa tersindir dek kata-kata Adrian sehinggakan dia terpaksa menjeling pandang ke arah Imanina dan Tsania yang hanya membatukan diri sejak tadi.

“Awak boleh tinggal kat sini tanpa bayar sesen pun sebab saya takkan minta apa-apa caj.Buat saja macam rumah sendiri.Lagipun,kondo ni memang kosong.Daripada terbiar macam tu saja,lebih baik awak duduk sini dan tolong jaga kondo saya ni.”bebola mata Merah dicari Adrian sebelum dia menyambung.

Take it or leave it.Terpulang.”sekilas dia hantar senyum nipis sehinggakan Merah rasa yang dia betul-betul hilang punca.

“Macam mana?”duga Adrian sambil menyeluk poket seluarnya.







Wednesday, 9 March 2016

Tolong Bagi Hati Awak 3

“Pak Cik Meon…tunggu kejap pak cik!”jerit Tsania lantang.Termengah-mengah mereka mengejar Pak Cik Meon sehingga ke hadapan pintu balai polis.Pak Cik Meon yang ketika itu sedang membelek telefon bimbitnya terus berpaling kemudian sengaja menayang satu senyuman sinis kepada kedua gadis itu.

“Hah,ada apa lagi?”

“Pak Cik…kami minta tolong sangat-sangat dengan pak cik.Tolonglah tarik balik kes ni…kami tak nak Kak Merah ditahan,”rayu Tsania sambil merapatkan kedua belah tangannya memohon simpati.

Pak Cik Meon mencebik.

“Kau dah gila nak suruh aku tarik balik kes ni?Siapa suruh dia cari pasal?Ni,lebam kat muka aku ni siapa yang nak bertanggungjawab?Perut aku ni…sampai sekarang tak hilang sakit lagi tahu tak?Memang patutlah si Merah tu kat dalam,biar ada akal sikit!”balas Pak Cik Meon geram.

“Pak Cik Meon…tolonglah…kali ni saya rayu sangat-sangat pada pak cik.Kalau pak cik nak saya sujud kat kaki pak cik pun saya sanggup asalkan pak cik tarik balik kes dakwaan tu…lepaskan Kak Merah.Saya janji yang saya akan bayar semua duit sewa rumah yang tertunggak tu,”ujar Imanina nekad.Dia sudah melutut dan cuba menyentuh kaki Pak Cik Meon namun Pak Cik Meon berundur ke belakang.

“Sudah,kau jangan mengarut.Aku tak akan sesekali tarik balik kes ni!”keras sekali suara Pak Cik Meon.

“Pak cik,tolonglah kami pak cik….saya rayu pada pak cik jangan buat kami begini….janganlah kejam begini pada kami.Kami dah tak ada sesiapa di dunia ni,saya cuma rayu ihsan pak cik aje.Saya tahu pak cik baik orangnya…” ucap Imanina lagi sengaja menggunakan ayat-ayat sedih dengan harapan orang tua itu berlembut hati namun dia menjadi hampa apabila sekali lagi Pak Cik Meon membuka mulut tak ada insuransnya.

“Dah memang nasib kau orang jadi anak yatim.Sudahlah,tak kuasa aku mahu layan kau berdua.Buang masa aku aje!”seraya berkata begitu,Pak Cik Meon segera meninggalkan perkarangan balai polis tanpa menghiraukan lagi kedua-dua gadis yang sedang merayu itu.
Panggilan dan rayuan Imanina dan Tsania dia buat tak peduli.Lantaklah!Padan muka kau orang!Siapa suruh cari pasal?Nak tunjuk samseng sangat.Sekarang kau rasa sendiri akibatnya mencari pasal dengan aku!cemuhan Pak Cik Meon bergema-gema dalam hatinya.

Imanina hampir saja melurut jatuh ke tanah selepas gagal merayu Pak Cik Meon menarik balik laporan.Hati dihenyak perasaan sedih yang bukan kepalang.Entah apa yang akan jadi nanti dia tidak tahu.Seakan dunianya makin gelap dan tak ada cahaya langsung.Dah macam seorang pelayar yang tersesat di lautan luas bila Merah kena tahan.Selama ini,mereka bertiga.Kini tinggal mereka berdua saja.Selama ini Merah yang menjadi orang yang bertanggungjawab terhadap mereka bertiga.Merah yang menjadi tonggak dalam kehidupan mereka selama ini.Jadi,kalau tak ada Merah dia rasa yang dia bagaikan seekor burung tanpa sayap.

“Nina,sabarlah.Jangan macam ni.”Tsania sempat paut bahu Imanina sebelum tubuh gadis itu dipeluk erat.

“Nia nak orang sabar macam mana?Nia nampak kan macam mana Pak Cik Meon buat kita?Nia dengar kan apa yang Pak Cik Meon cakap tadi?Orang tak tahu nak buat apa dah sekarang ni.Mana kita nak cari duit ikat jamin untuk bebaskan Kak Merah?”

“Duit dalam akaun kau ada baki lagi?”soal Tsania perlahan.Wajah Imanina yang masih nampak serba tak kena ditatap cermat.Imanina menggeleng.

“Tak ada.Semuanya dah habis beli barang dapur.”

Tsania gigit bibir.Kalau dah Imanina kata duit dalam akaunnya sudah habis dan duitnya sendiri cuma berbaki beberapa puluh ringgit saja,bagaimana caranya nak menyelamatkan Merah dari dalam tahanan?

“Ya Allah,macam mana ni Nina?Duit Nia dalam simpanan pun cukup-cukup makan aje.Macam mana nak bayar duit ikat jamin untuk Kak Merah?”

Imanina tenung muka Tsania yang jelas dah putus harapan.Tiba-tiba saja Imanina mengongoi di bahu Tsania melampiaskan rasa yang ada dalam hatinya.Kedua-duanya saling berpelukan antara satu sama lain di tengah kawasan lapang berbumbungkan terik mentari yang menggila.

“Assalamualaikum.” satu suara menyapa gegendang telinga.Kedua-duanya terkedu dan berpaling memandang ke arah pemilik suara.Garau.Lelaki.

Imanina bulatkan mata bila seorang lelaki yang berpenampilan kemas dan segak sedang berdiri betul-betul di belakangnya.Dihalakan pandangan kepada Tsania seketika sebelum menjawab salam.

“Maaf kalau saya bertanya.Ada apa ya?Macam ada masalah saja?”si lelaki menyoal.Nampak sedikit prihatin.

“Tak ada apa-apa.”balas Tsania laju.Tak elok rasanya kalau mereka menceritakan masalah yang mereka hadapi kepada orang lain tambah-tambah orang yang tidak dikenali seperti lelaki di depan mereka ini.Tak tahu mana datangnya lelaki ini tapi Tsania yakin lelaki ini sekadar datang menegur sebagai seorang rakyat yang prihatin.

“Nampak macam perlukan pertolongan?”soalnya lagi seakan memberikan ruang buat mereka berdua meminta bantuan.

“Err...”suara Imanina mati bila Tsania menggoncangkan tangannya memberi isyarat agar tidak membuka mulut.

“Tak ada apa-apa,encik.Kami pergi dululah.”

“Cik,nanti dulu.”si lelaki tadi masih cuba bertanya sedangkan ketika itu Tsania dah siap-siap nak heret Imanina pergi.

“Hmm?”

“Cik dengan pak cik tadi...”ternyata suara lelaki di depan mereka ini mati.
Wajah Tsania berubah.Tiba-tiba saja rasa malu kepada lelaki asing ini.Dia yakin yang lelaki ini sudah pastinya nampak drama sebabak yang berlaku beberapa ketika tadi.Drama mereka merayu-rayu Pak Cik Meon untuk menarik balik kes.Malunya!

“Kalau cik berdua tak keberatan boleh kan kalau saya tolong cik?”sambung si lelaki ini tanpa teragak-agak.Spontan senyuman tipis terhulur buat Imanina dan Tsania sehinggakan kedua-dua mereka saling berpandangan sesama sendiri.

***

 “Saya Adrian Syah.Panggil Adrian aje,”ucap Adrian sambil tersenyum.
Ketika itu,dia sedang memandu dalam keadaan tenang sejurus sahaja mereka bertiga pulang dari rumah Pak Cik Meon sebelum singgah di rumah sewa mereka bertiga mengambil barang-barang mereka yang dicampak keluar.

Lega hati Tsania dan Imanina kerana hutang yang tertunggak sudah diselesaikan oleh lelaki berhati mulia ini.Tidak mereka sangka,dalam dunia yang serba moden yang penuh dengan pancaroba ini masih ada lagi manusia sebaik Adrian yang sudi menghulurkan bantuan.Sudahlah baik,kacak,kaya pula tu.Masakan dia mampu selesaikan semua hutang mereka yang berjumlah hampir RM2,000 itu kalau dia tidak kaya?

“Lupa pula nak kenalkan nama.Saya Imanina dan ini Tsania.”Imanina yang duduk di sebelah Adrian menjawab.Bersahaja.Sempat lagi dia mengerling pada Tsania yang duduk di kerusi bahagian belakang.

“Encik Adrian…terima kasih tau sebab tolong selesaikan hutang sewa rumah kami.Kalau tak ada Encik Adrian tadi,tak tahulah macam mana dengan kami.Errmm….lagi satu…terima kasih juga sebab berjaya slowtalk dengan Pak Cik Meon sengal tu.Kalau tidak,mahunya sampai tujuh keturunan kami semua kena sumpah seranah dia.”Imanina tayang muka tak bersalah ketika mengutuk Pak Cik Meon.Biarlah.Dia tengah sakit hati dengan orang tua itu.Ikutkan dia memang dia hempuk kepala Pak Cik Meon dengan tukul besi biar biol setahun.

“Tak perlulah ucap terima kasih.Inikan dah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kita sesama masyarakat.”jawab Adrian bersahaja.

“Saya tak sangka akhir zaman macam ni pun masih ada orang sebaik Encik Adrian.Saya fikir orang baik-baik dah pupus dari muka bumi.Ingatkan dunia ni hanya penuh dengan orang-orang kejam yang tak berhati perut macam Pak Cik Meon tu.Rupanya masih wujud manusia sebaik awak.”

Jangan cakap macam tu.Mungkin saya berada di tempat yang betul pada waktu yang betul.”

Adrian rasa serba tak kena bila dipuji melambung oleh Imanina.Tak selesa betul nak mendengar puji-pujian atas sebab pertolongan yang telah dia hulurkan.Dia buat semua ni bukan sebab mahu dipuji atau mahu mendapat nama tapi dia menganggap ini sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

Sesampai sahaja di perkarangan balai polis,Imanina yang dulu-dulu keluar dari kereta milik Adrian sebelum menarik laju tangan Tsania yang sejak tadi nampak muram.Tak sempat Adrian nak cakap apa,kedua-dua gadis itu menyerbu masuk ke dalam balai polis meninggalkan Adrian dengan senyuman lebar.

Adrian tanggalkan Rayban miliknya dari batang hidung sebelum sangkutkan pada butang bajunya sambil berjalan masuk ke dalam balai polis.Lebih kurang lima belas minit berurusan untuk mengeluarkan Merah dari tahanan,Adrian hanya memasang telinga mendengar celoteh Imanina yang tak reti nak mendiamkan diri.Macam-macam yang mahu dicakapkannya.Kadang-kadang mendengar celoteh gadis itu kelakar juga.Tak tahu kenapa,Adrian dapat rasakan aura yang kuat bila bersama kedua-dua gadis ini.Seakan mereka telah lama kenal.

“Kak Merah!”teriakan Imanina setelah ternampak kelibat Merah diiring keluar ke bahagian hadapan membuatkan Adrian berpaling.Kali pertama menatap wajah Merah,terus hatinya berdetak detuk semacam.

Lama dia merenung gadis bernama Merah yang memakai baju kurung dan bertudung itu.Tenang sungguh air mukanya.Tak seperti yang berada dalam gambarannya ketika dia dan Imanina berbual tentang Merah semasa mereka dalam perjalanan ke sini tadi.

Nina...Nia...macam mana...”suara Merah yang baru hendak menyusun sebuah pertanyaan terus tercantas bila dia sendiri telah tenggelam dalam pelukan erat Imanina dan Tsania sekali gus sehingga membuatkan dia berundur setapak ke belakang.Hampir tercabut tudungnya dek perlakuan dua adiknya itu.

“Leganya dapat peluk Kak Merah!”sorak Imanina tak agak-agak setelah pelukan terlerai.

“Kak Merah okey?”soal Tsania sedikit risau.Sempat lagi dia pegang pipi Merah dengan menayang wajah susah hati.

“Aku okey.”

“Kak Merah,jom!”entah vitamin apa yang Imanina makan,laju saja tangannya menarik tangan Merah agar mengikutnya.Adrian didekati.

“Siapa ni?”bisik Merah rapat setelah matanya bertentang dengan mata Adrian yang sedang duduk tidak jauh dari situ.

“Kalau Kak Merah nak tahu,Encik Adrian yang handsome nilah yang tolong kita semua!”ujar Imanina semakin ceria.Tsania di sebelah angguk-sangguk saja,bersetuju dengan Imanina.

“Assalamualaikum.”tutur Merah lembut tapi tak ada senyuman pun yang mampu dia beri kepada Adrian.Adrian di depan hanya serupa patung cendana.Sekadar tenung Merah tak berkelip mata sehingga terlupa mahu menjawab salam.

“Betul ke encik yang tolong kami adik beradik?”soal Merah inginkan kepastian.Bukan apa,dia sekadar mahu berbasa basi dengan lelaki yang tidak dikenalinya.Sungguh,ini pertama kali ada seseorang yang dia tidak kenal menghulurkan bantuan kepadanya.
Adrian angguk mahu tak mahu.Masih lagi berada di dalam dunia sendiri.Saling bertentang dengan Merah buat hatinya jadi semacam.Apakah petandanya?

Merah senyum nipis sebelum menundukkan sedikit kepala sekadar sebuah isyarat yang dia menghormati Adrian.

“Terima kasih,encik atas bantuan yang encik hulurkan.”
Adrian diam tapi mata masih menekur roman muka Merah.

“Encik?”tegur Merah.Wajah Imanina dan Tsania di sebelah dipandang meminta penjelasan.
“Encik Adrian.”tegur Tsania sambil lambai-lambaikan tangan di depan mata Adrian.

“Hah?Err...ya...ya...ada apa?”Adrian bangkit.Kini kedudukannya setentang dengan Merah membuatkan jarak antara keduanya sangat dekat.Adrian tatap muka Merah tak lepas.

“Saya cakap,terima kasih sebab dah tolong kami adik beradik.”

“Awak...Merah?”tegur Adrian bila dah benar-benar sedar.
Merah mengangguk.
Adrian ukir sebuah senyuman paling ikhlas dia pernah beri.

“Saya Adrian Syah.Panggil saja Adrian.”Adrian hulurkan tangan ke depan tapi Merah hanya mengerling.Tak cakap apa pun.Tak beri respon.Lambat-lambat Adrian menarik tangannya kembali dengan wajah malu.

“Jom.”tekan Adrian mengubah arah perbualan sambil mempersilakan Merah,Imanina dan Tsania keluar dari balai polis.

 “Awak semua nak ke mana selepas ni?”

Pertanyaan Adrian terbiar sepi.Masing-masing tak tahu nak jawab apa.Nak ke mana kalau rumah pun mereka tak ada.Tak ada tempat yang boleh mereka tuju.Duit tak ada,apa boleh buat.

“Entah.”Merah jawab sambil angkat bahu.Sebenarnya dia juga sudah hilang punca selepas mereka semua dihalau dari rumah sewa.Tidak tahu ke mana harus dituju ketika ini.Bukannya mereka punya saudara.Teman-teman pula,diwaktu senang adalah tapi bila dalam kesusahan,hanya ucap hye-hye bye-bye!

Pandangan Merah bertaut dengan Adrian.Masing-masing saling memandang tanpa sepatah kata.Adalah dalam lima saat macam tu.

“Jomlah,masuk dalam kereta.”pelawa Adrian sambil bukakan pintu.

“Nak ke mana?”

“Masuklah dulu.”

“Apa kata awak bertiga tinggal di rumah saya aje,”pelawa Adrian ketika kereta sudah menderu laju di jalanan.Merah yang duduk di sebelah Adrian spontan berkalih dengan mata membulat.Mendengar cadangan Adrian buat dia risau dan susah hati.

“Hisy,tak nak!Awak lelaki,kami ni perempuan.Lagi pun nanti apa kata keluarga awak pula kan?Tak manis macam tu.”Merah mencelah.Tak mahulah dia menyusahkan lelaki yang sudah membantu mereka ini.Sudah cukup jasa yang ditaburkan,dia tak mahu berlebih-lebih nanti susah mahu balas budi.Dah menolong dia bebas dari lokap pun sudah cukup baik.

 “Eh,tak adalah menyusahkan.Lagipun rumah tu kosong,tak ada siapa yang duduk.”

“Habis tu?Awak tinggal di mana?”tanya Imanina bersemangat.

“Saya tinggal dengan family saya…rumah yang saya cakap tu memang kosong.Sekali sekala aje saya balik sana,itu pun kalau hujung minggu.Kalau tidak,memang saya tak jengah ke situ.”jeda.

“Hmm,okey kan kalau awak bertiga tinggal aje di rumah tu?”
Merah mengeluh berat.Kenapa masih ada manusia yang berhati mulia sebegini?Sudahlah ditolongnya keluar dari lokap,kini mahu memberi tempat tinggal pula.Aneh.Selama dia hidup,Adrian ni adalah lelaki yang ketiga atau keempat yang berkelakuan sopan dan berbudi pekerti selepas Ustaz Helmi dan Cikgu Hilman.Selebihnya,semuanya hanya ambil kesempatan.

“Berapa sewanya?”terus terang Merah menyoal,tak mahu berdolak dalih.
“Tengoklah macam mana nanti…yang penting awak semua bersetuju tinggal kat rumah tu.”


Monday, 7 March 2016

Tolong Bagi Hati Awak 2



“Pak cik Meon,tolonglah jangan buat kami macam ni.Bagilah kami sikit masa untuk kami cari tempat baru,”mohon Tsania bersungguh-sungguh ketika lelaki tua yang sudah berusia lingkungan umur lima puluhan itu mula mengangkat barang-barang di dalam rumah itu lalu diletakkan di luar.Pak Cik Meon menggeleng kepala keras menentang permintaan Tsania.

“Pak Cik Meon,kami janji yang kami akan bayar sewa rumah ni bila kami dah dapat gaji.Saya janji yang saya akan selesaikan semuanya sekali tapi tolong bagi masa sikit aje lagi.Tolonglah…”kali ini Imanina pula yang membuat rayuan dengan menayang wajah penuh mengharap.

Bimbang juga melihat wajah orang tua itu.Masam mencuka.Masuk bulan ini dah genap tiga bulan mereka gagal melangsaikan sewa tertunggak kepada Pak Cik Meon,pemilik rumah yang mereka diami sekarang.Sebelum ini pun ada juga sekali dua mereka terlewat bayar tapi tak adalah orang tua ini buat perangai macam ni.Entah apa kenanya angin Pak Cik Meon,tahu-tahu saja rempuh masuk ke dalam rumah sesuka hati seakan mahu mengamuk.

“Aku dah beri peluang banyak kali pada kau orang...dah banyak beri muka pada kau orang tapi apa yang kau orang dah buat?Ambil kesempatan ke atas aku.Masuk bulan ni dah tiga bulan kau orang tak bayar sewa rumah pada aku tahu tak?Dah,aku tak kira!Sekarang….aku mahu kau semua keluar dari rumah aku ni!”keras suara Pak Cik Meon.Anak matanya menikam tepat ke mata Tsania dan Imanina.Kemudian,kedua-dua gadis itu saling berpandangan sesama sendiri bagaikan mencari akal bagaimana mahu memujuk Pak Cik Meon.

“Tolonglah Pak Cik jangan buat kami macam ni.Saya rayu sangat-sangat…kalau kami keluar,ke mana kami nak tuju?Kami tak ada tempat untuk menumpang lagipun kami memang tak ada duit sekarang.Bagi masa sikit pada kami untuk selesaikan duit sewa rumah,” rayu Tsania lagi mencuba nasib.Manalah tahu kalau-kalau orang tua ini mahu bertimbang rasa.

“Itu bukan masalah aku.Sekarang ni aku mahu kau semua keluar dan bawa barang-barang ni sekali.Aku dah tak boleh tengok muka kau semua dalam rumah aku ni.Kau fikir rumah aku ni tempat kebajikan ke apa?Nak duduk free aje…kalau tak mampu nak bayar jangan disewa rumah ni…dah…dah…kau berambus aje dari rumah ni sebab petang nanti ada penyewa baru nak masuk ke sini!”tegas Pak Cik Meon lagi.

Muka masing-masing dah cemas.Panik mendengar ketegasan kata-kata Pak Cik Meon.Namun mereka semakin panik melihat kemaraan Pak Cik Meon menuju masuk ke dalam bilik mereka sebelum keluar dari situ dengan membawa beberapa buah beg dan selonggok pakaian.Beg-beg dan longgokan pakaian dicampak keluar dengan rasa bengang.

“Ini caranya nak mengajar orang macam kau semua!”tengking Pak Cik Meon dengan muka bengis.

“Pak Cik Meon,apa yang pak cik buat ni?”jerit Tsania geram sambil mara ke arah lelaki tua itu.Sifat sabarnya sudah semakin menipis bila melihat lelaki itu mahu masuk ke dalam bilik mereka lagi.

“Kau jangan banyak bunyi.Sekarang ni kau angkat semua barang-barang kau keluar dari rumah aku kalau kau tak nak aku campak keluar!”

“Tolonglah faham,pak cik.Saya dah cakap tadi yang saya akan selesaikan semuanya lepas saya dapat gaji.Janganlah kejam sangat!”Imanina melepas geram setelah Tsania diherdik tadi.

Namun tanpa disangka-sangka,lengannya ditarik kasar ke arah pintu lalu tubuhnya ditolak keluar.Sikit saja lagi Imanina hampir tersungkur ke lantai,mujurlah dia sempat mengimbangi badannya dan berpaut pada pintu pagar besi.

Selang beberapa minit,tubuh Tsania pula yang ditolak keluar dengan kasar sehingga merempuh tubuh Imanina.Seketika,kedua-duanya tergolek ke atas lantai koridor.Beberapa barang turut dicampak ke arah mereka oleh Pak Cik Meon tanpa perasaan belas.

“Sampai hati pak cik buat kami macam ni.Mana belas ihsan pak cik sebagai seorang manusia?”teriak Tsania sambil merembeskan air mata.Sedih bila orang tua itu memperlakukan mereka macam manusia tak ada hati dan perasaan.

“Dengan kau orang,aku punya belas ihsan dah habis!”mata Pak Cik Meon membulat.

“Aku bagi amaran pada kamu berdua.Jangan memandai-mandai masuk balik ke dalam rumah ni.”jeda.

“Mana kunci rumah?Bagi pada aku sekarang!”teriaknya mula nak menggila.Tangan dihulur ke arah Tsania dan Imanina tapi kedua-duanya kaku sendiri.

“Dah pekak ke?Mana kunci rumah?Bagi pada aku!”
Terketar-ketar Imanina mengeluarkan kunci dari dalam poket seluarnya setelah dia bangkit tapi belum sempat nak menghulurkan gugusan kunci pada Pak Cik Meon,teguran satu suara mematikan tindakannya.

“Apa hal ni?”spontan kesemua mereka yang berada di luar rumah memalingkan kepala ke arah Merah yang sudah tercegat beberapa meter dari situ.
Merah pandang wajah Imanina dan Tsania serta Pak Cik Meon silih berganti.Mata sempat menjeling ke arah barang-barang yang dah berselerak di luar rumah.Muka bengis Pak Cik Meon dia tekur cermat.

“Apsal ni Pak Cik Meon?Ada apa?”soalnya mula mendekati.Hati mula berdebar-debar semacam.Riak wajah tuan rumahnya nampak tegang.Tak mesra alam langsung.

 “Berani kau tanya ada apa?Hah,duit sewa rumah bila nak bayar?Dah tiga bulan tertangguh…kau ingat aku ni pusat kebajikan ke apa sampai nak kena tampung hidup kau orang semua?Kau orang ni memang tak sedar dek untunglah.Dah bersusah payah aku bagi rumah untuk dijadikan tempat berteduh,kau semua pijak kepala aku.Sudah,sekarang ni kau semua berambus dari rumah ni!Aku tak nak tengok lagi muka kau semua di sini.Faham?”ulang Pak Cik Meon seperti tadi.Tangan diletakkan di sisi pinggang dan menayang muka menggerunkan tetapi sedikit pun Merah tak rasa takut.

‘Ewah-ewah orang tua ni…cakap ikut sedap mulut aje!Tak pakai insurans ke apa?’Merah rasa nak kasi makian percuma saja pada Pak Cik Meon.Tak apa...tak apa...semua masalah pasti ada jalan penyelesaian.Masalah dengan Pak Cik Meon ni,pasti akan selesai kalau kena cara berunding.

“Nanti dulu Pak Cik Meon.Hal ni kita boleh bawa berbincang.”

“Nak berbincang apa lagi?Nak tambah hutang pada aku?Eh,tak payah.Semak aku tengok muka kau orang sekor-sekor kat sini.Aku kasi kau orang sewa rumah aku ni sebab nak duit,nak senangkan hidup dan tanggung anak bini aku.Tapi kerana kau orang bertiga,tak pasal-pasal aku kena bela biawak hidup!”sinis Pak Cik Meon.

“Pak cik…rendahkan sikit suara tu.Malu jiran-jiran tengok,”tegur Merah.

“Oh,malu dengan jiran-jiran?Habis yang kau tak bayar sewa tiga bulan tu tak ada pula rasa malu?Kau fikir aku ni suka buat amal jariah dengan bagi kau orang duduk percuma ke?Kau orang tu sepatutnya sedar diri.Masa kau orang kat rumah anak-anak yatim dulu,cikgu kau orang tak ajar ke supaya jangan menyusahkan orang?Memang dasar anak tak ada mak bapak!”

Gedebuk!

Tubuh Pak Cik Meon semerta terlayang ke belakang sebelum mencecah lantai rumah.Segigih mungkin dia cuba buka mata dan bangkit namun kepalanya terasa berat seperti ada bintang-bintang yang sedang berpusing dan menari riang di atas kepalanya.

Belum pun apa-apa,dia sempat menangkap susuk tubuh Merah yang semakin mara ke arahnya sehingga mukanya terasa pedih.Jeritan nyaring terlepas keluar dari mulut sambil menekup kepala semata-mata untuk mengelak diserang oleh Merah yang jelas-jelas sedang meletakkan buku limanya ke tubuh dan mukanya.

Perasaan Merah kacau bilau.Seperti dia sedang kerasukan setelah mendengar sebaris ayat Pak Cik Meon tadi.Angin betul!

“Kak Merah,sudah!”jeritan dan amaran Tsania dan Imanina yang berjaya menghalang Merah daripada meneruskan acara ‘mengajar’ Pak Cik Meon membuatkan Merah tersentak.Mungkin baru tersedar dari kerasukan.Tubuh kecilnya diheret menjauh.

“Ya Allah,Kak Merah.Sabarlah,kak!”pujuk Tsania.

“Nak sabar macam mana?Orang tua ni kurang ajar.Kau tak dengar apa yang dia cakap tadi pasal kita?Biar aku kasi flying kick pula ke kepala dia.Mulut macam longkang!”tengking Merah membara.Berombak-ombak dadanya menahan amarah.

“Jangan buat hal dengan Pak Cik Meon,kak.”bisik Tsania masih cuba menenangkan Merah.

“Ah,dia yang buat hal.Dia fikir kita ni apa?Anak ayam yang boleh dihalau sesuka hati?”Merah sudah menyinsing lengan baju kurungnya sehingga ke siku.Nafasnya menderu laju,dadanya nampak berombak-ombak sedang menahan gelora rasa yang membukit di hati.Memang tak puas hati dengan Pak Cik Meon.Nama saja orang tua tetapi mulut macam longkang!

“Agaknya,tak ada sesiapa yang ajar dia sebelum ni.Sebab tu mulut busuk mengalahkan bangkai!”ingin saja dia mara ke arah Pak Cik Meon yang sedang terkial-kial bangun tapi tubuhnya ditarik lagi oleh Tsania.

“Kak Merah,sudah!Memang salah kita pun sebab tak bayar sewa rumah.”

“Ah,peduli apa aku!Kalau kita tak bayar sewa sekali pun,dia tak ada hak buat kita macam ni.Dia fikir dia mulia sangat ke sampai nak halau kita macam pengemis?Dah tu selamba aje menghina kita macam kita tak ada harga diri pula.Eh,aku tak hairanlah orang macam ni!”maki Merah lagi melepas rasa.Geram sungguh dia.Melihat wajah Pak Cik Meon,terasa ingin saja dia lumat-lumatkan wajah tua itu.Tak padan dengan umur!
Sakit hati Merah makin bertambah-tambah bila tragedi di luar tadi berulang seperti pita perakam di fikirannya.Ah,kenapa semua lelaki yang ada di muka bumi ni memang berperangai macam hantu?Tak ada ke yang baik dan berhati mulia?

“Tak guna punya budak!Kau nak bunuh aku ke?”Pak Cik Meon menyeringai sambil memegang kepala.Tubuhnya terhuyung hayang.Namun dalam masa yang sama dia rasa marah dan bengang kerana maruahnya telah diinjak-injak oleh gadis ini.Tak sangka betul,gadis yang dia anggap sopan dan lemah lembut ini boleh bertindak sejauh ini ke atasnya.Darah yang mengalir di celah bibir membuatkan hatinya berdongkol geram tak sudah.Masaklah dia kalau lepas ni orang bertanya tentang luka di mukanya.Mana dia nak sorok muka?

“Apsal?Nak rasa macam mana aku belasah kau lagi?Kalau berani,cubalah datang dekat!”cabar Merah sambil menayang penumbuknya ke depan Pak Cik Meon.Sikit pun dia tak rasa takut apatah lagi gementar.

“Kurang ajar punya budak!Dulu-dulu tak ada orang ajar kau macam mana nak bercakap dengan orang yang lebih tua ke?Oh,lupa pula.Kau kan tak ada mak bapak.Dasar anak yatim!”maki Pak Cik Meon.

“Oh,kau cakap aku dasar anak yatim ya?Meh sini aku nak tunjuk sikit pada kau macam mana anak yatim macam aku ni ajar orang tua mulut longkang macam kau!”pekikan Merah bergema-gema di sekitar rumah sebelum dia menerpa ke arah Pak Cik Meon.Kali ini Merah sudah tidak peduli.Apa nak jadi pun jadilah.Tubuh kurus lelaki tua itu ditolak sebelum satu tendangan maut dihadiahkan ke perut boroi lelaki itu.Spontan tubuh itu hilang keseimbangan sebelum jatuh menyembah bumi.Pak Cik Meon menjerit kuat mengaduh sakit yang mencucuk-cucuk perutnya.

Sakitlah,bodoh!

Merah mengetap gigi bila terdengar seranah Pak Cik Meon.Dia masih belum puas.Belum sempat sesiapa berkata apa-apa,satu tamparan kuat singgah di kepala Pak Cik Meon yang terkial-kial bangkit dari lantai.Naik pening dibuatnya kepala lelaki itu dek terkena penangan Merah.Nampak saja tubuhnya kecil tetapi penangannya boleh tahan!

“Kau ulang lagi apa yang kau cakap!Aku boleh kasi kau masuk ICU terus!”jerit Merah sehingga menampakkan urat-urat di dahi.Ini kalau tak dihentikan,mahunya masuk kubur terus orang tua ni.

“Kak Merah!”Imanina menjerit,cuba menghalang tindakan Merah.Tubuh Merah ditarik ke belakang dan dipeluk erat-erat oleh gadis itu supaya Merah tidak lagi menyerang Pak Cik Meon seperti tadi manakala Tsania pula cuba membantu lelaki itu bangun.

“Kau tunggu nasib kau!Kau jaga!Aku nak pergi buat laporan polis!”bising Pak Cik Meon ketika dia sudah mula berdiri.Tangannya memegang perut yang senak dengan wajah menyeringai.

“Kau ingat aku takut?!Pergilah buat kalau kau berani!Tak guna punya tuan rumah!Pengecut!Kau tunggulah nasib kau nanti.Allah tu Maha Adil.Kau akan dapat balasan atas kata-kata penghinaan yang kau lempar pada kami.”balas Merah tak mahu mengalah.

Tak guna!”maki Pak Cik Meon ketika melintas di hadapan Merah.Kemudian,dia meludah ke lantai dengan perasaan membara tak sudah.Merah merenung mata Pak Cik Meon tajam.Sedikit pun tak gentar dengan lelaki itu.Dada masih lagi naik turun menahan marah.Penumbuk dikepal kuat tapi tubuhnya dipeluk erat dari sisi oleh Imanina dan mengunci terus pergerakannya.

“Tak guna punya orang tua.Sedap-sedap saja maki hamun orang lain sedangkan perangai dia lagi tak guna.Macam penyangak!Dengan perempuan bolehlah nak tunjuk samseng.Hei,pergi lawan dengan ketua kongsi gelaplah baru tahu langit tu tinggi atau rendah!Pengecut!”teriakan Merah membuatkan Imanina makin mengetatkan pelukannya ke tubuh Merah.Bimbang jika Merah buat tindakan di luar kawalan dan meluru ke arah Pak Cik Meon yang sudah berlalu dan melampiaskan seluruh perasaannya ke atas lelaki tua itu.
Tsania memandang Imanina lama,begitu juga dengan Imanina.Bagaikan keduanya saling bermain bahasa hati sebelum menekur wajah Merah yang masih lagi dalam keadaan marah.

“Kenapa ni…apa dah jadi?” tiba-tiba terdengar suara jiran yang mula menjengah di luar rumah.Tsania memandang Merah dan Imanina berselang seli dengan satu wajah yang tidak pasti.








Friday, 4 March 2016

Tolong Bagi Hati Awak 1

Langkah Merah semakin laju menuju ke sebuah stesen bas tidak jauh di hadapannya.Makin dia mendekat makin dia nak cepat.Mulut comelnya ikut membebel-bebel dan mengomel-ngomel sejak tadi.Habis diselaknya lengan baju kurung yang tersarung di tubuh setelah menghempaskan duduknya di kerusi di stesen bas.

Puas melepas perasaan seorang diri,baru dia tahu berhenti.Penat tiba-tiba bila asyik melepas rasa.Geram!Nasib baik tak ada sesiapa di sini,kalau tidak mesti orang kata dia sewel.

Tudung bawal yang dikenakan di kepala dibetul-betulkan.Wajahnya yang mula rasa membahang dikipas-kipas dengan tangan sebelum melepaskan lelah dan mengah.Mengah kerana dia baru saja selesai membuat acara larian pecut setelah dia keluar dari sebuah syarikat periklanan semata-mata untuk menghadiri temuduga.

“Huh,geram betul aku!Kalau aku jumpa pak cik botak tu kat luar,memang aku starlight kepala dia biar sampai berlubang!”amarah Merah berhamburan entah untuk kali ke berapa.
Mengingati semula tragedi tadi buat hatinya panas membahang.Semuanya bermula sebaik sahaja dia melangkah masuk ke bilik temuduga.

“Merah Binti Abdullah?”soalan si lelaki penemuduga seraya bangkit mendekati Merah yang sudah awal-awal dipersilakan duduk membuatkan Merah mengangguk.Seketika,dia melabuhkan duduknya di atas meja betul-betul di hadapan Merah sambil mencuit hujung tudung Merah.

“Nama awak cantik,muka awak juga cantik.Boleh cari makan kalau jadi model atau pun pelakon tapi sayang,kain atas kepala awak ni dah selindung kecantikan awak,”senyuman senget terukir membuatkan Merah terkedu.

“Saya berminat untuk tawarkan awak satu jawatan istimewa dengan gaji lumayan,”sambungnya lagi.
“Err...tapi encik,saya datang untuk temuduga jawatan Eksekutif Pemasaran.”

“Saya rasa jawatan tu tak sesuai dengan awak.Sebab itu saya nak tawarkan awak jawatan yang lebih tinggi daripada itu.Bukan setakat itu saja tapi saya akan sediakan keperluan dan kemudahan lain termasuklah rumah,kereta,pakej percutian dan sebagainya.Kalau saya minta awak tanggalkan tudung ni boleh?”entah apa yang merasuk Merah,sepantas kilat dia bangkit bila lelaki ini sudah melebih-lebih dengan cuba menyelak tudungnya.Tangan lelaki itu dipulas kuat sambil menjegilkan mata.

“Saya datang sini untuk temuduga jawatan Eksekutif Pemasaran,bukannya nak temuduga jadi pelacur kelas atasan sampai saya kena buang apa yang sepatutnya menjadi penutup aurat saya.”
Terjerit-jerit si lelaki tadi sambil cuba meminta Merah melepaskan tangannya namun semakin kuat dia menjerit semakin kuat Merah memulas tangannya.

“Sakit ke?”soal Merah sinis.

“Sakitlah.Lepaskan tangan aku!”

Merah tarik senyuman mengejek.

“Encik yang budiman,dengar baik-baik apa saya nak cakap ya.Saya lebih rela jadi penganggur terhormat daripada bekerja satu bumbung dengan orang yang hanya tahu nak mengambil kesempatan ke atas perempuan.Sepatutnya,lelaki macam encik ni jadi seorang pelindung kepada wanita dan bukannya jadi perosak kaum hawa,”dalam masa yang sama Merah kilaskan tangan si lelaki ke belakang dengan sekuat hati sebelum menolak tubuhnya sehingga tersembam ke lantai.

“Kurang ajar!”cemuh si lelaki cuba untuk bangun tapi Merah sudah bersedia untuk angkat kaki.Tombol pintu ditarik tapi masih lagi berani berdiri di muka pintu lalu merenung lelaki itu.

“Kau yang kurang ajar!Dasar jantan miang!”sepantas kilat Merah berlari keluar meninggalkan pejabat itu untuk menyelamatkan diri sebelum apa-apa perkara buruk terjadi.

Ya Allah,apa nak jadilah dengan manusia zaman sekarang?Pantang ada peluang,semuanya nak dibuat sesuka hati.Kalaulah ada sepuluh syarikat yang ada penemuduga seperti lelaki tadi,mahunya aku tak kerja sampai ke tua.Asyik nak menggatal saja.Dah macam tak ada benda lain nak dibuat.Rumah kata pergi,kubur kata mari.Tak padan dengan tua,muka berkedut,kepala botak,perut pun buncit.Tak sedar diri betul!Nasib baik aku tak terajang saja perut buncit dia tu biar sampai masuk hospital.Kalau tak masuk hospital,masuk kubur terus!Huh!

Merah tersentak bila terdengar bunyi hon dari sebuah teksi yang baru berhenti betul-betul di hadapannya.Lama dia merenung sebelum tingkap teksi tadi diturunkan.Seorang lelaki separuh umur menjerit-jerit memanggil-manggilnya,siap buat lambaian dan menggamitnya agar Merah menaiki teksinya.Tapi Merah terus gelengkan kepala.Ingatannya pada si penemuduga gatal tadi buat dia rasa cuak.

“Nak ke mana dik?”

“Tak ke mana-mana.”

“Tak nak naik teksi abang ke?Cakap saja nak ke mana,abang boleh hantarkan.”
Merah tayang muka meloya.Abang?Heh,pak cik oi...awak tu dah separuh abad dah.Tak payah nak berabang-abang sangatlah!bebel Merah dalam hati.Makin kerap dia jumpa orang lelaki,makin dia panas hati.Hisyh,apsal entah dalam dunia ni,lelaki kalau pandang perempuan mesti nak menggatal.Dah tak ada lelaki budiman dalam dunia ni ke?Dah pupus agaknya?

“Tak apalah pak cik,saya tunggu ayah saya.Kejap lagi dia datang,”bohong Merah.Senang cerita.Ini kalau dia jawab betul-betul,mahunya panjang berjela lagi ayat yang keluar dari mulut pemandu teksi ni.

“Eh,tadi cakap tak ke mana-mana?Macam mana pula boleh nak tunggu ayah?Jomlah!Abang janji abang tak caj mahal-mahal.Harga berpatutan!”teriaknya lagi,cuba memancing.

Merah mengecilkan mata.Nak saja dia cabut kasutnya dan baling ke arah pemandu teksi yang tak faham bahasa ini.Dah terdesak sangat ke apa nak orang naik teksi dia?Orang cakap tak nak tu maknanya tak naklah.Nak cakap guna bahasa apa untuk buat dia faham?Bahasa Zimbabwe?Bahasa Eskimo?Atau bahasa tarzan?Jerit bagi satu dunia dengar.

Baru nak bangkit,matanya terpandang ke arah seorang wanita tua yang baru saja tiba ke situ dan semerta atas kepalanya muncul mentol sedang menyala-nyala dengan terangnya.Tanpa fikir panjang,buru-buru dia mendekati wanita tersebut dan memimpinnya ke arah teksi tadi.

“Pak cik,tolong hantarkan mak cik ni ke destinasi.Tak caj mahal-mahal,kan?”Merah menyengih.Pintu teksi dah bertutup rapat selepas saja wanita tadi duduk di kerusi belakang.Merah sempat tersenyum dan buat lambaian ala-ala ratu kebaya kepada lelaki pemandu teksi sebelum mengetuk dua kali bontot teksi sebagai isyarat meminta teksi itu berlalu.

“Manusia...manusia...”Merah gelengkan kepala setelah kelibat teksi menghilang.

“Apa aku nak buat ni?Nak tercongok sampai malam kat sini ke?”wajahnya diraup sekali dua sambil melepas nafas berat.Semerta tekaknya dipegang.

“Hauslah pula,”ujar Merah dan sudahnya dia membuat keputusan untuk membeli air bagi menghilangkan dahaganya.

Elok membeli sebungkus ais kosong,Merah mengatur langkah melewati lorong-lorong kecil di belakang kedai.

Hampir terjerit dibuatnya bila dengan tiba-tiba saja ada seorang lelaki datang ke arahnya dalam keadaan tak terurus dan seperti berkhayal.Orang mabuk mungkin.Buru-buru dia atur langkah keluar dari situ dan mempercepatkan langkahnya.Terbayang-bayang rumahnya yang tidak berapa jauh dari situ.Cadangnya,sesampai saja di rumah dia mahu melepaskan segala lelahnya dengan tidur.Mungkin itu adalah terapi paling baik buat masa ini.Lagi pun,dia tak ada selera untuk menjamah makanan.Seleranya dah mati agaknya bila macam-macam perkara terpaksa dia hadap dalam masa satu hari.

Macam-macam yang terpaksa dia fikirkan.Di mana mahu mencari kerja,macam mana nak teruskan kelangsungan hidup di ibu kota yang kosnya sangat tinggi,bagaimana mahu melangsaikan hutang piutangnya.Kalau fikir,sampai tahun depan agaknya takkan habis.

Flat tempat tinggalnya sudah nampak di depan mata.Sempat lagi dia menegur jiran-jiran yang sedang bersidai di tepi tembok ketika dia memanjat anak-anak tangga sebelum membelok masuk ke koridor menuju ke rumahnya.Ais kosong yang masih bersisa segera dihabiskan sebelum mencampakkannya ke dalam tong sampah berdekatan.

Sesampai saja di tingkat tiga yang menempatkan rumah sewanya,Merah termengah-mengah melepas lelah.


“Ya Allah,akhirnya!”sorak Merah.


BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...