“Pak Cik Meon…tunggu kejap pak
cik!”jerit Tsania lantang.Termengah-mengah mereka mengejar Pak Cik Meon
sehingga ke hadapan pintu balai polis.Pak Cik Meon yang ketika itu sedang
membelek telefon bimbitnya terus berpaling kemudian sengaja menayang satu
senyuman sinis kepada kedua gadis itu.
“Hah,ada apa lagi?”
“Pak Cik…kami minta tolong
sangat-sangat dengan pak cik.Tolonglah tarik balik kes ni…kami tak nak Kak
Merah ditahan,”rayu Tsania sambil merapatkan kedua belah tangannya memohon
simpati.
Pak Cik Meon mencebik.
“Kau dah gila nak suruh aku tarik
balik kes ni?Siapa suruh dia cari pasal?Ni,lebam kat muka aku ni siapa yang nak
bertanggungjawab?Perut aku ni…sampai sekarang tak hilang sakit lagi tahu
tak?Memang patutlah si Merah tu kat dalam,biar ada akal sikit!”balas Pak Cik
Meon geram.
“Pak Cik Meon…tolonglah…kali ni
saya rayu sangat-sangat pada pak cik.Kalau pak cik nak saya sujud kat kaki pak
cik pun saya sanggup asalkan pak cik tarik balik kes dakwaan tu…lepaskan Kak
Merah.Saya janji yang saya akan bayar semua duit sewa rumah yang tertunggak tu,”ujar
Imanina nekad.Dia sudah melutut dan cuba menyentuh kaki Pak Cik Meon namun Pak
Cik Meon berundur ke belakang.
“Sudah,kau jangan mengarut.Aku
tak akan sesekali tarik balik kes ni!”keras sekali suara Pak Cik Meon.
“Pak cik,tolonglah kami pak
cik….saya rayu pada pak cik jangan buat kami begini….janganlah kejam begini
pada kami.Kami dah tak ada sesiapa di dunia ni,saya cuma rayu ihsan pak cik
aje.Saya tahu pak cik baik orangnya…” ucap Imanina lagi sengaja menggunakan
ayat-ayat sedih dengan harapan orang tua itu berlembut hati namun dia menjadi
hampa apabila sekali lagi Pak Cik Meon membuka mulut tak ada insuransnya.
“Dah memang nasib kau orang jadi
anak yatim.Sudahlah,tak kuasa aku mahu layan kau berdua.Buang masa aku
aje!”seraya berkata begitu,Pak Cik Meon segera meninggalkan perkarangan balai
polis tanpa menghiraukan lagi kedua-dua gadis yang sedang merayu itu.
Panggilan dan rayuan Imanina dan
Tsania dia buat tak peduli.Lantaklah!Padan muka kau orang!Siapa suruh cari
pasal?Nak tunjuk samseng sangat.Sekarang kau rasa sendiri akibatnya mencari
pasal dengan aku!cemuhan Pak Cik Meon bergema-gema dalam hatinya.
Imanina hampir saja melurut jatuh
ke tanah selepas gagal merayu Pak Cik Meon menarik balik laporan.Hati dihenyak
perasaan sedih yang bukan kepalang.Entah apa yang akan jadi nanti dia tidak
tahu.Seakan dunianya makin gelap dan tak ada cahaya langsung.Dah macam seorang
pelayar yang tersesat di lautan luas bila Merah kena tahan.Selama ini,mereka
bertiga.Kini tinggal mereka berdua saja.Selama ini Merah yang menjadi orang yang
bertanggungjawab terhadap mereka bertiga.Merah yang menjadi tonggak dalam
kehidupan mereka selama ini.Jadi,kalau tak ada Merah dia rasa yang dia bagaikan
seekor burung tanpa sayap.
“Nina,sabarlah.Jangan macam
ni.”Tsania sempat paut bahu Imanina sebelum tubuh gadis itu dipeluk erat.
“Nia nak orang sabar macam mana?Nia nampak kan
macam mana Pak Cik Meon buat kita?Nia dengar kan apa yang Pak Cik Meon cakap
tadi?Orang
tak tahu nak buat apa dah sekarang ni.Mana kita nak cari duit ikat
jamin untuk bebaskan
Kak Merah?”
“Duit dalam akaun kau ada baki lagi?”soal Tsania
perlahan.Wajah Imanina yang masih nampak serba tak kena ditatap cermat.Imanina
menggeleng.
“Tak ada.Semuanya dah habis beli
barang dapur.”
Tsania gigit bibir.Kalau dah Imanina
kata duit dalam akaunnya sudah habis dan duitnya sendiri cuma berbaki beberapa
puluh ringgit saja,bagaimana caranya nak menyelamatkan Merah dari dalam
tahanan?
“Ya Allah,macam mana ni Nina?Duit
Nia
dalam simpanan pun cukup-cukup makan aje.Macam mana nak bayar duit ikat jamin untuk
Kak Merah?”
Imanina tenung muka Tsania yang
jelas dah putus harapan.Tiba-tiba saja Imanina mengongoi di bahu Tsania
melampiaskan rasa yang ada dalam hatinya.Kedua-duanya saling berpelukan antara
satu sama lain di tengah kawasan lapang berbumbungkan terik mentari yang
menggila.
“Assalamualaikum.” satu suara
menyapa gegendang telinga.Kedua-duanya terkedu dan berpaling memandang ke arah
pemilik suara.Garau.Lelaki.
Imanina bulatkan mata bila
seorang lelaki yang berpenampilan kemas dan segak sedang berdiri betul-betul di
belakangnya.Dihalakan pandangan kepada Tsania seketika sebelum menjawab salam.
“Maaf kalau saya bertanya.Ada apa
ya?Macam ada masalah saja?”si lelaki menyoal.Nampak sedikit prihatin.
“Tak ada apa-apa.”balas Tsania
laju.Tak elok rasanya kalau mereka menceritakan masalah yang mereka hadapi
kepada orang lain tambah-tambah orang yang tidak dikenali seperti lelaki di
depan mereka ini.Tak tahu mana datangnya lelaki ini tapi Tsania yakin lelaki
ini sekadar datang menegur sebagai seorang rakyat yang prihatin.
“Nampak macam perlukan
pertolongan?”soalnya lagi seakan memberikan ruang buat mereka berdua meminta
bantuan.
“Err...”suara Imanina mati bila Tsania menggoncangkan tangannya
memberi isyarat agar tidak membuka mulut.
“Tak
ada apa-apa,encik.Kami pergi dululah.”
“Cik,nanti
dulu.”si lelaki tadi masih cuba bertanya sedangkan ketika itu Tsania dah
siap-siap nak heret Imanina pergi.
“Hmm?”
“Cik
dengan pak cik tadi...”ternyata suara lelaki di depan mereka ini mati.
Wajah
Tsania berubah.Tiba-tiba saja rasa malu kepada lelaki asing ini.Dia yakin yang
lelaki ini sudah pastinya nampak
drama sebabak yang berlaku beberapa ketika tadi.Drama mereka merayu-rayu Pak
Cik Meon untuk menarik balik kes.Malunya!
“Kalau
cik berdua tak keberatan boleh kan kalau saya tolong cik?”sambung si lelaki ini
tanpa teragak-agak.Spontan senyuman tipis terhulur buat Imanina dan Tsania
sehinggakan kedua-dua mereka saling berpandangan sesama sendiri.
***
“Saya
Adrian Syah.Panggil Adrian aje,”ucap Adrian sambil tersenyum.
Ketika itu,dia sedang memandu
dalam keadaan tenang sejurus sahaja mereka bertiga pulang dari rumah Pak Cik
Meon sebelum singgah di rumah sewa mereka bertiga mengambil barang-barang
mereka yang dicampak keluar.
Lega hati Tsania dan Imanina
kerana hutang yang tertunggak sudah diselesaikan oleh lelaki berhati mulia
ini.Tidak mereka sangka,dalam dunia yang serba moden yang penuh dengan
pancaroba ini masih ada lagi manusia sebaik Adrian yang sudi menghulurkan
bantuan.Sudahlah baik,kacak,kaya pula tu.Masakan dia mampu selesaikan semua
hutang mereka yang berjumlah hampir RM2,000 itu kalau dia tidak kaya?
“Lupa pula nak kenalkan nama.Saya
Imanina dan ini Tsania.”Imanina yang duduk di sebelah Adrian
menjawab.Bersahaja.Sempat lagi dia mengerling pada Tsania yang duduk di kerusi
bahagian belakang.
“Encik Adrian…terima kasih tau
sebab tolong selesaikan
hutang sewa rumah kami.Kalau tak ada Encik Adrian tadi,tak tahulah macam mana
dengan kami.Errmm….lagi satu…terima kasih juga sebab berjaya slowtalk
dengan Pak
Cik Meon sengal tu.Kalau tidak,mahunya sampai tujuh keturunan kami semua
kena sumpah seranah dia.”Imanina tayang muka tak bersalah ketika mengutuk Pak
Cik Meon.Biarlah.Dia tengah sakit hati dengan orang tua itu.Ikutkan dia memang
dia hempuk kepala Pak Cik Meon dengan tukul besi biar biol setahun.
“Tak perlulah ucap terima
kasih.Inikan dah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kita sesama
masyarakat.”jawab Adrian bersahaja.
“Saya tak sangka akhir zaman macam ni pun masih ada
orang sebaik Encik Adrian.Saya fikir orang baik-baik dah pupus dari muka
bumi.Ingatkan dunia ni hanya penuh dengan orang-orang kejam yang tak berhati
perut macam Pak Cik Meon tu.Rupanya masih wujud manusia sebaik awak.”
“Jangan
cakap macam tu.Mungkin
saya berada di tempat yang betul pada waktu yang betul.”
Adrian rasa serba tak kena bila
dipuji melambung oleh Imanina.Tak selesa betul nak mendengar puji-pujian atas
sebab pertolongan yang telah dia hulurkan.Dia buat semua ni bukan sebab mahu
dipuji atau mahu mendapat nama tapi dia menganggap ini sebahagian daripada
tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.
Sesampai sahaja di perkarangan
balai polis,Imanina yang dulu-dulu keluar dari kereta milik Adrian sebelum
menarik laju tangan Tsania yang sejak tadi nampak muram.Tak sempat Adrian nak
cakap apa,kedua-dua gadis itu menyerbu masuk ke dalam balai polis meninggalkan
Adrian dengan senyuman lebar.
Adrian tanggalkan Rayban miliknya
dari batang hidung sebelum sangkutkan pada butang bajunya sambil berjalan masuk
ke dalam balai polis.Lebih kurang lima belas minit berurusan untuk mengeluarkan
Merah dari tahanan,Adrian hanya memasang telinga mendengar celoteh Imanina yang
tak reti nak mendiamkan diri.Macam-macam yang mahu dicakapkannya.Kadang-kadang
mendengar celoteh gadis itu kelakar juga.Tak tahu kenapa,Adrian dapat rasakan aura
yang kuat bila bersama kedua-dua gadis ini.Seakan mereka telah lama kenal.
“Kak Merah!”teriakan Imanina
setelah ternampak kelibat Merah diiring keluar ke bahagian hadapan membuatkan
Adrian berpaling.Kali pertama menatap wajah Merah,terus hatinya berdetak detuk
semacam.
Lama dia merenung gadis bernama
Merah yang memakai baju kurung dan bertudung itu.Tenang sungguh air mukanya.Tak
seperti yang berada dalam gambarannya ketika dia dan Imanina berbual tentang
Merah semasa mereka dalam perjalanan ke sini tadi.
“Nina...Nia...macam
mana...”suara Merah yang baru hendak menyusun sebuah pertanyaan terus tercantas
bila dia sendiri telah tenggelam dalam pelukan erat Imanina dan Tsania sekali
gus sehingga membuatkan dia berundur setapak ke belakang.Hampir tercabut tudungnya
dek perlakuan dua adiknya itu.
“Leganya
dapat peluk Kak Merah!”sorak Imanina tak agak-agak setelah pelukan terlerai.
“Kak
Merah okey?”soal Tsania sedikit risau.Sempat lagi dia pegang pipi Merah dengan
menayang wajah susah hati.
“Aku
okey.”
“Kak
Merah,jom!”entah vitamin apa yang Imanina makan,laju saja tangannya menarik
tangan Merah agar mengikutnya.Adrian didekati.
“Siapa
ni?”bisik Merah rapat setelah matanya bertentang dengan mata Adrian yang sedang
duduk tidak jauh dari situ.
“Kalau Kak Merah nak tahu,Encik
Adrian yang handsome nilah
yang tolong kita semua!”ujar Imanina semakin ceria.Tsania di sebelah
angguk-sangguk saja,bersetuju dengan Imanina.
“Assalamualaikum.”tutur Merah
lembut tapi tak ada senyuman pun yang mampu dia beri kepada Adrian.Adrian di
depan hanya serupa patung cendana.Sekadar tenung Merah tak berkelip mata
sehingga terlupa mahu menjawab salam.
“Betul ke encik yang tolong kami
adik beradik?”soal Merah inginkan kepastian.Bukan apa,dia sekadar mahu berbasa
basi dengan lelaki yang tidak dikenalinya.Sungguh,ini pertama kali ada
seseorang yang dia tidak kenal menghulurkan bantuan kepadanya.
Adrian angguk mahu tak mahu.Masih
lagi berada di dalam dunia sendiri.Saling bertentang dengan Merah buat hatinya
jadi semacam.Apakah petandanya?
Merah senyum nipis sebelum
menundukkan sedikit kepala sekadar sebuah isyarat yang dia menghormati Adrian.
“Terima kasih,encik atas bantuan
yang encik hulurkan.”
Adrian diam tapi mata masih
menekur roman muka Merah.
“Encik?”tegur Merah.Wajah Imanina
dan Tsania di sebelah dipandang meminta penjelasan.
“Encik Adrian.”tegur Tsania
sambil lambai-lambaikan tangan di depan mata Adrian.
“Hah?Err...ya...ya...ada
apa?”Adrian bangkit.Kini kedudukannya setentang dengan Merah membuatkan jarak
antara keduanya sangat dekat.Adrian tatap muka Merah tak lepas.
“Saya cakap,terima kasih sebab
dah tolong kami adik beradik.”
“Awak...Merah?”tegur Adrian bila
dah benar-benar sedar.
Merah mengangguk.
Adrian
ukir sebuah senyuman paling ikhlas dia pernah beri.
“Saya Adrian Syah.Panggil saja
Adrian.”Adrian hulurkan tangan ke depan tapi Merah hanya mengerling.Tak cakap
apa pun.Tak beri respon.Lambat-lambat Adrian menarik tangannya kembali dengan
wajah malu.
“Jom.”tekan Adrian mengubah arah
perbualan sambil mempersilakan Merah,Imanina dan Tsania keluar dari balai
polis.
“Awak semua nak ke mana selepas ni?”
Pertanyaan Adrian terbiar
sepi.Masing-masing tak tahu nak jawab apa.Nak ke mana kalau rumah pun mereka
tak ada.Tak ada tempat yang boleh mereka tuju.Duit tak ada,apa boleh buat.
“Entah.”Merah jawab sambil angkat
bahu.Sebenarnya dia juga sudah hilang punca selepas mereka semua dihalau dari
rumah sewa.Tidak tahu ke mana harus dituju ketika ini.Bukannya mereka punya
saudara.Teman-teman pula,diwaktu senang adalah tapi bila dalam
kesusahan,hanya ucap hye-hye bye-bye!
Pandangan Merah bertaut dengan
Adrian.Masing-masing saling memandang tanpa sepatah kata.Adalah dalam lima saat
macam tu.
“Jomlah,masuk dalam
kereta.”pelawa Adrian sambil bukakan pintu.
“Nak ke mana?”
“Masuklah dulu.”
“Apa kata awak bertiga tinggal di
rumah saya aje,”pelawa Adrian ketika kereta sudah menderu laju di jalanan.Merah
yang duduk di sebelah Adrian spontan berkalih dengan mata membulat.Mendengar
cadangan Adrian buat dia risau dan susah hati.
“Hisy,tak nak!Awak lelaki,kami ni
perempuan.Lagi pun nanti apa kata keluarga awak pula kan?Tak manis macam
tu.”Merah mencelah.Tak mahulah dia menyusahkan lelaki yang sudah membantu
mereka ini.Sudah cukup jasa yang ditaburkan,dia tak mahu berlebih-lebih nanti
susah mahu balas budi.Dah menolong dia bebas dari lokap pun sudah cukup baik.
“Eh,tak adalah menyusahkan.Lagipun rumah tu
kosong,tak ada siapa yang duduk.”
“Habis tu?Awak tinggal di
mana?”tanya Imanina bersemangat.
“Saya tinggal dengan family saya…rumah yang saya cakap tu
memang kosong.Sekali sekala aje saya balik sana,itu pun kalau hujung
minggu.Kalau tidak,memang saya tak jengah ke situ.”jeda.
“Hmm,okey kan kalau awak bertiga
tinggal aje di rumah tu?”
Merah mengeluh berat.Kenapa masih
ada manusia yang berhati mulia sebegini?Sudahlah ditolongnya keluar dari
lokap,kini mahu memberi tempat tinggal pula.Aneh.Selama dia hidup,Adrian ni
adalah lelaki yang ketiga atau keempat yang berkelakuan sopan dan berbudi
pekerti selepas Ustaz Helmi dan Cikgu Hilman.Selebihnya,semuanya hanya ambil
kesempatan.
“Berapa sewanya?”terus terang Merah menyoal,tak
mahu berdolak dalih.
“Tengoklah macam
mana nanti…yang
penting awak semua bersetuju tinggal kat rumah tu.”
No comments:
Post a Comment