Langkah Merah semakin laju menuju
ke sebuah stesen bas tidak jauh di hadapannya.Makin dia mendekat makin dia nak
cepat.Mulut comelnya ikut membebel-bebel dan mengomel-ngomel sejak tadi.Habis
diselaknya lengan baju kurung yang tersarung di tubuh setelah menghempaskan
duduknya di kerusi di stesen bas.
Puas melepas perasaan seorang
diri,baru dia tahu berhenti.Penat tiba-tiba bila asyik melepas rasa.Geram!Nasib
baik tak ada sesiapa di sini,kalau tidak mesti orang kata dia sewel.
Tudung bawal yang dikenakan di
kepala dibetul-betulkan.Wajahnya yang mula rasa membahang dikipas-kipas dengan
tangan sebelum melepaskan lelah dan mengah.Mengah kerana dia baru saja selesai
membuat acara larian pecut setelah dia keluar dari sebuah syarikat periklanan
semata-mata untuk menghadiri temuduga.
“Huh,geram betul aku!Kalau aku
jumpa pak cik botak tu kat luar,memang aku starlight
kepala dia biar sampai berlubang!”amarah Merah berhamburan entah untuk kali
ke berapa.
Mengingati semula tragedi tadi
buat hatinya panas membahang.Semuanya bermula sebaik sahaja dia melangkah masuk
ke bilik temuduga.
“Merah
Binti Abdullah?”soalan si lelaki penemuduga seraya bangkit mendekati Merah yang
sudah awal-awal dipersilakan duduk membuatkan Merah mengangguk.Seketika,dia
melabuhkan duduknya di atas meja betul-betul di hadapan Merah sambil mencuit
hujung tudung Merah.
“Nama
awak cantik,muka awak juga cantik.Boleh cari makan kalau jadi model atau pun
pelakon tapi sayang,kain atas kepala awak ni dah selindung kecantikan awak,”senyuman
senget terukir membuatkan Merah terkedu.
“Saya
berminat untuk tawarkan awak satu jawatan istimewa dengan gaji lumayan,”sambungnya
lagi.
“Err...tapi
encik,saya datang untuk temuduga jawatan Eksekutif Pemasaran.”
“Saya
rasa jawatan tu tak sesuai dengan awak.Sebab itu saya nak tawarkan awak jawatan
yang lebih tinggi daripada itu.Bukan setakat itu saja tapi saya akan sediakan
keperluan dan kemudahan lain termasuklah rumah,kereta,pakej percutian dan
sebagainya.Kalau saya minta awak tanggalkan tudung ni boleh?”entah apa yang merasuk
Merah,sepantas kilat dia bangkit bila lelaki ini sudah melebih-lebih dengan
cuba menyelak tudungnya.Tangan lelaki itu dipulas kuat sambil menjegilkan mata.
“Saya
datang sini untuk temuduga jawatan Eksekutif Pemasaran,bukannya nak temuduga
jadi pelacur kelas atasan sampai saya kena buang apa yang sepatutnya menjadi
penutup aurat saya.”
Terjerit-jerit
si lelaki tadi sambil cuba meminta Merah melepaskan tangannya namun semakin
kuat dia menjerit semakin kuat Merah memulas tangannya.
“Sakit
ke?”soal Merah sinis.
“Sakitlah.Lepaskan
tangan aku!”
Merah
tarik senyuman mengejek.
“Encik
yang budiman,dengar baik-baik apa saya nak cakap ya.Saya lebih rela jadi
penganggur terhormat daripada bekerja satu bumbung dengan orang yang hanya tahu
nak mengambil kesempatan ke atas perempuan.Sepatutnya,lelaki macam encik ni
jadi seorang pelindung kepada wanita dan bukannya jadi perosak kaum hawa,”dalam
masa yang sama Merah kilaskan tangan si lelaki ke belakang dengan sekuat hati
sebelum menolak tubuhnya sehingga tersembam ke lantai.
“Kurang
ajar!”cemuh si lelaki cuba untuk bangun tapi Merah sudah bersedia untuk angkat
kaki.Tombol pintu ditarik tapi masih lagi berani berdiri di muka pintu lalu
merenung lelaki itu.
“Kau
yang kurang ajar!Dasar jantan miang!”sepantas kilat Merah berlari keluar
meninggalkan pejabat itu untuk menyelamatkan diri sebelum apa-apa perkara buruk
terjadi.
Ya Allah,apa nak jadilah dengan
manusia zaman sekarang?Pantang ada peluang,semuanya nak dibuat sesuka
hati.Kalaulah ada sepuluh syarikat yang ada penemuduga seperti lelaki
tadi,mahunya aku tak kerja sampai ke tua.Asyik nak menggatal saja.Dah macam tak
ada benda lain nak dibuat.Rumah kata pergi,kubur kata mari.Tak
padan dengan tua,muka berkedut,kepala botak,perut pun buncit.Tak sedar diri betul!Nasib baik aku
tak terajang saja perut buncit dia tu biar sampai masuk
hospital.Kalau tak masuk hospital,masuk kubur terus!Huh!
Merah tersentak bila terdengar
bunyi hon dari sebuah teksi yang baru berhenti betul-betul di hadapannya.Lama
dia merenung sebelum tingkap teksi tadi diturunkan.Seorang lelaki separuh umur
menjerit-jerit memanggil-manggilnya,siap buat lambaian dan menggamitnya agar
Merah menaiki teksinya.Tapi Merah terus gelengkan kepala.Ingatannya pada si
penemuduga gatal tadi buat dia rasa cuak.
“Nak ke mana dik?”
“Tak ke mana-mana.”
“Tak nak naik teksi abang
ke?Cakap saja nak ke mana,abang boleh hantarkan.”
Merah tayang muka
meloya.Abang?Heh,pak cik oi...awak tu dah separuh abad dah.Tak payah nak berabang-abang
sangatlah!bebel Merah dalam hati.Makin kerap dia jumpa orang lelaki,makin dia
panas hati.Hisyh,apsal entah dalam dunia ni,lelaki kalau pandang perempuan
mesti nak menggatal.Dah tak ada lelaki budiman dalam dunia ni ke?Dah pupus
agaknya?
“Tak apalah pak cik,saya tunggu ayah
saya.Kejap lagi dia datang,”bohong Merah.Senang cerita.Ini kalau
dia jawab betul-betul,mahunya panjang berjela lagi ayat yang keluar dari mulut
pemandu teksi ni.
“Eh,tadi cakap tak ke
mana-mana?Macam mana pula boleh nak tunggu ayah?Jomlah!Abang janji abang tak
caj mahal-mahal.Harga berpatutan!”teriaknya lagi,cuba memancing.
Merah mengecilkan mata.Nak saja
dia cabut kasutnya dan baling ke arah pemandu teksi yang tak faham bahasa
ini.Dah terdesak sangat ke apa nak orang naik teksi dia?Orang
cakap tak nak tu maknanya tak naklah.Nak cakap guna bahasa apa untuk buat dia
faham?Bahasa Zimbabwe?Bahasa Eskimo?Atau bahasa tarzan?Jerit bagi satu dunia
dengar.
Baru
nak bangkit,matanya terpandang ke arah seorang wanita tua yang baru saja tiba
ke situ dan semerta atas kepalanya muncul mentol sedang menyala-nyala dengan
terangnya.Tanpa fikir panjang,buru-buru dia mendekati wanita tersebut dan
memimpinnya ke arah teksi tadi.
“Pak cik,tolong hantarkan mak cik
ni ke destinasi.Tak caj mahal-mahal,kan?”Merah menyengih.Pintu teksi dah
bertutup rapat selepas saja wanita tadi duduk di kerusi belakang.Merah sempat
tersenyum dan buat lambaian ala-ala ratu kebaya kepada lelaki pemandu teksi
sebelum mengetuk dua kali bontot teksi sebagai isyarat meminta teksi itu
berlalu.
“Manusia...manusia...”Merah
gelengkan kepala setelah kelibat teksi menghilang.
“Apa aku nak buat ni?Nak
tercongok sampai malam kat sini ke?”wajahnya diraup sekali dua sambil melepas
nafas berat.Semerta tekaknya dipegang.
“Hauslah pula,”ujar Merah dan
sudahnya dia membuat keputusan untuk membeli air bagi menghilangkan dahaganya.
Elok membeli sebungkus ais
kosong,Merah mengatur langkah melewati lorong-lorong kecil di belakang kedai.
Hampir terjerit dibuatnya bila
dengan tiba-tiba saja ada seorang lelaki datang ke arahnya dalam keadaan tak
terurus dan seperti berkhayal.Orang mabuk mungkin.Buru-buru dia atur langkah
keluar dari situ dan mempercepatkan langkahnya.Terbayang-bayang rumahnya yang
tidak berapa jauh dari situ.Cadangnya,sesampai saja di rumah dia mahu
melepaskan segala lelahnya dengan tidur.Mungkin itu adalah terapi paling baik
buat masa ini.Lagi pun,dia tak ada selera untuk menjamah makanan.Seleranya dah
mati agaknya bila macam-macam perkara terpaksa dia hadap dalam masa satu hari.
Macam-macam yang terpaksa dia
fikirkan.Di mana mahu mencari kerja,macam mana nak teruskan kelangsungan hidup
di ibu kota yang kosnya sangat tinggi,bagaimana mahu melangsaikan hutang
piutangnya.Kalau fikir,sampai tahun depan agaknya takkan habis.
Flat tempat tinggalnya sudah nampak
di depan mata.Sempat lagi dia menegur jiran-jiran yang sedang bersidai di tepi
tembok ketika dia memanjat anak-anak tangga sebelum membelok masuk ke koridor
menuju ke rumahnya.Ais kosong yang masih bersisa segera dihabiskan sebelum
mencampakkannya ke dalam tong sampah berdekatan.
Sesampai saja di tingkat tiga
yang menempatkan rumah sewanya,Merah termengah-mengah melepas lelah.
“Ya Allah,akhirnya!”sorak Merah.
No comments:
Post a Comment