Jess mencuri pandang
Amri yang sedang berada tidak jauh dari mejanya. Mencebik meluat melihat
tingkah lelaki itu, mata dilarikan semula kepada Lila di hadapan matanya.
“Amri cakap apa lagi,
babe?” Ternaik kening Jess menagih jawapan daripada Lila. Cerita yang Lila
sampaikan kepadanya membuatkan perasaannya jadi semakin berkobar-kobar.
Lila hanya menggeleng.
Dia termenung sebentar.
“Nasib baik ada lelaki
tu.” Terpacul tiba-tiba ayat itu dari mulutnya tanpa disedari.
“Wait.
What? Who? Lelaki mana?” Jess tertanya-tanya.
“Lelaki misteri dalam
video tu la…”
“Oh! That guy, huh? Handsome, seyh!” Mulut Jess mula mengukir senyuman senget.
Huh, kacak kata Jess?
Kalaulah Jess tahu macam mana puakanya mulut mamat misteri yang bernama Jaad
itu, pasti dia akan menarik balik kata-katanya. Kalaulah Jess nampak dengan
matanya sendiri bagaimana Lila dilayan pada malam itu oleh Jaad, mungkin Jess
takkan berani mengeluarkan kenyataan sebegitu.
“Eh, tapi betul ke dia hantar you terus balik
ke rumah malam tu? Macam mana you kenal dia, Lila?” Sambung Jess lagi.
Lambat-lambat Lila
menggeleng. Selain daripada nama lelaki misteri itu yang dikenali sebagai Jaad,
Lila tidak tahu apa-apa pun mengenainya. Lila clueless! Di mana tempat kerjanya, tempat tinggalnya, dan maklumat
yang berkaitan… semuanya Lila tak tahu. Kerana selepas Jaad menghantarnya
pulang ke rumah malam itu, dia tidak lagi mendengar apa-apa cerita mengenai
Jaad. Malah, dia juga tidak pernah terserempak dengan Jaad di mana-mana. Hanya
video Jaad membawanya keluar dari vila itu yang dia ada. Selebihnya, dia tidak
tahu di mana keberadaan lelaki itu.
“Jess, can I ask you something?”
Lila bertanya sebaik saja mereka berdua selesai menjamu selera.
“Yes, go ahead.”
“Kenapa Bella dengan
Elisa left group? You rasa, diorang
berdua dah bencikan I ke? Diorang berdua dah termakan dengan hasutan dan fitnah
terhadap I ke? Atau…” Lila menggigit lidah sendiri. Sudah lama persoalan ini
bermain-main di fikiran dan baru kini dia mampu meluahkannya. Malah, dia
sebenarnya hendak bertanya kepada Bella dan Elisa terus-terang tetapi tidak
sempat berbuat begitu, kedua-dua gadis itu terus berlalu pergi dengan
tergesa-gesa. Adakah sebab Amri juga?
“Entah. I tak tahu.”
“Bitch!” Tidak semena-mena saja terdengar suara menyumpah Lila
sehingga air yang baru disedutnya hampir tersembur keluar. Lila memanggung
kepala, mencari si empunya suara yang baru saja melemparkan kata-kata seranah
kepadanya. Seorang pelajar perempuan yang berada tidak jauh daripadanya sedang
memandangnya sambil menayang memek wajah menjelekkan.
Lila terkedu. Memerhati
ke arah tangan gadis bertocang kuda yang sedang memegang telefon, Lila mengeluh
deras. Jelas sekali terlihat video yang tersebar itu sedang dimainkan di
telefonnya.
“Oh my gosh! Apa kena dengan semua orang ni? Tak puas lagi ke bercakap
buruk pasal I?”
Jess terpinga-pinga
mendengar amukan kecil Lila.
“Chill, babe.” Pujuk Jess.
“Macam mana I nak chill? You tengok semua orang dekat kafe
ni. Diorang pandang I macam I ni alien. I seorang saja ke yang ada dosa? Orang
lain tak ada? That’s so unfair!” Lila
merengus-rengus geram. Kesabaran yang cuba dicipta nampaknya telah lebur dek
sumpah seranah orang lain.
“Janganlah layankan
diorang tu. Maklumlah, diorang sentiasa fikir diorang tak pernah buat salah.
You lebih tahu dan kenal dengan diri sendiri, Lila. Buat apa nak layan diorang?
Lama-lama nanti, bila dah penat… diamlah semua orang. You chill, okey?”
“Tapi, kalau you tak
puas hati… apa kata you saman saja sesiapa yang masih sebarkan fitnah pasal
you. Biar diorang tahu makna sebuah penyesalan bila terpaksa bayar saman pada
you.” Jess menyengih dengan mengangkat-angkat keningnya kepada Lila. Namun,
mendengar keluhan Lila terus ditepuk-tepuknya mulut sendiri. Isk, cadangan tak
bijak langsung, Jess!
Geram melihat si gadis yang
bernama Atirah itu bergerak menghampiri sekumpulan pelajar yang lain lalu
ketawa-ketawa memandang telefon, Lila menumbuk meja. Laju saja dia bangkit dan
menonong ke arah mereka.
“Hello, excuse me! You all semua ni dah tak ada kerja ke?
Suka sangat membawang! Dasar mak cik bawang mulut busuk!” cemuh Lila memandang
satu per satu wajah pelajar yang duduk di sebuah meja dengan tangan naik
bercekak pinggang.
“Siapa yang mulut
busuk?” Jawab salah seorang pelajar perempuan berkaca mata bernama Suhaila.
“Entah! Dia yang tak
tahu malu.” Tambah yang lain pula.
Menjeling geram, Lila
merampas telefon Atirah dan memadamkan semua rakaman video di sana. Puas hati!
Dasar tak ada adab!
“Hei, kurang ajarlah kau
ni!” Teriak si gadis.
Lila tersenyum senget.
Telefon gadis itu dicampaknya ke atas meja dengan rasa puas hati yang bukan
sedikit. Jika diikutkan hatinya, mahu dia campak terus telefon itu ke dalam
mangkuk tandas. Baru mereka tahu langit itu tinggi atau rendah!
Bahu Lila ditolak oleh
si gadis. Wajah merah seperti udang dibakar menyebabkan Lila tergelak mengejek.
“Kenapa? Tak puas hati?
You ingat I tak boleh buat lebih dari itu? Hah?” Mencerlung-cerlung mata Lila.
Dalam masa yang sama, gelas
air oren di atas meja pantas dicapai lalu menuangnya ke atas kepala Atirah
sehingga menggelupur dibuatnya.
“Lila, kurang ajarlah
kau ni!”
“Yes, ‘kurang ajar’ is my
middle name. You all ingat ek. I boleh buat lebih daripada ni kalau
you all tak berhenti membawang pasal I.
I’m watching you!” Lila memberi
amaran dengan muka menyeringai marah. Sempat lagi dituding dua jari ke matanya
lalu dihalakan jari ke wajah mereka.
Masing-masing terkedu
dengan amaran yang Lila beri. Agaknya, mereka baru tersedar akan status Lila.
Semua orang di kolej ini tahu mommy Lila merupakan ‘orang besar’ di kolej ini.
Jika Lila bersuara kepada Datuk Katrina, entah apalah yang akan terjadi nanti.
Silap-silap, mereka semua bakal dibuang kolej kerana mencetuskan perbalahan di
sini.
“Lila…” Jess menarik
lengan Lila agar tidak melayan pelajar-pelajar berkenaan.
“Janganlah layan
diorang ni,” tambah Jess berbisik ke telinga Lila. Risau dibuatnya melihat
perbalahan antara Lila dengan geng mak cik bawang di kolej ini. Dia tahu benar
perangai masing-masing. Suka sangat bergosip dan bercakap pasal orang lain.
“Jangan ingat you semua
boleh terlepas ek. I tak habis lagi
dengan you all!” Lila menjeling
meluat. Nasiblah! Siapa suruh cari pasal dengannya?
“Dah la, Jess. Jom
pergi dari sini. Badan I dah melekat bau bawang dah! Yucks! Busuk!” Lila
memerli kumpulan pelajar berkenaan sambil menutup hidung. Rasakan! Suka sangat
cari masalah, tahulah Lila nak ajar mereka macam mana.
“Eee… Lila. You ni,
kan!” Jess menahan geram dengan Lila. Tetapi, dalam masa yang sama dia hampir
tergelak kerana teringat bagaimana pelajar perempuan yang bernama Atirah itu
menggelupur apabila disimbah air oleh Lila. Padan muka!
Lila buat muka toya. Sempat
lagi pandangannya berlaga dengan Amri yang sedang melihatnya dari jauh. Dia
buat tidak peduli dengan pandangan lelaki itu. Diayunkan saja langkahnya menuju
keluar dari kafeteria dengan melintasi meja Amri. Sempat lagi dia mengibaskan
rambut panjangnya sehingga mengenai pipi lelaki itu, seolah-olah menghantar
isyarat bahawa dia boleh bertindak lebih jauh daripada ini jika Amri menyakiti
hatinya lagi.
Sesampai saja di tapak
parkir, Lila ternampak keretanya baru saja dicomotkan dengan pelbagai cat serta
sampah sarap. Sempat dia mengejar seorang pelajar lelaki yang baru saja
menyimbah air coklat ke atas bumbung keretanya.
“Isk, biadap!” Lila
menyumpah. Sakit hati sungguh bila terpaksa menghadap ‘hukuman’ daripada manusia
yang cuma pandai mencari keburukannya. Pada hal dia tidak kenal langsung
pelajar lelaki tadi. Hampir saja lagi dia mencampakkan kasut tumit tingginya ke
arah pelajar tersebut, terdengar suara Jess melaung-laung namanya dengan begitu
kuat. Lila hanya terpinga-pinga memandang Jess di belakang.
Dalam masa yang sama,
satu bunyi kuat terhasil akibat seretan tayar sebuah kenderaan sehingga
menyebabkan kaki Lila terkejung di tengah jalan. Sesaat, terasa tubuhnya
melayang-layang ke udara sebelum jatuh lalu tergolek-golek beberapa meter di
atas tanah.
“Auchhh!”
“Lila!” Jess yang telah
menyaksikan segala-galanya di depan mata segera berlari mendapatkan Lila.
“Auwwww!” Rengek Lila
sambil menahan kesakitan yang memuncak.
“Lila, are you okay?” Jess
semakin panik melihat keadaan Lila yang sedang tertiarap di atas jalan tar itu.
Sempat juga dijelingnya manusia yang sedang berada tidak jauh daripada Lila.
Mulutnya sedikit ternganga. Matanya membulat. Manakan tidak apabila melihat
lelaki misteri yang menjadi bualan mulut netizen sejak beberapa hari lepas
sedang berada di depan mata.
Lila memegang lengannya
yang terasa pedih. Sedikit luka kecil sudah terbentuk di bahagian sikunya
manakala lengannya pula terdapat kesan calar-balar. Berusaha bangkit dari jalan
tar, Lila hampir saja lagi menjerit apabila baru tersedar siapa yang berada di
hadapannya.
“Kau?” aju Lila dengan
mata yang terbeliak sebaik berlaga mata dengan Jaad.
“Ap… apa yang kau buat
kat sini?” Tambahnya lagi dengan seribu persoalan di kepala.
Jaad bangkit tanpa
mempedulikan pertanyaan Lila. Punggungnya yang telah dikotori oleh debu dan
tanah akibat jatuh berguling-guling bersama Lila tadi segera dikuis-kuis.
“Lain kali, bila
berjalan tu… pandang kiri kanan. Ada mata guna. Bukannya pakai kepala lutut.
Menyusahkan orang!” Jaad menjerkah. Walaupun rasa marah masih lagi tersisa,
sedikit sebanyak dia merasa lega apabila mendapati Lila tidak apa-apa.
“Excuse me! Aku menyusahkan orang? Siapa? Kau?” Hati Lila kepedihan
mendengar jerkahan Jaad. Lelaki ini benar-benar melampau dan keterlaluan. Dia
tidak pernah meminta bantuan Jaad tetapi lelaki itu yang rela hati muncul di
depannya untuk menyelamatkannya. Jadi, adakah itu salah dia?
“Lila, mamat misteri…”
Jess berbisik rapat di telinga Lila tetapi terlebih dulu Lila menghentikannya
dengan cuitan di lengan. Wajah Jaad dipandang. Sudah banyak hari dia memikirkan
tentang lelaki ini. Baru hari ini Jaad muncul lagi di depannya dan berlagak
seperti seorang hero. Siapa sebenarnya lelaki ini?
“Kau siapa? Stalker ke?” Itu yang terlintas di
kepala Lila tatkala menatap wajah Jaad. Stalker.
Jika bukan, kenapa Jaad tiba-tiba muncul lalu menyelamatkannya daripada menjadi
mangsa kemalangan?
Jaad pula
memutar-mutarkan matanya. Stalker?
Huh, tak kuasa! Ada banyak lagi kerja berfaedah yang boleh dilakukannya
daripada menghabiskan masa untuk menjadi stalker
kepada perempuan ini.
“Nama aku bukan stalker. Aku Jaad. Dah hilang ingatan ke
apa kau ni?” Jaad mengesat-ngesat tangannya yang turut dipenuhi oleh debu dan
pasir. Berniat untuk beredar, langkah Jaad memegun kemudiannya apabila dihalang
oleh Lila yang sedang mendepakan tangan di hadapannya.
“Aku tahulah nama kau
Jaad. Kau dah beritahu aku malam tu. Tapi, kau siapa? Apa yang kau nak daripada
aku, Jaad?”
“Nothing,” balas Jaad bersama wajah toya dihadiahkan kepada Lila.
“Beritahu ajelah
perkara yang sebenar. Kau nak apa? Kenapa kau ikut aku?”
Jaad mendengus.
Sejujurnya, dia tidak mahu bertelagah mahupun bertikam lidah dengan Lila. Cukup
saja dia sudah melakukan perkara yang sepatutnya dia lakukan. Selebihnya, dia
tidak mahu ikut campur. Ada banyak lagi perkara yang boleh dia lakukan di dalam
dunia ini berbanding melayan Lila.
Jaad bergerak ke
keretanya yang diletakkan di hujung tapak parkir. Namun, sekali lagi langkahnya
ditahan oleh Lila. Jaad pula dengan selamba menepis tubuh Lila lalu meneruskan
langkah. Tugasnya telah selesai. Tiada apa-apa yang dia perlu jelaskan pada
Lila.
“Kau cakap betul-betul.
Kau siapa? Kenapa kau selamatkan aku? Masuk kali ni, dah dua kali kau muncul depan
aku tau!” Lila benar-benar merasa tidak puas hati. Sifat ingin tahunya
mencanak-canak naik. Rahangnya mula kelihatan naik turun menahan pelbagai rasa
yang menjentik hati.
“Betul kau nak tahu
siapa aku?” Jaad merenung tajam mata Lila seakan-akan mahu membahamnya seperti raja
rimba.
Lila mengangguk-angguk.
“Nama aku Jaad Hayder.
Cukup itu saja yang kau tahu. Clear?”
Jaad mendekatkan kepalanya dengan wajah Lila sehingga memaksa gadis itu berundur
setapak. Melihat wajah tegang Jaad, Lila menelan liur berkali-kali. Entah
kenapa dia melihat Jaad seperti seseorang yang bisa menghapus dan
melenyapkannya dari dunia ini. Jaad kelihatan sungguh menggerunkan!
Perasaan takut
menyelinap ke hati. Sehinggalah Jaad menghilang dari pandangannya, perasaan itu
tidak pernah surut-surut. Lila baru tersedar ada banyak perkara yang dia mahu
tanya pada Jaad tetapi semuanya seakan-akan berkubur apabila kereta yang
dipandu oleh lelaki itu keluar dari perkarangan fakulti.
“Oh my gosh! Lila, betulkan lelaki yang selamatkan you tadi tu
lelaki yang sama ada dalam video viral tu?” Jess menerpa Lila.
Lila pula merengus.
Memang Jaad lelaki misteri yang muncul di dalam video viral itu. Tetapi,
misteri seorang Jaad memerlukan jawapan dengan segera. Apa yang seharusnya Lila
lakukan untuk menghentikan teka-teki yang bersarang di kepalanya?
No comments:
Post a Comment