Setelah beberapa hari
berehat di rumah, baru kini Lila kembali menjalani rutin hariannya seperti
biasa. Beberapa kontrak kerjanya dengan beberapa pihak telah dibatalkan secara
rasminya setelah dia ke pejabat mereka dan mendapatkan pengesahan.
Walaupun semua cerita
yang bertebaran di media sosial itu merupakan fitnah terhadap dirinya, dia
tetap merasa tidak adil apabila dilayan dengan begitu teruk. Pesanan Puan
Dahlia kuat bergendang di telinga Lila buat kesekian kali sebaik dia teringat
tentang apa yang telah berlaku dan menimpanya.
‘Perkara
dah berlaku, Lila. Tak ada apa-apa yang boleh diubah lagi. Tapi, percaya cakap
umi. Lila masih boleh betulkan keadaan dengan memperbaiki diri. Tinggalkan
semua perbuatan yang mendorong ke arah maksiat. Buat solat taubat. Minta ampun
dekat Allah. Dan jangan lupa… minta kekuatan daripada Allah agar Lila mampu
hadapi semua ini.’
Puas dia menangis di
atas tikar sejadah, baru dia berasa lega. Mungkin ini balasan untuknya kerana
selalu melanggar hukum tuhan. Lila rasa terpukul dengan semua ini.
Baiki diri. Mulakan
hidup baru. Buktikan pada dunia bahawa dia berhak untuk mendapat peluang kedua.
Dan buktikan pada dunia bahawa dia juga berhak untuk menjalani hidup seperti
biasa tanpa dipengapa-apakan sama ada di media sosial atau pun di dunia nyata.
Selepas kelas pagi
berakhir, Lila menuju ke kafeteria yang terletak di aras G bangunan Fakulti
Perniagaan. Sedari jauh lagi dia sudah melihat kelibat Elisa dan Bella sedang
melepak di sebuah meja dalam kafeteria. Dia yakin kedua-dua mereka juga sudah
pasti baru habis kelas memandangkan mereka berdua mempunyai beberapa subjek
berbeza dengannya pada semester ini.
Sudah banyak hari dia
cuba menghubungi mereka berdua tetapi talian Elisa dan Bella sentiasa sibuk.
Mujur saja dia tergerak hati untuk singgah ke kafeteria ini. Berjodoh dia
dengan Elisa dan Bella setelah seminggu tidak bersua muka.
“Hey, babes. What’s up? Lamanya I tak dengar cerita
you berdua.” Tanpa dipelawa, Lila terus melabuhkan punggungnya di kerusi
berhadapan dengan Elisa dan Bella yang sedang berbual-bual.
Sebenarnya, dia risau
juga nak menegur mereka berdua. Risau kalau-kalau mereka tidak sudi untuk
berbual dengannya sejak kes tempoh hari. Apatah lagi apabila Elisa dan Bella
masing-masing meninggalkan group The
Gorgeous Armies secara tiba-tiba.
Elisa dan Bella yang
tidak bersedia menerima kehadiran Lila terus terkedu. Masing-masing menayang
wajah pucat. Malah, mereka saling berpandangan sesama sendiri seolah-olah
sedang bercakap dalam bahasa isyarat.
“Hai, Lila…” balas Bella
sedikit tergagap-gagap. Liurnya ditelan. Senyuman kelat ditayang.
“Kenapa you berdua
pandang I macam tu?” aju Lila setelah Elisa dan Bella melemparkan pandangan
semacam kepadanya.
“Erm, nothing!” Bella
menggeleng, sekadar beralasan. Sedangkan hatinya berkocak hebat tatkala melihat
Lila tiba-tiba saja muncul di hadapan mereka.
Ugutan dan amaran
lelaki misteri pada malam parti anjuran Amri tempoh hari masih segar lagi di
ingatannya. Entah kenapa sejak kejadian malam itu, hatinya sentiasa berasa
tidak senang tambah-tambah selepas dia mendapat berita bahawa Lila telah jatuh
sakit keesokan harinya.
“Erm, sorry Lila. We need to go. Kami berdua ada kelas
lagi lepas ni.” Elisa kalut mengemas buku-buku yang bersepah di atas meja.
Begitu juga dengan Bella apabila lengannya dicuit oleh gadis itu. Kelam kabut
kedua-dua gadis itu beredar setelah itu.
Lila pula hanya mampu menghantar
kelibat Elisa dan Bella berlalu dengan ekor mata. Ah, kenapa dengan mereka
berdua? Adakah mereka benar-benar sibuk dengan kelas atau sekadar mencari
alasan agar dapat menjauhinya? Mungkinkah mereka berdua telah termakan dengan
hasutan dan fitnah netizen yang tak sudah-sudah menjadikan cerita di parti itu
sebagai bahan gosip dan jenaka?
Baru beberapa minit
Elisa dan Bella berlalu, kini Lila nampak pula kelibat Amri dan teman-temannya
memasuki kafeteria. Lila bangkit. Langsung menuju ke arah lelaki itu. Dia mahu
bersemuka dengan Amri dan bertanyakan tentang hal yang terjadi.
“Am.”
Wajah Amri sedikit
berubah setelah melihat Lila muncul di depan muka. Segera dia mengisyaratkan
kepada teman-temannya agar meninggalkannya berdua dengan Lila.
“Lila, you nak apa?” Berpura-pura
bertanya sedang dia sudah tahu apa yang Lila akan perkatakan.
“Apa dah jadi pada malam
parti tu?”
“Apa yang dah jadi?” Sempat
Amri mengusap-usap pipinya yang pernah ditumbuk oleh Jaad. Walaupun lukanya
telah sembuh, tetapi parutnya masih kekal ada.
“You jangan buat-buat
tak tahu, Am. Video you usung I bawa masuk bilik tu dah tersebar pun tapi you
masih buat-buat tanya?” Lila melengking. Emosinya mula tidak terkawal. Video
yang ditontonnya berulang kali singgah di kepala menyebabkan dia terasa mahu naik
angin.
“Sini.” Amri mengheret
Lila agar menjauhi kawasan umum di kafeteria itu. Dinding yang terletak berdekatan
ruang tandas di situ didekati. Tubuh Lila ditolak sehingga berlaga dengan
dinding.
“You nak cakap apa ni,
Lila?”
“You cakap betul-betul,
Am! Apa yang you dah buat dekat I malam tu? Macam mana I boleh ada dengan you
kat dalam bilik tu?”
Amri tergelak mengejek.
Jadi, Lila mencarinya sekadar mahu melepaskan marah dan mencari salahnya? Huh,
nampaknya Lila benar-benar silap! Lila fikir semudah itu dia mahu mengaku?
Tidak sama sekali!
“You dah lupa ke? You
sendiri yang rela hati ikut I ke sana.”
“You jangan bohong,
Am!” Lila membulatkan mata. Geram dengan Amri mula membiak di hati. Mana
mungkin dia boleh mengikut Amri semudah itu ke sana? Kalau benar, sudah pasti
dia akan ingat segalanya. Masalahnya, dia tak ingat apa-apa.
Amri tersenyum
mengejek. Mendengar mulut comel Lila meninggi-ninggikan suara kepadanya
menyebabkan dia terasa mahu menutup mulut Lila menggunakan bibirnya. Biar Lila
tahu berhenti.
“Kalau you tak percaya,
terpulang. Tapi… kalau you nak tahu, malam tu… kita berdua benar-benar enjoy, Lila. You hot sangat malam tu!” Bibir Amri didekatkan ke telinga Lila sebelum
menarik senyuman lebar.
“You ni… urgh!” Lila menolak
dada Amri. Geram mendengar kata-kata dustanya. Dia tahu Amri hanya berbohong.
Dia dapat merasakannya. Dia tahu yang mereka tidak melakukan apa-apa pun di
bilik tersebut. Dia sangat yakin walaupun fitnah sudah bertebaran merata-rata.
Amri gelak mengejek sambil
mata memerhati langkah Lila ke tengah kafeteria. Puas hatinya dapat menghuru-harakan
emosi Lila. Walaupun dia tidak sempat menjamah tubuh gadis itu, melihat Lila
naik angin begini cukup membuatkan dia berasa puas.
Di sepanjang jalan
menuju kembali ke meja yang ditinggalkan, Lila tersedar beberapa pasang mata
sedang tertumpu kepadanya. Dia sekadar menjeling, mendengus dan terus
menghempaskan duduk ke kerusi menahan geram.
Pandangannya berlaga
dengan Amri yang mula bergerak masuk. Dipandang tajam wajah lelaki itu yang
sudah duduk di sebuah meja bersama kawan-kawannya. Sakit hati sungguh apabila
melihat gelagat Amri yang bagaikan tidak terkesan dengan video yang tersebar
itu. Amri kelihatan sedang bergembira dengan rakan-rakannya. Nampak lebar
senyumannya. Malah ketawanya yang melantun kuat juga membingitkan telinga Lila.
Benci!
Lila memeluk tubuh lalu
melemparkan pandang ke arah lain. Sudahlah sakit hati, sekarang dia sakit mata
pula hadap perangai Amri. Sedang melayan perasaan yang berbaur, dia dikejutkan
pula dengan suara sok-sek sok-sek sekumpulan pelajar yang baru
saja melangkah masuk. Ada yang memandangnya sambil melemparkan senyuman sinis,
ada yang saling menyigung sesama sendiri dan ada yang mula berbisik-bisik sebelum
ketawa-ketawa. Malah, ada yang mula melemparkan jelingan dan cebikan meluat
seolah-olah Lila baru saja melakukan satu dosa yang tidak boleh diampunkan
sampai bila-bila!
Lial sentap! Sakit
hati! Geram!
“Lila!” Jess tiba-tiba
saja muncul di depan mata Lila.
“Jess.” Melihatkan
wajah Jess, hati Lila yang pedih dan terluka berasa sedikit lega.
“You dari mana?”
“I dari kelas la, babe. Pagi tadi Doktor Muaz buat kuiz
mengejut. Nasib baik I yang tak mati terkejut. Sudahlah I tak sempat study apa-apa pun. Haih!” Jess membebel
tidak puas hati.
“Eh, nasib baik tau!”
tiba-tiba Jess bersuara ketika Lila sedang mengelamun.
“Kenapa?”
“Puas I cari you tau, Lila.
I call you banyak kali tapi sampai
sudah you tak jawab. Nasib baik I terserempak dengan Bella dan Elisa. Diorang
yang beritahu I yang you ada kat sini.” Panjang lebar Jess menerangkan sehingga
Lila tersenyum kecil padanya.
“Sorry, bateri telefon I dah flat.
I terlupa nak cas. Powerbank I pula
tertinggal.”
“Jess.” Lila menyeru
nama Jess setelah lama terdiam dan menyepikan diri.
“Hmm?”
“You tak benci I, kan?”
“Kenapa I kena bencikan
you pula?” Jess ketawa-ketawa.
“Pasal apa yang dah
terjadi pada I.” Lila menjulingkan mata. Alahai, Jess. Dia tak faham atau
buat-buat tak faham?
“I tak ada sebab untuk
bencikan you. I kenal you lebih daripada orang lain. You tahulah kan macam mana
perangai keyboard warrior? Diorang
boleh tulis dan cakap apa-apa saja yang diorang suka sedangkan diorang tak tahu
apa-apa pun. Kenal you pun tidak, tapi masih berani nak bercakap bukan-bukan
pasal you. Alah, you jangan risau. Jangan pedulikan sangat pasal netizen dan onion armies yang lebih sudu dari kuah
tu!” Jess ketawa menyebabkan Lila turut hendak ketawa.
Ini yang dia paling
suka dengan Jess. Seorang kawan yang positif dan tidak kesah apa yang orang
hendak kata. Pendirian Jess teguh untuk berada di sisi Lila ketika susah mahu
pun senang. Dia benar-benar lega mendengar kata-kata Jess.
“Maknanya, you tak
percaya bulat-bulat pada video yang tersebar tu?”
“Video yang mana satu?”
“Jess!”
“Okay, fine. I gurau
ajelah. Pasal video tu… tengok boleh tapi percaya jangan. Lagi pun, I rasa
video tu video edit kut! Macam over
sangat. Ni mesti geng-geng kaki fitnah yang sengaja buat video tu untuk
menjatuhkan you.”
Lila terdiam. Video edit
kata Jess? Entahlah! Tapi, kalau ditenung betul-betul… dia tak rasa semua itu
edit. Dia yakin ada seseorang yang sengaja merakam kejadian itu lalu menyebarkannya.
“Tapi, I pelik. Macam
mana you boleh ikut Amri ke bilik tu? Dan macam mana lelaki misteri tu tahu you
dengan Amri ada kat sana?” Mata Jess membulat. Mula nak mengorek cerita lagi
daripada Lila walaupun dia sudah sedia maklum apa yang terjadi.
Lila menjatuhkan mata
ke arah Amri yang sedang bergembira dengan rakan-rakannya.
“Kurang ajar betul si
Amri ni. Dia kata malam tu, I dengan dia dah enjoy puas-puas. Dia beritahu yang I dengan rela hati ikut dia
masuk ke bilik tu. Sumpah, Jess. I tak ingat apa-apa. Takkan you pun tak nampak
apa-apa?”
Jess menggeleng. Dia
pun tak sedar bila masa Lila hilang dari pandangannya. Ketika itu, dia sibuk berseronok
sehingga lupa orang di keliling. Tapi, beberapa ketika kemudian keadaan di vila
itu mulai kecoh apabila dia melihat kelibat tiga lelaki asing keluar dari vila
membawa Lila bersama. Selebihnya, dia memang tak tahu apa-apa.
“Amri cakap apa lagi?”
Lila menggigit bibir.
Rasa geramnya mencanak naik. Perlahan-lahan Lila menggeleng.
“Nasib baik ada lelaki
tu,” ujarnya separa sedar.
No comments:
Post a Comment