Wednesday, 17 April 2019

Dear Lila 1



843 k followers. 167 following. 2794 posts.

Gambar terbaru berlatarbelakangkan Dubai Miracle Garden yang baru saja dimuat naik pantas mencanak-canak menerima jumlah like. Dalam seminit, sudah lebih 10 ribu tanda love terhias di pandangan.

_itsdamien Hey, beautiful!
roykhalil You look so pretty, Lila!
sophieamora111 Amazing! Beautiful flowers and the beautiful person!

Lila tersenyum senget membelek skrin telefonnya. Melihat ribuan netizen yang menurunkan komen dan memberikan like pada gambar dirinya yang sedang bercuti di Dubai ketika cuti semester berlangsung sudah jelas-jelas membuatkan hatinya kembang setaman. Seketika, butang live ditekan dan mula berinteraksi dengan para pengikutnya di laman Instagram.

Pujian demi pujian diterima. Bangga apabila menjadi perhatian orang. Terasa dirinya begitu beruntung kerana memiliki kecantikan semulajadi yang mampu membuatkan sesiapa saja tidak lekang memuji. Disebabkan kecantikan inilah, mudah saja dia mencuri tumpuan lensa kamera.  

Walaupun baru setahun  jagung, dia sudah berjaya mencipta rekod sebagai instafamous paling popular pada tahun lepas sehingga berjaya menjana pendapatan lumayan melalui medium itu. Malah, kerjaya sebagai model sambilan juga berjaya membuatkan Lila berada di dalam kelas yang tersendiri.
Lila bahagia! Sekurang-kurangnya, dia dapat mengurangkan rasa kosong yang bermukim di hati.

“Dik, bahagian atas tu senget! Hah, betulkan sikit. Sikit aje!” Suara dari luar Mini Cooper mencuri tumpuan Lila. Pantas ditamatkan sesi live di Instagram dan memboloskan diri dari perut keretanya. Wanita yang sedang berdiri tidak jauh dari sebuah premis kedai didekati. Hairan dibuatnya. Apa yang dilakukannya di premis bersebelahan Lila’s Café?
“Umi buat apa ni?” Lila menjongketkan keningnya, merenung tampang Puan Dahlia yang kelihatan bersungguh-sungguh. Rasa tertanya-tanya Lila semakin bercambah apabila melihat senyuman yang dilemparkan oleh Puan Dahlia kepadanya. Sesekali matanya dilarikan ke arah dua orang pekerja lelaki yang sedang berpaut pada tangga yang diletakkan di hadapan pintu masuk ke premis tersebut.

“Ni haa… umi tolong budak-budak ni. Umi nampak papan tanda ni senget, jadi umi tolonglah beritahu diorang.” Puan Dahlia membalas.

“Lila dah habis kelas ke?” Wajah Lila dipandang.

Lila hanya tersengih bersahaja kepada Puan Dahlia, ibu saudaranya yang dipanggil umi itu. Ya, memang dia baru saja selesai menghadiri kuliah. Dia sengaja singgah sebentar ke Lila’s Café milik Puan Dahlia ini untuk membantu wanita itu sementara menanti call time yang telah diberikan oleh Butik Rhia, iaitu butik yang telah menggajikannya untuk menjadi model pakaian mereka.

“Dah umi. Tapi petang nanti Lila ada photoshoot. Lila singgah sekejap aje kat sini.”

“Hah, elok sangatlah tu. Lila masuk ke dalam tolong umi ya?” Puan Dahlia menolak-nolak bahu gadis itu sehingga membuatkan Lila mengerutkan kening.

“Ada apa-apa yang Lila tak tahu ke, umi?” Sempat lagi Lila mengeraskan tubuh di pertengahan kaki lima kedai. Bukannya dia tidak mengenali Puan Dahlia. Ini Lila la! Sekilas ikan di air pun dia sudah tahu yang mana satu jantan dan yang mana satu betina. Inikan pula wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri. Pastilah ada apa-apa ni!

 “Dah dekat dua jam budak lelaki tu duduk dekat dalam kafe. Dia tak nak order apa-apa selagi Lila tak muncul. Lila pergilah layan dia. Ambil order dia. Umi tak sampai hati pula tengok dia tercongok seorang diri macam patung. Pergi… pergi…”

“Dia datang lagi?”

“Iya, pergilah!”

Lila mengetap bibir. Haih, buat hal la dia ni!

Pantas Lila masuk dan menyarungkan apron. Kemudian, disanggul tinggi-tinggi rambut panjang mengurainya sebelum tercegat di meja kaunter sambil memerhatikan meja yang terletak paling hujung, berdekatan dengan cermin kaca yang memisahkan kafe dengan ruang kaki lima yang menjadi tempat lelaki itu menanti dirinya.

Sejak dua bulan yang lalu, di situlah tempat kegemaran lelaki yang sampai ke hari ini Lila tak tahu namanya itu. Berseorangan menatap komputer ribanya, itu perkara yang biasa dilakukan ketika berkunjung ke sini.

Sejujurnya, Lila sendiri tidak mengetahui kenapa dirinya menjadi pilihan lelaki itu untuk melayannya sebagai pelanggan kafe. Sedangkan ada ramai lagi pekerja Puan Dahlia yang boleh mengambil pesanan dan melayannya. Pelik!

“Lila, apa yang dok tercegat lagi dekat situ? Pergilah ambil pesanan mamat tu! Kak Nony dah naik rimas tengok dia dekat situ tau!” Kak Nony salah seorang pembantu yang bekerja di Lila’s Café tiba-tiba saja menampar bahu Lila.

“Hah, yalah!” Ipad di hadapannya pantas dicapai dan berlalu untuk mengambil pesanan si dia.

Lila berhenti di hadapan meja lelaki itu. Dari atas sehinggalah ke bawah paras lelaki itu dipandang oleh Lila. Orangnya memang kacak! Alis matanya tebal. Hidungnya mancung malah bibirnya yang merah basah itu terletak cantik. Ada sedikit jambang halus yang menghiasi di sekitar rahang dan dagunya. Penampilannya kelihatan kemas walaupun hanya mengenakan jeans dan t-shirt berkolar. Rambutnya malah dirapi dengan gel rambut. Ditambah pula dengan wangian maskulin yang dipakai membuatkan dia kelihatan seperti lelaki urban yang mempunyai pakej lengkap untuk menjadi kegilaan para gadis.

“Hai, boleh I ambil order?” Lila memaniskan muka dan melembutkan suara setelah puas mengintai paras si dia.

Dia mendongak mencari wajah Lila. Mukanya kelihatan tenang-tenang saja apabila melihat Lila muncul di depan mata.

“Lila.” Tuturnya lembut dan perlahan.

Yes, Lila is here! Encik nak minum apa?” Lila sengaja melebarkan senyuman. Sedari awal lagi Lila sudah sedia maklum yang lelaki di hadapannya ini tahu namanya. Maklum sajalah, diakan instafamous. Siapa saja yang tidak mengenali Leyla Darlina?

Cappucino blended, please. And…”

Bread pudding!” Lila lekas-lekas memotong kata-katanya.

Lila menyengih. Sebenarnya, sejak awal lagi dia sudah tahu apa menu yang akan dipesan oleh lelaki ini. Setiap kali dia berkunjung ke sini, itulah menu pilihannya sehingga Lila sudah boleh menghafalnya.

Dia sekadar tersenyum kepada Lila.

“Okey, tunggu sekejap ya encik.” Lila memasukkan pesanan ke dalam senarai pesanan di dalam Ipad.

“Lila, dia cakap apa dengan kau?” Tiba-tiba saja Kak Nony mengepoh sebaik Lila tiba ke meja kaunter.

“Tak ada cakap apa-apa. Nah, Lila dah ambil pesanan dia. Selebihnya, Kak Nony uruskan!” Arahan diberi kepada Kak Nony memandangkan wanita itu kelihatan tidak begitu sibuk. Lagi pun, Lila sungguh-sungguh malas mahu berlama-lama di sini melayan gosip Kak Nony. Nanti melalut jadinya. Tak pasal-pasal nanti bila gajinya dipotong, mulalah dia merungut. Dan Lila la yang akan menjadi orang pertama yang terpaksa mendengar rungutannya itu. Ah, tak kuasa!

“Eh, Lila nak ke mana tu?”

“Belakang. Kenapa?” Sempat dipandangnya tangan Kak Nony yang sedang melingkar di lengannya.

“Jangan lupa hantar pesanan mamat tu!”

Lila menepuk dahi. Aduhai! Dia sungguh-sungguh terlupa. Lelaki itu memang sejenis manusia yang semua benda mahu Lila buat untuknya. Daripada mengambil pesanan, menghantar pesanan sehinggalah menerima bayaran… semuanya Lila yang akan buat.
Jadi, menurut teori Lila… lelaki itu mungkin merupakan salah seorang daripada pengikutnya di laman Instagram yang cuba mencuri tumpuan Lila. Tapi, apa nama akaun Instagram yang digunakan oleh dia ek? Lila mengetuk-ngetuk dagu sendiri, mencari jawapan.

“Lila.” Nama Lila sekali lagi diseru setelah pesanan dihantar ke meja si dia.

“Ya?”

“Terima kasih.”

“Sama-sama kasih.” Lila senyum. Tetapi di hati terpalit dengan rasa kehairanan yang sedikit memuncak. Kerana di setiap kali lelaki ini membuka mulut, nadanya kedengaran semacam saja di gegendang telinga Lila. Selain daripada kesayuan, terselit bunyi seperti marah dan penuh misteri. Entah! Lila tak tahu nak menggambarkan nada suara lelaki ini. Tapi, mengikut apa yang didengarinya… sebegitulah!

Enjoy your dessert.”

Lila menghadiahkan senyuman nipis kepadanya. Dalam diam, Lila masih cuba berteka-teki. Mungkinkah dia ada masalah keluarga? Atau masalah cinta? Ah, apa-apa sajalah Lila!

***

Hey, babe. Jadi ke you pergi parti hujung minggu ni? - Jess

Satu mesej dalam kotak WhatsApp masuk ke peti telefon Lila. Nama Jess naik di skrin telefon. Group WhatsApp The Gorgeous Armies yang tadinya sepi mula berubah rentak.
Parti? – Lila

Oh my goshhh! You jangan main-main, babe! You dah lupa atau buat-buat lupa ni? – Bella

Serius, I lupa. Parti siapa yang kita kena pergi? – Lila

Parti Amri… - Elisa

Oh, gosh! I terlupa. Sorry. – Lila

So? – Jess

What? – Lila

Jadi tak? – Jess

Hey, come on! Ini Lila kut! Mestilah I pergi. Kucing tak akan tolak ikan tau! Tapi, kenapa? Ada apa-apa yang I lupa lagi ke? – Lila

Yes! Tapi… - Jess

Why, babe? Any problem? – Lila

Hey, of course la semua orang ada problem! – Bella

Kita semua tak ada pakaian baru nak ke sana! Oh my god! Macam mana ni, girls? – Jess

Oh my mama! – Bella

Auchhhh! – Elisa

Jom shopping! – Jess, Bella, Elisa

Lila menepuk dahi selepas membaca mesej-mesej teman-temannya. Amboi, bukan main lagi mereka ni! Kalau bab parti, bab shopping, bab lelaki… tak pernahnya lupa! Bila bab pelajaran, semua buat-buat tak ingat! Huh!

Lila mengetuk dahi. Macam mana dia boleh terlupa bab yang satu itu? Mungkin sebab sibuk sangat menguruskan hidup membuatkan dia terlupa pada banyak perkara. Dalam usia yang baru menginjak 19 tahun, dia terpaksa melakukan banyak perkara dalam hidupnya. Manakan mahu menjadi seorang pelajar, selebriti media sosial dan juga membantu Puan Dahlia memasarkan jenama Lila’s Café.

Sedangkan hakikat yang sebenarnya, Lila tidak perlu melakukan semua itu kerana dia sememangnya dilahirkan di atas dulang emas. Namun, sejak mommynya Datuk Katrina sering ke luar negara atas urusan perniagaan, Lila mengambil keputusan untuk menyibukkan diri dengan pelbagai perkara semata-mata demi melenyapkan segala kekosongan yang ditinggalkan oleh mommynya.

Mujur sajalah ada Puan Dahlia. Selepas wanita itu bersara beberapa tahun lepas, dia membuat keputusan untuk membuka sebuah kafe comel yang diberi nama Lila’s Café sempena nama Lila untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh arwah suami dan anak lelakinya yang meninggal dunia dalam sebuah kemalangan jalan raya sepuluh tahun lepas.

Sejak kehilangan insan-insan tersayang, kepada Lila dan Datuk Katrinalah dia menumpahkan kasih dan sayangnya. Malah, Lila dianggap seperti anak sendiri. Kasih sayangnya sesekali melebihi kasih yang Datuk Katrina berikan kepada Lila sehingga Lila menganggap Puan Dahlia jauh lebih memahami dan menyayangi dirinya berbanding mommynya sendiri. Tambah-tambah sejak Lila membuat keputusan untuk menjadikan rumah Puan Dahlia sebagai rumah keduanya kerana tidak mahu keseorangan di vila besar milik Datuk Katrina.

Setelah berbual melalui aplikasi WhatsApp dan video call dengan teman-temannya, Lila menutup telefon dan berniat untuk tidur kerana badannya terasa letih setelah seharian ke sana ke mari.

“Lila…” Suara Puan Dahlia kedengaran dari luar pintu bilik ketika Lila sedang menepuk-nepuk bantal empuknya di kepala katil.

“Ya, umi? Masuklah. Pintu tak berkunci.” Dia bangkit dari perbaringan lalu memeluk bantal goleknya.

“Ada apa, umi?” Sempat Lila melirikkan pandangan ke arah jam di dinding bilik tidurnya. Sudah melewati jam dua belas tengah malam. Ada apa Puan Dahlia muncul di depan muka pintu bilik?

“Macam mana siang tadi? Umi tak sempat nak tanya pada Lila sebab umi sibuk sikit dengan jiran baru kafe kita.”

“Umi cakap pasal apa?” Lila menggaru-garu belakang kepala. Tiba-tiba saja otaknya terasa seperti gagal memproses pertanyaan Puan Dahlia.

“Umi cakap pasal lelaki itulah. Lelaki yang selalu minta Lila serve dia setiap kali dia datang ke Lila’s Café.”

“Oooohhh!” Melopong mulut Lila apabila teringat pada lelaki di Lila’s Café siang tadi.

“Macam biasalah umi. Itulah, siapa suruh umi sibuk sangat dengan jiran sebelah sampai terlupa pada hal ehwal kafe sendiri?” Sengaja dia mengusik Puan Dahlia.

“Amboi, kemain perli umi ya?” Pantas tangan Puan Dahlia ternaik mencuit pinggang Lila.

“Mana ada perli.”

“Alaaa… umi bukan apa. Umi sekadar nak berbaik-baik dengan jiran-jiran kita. Lagi pun, pemilik premis tu baik orangnya. Berbudi bahasa dan hormatkan orang tua. Tutur katanya pun lembut. Suka umi dengar. Tapi, sayang betul sebab umi tak sempat nak kenalkan dia pada Lila.”

Lila memutar-mutarkan bebola matanya. Berkenalan? Alah, lain kali sajalah! Tak kuasa sungguh dia mahu memikirkan hal yang remeh-temeh begini. Lambat laun pasti dia akan kenal juga siapa pemilik premis berkenaan.

“Erm, tadi mommy Lila ada telefon umi.” Sebaik saja mendengar perihal Datuk Katrina meluncur dari bibir Puan Dahlia, pantas Lila mendengus.

“Mommy call? Dia cakap apa?”

“Mommy Lila tanya umi pasal Lila la.”

“Kenapa dia tak call Lila terus?”

“Agaknya, dia tak mahu mengganggu Lila. Lagi pun, Lila kan asyik sibuk aje.”

“Dia ada cakap bila dia nak balik?”

“Tak ada pula.”

Terlepas keluhan dari bibir Lila. Sedikit berkecil hati dengan Datuk Katrina yang sering melebihkan perniagaan berbanding anak sendiri. Jadi, tak salahkan kalau Lila mencari bahagia dengan cara tersendiri?

“Umi tak mengantuk lagi ke? Dah lewat malam ni.”

“Belum mengantuk. Lagi pun, umi tengah tunggu kek masak kat dapur tu!” Suara Puan Dahlia kedengaran sangat teruja. Bersinar-sinar terang matanya bila menuturkannya. Lila yang hampir saja lagi terlelap segera mencelikkan mata apabila mendengar nada suara Puan Dahlia.

“Umi buat kek?”

“Iya.”

“Umi… dah lewat malam ni. Bila nak berehat? Esok kan masih ada?”

“Alah, setakat buat kek apalah sangat? Lagi pun umi tak boleh tidur dengan tenang selagi umi tak mencuba resipi baru.”

Pulak dah? Lila menepuk wajah sendiri. Haih, uminya ini memang langsung tak boleh duduk diam. Waktu tidur pun mahu dikorbankan semata-mata kerana hobi dan minatnya.

“Esok Lila sibuk tak?” Puan Dahlia bertanya lagi ketika dia hendak bergerak keluar dari bilik Lila.

“Sibuk macam biasalah, umi. Lepas kelas petang, mungkin Lila boleh singgah sekejap dekat kafe. Kenapa, umi?”

“Umi nak kenalkan Lila dekat jiran baru kita.” Puan Dahlia tergelak-gelak.
Sekali lagi Lila memutarkan bebola matanya. Amboi, umi! Dah berkenan sangat dengan jiran baru tu nampak?

Setelah Puan Dahlia beredar, Lila duduk termenung di atas katil. Wajah Datuk Katrina menari-nari di ruangan mata.

Sampai bila mommy nak tinggalkan Lila? Sampai bila mommy nak dahulukan kerja-kerja mommy berbanding Lila? Sampai bila, mommy? Lila letih. Terlalu letih. Lila takut hati Lila dah tak mampu nak tanggung semua ni. Bila masa itu tiba, Lila harap yang mommy tak akan pernah menyesal dengan pilihan mommy.

Tap! Lampu di tepi katil ditutup. Begitu juga dengan kamus hariannya. Dia akan tutup sekali kerana dia sangat letih. Dia hanya mahu bertemu dengan mimpi dan juga bintang-bintang yang sedang menantinya. Hal ehwal Datuk Katrina diletak ke tepi. Sekejap saja, Lila telah berlayar ke alam mimpi.

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...