Muzik rancak kedengaran
di segenap arah. Lila tiba di Vila Seroja, sebuah vila yang telah disewa oleh
Amri khas untuk dijadikan tempat parti anjurannya berlangsung. Bersama-sama
teman-teman rapatnya, Lila melangkah masuk bersama gaya dan pesonanya sehingga
membuatkan segenap lapisan manusia yang berada di situ menoleh memandangnya. Di
kalangan mereka berempat, Lila yang paling menonjol. Dengan kecantikan semula
jadi yang dimilikinya membuatkan dia paling menjadi perhatian.
Dress
ketat berwarna keemasan yang menonjolkan sebahagian paha putih gebunya menjadi
pilihan. Rambut yang panjang didandan rapi. Solekan yang dikenakan di wajah
juga sedikit tebal. Sedikit hiasan di leher serta di tangannya sangat
menyerlahkan kecantikannya pada malam itu. Apatah lagi dilengkapi dengan kasut
tumit tinggi berjenama mewah Cristian Louboutin yang tersarung di kakinya
menyebabkan gaya Lila benar-benar mencuri tumpuan.
Lila menuju ke ruang di
bahagian tengah vila setelah melewati kawasan kolam renang. Disambut dengan
beberapa orang anak muda yang sedang terkinja-kinja di lantai tari, Lila merasa
malam ini bakal menjadi miliknya!
Beberapa gelas Coke
dihulur kepada Lila bersama sedikit makanan ringan. Sambil menikmati alunan
muzik yang dimainkan oleh DJ yang bertugas, Lila berseronok dengan
teman-temannya diikuti perbualan dan gosip terkini.
“Hai, Lila.” Terdengar
sapaan Amri yang muncul secara tiba-tiba di hadapannya. Gelas Coke yang berada
di tangan pantas diletakkan ke atas meja. Senyuman mesra dihulurkan kepada
lelaki itu.
“Hai, Am.”
“Ingatkan you tak jadi
datang,” balas Amri sambil merenung wajah Lila dengan senyuman sengetnya.
“Mana boleh tak datang.
Anyway, thanks for inviting me.” Lila tersengih bersahaja. Gila tak
datang? Parti kut! Daripada dia duduk di rumah tak buat apa-apa, lebih baik dia
ke sini dan menikmati sepuas-puasnya keseronokan yang dihidangkan.
“Thank you for coming, darling!” Amri mengeyitkan mata. Hampir saja
lagi dia mencuit hujung dagu Lila, lekas-lekas gadis itu menepis lembut sebelum
mencapai semula gelas di atas meja.
Amri tergelak. Tubuh
Lila diratah dengan mata semahu-mahunya dari hujung rambut sehingga ke hujung
kaki. Sempat juga dia melagakan matanya dengan mata Elisa yang berada
bersebelahan Lila. Tersungging satu senyuman kecil buat gadis itu lalu dibalas
oleh Elisa.
“Please enjoy the party, girls!” Amri bersorak lalu melagakan gelas
yang dibawanya dengan gelas milik Lila, Elisa, Bella dan juga Jess.
“You look gorgeous, darling.” Amri merapatkan tubuhnya dengan Lila
lalu mendekatkan bibirnya ke telinga gadis itu. Berbunyi dalam suara Amri ketika
mengucapkannya seolah-olah cuba menggoda Lila.
“Yeah, I know. As always!”
Lila tergelak. Amri tidak beritahunya pun dia sudah sedia maklum.
Amri tersenyum lagi.
Yeah, as always… balasnya di dalam hati. Setelah muzik semakin rancak
berkumandang ke segenap arah, keadaan di ruang vila tersebut menjadi semakin
gamat. Suasana bertukar gelap dan cerah bersilih ganti. Lampu-lampu disko yang
dipasang menyebabkan keadaan di situ saling tidak tumpah seperti berada di
sebuah kelab malam. Bingit. Dan. Bising.
Sebaik saja lagu Taki
Taki mengambil alih ruang pendengaran, Lila pantas diajak ke tengah ruang yang
luas itu oleh Bella untuk berdansa diekori oleh Jess. Suara DJ dan hos parti
sesekali mencuri ruang di gegendang telinga Lila. Sejurus saja melihat Lila sedang
leka di lantai tari, Elisa segera menyelinap di antara celahan tetamu lantas
masuk ke sebuah bilik. Di situ, Amri sudah bersiap sedia menantinya.
“Mana benda tu?” aju
Elisa dengan nada yang sedikit cemas.
“Relaks. Ada dengan I.
Kenapa muka you pucat semacam aje ni?” Amri menghampiri Elisa dan menyentuh
wajah gebu gadis itu.
“Urff, Am! You dah tahu
jawapannya, kan? Buat apa tanya I lagi?” Elisa menolak tangan Amri dari meraba
wajahnya. Suaranya kedengaran bergetar-getar. Perasaan cuak mula menyelinap masuk
ke hati kecilnya.
Amri pula ketawa-ketawa
kerana berasa sedikit terhibur melihat gelagat Elisa.
“Elisa… Elisa. Chill, sayang.” Semakin Elisa
mempamerkan wajah cuak semakin kuat Amri ketawa.
Perlahan-lahan Amri
mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya lalu meletakkannya ke atas telapak
tangan Elisa.
“Pastikan dia minum,
El.”
Elisa membelek peket
plastik berisi beberapa biji pil berwarna putih yang merupakan sejenis dadah.
“You nak I masukkan
semua ni dalam minuman dia?”
Amri menyerlahkan
senyuman sengetnya sambil menjongketkan kening tanda yang dia mahu Elisa
melakukan seperti apa yang disuruhnya.
“You tak rasa banyak
sangat ke? I bukan apa. I takut kalau-kalau dia overdose. Kalau jadi apa-apa kat dia, macam mana?”
“Oh, come on El! Ini baru
sikit aje. You cuma masukkan ke dalam minuman dia dan buat dia tertidur sampai
pagi esok. That’s all!” Amri menolak
tangan Elisa mendekat dengan dada gadis itu dan meminta agar Elisa melakukan
seperti apa yang telah dirancangkan.
Harapannya sangat besar
dan menggunung tinggi. Dia sudah dapat membayangkan bagaimana keadaannya nanti
apabila hasratnya menjadi kenyataan!
“Okay, you can count on me!”
Elisa tersenyum setelah merasa yakin dengan kata-kata Amri.
“Hei, El!” Sebelum
Elisa bergerak keluar dari bilik tersebut, lengannya ditarik oleh Amri sehingga
dia terdorong ke dalam dakapan lelaki itu. Mereka sempat melagakan bibir selama
beberapa saat sebelum Amri menghadiahkan satu kenyitan mata kepada Elisa.
“Pastikan semua yang
dirancang berjalan dengan lancar, El.” Amri berpesan lagi.
Satu demi satu lagu
bertukar. Lila masih kekal berada di lantai tari terliuk lentok menghayati
muzik. Entah kenapa tenaganya menjadi luar biasa malam ini. Sesekali dia
menggoyangkan kepala, sekejap-sekejap dia melenggok-lenggokkan pinggulnya
mengikut rentak. Begitu juga dengan Jess dan Bella yang hanyut dalam
keseronokan duniawi yang dicipta.
“Babe, jom ke sana.
Kita minum dulu!” Tidak semena-mena saja tangan Lila ditarik oleh Bella menuju
ke sebuah meja bulat yang diletakkan di pinggir kawasan lantai tari. Nafas
masing-masing kedengaran sedikit mencungap.
Elisa pula sudah
bersiap sedia menanti mereka di situ. Beberapa gelas berisi Coke segera
dihulurkan kepada Jess dan Bella. Manakala satu lagi gelas Coke yang telah
dicampur dengan pil pemberian Amri tadi disua kepada Lila. Tanpa curiga, pantas
saja gadis itu meneguk minumannya sehingga licin. Dengan tidak membuang masa,
Lila kembali ke lantai tari bersama Jess lantas terus mencipta keseronokan.
Bella dan Elisa yang
kekal di situ hanya saling berbalas pandangan. Ada senyuman yang sedang memekar
di bibir masing-masing.
Lima minit berselang,
kepala Lila mula terasa berdenyut. Dunianya mula kelihatan berpusing-pusing.
Lantai tari yang dipijaknya terasa bergegar dan bergoyang-goyang seperti sedang
dilanda gempa bumi. Muzik yang mencuri masuk ke gegendang telinganya pula
semakin lama terasa semakin perlahan. Pandangannya juga mulai kelam.
Lila pantas menyentuh
kepala. Hampir saja lagi dia menarik Jess yang sedang tergedik-gedik menari
tidak jauh daripadanya, terlebih dahulu Elisa mendapatkannya lantas memeluk
batang tubuh Lila. Lila semakin terhuyung-hayang. Bella pula bertindak dengan
menjauhkan Jess daripada Lila lalu mengalihkan perhatiannya sementara Lila
dibawa keluar dari kawasan lantai tari.
“Lila, are you okay?”
Sengaja Elisa bertanya setelah melihat keadaan Lila yang sudah terhuyung-hayang.
“I don’t think so. Tak tahulah kenapa tiba-tiba saja I rasa pening,”
jawab Lila dengan suara yang sedikit bergetar.
Elisa mengulum
senyuman. Nampak gayanya, pil yang telah dimasukkan ke dalam minuman Lila sudah
mula bertindak balas. Pantas dipapahnya tubuh Lila menuju ke satu lorong yang
sedikit lengang.
Lila pula semakin
berasa pening. Dia tidak mampu memikirkan apa-apa pun kerana kepalanya terasa
seperti dicucuk-cucuk dengan sesuatu. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku
kepada dirinya.
Berselang dua minit
kemudian, Lila terus terkulai di pangkuan Elisa dan tidak sedarkan diri. Ketika
itu juga Amri datang menghampiri mereka lalu membawa Lila naik ke sebuah bilik
yang terletak di tingkat dua vila berkenaan. Dikuncinya pintu bilik sejurus
saja masuk ke sana. Tubuh Lila lantas dicempung dan diletakkan ke atas katil
dengan perlahan-lahan.
Dari bawah sehingga ke
atas tubuh Lila dijilat oleh mata nakal Amri. Nafasnya mula tidak teratur
apabila melihat sekujur tubuh yang menggiurkan sedang berada di hadapan
matanya. Lila kelihatan seperti sedang tidur dengan tenang walau hakikatnya
gadis itu sudah tidak sedarkan diri kerana telah didadahkan. Bunyi nafas Lila
sangat perlahan, meyakinkan Amri bahawa gadis itu benar-benar sudah tidak
sedarkan diri. Malahan, paha putih gebu milik Lila yang sedang terdedah di
hadapan matanya benar-benar membuatkan dirinya hampir dihambat kegilaan yang
maha dahsyat!
Sudah lama sebenarnya
dia mengidamkan saat ini. Saat di mana Lila tunduk dan menyerah kepadanya.
Sudah sekian lama dia menginginkan Lila. Tetapi, kemahuannya sentiasa ditepis
dengan sikap jual mahal Lila.
Baginya, Lila itu
umpama jinak-jinak burung merpati. Nampak saja seperti mesra dan mudah didekati
tetapi apabila dia cuba menghampiri, laju saja Lila menjauhi. Lila benar-benar telah
mencabar keegoan dan kesabarannya!
Disebabkan rasa
terbakar dengan sikap Lila, dia mencari jalan agar dia benar-benar dapat
memiliki gadis itu dan menjadikan Lila sebagai hak mutlaknya. Akhirnya,
penantiannya selama ini tertunai juga malam ini atas bantuan Elisa. Malah, dia
yakin yang Lila takkan mampu melarikan diri daripadanya lagi sebaliknya Lila
akan terus tunduk, berlutut dan merayu-rayu kepadanya. Ya, itu yang dia
mahukan! Dia mahu Lila tunduk dan menyerah kepadanya!
Amri melonggarkan
ikatan tali pinggang di seluarnya. Pakaian yang melekat di tubuh segera
ditanggalkan lalu melemparkannya ke atas lantai. Tajam matanya memerhati ke
segenap tubuh Lila yang berada di atas katil. Kasut tumit tinggi milik Lila
ditanggalkan. Sesekali tangan nakalnya naik meraba paha gebu milik Lila sebelum
memanjat katil.
Tubuh Lila dipanjat.
Wajahnya didekatkan dengan wajah gadis itu. Pipi Lila disentuh lembut dan
perlahan sebelum jari-jemari kasarnya berhenti di atas bibir Lila. Amri
menggigit bibir sendiri menahan geram. Dadanya bagai dipalu hebat ketika ini
melihat ‘hidangan’ di depan mata. Lila kelihatan sangat menawan. Umpama seorang
puteri yang sedang beradu, dia mahu menjadi putera yang bakal menemani si
puteri ke dalam dunia indah ciptaannya.
Hembusan nafas yang
lembut mengena kulit muka Lila. Amri senyum. Mudah kerjanya jika beginilah
keadaan Lila. Lila yang lemah dan tidak akan melawan! Amri ketawa
berdekah-dekah di dalam hati!
Hampir saja lagi pakaian
yang melekat di tubuh Lila ditanggalkan, terdengar bunyi kuat dari arah pintu.
Amri tercengang-cengang apabila pintu ditendang sehingga terkuak lebar dari
arah luar. Muncul tiga orang lelaki asing di muka pintu sebelum salah seorang
daripada mereka meluru ke arahnya.
Tidak sempat dia hendak
bertindak, dia merasakan yang tubuhnya sudah melayang sebelum terlentang ke
atas lantai. Sesaat, wajahnya berasa kebas dan sakit apabila ditumbuk
bertubi-tubi oleh lelaki tadi. Manakala dua orang lelaki yang lain pula sibuk
memeriksa keadaan di sekitar bilik. Dua kamera tersembunyi yang disorokkan di
celah-celah hiasan dinding di bilik itu pantas dicapai lalu dipecahkan di
hadapan muka Amri lalu beberapa gambar dirakam menggunakan telefon pintar
masing-masing.
Melihatkan Lila yang
sedang terdampar lemah di atas katil dalam keadaan yang memalukan, hati lelaki
Jaad mula berasa terbakar. Melihat pakaian milik Amri yang berselerakan di atas
lantai membuatkan rasa bengangnya terhadap lelaki itu bercambah. Tanpa berfikir
panjang, perut Amri ditendangnya dengan sekuat tenaga. Amri yang tidak sempat
mengelak terus tersungkur sehingga ke hujung katil. Amri cuba bangun untuk
melawan kemaraan Jaad namun Jaad pula lebih tangkas dengan melompat naik ke
atas tubuh lelaki itu lalu menghadiahkan beberapa tumbukan percuma ke muka Amri
sehingga darah pekat mula membuak-buak keluar dari celah hidung dan bibirnya.
“Jaad, sudah! Jangan
sampai kau jadi pembunuh pula!” Tahan Ben, salah seorang lelaki yang muncul
bersama Jaad. Ditarik tubuh Jaad agar menjauhi Amri lalu berhenti mencederakan
lelaki itu. Bimbang dibuatnya apabila melihat Jaad seolah-olah seperti dirasuk.
Risau sekiranya Amri mati dikerjakan oleh Jaad.
“Semua kamera dah
jumpa,” tambah CK pula, seorang lagi lelaki.
Amri yang sudah lembik
dikerjakan Jaad hanya terlentang di lantai bilik. Nafasnya berbunyi kuat
seperti lembu yang baru saja disembelih. Dadanya naik turun dengan laju.
Kesakitan mula menjalar ke segenap urat sarafnya sehingga tiada lagi dayanya
untuk bangkit apatah lagi mahu melawan Jaad yang jauh lebih kuat dan pantas
berbanding dirinya.
Rasa belas Jaad
terhadap Amri telah lama hilang ditelan kemarahannya. Entah kenapa apabila
melihat wajah Amri, dia menjadi begitu marah sehingga terdetik di hatinya untuk
menghapuskan lelaki itu dari muka bumi. Tak guna!
Jaad ditarik menjauhi
Amri. Melihatkan kamera yang sudah berderai di atas lantai akibat dikerjakan
oleh Ben dan CK, Jaad berasa sedikit lega. Lantas satu isyarat dihantar kepada
kedua-dua orang temannya itu sebelum mendekati Lila. Tubuh gadis itu ditarik
dan meletaknya ke atas bahu seperti membanting guni padi. Sesampai saja di
pintu bilik, terlihat beberapa manusia yang sedang melihat dan merakam drama
sebabak yang baru saja berlaku.
Elisa dan Bella yang
turut berada di situ hanya terpinga-pinga melihat tiga orang lelaki asing
muncul di hadapan mata. Malah, melihatkan Amri yang sudah terlentang dalam
keadaan yang sedang berlumuran darah menyebabkan masing-masing dilanda rasa
terkejut yang bukan sedikit.
“Elisa. Bella.” Sebut
Jaad satu per satu dengan suara yang dalam dan keras. Bunyi suara Jaad seperti
sedang memberi amaran dengan cara paling halus. Tajam mata Jaad memerhatikan
mereka berdua.
“Ma… macam… mana you
tahu nama kitorang? You siapa?” aju Elisa tergagap-gagap. Sungguh dia tidak tahu
siapa lelaki yang sedang berdiri di hadapannya ini.
“You nak bawa Lila ke
mana?” Bella pula mencelah apabila Jaad utuh memeluk batang tubuh Lila di
bahunya.
“Bukan saja nama tapi
aku tahu segala-gala yang kau berdua rancang dengan jantan tak guna di dalam
tu!” Jaad membalas dalam nada tegas. Walau hakikatnya dia sendiri hanya
mereka-reka cerita setelah terdengar Elisa dan Bella bercakap-cakap ketika di
bawah tadi. Dia sangat yakin, mereka berdua pasti mempunyai rancangan bersama
Amri untuk mengenakan Lila!
“Jauhi Lila. Aku takkan
teragak-agak untuk mengheret korang berdua ke balai polis!” Jerkahan Jaad
membuatkan Elisa dan Bella sedikit cuak. Bayangan tirai besi sudah mula singgah
di kepala masing-masing.
Sebaik saja keluar dari
vila petaka itu, Jaad meletakkan tubuh Lila ke kerusi penumpang. Ben dan CK
yang mengekori dari belakang hanya memerhatikan Jaad yang sedikit
berpeluh-peluh akibat bertumbuk dengan Amri tadi.
“Macam mana sekarang
ni?” aju Ben lalu menepuk bahu Jaad. Pintu kereta di sebelah penumpang ditutup
dengan kuat. Jaad melepaskan nafas kuatnya sambil mengetuk bumbung keretanya.
“Simpan bukti yang ada.
Kalau keadaan mendesak, aku akan bertindak.”
“Habis tu, perempuan ni
macam mana?” CK bercekak pinggang apabila memikirkan tentang Lila yang sedang
terlentok di dalam kereta Jaad.
“Aku akan uruskan dia.
Korang berdua balik dulu. Apa-apa nanti aku roger.”
Jaad menepuk-nepuk bahu Ben dan CK, dua orang lelaki yang setia berada di
sisinya.
Kereta yang dipandu
oleh Jaad berhenti di satu perhentian rehat di sebuah lebuh raya. Keretanya
sengaja diletakkan sedikit jauh dari kenderaan lain. Jaad melangkah keluar.
Perasaan marahnya masih lagi tersisa. Pintu kereta di sebelah penumpang
dibukanya. Terlihat Lila masih lagi terlentok dalam posisi yang sama.
Tidak betah melihat
keadaan Lila sebegitu, pantas saja dia mencapai sebotol air mineral. Tanpa
teragak-agak, air mineral tersebut pantas saja disimbah ke wajah Lila sehingga
membasahi sebahagian daripada pakaiannya.
Lila tersentak. Kembali
berada di dalam kesedaran, batukan kecil mula kedengaran di telinga Jaad. Terpinga-pinga
Lila dibuatnya apabila merasakan wajah dan tubuhnya sudah pun basah. Kepalanya
yang tersisa dengan rasa denyut lekas disentuh. Perlahan-lahan rasa sakit itu
beransur hilang. Pandangannya yang tadinya kabur mula bertukar jelas.
“Dah sedar?” Suara Jaad
yang bernada sinikal menjentik gegendang telinga Lila.
Sebelah tangan lelaki
itu diletakkan ke atas bumbung manakala yang sebelah lagi memegang pintu
kereta. Wajahnya berada sangat hampir dengan Lila. Tajam matanya merenung ke
segenap wajah Lila yang nampak blur
dan terpinga-pinga.
Lila mulai kekalutan.
Terkejut beruk dibuatnya apabila melihat seorang lelaki asing yang langsung
tidak pernah dikenalinya berada di hadapan mata sebaik dia terjaga. Dia
meliarkan mata ke sekeliling dengan menahan debaran di dada. Apa yang sudah
berlaku kepadanya? Di mana dia berada sekarang ini? Ke mana kawan-kawannya
pergi? Dan…
“Kau siapa?” Lila
memandang Jaad dengan penuh rasa curiga. Dia benar-benar tidak mengingati apa
yang telah terjadi kepadanya. Apabila dia membuka mata saja, wajah Jaad sudah
muncul di depan mata. Jangan-jangan dia sudah diculik? Tapi, untuk apa? Wang
tebusan? Harta? Atau organ-organ miliknya? Oh, tidak!
“Aku Jaad.” Jaad
membalas ringkas.
“Kau… kau nak apa ni?
Ap… apa… yang ter… jadi pada aku? Macam mana aku boleh ada kat sini? Kau siapa,
hah?!” Dengan rasa berani yang cuma sekelumit, Lila menyoal Jaad bersama air
mata yang sudah bertakung di kolam mata.
Takutnya hanya tuhan
saja yang tahu. Dia benar-benar tidak tahu apa yang akan berlaku kepada
dirinya. Dengan keadaan sekitar yang sunyi dan gelap, apa-apa saja boleh
berlaku dan menimpanya. Tambah-tambah apabila lelaki bernama Jaad ini berada di
sampingnya. Siapa lelaki ini? Penjenayah? Pembunuh bersiri? Perogol? Ah, Lila
tidak dapat memikirkan apa-apa pun.
Lila semakin panik. Dia
cuba bergerak keluar dari kereta tetapi tubuhnya ditolak oleh Jaad sedikit
kasar sehingga tersandar ke penyandar kerusi. Kemudian, tidak semena-mena saja
Jaad mencampakkan satu bungkusan kepada Lila sehingga terkena mukanya.
“Ap… apa ni?” Lila
tercengang-cengang sambil cuba menghadam tindak-tanduk Jaad yang kelihatan aneh
di matanya.
“Pergi tukar pakaian
tak senonoh kau tu!”
“Hah?!”
“Lepas tersedar
daripada pengsan, kau dah jadi bengap pula ke? Kau dengar tak apa yang aku
kata? Tukar pakaian kau tu! Lepas tu aku hantar kau balik!”
Lila terkebil-kebil di
hadapan Jaad. Sungguh otaknya tidak mampu memproses segala apa yang sedang
berlaku kepadanya. Bukankah dia sedang berparti? Bagaimana dia boleh berakhir
di sebuah tempat asing dengan lelaki yang tidak langsung dikenalinya ini?
“Kau terkebil-kebil apa
lagi dekat situ? Tukarlah baju tu! Atau kau lebih suka kalau aku yang tolong
tukarkan untuk kau?” Jaad menengking.
Sempat lagi tangannya
mengacah hendak menanggalkan pakaian Lila. Sakit hati dibuatnya melihat gadis
itu masih lagi terkial-kial. Agaknya, kuat sangat kut dadah yang masuk ke dalam
tubuh Lila sehingga menyebabkan kepala otaknya tidak mampu memproses perkara
yang mudah sebegini.
Teringat pada apa yang
sudah berlaku, rasa marah Jaad kembali mengocak kolam perasaannya. Rahangnya
mula naik turun seolah menahan bara yang mencengkam sanubari. Penumbuknya
digenggam kuat. Matanya pula kembali memerah.
Bammm!
Pintu kereta dihempas
setelah itu. Memberikan peluang kepada Lila untuk menukar pakaian. Lima minit
berselang, Jaad masuk ke perut kereta Melihatkan pakaian yang tersarung ditubuh
Lila, dia hanya mampu menarik nafas lega. Tiada lagi pakaian seksi lagi menjolok
mata yang mampu menggugat iman para lelaki. Yang tinggal di tubuhnya cumalah
blaus dan skirt labuh.
Kereta Jaad kembali
meluncur di jalanan. Di sepanjang pemanduannya, Jaad hanya menyepi. Sekadar
membiarkan bunyi enjin kereta menghiasi halwa telinga. Lila juga begitu. Terus
menyepi. Dia masih tidak mampu menghalau rasa risau di hatinya. Kepalanya
kembali berdenyut-denyut. Matanya mulai kelam. Dia melentokkan sekejap
kepalanya ke penyandar kerusi. Walaupun dirinya masih lagi diselubungi rasa
takut dan was-was pada lelaki bernama Jaad, dia berusaha untuk menenteramkan
hati sendiri. Sempat dicapainya telefon dari dalam tas tangan. Namun,
telefonnya sudah pun kehabisan bateri.
“Kau nak telefon siapa?
Polis?” Suara Jaad memecah hening suasana.
Lila terkejut. Pertanyaan
Jaad benar-benar membuatkan darahnya berderau. Cis! Macam mana dia boleh
nampak?
“Ya, aku nak telefon
polis. Kenapa? Ada masalah?”
Jaad hanya tersenyum
sinis mendengar jawapan Lila. Boleh tahan juga mulut perempuan ini!
“Silakan kalau kau nak.
Aku tak ada hal. Cuma… aku risau kalau-kalau polis tahan kau pula.”
“Kenapa pula?”
“Air kencing kau
positif dadah.”
“Wh-what?”
Lila terkebil-kebil.
Benarkah apa yang diperkatakan oleh Jaad? Jadi, sebab dadahlah dia tidak
sedarkan diri dan tidak ingat apa-apa? Tapi, angkara siapa?
“Aku bukan macam apa
yang kau fikirkan. Aku tak ada niat jahat terhadap kau. Sekejap lagi aku hantar
kau balik.” Jaad membalas tetapi tiada respon yang diterimanya daripada Lila.
Sebaik saja dia menoleh ke arah gadis itu, dia nampak Lila seolah-olah tidak
sedarkan diri.
“Hoi, perempuan! Kau
dengar atau tidak apa yang aku cakapkan ni?”
“Huh?” Lila membalas
sedikit lemah.
Jaad menggeleng. Dia
yakin kesan dadah yang telah menyelinap masuk ke segenap tubuh Lila telah
menjadikan gadis ini sebegini. Tidak lagi berhasrat untuk terus berbual dengan
Lila, Jaad hanya menyepikan diri sehinggalah rumah Puan Dahlia kelihatan di
depan mata.
Setelah Lila memasuki
perkarangan rumah, kereta Jaad kembali meluncur di jalanan. Lila menyentuh
kepalanya. Rasa berdenyut masih lagi tersisa. Dia memandang tubuh sendiri.
Pakaian yang tersarung di tubuhnya menyebabkan dia teringatkan sesuatu.
Lekas-lekas dia berlari mendekati pagar dan mencari kelibat kereta Jaad yang
semakin menjauh.
“Siapa lelaki tu?” Dia
menyoal diri sendiri. Dan jawapan di atas persoalannya hanya mampu dijawab oleh
cengkerik.
No comments:
Post a Comment