Kotak
sederhana besar yang mengandungi beberapa dokumen dan fail diletak ke tepi
dinding tidak jauh dari pintu rumah jiran. Memandang ke arah pintu gril yang
baru saja ditarik membuatkan Aurora menghembuskan nafas lega.
“Adik
betul ke tak nak ubah fikiran?” soalan luar alam ditanya oleh Rafa, abang gadis
itu yang datang bersama menghantar barang-barang si adik. Rafa berpaling
memandang Aurora di belakang, meminta kepastian.
“Kenapa
pula?” aju Aurora sebaris dengan kening bercantum.
Rafa
memerhati ke dalam apartmen yang bakal menjadi tempat tinggal Aurora. Aurora
mencebik. Faham benar dengan makna di sebalik isyarat si abang.
“Tak
akan,” ujarnya selamba lalu berjalan masuk tanpa menghiraukan pandangan Rafa.
Rafa
mengitari mata ke sekitar ruang apartmen yang selesa. Dilengkapi perabot dan
pelbagai perkakas untuk kegunaan harian. Tergaru-garu belakang kepalanya
memandang si adik yang seperti tak makan saman.
“Biar
betul kau ni, dik? Serius ke ni nak tinggal dekat sini?”
“Seriuslah.
Semua barang dah dibawa ke sini.” Aurora menjeling keadaan di ruang tamu itu. Banyak
kotak serta beg yang berada di situ, menunggu masa untuk diselongkar dan
disusun barang-barang peribadinya ke tempat yang sepatutnya.
“Adik
selesa ke dekat sini? Tak takut? Kalau…”
“Jangan
merepek boleh tak?” Aurora memutarkan mata ke atas. Tanpa menghiraukan pemuda
itu, Aurora melangkah ke bilik tidur utama. Malas hendak melayan pertanyaan dan
provokasi halus yang cuba dilancarkan oleh si abang.
Dia
meletakkan beg sandangnya ke atas katil. Selesai menyusun pakaian ke dalam
almari, dia bergerak ke ruang tamu untuk mengambil barang yang lain. Sempat
dijelingnya Rafa yang sedang duduk-duduk di meja bar dengan telefon yang
melekap ke telinga.
“Ya,
daddy. Kitorang dah sampai ni,” ujar Rafa sebelum terjeda.
“Tahu…”
meleret suara Rafa membalas kata-kata daddy yang sedang berada di talian.
Matanya dihalakan sekejap ke arah Aurora sebelum merenung tin soda di hadapan
mata.
“Dia
takkan ubah fikiran, daddy. Daddy pun tahu macam mana degil dia, kan?” balas
Rafa lagi dengan suara yang sedikit rendah kerana tidak mahu perbualannya
dengan ayahnya didengari oleh Aurora.
Sejak
awal lagi semua ahli keluarga mereka tahu yang Aurora tetap kekal dengan
keputusan dan pendiriannya untuk berpindah masuk ke sini. Dia bukan hendak
kesahkan apa-apa pun. Apa yang dia tahu, kehendaknya untuk berpindah ke
apartmen ini mesti ditunaikan. Puas memujuk ibu dan bapanya agar mengizinkan
dia berpindah sejak satu bulan yang lalu, barulah dia dibenarkan. Itu pun puas
juga dia bersoal jawab dengan mereka.
Mula-mula
dulu daddy dan mommy memang tak bersetuju langsung dengan rancangan si anak
bongsu untuk tinggal bersendirian. Pelbagai sebab dan alasan yang mereka
berikan semata-mata hendak Aurora kekal berada di samping mereka.
Bahayalah.
Tak selesalah. Tak selamatlah.
Ternyata,
semua itu tak lut kepada Aurora.
Seribu
alasan yang diberi, seribu satu sebab pula yang Aurora cari. Jadi, mahu tak
mahu mereka terpaksa mengizinkan juga.
“Okey,
daddy. Jumpa sekejap lagi.”
Klik!
Talian
telefon dimatikan. Aurora yang baru mengangkat satu kotak kecil dari atas meja
kopi mengerling.
“Siapa?
Daddy?” soalnya dengan sedikit rasa tidak puas hati.
Entah
apa sajalah abangnya itu bualkan dengan ayah mereka. Tetapi, dia yakin isunya
mesti berkisar tentang dirinya serta perpindahannya ke apartmen ini.
Rafa
menjongket kening, mengiyakan pertanyaan Aurora.
“Kenapa?”
“Daddy
kata dia dalam perjalanan ke sini. Mommy pun ikut sekali. Diorang baru aje
balik dari pasaraya, beli barang dapur untuk adik.”
“Berapa
kali adik nak kena pesan? Adik boleh uruskan semuanya sendiri. Adik bukannya
budak kecil lagi.” Aurora merungut.
“Untunglah
jadi adik. Baru berpindah rumah yang tak sampai setengah jam dari rumah
keluarga, daddy dengan mommy dah risau. Abang Rafa dulu pindah duduk UK, daddy
dan mommy buat tak peduli pun. Haih!” Rafa berpura-pura menayang muka sedih
padahal sengaja hendak mengenakan Aurora.
“Tak
payah nak buat ayat sedih la…” Aurora mencebir sambil berlalu ke pintu. Ada
beberapa kotak lagi yang masih tersadai di atas lantai di luar apartmennya. Mahu
mengharapkan Rafa menolong, macam tak ada fungsi saja abangnya itu. Sejak tadi
lagi asyik sekali menatap telefon pintar. Entahkan tengah berbual dengan
mana-mana gadis berdahi licin melalui WhatsApp atau pun sedang menghantar
laporan terkini kepada ibu bapa mereka, Aurora sendiri tidak dapat meneka.
Krekkk!
Bunyi
pintu gril yang seperti tidak pernah digris itu mengalihkan perhatian Aurora.
Muncul seorang lelaki dari muka pintu jiran di sebelah apartmennya. Kotak milik
Aurora yang menjadi halangan di laluan kaki lima membuatkan si lelaki berhenti
melangkah.
Kaca
mata hitam di atas batang hidung ditolak ke kepala. Memerhati halangan di
hadapannya dengan pandangan jengkel. Dengan selamba dia menolak kotak milik
Aurora itu dengan hujung kaki. Sempat mata mereka berlaga selama dua saat.
Wajah dingin lagi beku milik sang jejaka menyebabkan Aurora mengerut kening
lalu terkejung di situ.
Kaca
mata hitam kembali ditarik ke atas batang hidung. Muka berlagak lagi sombong jelas
tertayang. Langkah bongkak pula disusun sehingga ke hadapan pintu lif tanpa
menghiraukan sesiapa. Sebaik saja kelibat sang jejaka menghilang setelah
membolosi perut lif, Aurora bergerak dua tapak dengan mata dihalakan ke sana.
“Biadap!”
cemuh Aurora melepaskan geram.
Siapa
lelaki itu? Adakah dia bakal menjadi jiran kepada lelaki biadap itu? Ah! Tolong
katakan tidak!
***
“Betul
ke ni adik nak tidur seorang diri malam ni? Tak nak daddy dengan mommy
temankan?” aju mommy tatkala mereka sekeluarga selesai makan malam di apartmen
Aurora.
Ketika
itu mommy sedang mencuci pinggan manakala Aurora pula sibuk mengelap sudu dan
garfu lalu menyusun kembali ke dalam kabinet.
“Tak
apa. Adik dah besarlah, mommy. Adik boleh jaga diri.”
“Betul
ke ni? Sementara nak biasa dengan suasana tempat baru, biarlah kami temankan
adik malam ni.” Tambah mommy lagi sedikit risau.
Aurora
menggeleng. Kadangkala dia naik rimas melihat layanan yang diberikan oleh
keluarganya terhadap dirinya. Dia bukan apa. Dia tidak suka dilayan sebegitu.
Dia sudah berusia 22 tahun. Sudah melepasi had umur pun. Sudah layak mengundi.
Sudah boleh berkahwin. Tapi, ibu bapanya tetap melayannya macam budak kecil.
Dia tidak suka akan itu. Seperti mommy dan daddynya langsung tak percayakannya.
Lagi pun, dia bukannya pindah jauh sangat. Masih dalam kawasan ibu kota.
“Mommy, please…” Aurora tayang muka meraih simpati.
“Mommy
tak percayakan adik ke?” Sambil membetulkan hoodie di atas kepala, dia menanti
jawapan mommy. Sengaja bagi soalan perangkap begitu. Dia hendak lihat apa
reaksi mommynya.
“Kami
bukannya tak percayakan adik. Cuma kami tak percayakan sekeliling adik. Tinggal
seorang diri kat sini, kalau apa-apa jadi… siapa pun tak tahu.” daddy tiba-tiba
mencelah menyebabkan dua pasang mata menyorot ke arahnya.
Lelaki
berusia separuh abad yang masih kacak bergaya dan kelihatan awet muda itu berdiri
tercegat di hadapan Aurora. Tergeleng-geleng melihat si anak masih dengan
perangai degil. Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia mengheret Aurora balik ke
rumah mereka tetapi apakan daya, jika itu yang dibuatnya… dia sudah pasti apa
yang akan berlaku nanti.
Tidak!
Dia tidak mahu anak gadisnya itu berasa dirinya dikongkong. Biar saja kali ini
dia cuba mengalah dengan kehendak si anak. Lagi pun, dia tahulah apa yang
hendak dibuat selepas ini. Biarpun dia takkan boleh sentiasa berada di sisi
Aurora dan menjadi pemerhati gerak-geri gadis itu, dia akan memastikan anak
gadisnya itu akan sentiasa berada dalam keadaan selamat.
“Sudah.
Tak payah tayang muka macam tu.” Daddy mengangkat jari telunjuk ke muka Aurora.
Sudah masak benar dengan perangai gadis itu.
“Kali
ni, daddy bagi peluang dekat adik. Tapi ingat. Jangan lupa dengan perjanjian
kita, dik.”
Aurora
tayang muka blur. Aduh! Perjanjian
apa yang daddy maksudkan ni?
“Maksud
daddy?”
“Setiap
hari wajib call daddy atau mommy.
Hantar khabar berita. Dah lupa?” tajam mata daddy menikam anak mata Aurora.
Tangan juga sudah naik ke pinggang, menanti balasan si gadis.
Aurora
tergaru-garu belakang tengkuk. Tengok tu! Belum apa-apa, daddynya dah bagi
peringatan. Nampaknya mereka semua tak percayakannya!
“Okey.
Menurut perintah.”
Mommy
tersengih-sengih. Daddy pula menjongket kening. Baik. Dia nak tengok sejauh
mana Aurora akan menepati perjanjian mereka. Jika gagal, dia tak akan
teragak-agak untuk membawa Aurora kembali pulang tinggal bersama mereka.
Selepas
saja keluarganya pulang, Aurora ke dapur untuk membancuh kopi. Malam-malam
macam ni, sedap kalau minum kopi. Apatah lagi dia bercadang hendak berjaga
sehingga lewat malam untuk menyiapkan tugasan kuliahnya yang tertangguh
gara-gara mengemas barang sejak beberapa hari lepas.
Siap
membancuh kopi, Aurora menolak pintu gelangsar lalu bertenggek di birai balkoni
sambil memandang langit pekat hitam tanpa bulan dan bintang. Perlahan-lahan kopi
bancuhannya diteguk. Ah, nikmat!
“Bodoh!
Kau dah cari betul-betul ke?!”
Burr!
Rengkung
Aurora terasa perit. Kopi yang baru saja dihirup tersembur keluar sehingga
membasahi dagunya. Cepat-cepat dikesat hujung dagu seraya berpaling ke arah
kanannya. Terlihat kelibat seorang lelaki yang sedang bermundar-mandir di
balkoni unit apartmen bersebelahan dengan apartmennya.
Si
lelaki melekapkan telefon ke telinga. Sesekali rambutnya digosok-gosok.
Wajahnya turut tegang seperti sedang berkelahi dengan seseorang di dalam
talian.
“Shit!”
“Bodoh!”
“Celaka!”
Berulang
kali Aurora mendengar si lelaki menyumpah seranah. Tidak terkira berapa banyak
kata-kata kesat keluar dari mulutnya. Aurora mendengus. Meluat betul dengar
orang mencarut dan menyeranah orang lain. Mulut puaka betul! Tak ada insurans! Sakit
telinga dia mendengarnya.
“Kau
dengar sini. Kau buat macam apa yang aku nak. Kalau tidak, kau tahulah apa
nasib kau! Faham?!” teriak si lelaki lalu mematikan talian. Berombak-ombak
dadanya menahan marah. Tiba-tiba saja…
Prang!
Berderai
pasu hiasan yang berada di sudut balkoni itu akibat disepak. Aurora tergamam.
Tangan spontan naik ke dada.
“Apa
pandang-pandang?!” jerkah si lelaki setelah menyedari Aurora sedang merenung
dirinya. Tanpa berlengah, dia bergegas masuk sejurus saja pintu gelangsarnya
ditutup dengan kasar.
“Astaghfirullah…
apa malang nasib aku ada jiran gila macam ni?”
No comments:
Post a Comment