Wednesday, 17 April 2019

Dear Lila 3



Pintu bilik Lila diketuk oleh Puan Dahlia. Mahu memeriksa keadaan gadis itu pagi ini sebelum dia keluar ke Lila’s Café. Teringat yang Lila pulang dalam keadaan yang sedikit mencurigakan malam tadi membuatkan hati kecilnya terdetik untuk bertanya.

“Lila.” Puan Dahlia menyeru nama gadis itu tetapi panggilannya tidak bersahut. Diketuknya pintu bilik Lila beberapa kali namun masih tiada jawapan dari dalam.

Tap!

Tombol pintu bilik dipulas. Pintu dikuak. Terlihat Lila masih berselubung di bawah comforter.

“Ya Allah, Lila. Kenapa tak bangun lagi ni? Dah lewat, Lila. Nanti lambat pergi photoshoot.” Puan Dahlia mendekati Lila sambil membebel kecil. Bahu gadis itu ditepuk-tepuk halus sambil memanggil-manggilnya lagi tetapi panggilannya tetap tidak bersahut sehingga menyebabkan Puan Dahlia terpaksa menarik comforter lalu melemparkannya ke bawah. Jam di dinding dijeling. Sudah pukul 8.45 pagi. Bukankah Lila mempunyai call time pada jam 9 pagi?

“Lila, bangunlah. Dengar tak umi panggil ni? Dah lewat ni.” Puan Dahlia menggoncang-goncang bahu Lila tetapi gadis itu masih terus terkaku di atas katil.

Melihat keadaan Lila, Puan Dahlia sedikit panik. Menyedari wajah Lila yang memucat dengan bibirnya kelihatan kering menyebabkan dia kekalutan seorang diri. Disentuh pula dahi dan leher Lila. Panas!

“Lila, bangunlah. Jangan buat umi risau, sayang. Ya Allah!”

Nafas Lila kedengaran sangat perlahan. Pergelangan tangan Lila disentuh, memeriksa denyutan nadinya. Kerisauan Puan Dahlia mula bermukim di hati apabila melihat keadaan Lila dan memikirkan tentang Datuk Katrina. Apa yang dia hendak jawab kepada wanita itu jika Datuk Katrina melefonnya nanti bertanya tentang Lila? Yang lebih merisaukannya ialah apa yang dia perlu lakukan dengan Lila sekarang ini?

Dua jam kemudian, setelah Puan Dahlia mengiringi doktor peribadi keluarga mereka ke muka pintu, dia bergegas naik ke bilik Lila untuk memeriksa keadaan gadis itu. Baru sekarang dia berasa lega setelah Doktor Ruzana mengesahkan bahawa Lila hanya demam biasa dan tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital. Lila hanya perlu berehat di rumah selama beberapa hari sehinggalah keadaannya kembali pulih seperti biasa.

“Umi tak pergi kafe ke?” aju Lila tatkala dia sedang membantu gadis itu bersandar ke kepala katil.

“Tak. Hari ni umi temankan Lila kat rumah.”

“Tak payah la, umi. Lila okey aje ni. Umi pergilah kafe. Lila boleh jaga diri sendiri.”

“Isk, Lila ni buat umi risau ajelah. Lila tu bukannya sihat lagi. Macam mana kalau jadi apa-apa masa umi tak ada di rumah?”

Lila hanya tersenyum kecil melihatkan raut wajah Puan Dahlia. Risau benar wanita itu dengan dirinya. Tidak seperti Datuk Katrina. Lila hidup atau mati… dia tidak pernah peduli. Apa yang dia tahu, hanya perniagaannya saja. Lila mengeluh deras apabila mengenangkan Datuk Katrina. Alangkah indahnya kalau Datuk Katrina ada bersama dengannya ketika dia jatuh sakit begini.

“Kuat mengeluh tu. Fikir apa?” Sempat lagi Puan Dahlia mencuit dagu Lila yang sedang termenung di atas katil.

“Mommy ada telefon umi?”

“Tak ada pula. Kenapa Lila tanya?”

“Saja. Tapi, kalau mommy telefon umi nanti, jangan cakap apa-apa kat dia pasal Lila.”

“Kenapa pula umi tak boleh beritahu dia apa-apa? Lila kan anak dia?” Puan Dahlia menggeleng.

Dia tahu dan ingat dengan pesanan yang Lila selalu titipkan buat dia supaya tidak memaklumkan apa-apa kepada Datuk Katrina mengenai dirinya. Puan Dahlia sebenarnya rasa tersepit. Di sini Lila dan di sana Datuk Katrina. Dua-dua dia sayang. Tapi, bila hubungan mereka ada masalah… Puan Dahlia tak tahu nak buat apa. Kebetulan pula dia memang tidak sempat hendak menelefon Datuk Katrina memaklumkan keadaan Lila. Dia teringat yang Datuk Katrina ada beritahunya yang wanita itu akan berada di luar kawasan untuk dua atau tiga hari. Jadi, dia mungkin tidak boleh berhubung dengan wanita itu.

“Memang Lila anak dia tapi Lila tak tahulah sama ada dia masih ingat yang Lila ni anak dia atau tidak,” jawab Lila acuh tak acuh.

“Lila, tak baik cakap macam tu.”

“Lila tak nak dia tahu apa-apa pasal Lila. Lila tak mahu kerana Lila, dia terpaksa balik dan tinggalkan semua urusan dia di sana. Lila tak mahu nanti Lila yang dipersalahkan. Nanti mommy kata Lila anak manja dan mengada-ada. Lila letih kena tuduh macam tu, umi.” Lirih saja suara Lila saat memberitahu Puan Dahlia apa yang dirasakannya.

“Isk, apa cakap macam tu? Lila anak dia. Mestilah dia akan risaukan Lila bila dia dapat tahu apa yang terjadi dekat Lila. Ibu mana yang tak susah hati? Umi sendiri bila tengok keadaan Lila pagi tadi, umi rasa macam nak hilang nyawa.” Panjang lebar Puan Dahlia membalas.
Dia tahu dan sangat faham apa yang berada di hati kecil Lila. Gadis itu hanya mahukan ibunya berada di sisi. Tetapi, keadaan tidak mengizinkan. Lila tidak mahu memahami Datuk Katrina dan Datuk Katrina pula tidak pernah mahu memahamkan Lila tentang tuntutan kerjanya.

“Dah, tak payah sedih-sedih macam ni. Lila tak boleh fikir banyak sangat. Rehat aje ya?” Puan Dahlia menepuk-nepuk pipi Lila dengan sepenuh kasih dan sayang. Sejujurnya, dia sangat tidak suka melihat wajah anak saudaranya itu muram dan sedih.

“Umi nak turun ke bawah sekejap. Umi nak masakkan bubur untuk Lila. Lepas makan nanti, Lila makan ubat yang doktor bagi.” Puan Dahlia berpesan dengan rasa risau yang masih tersisa.

Dia risau melihat keadaan Lila yang lemah dan tidak berdaya. Jika boleh, dia sanggup untuk bertukar tempat dengan Lila. Biar sakit Lila berpindah ke tubuhnya. Tapi apakan daya. Dia hanya manusia biasa yang tak mampu berbuat apa-apa kecuali satu. Iaitu doa. Kerana doa seorang ibu itu sangat berkuasa buat seorang anak.

Lila melentokkan kepala ke bantal empuknya sebaik saja Puan Dahlia menghilang dari pandangan. Fikirannya berserabut. Dipenuhi dengan pelbagai hal. Hal Datuk Katrina, hal kelas dan pelajarannya, hal kerja, hal netizen dan media sosial dan… Jaad! Ya, baru dia teringat tentang lelaki yang dikenali sebagai Jaad.

Siapa lelaki itu yang sebenarnya? Apa yang Jaad buat malam semalam? Dan bagaimana Jaad boleh berada di sampingnya sedangkan dia langsung tidak mengenali lelaki itu? Malah, Lila tidak mengingati apa-apa pun yang telah berlaku malam semalam. Ah, dia sungguh-sungguh tidak ingat!

Memorinya seolah-olah telah dibersihkan. Kosong. Perkara terakhir yang dia ingat adalah lantai tari. Ya, dia sedang berada di lantai tari bersama teman-temannya.

Teringat tentang teman-temannya, laju saja tangan mencapai telefon pintarnya yang telah lama kehabisan bateri. Beberapa ketika menanti telefon tersebut bercas, kelam-kabut Lila menghidupkannya semula.

Ting!
Kluk!
Kluk!

Beberapa bunyi notifikasi mencuri tumpuan Lila. Dada skrin ditekan-tekan. Jari-jemarinya pantas menari-nari di atas muka skrin telefon dan terlihat berderet-deret notifikasi dalam kotak WhatsApp. Malah, ada berpuluh-puluh panggilan yang tidak berjawab dan juga voicemail yang telah memenuhi kotak mesej telefonnya.

Lila menekan satu per satu dan mendapati hampir kesemua mesej itu datangnya daripada Jess.

+Babe, where are you?

+Lila, you pergi mana? You tahu tak? Tadi I dengar Amri kena belasah dengan seseorang!

+Oh my gosh! Lila… are you okay, babe? Ramai orang kat sini cakap lelaki yang pukul Amri tu dah bawa you pergi. Where are you, Lila? Tolong jawab panggilan I dan balas mesej ni. I risaukan you!

+Lila, please answer my phone call. I risau dekat you tau!

+Lila, lelaki tu dah bawa you pergi mana? Kalau you tak jawab dalam masa dua puluh empat jam, I akan pergi buat laporan polis. Sumpah I akan pergi balai polis!
Lila membaca satu per satu pesanan yang telah dihantar oleh Jess melalui WhatsApp. Dan mesej terakhir yang sempat dibacanya berbunyi…

+OMG! Babe, please tengok Instagram. Cerita pasal you dah jadi viral!
Mata Lila membulat setelah itu. Apa dia? Viral? Kelam kabut dia memeriksa laman Instagram dan ternyata apa yang dikatakan oleh Jess itu benar-benar sedang berlaku. Berita tentang dirinya telah tersebar ke seantero dunia maya!

Lila telah menyebabkan dua orang lelaki bergaduh kerananya!

Lila bermain cinta dengan Amri. Dalam masa yang sama mempunyai hubungan sulit dengan lelaki misteri.

Leyla Darlina gadis liar! Kaki parti. Kaki arak. Kaki mabuk. Dan sekarang jadi kaki jantan! Boikot dia!

Tangan Lila menggeletar apabila membaca satu per satu artikel yang tertulis di media sosial mengenai dirinya. Ternyata, semua yang telah ditulis dan dimuatnaik hanyalah fitnah dan tuduhan yang sama sekali tidak betul. Tidak! Lila tahu dia bukan seperti apa yang telah disebarkan dan sedang bertebaran di media sosial. Namun, Lila masih kebingungan. Adakah semua ini terjadi berpunca daripada apa yang berlaku di parti Amri malam semalam?

Lila terpempan. Kepalanya dipicit-picit. Tiba-tiba saja kepalanya terasa berdenyut-denyut.
Kata-kata tuduhan tentang hubungannya dengan Amri berlegar-legar di fikiran. Bila masa pula dia bermain cinta dengan Amri? Selama ini, dia hanya menganggap Amri itu sekadar teman sekolej. Amri cuma seniornya dan dia tidak pernah mempunyai perasaan terhadap lelaki itu. Jadi, bagaimana dia boleh menjalin hubungan cinta sehingga dituduh sebegitu rupa?

Sekali lagi dia memicit-micit kepalanya menghalau sakit yang bertamu tak henti-henti. Dia cuba mencari sisa-sisa memorinya pada hari semalam tetapi beberapa notifikasi yang masuk ke peti telefonnya mengalihkan perhatiannya serta-merta.

+Lila, kontrak you automatik terbatal. You tak perlu lagi datang ke studio untuk penggambaran.

+Lila, perbuatan you betul-betul memalukan! I tak sangka perangai you macam ni. Di depan nampak baik, tapi di belakang… urff! I tak nak mempunyai talent yang langsung tak pandai jaga nama baik sendiri.

+I dah tengok video you. I’m sorry, Lila. Demi menjaga reputasi dan nama baik syarikat, kami terpaksa membatalkan kontrak you serta-merta berkuatkuasa hari ini.
Tidak lama kemudian, satu video yang berdurasi selama 30 saat sedang terpampang di kotak WhatsApp beberapa group yang disertai oleh Lila, termasuklah group pelajar kelasnya.

Di dalam video yang baru saja dimainkannya, terlihat Amri sedang memeluk erat batang tubuh seorang gadis sebelum melangkah masuk ke sebuah bilik. Kemudian, masuk satu lagi video yang berdurasi selama satu minit. Terlihat Amri sedang dibelasah oleh seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya kerana membelakangkan kamera. Tidak lama selepas itu, lelaki itu terlihat mencempung tubuh seorang gadis lalu menyelinap keluar dari sebuah bilik diekori oleh dua lagi lelaki. Dan…

Nanti sekejap! Lila pantas menekan butang pause pada video berkenaan. Oh my gosh! Bukankah itu adalah dirinya sendiri? Tapi, macam mana dia merelakan diri dibawa oleh Amri masuk ke sana? Apa yang telah mereka lakukan di dalam bilik tersebut? Dan, apakah yang telah menyebabkan Amri dibelasah dan dilanyak sehingga sebegitu rupa?

 “Jaad?” Tidak semena-mena saja terpacul nama lelaki itu dari celah bibir Lila.

Apakah ini yang dimaksudkan oleh netizen?

Apakah Jaad lelaki misteri tersebut?

Pantas Lila menekan nombor Jess. Tetapi panggilannya tidak berjawab. Dia menekan pula nombor Bella dan Elisa. Masih sama. Mereka tidak juga menjawab panggilannya. Sudahnya, Lila menaip satu mesej dan menghantarnya ke dalam group The Gorgeous Armies.

+Hey, babes. Where are you? Kenapa semua orang tak jawab panggilan I?

Elisa is typing…

Tiba-tiba…

Elisa blue tick.
Jess grey tick.
Bella blue tick.
Dan…

Elisa left group.
Bella left group.
Jess, masih grey tick.

Lila terpinga-pinga. Apa yang sudah terjadi?




No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...