Wednesday, 17 April 2019

Dear Lila 5


Jess mencuri pandang Amri yang sedang berada tidak jauh dari mejanya. Mencebik meluat melihat tingkah lelaki itu, mata dilarikan semula kepada Lila di hadapan matanya.

“Amri cakap apa lagi, babe?” Ternaik kening Jess menagih jawapan daripada Lila. Cerita yang Lila sampaikan kepadanya membuatkan perasaannya jadi semakin berkobar-kobar.
Lila hanya menggeleng. Dia termenung sebentar.

“Nasib baik ada lelaki tu.” Terpacul tiba-tiba ayat itu dari mulutnya tanpa disedari.

 Wait. What? Who? Lelaki mana?” Jess tertanya-tanya.

“Lelaki misteri dalam video tu la…”

Oh! That guy, huh? Handsome, seyh!” Mulut Jess mula mengukir senyuman senget.
Huh, kacak kata Jess? Kalaulah Jess tahu macam mana puakanya mulut mamat misteri yang bernama Jaad itu, pasti dia akan menarik balik kata-katanya. Kalaulah Jess nampak dengan matanya sendiri bagaimana Lila dilayan pada malam itu oleh Jaad, mungkin Jess takkan berani mengeluarkan kenyataan sebegitu.

 “Eh, tapi betul ke dia hantar you terus balik ke rumah malam tu? Macam mana you kenal dia, Lila?” Sambung Jess lagi.

Lambat-lambat Lila menggeleng. Selain daripada nama lelaki misteri itu yang dikenali sebagai Jaad, Lila tidak tahu apa-apa pun mengenainya. Lila clueless! Di mana tempat kerjanya, tempat tinggalnya, dan maklumat yang berkaitan… semuanya Lila tak tahu. Kerana selepas Jaad menghantarnya pulang ke rumah malam itu, dia tidak lagi mendengar apa-apa cerita mengenai Jaad. Malah, dia juga tidak pernah terserempak dengan Jaad di mana-mana. Hanya video Jaad membawanya keluar dari vila itu yang dia ada. Selebihnya, dia tidak tahu di mana keberadaan lelaki itu.

Jess, can I ask you something?” Lila bertanya sebaik saja mereka berdua selesai menjamu selera.

Yes, go ahead.”

“Kenapa Bella dengan Elisa left group? You rasa, diorang berdua dah bencikan I ke? Diorang berdua dah termakan dengan hasutan dan fitnah terhadap I ke? Atau…” Lila menggigit lidah sendiri. Sudah lama persoalan ini bermain-main di fikiran dan baru kini dia mampu meluahkannya. Malah, dia sebenarnya hendak bertanya kepada Bella dan Elisa terus-terang tetapi tidak sempat berbuat begitu, kedua-dua gadis itu terus berlalu pergi dengan tergesa-gesa. Adakah sebab Amri juga?

“Entah. I tak tahu.”

Bitch!” Tidak semena-mena saja terdengar suara menyumpah Lila sehingga air yang baru disedutnya hampir tersembur keluar. Lila memanggung kepala, mencari si empunya suara yang baru saja melemparkan kata-kata seranah kepadanya. Seorang pelajar perempuan yang berada tidak jauh daripadanya sedang memandangnya sambil menayang memek wajah menjelekkan.

Lila terkedu. Memerhati ke arah tangan gadis bertocang kuda yang sedang memegang telefon, Lila mengeluh deras. Jelas sekali terlihat video yang tersebar itu sedang dimainkan di telefonnya.

Oh my gosh! Apa kena dengan semua orang ni? Tak puas lagi ke bercakap buruk pasal I?”
Jess terpinga-pinga mendengar amukan kecil Lila.

Chill, babe.” Pujuk Jess.

“Macam mana I nak chill? You tengok semua orang dekat kafe ni. Diorang pandang I macam I ni alien. I seorang saja ke yang ada dosa? Orang lain tak ada? That’s so unfair!” Lila merengus-rengus geram. Kesabaran yang cuba dicipta nampaknya telah lebur dek sumpah seranah orang lain.

“Janganlah layankan diorang tu. Maklumlah, diorang sentiasa fikir diorang tak pernah buat salah. You lebih tahu dan kenal dengan diri sendiri, Lila. Buat apa nak layan diorang? Lama-lama nanti, bila dah penat… diamlah semua orang. You chill, okey?”

“Tapi, kalau you tak puas hati… apa kata you saman saja sesiapa yang masih sebarkan fitnah pasal you. Biar diorang tahu makna sebuah penyesalan bila terpaksa bayar saman pada you.” Jess menyengih dengan mengangkat-angkat keningnya kepada Lila. Namun, mendengar keluhan Lila terus ditepuk-tepuknya mulut sendiri. Isk, cadangan tak bijak langsung, Jess!

Geram melihat si gadis yang bernama Atirah itu bergerak menghampiri sekumpulan pelajar yang lain lalu ketawa-ketawa memandang telefon, Lila menumbuk meja. Laju saja dia bangkit dan menonong ke arah mereka.

Hello, excuse me! You all semua ni dah tak ada kerja ke? Suka sangat membawang! Dasar mak cik bawang mulut busuk!” cemuh Lila memandang satu per satu wajah pelajar yang duduk di sebuah meja dengan tangan naik bercekak pinggang.

“Siapa yang mulut busuk?” Jawab salah seorang pelajar perempuan berkaca mata bernama Suhaila.

“Entah! Dia yang tak tahu malu.” Tambah yang lain pula.

Menjeling geram, Lila merampas telefon Atirah dan memadamkan semua rakaman video di sana. Puas hati! Dasar tak ada adab!

“Hei, kurang ajarlah kau ni!” Teriak si gadis.

Lila tersenyum senget. Telefon gadis itu dicampaknya ke atas meja dengan rasa puas hati yang bukan sedikit. Jika diikutkan hatinya, mahu dia campak terus telefon itu ke dalam mangkuk tandas. Baru mereka tahu langit itu tinggi atau rendah!
Bahu Lila ditolak oleh si gadis. Wajah merah seperti udang dibakar menyebabkan Lila tergelak mengejek.

“Kenapa? Tak puas hati? You ingat I tak boleh buat lebih dari itu? Hah?” Mencerlung-cerlung mata Lila.

Dalam masa yang sama, gelas air oren di atas meja pantas dicapai lalu menuangnya ke atas kepala Atirah sehingga menggelupur dibuatnya.

“Lila, kurang ajarlah kau ni!”

Yes, ‘kurang ajar’ is my middle name. You all ingat ek. I boleh buat lebih daripada ni kalau you all tak berhenti membawang pasal I. I’m watching you!” Lila memberi amaran dengan muka menyeringai marah. Sempat lagi dituding dua jari ke matanya lalu dihalakan jari ke wajah mereka.

Masing-masing terkedu dengan amaran yang Lila beri. Agaknya, mereka baru tersedar akan status Lila. Semua orang di kolej ini tahu mommy Lila merupakan ‘orang besar’ di kolej ini. Jika Lila bersuara kepada Datuk Katrina, entah apalah yang akan terjadi nanti. Silap-silap, mereka semua bakal dibuang kolej kerana mencetuskan perbalahan di sini.

“Lila…” Jess menarik lengan Lila agar tidak melayan pelajar-pelajar berkenaan.

“Janganlah layan diorang ni,” tambah Jess berbisik ke telinga Lila. Risau dibuatnya melihat perbalahan antara Lila dengan geng mak cik bawang di kolej ini. Dia tahu benar perangai masing-masing. Suka sangat bergosip dan bercakap pasal orang lain.

“Jangan ingat you semua boleh terlepas ek. I tak habis lagi dengan you all!” Lila menjeling meluat. Nasiblah! Siapa suruh cari pasal dengannya?

“Dah la, Jess. Jom pergi dari sini. Badan I dah melekat bau bawang dah! Yucks! Busuk!” Lila memerli kumpulan pelajar berkenaan sambil menutup hidung. Rasakan! Suka sangat cari masalah, tahulah Lila nak ajar mereka macam mana.

“Eee… Lila. You ni, kan!” Jess menahan geram dengan Lila. Tetapi, dalam masa yang sama dia hampir tergelak kerana teringat bagaimana pelajar perempuan yang bernama Atirah itu menggelupur apabila disimbah air oleh Lila. Padan muka!

Lila buat muka toya. Sempat lagi pandangannya berlaga dengan Amri yang sedang melihatnya dari jauh. Dia buat tidak peduli dengan pandangan lelaki itu. Diayunkan saja langkahnya menuju keluar dari kafeteria dengan melintasi meja Amri. Sempat lagi dia mengibaskan rambut panjangnya sehingga mengenai pipi lelaki itu, seolah-olah menghantar isyarat bahawa dia boleh bertindak lebih jauh daripada ini jika Amri menyakiti hatinya lagi.

Sesampai saja di tapak parkir, Lila ternampak keretanya baru saja dicomotkan dengan pelbagai cat serta sampah sarap. Sempat dia mengejar seorang pelajar lelaki yang baru saja menyimbah air coklat ke atas bumbung keretanya.

“Isk, biadap!” Lila menyumpah. Sakit hati sungguh bila terpaksa menghadap ‘hukuman’ daripada manusia yang cuma pandai mencari keburukannya. Pada hal dia tidak kenal langsung pelajar lelaki tadi. Hampir saja lagi dia mencampakkan kasut tumit tingginya ke arah pelajar tersebut, terdengar suara Jess melaung-laung namanya dengan begitu kuat. Lila hanya terpinga-pinga memandang Jess di belakang.

Dalam masa yang sama, satu bunyi kuat terhasil akibat seretan tayar sebuah kenderaan sehingga menyebabkan kaki Lila terkejung di tengah jalan. Sesaat, terasa tubuhnya melayang-layang ke udara sebelum jatuh lalu tergolek-golek beberapa meter di atas tanah.

“Auchhh!”

“Lila!” Jess yang telah menyaksikan segala-galanya di depan mata segera berlari mendapatkan Lila.

“Auwwww!” Rengek Lila sambil menahan kesakitan yang memuncak.

Lila, are you okay?” Jess semakin panik melihat keadaan Lila yang sedang tertiarap di atas jalan tar itu. Sempat juga dijelingnya manusia yang sedang berada tidak jauh daripada Lila. Mulutnya sedikit ternganga. Matanya membulat. Manakan tidak apabila melihat lelaki misteri yang menjadi bualan mulut netizen sejak beberapa hari lepas sedang berada di depan mata.

Lila memegang lengannya yang terasa pedih. Sedikit luka kecil sudah terbentuk di bahagian sikunya manakala lengannya pula terdapat kesan calar-balar. Berusaha bangkit dari jalan tar, Lila hampir saja lagi menjerit apabila baru tersedar siapa yang berada di hadapannya.

“Kau?” aju Lila dengan mata yang terbeliak sebaik berlaga mata dengan Jaad.

“Ap… apa yang kau buat kat sini?” Tambahnya lagi dengan seribu persoalan di kepala.
Jaad bangkit tanpa mempedulikan pertanyaan Lila. Punggungnya yang telah dikotori oleh debu dan tanah akibat jatuh berguling-guling bersama Lila tadi segera dikuis-kuis.

“Lain kali, bila berjalan tu… pandang kiri kanan. Ada mata guna. Bukannya pakai kepala lutut. Menyusahkan orang!” Jaad menjerkah. Walaupun rasa marah masih lagi tersisa, sedikit sebanyak dia merasa lega apabila mendapati Lila tidak apa-apa.

Excuse me! Aku menyusahkan orang? Siapa? Kau?” Hati Lila kepedihan mendengar jerkahan Jaad. Lelaki ini benar-benar melampau dan keterlaluan. Dia tidak pernah meminta bantuan Jaad tetapi lelaki itu yang rela hati muncul di depannya untuk menyelamatkannya. Jadi, adakah itu salah dia?

“Lila, mamat misteri…” Jess berbisik rapat di telinga Lila tetapi terlebih dulu Lila menghentikannya dengan cuitan di lengan. Wajah Jaad dipandang. Sudah banyak hari dia memikirkan tentang lelaki ini. Baru hari ini Jaad muncul lagi di depannya dan berlagak seperti seorang hero. Siapa sebenarnya lelaki ini?

“Kau siapa? Stalker ke?” Itu yang terlintas di kepala Lila tatkala menatap wajah Jaad. Stalker. Jika bukan, kenapa Jaad tiba-tiba muncul lalu menyelamatkannya daripada menjadi mangsa kemalangan?

Jaad pula memutar-mutarkan matanya. Stalker? Huh, tak kuasa! Ada banyak lagi kerja berfaedah yang boleh dilakukannya daripada menghabiskan masa untuk menjadi stalker kepada perempuan ini.

“Nama aku bukan stalker. Aku Jaad. Dah hilang ingatan ke apa kau ni?” Jaad mengesat-ngesat tangannya yang turut dipenuhi oleh debu dan pasir. Berniat untuk beredar, langkah Jaad memegun kemudiannya apabila dihalang oleh Lila yang sedang mendepakan tangan di hadapannya.

“Aku tahulah nama kau Jaad. Kau dah beritahu aku malam tu. Tapi, kau siapa? Apa yang kau nak daripada aku, Jaad?”

Nothing,” balas Jaad bersama wajah toya dihadiahkan kepada Lila.

“Beritahu ajelah perkara yang sebenar. Kau nak apa? Kenapa kau ikut aku?”
Jaad mendengus. Sejujurnya, dia tidak mahu bertelagah mahupun bertikam lidah dengan Lila. Cukup saja dia sudah melakukan perkara yang sepatutnya dia lakukan. Selebihnya, dia tidak mahu ikut campur. Ada banyak lagi perkara yang boleh dia lakukan di dalam dunia ini berbanding melayan Lila.

Jaad bergerak ke keretanya yang diletakkan di hujung tapak parkir. Namun, sekali lagi langkahnya ditahan oleh Lila. Jaad pula dengan selamba menepis tubuh Lila lalu meneruskan langkah. Tugasnya telah selesai. Tiada apa-apa yang dia perlu jelaskan pada Lila.

“Kau cakap betul-betul. Kau siapa? Kenapa kau selamatkan aku? Masuk kali ni, dah dua kali kau muncul depan aku tau!” Lila benar-benar merasa tidak puas hati. Sifat ingin tahunya mencanak-canak naik. Rahangnya mula kelihatan naik turun menahan pelbagai rasa yang menjentik hati.

“Betul kau nak tahu siapa aku?” Jaad merenung tajam mata Lila seakan-akan mahu membahamnya seperti raja rimba.

Lila mengangguk-angguk.

“Nama aku Jaad Hayder. Cukup itu saja yang kau tahu. Clear?” Jaad mendekatkan kepalanya dengan wajah Lila sehingga memaksa gadis itu berundur setapak. Melihat wajah tegang Jaad, Lila menelan liur berkali-kali. Entah kenapa dia melihat Jaad seperti seseorang yang bisa menghapus dan melenyapkannya dari dunia ini. Jaad kelihatan sungguh menggerunkan!

Perasaan takut menyelinap ke hati. Sehinggalah Jaad menghilang dari pandangannya, perasaan itu tidak pernah surut-surut. Lila baru tersedar ada banyak perkara yang dia mahu tanya pada Jaad tetapi semuanya seakan-akan berkubur apabila kereta yang dipandu oleh lelaki itu keluar dari perkarangan fakulti.

Oh my gosh! Lila, betulkan lelaki yang selamatkan you tadi tu lelaki yang sama ada dalam video viral tu?” Jess menerpa Lila.

Lila pula merengus. Memang Jaad lelaki misteri yang muncul di dalam video viral itu. Tetapi, misteri seorang Jaad memerlukan jawapan dengan segera. Apa yang seharusnya Lila lakukan untuk menghentikan teka-teki yang bersarang di kepalanya?





Dear Lila 4


Setelah beberapa hari berehat di rumah, baru kini Lila kembali menjalani rutin hariannya seperti biasa. Beberapa kontrak kerjanya dengan beberapa pihak telah dibatalkan secara rasminya setelah dia ke pejabat mereka dan mendapatkan pengesahan.

Walaupun semua cerita yang bertebaran di media sosial itu merupakan fitnah terhadap dirinya, dia tetap merasa tidak adil apabila dilayan dengan begitu teruk. Pesanan Puan Dahlia kuat bergendang di telinga Lila buat kesekian kali sebaik dia teringat tentang apa yang telah berlaku dan menimpanya.

‘Perkara dah berlaku, Lila. Tak ada apa-apa yang boleh diubah lagi. Tapi, percaya cakap umi. Lila masih boleh betulkan keadaan dengan memperbaiki diri. Tinggalkan semua perbuatan yang mendorong ke arah maksiat. Buat solat taubat. Minta ampun dekat Allah. Dan jangan lupa… minta kekuatan daripada Allah agar Lila mampu hadapi semua ini.’

Puas dia menangis di atas tikar sejadah, baru dia berasa lega. Mungkin ini balasan untuknya kerana selalu melanggar hukum tuhan. Lila rasa terpukul dengan semua ini.
Baiki diri. Mulakan hidup baru. Buktikan pada dunia bahawa dia berhak untuk mendapat peluang kedua. Dan buktikan pada dunia bahawa dia juga berhak untuk menjalani hidup seperti biasa tanpa dipengapa-apakan sama ada di media sosial atau pun di dunia nyata.
Selepas kelas pagi berakhir, Lila menuju ke kafeteria yang terletak di aras G bangunan Fakulti Perniagaan. Sedari jauh lagi dia sudah melihat kelibat Elisa dan Bella sedang melepak di sebuah meja dalam kafeteria. Dia yakin kedua-dua mereka juga sudah pasti baru habis kelas memandangkan mereka berdua mempunyai beberapa subjek berbeza dengannya pada semester ini.

Sudah banyak hari dia cuba menghubungi mereka berdua tetapi talian Elisa dan Bella sentiasa sibuk. Mujur saja dia tergerak hati untuk singgah ke kafeteria ini. Berjodoh dia dengan Elisa dan Bella setelah seminggu tidak bersua muka.

Hey, babes. What’s up? Lamanya I tak dengar cerita you berdua.” Tanpa dipelawa, Lila terus melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengan Elisa dan Bella yang sedang berbual-bual.

Sebenarnya, dia risau juga nak menegur mereka berdua. Risau kalau-kalau mereka tidak sudi untuk berbual dengannya sejak kes tempoh hari. Apatah lagi apabila Elisa dan Bella masing-masing meninggalkan group The Gorgeous Armies secara tiba-tiba.

Elisa dan Bella yang tidak bersedia menerima kehadiran Lila terus terkedu. Masing-masing menayang wajah pucat. Malah, mereka saling berpandangan sesama sendiri seolah-olah sedang bercakap dalam bahasa isyarat.

“Hai, Lila…” balas Bella sedikit tergagap-gagap. Liurnya ditelan. Senyuman kelat ditayang.

“Kenapa you berdua pandang I macam tu?” aju Lila setelah Elisa dan Bella melemparkan pandangan semacam kepadanya.

Erm, nothing!” Bella menggeleng, sekadar beralasan. Sedangkan hatinya berkocak hebat tatkala melihat Lila tiba-tiba saja muncul di hadapan mereka.

Ugutan dan amaran lelaki misteri pada malam parti anjuran Amri tempoh hari masih segar lagi di ingatannya. Entah kenapa sejak kejadian malam itu, hatinya sentiasa berasa tidak senang tambah-tambah selepas dia mendapat berita bahawa Lila telah jatuh sakit keesokan harinya.

Erm, sorry Lila. We need to go. Kami berdua ada kelas lagi lepas ni.” Elisa kalut mengemas buku-buku yang bersepah di atas meja. Begitu juga dengan Bella apabila lengannya dicuit oleh gadis itu. Kelam kabut kedua-dua gadis itu beredar setelah itu.

Lila pula hanya mampu menghantar kelibat Elisa dan Bella berlalu dengan ekor mata. Ah, kenapa dengan mereka berdua? Adakah mereka benar-benar sibuk dengan kelas atau sekadar mencari alasan agar dapat menjauhinya? Mungkinkah mereka berdua telah termakan dengan hasutan dan fitnah netizen yang tak sudah-sudah menjadikan cerita di parti itu sebagai bahan gosip dan jenaka?

Baru beberapa minit Elisa dan Bella berlalu, kini Lila nampak pula kelibat Amri dan teman-temannya memasuki kafeteria. Lila bangkit. Langsung menuju ke arah lelaki itu. Dia mahu bersemuka dengan Amri dan bertanyakan tentang hal yang terjadi.

“Am.”

Wajah Amri sedikit berubah setelah melihat Lila muncul di depan muka. Segera dia mengisyaratkan kepada teman-temannya agar meninggalkannya berdua dengan Lila.

“Lila, you nak apa?” Berpura-pura bertanya sedang dia sudah tahu apa yang Lila akan perkatakan.

“Apa dah jadi pada malam parti tu?”

“Apa yang dah jadi?” Sempat Amri mengusap-usap pipinya yang pernah ditumbuk oleh Jaad. Walaupun lukanya telah sembuh, tetapi parutnya masih kekal ada.

“You jangan buat-buat tak tahu, Am. Video you usung I bawa masuk bilik tu dah tersebar pun tapi you masih buat-buat tanya?” Lila melengking. Emosinya mula tidak terkawal. Video yang ditontonnya berulang kali singgah di kepala menyebabkan dia terasa mahu naik angin.

“Sini.” Amri mengheret Lila agar menjauhi kawasan umum di kafeteria itu. Dinding yang terletak berdekatan ruang tandas di situ didekati. Tubuh Lila ditolak sehingga berlaga dengan dinding.

“You nak cakap apa ni, Lila?”

“You cakap betul-betul, Am! Apa yang you dah buat dekat I malam tu? Macam mana I boleh ada dengan you kat dalam bilik tu?”

Amri tergelak mengejek. Jadi, Lila mencarinya sekadar mahu melepaskan marah dan mencari salahnya? Huh, nampaknya Lila benar-benar silap! Lila fikir semudah itu dia mahu mengaku? Tidak sama sekali!

“You dah lupa ke? You sendiri yang rela hati ikut I ke sana.”

“You jangan bohong, Am!” Lila membulatkan mata. Geram dengan Amri mula membiak di hati. Mana mungkin dia boleh mengikut Amri semudah itu ke sana? Kalau benar, sudah pasti dia akan ingat segalanya. Masalahnya, dia tak ingat apa-apa.
Amri tersenyum mengejek. Mendengar mulut comel Lila meninggi-ninggikan suara kepadanya menyebabkan dia terasa mahu menutup mulut Lila menggunakan bibirnya. Biar Lila tahu berhenti.

“Kalau you tak percaya, terpulang. Tapi… kalau you nak tahu, malam tu… kita berdua benar-benar enjoy, Lila. You hot sangat malam tu!” Bibir Amri didekatkan ke telinga Lila sebelum menarik senyuman lebar.

“You ni… urgh!” Lila menolak dada Amri. Geram mendengar kata-kata dustanya. Dia tahu Amri hanya berbohong. Dia dapat merasakannya. Dia tahu yang mereka tidak melakukan apa-apa pun di bilik tersebut. Dia sangat yakin walaupun fitnah sudah bertebaran merata-rata.

Amri gelak mengejek sambil mata memerhati langkah Lila ke tengah kafeteria. Puas hatinya dapat menghuru-harakan emosi Lila. Walaupun dia tidak sempat menjamah tubuh gadis itu, melihat Lila naik angin begini cukup membuatkan dia berasa puas.
Di sepanjang jalan menuju kembali ke meja yang ditinggalkan, Lila tersedar beberapa pasang mata sedang tertumpu kepadanya. Dia sekadar menjeling, mendengus dan terus menghempaskan duduk ke kerusi menahan geram.

Pandangannya berlaga dengan Amri yang mula bergerak masuk. Dipandang tajam wajah lelaki itu yang sudah duduk di sebuah meja bersama kawan-kawannya. Sakit hati sungguh apabila melihat gelagat Amri yang bagaikan tidak terkesan dengan video yang tersebar itu. Amri kelihatan sedang bergembira dengan rakan-rakannya. Nampak lebar senyumannya. Malah ketawanya yang melantun kuat juga membingitkan telinga Lila.

Benci!

Lila memeluk tubuh lalu melemparkan pandang ke arah lain. Sudahlah sakit hati, sekarang dia sakit mata pula hadap perangai Amri. Sedang melayan perasaan yang berbaur, dia dikejutkan pula dengan suara sok-sek sok-sek sekumpulan pelajar yang baru saja melangkah masuk. Ada yang memandangnya sambil melemparkan senyuman sinis, ada yang saling menyigung sesama sendiri dan ada yang mula berbisik-bisik sebelum ketawa-ketawa. Malah, ada yang mula melemparkan jelingan dan cebikan meluat seolah-olah Lila baru saja melakukan satu dosa yang tidak boleh diampunkan sampai bila-bila!

Lial sentap! Sakit hati! Geram!

“Lila!” Jess tiba-tiba saja muncul di depan mata Lila.

“Jess.” Melihatkan wajah Jess, hati Lila yang pedih dan terluka berasa sedikit lega.

 “You dari mana?”

“I dari kelas la, babe. Pagi tadi Doktor Muaz buat kuiz mengejut. Nasib baik I yang tak mati terkejut. Sudahlah I tak sempat study apa-apa pun. Haih!” Jess membebel tidak puas hati.

“Eh, nasib baik tau!” tiba-tiba Jess bersuara ketika Lila sedang mengelamun.

“Kenapa?”

“Puas I cari you tau, Lila. I call you banyak kali tapi sampai sudah you tak jawab. Nasib baik I terserempak dengan Bella dan Elisa. Diorang yang beritahu I yang you ada kat sini.” Panjang lebar Jess menerangkan sehingga Lila tersenyum kecil padanya.

Sorry, bateri telefon I dah flat. I terlupa nak cas. Powerbank I pula tertinggal.”

“Jess.” Lila menyeru nama Jess setelah lama terdiam dan menyepikan diri.

“Hmm?”

“You tak benci I, kan?”

“Kenapa I kena bencikan you pula?” Jess ketawa-ketawa.

“Pasal apa yang dah terjadi pada I.” Lila menjulingkan mata. Alahai, Jess. Dia tak faham atau buat-buat tak faham?

“I tak ada sebab untuk bencikan you. I kenal you lebih daripada orang lain. You tahulah kan macam mana perangai keyboard warrior? Diorang boleh tulis dan cakap apa-apa saja yang diorang suka sedangkan diorang tak tahu apa-apa pun. Kenal you pun tidak, tapi masih berani nak bercakap bukan-bukan pasal you. Alah, you jangan risau. Jangan pedulikan sangat pasal netizen dan onion armies yang lebih sudu dari kuah tu!” Jess ketawa menyebabkan Lila turut hendak ketawa.

Ini yang dia paling suka dengan Jess. Seorang kawan yang positif dan tidak kesah apa yang orang hendak kata. Pendirian Jess teguh untuk berada di sisi Lila ketika susah mahu pun senang. Dia benar-benar lega mendengar kata-kata Jess.

“Maknanya, you tak percaya bulat-bulat pada video yang tersebar tu?”

“Video yang mana satu?”

“Jess!”

Okay, fine. I gurau ajelah. Pasal video tu… tengok boleh tapi percaya jangan. Lagi pun, I rasa video tu video edit kut! Macam over sangat. Ni mesti geng-geng kaki fitnah yang sengaja buat video tu untuk menjatuhkan you.”

Lila terdiam. Video edit kata Jess? Entahlah! Tapi, kalau ditenung betul-betul… dia tak rasa semua itu edit. Dia yakin ada seseorang yang sengaja merakam kejadian itu lalu menyebarkannya.

“Tapi, I pelik. Macam mana you boleh ikut Amri ke bilik tu? Dan macam mana lelaki misteri tu tahu you dengan Amri ada kat sana?” Mata Jess membulat. Mula nak mengorek cerita lagi daripada Lila walaupun dia sudah sedia maklum apa yang terjadi.

Lila menjatuhkan mata ke arah Amri yang sedang bergembira dengan rakan-rakannya.
“Kurang ajar betul si Amri ni. Dia kata malam tu, I dengan dia dah enjoy puas-puas. Dia beritahu yang I dengan rela hati ikut dia masuk ke bilik tu. Sumpah, Jess. I tak ingat apa-apa. Takkan you pun tak nampak apa-apa?”

Jess menggeleng. Dia pun tak sedar bila masa Lila hilang dari pandangannya. Ketika itu, dia sibuk berseronok sehingga lupa orang di keliling. Tapi, beberapa ketika kemudian keadaan di vila itu mulai kecoh apabila dia melihat kelibat tiga lelaki asing keluar dari vila membawa Lila bersama. Selebihnya, dia memang tak tahu apa-apa.

“Amri cakap apa lagi?”

Lila menggigit bibir. Rasa geramnya mencanak naik. Perlahan-lahan Lila menggeleng.

“Nasib baik ada lelaki tu,” ujarnya separa sedar.





Dear Lila 3



Pintu bilik Lila diketuk oleh Puan Dahlia. Mahu memeriksa keadaan gadis itu pagi ini sebelum dia keluar ke Lila’s Café. Teringat yang Lila pulang dalam keadaan yang sedikit mencurigakan malam tadi membuatkan hati kecilnya terdetik untuk bertanya.

“Lila.” Puan Dahlia menyeru nama gadis itu tetapi panggilannya tidak bersahut. Diketuknya pintu bilik Lila beberapa kali namun masih tiada jawapan dari dalam.

Tap!

Tombol pintu bilik dipulas. Pintu dikuak. Terlihat Lila masih berselubung di bawah comforter.

“Ya Allah, Lila. Kenapa tak bangun lagi ni? Dah lewat, Lila. Nanti lambat pergi photoshoot.” Puan Dahlia mendekati Lila sambil membebel kecil. Bahu gadis itu ditepuk-tepuk halus sambil memanggil-manggilnya lagi tetapi panggilannya tetap tidak bersahut sehingga menyebabkan Puan Dahlia terpaksa menarik comforter lalu melemparkannya ke bawah. Jam di dinding dijeling. Sudah pukul 8.45 pagi. Bukankah Lila mempunyai call time pada jam 9 pagi?

“Lila, bangunlah. Dengar tak umi panggil ni? Dah lewat ni.” Puan Dahlia menggoncang-goncang bahu Lila tetapi gadis itu masih terus terkaku di atas katil.

Melihat keadaan Lila, Puan Dahlia sedikit panik. Menyedari wajah Lila yang memucat dengan bibirnya kelihatan kering menyebabkan dia kekalutan seorang diri. Disentuh pula dahi dan leher Lila. Panas!

“Lila, bangunlah. Jangan buat umi risau, sayang. Ya Allah!”

Nafas Lila kedengaran sangat perlahan. Pergelangan tangan Lila disentuh, memeriksa denyutan nadinya. Kerisauan Puan Dahlia mula bermukim di hati apabila melihat keadaan Lila dan memikirkan tentang Datuk Katrina. Apa yang dia hendak jawab kepada wanita itu jika Datuk Katrina melefonnya nanti bertanya tentang Lila? Yang lebih merisaukannya ialah apa yang dia perlu lakukan dengan Lila sekarang ini?

Dua jam kemudian, setelah Puan Dahlia mengiringi doktor peribadi keluarga mereka ke muka pintu, dia bergegas naik ke bilik Lila untuk memeriksa keadaan gadis itu. Baru sekarang dia berasa lega setelah Doktor Ruzana mengesahkan bahawa Lila hanya demam biasa dan tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital. Lila hanya perlu berehat di rumah selama beberapa hari sehinggalah keadaannya kembali pulih seperti biasa.

“Umi tak pergi kafe ke?” aju Lila tatkala dia sedang membantu gadis itu bersandar ke kepala katil.

“Tak. Hari ni umi temankan Lila kat rumah.”

“Tak payah la, umi. Lila okey aje ni. Umi pergilah kafe. Lila boleh jaga diri sendiri.”

“Isk, Lila ni buat umi risau ajelah. Lila tu bukannya sihat lagi. Macam mana kalau jadi apa-apa masa umi tak ada di rumah?”

Lila hanya tersenyum kecil melihatkan raut wajah Puan Dahlia. Risau benar wanita itu dengan dirinya. Tidak seperti Datuk Katrina. Lila hidup atau mati… dia tidak pernah peduli. Apa yang dia tahu, hanya perniagaannya saja. Lila mengeluh deras apabila mengenangkan Datuk Katrina. Alangkah indahnya kalau Datuk Katrina ada bersama dengannya ketika dia jatuh sakit begini.

“Kuat mengeluh tu. Fikir apa?” Sempat lagi Puan Dahlia mencuit dagu Lila yang sedang termenung di atas katil.

“Mommy ada telefon umi?”

“Tak ada pula. Kenapa Lila tanya?”

“Saja. Tapi, kalau mommy telefon umi nanti, jangan cakap apa-apa kat dia pasal Lila.”

“Kenapa pula umi tak boleh beritahu dia apa-apa? Lila kan anak dia?” Puan Dahlia menggeleng.

Dia tahu dan ingat dengan pesanan yang Lila selalu titipkan buat dia supaya tidak memaklumkan apa-apa kepada Datuk Katrina mengenai dirinya. Puan Dahlia sebenarnya rasa tersepit. Di sini Lila dan di sana Datuk Katrina. Dua-dua dia sayang. Tapi, bila hubungan mereka ada masalah… Puan Dahlia tak tahu nak buat apa. Kebetulan pula dia memang tidak sempat hendak menelefon Datuk Katrina memaklumkan keadaan Lila. Dia teringat yang Datuk Katrina ada beritahunya yang wanita itu akan berada di luar kawasan untuk dua atau tiga hari. Jadi, dia mungkin tidak boleh berhubung dengan wanita itu.

“Memang Lila anak dia tapi Lila tak tahulah sama ada dia masih ingat yang Lila ni anak dia atau tidak,” jawab Lila acuh tak acuh.

“Lila, tak baik cakap macam tu.”

“Lila tak nak dia tahu apa-apa pasal Lila. Lila tak mahu kerana Lila, dia terpaksa balik dan tinggalkan semua urusan dia di sana. Lila tak mahu nanti Lila yang dipersalahkan. Nanti mommy kata Lila anak manja dan mengada-ada. Lila letih kena tuduh macam tu, umi.” Lirih saja suara Lila saat memberitahu Puan Dahlia apa yang dirasakannya.

“Isk, apa cakap macam tu? Lila anak dia. Mestilah dia akan risaukan Lila bila dia dapat tahu apa yang terjadi dekat Lila. Ibu mana yang tak susah hati? Umi sendiri bila tengok keadaan Lila pagi tadi, umi rasa macam nak hilang nyawa.” Panjang lebar Puan Dahlia membalas.
Dia tahu dan sangat faham apa yang berada di hati kecil Lila. Gadis itu hanya mahukan ibunya berada di sisi. Tetapi, keadaan tidak mengizinkan. Lila tidak mahu memahami Datuk Katrina dan Datuk Katrina pula tidak pernah mahu memahamkan Lila tentang tuntutan kerjanya.

“Dah, tak payah sedih-sedih macam ni. Lila tak boleh fikir banyak sangat. Rehat aje ya?” Puan Dahlia menepuk-nepuk pipi Lila dengan sepenuh kasih dan sayang. Sejujurnya, dia sangat tidak suka melihat wajah anak saudaranya itu muram dan sedih.

“Umi nak turun ke bawah sekejap. Umi nak masakkan bubur untuk Lila. Lepas makan nanti, Lila makan ubat yang doktor bagi.” Puan Dahlia berpesan dengan rasa risau yang masih tersisa.

Dia risau melihat keadaan Lila yang lemah dan tidak berdaya. Jika boleh, dia sanggup untuk bertukar tempat dengan Lila. Biar sakit Lila berpindah ke tubuhnya. Tapi apakan daya. Dia hanya manusia biasa yang tak mampu berbuat apa-apa kecuali satu. Iaitu doa. Kerana doa seorang ibu itu sangat berkuasa buat seorang anak.

Lila melentokkan kepala ke bantal empuknya sebaik saja Puan Dahlia menghilang dari pandangan. Fikirannya berserabut. Dipenuhi dengan pelbagai hal. Hal Datuk Katrina, hal kelas dan pelajarannya, hal kerja, hal netizen dan media sosial dan… Jaad! Ya, baru dia teringat tentang lelaki yang dikenali sebagai Jaad.

Siapa lelaki itu yang sebenarnya? Apa yang Jaad buat malam semalam? Dan bagaimana Jaad boleh berada di sampingnya sedangkan dia langsung tidak mengenali lelaki itu? Malah, Lila tidak mengingati apa-apa pun yang telah berlaku malam semalam. Ah, dia sungguh-sungguh tidak ingat!

Memorinya seolah-olah telah dibersihkan. Kosong. Perkara terakhir yang dia ingat adalah lantai tari. Ya, dia sedang berada di lantai tari bersama teman-temannya.

Teringat tentang teman-temannya, laju saja tangan mencapai telefon pintarnya yang telah lama kehabisan bateri. Beberapa ketika menanti telefon tersebut bercas, kelam-kabut Lila menghidupkannya semula.

Ting!
Kluk!
Kluk!

Beberapa bunyi notifikasi mencuri tumpuan Lila. Dada skrin ditekan-tekan. Jari-jemarinya pantas menari-nari di atas muka skrin telefon dan terlihat berderet-deret notifikasi dalam kotak WhatsApp. Malah, ada berpuluh-puluh panggilan yang tidak berjawab dan juga voicemail yang telah memenuhi kotak mesej telefonnya.

Lila menekan satu per satu dan mendapati hampir kesemua mesej itu datangnya daripada Jess.

+Babe, where are you?

+Lila, you pergi mana? You tahu tak? Tadi I dengar Amri kena belasah dengan seseorang!

+Oh my gosh! Lila… are you okay, babe? Ramai orang kat sini cakap lelaki yang pukul Amri tu dah bawa you pergi. Where are you, Lila? Tolong jawab panggilan I dan balas mesej ni. I risaukan you!

+Lila, please answer my phone call. I risau dekat you tau!

+Lila, lelaki tu dah bawa you pergi mana? Kalau you tak jawab dalam masa dua puluh empat jam, I akan pergi buat laporan polis. Sumpah I akan pergi balai polis!
Lila membaca satu per satu pesanan yang telah dihantar oleh Jess melalui WhatsApp. Dan mesej terakhir yang sempat dibacanya berbunyi…

+OMG! Babe, please tengok Instagram. Cerita pasal you dah jadi viral!
Mata Lila membulat setelah itu. Apa dia? Viral? Kelam kabut dia memeriksa laman Instagram dan ternyata apa yang dikatakan oleh Jess itu benar-benar sedang berlaku. Berita tentang dirinya telah tersebar ke seantero dunia maya!

Lila telah menyebabkan dua orang lelaki bergaduh kerananya!

Lila bermain cinta dengan Amri. Dalam masa yang sama mempunyai hubungan sulit dengan lelaki misteri.

Leyla Darlina gadis liar! Kaki parti. Kaki arak. Kaki mabuk. Dan sekarang jadi kaki jantan! Boikot dia!

Tangan Lila menggeletar apabila membaca satu per satu artikel yang tertulis di media sosial mengenai dirinya. Ternyata, semua yang telah ditulis dan dimuatnaik hanyalah fitnah dan tuduhan yang sama sekali tidak betul. Tidak! Lila tahu dia bukan seperti apa yang telah disebarkan dan sedang bertebaran di media sosial. Namun, Lila masih kebingungan. Adakah semua ini terjadi berpunca daripada apa yang berlaku di parti Amri malam semalam?

Lila terpempan. Kepalanya dipicit-picit. Tiba-tiba saja kepalanya terasa berdenyut-denyut.
Kata-kata tuduhan tentang hubungannya dengan Amri berlegar-legar di fikiran. Bila masa pula dia bermain cinta dengan Amri? Selama ini, dia hanya menganggap Amri itu sekadar teman sekolej. Amri cuma seniornya dan dia tidak pernah mempunyai perasaan terhadap lelaki itu. Jadi, bagaimana dia boleh menjalin hubungan cinta sehingga dituduh sebegitu rupa?

Sekali lagi dia memicit-micit kepalanya menghalau sakit yang bertamu tak henti-henti. Dia cuba mencari sisa-sisa memorinya pada hari semalam tetapi beberapa notifikasi yang masuk ke peti telefonnya mengalihkan perhatiannya serta-merta.

+Lila, kontrak you automatik terbatal. You tak perlu lagi datang ke studio untuk penggambaran.

+Lila, perbuatan you betul-betul memalukan! I tak sangka perangai you macam ni. Di depan nampak baik, tapi di belakang… urff! I tak nak mempunyai talent yang langsung tak pandai jaga nama baik sendiri.

+I dah tengok video you. I’m sorry, Lila. Demi menjaga reputasi dan nama baik syarikat, kami terpaksa membatalkan kontrak you serta-merta berkuatkuasa hari ini.
Tidak lama kemudian, satu video yang berdurasi selama 30 saat sedang terpampang di kotak WhatsApp beberapa group yang disertai oleh Lila, termasuklah group pelajar kelasnya.

Di dalam video yang baru saja dimainkannya, terlihat Amri sedang memeluk erat batang tubuh seorang gadis sebelum melangkah masuk ke sebuah bilik. Kemudian, masuk satu lagi video yang berdurasi selama satu minit. Terlihat Amri sedang dibelasah oleh seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya kerana membelakangkan kamera. Tidak lama selepas itu, lelaki itu terlihat mencempung tubuh seorang gadis lalu menyelinap keluar dari sebuah bilik diekori oleh dua lagi lelaki. Dan…

Nanti sekejap! Lila pantas menekan butang pause pada video berkenaan. Oh my gosh! Bukankah itu adalah dirinya sendiri? Tapi, macam mana dia merelakan diri dibawa oleh Amri masuk ke sana? Apa yang telah mereka lakukan di dalam bilik tersebut? Dan, apakah yang telah menyebabkan Amri dibelasah dan dilanyak sehingga sebegitu rupa?

 “Jaad?” Tidak semena-mena saja terpacul nama lelaki itu dari celah bibir Lila.

Apakah ini yang dimaksudkan oleh netizen?

Apakah Jaad lelaki misteri tersebut?

Pantas Lila menekan nombor Jess. Tetapi panggilannya tidak berjawab. Dia menekan pula nombor Bella dan Elisa. Masih sama. Mereka tidak juga menjawab panggilannya. Sudahnya, Lila menaip satu mesej dan menghantarnya ke dalam group The Gorgeous Armies.

+Hey, babes. Where are you? Kenapa semua orang tak jawab panggilan I?

Elisa is typing…

Tiba-tiba…

Elisa blue tick.
Jess grey tick.
Bella blue tick.
Dan…

Elisa left group.
Bella left group.
Jess, masih grey tick.

Lila terpinga-pinga. Apa yang sudah terjadi?




BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...