Friday, 24 May 2013

Babak Terakhir Bab 7&8


Bab 7

“Fea,kau pergi tunjukkan bilik Rizal dengan Rania kat tingkat atas.“arah Tok Saif kepada Fea apabila gadis itu sedang enak menonton televisyen di ruang tv di tingkat bawah yang terletak bersebelahan dengan bilik bacaan yang jaraknya cuma 5 meter dari tangga menuju ke tingkat atas.Fea membentak.

‘Aduh,Tok Saif ni! Baik punya dok layan drama kat Astro Prima,waktu ni juga nak suruh berkhidmat untuk angsa dua ekor ni! Tak adil betul! Mana perginya orang gaji Tok Saif ni??‘

“Yelah Tok Saif.Patik menurut perintah.“ Tok Saif mendengus melihat gelagat Fea.Ada-ada saja si Fea ni,fikirnya lagi.
Rizal dan Rania sudah terpacak di hadapan anak-anak tangga menunggu Fea menunjukkan arah ke bilik bersama dengan beberapa beg yang dibawa bersama.Fea sengih namun tidak ikhlas.

“Jomlah,korang mesti dah penat kan?“ Fea cuba berbasa basi.
Rizal dan Rania angguk.Mereka hanya menurut langkah Fea menuju ke tingkat atas.Ruang yang selesa dan cantik begitu membuatkan keduanya senang dilayan bagai anak raja.

Apabila sampai ke tingkat atas,mata mereka terpaku memandang pintu-pintu kayu berukir yang berwarna putih yang tersusun sederet di hadapan lorong yang terletak di hadapan tangga.Mulut Rania terlopong.Begitu juga dengan Rizal.
Luasnya banglo milik Tok Saif! Begitu banyak bilik yang terdapat di situ!Ini baru tingkat kedua,belum tingkat yang teratas sekali.

Fea melihat reaksi Rania dan Rizal malah timbul idea nakal untuk menyakat mereka.
“Pilih je mana-mana bilik yang korang suka.“
“Wow,best nya! Kalau tahu macam ni,dari dulu sis balik Malaysia!“ Rania melepaskan beg tangannya ke bawah dan berlari anak menuju ke bilik pertama.Rizal pula masih tercegat di tempatnya.

“Tapi dengan satu syarat.“tutur Fea lagi.
Rania berhenti berlari.Rizal pula sudah pandang wajah Fea.
“Apa dia?”
“Selepas korang decide nak bilik yang mana,seorang pun tak dibenarkan tukar bilik.”
“Kenapa?” tanya Rania.Rizal mengiyakan pertanyaan kakaknya.
“Kalau korang nak tahu,selepas pukul 12…tak ada sesiapa pun akan dibenarkan keluar dari bilik masing-masing.”

“Yeke? Hmm…nampaknya tak mungkin kita tukar bilik kan Jai? Okeylah,biar sis pilih bilik dulu.” Ujar Rania seakan tidak mempedulikan arahan Fea.Dia menarik beg berodanya menuju ke bilik nombor 3 sebelah kanan.Entah kenapa cepat saja dia memilih bilik tersebut sedangkan pintunya kelihatan sama saja dengan yang lain.
Rizal masih tercegat.Matanya saja yang menghantar kelibat Rania membolosi bilik pilihannya itu.”Kenapa selepas pukul 12 tak dibenarkan keluar dari bilik?” Rizal mendekati Fea.

“Sebab setiap bilik kat rumah Tok Saif ni……ada khadam.Sesiapa yang keluar dari bilik pukul 12,khadam akan ikut dia sampai subuh.” Bisik Fea.Rizal mencebik seolah tidak percaya.”Khadam?What is that?” tanya Rania tiba-tiba ingin tahu.Dia berhenti di hadapan pintu bilik sambil menoleh memandang Sofea.”Khadam.Penjaga.Jin or something lah sis.” Terang Rizal lalu Fea mengiyakan.

”Mengarut! Benda tahyul,mana boleh percaya!” bidas Rizal kemudiannya masih tidak berganjak dari tempatnya sambil bercekak pinggang.”Oh,please! Nonsense! Don’t be ridiculous!” ucap Rania lagi sambil buat muka.Dia benar-benar tidak percaya kata-kata Fea.Mungkin Fea hanya mahu menakut-nakutkannya.Dia mendekati Rizal dan Fea.”Please Sofea.You jangan nak takut-takutkan I.You fikir you cakap ada khatam…khazam….errr…I takut??”

“Khadam.” Potong Fea.
“Whatever.You think your joke is funny,huh?” ucap Rania dalam loghat Britishnya.
“Aku tak buat lawaklah.Aku cakap perkara betul.”tekan Fea sambil buat wajah bersungguh-sungguh.

“Please be matured Sofea.Mana ada orang pakai jin zaman sekarang.Lainlah if you said,ada vampire kat dalam bilik tu.Macam dalam cerita Twilight.Oh,so sweet and romantic!” Rania tergedik-gedik mengingati Robert Pattinson si pontinak kacak dalam cerita Twilight.Fea mendengus.

‘Boleh pula dia ingat kat Robert Pattinson ya?’
“Tak percayalah.Takkan rumah semewah ini boleh ada khadam.Tok Saif bela jin ke?”tanya Rizal pula.
Fea angkat bahu.

“Aku tak tahu tapi yang aku tahu bilik-bilik ni semua ada khadam.Lagi satu nak diingatkan,tinggal dalam bilik ni jangan sepahkan barang merata-rata kalau tak nak khadam tu mengamuk.Aku tak bertanggungjawab tau kalau esok pagi korang bangun tidur korang ada kat tempat lain.”

Rania sudah kecut perut mendengarkan penjelasan Fea walaupun dalam hatinya masih ada perasaan was-was.
‘Tidur dalam bilik tapi bila bangun kat tempat lain?’
“Hmm…one more thing.Kalau pertama kali tidur dalam bilik di rumah ni,sila elak daripada menggunakan katil walaupun hanya untuk meletakkan barang-barang.”
“Habis tu nak tidur kat mana?”tanya Rania masih belum berpuas hati.
‘’Mana-mana saja asalkan jangan atas katil.‘‘

“Isyh,you jangan nak merepeklah Sofea.” Ucap Rania lagi sedikit melenting.Entah undang-undang mana yang dipakainya?? Macam cerita kartun!
“Ini bukan kampung.Mana ada hantu dan jin!Lagipun tak masuk akal pula kalau hantu-hantu yang you cakapkan tu boleh ubah tempat tidur bila bangun esok pagi.” Tokok Rizal cuba mententeramkan hati.Baginya Fea sekadar mahu mengusik.

“Kau duduk kat luar negara apa tahu?! Ini Malaysia.Terpulanglah pada kau nak percaya ke tidak tapi kalau khadam bilik tu ikut kau sampai subuh,jangan cari aku okey.“ Ucap Fea keras.Mamat sorang ni,susah pulak nak percaya cakap aku! Sama macam kakak dia.

“Lagipun,bilik-bilik dalam rumah Tok Saif ni dah lama kosong tak berpenghuni.Kata orang-orang tua,bilik atau rumah yang dibiarkan kosong lebih dari 3 hari akan didiami oleh makhluk tertentu dan bila orang lain cuba tinggal di situ,mulalah makhluk tu naik angin.Sebab tulah dalam rumah ni ada khadam tolong jagakan untuk mengelakkan makhluk lain menumpang tanpa bayar sewa.Ada faham?“

Fea angkat kaki mahu turun ke tingkat bawah namun Rizal menepuk bahunya.“Sofea,betul ke apa yang you cakap tu?“ Fea lihat wajah Rizal mula runsing.Lelaki itu sudah mula menggosok-gosok tengkuknya.Mungkin bulu roma sudah meremang,fikir Fea.Takut kena alih tempat tidurlah tu! Dia ketawa dalam hati.Yes,jerat mengena!

“Kenapa?Muka aku ada macam orang menipu ke?“ Rizal angkat bahu.
“You ni,janganlah main-main.“
‘’Kau takut ke ? ‘’ usik Fea lagi.Hah,takutlah tu.Budak pembuli dah takut !
Rizal berdalih menjawab pertanyaan Fea. ‘’Okeylah,aku turun bawah.Pergilah pilih bilik yang mana kau suka.Tapi jangan lupa apa yang aku pesan tu ! Lagi satu masa nak masuk bilik tu,langkah dengan kaki kanan dan baca bismillah 3 kali,Al-Fatihah,3 Qul dan ayat Qursi.Aku harap korang berdua masih belum lupalah dengan bacaan ayat al-quran tu!’’
Fea segera beredar meninggalkan Rizal dan Rania yang terpinga-pinga bersama sebuah senyuman jahat!!

++++++++++++++++++++

Mata Rizal terpisat-pisat.Dia bangun dari pembaringannya.Sejak semalam dia tidak dapat melelapkan matanya.Ini semua gara-gara memikirkan tentang peringatan yang diberikan oleh Fea.

‘Jangan tidur atas katil untuk malam pertama?Ceh,dah macam kena hukuman dari isteri saja.’
Rizal segera bangun namun belakang badannya yang lenguh dan sakit membantutkan usahanya untuk berdiri.
“Aduh,sakitnya.” Rintih Rizal sambil memegang pinggangnya.Seluruh tubuhnya terasa bagai didera.Sudahlah penat menaiki penerbangan berbelas jam dari London belum hilang,ini ditambah pula dengan tak cukup tidur dan sakit badan gara-gara tidur di atas lantai beralaskan selimut nipis.Dia lihat katil empuk bersaiz king yang berada bersebelahan dengan tempat dia tidur.Menyesal pula dia mendengar cakap Fea.Entah betul entah kan tidak.Isyh,macam tak boleh diterima akal saja.Tapi bagaimana kalau apa yang dikatakan oleh Fea benar?

Arghh,malas mahu fikir! Sekarang ni aku perlu bangun dan mandi.
Rizal segera mengambil jam tangannya yang diletakkan di sebelah tempat tidurnya.“Dah pukul 8?Alamak,semua orang dah bangun agaknya.Kenapalah aku boleh terlepas solat subuh ni??“

Rizal cepat-cepat bangun dan masuk ke bilik air untuk mandi.Dia tidak mahu lambat turun ke bawah.Dia takut jika dilabel besar kepala sekiranya lambat ke bawah.Maklumlah,ini bukan rumahnya.

Fea berehat-rehat di meja makan sambil membaca surat khabar.Hatinya begitu senang.Tiada sesiapa di situ melainkan Tok Saif yang baru duduk untuk bersarapan.Emaknya Lia Sari dan kedua orang tua Rizal,Auntie Arfa dan Uncle Mokhtar sudah awal-awal menghilangkan diri.Ke mana mereka pergi tidak pula di ambil pusing.

“Hmm…Fea.Mana yang lain?Tak turun sarapan?“ Fea memandang sekilas pada Tok Saif.“Entah.Tak nampak batang hidung pun.“ Selamba ayatnya.Tok Saif mengangguk.“Tak apalah,biarkan mereka semua berehat.Penat lagi agaknya.“ Fea mengangguk setuju lalu menyambung menatap surat khabar.Sesekali,dia menyuapkan Koko Krunch yang sudah dicampur susu di dalam mangkuk menuju ke mulutnya.Enak sungguh Koko Krunch.Terasa kenikmatan asli dari ladang gandum!

“Selamat pagi.Tok Saif…Sofea...“ Sepantas ucapan itu,Fea tersedak.Cepat-cepat diambilnya air kosong di hadapan lalu meneguknya dengan laju.Terkejut dengan suara Rizal yang datang secara tiba-tiba.Baru saja dia mahu menelan sisa Koko Krunch yang berada dalam mulutnya apabila lelaki itu menegur.“Ya Allah,kenapa kau ni Fea?“ Tok Saif bersuara sambil mengerut wajah.Pelik dengan gelagat Fea.Macam mana boleh tersedak ni?

“Koko Krunch ni sedap sangat Tok Saif.“ Fea berloyar buruk sambil mengelap mulutnya yang comot dengan tisu.Tok Saif menggeleng.Ada-ada saja si Sofea ni.
Rizal sengih memandang Fea.Dia mendekati meja makan dalam keadaan lenguh badan.Rizal senyum pada Tok Saif sebelum dia mengambil tempat duduk bertentang dengan Fea.Gadis itu buat muka.

‘Hisy,pagi-pagi lagi dah tunjuk muka depan aku!‘
“Duduk Rizal.Sarapan dulu.“ Pelawa Tok Saif sambil menyuapkan pankek madu ke dalam mulut.Rizal angguk.Dia menuangkan teh ke dalam cawan yang sudah terhidang lalu minum.Namun tidak berapa lama kemudian,dia berasa lenguh di belakang badannya semakin menjadi-jadi.Dia memicit-micit pinggang dan tengkuknya.Sesekali dia beralih kedudukannya di kerusi supaya terasa lebih selesa.“Macam mana tidur semalam?Nyenyak?“ sapa Tok Saif ingin tahu.Rizal teragak-agak.

‘Nak jawab yang jujur ke tidak?‘
“Errr….“
“Mestilah nyenyak,kan Rizal?Dapat tidur dalam bilik yang selesa,luas,katil empuk.Betul tak?“ Fea memotong.Sengaja menyindir Rizal.Dia tahu,Rizal pasti mendengar kata-kata nistanya semalam berkenaan khadam.Jika tidak,tak mungkin Rizal turun dengan wajah yang sembab dan sakit belakang.Fea ketawa dalam hati.
‘Padan muka kau wahai encik pembuli!Sekarang ini giliran aku merasa diri membuli orang lain.‘

“Betul ke Rizal?“ tanya Tok Saif menginginkan kepastian.Rizal tiada pilihan lain selain mengangguk.Dia mencerun menatap wajah Fea yang masih selamba.
“Hmmm…baguslah macam tu.Senang hati Tok Saif ni mendengar.Risau juga kalau-kalau Rizal tak selesa dengan bilik.Kalau tak selesa,cakap saja pada Tok Saif.“

“Tak apa Tok Saif.Tak payah susah-susah.Bilik yang Jai duduk tu memang dah cukup selesa.Nyenyak sangat semalam sampaikan dah pagi pun tak sedar.Tahu-tahu saja dah pukul 8 pagi.“ Ucap Rizal lagi sambil matanya masih tak lepas-lepas menatap wajah Fea di hadapannya.Tok Saif pula tersenyum senang hati.

“Mana Rania?Belum bangun?“
“Aduh,sakitnya badan.“ Adu Rania tiba-tiba.Ketiga-tiga mata mereka menangkap susuk tubuh Rania yang sudah terpacak di penghujung meja makan yang saiznya muat untuk dua belas orang.Berkerut-kerut wajah gadis itu sambil mengurut tengkuknya.Dia lalu mendekati Rizal dan duduk bersebelahan dengan lelaki itu.Fea mencebik namun jauh dalam hatinya dia teramat gembira.Gembira dengan keadaan diri dua ekor angsa di hadapannya.

‘Bodoh betul angsa dua ekor ni! Percaya juga cakap aku! Ceh,kata updated,open minded tapi akhirnya termakan juga kata-kata penipuan aku? Kasihan!!‘
“Kenapa Rania?Sakit badan?“tanya Tok Saif.
“Tok Saif,ada tak spa yang bagus sekitar sini?Nia nak pergi merehatkan badan.Sakit sangat.Semalam kan Nia kena tidur di…”

“Ada!Aku tahu spa yang paling best kat area sini.Nanti aku bawa kau.” Potong Fea cepat-cepat.Dia tahu pasti Rania mahu membuka mulut memberitahu tentang keadaan dirinya yang terpaksa tidur di tempat lain melainkan katil.Fuhh…nasib baik sempat potong cakap!

Rania mengurut lengannya.Fea melihat Rania dengan perasaan yang menyampah.
“Hah,Fea.Nanti pergilah temankan Rania ke spa.Rehat-rehatkan badan dan minda.Kesian dia.Letih berjalan jauh masih belum hilang.Rizal,kalau nak pergi mana-mana ajaklah Fea.Biar dia temankan.” Cadang Tok Saif namun cadangan itu sebenarnya ditolak keras oleh Fea tetapi Fea tidak mampu suarakan.

‘Isyh,mengada-ngada betullah minah saleh ni.Baru tak dapat tidur atas katil satu malam dah sibuk nak mengurut.Nak pergi spa lah,eee…mengada-ngada betul.Tak pasal-pasal aku pula yang kena temankan dia.‘

‘Itulah Fea.Siapa suruh kau gatal pergi offer nak temankan dia.Kan sendiri yang susah??!’ marah kata hatinya.
“Pukul 10 kita pergi okey.I dah tak tahan.Sakit sangat-sangat badan I ni.” Ucap Rania dalam nada menggedik.

“Sudahlah Rania.Makan dulu,sekejap lagi Fea temankan kau pergi spa.” Ucap Tok Saif sambil bangun dari kerusi.
“Eh,Tok Saif dah habis makan?Nak ke mana?” tanya Rizal.Dia melihat dari atas ke bawah badan lelaki tua itu.Segak.Kemas.

“Aku nak ke pejabat.Hari ni kan Isnin.”
“Oh,lupa pula.Hati-hati Tok Saif,selamat bertugas.” Ucap Rizal senyum sebelum sambung minum.

Mata Fea segera menghantar kelibat Tok Saif keluar dari ruang makan.Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung bacaannya yang sedikit terganggu sejak tadi.
“Sampai hati you mempermainkan kami.” Lirih ucapan yang keluar dari mulut Rizal.Matanya tidak beralih dari menatap wajah Fea yang masih bereaksi selamba seperti orang tidak bersalah.Dia yakin Fea hanya mempermainkannya dan Rania.

“Sofea!”
“Hah?” soal Fea terpinga-pinga apabila namanya diucap lantang oleh Rizal.
“I cakap dengan you.Dengar tak?” Rizal membentak.Geram pula rasanya apabila bercakap seperti bercakap dengan tunggul kayu.

“Belum pekak lagilah.Kenapa?”
“Hello,Cik Sofea.My brother cakap dengan you lah.” Sampuk Rania tidak puas hati.
“Ada apa,Cik Rania?” balas Sofea.
‘Ewah-ewah.Berani tinggi suara nampak?Mentang-mentang Tok Saif dah ke pejabat.’
“You ni kan,memang suka menyakitkan hati orang ke?”
“Hati siapa yang aku sakitkan?”

“You ni Sofea….” Balas Rania sambil mengepal penumbuknya menahan geram kepada gadis itu.Entah kenapa kata-kata Fea itu membuatkan hatinya benar-benar sakit.Geram sungguh apabila dilayan sebegitu!

“Aku buat apa?” ucap Fea acuh tak acuh.Matanya masih tidak lekang membelek surat khabar.Malas mahu menghiraukan angsa-angsa di hadapannya.
“Buat apa lagi.Buat perkara yang you buat semalamlah!”
“Yang mana satu?” aju Fea,sengaja mahu berteka teki.

“Sofea,you dengar tak ni? I’m talking to you!“marah benar bunyi suara Rania.
Fea mendengus.Dia tutup surat khabar lalu melipatnya.Kemudian dia tatap mata Rania tajam-tajam.

“Okey,sekarang aku dah habis baca surat khabar.Kau boleh cakap apa yang kau nak.” Sedikit kasar bunyinya.
Rania menghentak tangannya ke meja sehingga berbunyi lagaan piring dan cawan di hadapan.Gadis itu tidak peduli.Dia mahu menghamburkan kemarahannya pada Fea kerana Fea yang menyebabkan seluruh badannya sakit-sakit.Rizal pula masih membisu walaupun sedari tadi matanya tidak lekang dari menatap wajah Fea.

“You bertanggungjawab atas segala kesulitan I di sini.Understand?”
“Maksud kau?Sulit yang macam mana?”
“Please Sofea,you jangan nak buat lawak bodoh dengan I.You fikir I tak tahu niat you semalam?You memang sengaja nak kenakan I dan Jai,kan?”

“Apa maksud kau?Aku tak faham?” Fea berpura-pura.Dia masih menunjukkan riak wajah yang selamba dan tenang.Sedikit pun tidak gentar dengan kata-kata Rania.
‘Kesulitan konon! Apalah yang sulit sangat?Setakat tak boleh tidur atas katil,itu pun nak heboh! Berlagak! Sejak dulu,perangai berlagak korang ni masih tak berubah-ubah.Meluat aku!’ ucap Fea dalam hati.Itulah sikap yang dia paling benci pada keluarga Arfa.

’Mengada-ngada! Nasib baik aku tak suruh korang tidur dalam bilik stor.’
“Eee……you ni!” bentak Rania lalu bangun dan pergi dari situ. Fea senyum sinis.
“I tahu you berbohong kan?” ucap Rizal setelah kelibat Rania benar-benar menghilang.Fea mencebik,masih malas mahu mengendahkan Rizal.

“Sofea,I tanya you ni.You berbohong,betul kan?”
“Bohong apa pula?Nak buat apa aku bohong kau.Tak ada faedah pun!”
“Tentang cerita tahyul you.Pasal khadam,jin dan segala perkara mengarut semua tu.Kenapa you berbohong?”

“Look,Mr Rizal.Aku tak berbohong apa-apa pun pada kau dan kakak kau.Jadi jangan nak tuduh yang bukan-bukan.” Balas Fea.Bengang pula rasanya apabila Rizal menuduhnya sebegitu.Walaupun apa yang Rizal perkatakan itu memang benar,dia tidak akan sesekali mengaku salah.Biar mereka rasakan.

‘Fea,tak baiklah kau layan diorang begitu.Kesian.Rania dan Rizal baru saja balik ke sini.Cubalah kau layan saudara kau tu baik-baik.’ Pujuk kata hati Fea.
‘Isyh,mana boleh.Memang layak pun angsa dua ekor tu dapat layanan macam tu.Sebenarnya diorang tu tak layak langsung dapat layanan yang istimewa.Diorang ingat diorang tu VVIP ke perlu dilayan baik-baik?’

“Sampai hati you,Sofea.” Nada ucapan Rizal seakan-akan kecewa dengan layanan yang diberikan oleh Fea.Malah gadis itu pula hanya membatu dan mula menghadamkan kata-kata Rizal tadi.

“Sampai hati? Kan semalam aku dah pesan pada kau,terpulang sama ada nak percaya atau tidak.Hmm…anggap saja itu adalah ucapan selamat kembali dari aku.” Fea kenyit mata dan cepat-cepat bangun dari duduknya bersama sebuah senyuman penuh makna sehingga membuatkan Rizal terpinga-pinga.Dia sedikit terkejut dengan tindakan Fea yang sukar dijangka.

Bab 8


Fea cepat-cepat memulas tombol pintu rumahnya.Lega hatinya apabila dapat pulang ke rumah selepas satu hari menghabiskan masa di rumah Tok Saif.Kalau emaknya tahu dia sudah pulang ke rumah,pasti wanita itu bising.

Pagi tadi,selepas ‘bertekak’ dengan Rania dan Rizal,Fea segera mengambil keputusan untuk balik ke rumah.Malas mahu berlama-lama di rumah Tok Saif.Menyampah mahu menghadap muka ‘musuh’ nya itu.Arahan Tok Saif untuk menemani Rania ke spa turut dipandang sepi.

‘Nak temankan angsa tu pergi spa?Tolonglah,aku bukannya orang gaji dia.Kalau nak,dia boleh pergi sendiri.Kalau takut sesat,ajak saja pembantu rumah Tok Saif.’
Fea terus menuju ke dapur untuk minum.Kering tekaknya begitu ketara akibat cuaca yang panas di luar.Dia buka peti ais untuk mengambil minuman sejuk namun perasaannya sedikit hampa apabila satu jenis minuman sejuk sama ada berupa soda,jus mahupun susu di dalamnya tiada.

”Alah,dah habis pulak! Nampaknya nak kena pergi kedailah jawabnya.Aduh,penat…penat…” bebel Fea sendirian.
Gadis itu tidak mengambil masa lama apabila langkah kakinya terus diatur menuju ke kedai runcit berdekatan milik Pak Cik Morad,salah seorang jiran yang tinggal di kawasan perumahan yang sama.

“Fea,seorang je?” ucap Pak Cik Morad sebaik Fea melangkah masuk ke kedai runcit lelaki separuh abad itu.Fea tersenyum memandang lelaki itu yang rambutnya sudah putih-putih.”Rasa-rasa macam seorang,Pak Cik Morad.Tapi tak tahulah kalau Pak Cik Morad nampak ada seorang lagi kat sebelah saya ni.” Sakat Fea.Dia sengih memandang lelaki itu yang terpinga-pinga.”Isyh kau ni.Ada-ada saja nak menyakat aku.”

“Siapa suruh Pak Cik Morad tanya soalan bodoh.Saya bagi jawapan bodohlah juga.” Usik Fea tanpa segan silu.Dia sudah terbiasa bergurau dengan Pak Cik Morad sebegitu memandangkan sudah lama lelaki itu dikenalinya.Pak Cik Morad juga tidak kisah dengan perangai ‘gila’ Fea yang kadang-kadang lebih sudu dari kuah.
“Mana mak kau?Tak datang sekali?”

Fea garu kepala.“Mak tak ada kat rumah.Mak pergi dating!“ Serta merta wajah Pak Cik Morad berubah.“Dating dengan siapa?“
Hampir terhambur ketawa Fea namun dia ketap bibirnya supaya tidak terlepas.Kesian Pak Cik Morad.

“Mak pergi dating dengan ane yang duduk depan rumah.Yang namanya Kalimuthu a/l Murugan.Pak Cik Morad kenal?Mesti Pak Cik Morad kenal dengan ane tu kan?Huisy,sejak-sejak keluar dating dengan mak,makin handsome pula saya tengok dia.Misai lebat,rambut belah tengah,minyak penuh satu kepala.Perghh!!Dah macam hero cerita tamil!“ giat Fea mengusik Pak Cik Morad.Memuncung saja mulut lelaki itu.
“Kau agak-agaklah.Takkan mak kau nak berdating dengan dia pula?“ tanya Pak Cik Morad was-was.Lama Fea membiarkan pertanyaan Pak Cik Morad tergantung malah dia sengaja meninjau-ninjau barang-barang dalam kedai runcit itu sebelum kembali ke kaunter tempat Pak Cik Morad berada.Dia sengih.

“Eh,tak adalah Pak Cik Morad.Saya bergurau je.Saya pun tak tau mak pergi mana.Sejak pagi tak nampak batang hidung.“ Jujur Fea berkata.Kesian pula tengok reaksi orang tua ni.Pak Cik Morad mengangguk.Dia pantas mengurut-urut dadanya.“Hah,kau nak beli apa Fea? Roti? Beras?“

“Saya cari air kotak.Tapi kalau boleh saya nak air kotak yang paling murah dan ada diskaun seratus peratus!“
“Seratus peratus?Bankraplah aku macam ni Fea oi.Orang lain meniaga jadi untung.Aku pula jadi rugi.“

“Alah Pak Cik Morad ni,itu pun nak berkira.Setakat air kotak free dua tiga kotak,takkan lah boleh rugi kot?“
“Business is business.Mana ada orang kasi free.“

“Aik,dah pandai speaking?” usik Fea lagi selepas mendengar ayat Pak Cik Morad.
“Mestilah.Kau ingat kau sorang saja yang pandai speaking?” Fea angkat kening.Dia menghulurkan dua air kotak besar berperisa oren dan laici kepada Pak Cik Morad untuk dimasukkan ke dalam plastik.

“Eh Fea.Lama tak nampak mak kau ke sini.Sibuk sangat ke dia tu sampai dah tak ada masa nak datang kedai aku?”
“Tak tahulah Pak Cik Morad.Mak ada je kat rumah tu tapi sejak dua tiga minggu ni dia kalut sikit dengan business dia tu.Maklumlah nak cari duit lebih.Harga barang semua melambung naik,kalau tak ada duit macam mana nak tampung hidup beli keperluan dapur.Betul tak?”

“Kenapa kau tak tolong mak kau cari duit?Tak nak kerja ke ?”
“Bukan tak nak kerja tapi belum sampai seru.”
“Macam-macam kau ni.Seru apa? Kalau mak kau jadi bini aku,dah tentu aku kasi barang-barang dapur free.“
“Amboi,ada hati kat mak saya pula?“ Tanya Fea memandang wajah Pak Cik Morad dengan penuh hairan.

“Macam kau tak tahu bagaimana perasaan aku pada mak kau Fea.Dah lama aku menduda,nak juga aku berbini semula sebelum aku tutup mata.Ada juga peneman masa tua aku nanti.Kau tolonglah promote aku ni pada mak kau.Mana tahu kalau dia pun berkenan dengan aku.Lebih senang kerja kalau mak kau pun bagi lampu hijau.” Pak Cik Morad ketawa besar.Fea telan liur.Gatal juga Pak Cik Morad ni!

++++++++++++++++++++

“Macam mana ni bang?” Tanya Marlina gusar.Dia duduk di sofa.Wajahnya berkerut menahan risau.Dia masih setia memandang suaminya yang masih bersikap selamba.Malah lelaki itu terus duduk berhampiran Marlina lalu mengeluarkan rokok dari kotak.Dia segera mencucuh api ke rokok,menyedut dan menghembus-hembus asap rokok tanpa menghiraukan Marlina.”Abang ni,dengar tak?Saya bercakap ni macam bercakap dengan dinding.Asyik nak merokok saja kerja dia!” wanita itu menjeling tajam dengan tingkah laku lelaki itu.Dia mendengus kasar.Hujung bajunya diputar-putar sehingga berkedut.Hatinya benar-benar risau.

“Apa yang awak nak risaukan?Nanti selesailah masalah kita.” Ucap Suhaimi tanpa ragu.Mata Marlina bulat.Dia cekak pinggang.”Senangnya abang bercakap!Selesai!Selesai!Selesai! Itu saja yang abang tahu.Tapi bila masanya nak selesai,bang oi kalau awak duduk merokok kat sini tak buat apa!” tegur Marlina lantang.Panas pula hatinya dengan Suhaimi.Mahunya dia tidak membentak,majlis perkahwinan anak perempuan sulungnya tinggal lebih kurang dua bulan saja tetapi duit perbelanjaan perkahwinannya belum cukup.Bukannya pihak lelaki sengkek sangat sehingga tidak langsung menghulur duit belanja kahwin tetapi dia telah menggunakan duit tersebut untuk perkara lain.Suhaimi mencebik.Sekilas matanya memandang isterinya yang sudah tunjuk angin.

“Itulah awak,dari awal lagi saya dah pesan.Dapat saja duit belanja kahwin dari Taufik,pergi simpan dalam bank dulu tapi awak degil.Awak pergi guna pula duit tu untuk benda lain.Sekarang baru nak bising-bising!”
“Eh,bang.Saya guna duit tu bukan buat bukan-bukan tau! Duit yang Taufik bagi tu saya buat tempah baju kahwin Shafiqah juga!”

“Baju kahwin apa kalau sampai beribu-ribu?Awak ingat murah ke kosnya?Anak awak tu budak lepasan SPM je Marlina! Bukannya artis popular sampai nak pakai baju mahal-mahal!”

“Jadi sekarang awak nak salahkan saya pula?Habis takkan nak biarkan Shafiqah pakai baju kahwin saya yang dok terperuk kat dalam almari tu pulak?”
“Apa salahnya.Bukannya awak buat apa pun dengan baju tu!”
“Eee…susahlah cakap dengan abang ni! Ada saja nak cari salah kita!” bentak Marlina lagi.

“Memang salah awak Marlina.Awak tu kalau dapat duit,bukannya reti nak berjimat-cermat.Kalau boleh semua barang awak nak beli.Sebab tu duit awak yang saya kasi tiap-tiap bulan cepat habis!”
“Amboi,sedapnya abang bercakap! Memanglah cepat habis duit saya tu.Abang cuba ingat balik,berapa sangatlah yang abang bagi saya setiap bulan tu? Nak belanja barang dapur pun tak lepas!”

Suhaimi mendengus.Malas benar mahu melayan kerenah isterinya.Ada saja perkara yang mahu digaduhkan.Kalau bercakap ada saja perkara yang tak puas hati.
“Macam mana sekarang ni?” ujar Marlina setelah lama mendiamkan diri.Dadanya yang turun naik menahan amarah sebentar tadi sudah kembali reda.
“Macam itulah.”

Marlina hentak tangan ke sofa.
“Abang ni,orang tengah risau dia boleh buat tak reti.Silap-silap tak kahwin si Shafiqah tu bang!”
“Awak doakan yang baik-baik saja boleh tak? “

“Saya tak kira,macam mana pun Shafiqah tetap kahwin dengan Taufik.”potong Marlina laju.Suhaimi menggeleng kepala sambil menyedut asap rokok.
“Itulah,dari dulu lagi saya cakap.Kalau Shafiqah nak kahwin,buat saja majlis kecil-kecil.Tak perlu nak membazir untuk perkara-perkara lain.Tapi awak tu degil,nak jugak ikutkan cakap orang lain untuk buat majlis besar-besar.Tengok sekarang apa dah jadi.Duit belanja kahwin entah ke mana.Nanti siapa yang nak bayar katering,khemah,mak andam semua tu?Semua tu perlukan duit,Marlina!”marah Suhaimi lagi.

“Abang,takkan nak bagi Shafiqah kahwin tanpa buat majlis? Malulah saya nanti!”gusar pula hatinya malah suaranya yang lantang bagaikan penyanyi soprano tadi kini telah bertukar menjadi kendur pula.

“Saya tak kata pun tak perlu buat majlis,tapi buat majlis kenduri tu biar berpada-pada.Cukup sekadar akad nikah dan jemput saudara mara terdekat saja untuk majlis kahwin.Awak tu,yang beria-ia sangat nak jemput satu kampung datang majlis kenduri anak awak!Kalau boleh,jemput satu KL ni.Baru puas hati!” Suhaimi menyindir isterinya.Marlina berdecit kasar.Dia berfikir-fikir sebentar apa tindakan yang perlu diambilnya.

“Hah,saya ada idea! Apa kata awak jumpa Lia Sari.Cuba bercakap dengan dia.Mana tahu kalau-kalau dia boleh tolong kita.Boleh ya bang?”
Suhaimi membesarkan matanya.Dia membetulkan duduknya serta menatap dalam-dalam wajah Marlina apabila nama Lia Sari disebut.“Awak gila? Nak suruh saya jumpa dia dan minta tolong dengan dia pulak?” Marlina angguk.Wajah wanita itu kembali bercahaya.Suhaimi meluaskan pandangannya memandang Marlina.

“Yelah,takkan tak boleh pulak?Dia kan isteri awak,apa salahnya minta tolong isteri sendiri?”
“Tak mahulah saya.Tentu dia ketawakan saya nanti.”
“Abang,tolonglah jangan tolak permintaan saya ni.Pergilah jumpa Lia Sari tu.Abang tak kesiankan Shafiqah ke?Tak pasal-pasal dia tak jadi kahwin pulak.Malu saya bang kalau Taufik tuntut semula duit dia.Mana saya nak letak muka ni!”

“Awak kira awak punya malu,saya ni macam mana pulak?Saya pun segan nak pergi berjumpa dengan Lia Sari tu.Nanti apa saja kata dia!Tak mahulah! Kalau awak nak awak saja yang pergi jumpa dia.”
Marlina hentak kaki.Susah betul ada laki macam ni!
“Abang nak saya jumpa dia? Gila! Tak pasal-pasal dia ludah muka saya ni! Macamlah abang tak tahu yang dia tu benci dengan saya sebab saya dah ambil laki dia.Dah lupa?”

“Hah,tahu pun takut.Lain kali jangan bagi cadangan merepek macam tu!”
“Tapi bang,demi Shafiqah.Saya tak sanggup tengok dia sedih.Takkan tiba-tiba saja nak batalkan perkahwinan sebab tak cukup duit?Silap-silap,mak Taufik rembat saya dengan penyapu sebab dah habiskan duit anak dia!”

“Tahu pun takut ye,Cik Marlina? Siapa suruh gatal pergi tempah baju mahal-mahal tu.” Ungkit Suhaimi lagi.
“Sudahlah tu bang,saya tahulah saya dah pakai duit tu untuk tempah baju.Tak payahlah nak mengungkit lagi.Tapi tolonglah dengar cakap saya ni bang.Pergilah jumpa Lia Sari,minta tolong dengan dia.Dia mesti banyak duit.Mesti dia boleh bagi pinjam.”

“Amboi,senangnya awak bercakap Lina!Dulu bukan main lagi awak larang saya balik ke sana.Sekarang apa dah jadi?Awak juga yang suruh saya balik ke sana pulak?”
“Hisyh,saya bukan suruh balik rumah bini pertama awak tu bang.Saya cuma minta awak pergi sana dan pinjam duit.Bukan susah pun!”

“Suka hati awak saja nak bercakap.Awak ingat bercakap sama ke dengan nak buat?Tak pasal-pasal dihalaunya saya.Pasal awak jugalah saya tak balik sana dekat setahun setengah ni,tahu?!” membuntang mata Suhaimi.Dia menenyeh-nenyeh sisa rokoknya yang sudah pendek ke dalam mangkuk abu rokok yang berada di atas meja di hadapannya dengan kasar.

“Abang jangan nak salahkan saya pulak! Abang sendiri yang tak nak balik.” Tuduh Marlina lagi.
“Apa-apa sajalah Lina.Saya malas nak bertekak dengan awak.Dari dulu sampai sekarang,ada saja nak cari gaduh dengan saya.Awak tak penat ke?”
“Saya tak cari gaduh!Abang tu yang tak nak dengar cakap saya!”

“Pasal saya dengar cakap awaklah,jadi macam ni.”
“Apa maksud awak?”
“Awak tu ikutkan sangat cakap Shafiqah.Budak tu elok-elok masuk belajar Tingkatan Enam,awak berhentikan dia dengan alasan nak bagi kahwin.Sepatutnya Shafiqah tu pergi sambung belajar,bukannya bagi kahwin.Umur dia muda lagi tapi awak dah galakkan dia pikul tanggungjawab berat untuk jadi isteri.”

“Biarlah bang,sekurang-kurangnya dapat mengelakkan maksiat.Kalau tak bagi budak berdua tu kahwin,tak pasal-pasal jadi hal lain pula.Nanti lepas kahwin,kalau Shafiqah nak sambung belajar atau nak kerja saya tak kisah.Taufik dah bagi lampu hijau.”

“Huh,memanglah sekarang macam-macam perkara dia bagi lampu hijau.Esok lusa bila dah kahwin lain pula ceritanya.”
“Abang ni,tak baiklah tuduh bakal menantu dan anak sendiri macam tu.”
“Habis,awak nak saya kata apa lagi?”

“Abang,dengarlah cakap saya ni.Pergilah berjumpa dengan Lia Sari.Dia saja menjadi harapan kita untuk dapatkan duit.”pujuk Marlina masih belum mahu mengalah.
“Awak yakin betul dia ada duit? Saya segan tahu?”
“Alah,takkan awak dah lupa bang? Lia Sari tu kan anak saudara kepada jutawan dan hartawan Malaysia.Mesti dia ada duit.Lagipun,bini awak tu kan ada business sendiri.Orang business ni mesti penuh poket dengan duit.Boleh ye bang?”
“Macam-macamlah awak ni.Tengoklah nanti.”

“Mana boleh tengok-tengok.Awak mesti pergi jumpa Lia Sari.Wajib!” macam arahan mandatori saja lagaknya mengerahkan Suhaimi berjumpa dengan Lia Sari.Suhaimi mengeluh berat bersama dengan beban masalah yang baru timbul.









No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...