Saturday, 25 May 2013

Babak Terakhir Bab 9&10


Bab 9

Fea bersenang lenang di depan kaca televisyen.Memang begitulah tabiatnya.Pantang saja ada masa lapang,mesti duduk melepak depan televisyen.

Kalau tak di depan televisyen,mesti dia sibuk tercongok depan PC lama-lama sampai naik juling mata menatapnya.

Sambil makan kacang yang turut dibeli bersama air kotak semasa berkunjung ke kedai Pak Cik Morad,Fea sibuk menekan-nekan punat di alat kawalan jauh.

Berkali-kali dia menukar siaran rancangan.Ada saja yang tak kena.Habis satu rancangan,yang lain pula menyusul sehingga dia tidak sedar bila Lia Sari melangkah masuk ke rumah.

“Fea,kau boleh biarkan pintu rumah terbuka?Buatnya pencuri ke perogol ke masuk,kan susah!” marah Lia Sari menanggalkan kaca mata hitamnya.Fea toleh pada wanita itu yang sudah duduk di sofa sambil melepaskan lelahnya.Fea yang lebih senang melepak di atas lantai sekadar sengih.

“Nak kacang mak?” bungkusan kacang Cap Tangan itu dihulurkan pada Lia Sari.



Lia Sari menggeleng.
“Tak naklah.Mak dah makan tadi.”
“Makan kacang jugak?” tanya Fea bodoh.
“Bukan kacang,mak makan nasilah.Mak dah kenyang.Auntie Arfa belanja makan kat Hotel Hilton.”
Fea mencebik.

“Patutlah eksyen! Satu hari tak nampak batang hidung mak.Mak pergi mana sebenarnya?”
“Mak temankan Auntie Arfa dan Uncle Mokhtar pergi tengok rumah.”
“Rumah?Untuk apa?”
“Untuk dibeli.Takkan diorang nak duduk selamanya dengan Tok Saif?”
Fea mengangguk.”Ya tak ya juga.”
“Pukul berapa kau balik rumah?Rizal dan Rania macam mana?Okey?”
Fea buat muka.

“Sebelum tengah hari lagi dah sampai.”
“Aik,awalnya?Ingatkan kau temankan Rania dan Rizal tu kat rumah Tok Saif sampai petang.”
“Sampai petang? Alamat ributlah banglo Tok Saif tu mak!” sinis saja bunyinya.Fea terus menyambung makan kacang.
“Kenapa pulak?”
“Mat saleh dua orang tu lah mak! Mengada-ngada betul.Itu tak kena,ini tak kena! Mengada-ngada! Malas nak layan!”

“Kau ada buat apa-apa tak kat diorang tu?Kau ni bukan boleh diharap sangat.Entah-entah…”sengaja Lia Sari mematikan ayatnya sambil pandang wajah Fea penuh curiga.
“Mak,suka tau menuduh orang bukan-bukan! Nak buat macam mana kalau orang tu dah memang mengada-ngada tahap dewa? Ingat Fea ni rajin sangat ke nak layan kerenah diorang tu?Baru je satu hari sampai ke sini dah buat hal! Sebab tu Fea tak suka nak tidur rumah Tok Saif bila budak berdua tu ada.Tapi mak yang paksa!”

“Eh,kau ni Fea.Cuba layan diorang tu baik-baik.Takkanlah diorang tu saja-saja nak buat hal kalau kau sendiri yang tak mulakan?”
“Mak ni,betullah Fea tak buat apa-apa pun! Eh…mak…mak..tadi kan Pak Cik Morad tanya pada Fea pasal mak!” Fea ubah topik.Sengaja dia mahu melarikan diri dari di ’serang’ oleh Lia Sari.

Mata Lia Sari bulat.Dia pandang Fea dengan tanda tanya.
“Kenapa dengan Pak Cik Morad tu?”
“Macam-macam dia tanya pasal mak.Itulah inilah.Tapi yang paling tak tahan tu,dia tanya mana mak,Fea pun jawablah mak tak ada pergi dating dengan Kalimuthu a/l Murugan.Terus berubah air muka dia.”galak Fea bercerita.

“Yang kau gatal pergi cakap macam tu kenapa?Tak pasal-pasal kena gosip dengan ane depan rumah ni!“ marah Lia Sari sambil mencuit bahu Fea sedikit kasar.Gadis itu hanya tersengih.

“Alah,Fea saja nak menyakat Pak Cik Morad tu.Nampak sangatlah dia cemburu kalau mak keluar dengan orang lain.Dia syok kat mak tau! Mak,susah-susah mak kahwin sajalah dengan Pak Cik Morad tu.Pak Cik Morad dah lama syok kat mak.Jangan nak jual mahal sangat mak,nanti tak laku!Kalau mak kahwin dengan dia,hari-hari dia boleh kasi barang dapur free.Dijamin tak payah bayar!“

“Banyaklah kau punya barang dapur free.Kau dah lupa ke Fea.Kalau mak kahwin dengan Pak Cik Morad tu,mana pulak mak nak letak abah kau?“
“Eh,abah pula yang mak sebut.Mak,abah tu dah lama lupakan kita.Mak asyik ingat abah tu kenapa?Ada hati kat abah lagi ke?“
“Kau ni,aku ketuk kepala baru tahu!Kau dah lupa ke atau sengaja buat-buat lupa?Abah kau tu kan masih laki mak!“

“Eh,yeke?Kira mak ni bukan ibu tunggal merangkap janda ke?“
“Ibu tunggal apanya,mak kau ni dah lama jadi ibu tunggul!“ menjuih bibir Lia Sari.
“Kenapa ibu tunggul?”tanya Fea sedikit hairan.

“Yelah,jadi ibu tunggul.Dah serupa macam tunggul kayu dalam rumah ni.Abah kau tu,entah bila agaknya nak jenguk kita kat rumah ni.Asyik sibuk dengan orang sebelah sana.Tak tunggul namanya tu?“Lia Sari menekan suaranya.

“Lah,ye tak ye.Isyh,melepaslah Pak Cik Morad tu mak oi!“ ucap Fea menepuk sebelah tangannya ke lantai sambil menayang wajah kecewa.
“Dah Fea kau jangan nak merepek yang bukan-bukan.Kalau mak kau ni janda sekali pun,tak terfikir mak nak berlakikan Pak Cik Morad kau tu.Hidup solo lagi bagus,tak ada laki lebih menyenangkan.Ada laki pun serupa tak ada laki.Esok kalau kau nak kahwin,biar calon menantu mak tu serupa orang.Jangan kau nak pilih calon yang serupa hantu.Nanti hari-hari kau gigit kuku.Faham?“

“Eh mak ni.Orang cerita pasal dia,tukar topik pula.Tak ada maknanya Fea nak kahwin mak.Calon pun tak ada.Nak kahwin macam mana?“
“Kau ni,bila mak tukar topik tak boleh tapi waktu kau tukar topik tak nak bising pula.Ada saja benda nak menjawab.“
“Dah mak tanya,Fea jawablah!” balas Fea tidak mahu mengalah.Dia kemudian mengesot cuba mendekatkan dirinya dengan emaknya sambil buat muka kepoh.
“Mak,bercakap pasal abah ni,mak tak telefon abah ke?Dah lama tak dengar khabar tentang abah.Entah hidup ke mati ke,tak ada siapa pun yang tahu.”
“Kau minta abah kau cepat mati ke? ‘’ marah Lia Sari.Matanya mencerlung memandang Fea.

‘’Bukan macam tu mak ! Maksud Fea,dah setahun lebih dah tak dengar khabar berita.Kalau iye pun sibuk dengan bini muda dia,takkan dah tak ingat anak bini kat sini ? Bukannya susah pun,setakat telefon tanya khabar,hantar duit barang seribu dua.Tak ada lah kita kat sini tertanya-tanya.Ini tahu-tahu saja dah lesap.Nafkah anak bini buat tak reti je ! Tu namanya lari dari tanggungjawab,mak !’’lantang Fea berkata-kata.Pandai pula dia membuka mukadimah hal rumahtangga ibubapanya.

‘’Ewah-ewah.Sedap mulut kau bercakap.Kalah profesor ! Tanggungjawab konon.Habis,kau punya tanggungjawab tu apa pula ?’’jegil Lia Sari pula.
‘’Mak ni,orang cakap pasal abah,mak cakap pasal Fea pula ! Suka ubah topik.Mak, mengikut firasat Fea abah tu entah-entah kena ikat kaki tangan dengan bini muda dia tak kasi jumpa kita.’’

‘’Memandai jelah kau ni !’’cebik Lia Sari.
‘’Betullah mak apa yang Fea cakap.Mak bukan tak tahu madu kesayangan mak tu.Kongkong abah bukan main lagi.Dia ingat dia seorang bini abah.Queen control betul.Dia buat abah tu hak milik sepenuhnya.Dia tu dahlah perampas,rampas abah dari mak.Lepas tu suka-suka hati saja nak buat abah macam hak milik mutlak dia.Memang dasar tak sedar diri betul !’’kutuk Fea tak puas hati pada isteri muda ayahnya.
‘’Fea,yang kau nak emosional ni kenapa ? Mak kau ni yang patut sakit hati.’’
‘’Mak,Fea cuma nak bela nasib mak.Geram dengan perbuatan abah dengan bini muda dia tu.Sibuk sangat ke abah tu sampaikan nak telefon mak pun tak ada masa ? Kalau tak nak telefon sekalipun,hantar SMS pun dah cukup.Bukannya mahal nak hantar SMS.Tak luak mana pun bil telefon tu !’’memuncung mulutnya mempersoalkan ‘kehilangan’ ayah sendiri.

‘’Entahlah Fea,mak dah malas nak fikirkan hal diorang.Buat sakit hati,sakit jiwa saja ! ‘’ucap Lia Sari sambil mengurut-urut kepalanya.Tiba-tiba saja kepalanya terasa berat apabila berbicara soal Suhaimi,suaminya.

‘’Itulah mak,abah buat macam ni pun mak boleh buat tak reti je.Kalau Fea,dah lama kena serang perempuan tu.Dialah punca abah tak balik sini.Kalau Fea jadi maklah,dah lama Fea heret abah tu balik ke sini.Rantai kaki tangan abah tak bagi keluar.Baru padan muka perempuan tu !’’

‘’Sudah-sudahlah tu Fea.Tak habis-habis nak menuduh orang.Kau nak rantai kaki abah kau,kau ingat dia lembu ?’’
‘’Fea tak menuduh tapi bercakap perkara yang betul.Lagipun,orang tak rantai kaki lembulah mak ! Lembu kena cucuk hidung saja !’’ ucap Fea buat lawak.Sengaja dia memperbetulkan ayat Lia Sari yang kedengaran agak kelakar.Menjuih mulutnya sambil menyumbat kacang ke situ.

‘’Betul apa kalau kau sendiri tak pasti kenapa abah kau tak balik rumah sampai sekarang.Tu memfitnah namanya.Sudah,malas mak nak layan kau ni.Membebel kalah mak nenek.Ada saja modalnya.’’

‘’Mak lah yang turunkan ilmu membebel ni kat Fea.’’ Bela Fea lagi apabila Lia Sari menyerangnya dengan kata-kata berapi.Dia sengaja memasang benteng.Dari awal lagi dia tahu,jika bercakap dengan Lia Sari,mesti sediakan modal yang banyak.Takut kalau-kalau diri karam di tengah lautan.





Bab 10

Suasana pagi yang nyaman itu benar-benar melenakannya.Tidak sedikit pun badannya beralih tempat walaupun berkali-kali kedengaran jeritan Lia Sari dari bawah menyuruhnya bangun.Kereta Honda City berwarna putih segera berhenti di hadapan rumah teres dua tingkat itu.Lia Sari yang sibuk membelek majalah Saji bangun mendekati tingkap rumah untuk melihat siapakah gerangan tuan punya kereta tersebut.
"Assalamualaikum! Assalamualaikum,Auntie Lia!" Lia Sari menjengah muka ke pintu akhirnya untuk melihat dengan lebih dekat siapa yang memberi salam.

"Waalaikummussalam...lah,Jai rupanya! Kejap Auntie bukakan pagar."jerit Lia Sari dari pintu rumah.Dia segera mengambil kunci pagar yang tergantung di tepi pintu lalu mendekati pagar rumah.Rizal sudah tersengih macam kerang tak ada gigi apabila Lia Sari menjemputnya masuk.

"Sorry ya Auntie,pagi-pagi lagi dah ganggu." ucap Rizal sambil mengekor Lia Sari masuk ke dalam."Lah,tak payahlah nak minta maaf.Tak ada apa pun.Tak adalah pagi mana pun.Dah dekat pukul 10.Dah nak masuk tengah hari dah." Rizal mengangguk.Dia cepat-cepat membuka kasut dan masuk ke dalam.Lia Sari segera menjemputnya duduk.”Eh,tahu pula jalan nak ke rumah auntie ni?Tak sesat ke?”Tanya Lia Sari.Rizal senyum.

”GPS kan ada auntie.Senang je nak cari rumah auntie bila adanya GPS.”Rizal sengih.Lia Sari mengangguk.Lupa pula dia dunia sekarang ada GPS yang diibaratkan macam peta mencari lokasi.

"Duduklah Jai.Minta maaflah Jai rumah Auntie ni berselerak sikit.Nak harapkan anak dara sorang tu,hmmm....sampai ke tua lah dok macam tu juga.Eh,Jai dah sarapan belum?Kalau belum jomlah sarapan kat sini.Auntie masak bihun goreng hari ni." Lia Sari beria ajak Rizal namun Rizal menolak dengan lembut.

"Tak apalah auntie,tak payah susah-susah.Jai dah makan dah tadi.Err..auntie,Sofea mana?Keluar ke?" Lia Sari sudah mencebik apabila Rizal bertanya tentang anak gadisnya yang pemalas itu."Keluar apanya,Jai?Ada kat atas tu hah,tengah berkubang.Dia tu selagi belum tengah hari jangan harap nak nampak batang hidung.Harapan kalau nak bangun awal-awal!" Sudah,Lia Sari sudah memulakan mukadimahnya.

Rizal tersengih lagi."Oh,yeke? Hari ini cadang nak ajak Sofea teman Jai jalan-jalan.Maklumlah auntie,Jai dah lama tak balik sini.Jalan-jalan pun dah banyak yang berubah.Takut sesat tak jumpa jalan balik nanti." seloroh Jai cuba meyakinkan Lia Sari.”Apa susahnya Jai,kan ada GPS?” Lia Sari memulang paku buah keras.Rizal garu kepala.Alamak,terkena balik!



“Hah,betul jugak! Ada GPS!” Rizal ketawa,sekadar menutup malu.Lia Sari juga turut ketawa.
‘‘Sekejap auntie kejutkan dia.Susah betul kalau ada anak dara macam dia tu.Bukan main liat nak bangun pagi,kalah budak kecil.Duduk dulu ye Jai.Kejap lagi auntie buatkan minuman.’’ ucap Lia Sari terus bangun menuju ke tingkat atas.Rizal angguk.Tidak sabar rasanya mahu berjumpa dengan gadis itu.Dia sengih lagi.

Rizal segera mengambil alat kawalan jauh televisyen lantas mengalih siaran rancangan.Hmm…nampaknya tiada rancangan pun yang menarik minatnya.Tiba-tiba saja matanya lekas tertancap pada beberapa album gambar yang elok tersusun di celah meja kopi di hadapannya.Sepantas kilat dia menarik keluar album gambar itu.Album berwarna biru tua yang agak besar diselak satu per satu sehingga sampai kepada satu keping gambar yang membuatkannya benar-benar tertarik.Rizal pandang ke arah tangga untuk memastikan Lia Sari belum muncul di situ.Tiba-tiba timbul idea nakalnya untuk menarik keluar gambar itu dari album.Dia sengih lagi.

Lia Sari menolak perlahan-lahan pintu bilik Fea yang tidak berkunci.Dari pintu lagi dia sudah dapat mendengar dengan jelas dengkuran Fea yang seperti seladang bunting itu.Lia Sari menggeleng-geleng kepala sambil bercekak pinggang.Dia lantas masuk ke dalam bilik Fea dan menutup separuh pintu biliknya.Dia mendekati Fea yang sedang berselubung satu badan dengan selimut.

Mahu saja wanita itu menghamburkan amarahnya apabila melihat Fea begitu enak menikmati tidur di bawah kain tebal itu tetapi apabila mengingatkan Rizal berada di bawah dimatikan saja niatnya itu.Jika tidak,sahih bergegar satu rumah mendengar suaranya.Lia Sari segera memanggil nama Fea perlahan tetapi memandangkan tiada respon positif dari gadis itu,dia terus menarik selimut tebal dari tubuh Fea.Dia lihat Fea memeluk bantal kecil.Sekali pandang nampak macam beruang koala sedang tidur.Dia tidak membiar lama keadaan Fea sebegitu lalu dia menarik hidung kecil Fea.Gadis itu mendengus kasar dan menggaru-garu hidungnya.Mungkin rasa terganggu dengan tindakan Lia Sari.Lia Sari merengus kasar.

‘’Isyh,budak bertuah ni.Aku cuit pun dia buat bodoh.Ini kalau letak bom mesti tak sedar.Fea…Fea….Nak kena ni !’’
Lia Sari memanggil lagi anak gadisnya dengan suara lemah lembut.Kalau dipanggil kasar-kasar terbang pula semangat anaknya.Tak pasal-pasal roh dia tak kembali ke badan.

Fea merengus.Dia berkalih sedikit cuma namun dalam masa seminit dia tersedar kerana terasa badannya yang sudah tidak berselimut.Dia pandang bawah dan nampak selimutnya sudah berada di kaki.Dia menarik selimut tebal itu ke badannya dan menutupnya seluruh badan termasuk muka seperti tadi.Dia sedikit pun tidak perasan akan kehadiran Lia Sari di situ.

‘’Selamat pagi Tuan Puteri!" ucap Lia Sari dalam suara yang agak kuat.Fea terkejut namun masih dalam keadaan mamai dan dia masih tidak dapat mengecam suara Lia Sari.Dia menarik selimut tebalnya semula menjauhi muka.Tiba-tiba dia bangun dan menjerit.Mahunya tak menjerit,tiba-tiba saja dia nampak ada seorang wanita tua bertongkat yang masuk ke dalam biliknya.Dia cuba mencapai apa saja barangan yang berada berhampiran dengannya untuk dibaling ke arah wanita tersebut.Usahanya agak sia-sia apabila dia terpijak kain selimut yang sudah melorot ke bawah lalu jatuh tergolek di hadapan emaknya.

‘’Hah,dah habis dah mimpi putera katak ?’’ Fea terpisat-pisat.Matanya digosok-gosok.”Aduh,sakitnya punggung aku! Nasib baik tak ada baby dalam perut aku kalau tidak boleh keguguran ni!” Fea berceloteh sendiri.Kemudiannya dia pandang ke arah sosok tubuh Lia Sari yang menunjukkan muka seperti singa. ‘’Mak,buat apa kat sini ?’’

‘’Buat apa kau tanya ?Kejutkan tuan puteri ni bangunlah ! Tengok jam dah pukul berapa ? Punyalah payah nak kejut dia.Kalau meletup bom kat tepi telinga pun tak dengar ! Sudah,bangun !’’

Fea garu kepalanya sambil buat muka bengang.Isyh,baru je sedap-sedap dia bermimpi berjumpa dengan putera raja tiba-tiba saja wajah mak tiri Rapunzel muncul.Mahu tak terkejut beruk dibuatnya.Patutlah dia rasakan jalan cerita dalam mimpinya tadi tak berapa seronok.Rupanya mak tiri Rapunzel sudah terpacak di tepi katil dan bertukar menjadi Lia Sari.Fea sengih.

’’ Hah,sengih je kerja kau Fea.Ini mesti kes mimpi putera raja.Kali ini mimpi putera raja dari negeri mana pula?Zimbabwe ? ‘’perli Lia Sari.Fea mencebik lantas bangun dari duduknya.Dia segera melemparkan diri ke atas katil semula dalam gaya kuak lentang dan tidak mempedulikan Lia Sari.Wanita itu geram lalu ditariknya kaki Fea.

‘’Mak,janganlah kacau orang nak tidur ! Mengantuklah !’’
‘’ Sofea ! Bangun ! Tidur apanya kalau dah pukul 10 pagi.Bangun...bangun…bangun !!’’ jerit Lia Sari lantang.Memang itu kebiasaannya kalau mahu memanggil Fea yang degil ini.Serupa budak-budak saja perangainya.Sudah hilang kesabarannya melihat perilaku anak daranya yang seorang ini.Dia sudah tidak peduli jika Rizal terdengar jeritan kuatnya tadi.

Fea berdecit halus lalu pura-pura malas. ‘’Mak,awal lagi.Nak buat apa bangun pagi-pagi ni?”
‘’Jangan beri alasan,Fea.Bangun,Jai ada di bawah tu.Turun lekas !’’ arah Lia Sari lagi.

Apabila mendengarkan nama Rizal disebut,matanya terus terbuka besar.
‘’ Hah,Rizal ?Dia buat apa kat sini ?’’
“Kalau nak tahu,turun cepat.Kesian dia tunggu lama-lama di bawah.Cepat!Pergi mandi dulu!”

Fea mengeluh panjang.Emaknya ini kalau hal keluarga Arfa,laju saja.Tak pasal-pasal paksa aku turun ke bawah.Eee….bencilah!
Tak habis-habis hal si Rizal ni.Apa yang dia buat kat sini pagi-pagi ni?Kacau betul!

Fea melihat sekilas jam loceng yang berada di meja tepi katilnya.Baru 10.10 pagi.Huh,kacau daun saja! Belum sampai masanya untuk aku bangunlah,wahai mamat poyoku sayang!

"Hisyh,buat apa dia datang pagi-pagi ni?Dia nak apa?Fea mengantuklah,nanti-nantilah Fea turun bawah.Fea nak sambung tidur ni!" Fea sudah menggosok-gosok kepalanya.Rambutnya juga sudah berserabai.

‘’Hei,banyak betul soalannya.Sudah,mak tak kira.Lebih baik kau bangun sekarang sebelum mak simbah air kat muka kau.Cepat !’’ arah Lia Sari sambil berlalu ke pintu.Fea bangun mengikut emaknya ke situ sehingga kelibat Lia Sari menghilang.Isyh,buatnya Lia Sari mengotakan janjinya,naya saja ! Basah pula katil !
Fea mendengus geram sambil menutup pintu biliknya kasar.Arghh!!!!

Fea turun ke tingkat bawah setelah selesai mandi.Dia menjengah ke dapur dan lihat Rizal masih berada di rumahnya dan Lia Sari pula sibuk melayan Rizal dengan sebaik-baik mungkin.Fea buat muka kayu lantas mendekati peti sejuk yang terletak berhampiran meja tempat Lia Sari dan Rizal duduk.

Dia buka peti sejuk dan mengambil susu segar dalam kotak.Dia lantas menuangkan susu ke dalam gelas yang baru dicapai di rak cawan."Hah,anak dara ni baru nak bangun.Nasib baik Jai datang,kalau tak sampai tengah hari baru nak nampak muka." Bebel Lia Sari.Fea berasa rimas.Telinganya digosok beberapa kali dengan kasar,saja nak tunjuk protes.Awal-awal pagi lagi sudah mendengar bebelan emaknya.Hai,bilalah agaknya emaknya itu nak berhenti berleter.Tak penat ke mak oi?

"Biasalah mak,selalu buat full time.Hari ni je Fea buat part time.Terpaksa punch card awal." selamba jawapan yang keluar dari mulutnya sebelum meneguk susu dari gelasnya.Dia mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Lia Sari.Fea masih tayang muka kayu.Lia Sari sudah mencebik.

"Banyaklah kau punya part time.Kerja pun tak,nak buat part time pulak.Hei,sudah-sudahlah berangan Fea oi.Ni Jai kat depan mata pun boleh buat tak reti je." marah Lia Sari seolah-olah tidak memahami bahasa sindiran yang digunakan oleh Fea.Fea menjeling tanda protes.Hisyh,apsal entah maknya asyik sibuk dengan si Jaiho budak poyo ni."Oh,Sofea memang suka berangan ye auntie?" ucap Rizal sambil sengih.Nah,sekarang dah kantoi perangai Fea.Fea ketap gigi.Marah pula dia bila mendengar ucapan Rizal yang seolah-olah menyindirnya.

"Hah,kenapa datang pagi-pagi ni?Tiba-tiba saja muncul." tanya Fea kasar.Lia Sari di sebelah sudah buat muka."Tengok tu,ada ke patut cakap macam tu dengan tetamu?"
"Alah mak,memang patut pun cakap macam tu.Pagi-pagi lagi dah sibuk tayang muka kat sini.’’ Fea sudah tunjuk muka bengang.Mahunya tak geram,orang yang dia tak berkenan sejak dulu dengan selamba menjadi alasan dia perlu bangun awal.

“Isyh,mulut tu.Cili baru tau! Jai jangan dengar sangat cakap Fea ni.Sindrom mamai dia belum hilang lagilah tu.Ni,auntie nak tanya.Nia mana ? Kenapa tak datang sini sekali ?’’ Rizal yang baru saja meneguk air dalam gelas segera meletakkan semula gelasnya sebelum menjawab pertanyaan Lia Sari. ‘‘Kakak kurang sihat sikit auntie.Sebab tu dia tak ikut Jai datang sini.‘‘

‘‘Lah,tak sihat?Ni mesti sebab perubahan cuaca.Maklumlah duduk kat England tu,sejuk.Cuaca kat Malaysia ni kejap panas kejap hujan.Sebab tulah tak sihat agaknya.“
“Lebih kurang macam tu lah auntie.“

Fea di hadapan masih buat muka selamba.Dia segera menghabiskan sisa minuman dalam gelasnya sebelum bangun menuju ke singki lalu membasuh gelasnya.Dia kemudiannya terus menghilangkan diri dari dapur meninggalkan Lia Sari dan Rizal.Lia Sari menggeleng kepala beberapa kali.Hisyh! Bertuah punya budak! Boleh pulak dia buat tak reti pada Rizal.Kesian Rizal!

“Jai,jangan ambil hati sangat dengan Fea tu.Dia memang macam tu terutama kalau terpaksa bangun tidur awal.Dah Jai,jomlah kita ke depan tu.” Terang Lia Sari apabila perasan riak wajah Rizal yang sedikit berubah terhadap perbuatan Fea yang selamba meninggalkan mereka di dapur.

++++++++++++++++++++

Fea mendengus geram.Geram sangat! Memuncung saja bibirnya menahan marah.Mahunya tidak marah,disebabkan Rizal emaknya Lia Sari beria-ia mengarahkannya menemani Rizal berjalan-jalan di sekitar kota.Mahu tidak mahu terpaksa saja diturutkan kata Lia Sari untuk mengelak wanita itu membebel.

Selepas bersiap,Fea turun ke tingkat bawah.Rambutnya yang setia bertocang satu dibiarkan sebegitu.Dia lihat Rizal sedang menonton rancangan di televisyen tanpa Lia Sari.“Dah,jom keluar!“ Rizal toleh kepada Fea yang sudah tercegat di sebelahnya.Tubuh badan Fea dibelek dari atas ke bawah sehingga memaksa Fea berdehem kecil.

“Apa yang kau pandang-pandang?“ Rizal senyum lantas menggeleng.Namun matanya masih tidak mahu berganjak dari menatap Fea.“Kalau kau nak cakap sesuatu baik kau cakap sekarang!“ kasar suara Fea sambil mengangkat jari telunjuknya memberi amaran.Marah benar dengan sikap Rizal yang jengkel dan menyakitkan hati.‘Aku tahulah pakaian aku tak secantik bidadari mahupun minah-minah saleh di England tappiiiiii……ada aku kisahhh?‘ tutur hati Fea bengang.Dia hentak kaki.Wajahnya benar-benar berubah apabila Rizal masih lagi belum berganjak melihatnya.

“Kau ni apa hal?Ada yang tak puas hati ke?“
Rizal geleng.Dia senyum kemudiannya.‘Eh,si Jaiho ni! Tak faham aku!‘
Fea kemudian membelek tubuh badannya yang turut sama dilihat Rizal.Hmm,jeans lusuh warna kelabu,T-shirt merah jenama BUM,jam tangan juga jenama BUM.Ringkas.Kasual.
‘Selekeh sangat ke aku ni?Pakaian aku tak kena atau rambut aku yang serabai sangat?Ah,lantaklah! Kalau dia nak cakap aku tak layak keluar dengan dia,peduli apa aku.Lagipun bukan aku yang ajak dia keluar.‘

“Shall we?“ ucap Rizal sambil bangun.Fea berdecit halus.Matanya menjeling lalu mengatur langkah ke luar rumah.Rizal membontotinya.
Fea berjalan laju menuju ke bahagian tepi rumah.Rizal yang mengikut di belakang berasa hairan.Namun dia segera mematikan perasaannya itu apabila Lia Sari sudah berdiri di sebelahnya di hadapan pintu rumah.Rizal senyum sambil menyarungkan kasut.“Jai,baik-baik jalan tu.Jaga anak auntie tu elok-elok.Jangan nak melencong pulak.“ Usik Lia Sari sekadar bergurau.Rizal garu kepala sambil sengih.

“Baiklah auntie.Jai pinjam Sofea sampai petang.Nanti Jai hantar dia semula pada auntie sama macam Jai ambil dia sekarang.“ Lia Sari menepuk-nepuk bahu Rizal.“Mana Fea? Dah masuk dalam kereta ke?“ tanya Lia Sari apabila kelibat Fea hilang dari pandangannya.Rizal menunjukkan ke arah Fea apabila matanya sempat menangkap tubuh gadis itu sedang berusaha menolak skuter kuningnya keluar dari bahagian tepi rumah.Lia Sari mendengus.



“Bertuah punya budak! Kau nak naik skuter bawa Jai berjalan-jalan?“ Fea mengangkat keningnya beberapa kali sambil melompat naik ke atas skuternya.Kemudian gadis itu memakai helmet kura-kura berwarna sedondon dengan skuternya dan menepuk-nepuk tempat duduk belakang dengan tangan.Dia memberi isyarat supaya Rizal duduk di situ.
Wajah Rizal berubah corak.Dia telan liur.“Err….kita nak naik skuter ni?“ Fea angguk penuh yakin sambil sengih lebar.Rizal tolak anak rambutnya ke belakang sebelum memandang wajah Lia Sari yang masih tercegat bercekak pinggang di depan pintu rumah seolah-olah meminta pertolongan darinya.

“Hah,apa tunggu lagi?Cepatlah naik!“ ucap Fea lantang.
“Kita naik kereta sajalah! I tak biasa naik skuter.Lagipun,you yang bawa skuter ni….“ Ucap Rizal serba salah.Fea pantas memotong.“Tak boleh!Naik kereta leceh.Nanti terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.Naik skuter saja,lagipun boleh menjimatkan masa,tenaga dan wang ringgit.” Fea memberi alasan dengan penuh yakin.Dalam masa yang sama,dia cuba memaksa Rizal bersetuju naik skuter.Rizal jadi serba salah pula.

“Kenapa Jai? Tak sudi ke naik skuter Fea tu?Pergilah,kereta Jai tu biarkan di sini saja.Nanti petang waktu lepas jalan-jalan,boleh ambil semula.“ Ucap Lia Sari akhirnya.Pada mulanya dia memang kurang bersetuju apabila Fea mahu keluar membawa Rizal menaiki skuter tapi setelah Fea memberikan alasan terus dia berubah fikiran.Hmmm…ada betulnya apa yang Fea perkatakan.

Rizal tiada pilihan.“Bukan tak sudi,auntie…tapi…“ Rizal terhenti kata malah pandangannya silih berganti antara skuter milik Fea dan wajah Lia Sari.“Alah,aku tahulah skuter aku ni tak sama taraf dengan kereta kau yang berpuluh ribu tu!“juih Fea mula merendah diri pula.“Bukan macam tu….“

“Cepatlah,aku tunggu ni! Kalau tak nak,aku masuk dalam pergi sambung tidur!“ ugut Fea.
Penat betul menunggu,dia ingat aku ni suka jadi tiang pacak kat sini ke?Nak suruh naik skuter pun lembab! Bukannya suruh kau bawa pun!

Rizal angguk kepala laju-laju.Walaupun terasa diri dalam keadaan terpaksa.Menggigil kedua-dua kakinya menghampiri skuter milik Fea.Fea segera menghulurkan helmet berwarna ungu yang penuh dengan hiasan bunga di situ.Makin kalut wajah Rizal.Dia akhirnya akur,menurut saja.Fea senyum dalam hati.
‘Kelakarlah Jaiho ni!‘

Rizal memaksa dirinya memakai helmet yang diberikan Fea.Dalam hati hanya tuhan saja yang tahu bahawa dia malu memakainya.Helmet berwarna ungu berbunga-bunga?Dah macam bunga-bunga cinta! Hanya perempuan saja yang layak pakai helmet sebegitu! Matilah dia! Sudahlah dia takut naik motosikal,inikan pula naik skuter sambil pakai helmet ungu berbunga-bunga! Ceria betul! Sah-sah kena kutuk dengan pengguna jalanraya yang lain!


‘Ya Allah,dah macam …..‘ Rizal cepat-cepat menghalau fikiran ‘nakal‘ keluar dari mindanya.
“Jaiho,cepatlah naik! Lembab betullah kau ni! Tadi beria nak ajak keluar jalan-jalan! Suruh pakai helmet pun macam Perempuan Melayu Terakhir!“ marah Fea apabila Rizal mengambil masa agak lama untuk menyarungkan helmet dan membonceng di belakangnya.Dia sudah sedia menghidupkan enjin.Terketar-ketar Rizal memanjat di belakang Fea.

“Mak,pergi dulu! Assalamualaikum!“
Fea sengih lalu memulas tombol minyak sekuat hati.Prummm!!!
Berdesut laju skuter kuning itu membelah laluan menuju keluar dari kawasan rumah ke atas jalan raya.Rizal pegang erat bahu Fea.Matanya terpejam,menahan seriau di hati.
Fea terasa tangan Rizal mencengkam kejap di bahunya.Dia pantas menepis.
“Hoi,Jaiho! Tepilah sikit tangan kau tu! Ganggu saja!“

“Sofea,you janganlah bawa laju-laju! Nanti accident! Bahayalah!“ jerit Rizal.Dia terpaksa meninggikan suaranya melawan kebisingan kenderaan lain di kiri kanan jalan.Fea pandang cermin sisinya melihat wajah Rizal lalu ketawa kecil.
“Apa punya penakutlah kau ni! Harap muka aje macho tapi lembik,huh !!Mana ada lajulah ! Aku cuma bawa 100km per jam saja !’’balas Fea sambil menolak kasar tangan Rizal dari bahunya.

Selepas setengah jam berada di atas skuter,Fea memberhentikan skuter kuningnya di hadapan Plaza Low Yat. Dia menggesa Rizal mengikutnya masuk ke situ untuk meninjau-ninjau barangan komputer.Namun,setelah beberapa ketika mereka menuju ke Berjaya Times Square pula.

‘’Kau lapar tak ?’’ Rizal angguk apabila Fea mengajukan pertanyaan pada Rizal.’’Okey.’’ Fea atur langkah ke McDonald’s di tingkat 3 yang terletak tidak jauh dari pintu masuk menuju taman tema.Rizal sempat mengerling kepada rollercoaster yang menderum laju di atas rail tidak jauh darinya apabila mendengar jeritan para pelawat.Dia senyum.Dalam hati dia kagum.Banyak perkara yang sudah berubah. ‘’Jaiho,apa tunggu lagi ?Pergilah order ! Aku nak Bigmac large size satu set.Cepat sikit ye. ‘’ arah Fea tanpa perasaan bersalah.Dia terus mencari satu meja kosong berhampiran.Rizal terkedu.’Ceh,dia ni memang suka bagi arahan pada orang ke ?’ Mata Rizal setia menatap lenggok Fea yang sudah mendapatkan tempat duduknya.Apabila terpandangkan Rizal belum menuju ke kaunter pesanan,Fea segera memberikan isyarat mata agar lelaki itu beredar untuk memesan makanan.Rizal tiada pilihan.Hatinya sedikit sentap dengan perbuatan Fea.

Fea segera mengambil telefon bimbitnya lalu di access internet di situ.Dalam melayan perasaan,dia dikejutkan dengan suara Rizal yang sudah terpacak di hadapannya.Fea angkat muka.’’Kenapa ?’’
‘’Err….I rasa I tak nak makan lagi.’’

‘’Kenapa pula?Kalau tak nak makan pun,tolonglah order kan untuk aku!’’
Fea menekan suara.Rizal geleng.Buat muka tidak bersalah.
‘’Berkiralah kau ni! Kalau tak ada duit cakaplah dari awal,aku boleh bagi!’’ Fea cepat-cepat mengeluarkan not RM10 dari dalam dompetnya lalu dihulurkan kepada Rizal.Namun lelaki itu mengembalikan semula wang Fea.

‘’Apa masalah kau ni Jaiho? Aku hulur duit pun kau tak nak ? Habis kau nak apa ?’‘ Rizal tidak menjawab pertanyaan Fea tetapi jari telunjuknya pantas menunjuk ke arah taman tema.Fea alihkan pandangannya kepada taman tema.Dia mengeluh.‘‘Kau nak pergi ke sana?‘‘

‘‘Yes,I nak ajak you ke sana.Jom!‘’ ceria suara Rizal namun wajah Fea berubah ketat.’’Encik Rizal oi,tadi kan kau kata lapar.Aku pun tengah lapar.Lebih baik kita makan dulu,kejap lagi baru ke sana.Boleh?’‘ Rizal duduk berhadapan dengan Fea.‘‘Boleh tu boleh,tapi I tak nak kita berdua termuntah masa kat dalam sana nanti.Sebab tu I cadangkan kita berdua makan lepas masuk ke sana.Boleh?‘‘ ucap Rizal seolah meniru ayat Fea.Fea tepuk dahi.‘Aduh,kenapalah nasib aku malang sangat? Boleh pula mamat ni ajak nak masuk taman tema ?‘

‘‘Sofea,boleh ke tidak? Diam saja dari tadi.‘‘
‘‘Baiklah Jaiho.Jomlah,nanti kempunan pula kalau tak dapat masuk ke sana.‘‘ Rizal sengih senang hati.
Selepas membayar tiket,Rizal segera menarik Fea masuk.Fea tiada pilihan.‘Tak apalah.Kasi can pada budak oversea ni!‘

Kepala Fea berdenyut.Dia pegang kepalanya.Sedikit panas.Dia mengambil minyak cap kapak yang berada dalam beg sandangnya yang setia dibawa ke mana saja.‘Fuhh,nasib baik ada penyelamat.Kalau tak sah-sah jatuh tertiarap kat sini!‘

Selepas terasa sedikit lega,Fea menyimpan semula minyak cap kapak ke dalam beg sandangnya.Dia lihat Rizal sudah menghilang ke tandas.“Ni semua pasal Jaiho! Kalau dia tak ajak aku masuk ke taman tema,tak adalah aku nak pening sampai macam ni!“ marah Fea sendirian.Perasaan bengang masih menghantuinya.Mahunya tidak marah,disebabkan Rizal dia terpaksa menurut kehendak lelaki itu apabila mereka berdua menaiki rollercoaster sebanyak 5 kali.Bukan itu saja,permainan yang memeningkan kepala semuanya diulang naik beberapa kali.Itulah puncanya kenapa Fea boleh pening.Tak pernah dibuat orang! Orang lain naik sekali,dia naik berkali-kali tanpa jemu.Gila betul!

Fea segera mendapatkan kerusi panjang berdekatan dengan kiosk baju.Dia menunggu Rizal yang masih belum kunjung tiba.Namun,penantiannya berakhir dengan kelibat Rizal sambil membawa dua kon ais krim.Lelaki itu menghulurkan salah satu kon kepada Fea apabila sampai dihadapannya.Fea mendengus.

“Patutlah lambat! Beli ais krim rupanya!“
“Teringin.“ Fea kerut dahi.Pelik betul dengan Rizal ni.Selama duduk di England,tak pernah ke dia dapat makan ais krim?

Rizal duduk di sebelah Fea.Dia makan ais krim berperisa coklat itu dengan penuh kenikmatan.


Fea mencebik lalu pandang ais krim di pegangannya.Dia akhirnya makan tanpa banyak soal lagi.Setelah menghabiskan ais krim,Fea memaksa Rizal ke McDonalds semula untuk makan.Niatnya untuk makan yang sudah terbantut sejak tadi disambung semula tetapi Rizal membantah.“Jomlah kita pergi makan tempat lain.I tak nak pergi McDonalds.“

“Kau nak pergi makan kat mana?“
“Hmm…Johnny’s nak tak?“
“Johnny’s?“
Rizal angguk.“I ternampak Johnny’s tadi.Jomlah,tiba-tiba terasa nak makan steambot.I belanja.“ Tawar Rizal.‘Suka hati kaulah Rizal.‘ Fea sengaja memberi peluang.

Tekak Fea terasa kembang dengan makanan ala-ala steambot.Dia sedang berperang dengan perasaan sendiri yang inginkan McDonalds.Itulah makanan kegemarannya sejak dulu.Tapi disebabkan Rizal,terpaksa ditahankan niatnya.Fea tatap makanan dihadapannya.

Chopstik di tangan sekadar dipegang.Berselera sungguh lelaki yang duduk di hadapannya.Sampai Fea yang masih tidak makan langsung tidak dipandang.“You tahu tak Sofea.Dulu masa I di England,I suka sangat makan steambot.Kalau boleh hari-hari steambot.Sampaikan di rumah pun I suruh mama I masak steambot.I pun tak tahu kenapalah I suka sangat makan steambot ni.Mungkin sedap dan menyihatkan kot.“ Rizal galak membuka cerita.Fea masih tunjuk muka bodoh.

“Bukan orang putih celup macam kau suka makan chicken chop ke?Tak pun steak,spaghetti,pizza…“ sindir Fea.
“Itu pun I suka juga tapi hari-hari makan boleh jadi bosan.“Rizal terus menyuapkan saki baki marana ke dalam mulutnya.
“Eh,kenapa you tak makan lagi?Tadi you kata you lapar.“

“Tak apalah,tiba-tiba saja perut aku rasa kenyang.“ Dalih Fea.Dia meletakkan chopstik di tepi pinggan.“You makanlah sikit.Nanti masuk angin pula.Nah,ambil ni.“ Rizal pantas meletakkan udang dan fishball ke dalam pinggan Fea sebelum mencedokkan sup ke dalam mangkuk gadis itu.Fea tidak membantah namun dia masih kaku di tempatnya.

“Lah,kenapa?Makanlah sikit.Tak apa,I belanja.“ Ucap Rizal lagi.Arghh,kenapalah Jaiho ni paksa aku?
“Kan aku cakap aku tak lapar.Nanti aku lapar,aku makanlah.“
“Mana boleh macam tu.“

“Hisyh,kau ni! Aku cakap aku tak lapar maksudnya tak lapar.Tak faham ke?“ nyaring suara Fea.Pelanggan di meja sebelah sudah memandang.Rizal berhenti makan.Dia mengeluh.

“Okay,I’m sorry.I bukannya apa,Sofea.I just tak nak you pengsan pula nanti.You kan belum makan.Nanti kalau jadi apa-apa kat you,auntie Lia marahkan I pula.“ Ucapan Rizal itu benar-benar meloyakan tekak Fea.Kenapa prihatin sangat?Aku dah besarlah wahai encik pembuli!

Fea membatukan diri.Malas mahu membalas kata-kata Rizal.
‘’Okey,I tahu you marah sebab I tak nak pergi Mcdonald’s.Tak apa,lepas ni kita pergi McDonalds.I belanja.You order apa saja yang you nak makan.’’ Pujuk Rizal.Dia sudah dapat mengagak bahawa Fea sebenarnya bukan tidak lapar cuma dia mahu makan di McDonald’s seperti awal-awal tadi.Rizal segera menghabiskan makanan lalu membayarnya.Dia mengajak Fea ke McDonalds seperti yang dijanjikan.Muncung mulut Fea berkurangan apabila kaki mereka melangkah masuk ke McDonalds.



‘’Hai,selamat datang ke McDonalds.Makan sini atau bawa balik ?’’ ramah ucapan pelayan di kaunter McDonalds.Fea sengih.’’Makan sini.Saya nak order BigMac large satu set, apple pie dua dan sundae coklat satu.’’ Pantas tangan pelayan menekan butang-butang di skrin.Rizal di sebelah sudah terbeliak biji mata.Fea pandang sambil angkat kening. ‘’Aik,banyaknya order.Tadi kata tak lapar !’’
‘’Itu tadi,sekarang dah lapar ! Lagipun,kau belanja.’’ Fea angkat kening.Rizal menggeleng kepala.’Macam-macam !’

Makanan yang dipesan sudah siap.Segera Fea menghulurkan tangan meminta duit daripada Rizal.Rizal mengeluarkan dompetnya tetapi dia menggeleng kepala. ‘’Kenapa ?’’

‘’Alamak,sorry Sofea.I tak ada duit kecil.’’
‘’Bagi jelah duit yang kau ada. ‘’
‘’Duit yang I ada tak cukup.’’Fea mendengus. ‘’Tak cukup duit ke tak ada duit ?Tadi cakap tak ada duit kecil sekarang cakap tak cukup duit pulak.Mana satu ni?’’ Fea menyindir.’’I bukan tak ada duit ye tapi duit-duit I yang berkepuk tu semuanya dalam bank.Dalam dompet ni ada Pound Sterling.Ringgit Malaysia hanya ada beberapa ringgit je.’’ Ucap Rizal membela diri.Berlagak !

“Eleh,dalam bank konon.Tak ada kad kredit ke?” sindir Fea lagi mengetap gigi.“Excuse me…I tak ada kad kredit tapi kad debit adalah.Masalahnya,I tertinggal di rumah.Sorry honey!“ Rizal sengih.

‘Eeee…berlagak!!’
Fea tiada pilihan selain menghulurkan duitnya sendiri kepada pelayan.Dia terus membawa dulang makanannya ke meja kosong tanpa menghiraukan Rizal.
’Ceh,nak belanja konon ! Duit pun tak ada !’

Rizal duduk berhadapan dengan Fea.Fea mencebik lalu menyumbatkan sundae coklat ke dalam mulut dengan kasar.’’Lain kali,pergi ambil duit dulu baru offer nak belanja.’’ Perli Fea.Rizal terasa bersalah.’’Baiklah Cik Sofea.Sekejap lagi I pergi ATM ambil duit.Lepas ni I belanja you okey.’’ Tawar Rizal lagi.Fea mencebik sambil menjeling.’Poyo tak habis-habislah kau ni Jaiho !’

Selesai makan,Fea terus mengajak Rizal ke Plaza Low Yat semula untuk mengambil skuternya namun lelaki itu membantah.Dia tidak mahu menaiki skuter Fea malah mengajak Fea menaiki monorail. ‘’Jom kita pergi Pavillion.I dengar tempat tu best.’’

‘’Yelah-yelah.’’ Ucap Fea tidak bersemangat.’’Tapi I tak nak you bawa skuter you.’’ Mata Fea bulat.’’Kenapa pula ?’’
‘’Hmmm…Pavillion dekat dengan Bukit Bintang kan ?Jomlah kita naik monorail.Lagi selesa.’’

Fea tidak membantah malah hanya mengikut Rizal menuju ke stesen monorail di Berjaya Times Square.Suasana yang agak sesak menjelang tengah hari itu memaksa Fea dan Rizal berhimpit-himpit di dalam gerabak monorail yang kecil itu.Rizal senyum.Wajahnya sangat dekat dengan wajah Fea.’Mamat poyo ni kenapa tersenyum ? Ada bendalah tu yang nak menyakitkan hati aku !’

‘’Kau ni kenapa ?’’ Rizal geleng lalu membuang pandang ke luar monorail.Dia lantas tidak mengendahkan pertanyaan Fea.Dalam hati tuhan saja yang tahu bagaimana rasanya perasaan Fea apabila mamat poyo di depannya suka benar memberi tanda tanya.Apa-apa sajalah Jaiho !

Monorail sampai di stesen Bukit Bintang.Langkah Fea cepat-cepat diatur keluar dari gerabak sempit itu.Rizal hanya mengikut.Mereka berdua meredah kesesakan orang ramai yang berpusu-pusu ke Bukit Bintang.

Sesampai saja mereka berdua di Pavillion,Rizal segera mengajak Fea menuju ke Money Changer untuk menukar duit Pound Sterling nya sebelum pergi ke outlet jam tangan Tag Heuer yang terletak di tingkat 3.Agak lama Rizal membelek jam-jam tangan yang terdapat di situ sehingga membuatkan Fea berasa bosan.Dia sudah menguap menahan kantuk.

’Hmm,mesti ribu-ribu harga jam kat sini.’ Fikir Fea tanpa berminat mahu mengambil pusing harga sebenar jam di kedai Tag Heuer.’Agak-agak,kalau aku nak beli jam kat sini pasti kena ikat perut untuk kumpul duit.’ Fikir Fea lagi.

Dia duduk di kerusi bulat di situ.Rizal pula sudah mengelilingi meja kaca yang menempatkan jam.Matanya terpaku pada sebuah jam tangan berwarna hitam.Dia meminta pekerja di situ mengambil jam Grand Carerra dengan penuh teruja.Dia senyum sendirian sebelum mengalih pandang pada Fea.Rizal menggamit Fea supaya gadis itu datang kepadanya.Fea mengeluh berat namun tidak membantah.



‘’Cantik tak jam ni ? ‘’ Fea angguk. ‘’Okey kak.Saya nak jam ni.’’ Pekerja di hadapannya mengangguk lalu mengambil jam dari tangan Rizal sebelum berlalu untuk membungkusnya.Fea hantar pandangan ke arah luar.Dia diam.Malas mahu berbicara.Matanya benar-benar sudah mengantuk.Rizal berasa kasihan melihat keadaan Fea yang sudah beberapa kali menguap.’’Sofea,you pergilah basuh muka you.Bagi segar sikit.’’

‘’Kau tunggu sini.’’ Arah Fea.Rizal angguk.
Matanya yang letih kembali bercahaya.Hah,baru ada mood ! Fea mengatur langkah kakinya menuju ke kedai jam tangan tadi namun kelibat Rizal tiada.Dia tidak mengambil masa lama apabila dia berpusing-pusing di sekitar situ mencari Rizal tetapi tidak berjumpa.

’Hisyh,mana pula si Jaiho ni ? Aku dah suruh tunggu kat sini tapi dia pergi melencong tempat lain pula ! Urghhh,aku tinggal nanti baru padan muka !’ bentak Fea sendirian.Baru saja moodnya mahu pulih,Rizal pula hilang.

Fea mengeluh panjang.Penat betul mencari Rizal.Umpama mencari budak kecil saja lagaknya.Macam manalah mamat England ni boleh duduk kat England tu selama berbelas tahun ? Sedangkan kat Malaysia ni pun dia boleh hilang tiba-tiba ? Takkan aku nak pergi kaunter pertanyaan pulak kot ? Nak buat pengumuman tentang kehilangan encik pembuli ? Isyh,susahlah !

Fea berdiri macam orang bodoh memandang keliling.Harap-harap matanya dapat menangkap kelibat Rizal.Kalau masih tidak nampak,dia bertekad mahu pulang saja.Soal Rizal,biarkan.Pandai-pandailah nak balik.

‘’Sofea,you ke mana ?’’ ucap Rizal tiba-tiba sudah terpacak di sebelah Fea.Fea pandang wajah Rizal dengan penuh geram.’’Kau tu yang pergi mana?Puas aku cari macam orang bodoh.Kan aku suruh kau tunggu aku kat kedai jam tadi ?Menyusahkan betul !’’ marah Fea tidak berdalih.Rizal tersenyum.Macam suka saja kena marah dengan Fea.Fea pula sudah menjeling tajam lalu meninggalkan Rizal sendirian.

‘Mamat ni tak habis-habis nak menyusahkan aku ! Dari pagi sampai petang ada saja benda yang menyakitkan hati! Aku lepak dengan Era lagi bagus dari lepak dengan budak poyo ni!‘
‘‘Sofea,tunggulah sekejap.Laju betul you jalan.Tak penat ke?‘‘ Rizal cuba menyaingi langkah Fea.Fea tidak bersuara.‘‘Sofea,you dengar tak?‘‘ tutur Rizal lembut.‘‘Dengarlah!‘‘

‘‘Okay,I’m sorry.I tahu you marahkan I.Tapi I bukan sengaja.I pun pergi washroom lepas beli jam.‘‘ Rizal menayangkan beg yang mengandungi jam tangan yang baru dibelinya.

Fea berhenti berjalan.Dia menghadap wajah Rizal sambil mencekak pinggang.‘‘Lain kali,kalau aku kata tunggu maknanya tunggu.Jangan bagi aku cari kau! Menyusahkan orang saja!‘‘ Fea mahu berlalu namun lengannya pantas ditangkap oleh Rizal.Wajah Fea berubah garang.Rizal pula sudah mengangkat kedua-dua tangannya dan menjauhi Fea.‘‘Sofea,I minta maaf.‘‘ Fea mendengus.‘Kau ingat bila kau minta maaf,hati aku ni boleh cool down ke?‘ marah Fea dalam hati.

‘‘Sofea?‘‘ ucap Rizal sambil angkat kening.
‘‘Apa-apa sajalah!!‘‘
Fea mengeluh lagi.Penat betul bercakap dengan Rizal.Ada saja perkara yang dibuatnya sehingga Fea sakit hati namun lelaki itu memang pandai melembutkan hati Fea yang keras.Rizal memang bijak membuatkan Fea mengalah.

‘‘Sofea…‘‘
“Ada apa lagi?‘‘
‘‘Hmm…boleh I tumpang barang dalam beg you?‘‘ tunjuk Rizal pada beg Tag Heuer.Fea tiada pilihan lantas mengambil beg jam tangan itu dari Rizal dan memasukkannya ke dalam beg sandangnya.Rizal tersenyum lega biarpun kata-kata maaf belum terluncur keluar dari mulut Fea.

“Sofea…I nak ke surau kejap.“ Fea garu kepala.Eh,mamat ni??Nak ke surau pula?
“Kenapa ?You ingat I tak reti solat ke ?Sekarang kan dah masuk waktu Zohor….dah nak dekat pukul 2.30 dah pun.Jom kita pergi surau solat Zohor dulu eh?” Fea mencebik.Eleh…tunjuk baiklah pula !


No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...