Friday, 24 May 2013

Babak Terakhir Bab 5


“Cepat!! Aku kira sampai 10.Kau mesti lari,kalau kau tak lari,aku humban kau dalam tali air tu!!” Jerit Rizal tidak langsung mahu bertolak ansur dengan gadis kecil molek itu.

Gadis itu memandang wajah Rizal dengan takut-takut.Badannya menggeletar,tangannya menggigil.Dia hanya mampu mengangguk namun bibirnya kelu tidak terkata apa.

“Apa tunggu lagi?Cepatlah!” herdik Rizal garang.Matanya mencerlung memandang gadis itu tanpa belas.
“Ce..cepatlah..kira.” ucap gadis itu takut-takut.Sungguh dia terasa kepala lututnya lemah longlai mendengar jerkahan dari budak lelaki berusia 10 tahun yang mempunyai saiz fizikal yang jauh berbeza darinya.Memandangnya sahaja sudah membuatkan gadis itu kecut perut apatah lagi mendengarkan suaranya yang bagaikan halilintar.Ah,dia tidak punya pilihan.

“Cepat!Aku kira,kau mesti lari! Kalau tak lari tahulah apa nasib kau!” ucap Rizal sekali lagi mengulang ayat yang sama terhadap si gadis.Memang tidak punya perasaan bersalah langsung malah dia berasa seronok mengawal dan mengarah-arah gadis itu.”Satu…dua…tiga…” Fea cepat-cepat mengatur langkah seribunya,berlari seperti yang diarahkan oleh Rizal.

Itulah yang terpaksa dia hadapi apabila Rizal sudah muncul di depan mukanya.Dia tahu,Rizal memang suka main sorok-sorok.Sebab itulah budak lelaki itu sengaja menyuruhnya melarikan diri dari situ dan menyorok di mana-mana tempat yang dirasakan selamat supaya Rizal dapat meneruskan misi memburu ‘mangsa’.

Fea benar-benar tidak tahu mahu berbuat apa apabila Rizal sering datang ke rumah neneknya terutama pada musim cuti sekolah bersama-sama keluarganya.Maka,ibu bapa mereka pasti menyuruh Fea mengajak Rizal bermain bersama-sama.Huh,kalaulah semua orang tahu bahawa Rizal selalu membulinya sudah pasti dia tidak dibenarkan bermain di luar.

Tercungap-cungap nafas gadis kecil itu.Dia segera mengambil tempat yang agak selamat di belakang satu pondok kecil berdekatan dengan perigi yang terletak di belakang rumah kayu milik neneknya yang sudah disewakan kepada orang kampung.Dia dapat merasakan bahawa tempat itu agak selamat dari dikesan oleh ‘si monster’ bernama Rizal.

“Warghhhh!!” jerkah Rizal sambil tunjuk senyum nakal.Fea menjerit nyaring lantas dadanya diurut.Terkejut!!
“Hahaha…yes!! Aku dapat jumpa kau!! Bangun cepat!” Arah Rizal lagi sambil menarik kasar lengan Fea.Fea menggeleng,takut benar dengan Rizal yang kuat membuli.Entah ilmu apa yang dipakainya sehingga mahu melawan pun dia tidak mampu.
Rizal…bukannya kuat mana pun.Mahu kata gergasi macam Big Foot tidak juga apatah lagi macam Godzilla.Oh,mungkin macam Doraemon saja cuma perangai nakal itu semakin menjadi-jadi dari hari ke hari.Mentang-mentanglah badannya kecil dan comel senang-senang saja si Doraemon ini mahu membulinya.Doraemon tembam!!

“Hoi! Bangun! Bangunlah…degil sangat kenapa?” marah Rizal.Mulutnya yang penuh dengan gula-gula sempat lagi mengherdik Fea.Fea pandang wajah Rizal sekali lalu namun dia gagahkan jua dirinya untuk berdiri.Kalau tak mengikut arahan nanti,sahih dirinya akan diikat di pohon rambutan macam minggu lepas akibat kalah dengan Rizal dalam permainan congkak.Kalau tidak pun sudah tentu mulutnya akan disumbat dengan pasir sungai yang diambil dari sungai berhampiran rumah nenek Fea.Ceh,bikin sakit hati saja!

“Awak nak suruh saya…bu..buat apa,Rizal?”
“Kau jangan banyak tanya! Jom ikut aku!” tanpa membuang masa Rizal segera mengheret tangan Fea mendekati perigi.Hati Fea sudah cuak melihat perigi sudah dekat dengan mereka.Dalam fikirannya,pelbagai perkara bakal berlaku hari ini.Sah,aku bakal kena tolak dalam perigi!!Oh,tidak!! Esok mesti cerita aku masuk berita muka surat depan!!

“Janganlah Rizal! Awak nak bawa saya pergi mana?” suara Fea kendur.Air matanya sudah merembes cuba meronta-ronta minta tangannya dilepaskan namun Rizal tidak menghiraukannya.Budak nakal itu masih setia menggenggam erat lengan Fea malah makin dieratkan pegangannya sambil menarik kasar menghampiri perigi itu.
“Rizal!!” jerit Fea lagi.Hampir meraung dibuatnya.

Rizal sengih.Gula-gula dalam mulutnya digigit sehingga hancur.
“Kau duduk sini!” arahnya lagi.Fea tiada pilihan.Dia terpaksa akur sekiranya tidak mahu diapa-apakan.

‘Hmmm…aku ikut cakap dia pun aku tetap kena!’
“Duduklah,kau pekak ke?Degil betul!” marah Rizal sambil menolak kepala Fea.
“Kalau kau tak nak sakit,kau duduk diam-diam di sini.Tunggu aku datang!” ucap Rizal.Fea sudah duduk mencangkung di tepi perigi sambil matanya tidak lekang menatap susuk tubuh Rizal yang tembam itu mengelilingi perigi.Dia hairan.Apa yang mahu Rizal buat?

Rizal sengih lagi sambil keningnya terangkat-angkat.Idea nakalnya muncul lagi.
Pantas tali timba yang sedia tergantung di palang kayu di tengah-tengah muka perigi itu ditarik lalu dihumbankan ke bawah.Pap! Air perigi terpercik ke dindingnya.Rizal terkial-kial menarik semula timba itu setelah pasti air perigi sudah penuh terisi.Bunyi kocakan air deras kedengaran.

Fea yang masih mencangkung hanya membatu.Tidak berani langsung mahu bergerak apatah lagi untuk bersuara.Dia hanya mampu berserah.Entah apalah nasibnya kelak.
Bunyi derapan tapak kaki ‘si monster’ a.k.a Doraemon sudah semakin jelas di pendengarannya.Dia pejam mata rapat-rapat lalu berdoa dalam hati.
“Ya Allah,kau selamatkanlah aku dari menjadi mangsa budak tembam ini.Lindungilah aku.Amin.”

Derap tapak kaki Rizal tidak berbunyi lagi.Fea hairan lalu dia membuka matanya perlahan-lahan untuk memastikan bahawa Rizal tidak berada berdekatan dengannya.
Prrrrr..Bunyi simbahan air serta merta membuatkan wajah Fea berubah.Dia terjerit-jerit lalu bangun dari cangkungannya.Tubuhnya dipeluk dan sesekali dia menggosok-gosok wajahnya yang sudah basah dek siraman air perigi.Rizal ketawa besar!
“Hahaha…padan muka!” Rizal jelir lidah.

“Kenapa awak buat saya macam ini?” tanya Fea lirih.Dia mahukan jawapan dari perbuatan Rizal yang tidak bertimbang rasa.Namun budak lelaki itu terus ketawa berdekah-dekah sambil menekan perutnya.Geli hati!
“Itu untuk hukuman kau!”

“Hukuman apa?”
“Hukuman sebab aku dapat jumpa kau!“
“Hah?
“Bodohlah kau ni! Lain kali kalau nak menyorok,pilihlah tempat yang aku tak dapat cari!Contohnya kau menyorok dalam tanah ke,atas pokok yang paling tinggi macam pokok durian ke atau pun kau menyorok je dalam perigi tu! Mesti aku tak dapat cari kau!“

Fea garu kepala.Menyorok dalam tanah?Kubur ke?Hmm…ada ke orang menyorok atas pokok durian?Tingginya!Mata Fea menoleh memandang ke arah perigi yang dimaksudkan oleh Rizal.Eee…ini lagi gila.Nak suruh aku mati bunuh diri semata-mata nak menyorok dalam perigi tu dari dikesan oleh ‘si monster‘ ini?Mesti mak marah dengan aku nanti!! Huwaaa….

Rizal ketawa lagi.Fea menjeling dengan gelagat tidak bertamadun dari Rizal.Bencinya dengan budak tembam ni!! Nasib baiklah badan aku ni kurus kering,kalau badan aku satu paten macam dia tahulah nasib dia! Gerutu Fea dalam hati.
Rizal segera mengeluarkan bungkusan lolipop dari dalam koceknya.Dia pantas mengulum lolipop itu sementara kertas balutannya di buang ke wajah Fea.Fea menunduk.
Rizal sengih lagi.“Kau nak?Kau nak tak?“ jerit Rizal apabila sedikit demi sedikit dia menghampiri Fea.Fea diam.“Hoi,pekak! Aku tanya kaulah! Kau nak tak lolipop ni?“
Fea angguk perlahan.Hatinya penuh dengan perasaan sebal tetapi demi rasa takutnya yang menjadi juara hati saat itu,dia hanya mampu berdiam diri.

“Kau nak?Nah!!“ ucap Rizal sambil membaling baki lolipop yang sudah dimakannya itu ke wajah Fea.Fea terkedu.Lolipop milik Rizal itu sudah jatuh bergolek di kaki Fea.
”Cepat ambil lolipop tu!“ arah Rizal menyinga.

”Pekak!Ambillah cepat! Kau cakap kau nak,sekarang aku dah bagi! Ambil cepat!”
Fea menggigil.Tubuhnya yang masih basah sudah menggeletar kesejukan dan ditambah dengan jerkahan Rizal yang mampu membuatkan bulu romanya meremang.Rizal memang benar-benar keterlaluan!!

“Eee…pantang betullah bila aku cakap orang buat tak tahu! Pekak! Bodoh!” herdik Rizal lagi.Dia mendegus.Marah benar apabila Fea masih membatukan diri tidak menurut arahannya.Dia geram lalu tubuh kecil itu ditolaknya sekuat hati.Terduduk Fea di atas lantai berdekatan perigi itu.Gadis itu segera meraung.Air matanya tak henti-henti mengalir.Rizal sengih lagi.Dia ketawa besar melihat gadis itu menangis.Ceh,lembik!!

“Padan muka kau!”
Fea menggosok matanya dan tidak berupaya untuk bangun dari jatuh.Dia terasa punggungnya begitu sakit malah kakinya terasa kebas.
“Fea!!Fea!!!” jerit satu suara.Rizal segera berhenti ketawa.Dia menoleh ke belakang dan dapat melihat kelibat seorang wanita kian menghampiri.Kalut saja langkahnya diatur ke arah Fea lalu pura-pura membantunya bangun dari jatuh.”Hei,diamlah! Berhenti menangis!”bisiknya keras.

“Fea…Ya Allah,Fea,Jai…kenapa ni?Apa dah berlaku?” separuh menjerit suara Lia Sari apabila terlihatkan keadaan dua orang kanak-kanak itu.”Err..Fea jatuh tadi.Jai cuba bantu dia bangun!” tipu Rizal.Fea masih tidak berhenti menangis.Dia pandang wajah Rizal dengan penuh perasaan dendam.

‘Kurang ajar kau! Pandai betul kau berlakon! Mak,si monster ini yang tolak Fea tadi!Mak karate dia mak!!‘ jerit hati Fea.Suaranya tidak mampu keluar.
“Macam mana kau boleh jatuh ni Fea?Cuai betul! Baju ni,macam mana boleh basah?”
“Tadi Fea…”

“Err….auntie, tadi Fea terjatuh masa nak ambil air dari perigi tu.Air perigi tu dah tersimbah atas badan Fea.Sebab tu basah!” Potong Rizal cepat-cepat.Lia Sari mendengus.Fea tidak mampu meneruskan kata-katanya.
“Itulah,kan mak dah pesan jangan main kat perigi ni! Bahaya! Tapi kau ni degil! Sudah,cepat bangun!” marah Lia Sari sambil menarik tangan Fea.Lia Sari segera menepis-nepis kotoran yang sudah melekat di belakang seluar Fea.Basah dan kotor! Lia Sari menggeleng-geleng lagi.

“Sudah,Fea,Jai.Jom kita balik!”
Rizal sengih sambil kenyit mata pada Fea.Fea menjeling tajam.Urghh,benci dengan kau encik pembuli!!!
"Eh,apa yang dok tercegat saja kat sini.Tahulah dah lama tak berjumpa.Sudah,jom masuk.Makanan dah lama terhidang." Ucapan Tok Saif itu benar-benar telah mematikan lamunan Fea.Fea mendengus.Dia mengerling sekilas pada wajah Rizal di hadapannya.Huh,menyampah ! Apabila dia mahu melangkah dia tersedar yang tangannya masih belum dilepaskan dari genggaman tangan Rizal.Fea cuba menarik dan memberikan isyarat mata sehingga memaksa Rizal melepaskannya jua.

‘’Nanti jangan lupa buka kasut ya ?’’ sinis sahaja sindiran Fea apabila dia sudah mendekatkan wajahnya dengan telinga Rizal pula.Sengaja menyindir mat saleh celup itu.Manalah tahu kalau-kalau budaya barat yang dibawanya masih belum boleh dibuang.Rizal sekadar mengangkat kening sambil tayang wajah blur.

Tok Saif segera mempelawa mereka semua masuk dan Fea pula adalah orang pertama yang masuk tetapi dia terus ke dapur.Dalam fikirannya masih terngiang-ngiang jerkahan dan kata-kata nakal Rizal terhadapnya.Melihat jejaka itu muncul di depan mata setelah 15 tahun benar-benar membuatkannya tidak senang duduk.

Arfa dan keluarganya melangkah masuk ke dalam banglo mewah milik Tok Saif.Matanya tidak lekang dari melihat sekeliling banglo tersebut.Ukiran-ukiran kayu yang menghiasi dinding laluan masuk menuju ke ruang tamu di banglo tersebut cukup mengasyikkan namun mata Arfa lebih tertumpu pada satu ruang khas yang agak terselindung semasa dia baru saja melepasi ruang tamu menuju ke tengah banglo.Dia sangat tertarik dengan dinding kaca yang dilapisi hiasan dan tulisan ayat-ayat Al-Quran seolah-olah mimbar seperti yang terdapat di masjid.

Sepanjang keberadaannya di luar negara,tidak satu pun hiasan dalam mana-mana rumah di sana yang menarik minatnya tetapi rumah bapa saudaranya itu sangat cantik dengan rekaan unik dan klasik.Dia terpesona.Tidak disangka,rumah Tok Saif sangat cantik dan mewah!

Mereka semua dipersilakan ke ruang makan yang serba mewah yang terletak berhampiran dengan kolam renang.Ruang makan yang seolah-olah ballroom kecil itu dihias indah dengan bunga-bunga segar berserta reben dan renda berwarna biru lembut dan putih.Terasa seperti dalam taman saja.Di dalam ruang makan itu sudah terletak enam meja bulat yang boleh memuatkan lapan orang dan ianya sudah dipenuhi oleh sanak saudara Fea yang sudah lama menantikan kehadiran keluarga Arfa.

Manakala dua meja bulat sedikit besar berkonsep ala-ala inggeris telah diletakkan di kawasan paling hadapan ruang makan dan mereka semua dipersilakan duduk di situ selepas bersalaman dengan sanak saudara yang hadir.Lia Sari,Arfa,Mokhtar,Tok Saif beserta Azman iaitu adik Lia Sari dan isterinya Zarina duduk semeja manakala Rania,Rizal dan Aimin duduk di meja sebelah.Baru saja Tok Saif mahu mengambil tempatnya,pengerusi majlis sudah memulakan acara.Selepas itu bacaan doa pula mengiringi suasana dan selesai saja bacaan doa,pembantu-pembantu rumah Tok Saif segera menghidangkan makanan di setiap meja ala-ala seperti di hotel.

Sedang sibuk pembantu rumah Tok Saif menghidangkan makanan kepada tetamu,Tok Saif perasan yang Fea tidak berada bersama di meja makan.Hairan rasanya.Ke mana pulak budak seorang ni menghilang."Berbual dululah ya.Aku nak pergi cari Fea sekejap." ujar Tok Saif sambil bangun.Lia Sari yang sibuk berbual dengan Arfa dan Mokhtar terhenti bicaranya apabila nama Fea disebut oleh Tok Saif."Cari Fea?Eh,tadi bukan ke Fea ada di sini Pak Lang?Mana pula dia pergi?" Lia Sari pandang keliling.Sungguh,rasanya dia baru terlihat kelibat Fea tapi tiba-tiba saja menghilang."Tak apa,biar aku yang pergi cari."

Lia Sari mengangguk lantas menyambung semula perbualannya yang sesekali diselang selikan dengan ketawa.Rania yang duduk berselang satu kerusi dengan Aimin terus menyiku lengan adiknya yang duduk di sebelah kirinya.Rizal angkat kening."Jai,did you notice?“ “Notice what?“ “The girl,Sofea." ucap Rania berbisik di telinga Rizal."Why?" Rizal hairan.Apa hal pulak kakaknya sibuk tanya pasal Fea.

"Semacam je.Macam tak suka kita datang." sinis sungguh bunyinya namun Rizal berdehem sebentar sebelum membalas pertanyaan Rania."Entah,tak tahulah sis.Maybe dia terkejut tengok kita.Well,kitakan bergaya.Tambah-tambah Jai yang handsome ni.Mesti dia tergoda kan? Sebab itulah dia menghilang tak nampak batang hidung.Malu agaknya." sengih Rizal sambil menguak anak rambutnya ke belakang dengan sebelah tangan.Rania tutup mulut dengan tangannya menahan ketawa.Tak habis-habis nak perasan saja adiknya yang seorang itu.Aimin yang duduk berhampiran Rania dan Rizal sekadar memerhati gelagat kedua beradik itu.Inilah rupanya budak tembam yang selalu bikin kacau masa kecik-kecik dulu.

Sementara di dapur,Tok Saif tercari-cari kelibat Fea."Munah kau ada nampak Fea?Entah ke mana dia pergi ni!" tanya Tok Saif pada salah seorang tukang masaknya yang baru saja mengemas kabinet dapur yang sedikit berselerak."Tu hah,Tuan.Dia ada di belakang tu.Dari tadi dia di situ." muncung saja bibir Munah yang berusia lewat 30-an.Tok Saif angguk.

Tok Saif lantas mendekati Fea yang sedang enak mengunyah mangga masam yang baru diambil dari peti sejuk.Elok saja dia mencangkung seperti orang nak buang air besar di belakang dapur berhampiran dengan pintu keluar.

"Lah,kau di sini Fea?Orang lain sibuk nak makan nasi kau pulak sibuk makan mangga?Isyh,sudah! Mari ikut aku pergi ke depan.Semua orang sedang menunggu."Fea melangut apabila Tok Saif datang menegur.Alamak,kantoi sudah apabila perangai tak senonohnya sambil mengunyah mangga macam pencuri buah lepak atas pokok telah diperhatikan oleh Tok Saif.Fea sekadar mampu tersengih.Dia menggeleng."Tak naklah Tok Saif.Tok Saif pergilah,Fea malas.Lepak sini lagi seronok.Dapat makan mangga masam!" Tok Saif mendengus.

"Sudah,kau jangan mengada-ngada!Arfa sekeluarga datang dari jauh-jauh tapi kau pula sibuk dengan mangga tu.Esok-esok pun kau boleh makan lagi.Dah,jom ikut Tok Saif.Lagipun kita kan dah lama tak jumpa mereka semua.Apa pula kata mereka nanti kalau kau duduk di sini." ajak Tok Saif.Namun Fea masih membatu sambil mengulum mangga masam yang tidak dipotong itu.Dengan biji-bijinya sekali disumbat ke mulut.Haisyh...Fea...Fea....

"Fea,dengar tak apa aku kata ni?" Fea terkapai-kapai apabila suara 'macho' Tok Saif menerjah gegendang telinganya."Hah,yelah-yelah.Tok Saif pergi dulu.Kejap lagi Fea datang.Nak basuh tangan sekejap." Tok Saif angguk lalu segera berlalu.
Kaki Fea perlahan-lahan mendekati meja bulat di dalam ballroom itu.Dari jauh lagi dia sudah terdengar suara riuh emaknya bergelak ketawa bersama Arfa sekeluarga.
Amboi! Mak aku ni,dah lupa dunialah tu.Tahulah lama tak berjumpa,tapi gelaknya mengalahkan orang kena geletek!

"Fea,kau pergi mana?Dah lama kami semua menunggu." ucap Lia Sari.Fea buat muka bodoh lalu menarik kerusi bersebelahan dengan emaknya.Di hadapannya sudah terhidang bermacam-macam lauk yang sedap-sedap.Terbuka pula seleranya apabila terpandang lauk-lauk tersebut yang sudah semestinya telah dimasak oleh orang gaji Tok Saif yang berduyun tu.

Fea sengih dalam hati.Dia toleh pandang wajah Aimin yang duduk di meja sebelah bersama dua ekor angsa.Aimin sekadar memandang kosong wajahnya.
“Fea,kau pergilah duduk sekali dengan Rizal dan Rania.Pergi berbual-bual dengan diorang.Sini tempat orang-orang dewasa bercerita.“ Ujar Lia Sari seolah-olah menghalau anak perempuannya dari situ.Fea buat muka tetapi menghormati kehendak emaknya yang ‘dewasa’ itu lalu dengan berat hatinya melangkah mendekati meja yang diduduki oleh ‘musuh’nya itu.

No comments:

Post a Comment

BLURB Di Situ Ada Cinta

 Bila dua manusia dari dua dunia bertemu, apa agaknya yang bakal berlaku? Aara dan Mirza, dua watak berbeza warna dan cerita. Seorang penuh ...